DUNIA
Lebanon dalam krisis
BEIRUT - Lebanon sekali lagi berdepan krisis getir yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara selepas kumpulan Hezbollah menjadi punca pemerintahan sedia ada tumbang, kata beberapa penganalisis.
"Kita di ambang ketidakstabilan politik yang bakal berlarutan kerana masa hingga berbulan-bulan diperlukan bagi membentuk sebuah pentadbiran baru di Lebanon," kata seorang penganalisis politik Asia Barat, Paul Salem.
"Saya tidak fikir Hezbollah akan mengambil tindakan ketenteraan di Beirut, tetapi kita bakal berdepan dengan huru-hara jalanan yang berisiko menjadi tidak terkawal (akibat tindakan Hezbollah)," tambahnya.
Dalam satu tindakan bersama, seramai 11 menteri Hezbollah meletak jawatan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Saad Hariri kelmarin sekali gus memenuhi syarat minimum untuk memaksa kabinet Lebanon dibubarkan secara automatik.
Tindakan itu susulan tentangan Hezbollah terhadap Tribunal Khas Bagi Lebanon (STL) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tribunal itu dilaporkan bersedia untuk mendakwa beberapa pegawai tinggi Hezbollah berhubung pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq Hariri, pada 2005.
Hezbollah sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang pendakwaan terhadap pegawai-pegawainya akan mendatangkan akibat buruk di Lebanon.
Kumpulan itu turut memberi tekanan ke atas pentadbiran Saad yang pro-Barat supaya membatalkan STL kerana ia didakwa sebagai komplot jahat Israel-Amerika Syarikat. - AFP
DUNIA
Tunis kian bergolak
TUNIS – Para perusuh membaling batu ke arah bangunan pentadbiran dan polis melepaskan gas pemedih mata di Tunis yang merupakan ibu negara Tunisia.
Polis sebelum ini ditempatkan di beberapa tempat di bandar raya ini sehingga minggu ini ekoran para perusuh yang melakukan protes bagi menentang pemerintahan Presiden Zine El Abdine Ben Ali.
Bangunan Kementerian Dalam negeri dan sebuah bangunan perkhidmatan perbandaran merupakan antara yang menjadi sasaran penunjuk perasaan semalam.
Polis dilapor melepaskan beberapa das tembakan ke arah para penunjuk perasaan sejak tiga minggu lalu.
Beberapa pegawai menyatakan, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Pemerintah pimpinan Zine dianggap melakukan rasuah manakala sebahagian perusuh melakukan protes kerana isu pengangguran. – Agensi
DUNIA
Misteri air bertukar hijau
OTTAWA, Kanada - Sungai Goldstream di Kanada yang mengalir melalui bandar Langford di British Columbia bertukar menjadi warna hijau, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang jurufoto yang mengembara di tebing sungai tersebut untuk merakamkan gambar burung helang, Tyson Elder sempat merakamkan gambar sungai itu yang berwarna hijau pada 29 Disember lalu.
Bahan pewarna hijau itu tidak menyebabkan kematian ikan dan ia bertukar semula kepada warna asal dalam tempoh sejam.
Para penyiasat pada mulanya menyalahkan satu bahan organik yang digunakan sebagai pencelup sebagai punca kejadian itu.
Namun, semasa kejadian, tiada ujian dilakukan untuk menguji sistem air di kawasan tersebut dengan menggunakan bahan pencelup hijau.
Ketua Jabatan Bomba Langford, Bob Beckett menyalahkan golongan nakal yang tidak dikenali melakukan kejadian itu.
Imej sungai itu boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi
DUNIA
Rusa lompat sebuah kereta
ROLFSTORP - Seekor rusa melompat sebuah kereta dekat Rolfstorp, Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar haiwan itu melompat dirakamkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun, Tove Sjohlm Mute semasa dia bersarapan pagi di rumahnya.
Haiwan itu melompat selepas beberapa anaknya berjaya menyeberangi jalan raya itu dengan selamat.
Ia melompat bagi mengelak tertinggal jauh daripada kumpulan anak-anaknya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan