Sabtu, 29 Januari 2011

BERJUANG SERTA BERJIHAD KERANA ALLLAH SEMATA2...NI SAJA ADA NILAI DISISI ALLAH SWT.....

Israiliyyat: Penceramah mencemarkan al-Quran

Melihat sesetengah penceramah televesyen atau di luar televesyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun semata. Apabila ianya dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.

Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara israiliyyat.

Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada generasi lalu, ia adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya tidak dibantah. “Orang tua selalu betul”. Hari ini barangkali tidak. Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’. Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah. Bahkan dianggap berdosa jika bantah dan melawan. Maka segala perbuatan ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘tuhan’ yang tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ itu syirik, namun orang kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas. Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’francais’ oleh yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus. Generasi baru sudah mula celik.

Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas. Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa. Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung. Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ boleh bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu dipertikaikan.

Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”

Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”.( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.) Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305)

Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi ini terapung-apung di angkasa.

Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak menolak bentuk-bentuk khurafat.

Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan kisah-kisah lucu atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31)

Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang merosakkan agama.

Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran. Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman ALLAH: (Surah Luqman: 12) Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada ALLAH), kerana sesungguhnya ALLAH Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang ALLAH berikan. Selepas ayat ini, ALLAH menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya. Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat. Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)

Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika ALLAH telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan seorang hamba ALLAH yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.

Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran. Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85)

Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.

Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam.( Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41).

Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.



Apabila Yang Simple Jadi Bersimpul


Bertahun dahulu, di tempat kerja saya yang lama, saya bertanya seorang teman, "Jam berapa engkau sampai ke pejabat?"

Jawabnya, "Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan..."

Keterangannya saya pintas dengan soalan, "Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai ke pejabat. Itu aje!"

Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Mungkin, orang begini biasa menjawab soalan yang pendek dengan jawapan yang panjang kerana inginkan markah yang lebih ketika menjawab soalan peperiksaan. Tetapi, ia juga menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.

Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut? Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.

Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan. Dalam sesebuah majlis, kita yang memberi ucapan akan menyebut kesemua mereka yang kita anggap sebagai hadirin yang penting.

Kalau boleh, kesemua mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk dan Datin disebut. Masalahnya, bila kita menyebut nama dan gelaran seseorang, kita khuatir mengecilkan hati orang yang tidak kita sebut. Akhirnya kita menyebut nama kesemua dif kehormat yang ada di pentas. Sepuluh minit terbuang begitu sahaja.

Walhal, jika kita memulakan ucapan dengan menyebut nama pengerusi majlis dan merangkumkan kesemua para dif kehormat sebagai para hadirin, itu sudah memadai dan tiada nama sesiapa pun yang tidak disebut atau tersasul gelarannya. Dengan cara itu, kita telah menjimatkan sepuluh minit dan tumpuan para hadirin dapat dikekalkan.

Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.

Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.

Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya. Misalnya, buku 'Memotivasi Keintelektualan Fikrah Remaja,' boleh sahaja menjadi 'Membina Remaja Berfikir.' Sekali lagi kita menyukarkan sesuatu yang seharusnya mudah.

Seolah-olah, para intelektual di bidang masing-masing mahu mengeksklusifkan ilmu di kalangan mereka sahaja. Sehinggakan orang biasa yang ingin memahami sesuatu bidang itu bingung dan lambat memahami sesuatu bidang itu. Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.

Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri (yang sebenarnya hanya kertas tisu), beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang (yang mana hadiahnya juga sepaket tisu). Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.

Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.

Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.

Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Norden Mohamed merupakan Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian terbitan Grup Media Karangkraf. Sebelum ini beliau pernah menjadi Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd. dan Pengurus Sumber Manusia Grup Media Karangkraf. Graduan UiTM dalam bidang Senireka Perusahaan ini pernah menyumbang bakti sebagai Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau menulis di maafcakap.blogspot.com.



Impian Rakyat Adalah Melihat Keadilan Dan Kesaksamaan

Rakyat bukan mengharapkan dari pemimpin untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri seperti mana peraga fesyen mempamerkan gaya dan keranggian pakaian mereka di atas pentas. Apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin melakukan keadilan dan kesaksamaan.

Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil amanah terhadap harta negara. Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan.

Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terselah keadilannya. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Maka kita tidak peliklah mengapa umat ini sepanjang sejarahnya amat merindui dan mencintai pemerintahan al-khulafa al-rasyidin terutama Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. ini. Beliau pernah berkata kepada gabenor yang dilantiknya iaitu Abu Musa al-‘Asy’ari: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang dari orang ramai, melainkan Allah menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban antara mereka”.

Justeru itulah al-‘Adl wa al-Musawah (keadilan dan kesaksamaan) adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam.

Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam mernguruskan harta rakyat mereka.

Lihatlah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, ketika beliau berkuasa sebagai khalifah lalu berselisih dengan seorang yahudi yang merupakan rakyat negaranya mengenai kuda yahudi berkenaan yang hendak dijual. ‘Umar mencubanya sehingga cacat. Umar berkata kepada yahudi berkenaan: “Carilah seorang yang dapat memutuskan kes ini”.

Kata yahudi berkenaan: “Aku redha dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim. Shuraih yang merupakan seorang muslim yang bertakwa lagi bijak dalam penghakiman. Apabila diangkat kes ini kepada Shuraih dia berkata kepada Umar yang merupakan seorang khalifah yang berkuasa: “Engkau telah mengambilnya dalam keadaan elok, maka engkaulah penjaminnya maka hendaklah engkau pulangkan semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat”.

Kerana kes itu, Shuraih dilantik menjadi hakim besar oleh ‘Umar. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq’in, 1/109). Ini keadilan dan keinsafan. Seseorang yang adil lagi berkelayakan itu ditabalkan, bukan dipecat. Sekalipun keadilan itu terpaksa dirasai kepedihannya oleh pemerintah sendiri.

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Sabda Nabi s.a.w pula: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi tuhan. Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia.

Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan berbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya. Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetapi tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak.

Dengarlah apa yang Allah ingatkan Nabi Daud tentang kekuasaan. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu” (Surah Sad: 26)

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperolehi oleh rakyat biasa.

Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: :(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar merasa aman, terbela dan tidak dianayai. Namun, jika pemerintah mula campur tangan dalam sistem pelaksanaan qada’ (kehakiman) maka keadilan akan menjadi mangsa.

Inilah yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq apabila memegang tampok kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.

Saya kurang setuju jika seseorang memikirkan yang dikatakan kerajaan Islam yang adil itu perkara pertama yang terbayang dalam kepalanya ialah memotong tangan pencuri. Walaupun nas itu ada dalam al-Quran, namun ianya hanya jalan ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman, bukan teras asas pemerintahan.

Teras pemerintahan Islam adalah seperti firman Allah: (maksudnya): :”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Jelas dari ayat ini menegakkan keadilan di kalangan manusia, memberikan hak kepada yang berhak, amanah terhadap kuasa dan harta yang dipertanggungjawabkan, selalu mengingati Allah dalam melaksanakan kepimpinan adalah asas kerajaan Islam yang adil. Mengapakah kita suka menonjolkan hukum, bukan menonjolkan kerahmatan sistem Islam itu terlebih dahulu?.

Saya amat hiba apabila membaca kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan terngamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculan setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya.

Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).

Betapalah saya hiba menterjemahkan perkataan Umar bin Abd al-Aziz ketika menulis rencana ini. Terasa kerinduan yang amat dalam untuk melihat dan memiliki kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan seperti itu. Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah seperti. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua.

Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak-saudara, atau sahabat setia. Bayangkanlah ungkapan ‘Umar dengan sesetengah manusia yang ketika rakyatnya sedang menderita, atau ditimpa kesusahan, dia masih lagi punyai masa bersuka ria bersama keluarga.

Jika pemimpin menangis mengenangkan nasib mereka di akhirat. Mudah-mudahan rakyat mereka akan tersenyum gembira di dunia dan mereka pula tidak akan menangis lagi pada hari akhirat kelak. Namun, jika pemimpin asyik ketawa besar di dunia sedangkan rakyat ramai yang menangis derita, pemimpin jenis ini dibimbangi akan menangis besar di hari akhirat.

Wahai para pemimpin, kami sekelian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

Tiada ulasan: