Jumaat, 14 Januari 2011

SEMUA PARTI INGIN KHIDMAT YANG BAIK....CUMA ADAKAH KHIDMAT TUK KRONI2 ...KAWAN2 ...SAUDARA MARA....SEPARTI SAJA..NI YANG TAK BETUL...

Mustafa wakili Pakatan jumpa SPR bincang p'raya adil
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Pakatan Rakyat diwakili Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan isu pilihan raya yang bebas dan adil.

Demikian kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Pertemuan itu dicadangkan pada 19 Januari ini, tiga hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Tenang.

"Datuk Mustafa Ali mewakili ketiga-tiga parti telah menghubungi SPR untuk mengadakan pertemuan dengan kadar segera dalam isu menyentuh pilihan raya Tenang dan juga prosedur dan keprihatinan kita dalam isu SPR," kata Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menurut Anwar, mesyuarat juga meminta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan pengarah pilihan raya ketiga-tiga parti untuk mengatur pertemuan dengan Bersih bagi membincangkan isu-isu percanggahan peraturan pilihan raya.

"Kita juga minta YB Azmin Ali untuk menyegerakan mesyuarat bersama pengarah-pengarah pilihan raya untuk mengadakan pertemuan khas dengan Bersih supaya isu-isu yang menyentuh pilihan raya diteliti dengan bukti-bukti percanggahan peraturan dan semangat pilihan raya bebas," katanya.

Sementara itu, Mustafa menambah, pertemuan dengan SPR itu bagi memastikan pilihan raya dapat berjalan dengan adil tanpa sebarang penipuan.

"Menjadi kelaziman apabila kita menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, kita mengadakan pertemuan dengan SPR kerana yang penting bagi kita ialah pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

Beliau juga berkata, pertemuan itu bukan sahaja untuk membincangkan prosedur pilihan raya di Tenang tetapi turut akan membincangkan pilihan raya Dun Sarawak yang dijangka berlangsung April ini.

"Hari ini saya telah menghubungi SPR untuk adakan perjumpaan, bukan sahaja membincangkan soal pilihan raya di Tenang tapi juga pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Kita nak tahu adakah satu peraturan lain kerana kadang-kadang dalam menghadapi pilihan raya ada tambahan-tambahan peraturan.

"Kita cadangkan tarikh pada 19 Januari tapi kita masih menunggu jawapan SPR dan ketiga-tiga parti akan hantar wakil," katanya.



Forum bedah 'Menuju PAS Baru' 16 Jan
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Ekoran wujud perdebatan tentang kandungan buku ‘Menuju PAS Baru’ tulisan AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof, badan bukan kerajaan, NGO Ilham Centre akan menganjurkan forum mendiskusikan buku tersebut.

Forum tersebut akan dibuat pada 16 Januari ini bermula jam 8.00 malam, bertempat di Auditorium Dewan Millenium, Kepala Batas Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutifnya, Muhamad Hisommudin Bakar memberitahu, penganjuran forum tersebut adalah sebahagian dari program Ilham Centre dalam usaha membentuk budaya politik baru.

"Kami nyatakan dan tegaskan bahawa forum dan diskusi buku ‘Menuju PAS Baru’ adalah salah satu daripada inisiatif dan di antara usaha proaktif kami bagi menjayakan hasrat murni ini.

"Ilham Centre hanya menyediakan ruang, pentas dan tidak lebih daripada sekadar berperanan sebagai media perantara kepada semua pihak untuk berdiskusi secara terbuka," katanya.

Penganjuran forum tersebut ujarnya, diadakan bertepatan dengan kelahiran buku tersebut yang hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak.

Tambahnya, ianya juga telah mendapat persetujuan daripada penulisnya iaitu Dr. Mujahid Yusof yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Selain Mujahid, forum tersebut akan menampilkan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

"Sebagai makluman, Ilham Centre akan mengadakan siri forum sebanyak 3 kali di 3 zon berbeza iaitu utara, timur dan tengah bermula di Pulau Pinang pada 16 Januari akan datang disusuli pula di Terengganu atau Kelantan pada 13 Februari dan kemuncaknya di Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun ini," katanya.




Umno bawa 'pelakon veteran' serang Anwar

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim menyifatkan Umno BN semakin terdesak apabila menampilkan kembali Ummi Hafilda Ali untuk menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalil yang menyifatkan Ummi sebagai 'pelakon vateran' Umno bagaimanapun yakin dia tidak akan berjaya mengheret Anwar ke penjara.

"BN semakin terdesak dengan cuba mendatangkan pelakon veteran Ummi Hafilda untuk serang Datuk Seri Anwar.

"Saya yakin lakonan Ummi Hafilda tidak akan menjadi untuk sekian kalinya," kata beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Menurutnya, tindakan menampilkan kembali Ummi ke medan fitnah ini menunjukkan Umno BN tidak yakin dengan dakwaan liwat membabitkan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

"Bagi saya, mereka sudah tak yakin dengan budak Saiful untuk penjarakan semula Datuk Seri Anwar.

"Sekarang pelakon veteran Ummi dibawa kembali dengan cerita yang diketawakan oleh rakyat Malaysia termasuk budak-budak tadika," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan Umno BN menggunakan serangan peribadi untuk memusnahkan Pakatan rakyat membuktikan mereka sudah kehabisan idea dan takut untuk berdepan isu nasional yang melibatkan rakyat.

"Kalaulah agenda menyerang peribadi dalam Pakatan nampaknya ke depan , itulah tanda BN sudah kehabisan modal.

"Maknanya BN sudah sangat celaru dan tidak berani berdepan dengan isu nasional yang lebih penting," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan Ummi yang menunggu sehingga sepuluh tahun sebelum menampilkan 'bukti baru' mendakwa penglibatan Anwar dalam skandal seks.

"Lucunya Ummi dah tunggu sepuluh tahun baru dedah bukti baru, nampak sangat ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Semalam, Ummi dalam sidang medianya nekad akan memulakan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan dirinya ditahan pada 1997.

Ummi sebelum ini juga merupakan saksi utama dalam kes perbicaraan liwat membabitkan Anwar pada tahun 1998.



Akhbar tiruan Selangorkini akan muncul
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Selangorkini, akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor kini terbukti berkesan apabila ada pihak dikatakan sedang berusaha untuk menerbitkan akhbar yang seumpama itu.

Menurut sumber, akhbar tiruan itu dinamakan Selangor Terkini dan edisi pertamanya bakal terbit mulai Januari ini.

Selangor Kini yang diterbitkan oleh pejabat MB Selangor yang mula diterbitkan pada hujung 2008 kini dicetak 120,000 naskah dua kali sebulan.

Ia diedarkan secara percuma melalui pejabat Adun Pakatan Rakyat di seluruh negeri itu disamping diletakkan juga di tempat-tempat lain yang dikunjungi oleh orang ramai di negeri itu.

Melihat kepada kandungan edisi pertamanya, penerbit akhbar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar kerana gambar beliau ada pada muka depan dan belakang akhbar ini.

Pihak kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak membantah penerbitan begini kerana ia menunjukkan media mereka berkesan tetapi penggunaan logo rasmi kerajaan negeri adalah tidak betul


Tiada ulasan: