BOHONG sememangnya perangai keji. Ia dilarang agama. Mereka yang berbohong juga memiliki salah satu daripada sifat munafik. Tapi nampaknya berbohong kini sudah menjadi resam orang politik. Tak kiralah mereka yang sudah lama berpolitik, baru menceburi alam politik ataupun sedang cuba-cuba menjadi orang politik. Dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang yang sedang berjalan kini, pembohongan juga sudah menjadi 'komoditi politik' paling laku di pasaran. Pihak yang pandai berbohong pula mempunyai kemahiran menuduh lawannya yang bercakap benar sebagai berbohong. Salah satu contoh pembohongan dilakukan anak Presiden MCA sendiri yang kini mewarisi kerusi Parlimen bapanya, Dr Chua Soi Lek yang anti-Islam dan mempunyai masalah moral. Ahli Parlimen Labis itu, Chua Tee Yong @ Chua Jr menuduh calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang pemilik kedai kopi berbangsa Cina kerana menjual arak. Tuduhan Chua Jr itu dilaporkan akhbar China Press. Yakin bahawa Normala tidak mengungkapkan kata-kata itu kepada mana-mana peniaga Cina ketika berkempen, PAS mencabar Chua Jr supaya membuktikan tuduhannya bagi mengelakkan tindakan mahkamah. Chua Jr ketika bercakap kepada sebuah portal berita tetap bertegas dengan kenyataannya itu tetapi enggan menamakan pemilik kedai berkenaan. Bagaimanapun pada petang hari yang sama, beliau dilaporkan The Malaysian Insider sebagai berkata,” Sudah tentu, saya tidak boleh menamakan kedai itu, pemiliknya tidak mahu dikenali”. Namun apabila diasak wartawan Malaysiakini di sebuah majlis ketika kempen pilihan raya kecil Tenang di Labis, Chua Jr menukar pendirian hampir 180 darjah dengan berkata: "Semasa berkempen, ada pengundi tanya sama ada penjualan arak akan terjejas jika calon PAS dipilih, saya jawab mungkin.” Begitulah mudahnya Chua Jr memutarbelitkan kenyataan. Dalam usaha menutup pembohongannya, beliau sanggup lagi berbohong dengan mendakwa kononnya 'mungkin' penjualan arak akan terjejas di Tenang jika calon PAS terpilih sebagai Adun! Mungkin hanya mereka yang benar-benar jahil saja yang terpengaruh dengan dakwaan itu kerana di Kelantan dan Kedah, negeri yang diperintah PAS, kaum Cina bebas menjual dan meminum arak di tempat-tempat yang dilesenkan sebagaimana negeri-negeri lain yang diperintah BN. Bagaimanapun Chua Jr pasti menerima padah. PAS Johor akan memberikan beliau notis saman fitnah jika masih gagal memberikan bukti bagi menyokong tuduhannya itu. Itu cerita ahli politik yang baru berkecimpung dalam arena politik atas bantuan bapanya, Dr Chua Soi Lek. Ada satu lagi insiden pembohongan dalam PRK Tenang. Ia membabitkan orang yang baru hendak berpolitik iaitu calon BN , Mohd Azahar Ibrahim. Ketika berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat, Azhar atau lebih mesra dipanggil 'Tok Ai' didakwa telah secara cuai melelong tanah seorang penduduk tanpa pengetahuan beliau. Tindakannya itu telah menganiayai pemilik tanah tersebut dan menjejaskan individu yang menang dalam lelongan tanah itu. Tok Ai tanpa berfikir panjang telah menafikan maklumat yang diterima PAS dan mendakwa bahawa kes tanah itu 'sudah selesai'. Bagaimanapun PAS melalui Pengarah PRK Dun Tenang, Salahuddin Ayub menyifatkan Tok Ai telah berbohong kerana kes berkenaan hanya akan disebut di Mahkamah Tinggi Muar pada 7 Februari 2011. Pihak yang disenaraikan sebagai defendan ialah Tok Ai sendiri, Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat dan Kerajaan Johor. Nilai tuntutan gantirugi adalah RM1.5 juta sedangkan tanah seluas lapan ekar itu dilelong Tok Ai dengan harga RM70,000. "Kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar (berbohong) kepada para pengundi dan partinya sendiri,” ujar Salahuddin. Menurut Salahuddin, kes ini bukanlah satu serangan peribadi tetapi membabitkan soal reputasi dan intergriti calon. Bagaimana mungkin seorang calon yang senang dan mudah bercakap bohong mampu menjadi wakil rakyat yang baik? Atau adakah mungkin berbohong kini diiktiraf sebagai satu skill atau kemahiran yang perlu ada pada seorang politikus atau ahli politik. Itu jika ahli politik berbohong. Bagaimana pula jika pegawai kerajaan pun berbohong? Tunggu kemunculan siri akan datang...
Kawal internet usaha kerajaan tuntut kuasa mutlak Harakahdaily | Cadangan Kementerian Dalam Negeri meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk dijadikan lebih meluas meliputi internet mendedahkan pemikiran untk mendominasi yang ada pada kerajaan Barisan Nasional. Peraturan-peraturan sedia ada sudah pun menyukarkan pengamal media, dengan permit penerbitan perlu diperbaharui setiap tahun, berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi didasari politik dan kemungkinan permit ditarik pada bila-bila masa. Cadangan yang dikemukakan ini perlu diberikan respons yang sewajarnya daripada PAS dan semua parti Pakatan Rakyat, untuk menunjukkan bahawa kerajaan telah melampai batas apabila berani mengemukakan cadangan seperti itu. Cadangan dikemukakan itu bertentangan sama sekali dengan pendirian Pakatan yang ditegaskan dalam Buku Jingga, iaitu membebas dan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan “memastikan kebebasan internet.” Tidak cukup dengan pelbagai halangan dan pembiayaan gerombolan penulis blog proparti pemerintah, ruang bebas internet pula cuba dikawal. Konteks politik semasa cadangan ini mendedahkan bahawa kerajaan BN berhasrat mengawal media di internet yang selama ini berada di luar capaian mereka, ketika dunia internet semakin menjadi berkesan sebagai alat melawan kerajaan yang zalim. Seperti yang disaksikan dalam kebangkitan-kebangkitan rakyat di Tunisia dan seluruh dunia, Twitter dan Facebook semakin menjadi elemen yang membantu respons rakyat, terutama dalam membantu usaha-usaha mobilisasi. Hal ini sangat jelas sehingga kebangkitan-kebangkitan rakyat kini disebut sebagai “revolusi Twitter” ekoran keberkesanan medium internet tersebut. Mesir, sebuah rejim di Asia Barat yang berdepan protes rakyat ketika ini telah pun mengambil langkah menyekat akses kepada laman Twitter, sebagai langkah mencegah penyebaran maklumat yang tidak berpihak kepadanya. Jelas sekali bahawa usaha mengawal dan menyekat ini hanya dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang mahu mengawal rakyat daripada memperolehi maklumat yang berbeza daripada yang disuapkan oleh media propemerintah. Tambahan pula negara kita sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, yang parti-parti pemerintah telah pun menyatakan tekad untuk mengekalkan penguasaan terhadap Putrajaya “at all costs.” Ini juga memberi gambaran kerajaan yang semakin lemah berdepan dengan maklumat-maklumat yang mampu disampaikan oleh Pakatan dan penyokong-penyokong dalam kalangan rakyat. Sekiranya dilaksanakan, rakyat akan kehilangan satu ruang mendapat maklumat dan percambahan idea yang penting dalam melaksanakan proses-proses demokrasi. Akta mengawal media meliputi internet akan memberikan kerajaan kuasa yang mutlak dalam menangani maklumat dan ini sama sekali tidak boleh dibenarkan. Kerajaan BN telah beberapa kali cuba mengukur respons rakyat dalam usaha menyekat dan mengawal internet. Boleh dijangka nada lain akan timbul selepas respons awal terhadap cadangan itu mula kelihatan. Tetapi tidak mustahil sama sekali usaha ini bukan yang terakhir. Pakatan dan rakyat perlu menunjukkan respons yang cukup kuat bagi menyampaikan pendirian tegas menolak usaha yang didasari ketakutan terhadap suara rakyat itu.
Wawancara mStar dengan Cikgu Mala dan Tok Ai Anak Johor | mStar: Adakah anda mempunyai blog atau akaun laman web sosial seperti Facebook?
Tok Ai: Saya tidak mempunyai blog, tetapi saya mempunyai akaun Facebook untuk berhubung dengan rakan-rakan saya sejak enam bulan yang lalu.
Cikgu Mala: Saya ada laman blog dan akaun Facebook. Saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk mengemaskini medium online ini. Kedua-duanya saya gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat mengenai pandangan serta masalah mereka.
Ulasan : Tok Ai hanya ada facebook, Cikgu Mala ada kedua-duanya, kemas kini pula setiap hari. Toi Ai hanya berhubung dengan kawan-kawan, tapi Cikgu Mala berkomunikasi dengan masyarakat
Pemenang : Cikgu Mala
Mstar: Adakah anda meminati apa-apa cabang seni?
Tok Ai: Kalau menari dengan main alat muzik rasanya tak ada. Tapi kalau menyanyi adalah, saya suka karaoke. Saya suka dengan muzik R&B. (GAMBAR: Azhar kelihatan segan-segan untuk harungi air banjir manakala Cikgu Mala dilihat melakukannya dengan gembira)
Cikgu Mala: Saya tidak pernah belajar bermain apa-apa alat muzik tetapi saya suka dengar muzik nasyid kerana melodi dan liriknya memberi ketenangan kepada saya. Kumpulan nasyid yang saya gemari ialah, In Team dan Hijjaz.
Ulasan : Tok Ai kaki karaoke R&B sedangkan Cikgu Mala minat lagu ketuhanan
Pemenang : Cikgu Mala
Mstar: Adakah anda suka menonton wayang?
Tok Ai: Kadang-kadang, saya suka menonton filem aksi terutamanya Die Hard 3, End of Days dan 2012.
Cikgu Mala: Saya bukan kaki tengok wayang dan saya tak ada filem yang betul-betul saya minati. Ini disebabkan tugas saya sebagai seorang ibu dan sibuk dengan aktiviti parti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk menonton wayang.
Ulasan : Haha Tok Ai kaki wayang sedangkan Cikgu Mala lebih memperuntukkan masa kaki wayang untuk mendidik anak-anak
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Anda suka membaca? Buku apa yang anda gemari?
Tok Ai: Majalah Asia Week, Civil War dan buku berkaitan politik seperti Kronologi Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Obama.
Cikgu Mala: Saya suka baca buku agama dan perjuangan nasionalisme kerana di sini saya mendapat inspirasi untuk amalan kehidupan seharian.
Pemenang : Seri
mStar: Makanan kesukaan anda?
Tok Ai: Ikan baung masak lemak cili api.
Cikgu Mala: Saya suka makan nasi goreng kampung dan ikan siakap masak stim.
Pemenang : Seri
mStar: Apakah yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?
Tok Ai: Saya suka melancong dengan keluarga pada masa lapang. Antara tempat yang pernah saya lawati, Sydney, England, Ireland, Russia, Dhaka, Scotland dan Beijing.
Cikgu Mala: Saya suka membaca buku pada waktu lapang dan saya suka pergi sauna selepas melalui aktviti yang meletihkan. Namun disebabkan oleh jadual yang padat, saya hanya dapat tidur tiga jam sehari dan yang mengejutkan ini tidak langsung memenatkan saya kerana saya sentiasa teruja untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Ulasan : Tok Ai kaki melancong dan bangga tempat-tempat luar negara yang dilawati. Banyak tempat dilawati (duit ambik mana ni), tapi sayang Makkah tiada dalam senarai. Cikgu Mala lebih guna masa terluang untuk aktiviti bermanfaat dan khidmat pada masyarakat
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Sukan apa yang anda gemari?
Tok Ai: Saya suka main golf dengan kawan-kawan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Cikgu Mala: Saya suka bermain bola jaring dan aktif di sekolah. Saya juga suka menyaksikan pelajar saya bermain bola jaring ketika saya menjadi guru.
Ulasan : Golf permainan untuk orang malas dan buncit perut, bukan sukan untuk masyarakat. Tok Ai suka bersama kawan-kawan kaya, Cikgu Mala lebih bersama masyarakat
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Bahasa yang anda kuasai?
Tok Ai: Bahasa Melayu dan Inggeris.
Cikgu Mala: Selain Bahasa Malaysia. Saya boleh berbahasa Inggeris dan cakap bahasa Jawa. Selalunya saya lebih banyak bercakap dalam Bahasa Malaysia.
Ulasan : Jelas Cikgu Mala kuasai 3 bahasa
Pemenang : Cikgu Mala
Mstar: Adakah anda mempunyai nama samaran atau timbangan?
Tok Ai: Arwah ayah saya dulu Ketua Kampung. Ketika saya darjah lima, kawan-kawan dan orang kampung mula panggil saya, ‘Tok Ai’. Gelaran itu dipanggil kerana gabungan nama ayah sebagai ketua kampung, ‘Tok’ dan ‘Ai’ itu merujuk kepada saya sebagai anaknya. Sampai sekarang gelaran itu lekat pada saya.
Cikgu Mala: Teman rapat dan ahli keluarga memanggil saya Nor tetapi sejak saya menjadi cikgu mereka panggil saya Cikgu Mala dan gelaran itu kekal hingga hari ini.
Ulasan : Tok 'dot dot' adalah gelaran kuno untuk golongan atasan, sedangkan cikgu adalah gelaran mulia orang berilmu
Pemenang : Seri
mStar: Binatang peliharaan yang anda sukai?
Tok Ai: Saya tak suka bela haiwan, tapi sejak anak saya suka bela sepasang kura
-kura, ‘Lulu dan Lala’ saya jadi suka kepadanya.
Cikgu Mala: Saya suka haiwan dan saya ada bela kucing namanya ‘Mickey’.
Ulasan : Kucing adalah haiwan yang Rasulullah SAW minta kita sayangi. Juga mencontohi sifat sahabat nabi, Abu Hurayrah. Kura-kura? Heheh, haiwan yang suka mencari kelemahan orang untuk tonjolkan kepadanya!
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Siapakah idola anda?
Tok Ai: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya meminati gaya kepimpinan dan kebolehan beliau mentadbir negara selama lebih 21 tahun.
Cikgu Mala: Idola saya, Nabi Muhammad SAW. Baginda sumber insipirasi kepada saya dan kegigihan, ketabahan serta kepayahan yang dihadapinya merupakan contoh kepada orang Islam.
Ulasan : Allahu Akhbar! Jawapan ini menghurai segala-galanya untuk insan bernama manusia
Pemenang : Cikgu Mala (2 kali menang untuk soalan ni)
Mstar: Pelakon yang anda sukai?
Tok Ai: Kalau artis saya minat pelakon aksi, Steven Seagal.
Cikgu Mala: Saya suka P. Ramlee. Dia seorang legenda dan salah seorang artis tempatan yang paling berbakat kita pernah miliki.
Ulasan : Jelas siapa yang mengagungkan mat saleh kera di hutan dan siapa yang bangga dengan produk tempatan
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Perkara yang anda sukai tentang Malaysia?
Tok Ai: Saya suka tempat-tempat pelancongan menarik yang ada di Malaysia terutamanya taman negara, air terjun, pulau-pulau cantik seperti Pulau Langkawi.
Cikgu Mala: Kepelbagaian budaya, agama serta adat resam yang kita miliki. Kepelbagaian budaya dan masyarakat menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa dan unik untuk dikunjungi.
Ulasan : Jawapan Cikgu Mala sekali lagi menonjolkan ciri-ciri pemimpin kepada mayarakat
Pemenang : Seri
Tenang imbau nostalgia Teluk Pasu Mohd Nasir Awang | Sama ada kemenangan bakal memihak PAS atau sebaliknya pada 30 Januari nanti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, yang kini menghampiri kemuncak, banyak mengingatkan kita kembali kepada pertembungan serupa di Dun Teluk Pasu, Terengganu, lebih dua dekad lalu.
Beberapa juzuk dari senario keseluruhan dan tingkah politik yang berlaku di Tenang sejak hampir seminggu lalu memudahkan sesiapa saja yang pernah terlibat di Teluk Pasu melihat titik persamaan kedua-dua proses demokrasi itu.
Dua episod itu berkongsi latar politik hampir sama. PAS menyertai PRK Teluk Pasu berbekalkan dua kerusi dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7, 1986. Dua kerusi itu ialah Wakaf Mempelam, menerusi Cikgu Mustafa Ali dan Ru Rendang (Tuan Guru Abdul Hadi Awang).
Di Johor kini, PAS menentang Barisan Nasional (BN) di Tenang juga berbekalkan dua kerusi ditawannya dalam PRU ke-12 lalu. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh menang di Dun Sungai Abong, manakala Dr Mohamad Taslim menewaskan BN di Maharani.
Dalam kedua-dua PRK di atas, rekod cemerlang dua Adun sedia ada menjadi pembakar semangat buat PAS meletakkan harapan tinggi mendapatkan kerusi ketiga untuknya. Moral PAS berdepan BN menjadi lebih tinggi bilamana ia tidak bersendirian. PAS menghadapi proses demokrasi itu bersama dokongan rakan-rakan.
Di Teluk Pasu, PAS mendapat kawan baru, iaitu kumpulan Team B Umno diketuai Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Walau pun ketika itu gabungan Angkatan Perpaduan Ummah belum terbentuk, bahkan Parti Semangat 46 juga belum ditubuhkan, kerjasama erat antara PAS dan kumpulan serpihan Umno itu sudah berputik.
Beberapa PRK sebelum Teluk Pasu membenihkan persefahaman antara dua puak yang selama ini berseteru. PRK Parlimen Johor Bahru dan Dun Parit Raja, Johor, masing-masing pada Ogos dan Oktober 1988 meyakinkan PAS bahawa kumpulan Team B telah mengisytiharkan perang terbuka terhadap musuh yang sama, iaitu BN.
Bahkan, jalinan persahabatan antara PAS-Team B Umno itu bertambah mesra dan erat menerusi PRK Parlimen Ampang Jaya, pada Januari 1989. PAS turun secara lebih tersusun dan terbuka membantu Allahyarham Dato’ Harun Idris, calon Bebas yang mewakili kumpulan serpihan Umno itu.
Di saat kerjasama dan persefahaman semakin mengukuh itulah datangnya PRK Teluk Pasu, Jun 1989. Keadaan hampir sama kini terserlah di Tenang. Tidak sukar diakui betapa PAS amat terhutang budi kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat.
Apa pun keputusan bakal berlaku Ahad nanti, kehadiran ratusan jentera kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak syak lagi amat meringankan gerakerja PAS. Bahkan moral PAS amat tinggi apabila beberapa isu dihadapinya turut diperjelas dan dipertahan rakan-rakan itu.
Latarbelakang calon kedua-dua parti di dua PRK itu juga berkongsi persamaan. Di Teluk Pasu, PAS dan BN mempertaruhkan calon berpendidikan agama. PAS menamakan Ustaz Harun Taib, lulusan pengajian syariah Islam dari Timur Tengah. Manakala lawannya dari BN, Haji Abdul Rahman Mohamad juga berkelulusan undang-undang Islam.
Di Tenang pula, kedua-dua calon memiliki latarbelakang khidmat masyarakat yang agak baik mengikut bidang kerjaya masing-masing. Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim adalah bekas Penolong Pegawai Daerah, manakala calon PAS, Puan Normala Sudirman (Cikgu Mala) bukan sahaja dikenali masyarakat sebagai pendidik anak-anak mereka, malah mengembangkan jasa baktinya menerusi jawatan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun berkenaan.
Namun persamaan paling menarik antara Tenang dan Teluk Pasu sudah tentu isu-isu berligar di sekitar kedua-dua PRK ini. Dua isu yang kini kelihatan sedang membelit BN ialah isu salam dan rekod kemasyarakatan calonnya yang disifatkan tidak mesra rakyat.
Jangan lupa isu salam telah cuba dijadikan senjata paling tajam oleh BN di Teluk Pasu. Bersandarkan foto dirakam di pusat penamaan calon, Ustaz Harun difitnah enggan bersalam dengan Abdul Rahman.
Seperti biasa media-media arus perdana talibarut BN memainkan peranan utama memutarbelit fakta dan menyebarluaskan fitnah-fitnah sebegini. Gambar Ustaz Harun berpaling dari Abdul Rahman yang sedang menghulurkan tangan disiarkan media cetak disertakan ‘caption story’ yang amat menjijikkan.
Ia diulas panjang lebar oleh media elektronik buat beberapa hari berikutnya. Rakyat dipaksa percaya kononnya calon PAS menolak salam calon BN. Sekeping gambar disiarkan akhbar itu didakwa membuktikan segalanya.
Lalu isu itu diheret dari perspektif adat budaya masyarakat Melayu. Perbuatan ‘sombong’ Ustaz Harun dikatakan menyalahi tata susila masyarakat. Apatah lagi beliau seorang lulusan agama, yang disifatkan bertindak tidak konsisten dengan ilmu dimilikinya.
Sedangkan keadaan sebenar yang berlaku tidak sedemikian. Namun amat sukar bagi PAS membuktikan sebaliknya, terutama apabila tiada pula wartawan atau penyokong parti yang merakam gambar-gambar sepanjang proses penamaan calon itu, sepertimana sekarang.
Ketika itu akses PAS kepada maklumat dan pertolongan “belakang tabir” dari rakan-rakan media lain juga hampir mustahil.
Allah Ta’ala Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpa disangka gambar yang sangat-sangat dicari PAS itu rupa-rupanya disiarkan sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris edisi ibukota.
Pasukan gerak saraf PAS berjaya mendapatkan keratan akhbar itu. Lalu gambar Ustaz Harun sedang menggenggam erat tangan Haji Abdul Rahman sambil kedua-dua mereka tersenyum lebar memandang ke arah kamera diulangcetak PAS dalam bentuk poster.
“Fitnah Barisan Nasional Terbongkar!”, tulis poster itu. Petang menjelang hari pengundian keesokannya, poster itu disebarluas secara terbuka, termasuk kepada pemandu ratusan kenderaan yang bertali arus melewati kawasan PRK Teluk Pasu.
Ya, sekeping gambar itu memang berjaya membongkar fitnah BN. Tidak syak lagi, isu salam yang pada awal disangka BN boleh menikam PAS kembali memakan diri parti itu.
Di Tenang kini, isu salam juga menjadi topik paling diperkatakan. Calon PAS, Cikgu Mala ditohmah sebagai tidak mesra pengundi apabila dikatakan menolak salam lelaki. Kita dapat lihat ekoran keceluparan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek, yang sengaja memperlekeh hukum Islam itu kini memakan diri BN. Ia juga menjadikan Umno makhluk ‘bisu’ dan meletakkan BN di kedudukan amat defensif.
Menariknya, dalam kedua-dua episod itu ada pemimpin tertinggi BN sudah mencium sesuatu tidak enak sedari awal. Di Teluk Pasu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ketika itu Menteri Besar Terengganu, memberi ingatan kepada jentera kempen partinya agar tidak terlalu ghairah memperbesarkan isu salam itu.
Di Tenang pula kita dengar luahan tidak selesa dalam nada serupa turut diucap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu. Isu salam terbukti tidak menguntungkan BN.
Satu lagi persamaan ialah rekod calon BN yang tidak begitu memihak kepada kepentingan rakyat. Di Teluk Pasu, Abdul Rahman dibuktikan pernah menjatuhkan hukuman kepada seorang ulama ketika berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Besut beberapa tahun sebelum itu.
Beliau memenjarakan ulama itu di atas dakwaan mengajar tanpa tauliah. Walau pun dalam hujah membela Abdul Rahman, para penceramah BN mendakwa perbuatannya itu menepati undang-undang (legally right), bagi rakyat terbanyak tindakan menghukum ulama kerana mengajar agama tetap dianggap perbuatan menyalahi moral (morally wrong).
Kes seakan sama kini menjadi penilaian diri ke atas calon BN di Tenang. Beliau ada rekod keterlibatan dengan kes mahkamah yang membuktikan dia bertindak tidak menepati kehendak rakyat. Mohd Azahar dibuktikan terlibat kes lelongan tanah tanpa kebenaran pemiliknya.
Ya, BN mungkin sehabis daya berhujah apa dibuat calonnya itu ‘legally right’, tetapi rakyat tetap melihatnya sebagai ‘morally wrong’, terutama untuk seorang yang berusaha menjadi pembela kepentingan rakyat.
Tidak syak lagi sebilangan persamaan dicatatkan tadi membantu kita mengimbau episod di manis Teluk Pasu dulu. Beberapa faktor tadi akhirnya membuahkan kejayaan manis untuk PAS. Ustaz Harun berjaya merampas kerusi Dun berkenaan daripada penguasaan BN dengan majoriti 141 undi.
Nostalgia itu sudah tentu akan bertambah indah buat PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekiranya Cikgu Mala juga berjaya mengulangi kejayaan ditempa Ustaz Harun itu, Ahad nanti. Insya Allah hendaknya! alighn |
| | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan