Jumaat, 28 Januari 2011

KITA HIDUP UNTUK BERIBADAH...APA SAJA KITA BERJUANG BIAR DASAR AKIDAH..PILIH BULU HINGGA HUKUM ALLAH PILIH YG SUKA..REJAM TAK TERPILIH..INGATLAH MATI

Ummi Hafilda sedia dedah 'kes dahsyat'

KUALA LUMPUR – Ummi Hafilda Ali mendakwa akan mendedahkan satu kes ‘dahsyat’ melibatkan abang kandungnya, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun beliau mendakwa akan berbincang terlebih dahulu perkara itu dengan polis sebelum mendedahkannya.

“Saya ada satu kes yang amat ngeri melibatkan Azmin dan Anwar untuk didedahkan tetapi saya perlu merujuk terlebih dahulu dengan polis sebelum mendedahkannya.

“Jadi tidak perlu saya sebutkan di sini kerana saya akan berbuat demikian sekiranya mendapat keizinan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, untuk bertemu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.
Ummi Hafilda datang untuk membuat laporan polis serta memberi keterangan melibatkan Azmin dan Anwar, semalam.

Bagaimanapun, laporan polis tidak dapat dibuat kerana Mohd Bakri mem-punyai urusan yang tidak dapat dielakkan dan berkemungkinan pertemuan mereka akan diadakan dalam masa terdekat.

Ummi Hafilda berkata, laporan polis dibuat untuk membersihkan namanya yang didakwa tercemar akibat difitnah.

Beliau mendakwa difitnah mempunyai skandal seks dengan individu tertentu sehingga menyebabkan maruahnya tercemar.

Menurutnya, fitnah itu dipercayai adalah konspirasi terhadapnya setelah dia tidak mahu bersekongkol untuk menarik balik surat salah laku Anwar yang ditulisnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sudah sampai masanya saya membersihkan nama yang tercemar dan saya mahu keadilan ditegakkan,” katanya.

Ummi Hafilda berkata, dia ada dokumen berupa bukti untuk diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.



Nora Danish punca Fasha, Jejai putus

“Terus terang saya katakan, sejak dahulu lagi, saya kurang senang dengan pilihan Fasha. Seperti ada yang tidak kena. Tetapi, Fasha tekad dengan pilihannya,” kata ibu Fasha Sandha, Hatijah Teh Man berhubung episod cinta duka melanda anak kesayangannya itu.

Sebagai ibu dan orang paling rapat dengan Fasha, Hatijah yang membahasakan dirinya sebagai Mama turut bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas anak kesayangannya itu.

“Ternyata sangkaan Mama benar. Akhirnya hubungan mereka berakhir. Bukan gembira, tetapi mungkin jalan terbaik untuk Fasha.

“Sebagai ibu, Mama hanya boleh beri nasihat dan hanya doa yang terbaik untuk Fasha,” katanya.

Tanpa berselindung, Hatijah mendakwa Nora Danish adalah punca Fasha dan Jejai putus.

“Mama tahu, sepanjang percintaan mereka, bekas isterinya (Nora Danish) tidak puas hati dengan Fasha. Mama ada terima SMS daripada Jejai sebelum dia berangkat ke Jepun. Sejak awal, Jejai bertegas dia tidak akan ke sana.

“Sedih apabila mengenangkan nasib anak sendiri. Tetapi, Mama tahu Fasha kuat semangat. Walaupun suka mengambil sikap berdiam diri, tetapi Fasha tidak mudah patah semangat.

“Mama harap apa yang berlaku akan ada hikmah terbaik untuk Fasha. Mama harap Fasha akan dapat seseorang yang boleh memberi didikan agama dan membimbingnya,” katanya.



Fasha tunjuk bukti!

Berang dengan kenyataan Nora di sebuah akhbar tabloid, Fasha tampil mendedahkan bukti menerusi twitternya.

Pelakon jelita itu menjelaskan hubungannya dengan Jejai, masih seperti biasa sehingga 18 Januari lalu sekali gus menyangkal dakwaan Nora yang hubungan mereka sudah berakhir dua bulan lalu.

Fasha turut mendedahkan beberapa pesanan SMS dan BBM antara mereka berdua ketika Jejai dan keluarganya bercuti ke Jepun.

Antara kata-katanya di dalam laman sosial itu berbunyi; “I’m tired. Now I dah prove that kenyataan I that I break up on the 18th. So tak perlu kita bercakap pasal ni lagi. So I juga dah besertakan bukti. Terlalu banyak sangat bukti in my phone, kalau nak lampirkan semua, sebulan pun tak habis. Harap spekulasi ni berhenti di sini.”

Pada masa sama, Fasha seakan melepas geram terhadap bekas isteri Jejai itu dengan mendakwa Nora membuat kenyataan tanpa usul periksa melalui twitter.

Pun begitu, pelakon drama Chinta itu tidak mahu ditemu bual kerana tidak mahu terus tertekan dengan kisah peribadinya.



Bukan salah saya: Nora

Sementara itu, Nora Danish enggan namanya dikaitkan dalam isu perpisahan antara Fasha dan Jejai.

“Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai hal ini kerana ia tidak ada kaitan dengan saya,” katanya.

Nora berkata, dia tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku antara Fasha dan bekas suaminya itu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai hubungan mereka berdua. Cukuplah sampai di sini nama saya dikaitkan. Saya tidak mahu dikatakan sebagai punca.

“Saya tidak pernah ambil tahu mengenai mereka dan jangan ada pihak membuat tuduhan terhadap saya.

“Biar saya dengan kehidupan saya dan mereka dengan hal mereka,” katanya yang sebelum ini bercuti dengan keluarga Jejai, di Jepun.

Terdahulu, Fasha turut dikatakan menjadi punca penceraian antara Nora dan Jejai.

Kini, Nora pula dikatakan menjadi punca perpisahan antara Fasha dan bekas suaminya.



Menyamar presiden burukkan BN

LABIS - Parti Makkal Sakti Malaysia hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa ada individu menyamar sebagai presiden parti itu dan menyokong serta berkempen bagi pihak pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Presidennya, RS Thanenthiran berkata, individu berkenaan memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) sedangkan Parti Makkal Sakti Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada BN.

"Saya buat laporan supaya polis mengambil tindakan tegas kepada pengkhianat ini yang sengaja mengelirukan rakyat khususnya di Tenang," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Labis, di sini.

Thanenthiran berkata, tindakan individu berkenaan cuba menggunakan populariti parti bagi memancing undi terutama kaum India di kawasan Labis supaya mengundi calon Pas, Normala Sudirman juga disiarkan dalam akhbar beberapa hari lalu.- Bernama



Jangan jadi api dalam sekam

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penjawat awam di negeri ini tidak menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang mahu menjatuhkan institusi kerajaan.

Menurut Ahmad, mereka yang berkhidmat dengan sektor tersebut tidak patut memburukkan kerajaan atau membocorkan rahsia sulit hanya semata-mata menjadi penyokong parti pembangkang.

“Patut mereka melihat yang memerintah sekarang ini iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN), dia tidak boleh hentam kerajaan. Dia (sokong) politik lain, dia nak sabotaj kita pula.

“Buat kerja tidak betul, bocorkan rahsia kerajaan. Macam laporan audit, macam mana pembangkang dapat laporan awal. Laporan awal kita tidak boleh sahkan lagi..saya dapat yang sudah dibukukan, ini tidak betul,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas Bicara Eksekutif bersama beliau di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad bertegas, sekiranya mana-mana pihak merasakan sudah tidak sesuai bekerja di institusi kerajaan, mereka dinasihatkan meletak jawatan.

“Ada pegawai kerajaan yang bocor maklumat pada pembangkang, itu tidak betul, jadi macam dedalu, mula-mula tumpang sahaja. Kalau dia rasa tidak sesuai dengan jiwa dia, dia berhentilah.

“Kita tidak boleh ada orang berasingan. Jika kayuh satu perahu, orang lain kayuh ke depan, dia kayuh ke belakang, maknanya berpusing di situ sahajalah.

“Kakitangan kerajaan tidak boleh bersikap demikian, (lebih baik) letak jawatan (dan) jangan jadi macam anai-anai yang merosakkan dan mahu meruntuhkan bangunan,” katanya.



Tidak sempat naik pelamin

KLANG - Hajat seorang penunggang motosikal untuk melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila maut selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang gadis berusia 19 tahun di Jalan Johan Setia, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Mohd Irwan Che Noor, 31, pekerja sub kontraktor pemasangan Streamyx (TM) yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Jalan Kebun selepas selesai memasang streamyx di rumah pelanggan meninggal dunia dalam keadaan ngeri.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, berdasarkan siasatan mendapati, pemandu Proton Waja yang datang dari arah Jalan Kebun cuba memotong sebuah kenderaan lain bagaimanapun tidak perasan dengan kehadiran mangsa yang datang dari arah bertentangan memandangkan keadaan jalan yang gelap.

“Mangsa yang berasal dari Jerantut, Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke bahu jalan sementara pemandu kereta mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, ibu kepada arwah Irwan, Saadiah Ibrahim, 51, kesal kerana dia tidak dapat melihat anaknya itu melangsungkan perkahwinan pada 14 Mac ini.

“Hasrat makcik nak lihat arwah bersanding di pelamin tidak jadi kenyataan. Kali terakhir kami berjumpa minggu lalu ketika dia pulang ke kediaman kami di Felda Gelanggi 4, Jerantut bersama tunangnya untuk mengisi borang perkahwinan,” katanya.

Dalam pada itu, abang mangsa yang ditemui di tempat kejadian, Mohd Azwardy, 32, berkata, semua barang perkahwinan adik sudah dibeli termasuk kad jemputan cuma ia belum diedarkan.

“Sebelum ini arwah ada mengadu terpaksa melaksanakan kerja pada waktu malam memandangkan kesemua pelanggan berada di rumah pada waktu terbabit.

“Bagaimanapun saya selalu berpesan padanya agar sentiasa berhati-hati menunggang motosikal namun apa yang tidak dijangka akhirnya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.


Wajar wujud Baby Hatch


SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan perlu mewujudkan Perlindungan Bayi Tidak Diingini atau Baby Hatch bagi mengatasi gejala buang bayi di negeri ini.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Riduan berkata, usaha mewujudkan Baby Hatch wajar kerana ia menjadi tempat perlindungan bayi yang tidak bersalah dan boleh menjamin masa depan bayi terbabit.

“Bukanlah untuk menggalakkan zina tetapi kita tidak boleh membiarkan bayi yang dilahirkan ini dibuang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi yang ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, semalam.

Menurutnya, gejala pembuangan bayi kini sudah semakin teruk dan hampir setiap hari berita pembuangan bayi dipaparkan di media.

“Masyarakat harus bersama berganding bahu mencegah penyakit sosial ini termasuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya.



Ibu tunggal hidup ketakutan

MASJID TANAH - Seorang ibu tunggal beranak dua, hidup dalam ketakutan apabila seorang ahli jawatankuasa di kawasan tempat tinggalnya itu datang menyergah ke rumahnya kira-kira jam 1.30 petang, Jumaat lalu.

Zainah Mohd, 52, (bukan nama sebenar) berkata, dia yang berada dalam keadaan tidak sihat, terkejut apabila jawatan kuasa itu yang datang bersama rakannya, menengkingnya secara tiba-tiba.

Menurutnya, dia datang bersama dua lagi rakannya dan tidak pasti apa tujuannya datang.

“Bila saya buka pintu dan bersemuka dengannya, tiba-tiba dia meninggikan suara, menengking saya sambil menghentak tangga rumah saya serta mempersoalkan halal dan haram kerja menoreh yang saya lakukan.

“Dengan gaya bercekak pinggang dan menjegilkan mata ke arah saya, tanpa bertanya apa-apa terus menuduh saya melulu begitu, buat saya terkejut. Selama ni saya menyara anak dengan menoreh getah, tak pernah timbul sebarang masalah,” katanya.

Zainah berkata, dia tidak pasti kenapa tiba-tiba jawatankuasa itu tergamak memfitnahnya makan wang haram.

Menurutnya, dia bertindak menghubungi kakaknya dan memintanya datang kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini ke atas anaknya yang berumur 13 dan 11 tahun yang juga ada di rumah ketika itu.

“Saya maklumkan pada kakak dan meminta dia datang sebab saya dah betul-betul lemah nak melawan jawatankuasa ini, kemudian kakak kata, dia suruh seorang anak saudaranya datang. Jawatankuasa itu cabut lari sebaik mendengar nama anak saudaranya itu,” katanya.

Zainah berkata, ini bukan kali pertama dia berkelakuan sedemikian dan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah atas dasar keselamatannya sekeluarga.



Serbu ketika asyik mengurut

JEMPOL – Seramai 11 wanita warga China dan dua wanita warga Thailand, dipercayai asyik mengurut tubuh pelanggan di tiga premis rumah urut di Pekan Bahau, dekat sini, dikejutkan dengan serbuan Jabatan Imigresen, malam kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan tiga pegawai dan 14 anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri, Ahmad Shakirin Zainal Abidin berkata, semua wanita terbabit ditahan atas kesalahan menggunakan pas lawatan kerja sementara palsu, selain menyalahguna pas lawatan sosial.

“Hasil siasatan terhadap tujuh wanita warga China yang berusia awal 30-an itu mendapati, mereka telah membelanjakan sebanyak RM13,510 untuk mendapatkan pas lawatan kerja sementara palsu.

“Pas palsu mereka disyaki diperoleh melalui orang tengah. Kita akan siasat orang tengah yang terlibat dalam pembuatan pas palsu ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya.

Menurutnya, semua wanita yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 56 (1) (L) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak lebih daripada RM10,000.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 54 tahun dipercayai penjaga rumah urut turut ditahan mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memberi perlindungan kepada warga asing,” katanya.


Doktor gila seks ditangkap

KULIM - Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun bekerja sebagai pembantu klinik membuat laporan di Balai Polis Kulim kelmarin apabila dia dicabul oleh seorang doktor ketika sedang bekerja.

Menurut laporan dibuat mangsa, ia bukan kali pertama doktor itu berkelakuan sedemikian malah kesemua kakitangan yang bekerja di klinik itu pernah dicabul dan mereka sering berhadapan dengan gangguan seksual.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila mangsa sedang menjalankan tugas hariannya di klinik berkenaan.

Doktor terbabit datang ke arahnya lalu memegang buah dada mangsa.

Selain itu, doktor berkenaan pernah sering menyentuh punggung mangsa.

Jurucakap polis berkata, doktor itu juga sering menunjukkan isyarat lucah kepada kakitangannya dengan mengeluarkan lidah.

“Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan suspek yang juga merupakan doktor di klinik dia bekerja. Suspek berusia 46 tahun dan sering melakukan gangguan seksual terhadap pekerjanya.

“Selain mangsa terbabit, kakitangan lain turut menerima nasib sama,” katanya.

Menurutnya, suspek sudah ditangkap dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.



Budak melecur akhirnya meninggal dunia


KANGAR – Selepas melecur teruk akibat tersimbah air panas 24 Januari lalu, seorang kanak-kanak, Noraini Syazwani Abdullah yang berusia dua tahun 11 bulan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang bermain di rumahnya di Simpang Empat dekat sini tiba-tiba menerpa ke arah ibunya yang ketika itu menuang air panas ke dalam balang.

Beliau berkata, akibatnya kejadian itu, air panas tersebut tertumpah mengenai mangsa sehingga menyebabkan mangsa melecur teruk pada bahagian perut hingga lutut.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HFT) di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal kira-kira jam 1.20 awal pagi semalam,” katanya.

Nashir berkata, hasil siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah boleh disabitkan dan kes disifatkan sebagai mati mengejut.



Hidupkan institusi masjid, surau


IPOH - Pihak pentadbiran masjid atau surau harus berusaha menghidupkan institusi itu sebagai pusat komuniti setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti ilmu dan ekonomi serta tidak hanya sebagai tempat beribadat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berkata, aktiviti seperti itu harus menjadi agenda utama di masjid dalam usaha membentuk masyarakat Islam yang kuat dan maju.

Menurutnya, selain tempat beribadat, masjid dan surau boleh berperanan sebagai institusi pendidikan yang unggul selain menjadi tempat pertemuan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Pihak pengurusan seharusnya menaikkan produktiviti masjid dengan pelbagai aktiviti, jangan kita menjadikan masjid sebagai tempat beribadat saja sebaliknya ia perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat.

“Kita perlu berusaha membangunkan masyarakat yang mempunyai sikap ambil peduli dan tahap sosial tinggi berlandaskan syariat Islam,” katanya kepada Sinar Harian ketika program Penanaman Nangka Madu anjuran Jawatankuasa Pertubuhan Peladang Kawasan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rapat Jaya Tambahan.

Hamidah berkata, pada masa sama, peranan jawatankuasa masjid juga perlu ditingkatkan selari dengan peredaran masa terutama dalam mendidik dan memajukan belia Islam.

“Meskipun peranan masjid kini tidak seperti zaman dahulu iaitu sebagai pusat pembangunan modal insan, tetapi ia masih berfungsi dalam membantu meningkatkan keimanan, menambah ilmu pengetahuan dan mengukuhkan lagi perpaduan antara masyarakat.

“Melalui kepelbagaian program yang dianjurkan, ia dapat membantu mengimarah masjid dan hubungan silaturahim itu dapat diperkukuhkan agar masyarakat Islam kini mampu hidup dalam aman damai,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai majlis penyerahan benih nangka madu kepada 300 peserta, pihaknya menyatakan jika peserta rajin melakukan aktiviti bercucuk tanam, dia dapat menikmati sayuran yang segar, selamat, murah dan bersih, malah dapat mengurangkan beban kewangan untuk membeli barangan makanan.

“Kegiatan seperti berkebun di sekitar kawasan rumah digalakkan kerana selain boleh mendatangkan keuntungan, ia boleh menyihatkan tubuh badan kita dengan menggerakkan tulang empat kerat.

“Manfaatkan tanah lapang di kawasan rumah secara optimum untuk tanaman sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan khususnya menyediakan keperluan makanan harian dan usaha ini sekali gus menjadikan halaman rumah sebagai landskap yang indah,” katanya.



Anak tolak debat tertutup



LABIS - Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak cabaran dialog secara tertutup yang dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, dialog tertutup tidak akan membuahkan jalan penyelesaian sebaliknya hanya mengecewakan.

“Cabar, kalau sekadar tertutup tidak perlu... saya boleh telefon dia, kerana saya ada nombor telefon dia.

“Jom kita makan ikan baung di restoran bandar Segamat dan duduk bersembang dengan dia, tak payah bawa wakil 15 orang, cukup dia dan saya.

"Sembang kedai kopi, kena teh... kena nasi, saya boleh sebut apa isunya. Tetapi apa maknanya dialog tertutup dalam keadaan tidak semua isu boleh dibuka," katanya.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Ketua Penerangan Pas Johor berkata, siri dialog secara tertutup ini telah dibuat sejak 15 tahun lalu dengan pelbagai individu tetapi hasilnya tetap sama, sangat mengecewakan.

“Ada rasionalnya debat terbuka dilakukan, supaya warga Felda terutamanya orang muda dapat dengar, boleh muktamadkan kalau beliau berjanji, anak peneroka boleh menjadi saksi.

“Biar anak peneroka jadi saksi dan persoalkan bila perumahan untuk generasi kedua ini, hari ini tahun depan... 10 tahun lagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, biar timbalan menteri itu menjawab secara terbuka dan pihaknya akan pegang janji-janji dikatakan, kerana mereka telah menunggu terlalu lama.

“Saya tunggu sampai esok, sebagaimana debat saya. Kita akan tunggu di mana-mana, hatta di bilik gerakan BN, saya akan datang,” katanya.

“Tetapi sampai 28 Januari ini, sekiranya jawapannya (Ahmad) masih sama, saya akan isytiharkan bahawa Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan penakut dan tidak layak serta tidak berani untuk bertanggungjawab terhadap tanah rancangan Felda,” katanya.


Undi Pas untuk erat perpaduan: Nik Aziz



LABIS – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang perlu memilih calon Pas, Normala Sudirman bagi mengeratkan perpaduan antara orang Islam dan bukan Islam negara ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan pimpinan Pas di negerinya, Kelantan telah melakukan pelbagai kaedah untuk merapatkan jurang antara orang Islam dan orang bukan Islam.

“Bila ada pilihan raya kita perlu pilih (calon), tapi tidak tahu pilih, sekarang kita ada calon Pas.

“Di Kelantan ada orang kata kalau undi Pas, kita akan potong kamu punya. Ini saya panas hati, kita satu bangsa... berasal daripada seorang bapa iaitu (Nabi) Adam kemudian lahir pelbagai bangsa,” katanya malam, kelmarin.

Menteri Besar Kelantan itu mengatakan Kerajaan Kelantan tidak pernah membezakan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Sebagai orang Islam semua tahu di Kelantan kita buat macam-macam untuk satukan rakyat, kita buat masjid di Rantau Panjang tapi bentuk seperti di China dengan tujuan untuk meredakan antara orang Melayu dan orang Cina.

“Tahun lalu kita buat Ekspo Cheng Ho, dia orang China tapi Muslim yang datang (ke Melaka) untuk redakan perasaan orang Melayu dengan orang China dan orang China dengan orang Melayu,” katanya.

Sebelum itu, Normala yang turut memberikan ceramah berkata, sudah tiba masa pengundi di DUN Tenang membuat perubahan besar selepas 53 tahun BN memerintah.

“Sudah tiba masa kita buat perubahan selepas 53 tahun merdeka, kita harus memiliki jiwa yang bersih daripada penjajahan.

“Buatlah satu perubahan dan keazaman demi masa depan, saya percaya pengundi bijak membuat pilihan, pilihlah seorang wakil rakyat yang boleh membawa suara di sidang DUN Johor.

“Saya merayu kepada pengundi untuk buat satu perubahan dan keazaman dalam memilih wakil rakyat,” katanya.



Bantuan kepada mangsa banjir bukan bermotif politik



LABIS – Pemuda UMNO menegaskan sumbangan kepada mangsa banjir penduduk Pekan Air Panas bukan bermotifkan politik untuk meraih undi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sentiasa dilaksanakan secara konsisten untuk mendekati masyarakat dengan lebih dekat.

“Pemuda UMNO sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan sama ada dalam pilihan raya atau sebaliknya di seluruh negara.

“Ini bersesuaian dengan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Pemuda mendekati generasi muda dan masyarakat secara keseluruhannya untuk menyelesaikan perkara berbangkit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pekan Air Panas semalam.

Menurutnya, bantuan barangan keperluan dan sumbangan wang tunai disampaikan kepada 27 mangsa banjir daripada lapan buah keluarga yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Agama Pekan Air Panas.

Bagi mangsa banjir, Abd Rauf Ismail, 50, berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu keluarganya untuk meneruskan hidup.

“Hujan yang tidak berhenti-henti sejak malam kelmarin menyebabkan rumah kami ditenggelami sehingga ke paras lutut dan sesetengah barangan keperluan rumah tidak dapat diselamatkan.

“Sumbangan ini dapat digunakan untuk membaiki dan membeli barangan keperluan rumah yang rosak,” katanya,

Bagi Nurul Asikin Matar, 26, berkata sumbangan tersebut berbaloi kerana banjir datang secara tiba-tiba.

“Rumah saya masih dinaiki air setinggi 0.3 meter dan kemudian bantuan datang untuk membawa kami sekeluarga di pusat penempatan sementara,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir Juliana Ithnin, 30, berkata, banjir kali ini merupakan kedua terburuk semenjak banjir besar melanda Johor pada 2006 lalu.

“Bantuan yang disalurkan amat diperlukan terutama untuk membeli barangan keperluan rumah yang rosak teruk,” katanya.


Wanita bijak pidato jadi tarikan

SHAH ALAM - Taktik terbaru Pakatan Rakyat (PR) ialah menonjolkan pemimpin wanita yang bijak berpidato sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil.

Justeru Barisan Nasional (BN) tidak boleh mengambil mudah kerana calon wanita seperti itu mempunyai kekuatan sendiri meraih undi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim ketika memberi ingatan itu berkata, BN juga perlu menampilkan pemimpin wanita sebegitu dalam pilihan raya umum akan datang.

“BN jangan pandang mudah taktik pembangkang ini kerana boleh mempengaruhi pengundi. Oleh yang demikian BN perlu menggilap Wanita UMNO dan Puteri berpidato untuk menjadi pemimpin yang disegani.

“Biro Latihan perlu melihat perkara ini dan mengambil mereka yang berkelayakan, bagaimanapun jangan lupa diterapkan nilai-nilai Islam ketika berpidato dan menyampaikan perkara yang benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pameran Kebudayaan dan Kesenian Masyarakat Asia Tengah dan sesi dialog di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Isu pemimpin wanita berkebolehan ini timbul apabila Pas meletakkan calon wanitanya, Normala Sudirman yang juga bekas guru yang dilihat boleh berpidato, disukai ramai oleh semua golongan masyarakat.

Mashitah berkata, apa yang dilihat sekarang pembangkang cuba mengetengahkan golongan wanita dalam parti mereka menjadi pemimpin dan sedang dilakukan secara berperingkat, bermula dengan DUN Tenang.

Katanya, BN sebagai parti yang memimpin negara perlu melatih lebih ramai wanita dan generasi pelapis kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan tenaga pengajar.

“Wanita UMNO sentiasa bersedia melatih ahli yang berkebolehan dan begitu juga dalam Puteri dan parti komponen BN.

“Saya yakin Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa bersedia menghadapi situasi sebegini kerana apa yang menjadi perkara utama kepada beliau adalah kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: