SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal mendapatkan majoriti hasil undian belah bahagi pada pukul 6.25 petang Isnin bagi meminda Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
Dengan undi 34 bersetuju dan 20 sebaliknya kerajaan negeri tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meneruskan bacaan kali kedua dan ketiga.
Seperti dijangka, kerajaan Selangor gagal meminda undang-undang tubuh negeri bagi memberikan kuasa kepada Sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan tertinggi negeri.
Selepas pengundian dijalankan, hanya 34 ADUN mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 lagi mengundi menentangnya.
Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi (sokongan 2/3) bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.
BN mempunyai 21 kerusi yang mana kesemuanya sepakat menolak cadangan menteri besar itu.
Berikutan kegagalan untuk mendapatkan undi majoriti dua pertiga itu, mesyuarat pada hari ini ditamatkan dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya sidang dewan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Sementera itu, Bernama melaporkan, dalam sidang akhbar selepas itu, Speaker Datuk Teng Chang Khim, yang juga Adun Sungai Pinang berkata speaker dalam keadaan biasa tidak mengundi tetapi undi speaker dikira sekiranya jumlah antara penyokong dan pembangkang seri.
"Timbalan Speaker Haniza Mohamed Talha (PKR-Taman Medan) turut mengundi. Majoriti dua pertiga ialah sebanyak 37 kerusi dari kesemua 56 kerusi di DUN Selangor," katanya.
Sebanyak lima wakil rakyat penyokong kerajaan membahaskan rang undang-undang itu iaitu Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PKR-Hulu Klang), Shuhaimie Shafiei (PKR-Sri Muda), Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dan M. Manoharan (DAP-Kota Alam Shah).
Di pihak pembangkang pula perbahasan dimulakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang), Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dan Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang).
ADUN Sungai Panjang Dr Mohamad Khir Toyo yang menghadapi tuduhan rasuah dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dilantik Datuk Mohamad Khusrin Munawi turut hadir.
Perkembangan terdahulu:
ADUN dan para wartawan tiba awal hari ini untuk menghadiri sidang DUN Selangor yang akan membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.
Dua trak anggota polis kelihatan berada di pintu masuk DUN manakala satu trak lagi berada berhampiran Wisma MBSA, ekoran kemungkinan berlakunya protes pagi ini.
Kedua-dua pintu masuk dan keluar DUN dibuka separuh, dengan ruang yang mencukupi untuk dilalui sebuah kereta.
Sidang DUN dijadual bermula jam 10 pagi di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang meminda Undang-undang Tubuh Negeri tersebut.
Cadangan pindaan itu dibuat ekoran tindakan kerajaan pusat melantik bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri yang baru.
Kerajaan Selangor membantah keras pelantikan tersebut dan menuduh Putrajaya mengetepikan kuasa negeri, apabila melantik Khusrin tanpa berbincang dengan menter besar.
Sultan Selangor bagaimanapun memperkenankan pelantikan Khusrin yang mengangkat sumpah pasa 5 Januari lalu.
Beliau berkata pihaknya sedang menimbang kemungkinan untuk membolehkan Khusrin mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan majlis exco negeri, yang merupakan prasyarat terakhir sebelum bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu, rasmi menjadi setiausaha kerajaan negeri.
Bagaimanapun, kata Khalid, isu tersebut akan dibincangkan dalam satu mesyuarat malam ini, selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau berkata, satu perbincangan akan diadakan ekoran perbahasan di DUN hari ini kerana banyak perkara yang dibangkitkan oleh wakil rakyat Pakatan dan BN.
Khalid memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar sebelum menggulung perkara-perkara yang dibangkitkan sewaktu perbahasan mengenai cadangan pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri hari ini.
Ketika ditanya sama ada Khusrin - yang mempunyai sejarah hubungan kurang baik dengan Khalid dan pentadbirannya - bersedia bekerja dengan kerajaan negeri, menteri besar berkata, beliau yakin Khusrin adalah "seorang profesional, (dan) ia akan melakukan yang terbaik dan dia akan bekerja dengan rakyat."
Khalid bagaimanapun mengelak menjawab soalan sama ada kerajaan Pakatan menerima kesahihan pelantikan Khusrin itu, dengan berkata ia "bergantung kepada prestasi (nya)."
Beliau juga mengelak soalan sama ada mereka mempunyai tempoh masa untuk membuat keputusan berhubung status Khusrin, dengan berkata "... setiap minggu kita ada mesyuarat exco."VIDEO | 12.20 min
Ini kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau bercadang membawa isu pindaan berkenaan untuk semakan kehakiman.
"Saya mahu buat perubahan. Perubahan ini perlu. Saya tahu politik banyak permainan tapi pengurusan (berlainan), kalau tidak, tak dapat ukur kecekapan (pentadbiran)," katanya semasa menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan pada sidang itu.
Khalid berkata beliau akan pergi ke seluruh Selangor termasuk di kawasan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan isu pindaan itu yang mana kerajaan pakatan pembangkang sudah berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan tapi gagal.
"Saya berharap kita bersama-sama belajar. Mengapa kita tak buat perubahan. Kita jaga Selangor, kita wakil rakyat. Takkanlah kita nak benarkan (kerajaan) persekutuan halang pembangunan (negeri ini), katanya.
Beliau berkata apa yang berlaku hari ini adalah sejarah dan akan direkodkan dalam hansard Dewan dan akan dikenang dan boleh dibuat rujukan supaya masa depan negara kita akan lebih baik dan terbuka.
"Kepada Anggota Dewan yang tak bersetuju dengan pindaan, tak mengapa, tak ada masalah.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN BN yang turut hadir dan mengambil bahagian dalam perbahasan," katanya.
- Bernama
SPR enggan guna dakwat, kekal undi pos
Nazri Abdullah |
PUTRAJAYA, 24 Jan: Pakatan Rakyat melahirkan rasa kesal ekoran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap dengan pendirian tidak mempertimbang cadangan mereka bagi penggunaan dakwat kekal. SPR juga turut menolak desakan menghapuskan undi pos yang didakwa tidak telus. Bagaimanapun jelas Ahli MPP (Ex-Officio) PKR, Sivarasa Rasiah, SPR mempertimbang untuk menambah baik sistem tersebut. "Bagi pendaftaran automatik, SPR juga memberitahu tidak akan dilaksanakan kerana perlu kepada pindaan perlembagaan," katanya lagi. Selain pendaftaran automatik, turut menuntut pindaan perlembagaan adalah cadangan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Sehubungan itu, perkara tersebut perlu dibawa ke Dewan Rakyat jika mahu dilaksanakan. Pakatan Rakyat turut yakin bahawa tiada persempadan semula akan dibuat jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan tahun ini. Keyakinan itu dilontarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selepas pertemuan antara pemimpin Pakatan Rakyat dengan SPR di sini, hari ini. Menurut penjelasan SPR katanya, kajian persempadanan semula hanya akan bermula 21 Mac tahun ini dan mengambil masa dua tahun sebelum dilaksanakan. "Jadi kita boleh buat kesimpulan, kalau pilihan raya dibuat 2011, maka tiada persempadanan semula," katanya pada sidang media di lobi pejabat suruhanjaya itu. Turut serta pada pertemuan dengan anggota tertinggi SPR itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abd Halim Abd Rahman, Setiausaha Biro Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong, Ketua DAPSY, Antony Loke dan dua wakil dari sekretariat Pakatan Rakyat. Pertemuan kira-kira satu jam setengah itu antara lain turut membincangkan isu proxy voting, undi pos kepada askar wataniah, penggunaan dakwat kekal, pendaftaran automatik serta umur mengundi 18 tahun. "Pengerusi SPR memberi jaminan bahawa proxy voting tidak akan dilaksana," tambahnya lagi. Berhubung dakwaan askar wataniah akan mengundi secara pos pula beliau berkata, SPR turut memberi jaminan perkara itu tidak berlaku. "SPR juga memberi jaminan askar wataniah tidak termasuk dalam undi pos," katanya. Sebelum ini jelasnya, terdapat kebimbangan berhubung status undi askar wataniah sama ada mengundi sebagai pengundi pos atau biasa. Seperkara lagi yang turut dibincangkan adalah cadangan tempoh kempen selama 21 hari. Menurut Liew, jumlah tersebut adalah separuh daripada amalan pada pilihan raya umum pertama tahun 1959 yang menetapkan tempoh kempen sebanyak 42 hari. BN Akan Menang Lebih Besar Dalam PRU 13 - Presiden MCA KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 dengan majoriti lebih besar, tetapi sukar untuk meramalkan sama ada ia majoriti mudah atau dua pertiga, kata presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Beliau berkata pengundi Malaysia diramal akan mengundi BN lagi setelah mencuba pembangkang pada 2008. Ramalan ini berdasarkan perkembangan terbaru politik tanah air, kata Chua dalam syarahannya berjudul "Barisan Nasional dan Pilihan Raya Umum ke-13 di Malaysia" pada siri Kuliah Unggul S.Rajaratnam School of International Studies (RSIS) di Singapura , Isnin. Teks syarahannya difaks ke Bernama. Chua berkata pengundi Malaysia kini lebih bijak dalam membuat pilihan. "Selepas mencuba 'Pakatan' atau gabungan pembangkang pada 2008, ramai memilih mempertaruhkan Barisan dalam suasana politik yang jelas kini. "Saya yakin majoriti Barisan yang konsisten akan kekal konsisten dalam PRU ke-13 dan selepasnya. Perdana Menteri "baru" (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) berusaha meraih kemenangannya yang pertama dalam pilihan raya umum, tetapi segala petanda membayangkan bahawa BN akan terus berkuasa selepas PRU ke-13," kata beliau. Bagaimanapun, beliau berkata cakap-cakap mengenai PRU akan diadakan tahun ini hanyalah spekulasi oleh kerana penggal sekarang hanya berakhir pada 2013. Beliau meramalkan dalam PRU akan datang, pembangkang mungkin kekal berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang tetapi terpaksa bekerja keras di Kedah, Perak dan Selangor sementara Johor, Sabah dan Sarawak akan terus menjadi "simpanan tetap" BN yang memerintah, yang merangkumi hampir 35 peratus dari jumlah kerusi parlimen. "Barisan akan memenangi lebih banyak kerusi parlimen dan peratusan undi popular yang lebih besar. Sementara itu, lebih banyak percakaran dijangka berlaku di kalangan parti Pakatan. "Di negeri-negeri Pakatan berkuasa, kekuatan dewan negerinya mungkin menurun," kata beliau. Chua berkata lebih banyak langkah ke arah isu-isu keprihatinan awam yang merentasi sempadan kaum dan agama akan dilakukan, sementara kempen politik akan lebih berasaskan isu, daripada mirip kepada sesuatu yang memaparkan identiti kaum. "Kualiti urus tadbir menjadi kritikal. Pilihan antara BN dan Pakatan Rakyat berpusat pada sistem penyampaian, prospek pertumbuhan dan keselamatan awam," katanya. - BERNAMA |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan