Rabu, 19 Januari 2011

LETAKLAH ORANG YANG BERKEMAMPUAN DALAM BANYAK BIDANG SERTA BOLEH BERKHIDMAT DENGAN BAIK.....


Speaker isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong
Aidila Razak
Jan 19, 11
3:30pm


Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri. Tiada peruntukkan bagi merayu.

"Badrul mengakui tidak hadir dalam sepucuk surat yang tiba di pejabat saya bertarikh 10 Disember. Dia memohon cuti bagi mendapatan rawatan perubatan tradisional di Pahang,” kata Teng. Apabila ditanya wartawan, Teng kemudiannya mengemukakan rekod menunjukkan Badrul Hisham tidak menandatangani borang kedatangan pada 8 November lalu. "Dalam suratnya itu, Badrul juga mengakui beliau tidak hadir pada semua hari semasa dewan bersidang pada November,” katanya.

NONESebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN sejak Julai tahun lalu.

Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker. ADUN kontroversial Pelabuhan Klang itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu. Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita yang beliau akan berpaling tadah. azlanBadrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi. Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi. Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil. Yang terakhir akan diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha. Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan. Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng. Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatatkan kehadirannya.






Speaker isytihar kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 19 Jan: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang kosong.

Ianya berikutan kegagalan Adunnya, Badrul Hisham Abdullah hadir ke persidangan Dun dalam tempoh 6 bulan bermula 15 Julai 2010 hingga 15 Januari lalu.

Berikutan itu beliau mengisytiharkan kerusi itu kosong mengikut Fasal 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Menurut Fasal 69, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, jika seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri itu tidak hadir dalam masa 6 bulan, maka kerusi tersebut diisytiharkan kosong,” kata Teng pada sidang media di Dewan Annex, dekat sini hari ini.

Menurut Teng juga, mengikut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, beliau berhak untuk mengisytiharkan status bagi kerusi Dun sebagai kosong sekiranya mana-mana Adun gagal menghadiri sidang Dun dalam tempoh ditetapkan.

“Tafsiran saya bagi melihat pengiraan 6 bulan itu, adalah merujuk kepada Fasal 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Saya melihat memang niat Undang-undang negeri hendakkan supaya Dewan bersidang dalam masa 6 bulan, katanya.

Ditanya adakah kekosongan kerusi itu menandakan pilihan raya kecil bakal berlangsung, Teng menegaskan perkara itu di luar bidang kuasa beliau.

"Kerusi dah kosong, jadi beliau tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan kalau mengikut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh makan pihak Suruhanjaya Pilihan raya dikehendaki untuk memanggil pilihan raya kecil.

"Itu di luar bidang kuasa saya. Bidang kuasa saya adalah apabila keadaan ini sudah menepati peruntukan dalam fasal 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, maka saya dikehendaki mengisytiharkan kerusi itu kosong," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kekosongan kerusi itu akan dimaklumakn kepada SPR dalam masa terdekat.

Badrul meninggalkan PKR pada Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.


SPR belum terima makluman

Jan 19, 11 5:05pm


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang. NONEPengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim sepatutnya memaklumkan kepada SPR terlebih dahulu sebelum mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu. "Kita akan teliti dan lihat undang-undang di Negeri Selangor, juga Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan tentang (sama ada)berlaku kekosongan atau tidak," katanya ketika dihubungi. Abdul Aziz berkata SPR akan membuat kenyataan selanjutnya selepas menerima makluman rasmi daripada Teng. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengisytiharan oleh Teng hari ini bahawa kerusi DUN itu sebagai kosong berkuatkuasa 16 Jan lalu berikutan kegagalan penyandangnya Badrul Hisham Abdullah menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah. Badrul Hisham, yang memenangi kerusi itu sebagai calon PKR, telah keluar dari parti itu pada 29 Okt 2009.



Bekas ADO, Azahar Ibrahim calon BN di Tenang
Jan 19, 11 5:01pm


Bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim diumumkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan lapang di belakang Pejabat Umno bahagian Labis, petang ini di hadapan 500 penyokong.

NONEAzahar (kiri) juga merupakan anak kepada bekas ADUN Tenang sebelum ini.

Dalam pilihan raya kecil pada 30 Januari ini, Azhar bakal ditentang oleh ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman yang merupakan bekas guru berkelulusan dari Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundi pada 30 Januari depan.

Kerusi DUN Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

NONESeramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi



Sidang 24 Jan diteruskan jika 1/3 Adun hadir
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 19 Jan: Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada 24 Januari ini akan diteruskan sekiranya cukup satu pertiga daripada ahlinya hadir, kata speaker, Datuk Teng Chang Khim.

Menurut Teng, mengikut peraturan tetap dewan dan Undang-undang Tubuh Negeri, sidang boleh diteruskan apabila kehadiran Adun cukup satu pertiga daripada jumlah Adun, tidak termasuk speaker.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai adun BN yang dikatakan tidak akan menghadiri sidang berkenaan.

"Mengikut peraturan tetap dan juga mengikut Undang-undang Tubuh Negeri, selagi ada satu pertiga yang hadir maka kita cukup korum untuk mengadakan mesyuarat iaitu satu per tiga daripada jumlah ahli dewan kecuali speaker," katanya pada sidang media di Dewan Annex, dekat sini hari ini.

Sidang Dun ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memperkenan cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengadakan sidang berkenaan.

Teng juga berkata, tidak timbul soal sidang tidak dapat diteruskan tanpa kehadiran Adun BN kerana apa yang penting satu pertiga ahli hadir untuk membolehkan mesyuarat berlangsung.

Ujarnya, undi dua pertiga juga tidak diperlukan untuk meminda Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

"Itu bukan masalah saya. Kalau cukup korum satu pertiga daripada ahli hadir maka saya akan mulakan mesyuarat. Kalau katakan ada pindaan perlembagaan maka undi dua pertiga diperlukan.

"Kalau tidak ada pindaan perlembagaan, hanya ada sama ada pindaan kepada enakmen ataupun hanya ada rang undang-undang yang baru maka ia tidak memerlukan dua pertiga tapi hanya majoriti mudah.

"Setakat ini saya tidak pasti lagi dan itu harus ditanya kepada menteri besar," katanya.

Khalid sebelum ini berkata, pindaan yang dilakukan kerajaan Selangor berhubung Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal yang baru.

Pindaan itu bagi mengembalikan semula prosedur untuk pelantikan tiga penjawat awam itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ia dipinda pada 1993.





Tiada ulasan: