Rabu, 19 Januari 2011

JANGAN ZAKAT DIKUTIP..AGIHAN TAK RATA...RAMAI MISKIN YANG MEREMPAT....TUGAS KUTIP...CARI DAN AGIH SERTA BUAT AKAUNNYA..ITU KERJA AMIL...

Pakatan Rakyat jumpa SPR 24 Januari
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan khas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya, jam 3 petang, bagi membincangkan lima perkara penting.

Perkara-perkara yang akan dibincangkan itu termasuklah cadangan undi proksi oleh SPR, persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dun, isu-isu lalu yang belum selesai termasuk undi pos dan pendaftaran pemilih.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, selain itu, dalam pertemuan itu juga akan turut dibincangkan tentang penubuhan kem askar wataniah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dan peraturan-peraturan baru bagi perjalanan pilihanraya yang akan diperkenalkan oleh SPR.

Menurut beliau, perkara-perkara itu perlu dibincangkan bagi melahirkan perjalanan pilihanraya yang telus, adil dan bebas menepati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.

"Pertemuan itu adalah susulan dari surat yang telah saya hantar kepada SPR pada 17 Januari lalu bagi mewakili Pakatan Rakyat. Surat saya itu telah dijawab oleh SPR dan pertemuan itu pula tetap ditetapkan sendiri oleh pihak SPR pada hari dan waktu itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP akan diwakili 2 orang wakil setiap parti, manakala PAS akan diwakili oleh beliau sendiri dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Perbincangan tentang undi proksi seperti yang dicadangkan oleh SPR, katanya, perlu diadakan kerana ia dilihat boleh mengganggu perjalanan pilihan raya yang telus, adil dan bebas seperti yang kita ingini dan disebut oleh SPR sendiri.

"Undi adalah rahsia. Tapi bila buat proksi atau wakil, ia tidak lagi menjadi rahsia. Selain itu, proksi itu pula mungkin bukan orang sebenar, tetapi yang menerima upah. Dibimbangi juga kalau-kalau undi proksi itu pengundi hantu. Jadi, banyak pihak yang tak senang dengan cadangan untuk adakan undi proksi.

"Bagi pihak Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat sememangnya menolak undi proksi kerana ia sebenarnya bercanggah dengan demokrasi," katanya.

Perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi kerusi Parlimen dan Dun, menurut beliau, perlu diadakan kerana persempadanan semula kawasan pilihanraya sudah lama tidak diadakan iaitu sejak tahun 2003, terutama bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

"Sedangkan mengikut peraturan, persempadanan semula patut dilakukan sehingga tempoh 8 tahun. Jadi, ini merupakan suatu perkara penting yang perlu diambil tindakan oleh SPR yang akan turut kami bangkitkan dalam pertemuan itu nanti," jelasnya.

Menyentuh tentang isu-isu lalu yang belum selesai, antara lain, beliau akan memberikan pandangan kepada SPR agar pihak SPR melakukan pendaftaran secara langsung terhadap pemilih, dengan kaedah perhubungan langsung antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dengan cara itu bukanlah bermaksud memaksa orang mengundi, tetapi memudahkan mereka mengundi kerana dapat mengatasi masalah para pengundi yang berkelayakan menjadi pengundi tercicir dari daftar pemilih.

Katanya, perbincangan tentang cadangan Datuk Zahid untuk menubuhkan kem askar wataniah pula perlu dilakukan bagi mengelakkan parti pembangkang menjadi mangsa.

"Ini kerana kewujudan kem itu mungkin akan turut melahirkan undi pos yang lazimnya menguntungkan BN sendiri," tegasnya.

Kini, jelas beliau, turut kedengaran cadangan dari SPR untuk melaksanakan beberapa peraturan baru bagi pilihanraya termasuk pada pilihanraya kecil Dun Tenang 30 Januari ini.

"Kita ingin tahu apakah peraturan-peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh SPR itu. Dengan itu bolehlah kita bincangkan dengan lebih jauh untuk kepentingan semua pihak," katanya.


Umno Selangor umpama 'bangkai bernyawa'
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan

IKAN busuk bermula di kepala. Itulah petikan pepatah Cina yang sesuai untuk memahamkan rakyat tentang situasi di Selangor, khususnya masalah atau krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang Umno-Barisan Nasional.

Sama ada rakyat sedar atau tidak, sejak tiga dekad yang lalu, rakyat Selangor disajikan dengan ketua pentadbir negeri yang dikenali dengan nama Dato' Menteri Besar, yang hampir semuanya 'bermasalah'.

Selepas Dato' Harun Idris (1970-1976) dan Dato' Hormat Rafie (1976-1982), semua MB Selangor yang diwakili Umno, sarat dengan skandal dan masalah.

Penulis tidak mahu menyentuh mengenai bagaimana Harun dijatuhkan oleh pemimpin Umno sendiri, sehingga dipenjara dan digantikan oleh Hormat.

Yang hendak disentuh ialah MB-MB selepas mereka. Bermula dari Dato' Ahmad Razali Ali (1982-1986), Dato' Muhammad Muhd Taib (1986-1996), Dato' Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Dr Mohamad Khir Toyo (2000-2008).

Keempat mereka diganti dan dijatuhkan, penuh dengan skandal dan penghinaan. Harus diingat yang menjatuhkan mereka adalah manusia-manusia rakus dalam Umno sendiri.

Cuma Khir Toyo sahaja dijatuhkan oleh rakyat dan kemudiannya didakwa. Itupun pendakwaan terhadap Khir dikatakan berpunca dari 'move' orang tertentu dalam Umno.

Untuk nota, semua MB adalah Pengerusi Umno, sekali gus memegang jawatan Pengerusi BN Negeri.

Selepas Dr Mahathir Mohamad ditabalkan menjadi Perdana Menteri, lantas beliau memilih adik iparnya Ahmad Razali sebagai MB. Ahmad Razali tidak ada pengalaman dan tidak terkenal dalam Umno, tetapi diberikan jawatan tinggi kerana dia kroni PM.

Akibat ketidak kemampuan dan kelemahannya, sehingga mendorong Umno-BN Selangor menolaknya, Ahmad Razali dihadkan memerintah hanya sepenggal sahaja.

Kisah Ahmad Razali ini terakam diminda penulis, kerana pada waktu itu, penulis baru memasuki sekolah menengah. Suatu ketika penulis berkunjung ke rumah aruah abang ipar di kawasan penempatan setinggan di Kampung Pandan, kebetulan ia berhampiran dengan sebuah dewan orang ramai.

Pada hari itu berlaku kekecohan dalam mesyuarat Umno. Riuh rendahnya perbalahan Umno waktu itu sehingga mereka berani membaling kerusi ke arah MB Ahmad Razali.


Dr Khir: Peguam negara arah saya diam
Jan 19, 11 3:57pm


Dr Mohd Khir Toyo enggan menjawab sebarang dakwaan mengenai dakwaan pemberian projek bernilai RM273 juta secara runding terus kepada sebuah syarikat ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.

NONE"Saya telah diarah oleh AG (peguam negara) untuk diam (berhubung dakwaan itu)," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin mendakwa beberapa syarikat milik seorang tertuduh dalam kes melibatkan tuduhan rasuah ke Dr Khir didakwa menerima projek lebih RM273 juta dalam tempoh pentadbiran BN.

Pendedahan mengejutkan itu melibatkan lima kontrak yang didakwa telah diberikan secara rundingan terus kepada syarikat-syarikat milik Shamsudin Hayroni.

Sementara itu, menulis di blognya hari ini, Dr Mohd Khir berkata, buat masa ini beliau tidak akan menjawab kenyataan Faekah kerana ia boleh menjadi subjudis kepada kesnya yang akan dibicarakan Jun nanti.

"Ini merupakan kali pertama saya tidak menjawab sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada saya kerana telah terikat dengan kes mahkamah dan mengelakkan sebarang keadaan yang boleh menjejaskan pembelaan saya," katanya.

faekah husin selangor khir toyo 020810Dr Mohd Khir juga mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti yang didakwa Faekah.

"Jika mahu mencari kebenaran mereka sepatutnya mendedahkan berbulan yang lalu agar saya dapat menjawabnya bukannya sekarang ketika mana mereka tahu saya terpaksa mendiamkan diri," katanya.

"Ini merupakan tindakan bacul dan tidak bermaruah kerajaan negeri Selangor."

Sehubungan itu, ADUN Sungai Panjang itu menyifatkan "serangan" daripada pejabat menteri besar padanya saya kali ini "tidak lebih cuba menunjuk jaguh kepada orang buta."

"Itu sahajalah kemampuan kerajaan yang penuh dengan kacau bilau, pembohongan dan pendustaan," sindirnya lagi dalam artikel berjudul 'Menyerang Si Buta yang Tidak Bertongkat'.


Kisah Ahmad Razali berakhir apabila beliau digantikan oleh Muhammad Taib yang juga terkenal dengan gelaran 'Mike Tyson'. Muhammad Taib bertapak 10 tahun sebagai MB Selangor. Paling lama dan paling hebat.

Hebat sehingga berjaya 'melarikan' anak Sultan Selangor. Hebat kerana membayar wang mut'ah sebanyak 16 juta selepas berpisah. Hebat kerana membawa wang berguni-guni membeli aset di Australia, sehingga ditahan polis Australia.

Sampai sekarang, rakyat Selangor disembunyikan dengan fakta, bagaimana Muhammad Taib boleh jadi begini kaya? Boleh orang-orang Umno jelaskan?

Selepas Muhammad Taib dijatuhkan oleh orang Umno sendiri. Dr Mahathir menaikkan Abu Hassan Omar. Beliau seorang Menteri, lalu diarah beliau letak jawatan Menteri, seorang Adun BN mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada beliau menjadi MB.

Pertamakali dalam sejarah Malaysia, diadakan pilihan raya kecil kerana PM mahu seorang yang hebat menjadi MB Selangor terbaik dari Umno-BN.

Abu Hassan 'ditabal' dengan penuh gemilang sebagai MB. Beliau bukan orang kecil, beliau dihormati oleh golongan istana dan mendapat kepercayaan PM.

Namun tidak sampai sepenggal, beliau tersungkur kerana skandal yang memalukan Umno-BN dan seluruh rakyat Malaysia.

Kehebatan Abu Hassan terserlah sehingga berjaya 'menaji' adik iparnya sendiri. Suatu skandal besar yang memalu dan memualkan seluruh Selangor. Skandal Abu Hassan mula dihebahkan oleh orang-orang Umno melalui media di luar negara, diheboh dan diuar-uarkan sehingga Abu Hassan terpaksa meletakkan jawatan.

Kemudian 'ditabalkan' pula seorang junior dari Sungai Besar. Seorang doktor, anak muda, anak Selangor yang 'pure' keturunan Jawa.

Pelantikan Khir Toyo sebagai MB mengejutkan golongan veteran dalam Umno. Tetapi mungkin PM Mahathir ketika itu mempunyai alasannya yang tersendiri.

Belum setahun Khir menjadi MB, fail mengenai dakwaan dan skandal rasuah beliau sudah diangkat ke pejabat PM.

Sahabat penulis yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, adalah antara orang aktif membongkar ke rasuah Khir Toyo. Namun fail-fail itu didiamkan sahaja oleh PM Mahathir.

Sekarang ini selepas Khir dibuang oleh rakyat dari tampuk kuasa MB. Beliau kini dihadapkan ke mahkamah kerana pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah bernilai jutaan ringgit.

Yang hebatnya, beliau didakwa melakukan kesalahan rasuah di kediaman rasmi MB, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.

Soal beliau salah atau tidak itu kita harus menunggu kes mahkamah selesai. Apa pun Khir Toyo harus menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah berakhir.

Berakhir sebagai bekas MB, bekas Pengerusi Umno, Pengerusi BN, Ketua Bahagian Umno dan beliau mungkin tidak akan dicalonkan semula sebagai calon Adun. Usah harap hendak tanding MT Umno atau Ketua Pemuda.

Mengapa Khir dijatuhkan, siapa yang menjatuhkannya harus dibincang dalam episod yang lain kerana ruang penulis amat terhad.

Cumanya Khir Toyo memalukan Umno kerana beliau kononnya berbesar hati memulangkan pingat 'Dato' Seri' sementara kesnya dibicarakan, sebaliknya pingat itu digantung oleh pihak Istana.

Penggantungan itu tidak harus dipertikaikan kerana ia memang amalan Istana Selangor bagi pemegang pingat dan darjah kebesaran negeri yang didakwa terbabit dalam kes mahkamah atau jenayah. Perkata ini pernah berlaku kepada bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai suatu ketika dahulu.

Cumanya, perkara yang hendak ditekankan penulis di sini ialah, sejak hampir tiga dekad atau 26 tahun (1982 - 2008), Umno-BN 'menyajikan' rakyat Selangor dengan penjawat jawatan MB yang penuh dengan skandal, jijik, perasuah beserta moral yang amat rendah.

Yang amat memalukan ialah, mereka semua adalah MB dari Umno, orang Melayu-Islam. Maknanya selama ini Umno menawarkan MB 'kepala ikan busuk' yang hampir-hampir menjadi bangkai.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan, jelas selama ini rakyat Selangor tertipu dengan imej baik, imej hebat pemimpin Umno, walhal semuanya hampas belaka.

Jika selama 26 tahun MB 'ikan berkepala busuk' disajikan oleh Umno-BN kepada rakyat Selangor, maka apakah jaminan mereka boleh menawarkan calon baru, yang bersih, yang boleh menyaingi Dato' MB Abdul Khalid Ibrahim?

Pada penulis, apa yang MB Khalid lakukan selama tiga tahun ini, jauh lebih baik dari empat MB Umno-BN sebelum ini.

Oleh itu, Umno Selangor usahlah berangan-angan hendak merampas kerajaan negeri, kerana rakyat tahu yang bakal anda pilih menjadi MB nanti adalah hampas-hampas yang akan menjadi bangkai bernyawa sahaja!





Zakat: Selangor kutip RM336.8 juta tahun lepas
Azmi Yusof

SHAH ALAM, 19 Jan: Selangor berjaya mengutip sebanyak RM336.8 juta zakat pada tahun lepas, berbanding RM283.7 juta pada 2009.

“Jumlah ini meningkat sebanyak 19 peratus dengan perbezaan sebanyak RM53.1 juta,” ujar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2010 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM319.5 juta dikutip daripada zakat harta manakala RM17.3 juta daripada zakat fitrah.

Pada tahun lepas, ujarnya, kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak 20 peratus daripada kutipan pada 2009.

Beliau menambah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengutip zakat harta sebanyak RM267.1 juta pada 2009 berbanding RM319.5 juta tahun lepas.

Menurutnya, jumlah pembayar zakat bagi tahun lepas seramai 167,990 orang iaitu meningkat lapan peratus berbanding 155,300 orang pada tahun sebelumnya.

Mengenai zakat fitrah pula, tambahnya, Masi melalui LZS berjaya mengutip sebanyak RM17.3 juta pada tahun 1431 Hijrah berbanding RM16.6 juta pada tahun sebelumnya.

“Bilangan umat Islam yang membayar zakat fitrah pada tahun lepas ialah seramai 2.5 juta orang,” jelasnya.

Tambahnya, LZS meletakkan sasaran kutipan pada tahun ini sebantak RM350 juta dengan mengambil faktor keadaan ekonomi yang stabil dan kesedaran membayar zakat yang semakin meningkat.



Elak kerja di tempat arak: S'gor peruntuk RM10 juta
Jan 19, 11 2:09pm


Kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membantu umat Islam yang terbabit dengan urusan penjualan arak mencari pekerjaan alternatif, kata exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari.

NONE“Menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, wang tersebut akan digunakan untuk menawarkan mereka latihan keusahawanan dan bantuan modal bagi memulakan perniagaan.

“Antara sektor perniagaan yang ditawarkan bantuan modal adalah kecantikan, jahitan, masakan, membaiki telefon bimbit dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, larangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang menghalang umat Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan arak merupakan satu langkah untuk membendung mereka daripada terjerumus kepada pekerjaan yang tidak halal.

“Enakmen tersebut juga menggesa agar umat Islam supaya memilih pekerjaan yang memberikan rezeki yang lebih berkat.

NONE“Kerajaan negeri merasa simpati kepada umat Islam yang berkerja di premis-premis seperti kilang arak, kelab malam dan premis-premis yang melibatkan arak dalam sektor pekerjaan mereka.

“Justeru, kerajaan negeri telah memperuntukan RM 10 juta untuk membantu mereka untuk memilih pekerjaan alternatif yang lebih lumayan dan berkat,” katanya.

Menurut Yaakob, mereka yang berminat boleh terus ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk memohon bantuan berkenaan.




Mempersiapkan bekalan dalam misi ke Putrjaya

Ahmad Lutfi Othman
Pertemuan eksklusif Perdana Menteri dengan ahli-ahli Parlimen BN beberapa minggu lalu -- yang disifatkan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebagai muhasabah perdana -- menghangatkan lagi teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13. Usia penggal Parlimen masih terlalu muda, belum pun mencecah tiga tahun, namun ia tidak menghalang rakyat berbicara soal pilihan raya segera. Apa pun, saya belum dapat melihat keperluan Najib Razak mencadangkan pembubaran Parlimen.

Saya pernah menghujahkan bahawa Umno-BN begitu memerlukan dana politik yang begitu besar bagi "membeli" undi, dan melicinkan jentera kempennya, sebelum menentukan tarikh PRU13. Usaha mengumpulkan wang berbilion ringgit itu, terutama melalui projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, baru sahaja bermula. Sekurang-kurangnya ia memerlukan masa enam bulan lagi. Lagi pun, seperti ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, rasanya Najib tidak mahu bacaan politiknya terlalu mudah dibaca.

Dalam masa sama, Najib juga tidak dapat menyembunyikan kekhuatirannya terhadap pengaruh Buku Jingga, yang memperincikan janji-janji Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari memerintah, sekiranya dapat menguasai Putrajaya nanti. Sekali lagi, ia suatu promosi percuma yang baik. Sama ada rakyat sangsi dengan tawaran itu, disebabkan terpengaruh dengan sanggahan Najib bukan isu besar. Yang penting, Najib dan BN dalam situasi terpaksa mempertahankan diri, bukan lagi di posisi penyerang, satu kedudukan yang agak lemah bagi sebuah parti pemerintah.


Bagaimanapun, ia tidak bermakna Pakatan Rakyat harus berada dalam kedudukan selesa. Malah, saya agak bimbang, dengan beberapa "pergolakan dalaman" dan masalah antara-parti dalam Pakatan. Seharusnya diberikan prioriti bagi mencari jalan keluar. Sering ditekankan, PRU13 adalah kesempatan memilih kerajaan, bukan sekadar meneguhkan peranan pembangkang sebagai "semak dan imbang". Apa jua keraguan -- biarpun kecil -- terhadap keupayaan dan kemampuan Pakatan mesti dipandang serius dan diperbaiki.

Dalam masa sama, usahlah ghairah berkhayal dengan impian indah ke Putrajaya. Saya dimaklumkan, ramai yang kurang senang dengan pemaparan sepanduk, poster dan kain pemidang, yang seolah-olah menonjolkan "kerakusan" petugas Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya. Ada orang awam yang melahirkan rasa tidak selesa dengan petanda "ketamakan mengejar kuasa" itu.

"Itu 'kan perangai Umno. Bukankah Pakatan ada negeri yang perlu dijaga dengan baik dan ditunjukkan kemampuan berbakti kepada rakyat?" komen seorang pembaca Harakah melalui emel kepada saya. "Memang rakyat resah dengan kenaikan harga barang. Mereka diasak pelbagai masalah harian. Tetapi, soal kita nak tawan Putrajaya tak perlulah heboh-heboh, tak perlulah misalnya dikaitkan ucapan selamat tahun baru pun dengan matlamat politik kita. Nanti orang meluat," tambahnya.

Keputusan PRU12 menunjukkan rakyat tidak dapat menerima sikap angkuh-sombong pemimpin politik. Mereka akan menolak wakil rakyat yang dilihat mementingkan diri. Dalam politik, seringkali persepsi adalah segala-galanya. Justeru, jangan sesekali memberi mesej atau isyarat yang mungkin ditafsirkan rakyat daripada sudut negatif. Sudah ada kritikan terhadap gaya hidup wakil-wakil rakyat Pakatan, yang meninggalkan kesederhanaan dan mula berjinak-jinak dengan kemewahan.

"Di peringkat akar umbi, di kampung-kampung, yang amat memerlukan sokongan orang Melayu bagi mencetuskan perubahan di peringkat pusat, saya tidak nampak kesungguhan petugas PAS untuk mendaftarkan anak-anak muda sebagai pengundi. Ia berbeza dengan gerakerja DAP yang lebih proaktif. Kalau hal paling asas itu pun terabai, usah mimpilah nak tawan Putrajaya," tegur seorang bekas pemimpin pelajar, yang kini menetap di desa kelahirannya, di selatan tanahair.

Saya cuba melihat segala pandangan dan teguran itu daripada sudut positif. Masih ada ruang untuk penambahbaikan baik kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan mahupun wakil-wakil rakyat yang sentiasa diperhatikan. Persiapan menghadapi PRU13 tidak sepatutnya menonjolkan keghairahan Pakatan terhadap kuasa yang dikejar, tetapi sewajarnya mendekatkan diri dengan rakyat, sehingga denyut nadi kesempitan hidup golongan bawahan dapat dirasai dengan ikhlas.

--------

Tulisan di atas, yang disiarkan pertama kali oleh akhbar Harakah, telah menimbulkan rasa tidak puas pembaca tertentu. Ada yang menyifatkan ia boleh mengelirukan, sekali gus melemahkan semangat untuk orang yang menyertai dan menyokong PAS. Terdapat kritikan yang mengaitkan mood saya menulis dengan keadaan kesihatan saya yang terganggu sejak setahun lalu.

Saya terbuka dengan pandangan berbeda terhadap apa jua tulisan saya, termasuk teguran keras, hatta kecaman sekali pun. Dalam banyak keadaan, perdebatan dan perbahasan menimbulkan hasil yang positif dan memberangsangkan. Kita boleh bertukar-tukar idea, membetulkan sudut pandangan, dan juga mengukuhkan argumen.

Sejak lama, saya membiasakan diri dengan tulisan yang "tidak syok" sendiri. Kalau perlu, saya akan kutip sanggahan atau kritikan daripada pembaca yang sering menghubungi melalui SMS dan juga emel. Tidak semestinya pandangan mereka saya bersetuju sepenuhnya. Dalam politik, persepsi itu begitu penting biarpun ia bukanlah disokong oleh fakta yang mantap. Bagaimana pihak luar atau orang lain melihat kita, khususnya parti politik, cukup mustahak.

Proses pembetulan dan penambahbaikkan boleh dilakukan apabila kita menekuni kritikan atau luahan rasa tidak puas hati itu. Mengakui kelemahan dan kealpaan bukannya satu keaiban yang perlu dielakkan. Memang masyarakat perlu diyakinkan bahawa kita mampu membawa perubahan dan bersedia untuk melakukan transformasi menyeluruh selepas Umno-BN ternyata gagal memikul amanah rakyat. Korupsi dan salahguna kuasa sudah membarah dengan dahsyat dalam parti lawan. Malaysia perlu diselamatkan segera.

Soalnya, apakah apabila saya mengingatkan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat agar jangan terlalu overconfident, maka ia menyebabkan rakyat yang mula menaruh keyakinan kepada kita akan beralih angin dan kembali menyokong BN? Semasa mengutip teguran pembaca yang memberikan ingatan itu, saya membayangkan Pakatan masih mempunyai ruang secukupnya untuk meneliti setiap sudut yang dilihat lemah dan ia tidaklah sampai ke peringkat boleh membawa fitnah atau berupaya menikam belakang sendiri.

Rakyat kini bukannya mudah untuk dikelirukan. Mereka lebih prihatin, berhati-hati dan sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan maklumat. Hanya dengan beberapa pandangan dalaman yang bersifat kritikal tidak akan mampu menggoyah sokongan mereka. Sikap fanatik terhadap mana-mana parti politik semakin berkurangan. Penyokong tegar kian berkurangan. Rakyat semakin kritis dan bersikap terbuka.

Dalam masa sama, aktivis Pakatan terutama di peringkat akar umbi perlu disedarkan tentang tugas dan peranan besar mereka. Ada ruang dalam bidang tugas masing-masing yang perlu diperkukuhkan. Justeru, saya rasa bertanggungjawab untuk mengangkat suara-suara yang memperingatkan tentang sisi-sisi negatif keghairahan melampau untuk menawan Putrajaya. Mereka menggesa agar persiapan asas pilihan raya, seperti proses pendaftaran pemilih, diberikan tumpuan. Malah ada yang menyebut, dalam aspek ini, gerakerja PAS jauh tertinggal berbanding DAP.

Saya memang lebih cenderung untuk melihat sesuatu isu itu dengan membayangkan situasi paling buruk yang bakal menimpa agar langkah pencegahan dapat difikirkan daripada awal.

Apabila PAS menang besar pada 1999, dibantu isu pemecatan Anwar Ibrahim dan protes terbuka terhadap Dr Mahathir Mohamad, ramai menjangkakan Umno yang terpukul hebat dengan keputusan pilihan raya umum ke-10 itu pasti tidak akan duduk diam. Dengan kuasa masih di tangan, Umno boleh merencanakan pelbagai tipu-muslihat dan konspirasi besar bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Tentulah naif sekali untuk kita mengharapkan Umno -- yang diumpamakan bagai lembu nazak ketika itu -- hanya menunggu takdir untuk ditelan sejarah. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan antara senjata utamanya. Melalui kaedah gerrymandering, terutama di negeri Kedah, kawasan Parlimen dilakar sesuka hati Umno, sebagai jalan pintas menawan semula kerusi-kerusi yang dimiliki PAS, seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah.

Tidak cukup sekadar itu, "pengundi hantu" turut dipersiapkan, khususnya untuk merebut kembali Terenganu. Ramai nama-nama tidak dikenali muncul dalam senarai daftar pemilih di banyak kawasan. Malang sekali apabila taktik yang sepatutnya sudah dapat diduga itu seperti langsung tidak terhidu. Ada kenalan yang rapat dengan Umno Terengganu sudahpun memberi peringatan, sehingga ada berani meramalkan: "Keputusan pilihan raya kali ini terbalik. Kalau pada 1999, Barisan Alternatif menang semua Parlimen dan 28 kerusi Dun, kali ini akan bertukar, BN pula akan menang seperti itu."

Semasa saya balik kampung di Kubang Pasu menjelang PRU 2004, ramai penggerak PAS bersungut tentang senarai pengundi yang begitu meragukan. Bukannya tanda menyerah kalah, tetapi ada di antara mereka yang cukup bimbang jika situasi itu tidak dapat dibetulkan, maka kemungkinan besar PAS boleh kalah banyak kerusi, Dun dan Parlimen. Sebelum dibubarkan, jumlah Adun pembangkang cukup untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Apabila saya menyinggung hal berkenaan dalam Harakah, saya dikritik hebat. Ada yang marah-marah, ya, bagaimana editor Harakah boleh menulis hal seumpama itu. Niat saya adalah untuk membunyikan loceng amaran terakhir. Saya kira ruang dan peluang masih terbuka, walaupun agak terbatas, untuk melakukan perubahan dan pembetulan. Tetapi, tidak ramai yang menyedarinya.

Oleh itu, seperti yang saya bayangkan dalam mukadimah tulisan asal ini, bahawa tarikh PRU13 mungkin masih relatif jauh. Maka, berusahalah untuk mendekati rakyat sejujurnya, dalamilah penderitaan dan kepayahan hidup mereka, tampilkan kesederhanaan walaupun sudah memerintah kerajaan negeri, betulkan apa-apa yang masih boleh dibetulkan, perketatkan apa-apa yang longgar...





Wartawan digantung tetap pikul 'tugasan'
Regina Lee
Jan 19, 11
7:04pm


Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari tetap meneruskan tugas biasanya sebagai wartawan walaupun digantung kerja oleh majikannya Utusan Melayu (M) Bhd.

NONEMengotakan janjinya untuk menjalankan 'tugasan', beliau pagi tadi muncul di majlis pelancararan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) di Pusat Konvensyen Sime Darby di ibu negara.

Di balik bisik-bisik tentang kehadirannya (penganjur menyebut namanya dalam kenyataan akhbar), Hata duduk di penjuru dewan bersama pemberita lain yang bertugas.

Beliau seperti biasa kelihatan mesra dan riang dengan teman seanggkatan. Sebahagian dari mereka menepuk bahunya tanda sokongan pada pemimpin kesatuan itu.

"Tugas mesti dilakukan. Wartawan tidak pernah berhenti daripada kerjanya," kata wartawan kanan Utusan Malaysia itu kepada Malaysiakini.

NONEWalaupun 'tugasan' itu yang pertama baginya selepas digantung minggu lalu, ia bukan yang terakhir baginya.

"Saya kini boleh hadir ke mana-mana tugasan sekarang. Saya mahu buat liputan program perdana menteri. Kenapa tidak? Saya akan daftar sebagai wartawan Utusan," katanya.

Dalam organisasi berita, biasanya editor akan memberikan tugas kepada pemberian untuk liputan acara atau sidang media. Tetapi dalam kes Hata, beliau memberikan tugas kepada dirinya sendiri.

Jika tiada tugasan, Hata akan kembali duduk di kerusi dan meja plastik kecil di depan ibu pejabat Utusan yang dianggap sebagai 'pejabat' barunya.

Walaupun menghadapi masalah dengan majikannya, Hata juga menunjukkan bahawa hatinya begitu dekat dengan dunia kewartawanan.

"Kewartawanan ada dalam hari saya. Saya akan terus menjadi wartawan. Tetapi mungkin juga, dalam masa sama menjual nasi lemak atau buka kafe dengan makanan tertentu," katanya.




Kerajaan negeri junjung kasih pada Sultan
Harakahdaily

SHAH ALAM, 19 Jan: Kerajaan negeri menyembah ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana telah memberi perkenan untuk diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.

“Kami menghargai keprihatinan DYMM Sultan kepada usaha Kerajaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu: Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Dalam perjumpaan mingguan saya dengan DYMM Sultan pagi tadi, saya telah mempersembahkan Rang Undang-Undang yang boleh mengembalikan kuasa pelantikan kepada Sultan dan Menteri Besar,” ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Jelasnya, pindaan yang kerajaan negeri akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut: “Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”

Katanya, pindaan itu jelas bertujuan mengembalikan prosedur untuk pelantikan tiga pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ianya dipinda pada 1993.

“Rang undang-undang ini kita hebahkan kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang dan dikupas secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan,” katanya.

Ini, ujarnya selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.


Lantikan SUK: Pakatan belum berniat demo
Fadzly Esa
Jan 19, 11
4:31pm
Kongsi 5
Pakatan Rakyat belum berniat untuk menganjurkan demonstrasi bagi menuntut kerajaan pusat mengembalikan kuasa lantikan setiausaha kerajaan (SUK) negeri kepada menteri besar Selangor.

"Tetapi nampak kita nak bawak ke situ kita tiada hasrat, pasal kita hormat konsep federalisme, "katanya ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut Khalid, Pakatan mengambil pendekatan sewajarnya terlebih dahulu dengan mengajak pemimpin BN hadir ke persidangan khas DUN negeri pada 24 Januari ini kerana tidak mahu dilabelkan sebagai antiinstitusi raja.

NONE"Pakatan termasuk DAP bukan antiinstitusi raja Melayu. Kita tak ambil kesempatan melobi, beri imbuhan dan tak guna kuasa untuk pusatkan lantikan kepada menteri besar," katanya kepada wartawan di pejabatnya Shah Alam, pagi tadi.

Isnin ini, dewan akan membincangkan cadangan pindaan dalam Perkara 52, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut:

"Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi setiausaha kerajaan, penasihat undang-undang negeri dan pegawai kewangan negeri.

"Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat menteri besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

azlanMenurut Khalid, kalau dahulu hanya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberi kuasa lantikan, kali ini biarlah menteri besar sendiri melantiknya dengan perkenan Sultan.

"Ingin saya tekankan, persidangan dewan khas ini kita bukan nak rombak, tukar dan beri kuasa sepenuhnya pada menteri besar," tegasnya.

Sehubungan itu, Khalid berkata, kesemua ADUN BN digesa hadir ke sidang DUN tergempar Isnin ini sebagai tanda hormat dan taat setia kepada Sultan Selangor.

Angggota biro politik PAS itu berkata, kehadiran mereka adalah wajib kerana sidang itu telah diperkenan oleh Sultan Selangor.

"Saya menyeru semua ADUN BN supaya tidak memboikot sidang DUN ini dan saya seru mereka meyokong usaha mengembalikan kuasa sultan ini," katanya.



Itulah Umno, jenazah terbiar rai pemimpin
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Para pengundi di kawasan Dun Tenang, khasnya dan penduduk di seluruh negara amnya, boleh melihat sendiri betapa Umno tidak mementingkan agama dalam sistem pentadbirannya dan dalam kehidupan di dunia ini.

Bukti terbaru yang paling jelas boleh dilihat terhadap sikap mereka yang tidak langsung mengambil peduli tentang tanggungjawab fardu kifayah, apabila Setiausaha Umno di kawasan Dun Tenang meninggal dunia semalam dibiarkan begitu sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh (gambar) berkata, kejadian itu merupakan satu petunjuk Allah kepada orang ramai betapa Umno hanya bercakap mementingkan agama, tetapi tidak melaksanakannya.

Menurut beliau, semua itu amat berbeza dengan PAS yang sememangnya mementingkan agama dalam segala hal, sehingga ternyata PASlah yang ternyata lebih terkehadapan dalam aspek agama dalam semua bidang berbanding Umno.

"Pada hal, urusan menguruskan kematian seseorang itu adalah satu perkara penting. Ia termasuk dalam fardu kifayah. Jika tiada orang yang melakukannya, seluruh penduduk di kawasan itu menanggung dosanya.

"Jadi kalaulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tak pergi menjenguk jenazah itu, apa halnya pula dengan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno lain di kawasan itu sehinggakan mereka juga turut meninggalkan jenazah itu begitu sahaja?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian menyedihkan apabila para petugas PAS dari Pahang terpaksa mengurus dan mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia semalam, apabila imam yang bertugas terpaksa meraikan kedatangan Perdana Menteri ke tanah rancangan Felda itu.

Harakahdaily hari ini melaporkan, Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

"Jenazah itu berada di masjid sejak jam 10 pagi. Ia tidak diziarahi apatah lagi disembahyangkan oleh Presiden Umno yang datang ke situ," kata seorang saksi kejadian itu pagi semalam.

Allahyarham Abdul Latif adalah bekas MP Tentera Darat dan pegawai Pertahanan Awam adalah pewaris Felda. Beliau meningalkan empat anak dan seorang cucu di samping balunya, Puan Maimunah Hindun.

"Suasana pilu dan terkilan menyelubungi keluarga Allahyarham apabila imam bertugas ada bersama meraikan Najib dan akhirnya jenazah disolatkan oleh sukarelawan PAS daripada Pahang selepas Zohor di masjid itu.

"Inilah akhlak kepimpinan Umno kepada ahlinya sendiri," kata saksi itu ketika menceritakan peristiwa ini.

Najib tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi Selasa semalam. Sejak jam 10 pagi, jenazah Allahyarham ditempatkan di masjid itu untuk membolehkan Perdana Menteri menziarahinya kalau-kalau sempat.

Najib telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.

Walaupun beliau dan rombongannya melintasi masjid Felda Tenang, tempat jenazah itu ditempatkan sejak jam 10 pagi, ia tidak langsung dipeduli, jauh sekali untuk disolatkan, dijenguk pun tidak sempat.

Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, yang diumumkan calon PAS dalam pilihan raya kecil Tenang ini telah menziarahi jenazah Allahyarham jam 1.30 tengahari sebaik sahaja selesai solat Zohor.

Beliau mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan meminta semua keluarganya bersabar dengan dugaan dari Allah itu.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Dr Sheikh Ibrahim berkata, beliau difahamkan, kejadian tersebut berlaku kerana kesemua pemimpin Umno di kawasan itu dipaksa hadir ke majlis PM sehingga menyebabkan mereka tidak berani mengingkari arahan itu.

"Itulah bezanya mereka dengan para pemimpin dan ahli-ahli PAS. Bagi ahli PAS, kalau pun kepimpinan tinggi datang ke kawasan mereka, tidak semua mereka akan hadir ke majlis itu sekiranya berlaku kematian di kawasan itu.

"Sebaliknya, sebahagiannya pasti akan menguruskan jenazah sehingga selesai acara pengkebumian, manakala sebahagiannya akan berada bersama pemimpin.

"Tetapi bagi para pemimpin dan ahli-ahli Umno, mereka ternyata berbeza dengan para pemimpin dan ahli-ahli PAS. Mereka sanggup meninggalkan jenazah begitu sahaja kerana lebih mengutamakan pemimpin mereka. Patutkah terjadi perkara seperti itu dalam kehidupan ini?" katanya.

Namun katanya, mujur juga para petugas PAS dari Pahang berada di kawasan itu. Dengan itu, dapatlah mereka membantu menguruskan jenazah terbabit seperti yang dituntut dalam Islam.



Tiada ulasan: