Khamis, 20 Januari 2011

BAGI PENGUNDI KENALAH BIJAK....ISTHIRAH JIKA ADA KEBUNTUAN....MOHON PERTUNJUK DARI ALLAH SWT...

Ku Li timbulkan semula isu royalti minyak K'tan
Jan 20, 11 1:16pm


Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berdepan masalah dengan istana Kelantan kini kembali menyuarakan tuntutan negeri itu ke atas royalti minyak.

Katanya, rakyat negeri itu berhak ke atas sumber berkenaan yang didapati daripada bumi mereka sendiri.

Putera raja Kelantan itu juga berkata, perkara berkenaan merupakan isu yang perlu diselesaikannya demi kepentingan rakyat Kelantan.

Jelasnya, ia akan diteruskan walaupun beliau kini menghadapi masalah dengan Istana Kelantan.

Sultan Muhammad V pada akhir tahun lalu bertindak menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh sebelum ini.

Tengku Razaleigh menjelaskan, isu royalti minyak dan isu pengurniaan darjah kebesaran itu merupakan dua perkara berbeza.Beliau memberi alasan, isu royalti minyak melibatkan konsep federalisme.

Jelasnya, penubuhan Petronas juga bertujuan memajukan negeri-negeri di pantai timur semenanjung.

Langkah oleh Petronas itu berbeza dengan perjanjian oleh British yang tidak memberikan hak kepada negeri sekiranya minyak ditemui di luar pantai, katanya lagi.

Katanya lagi, atas dasar itu lah menteri besar dan ketua negeri menandatangani perjanjian dengan Petronas di bawah konsep federalisme untuk menyerahkan hak negeri kepada syarikat tersebut.

Tambahnya, perkara itu amat mudah untuk difahami.

Sekiranya negeri minyak ditemui di negeri Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan atau di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri ini perlu dibayar royalti, katanya.



P'raya serentak: Taib runding dengan Najib
Jan 20, 11 2:19pm


Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemungkinan mengadakan pilihan raya peringkat Parlimen serentak dengan pilihan negeri Sarawak atau sebaliknya.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata beliau telah mempunyai ilham untuk mengadakan pilihan raya negeri namun tidak dapat menentukan tarikhnya.

"Pembangkang pun kecewa jugalah," katanya pada rancangan Dialog "Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Sarawak" yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 malam tadi.

Pilihan raya negeri untuk kesemua 71 kawasan mesti diadakan sebelum Julai tahun ini apabila tempoh dewan undangan negeri (DUN) Sarawak berakhir.

Ditanya mengenai cabaran dan tanggungjawab yang dipikul untuk menentukan Sarawak kekal menjadi 'deposit tetap' BN, beliau berkata politik di Sarawak masih lagi bersandar kepada keinginan rakyat untuk menikmati pembangunan yang lebih pesat yang menentukan masa depan negeri ini.

Persiapan sejak enam bulan lalu

"Jadi politik yang sumbang sikit, kurang mendapat sambutan di Sarawak tetapi di dalam bandar penduduk sudah merasa soal pembangunan ini sebagai perkara biasa," katanya sambil menambah bahawa parti komponen BN negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan bertangungjawab untuk menghadapi isu pembangunan di dalam bandar dengan lebih hebat.

Taib, yang merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata di peringkat PBB, persiapan pilihan raya telah berjalan sejak enam bulan lepas dengan mengadakan banyak seminar, khasnya bagi pemimpin akar umbi dan sayap wanita.

Beliau percaya PBB serta dua komponen BN lain, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak menghadapi banyak masalah tentang siapa akan menjadi calon pilihan raya nanti berikutan nasihat Najib pada konvenysen SUPP di Kuching pada Ahad lepas.

Ketengah muka baru

Merujuk kepada nasihat Najib agar hanya mereka yang boleh membawa kemenangan dicalonkan, beliau berkata : "Kita sudah tahu siapa yang kita nak gantikan dan kebanyakan mereka (penyandang) ini akan memberi laluan kepada muka baru."

Bagaimanapun, Taib berharap SUPP dapat menentukan mereka yang patut menjadi calon pilihan raya serta menarik penyokong baru setelah mempunyai semangat baru bagi menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya
negeri pada 2006.

Pada pilihan raya negeri lepas, PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandingi manakala PRS dan SPDP masing-masing lapan.

Sambil bersetuju bahawa isu politik dan pilihan raya adalah berkait rapat, Taib berkata persepsi politik Sarawak pada masa sekarang masih dikatakan politik pembangunan adalah memang benar.

Pada perjumpaan parti dan pertubuhan dengan rakyat, khasnya di luar bandar, beliau berkata soal pembangunan sentiasa dibangkitkan memandangkan Sarawak mempunyai kawasan yang sangat luas.

- Bernama



Umno akui kejayaan PAS
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 20 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur kerana Tan Sri Isa Samad sedar, DAP sudah boleh menerima Islam sejak berkawan dengan PAS.

Tuan Guru berkata, walaupun kenyataan Isa berupa sindiran, namun sebenarnya penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap konsep Islam telah berlaku dan membuktikan PAS telah berjaya membawa kebenaran agama itu pada golongan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, yang mendakwa DAP sudah boleh menerima Islam sejak berkawan dengan PAS.

Isa dengan kenyataan menyindirnya juga berkata, sedangkan ‘kita’ (Umno) yang sudah muslim, kadang kala tidak berapa faham, sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal semalam.

Isa berkata demikian pada satu majlis makan malam 1 Malaysia yang sebahagian besarnya dihadiri oleh kaum Cina.

Kata Tuan Guru lagi, perkembangan itu membuktikan kejayaan PAS sendiri dalam membentuk hubungan setia kawan dengan anggota parti lain.

“Tak semestinya masuk Islam, terima konsep atau dasarnya pun sudah cukup, tapi kalau nak menerima Islam lagi baik. Apa lagi Islam sampai di negara China lebih awal di Tanah Melayu,” ujarnya.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata, sekiranya perkataan yang dikeluarkan dari mulut Isa Samad lahir dari hatinya yang tulus iaitu ‘orang muslim tak faham Islam’, memang wajar sekali dengan apa yang berlaku sekarang di mana orang Melayu Islam menerima perjuangan sekular BN.

“Sudah terang lagi bersuluh, kenyataan Tan Sri Isa itu membuktikan orang Melayu hanya beragama Islam pada adat, tetapi tidak tahu untuk menjadi orang muslim yang sebenar,” ujarnya.

Tambahnya, kerana tidak faham itu menyebabkan kecelaruan sering berlaku dalam masyarakat.

Katanya lagi, kerana menyedari umat Islam tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai muslim, menyebabkan PAS sentiasa bersedia untuk memberi penerangan kepada mereka.

“Yang jadi masaalahnya Umno ni buat masjid tahu, tetapi untuk menerima penceramah di situ kena tapis, kena pohon kebenaran,” ujarnya.



Debat satu keperluan
Mohamad Izzat Ghazali

Apabila seorang pemimpin sistem duo-parti di Malaysia mengeluarkan pelan tindakan (plan of action-POA) sekiranya gabungan parti pimpinannya memenangi pilihanraya berteraskan sistem demokrasi, secara tiba-tiba, pemimpin gabungan parti yg satu lagi mula tidak senang. Kenyataan beliau betapa POA yang didakwa populis itu akan menyumbang kepada terjunamnya ekonomi Malaysia.

Sebagai mahasiswa, kami percaya, mungkin terselit sebuah kebenaran terhadap dakwaan pemimpin politik terkenal itu, kerana parti gabungannya membentuk kerajaan dalam PRU yg lalu. Namun, kami gusar, kerana keputusan-keputusan kerajaan kebelakangan dilihat membelakangkan perkembangan ekonomi itu sendiri.

Warga Mahasiswa Warga Berfikir.

Justifikasi pertama, kenaikan harga komiditi minyak di seluruh sepatutnya tidak menyebabkan ekonomi negara semakin teruk sehingga menyebabkan harga minyak masa seluruh Malaysia diapungkan melampui harga siling. Malaysia selaku negara pengeluar minyak sepatutnya meraih keuntungan berlipat-ganda hasil kenaikan harga minyak masak dunia. Tapi, apa yang terjadi? Malaysia sengsara.

Justifikasi kedua, aliran wang Malaysia ke negara-negara luar tidak dilihat dibendung. Kerakusan pemimpin elit yang berbelanja sakan bukanlah contoh yang baik disebalik saranan kerajaan mengurangkan pembelian dan mengamalkan dasar berjimat cermat. Ratusan ribu semalaman semata-mata untk penginapan satu rombongan ternyata sebuah pembaziran. Apa yang kami jelas, pemimpin selaku qudwah sepatutnya mula mengamalkan apa yang disarankan kepada kami. Usahlah bermewah-mewah sementelah kami bersusah-susah.

Berbalik kpd isu asal, wujud perbezaan pendapat yg ketara dua pemimpin tersohor tersebut hal ini. Pemimpin A beranggapan POA ini mampu menjana Malaysia ke arah yg lebih baik.Manakala pemimpin B pula masih dengan premis POA pemimpin A akan menyusahkan Malaysia. Selaku Mahasiswa yang juga sebahagian rakyat, apa hak kita?

Hak kita adalah untuk mendapat maklumat yang tepat bagi menentukan pemimpin akan datang. Medium debat dilihat berkesan sebagai wasilah dalam mematangkan penerimaan rakyat terhadap tawaran daripada parti bertanding, apatah lagi apabila melibatkan soal pentadbiran kewangan yang rata-rata pada hari ini, dilihat tidak meyakinkan.

Mengapa tidak mahu? Negara-negara maju dunia tidak terkecuali dalam pengamalan konsep usaha sebagai usaha meyakinkan rakyat betapa mereka adalah yang terbaik. sebagai contoh mudah debat Barrack Obama dan John McCain di Amerika Syarikat. Usah gusar, yang terbaik akan menang.

'Best man wins'.

Mengapa Mahasiswa memerlukan perdebatan seumpama ini? Mahasiswa adalah golongan pengundi yang berpengaruh dan intelek. Pemimpin masa hadapan akan ditentukan mahasiswa hari ini. Keperluan debat akan meluaskan ruang lingkup mahasiswa mahasiswa yang dilihat sempit dan kaku pada hari ini. Kami Mahasiswa, insya Allah sudah cukup matang dalam membuat penilaian dan langsung tidak setuju dengan desas-desus yang menyifatkan debat tidak mampu menyediakan alternatif yang baik malah mengakibatkan pecah-belah yang ketara dalam kalangan masyarakat.

Izinkanlah kami, mahasiswa Malaysia, mendapat pendedahan terbuka dalam menentukan nasib Malaysia akan datang.

May Allah bless. Wallahua'lam.

Mohamad Izzat Ghazali

Persatuan Pelajar Undang-undang Ahmad Ibrahim.





Nie Ching diugut angkara isu remeh diperbesarkan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berharap Teo Nie Ching tidak gentar dengan ugutan untuk melakukan kerja seharian sebagai ahli parlimen.

Namun, katanya Teo mestilah berhati-hati dan tingkatkan keselamatan diri.

“Tanggungjawab itu juga perlulah mendapat perhatian dari pihak keselamatan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai mengulas Ahli Parlimen Serdang itu yang menerima ugutan ke atas keselamatannya kelmarin apabila seekor ayam tergantung di luar pejabat pusat khidmat DAP di Sungai Chua, Kajang yang juga tergantung poster yang tertera 'Ingat!!! Ini satu Peringatan,Teo Nie Ching, Tentera Jihad'.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian yang dianggap dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat yang tersendiri berdasarkan isu pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kejayaan MP Serdang mengunjungi beberapa masjid dan surau sebelum ini.

“Biarlah dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta pengalaman pihak polis menjalankan siasatan yang terperinci dari segala aspek untuk menyelesaikan kes ini,” ujarnya.

Dalam laporan pada ibu pejabat polis daerah Kajang pada jam 11.45 pagi kelmarin, Teo berkata rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi daripada sebuah kedai bersebelahan pejabatnya menunjukkan dua lelaki tidak dikenali yang menggantung ayam dan poster itu.

Bagi Khalil, jelas ada pihak yang bertindak melakukan tindakan tersebut dan tidak salah beliau katakan apabila pihak yang melakukan itu sangat tidak berpuas hati dengan isu yang sering dibangkitkan apabila Teo mengunjungi masjid dan surau.

Malah, katanya kehadiran Teo dijawab dengan bukti yang jelas mengenai tindakan yang sama dilakukan oleh pemimpin BN yang lain namun tidak dipertikaikan.

“Yang jelas kehadiran Teo dipolitikkan kerana dia adalah dari Pakatan Rakyat, dan DAP. Kalaulah dia dari MIC seperti yang dilakukan oleh P. Kamalanathan di Hulu Selangor, ia tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Lebih teruk lagi, ujarnya apabila media pengampu mengapi-apikan perkara yang masih dibolehkan dan masih boleh diperbincangkan lagi itu iaitu hukum orang bukan Islam masuk ke dalam surau dan masjid, sengaja dibesar-besarkan.

Oleh itu, beliau mengira pihak keselamatan hendaklah sentiasa meningkatkan keselamatan kepada rakyat malaysia khususnya dari pihak yang tidak bertanggung jawab seperti yang berlaku kepada MP Serdang itu.

“Harapan saya kehidupan rakyat Malaysia lebih harmoni dalam suasana kehidupan beragama difahami oleh orang Melayu sendiri, jauh dari itu sebenarnya dakwah kepada orang bukan Islam kalau sudah berlangsung sekian lama sejak Umno dan BN memerintah Malaysia lebih 50 tahun tentunya tidak timbul perkara remeh yang diperbesarkan ini,” katanya.

Katanya, isu pembesar suara di masjid, isu bekerja di kedai jual arak dan sebagainya sebetulnya sudah selesai lama sekiranya pemimpin Umno melakukan amanahnya.

Tambahnya, namun ia buka keutamaan walaupun undang-undang yang sedia ada sudah boleh mencegah apabila dikuatkuasakan.

Apabila ada serbuan dan tangkapan yang kena adalah pihak-pihak yang perlu dilindungi maka adalah tangan-tangan ghaib supaya dilepaskan.

Mereka, katanya berani mabuk dan lakukan maksiat kerana ada jaminan dilindungi oleh tangan-tangan ghaib.

“Kita ada senarai panjang mengenai kes tersebut termasuk kontroversi semasa Almarhum Datuk Ishak Baharom menjadi Mufti Selangor,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.



Pengundi Tenang diajak tinggalkan Umno BN

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 20 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak pengundi Tenang meninggalkan Umno dan BN pada pilihan raya kecil Dun itu 30 Januari ini.

Menurutnya, walaupun Johor adalah kubu Umno, namun tidak bererti perubahan tidak boleh dilakukan demi untuk perjuangan Islam.

Katanya, sewaktu PAS bergabung dengan Umno lagi negeri itu telah kuat dengan parti itu sehinggakan tidak memberi peluang pada calon PAS untuk bertanding sedangkan negeri lain dibenarkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya kelmarin ketika ketika diminta mengulas pilihan raya kecil Dun berkenaan.

Beliau yang akan turun ke Tenang bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman seterusnya berkata, Saidina Omar yang terkenal dengan berangnya memusuhi Islam akhirnya menerima Islam dengan kehendak Allah.

“Begitu juga Panglima Perang, Khalid Ibni Walid, juga menerima Islam dengan kehendak Allah, jadi tidak mustahil pengundi Dun Tenang akan melakukan perubahan,” ujarnya.

Kerana itu, sambungnya pengundi diminta mengundi calon Pakatan di Tenang dan meninggalkan Umno.

Sehubungan itu, Tuan Guru turut memaklumkan beliau akan berkempen bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sebaik sahaja selepas penamaan calon.

Menurutnya, beliau akan membawa kebenaran perjuangan Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran 30 juzuk.

“Saya akan bawa di sana Islam al-Quran 30 juzuk dan gurunya Rasulullah s.a.w., yang membawa kebenaran itu.


Normala disenangi semua kaum
Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 20 Jan: Calon PAS yang bakal bertanding dalam Dun Tenang, Normala Sudirman, diyakini bakal mendapat sokongan padu dari pelbagai masyarakat termasuk kaum Cina dan India.

Perkara itu diakui Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, semalam ketika diminta mengulas berhubung pemilihan calon terbabit.

Katanya, walaupun penamaan calon belum lagi bermula, namun ‘mood’ rakyat khususnya golongan Cina dan India begitu gembira dengan pemilihan Normala oleh pucuk pimpinan.

“Mereka bukan sahaja bersedia untuk bertugas, berkempen nanti, sebaliknya akan memberi sokongan dalam pelbagai bentuk agar calon kita menang pada pilihan raya itu nanti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Zailah juga mengucapkan terima kasih pada pucuk pimpinan PAS termasuk pimpinan Pakatan Rakyat yang lain kerana memilih golongan muslimat untuk bertanding di situ.

“Ianya merupakan satu pengiktirafan pada golongan wanita yang selama ini dituduh kita tidak mendapat tempat dalam PAS sebagaimana yang didakwa oleh pihak mereka,”ujarnya lagi.

Beliau juga berpendapat, kemungkinan kepercayaan diberikan pada muslimat hasil kejayaan wakil rakyat Pakatan Rakyat wanita disemua negeri sama ada peringkat Dun atau Parlimen.

Normala, 38, yang juga Ketua Muslimat PAS Labis akan ditentang bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim diumumkan sebagai calon mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundi pada 30 Januari depan.

Kerusi Dun Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Tiada ulasan: