Khamis, 20 Januari 2011

BILA ADA KERAGUAN....ADA PENDEBATAN MAKA PATUT KITA JELASKAN SEBAB2NYA...SOALNYA BUKAN DISINI SAJA..BAHKAN AKHIRAT....

PAS sudah lama iktiraf wanita
Mohd Nasir Awang


Agak tidak kena sekiranya keputusan PAS menamakan seorang wanita sebagai bakal calonnya menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, minggu depan diperbesarkan sebagai bukti pengiktirafan parti Islam itu terhadap kepimpinan wanita.

Walau pun pada zahirnya kenyataan itu seakan satu pujian dan penilaian positif terhadap PAS, ia dibimbangi turut memberi isyarat salah berhubung pendirian sebenar parti itu terhadap kaum Hawa. Ia seolah-olah turut menggambarkan satu keadaan di mana selama ini pengiktirafan sedemikian tidak pernah dibuat parti itu.

Kekeliruan sebegitu tidak syak lagi menyediakan ruang agak selesa untuk parti musuh memanipulasi persepsi masyarakat secara lebih negatif terhadap PAS. Kononnya peranan dan peluang pendukung wanitanya menyerlah ke depan dan ikut memikul tanggungjawab kepimpinan bagaikan tidak pernah wujud, atau amat minima.

Justeru, apabila PAS memilih seorang wanita sebagai bakal calonnya di Tenang, ia seolah-olah satu kejutan atau kelainan yang sangat mencabar tradisi parti itu. Sedangkan kita tahu realitinya tidak sedemikian.

Kekeliruan itu bagaikan sengaja diperbesarkan pihak-pihak tertentu sebaik PAS mengumumkan bakal calonnya, 16 Januari lalu. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan keputusan partinya menamakan seorang guru, Puan Normala Sudirman, 37, untuk berdepan Barisan Nasional (BN).

Sesiapa pun yang mengenali PAS secara dekat tidak sukar mengakui betapa PAS sudah sekian lama mengiktiraf peranan dan kemampuan kalangan wanitanya (diistilahkan ‘muslimat’) di semua peringkat organisasi parti.

Malah, jika dibicarakan secara khusus mengenai pencalonan mereka dalam pilihan raya pun, rekod penglibatan PAS sejak zaman 50-an membuktikan betapa parti itu sejak dulu telah mengetengahkan calon-calon wanita untuk berdepan parti lawan, khususnya Umno.

Perbincangan mengenai hal ini tidak lengkap sekiranya nama Ibu Khadijah Mohd Sidik tidak disebut. Beliau bukan sahaja antara muslimat PAS terawal disenaraikan calon pilihan raya, malah muncul sebagai muslimat PAS pertama memasuki Dewan Rakyat.

Hal itu berlaku pada 1959, iaitu pilihan raya umum pertama selepas negara mencapai kemerdekaan. Khadijah terlibat dalam pertandingan tiga penjuru di Parlimen Dungun, Terengganu.

Wanita berhati waja itu berjaya menumpas lawan dari Perikatan, Mohd Adib Omar dengan majoriti 2,091 undi. Beliau memperolehi 6,249 undi berbanding lawannya, 4,158 undi. Seorang lagi calon, Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis (SF) mendapat hanya 595 undi.

Perlu juga diingat bahawa Khadijah bukan satu-satunya calon wanita dikemukakan PAS dalam pilihan raya itu. Sementara penglibatan dan penonjolannya mendapat perhatian semua pihak, kemunculan seorang lagi calon wanita PAS bagaikan tidak disedari.

PAS turut menamakan Fatimah Bahari sebagai calonnya bagi Dun Terentang, Negri Sembilan. Bagaimana pun, dalam pertandingan empat penjuru itu nasib tidak menyebelahinya. Malah undi diperolehinya amat tidak memberangsangkan berbanding tiga calon lain dari Perikatan, Parti Negara dan Bebas.

Sebagai mengiktiraf peranan dan peluang istimewa yang pernah diberikan PAS terhadap wanita, apa kata kita senaraikan nama-nama mereka yang pernah menjadi calon sebelum ini.

Tradisi itu diteruskan pada 1964. Khadijah yang tidak mempertahankan kerusinya di Dungun mengambil keputusan kembali ke negerinya, Johor. PAS memberi laluan kepadanya bertanding di dua kerusi, Parlimen Johore Timor dan Dun Plentong. Beliau gagal menewaskan lawan.

Dalam pilihan raya sama PAS turut menamakan Siti Fatimah @ Salmah Sheikh Hussain sebagai calonnya di Pulau Pinang. Seperti Khadijah, Salmah juga menggalas dua tugas sekaligus. Beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Seberang Utara dan Dun Muda, tetapi tidak menang.

Salmah juga menjadi calon tunggal muslimat PAS pada 1969. Beliau dipertaruhkan untuk kerusi Parlimen Jitra-Padang Terap. Walau pun tewas, Salmah telah memberikan saingan agak sengit kepada calon Perikatan, Tan Sri Fatimah Hashim. Undi diperolehinya amat memberangsangkan, mengambilkira Fatimah adalah anggota Kabinet wanita pertama negara.

Tradisi menyenaraikan wanita sebagai calon PAS bagaimana pun terhenti selepas itu. Kenapa secara tiba-tiba ia tidak diteruskan?

Keadaan itulah yang sering diputarbelitkan pihak lawan sebagai bukti PAS tidak lagi mengiktiraf keupayaan muslimatnya menggalas tanggungjawab sebagai calon. Sedangkan keputusan tidak menamakan mereka untuk berdepan BN bukannya suatu dasar yang dimuktamadkan. Ia hanyalah satu pemberhentian sementara atau “tawakuf”.

Sepertimana pernah diterangkan para pemimpin tertinggi PAS sebelum ini, pendirian sebegitu terpaksa diambil demi keselamatan dan maruah muslimat sendiri. Punca utama ialah insiden yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1969.

Kita tahu pilihan raya tersebut adalah kemuncak keganasan dan kebinatangan parti pemerintah. Umno secara terbuka mengisytiharkan penubuhan skuad khasnya dinamakan Pemuda Tahan Lasak. Kesamsengan mereka tidak perlu diceritakan lagi.

Tanpa mempedulikan peraturan atau tata susila masyarakat, mereka ini melakukan berbagai tindakan tidak bertamadun, termasuk mengugut, membelasah, mengepung, mensabotaj dan menakutkan para pendukung serta pengundi parti lawan, khususnya PAS.

Ketika itu ada pengundi yang dirampas kad pengenalan, ada jambatan (yang menjadi satu-satunya laluan para pengundi PAS keluar mengundi) dibakar, ada titian dilumur najis, ceramah PAS dibaling telur tembelang, pemimpin PAS dikepung, calon PAS diancam-ugut dan berbagai lagi kerja jahat yang dibuat tanpa selindung.

Kejahatan bersangatan itu meninggalkan kesan amat membimbangkan di kalangan parti lawan, khususnya PAS. Bahawa potensi Umno bertindak di luar kewarasan amat sukar dijangka. Justeru, demi memastikan pertembungan lebih selamat dan selesa, terutama di waktu malam, PAS terpaksa “merehatkan” muslimatnya dari pentas pilihan raya.

Sebab itu kita dapati tiada calon wanita diketengahkan PAS selepas 1969. Mereka hanya muncul semula pada 2004. Barangkali setelah para pemimpin PAS mengambilkira perubahan zaman, terutama “penurunan” tahap kesamsengan politik di kalangan pendukung Umno sendiri.

Ia mungkin bertitik-tolak daripada detik pahit dialami parti itu yang dimalukan rakyat pada pilihan raya 1999. Parti itu ditolak majoriti pengundi Melayu. Keputusan pilihan raya itu sekali gus menjadi kejutan amat menyentap keegoan Umno.

Ia juga mewujudkan keyakinan lebih tinggi di kalangan parti pembangkang. Manakala rakyat terbanyak semakin celik dan membutuhi keadilan berpolitik. Justeru, aspek keselamatan semua pihak bertanding semakin terjamin.

Lalu pada 2004 kita menyaksikan kemunculan semula calon-calon dari muslimat PAS. Untuk kerusi Parlimen, kita ada Siti Nor Abdul Hamid Tuah di Alor Star, Kalthom Othman di Pasir Puteh, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali di Bukit Gantang dan Dr Siti Mariah Mahmud di Kota Raja. Hanya Kalthom diisytiharkan menang, sebelum kemudiannya dibatalkan mahkamah.

Bagi kerusi Dun pula, PAS mengemukakan muslimat di enam kerusi, masing-masing dua di Kedah, satu di Kelantan dan tiga di Selangor. Mereka ialah Dr Rohani Abd Muttalib (Jitra), Ustazah Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan (Lembah Jaya), Mastura Muhamad (Seri Setia) dan Dr Halimah Ali (Selat Kelang). Hanya Rohani yang menang.

Jumlah mereka yang bertanding dan menang sedikit bertambah pada pilihan raya lalu. Muslimat PAS berjaya menawan tiga Parlimen menerusi Siti Zailah Mohd Yusoff di Rantau Panjang, Dr Siti Mariah (Kota Raja) dan Dr Lo’ Lo’ (Titiwangsa).

Manakala di peringkat Dun, mereka menang di empat kerusi, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Kedah dan Selangor. Wan Ubaidah Wan Omar menang di Kijang, Kelantan, bersama Rohani yang mempertahankan Tanjong Mas.

Dr Halimah menawan Selat Kelang, manakala Ustazah Siti Aishah merampas Merbau Pulas. Kepimpinan mereka malah ditagih lebih jauh apabila dilantik menganggotai Exco Kerajaan Negeri masing-masing.

Beberapa tokoh muslimat lain bagaimana pun belum bernasib baik. Mereka ialah Siti Merian Naam (Parlimen Jempol), Dr Rohani (Dun Jitra), Hasnah Hashim (Dun Bayan Lepas), Ustazah Nuridah Salleh (Dun Tahan) dan Ustazah Azizah Khatib Mat (Dun Luit).

Wajar disebutkan juga di sini bahawa kemunculan kali pertama seorang calon yang diiktiraf mewakili Kelab Penyokong PAS adalah dari kalangan wanita. Cik Kumutha Rahman, yang bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat, dianggap mewakili PAS di Dun Tiram, Johor.

Diharap paparan di atas sedikit memperbetulkan tanggapan kita, andai berlaku pemesongan, kononnya PAS selama ini tidak begitu mengiktiraf kebolehan wanita memimpin.


Anwar bertegas mahu debat dengan PM
Jan 20, 11 10:42am

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mahu agensi berita Bernama menarik balik laporan bahawa beliau tidak mahu berbahas secara terbuka dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anwar berkata, beliau memandang serius laporan berkenaan yang didakwa memetik satu kenyataannya di Alor Setar, Kedah semalam.

Dalam laporan itu, Anwar antara lainnya dipetik sebagai berkata bahawa beliau hanya mempelawa perdana menteri untuk mengadakan perbincangan.

Tidak puas hati dengan laporan itu, Anwar meminta agensi berita berkenaan menarik balik laporan tersebut melalui satu kenyataan bertajuk 'Debat Diteruskan, Laporan Bernama Mengelirukan.'

"Saya tegaskan di sini, saya sedikitpun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa perdana menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," kata Anwar lagi.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan biro komunikasi PKR awal pagi ini.



Islam Mementingkan Kasih Sayang

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.

Riwayat at-Tabrani

Huraian:

1. Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim.

2. Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat.

3. Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:

i. Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.

ii. Melalui sentuhan yang lemah lembut.

iii. Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman.

4. Apabila ditinjau tentang kehidupan masyarakat hari ini ternyata punca perpecahan yang berlaku ialah kerana kurangnya semangat kasih sayang dalam pergaulan mereka. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat.


HARUS DIINGAT PUJIAN DAN SENYUMAN DLL...JUGA ADA BATAS....SAPE PATUT ATAU BOLEH DIBERI SENYUM ....PUJIAN DLL....KERANA RAMAI TERSASAR DAN TERKORBAN SEBAB HAL2 DIATAS...SUDAH TENTU TAK BOLEH PADA WANITA BUKAN MUHRAM ATAU SEBALIKNYA....ISLAM ADA BATAS2 DAN GARISAN PANDUANNYA...JANGAN MAIN BELASAH AJE....


Tanpa Ph.D Tidak Bererti Seseorang Tidak Boleh Mengajar Dengan Baik

Assalamualaikum,

TERINGAT saya kepada satu kata-kata Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim di antara pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurut beliau, jika seorang pensyarah itu tidak mempunyai Doktor Falsafah (Ph.D), bukan bermakna seseorang itu tidak boleh mengajar dengan baik.

Adakalanya seorang pensyarah tanpa Ph.D mempunyai mutu pengajaran yg lebih baik di dalam pengajaran berbanding dengan pensyarah yang mempunyai Ph.D.

Saya sesekali tidak pernah dan tidak akan menyanggah kata-kata tersebut. Bahkan saya bersetuju seratus peratus dan kalau saya diberi pilihan pada tahun 1997.

Persoalannya mahu buat Ph.D atau tidak? saya mungkin memilih tidak, kerana terlalu banyak yang perlu dikorbankan.

Sebagai contoh, suami terpaksa bercuti tanpa gaji selama 3 tahun dan anak sulung pula ketinggalan dalam pelajaran selama 3 tahun. (kerana polisi waktu itu mewajibkan Ph.D dari universiti di luar negara)

Tetapi untuk mereka yang memilih untuk menjadi pensyarah universiti terutamanya di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), perkara ini menjadi satu kewajiban.

Tanpa Ph.D, mereka boleh diminta supaya berhenti atau memilih kerjaya lain. Oleh kerana itu setiap pensyarah universiti perlu menyambung pelajaran ke tahap Ph.D, walaupun ada diantara mereka yang berat hati untuk berbuat demikian.

Namun tidak dinafikan terdapat juga pensyarah yang memang bercita-cita menyambung pelajaran ke tahap doktor falsafah kerana mereka memang mempunyai minat untuk menyambung pelajaran dan cinta kepada pelajaran.

Bagaimanapun, jika hanya ingin mengejar sekeping kertas kerana inginkan gelaran 'doktor' pada pangkal nama hingga ada yang menipu dengan membeli gelaran tersebut, atau mengupah orang lain untuk membuat kajian dan menulis tesis, perjuangan itu tidak mempunyai makna.

Bagi saya, jika seseorang itu ingin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, biarlah niatnya ikhlas kerana mencari ilmu dan bukan kerana gelaran yang bakal diterima serta mengharapkan orang lain lebih hormat pada mereka.

Bagi saya, jika ada pihak yang berfikir dengan mempunyai gelaran doktor boleh memberikan kemewahan kepada mereka, saya rasa mereka telah tersimpang jauh dari matlamat sebenar.

Melalui pengalaman, saya pernah dijemput sebanyak tiga kali menjadi ahli panel di dalam perbincangan di dua buah stesyen televisyen (isu Aids, poligami dan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tetapi tidak pernah diberi sebarang hononarium kecuali secawan teh dan sekeping kuih.

Kenalan saya pernah berkata, "Rugilah macam tu, Fauziah. Habis tenaga, habis duit minyak dan habis masa."

Tetapi bagi saya itu adalah peluang saya berbakti kepada masyarakat.

Kalau bercakap tentang gaji, hakikatnya gaji mereka yang mempunyai Ph.D tidak setinggi mana dan atas dasar itu apabila penuntut-penuntut di universiti saya bertanya tentang gaji pensyarah yang memegang Ph.D, saya memberitahu mereka;

"kalau kamu nak buat duit dengan jadi pensyarah, lupakanlah. kalau kamu nak jadi kaya, pilihlah profesion lain yang lebih menjanjikan pulangan yang lumayan. Pensyarah hanya sesuai utk mereka yang cintakan ilmu dan suka belajar dan mengajar. Biarlah apa yang kita buat kerana Allah Ta'ala"

Semakin banyak yang kita pelajari akan semakin tahu berapa jahilnya kita dan berapa kerdilnya kita kerana banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu.

Ph.D bukan untuk bermegah-megah dan bukan untuk mencari nama. Semoga Allah memberkati kita semua dalam apa jua yang kita lakukan. Maaf jika ada tutur kata yang menyinggung perasaan.

Dr Fauziah Mohd Noor

Tiada ulasan: