Sabtu, 15 Januari 2011

SEMUA PARTI MEMBINA PENGARUH...TAPI BIAR CARA BIJAKSANA...BUKAN DENGAN BUDAYA TIPU..UGUT..HAIRAN KAN DIRI...MENGUTUK DLL ...BIAR RAKYAT MENILAINYA...

Debat Najib-Anwar penting elak negara muflis
Nik Nasri Nik Malek

Janji 100 hari Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia tiba-tiba merungsingkan BN. Bagi Pakatan Rakyat, ia adalah janji realistik yang mampu dilakukan.

Najib pula mengatakan ia boleh membawa Malaysia bankrap. Melalui berita radio, saya dengar ucapan Najib (lebihkurang ayatnya): ‘Dalamasa 2 tahun laksanakan janji itu, Malaysia boleh bankrap macam Greece.’

Ayat ini sangat penting. Anwar dan PR kata tak muflis. Najib dan BN kata janji 100 hari boleh muflis. Tak mungkin kedua-duanya benar. Salah seorang berbohong. Tapi siapa?

Malaysia menuju muflis juga sangat penting. Ertinya kalau Pakatan Rakyat memerintah dan menunaikan janjinya itu, ucapan Najib itu mungkin menjadi kenyataan, iaitu Malaysia boleh bankrap dalamasa 2 tahun. Tapi dari fakta yang ada yang disiarkan dalam pelbagai media alternatif, termasuk ucapan terakhir Datuk Mustafa Ali dan Anwar di program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Geliga, Kemaman pada hari Sabtu 15 Jan 2011 menunjukkan janji itu mampu ditunaikan dengan izin Allah.

Justru, apa penyelesaian terbaik? Ia tidak lain melainkan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar mesti diadakan. Di Amerika, UK dan beberapa negara lain, termasuk negara haram Israel, rasanya, boleh mengadakan debat antara pemimpin tertinggi parti.

Kalau begitu, mengapa Najib takut? Kalau sungguh rakyat tidak akan terpengaruh dengan janji kosong PR, mengapa tidak bersedia berdebat? Kalau janji PR boleh bawa negara muflis, di atas dasar mempertahankan negara dari muflis, maka sepatutnya Najib bersedia mempertahankan Malaysia dari menjadi muflis dengan sebab janji kosong PR itu?

Najib ada pakar ekonomi. Anwar ada pakar ekonomi. Masing-masing sediakan fakta dan angka. Bentangkan dalam debat itu. Apa takut? Najib kata debat tidak mendatangkan hasil. Siapa kata?

Atau takut kalah dengan janji ‘kosong’ PR itu. Kalau sungguh BN mendahulukan rakyat, Najib mesti bersedia berdebat dengan Anwar, dan biarkan rakyat yang menonton secara langsung dalam TV itu menjadi hakimnya. Masih takut?

Nik Nasri Nik Malek,

Kemaman, Terengganu


PAS doakan kemenangan rakyat Tunisia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Jan: “PAS mendoakan kemenangan rakyat di Tunisia dan akan mendapat perlindungan Allah SWT,” kata Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Katanya, PAS mengikuti dengan teliti perkembangan di Tunisia dan melahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Tunisia yang telah menggulingkan rejim Ben Ali yang merupakan rakan akrab Amerika Syarikat dalam menentang 'terroris Islam'.

“Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim Ben Ali dengan membunuh serta memenjara ribuan para ulama serta para cendekiawan adalah kemuncak kezaliman rejim yang mendapat sokongan kuasa Barat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, rakyat Tunisia dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan sepanjang pemerintahan 'kuku besi' Ben Ali.

“PAS yakin dengan kebangkitan rakyat ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana rejim yang zalim dengan menafikan hak serta kebebasan termasuk di Malaysia dan kepada setiap suara rakyat,” ujarnya.



Nik Aziz akan hadir majlis bersama blogger
Muhamamd Yusri Amin

KOTA BHARU, 14 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tetap menghadiri majlis bersama blogger pro-Pakatan Rakyat yang dijadual diadakan esok di sebuah hotel di Kuala Lumpur mulai 8.00 malam.

Beliau yang juga Menteri Besar menaruh keyakinan bahawa program yang diatur sempena Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama blogger itu memberi ruang yang baik kepadanya untuk berucap.

Majlis yang dijangka turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan banyak perkara termasuk peranan yang mungkin boleh dimainkan peserta itu bagi membantu Pakatan Rakyat dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 khususnya.

“Oleh itu besok saya akan memberi penerangan sama ada mereka mahu mendengarnya atau pun tidak, terserah kepada mereka.

“Saya bersedia berjumpa mereka yang dianggarkan seramai 150 orang, dan perjumpaan itu tidak sulit,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Mengulas terdapat tulisan ‘mengarut’ yang ditulis sesetengah blogger di laman mereka, beliau berkata, usahkan blogger berbuat demikian, bahkan anak sendiri sekiranya menulis perkara ‘mengarut’ akan dimarahi.

“Sama ada blogger, tuk guru atau ibu bapa, serupa saja. Hidup atas dunia ini mestilah faham bahawa kita adalah menumpang di bumi Allah SWT.

“Oleh kerana kita menumpang segala perkara termasuk padi beras yang dimakan atau udara untuk bernafas, hatta manusia itu sendiri dijadikan Allah SWT, maka kita tidak boleh menderhakan Allah,” katanya.

Beliau menolak bahawa perjumpaan itu memberi ruang kepadanya untuk memberi penjelasan tentang perjumpaan yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.


PAS kini berada di titik tengah
Nasrudin Hassan Tantawi
1. Mutaakhir ini terlalu banyak isu sensitif yang menguji kebijaksanaan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang popular di pentas politik tanahair. PAS terpaksa berhadapan dengan ketegasan hujjah berasaskan syariah yang diperjuang disamping sokongan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama yang diperlukan. Jua tidak dinafikan betapa PAS juga akan berhadapan dengan "serangan hendap" dari musuh yang hanya menanti saat berlakunya kesilapan dalam tindakan dan kenyataan.

2. Malah saya juga dapat mengesan bagaimana masih wujudnya dari kalangan ahli yang sukar memahami isu dan menerima keputusan yang diambil oleh jamaah lalu disulitkan lagi dengan kritikan melulu tanpa asas yang kukuh dari pihak yang mendakwa sebagai penyokong parti tetapi tidak ubah seperti sokong yang membawa rebah.

3. Mempertahankan agama serentak dengan keperluan mencari sokongan politik dari pelbagai pihak, adalah suatu yang tidak mudah bagi PAS. Mental yang mantap dan jiwa yang tabah mesti seiring dengan hujjah yang kukuh dan hikmah [kebijaksanaan] yang utuh. Bahkan perlu kepada pemimpin yang tinggi nilai taqarrub [ dekatnya dengan Allah ] . Kini gerakan PAS tidak lagi sehala atau dua hala antara PAS dengan anggotanya atau anggotanya dengan PAS, tetapi PAS kini berada di titik tengah dalam lingkungan 360 darjah yang semuanya menghala ke arah PAS sementara mengharapkan tindak balas positif dari PAS.

4. Apa yang saya maksudkan ialah PAS tidak lagi parti defensive tetapi juga offensive sebagaimana PAS tidak hanya parti yang responsive tetapi juga creative. Malah PAS mula me'lasak' kan diri untuk menerima pandangan - pandangan bersifat kritikal dan sinikal dari pihak luar sempadan parti. Juga PAS kini membiasakan diri malah kelihatan mula mesra dengan pandangan kedua sebelum membina pendirian yang konkrit.

5. Disiplin kental yang berpaksi kepada akhlak berjamaah pula melandasi prinsip syura dalam membuat keputusan adalah potensi PAS untuk terus thabat [ utuh ] mendokong cita - cita perjuangan Islam tanpa menjarakkan diri dari arus perdana politik moden. Tegas mempertahankan syiar dan syariat Islam namun toleransi dalam komunikasi dan interaksi.

6. Saya turut merasakan suhu tinggi ditanggung oleh PAS setiap kali terpaksa bersabar dengan karenah rakan dan lawan yang kadangkala mengganggu rentak dan prestasi. Segalanya membekalkan khibrah [ pengalaman ] buat PAS yang kian dewasa dan matang dengan zaman yang direntasinya. Dalam kematangan yang sedemikian, tidak mungkin PAS mengkhianati rakan sebagaimana tidak mungkin PAS sujud mengalah kepada lawan.

7. Baru - baru ini timbul isu Interlok yang dipolitikkan secara sistematik diambang pilihanraya kecil N 05 Tenang. Dewan Pemuda PAS Malaysia bertindak pantas menganjurkan sidang meja bulat untuk mempertemukan 2 pihak yang bertelagah. Demikian juga apabila timbul kritikan terhadap hukum - hukum Allah, Dewan Pemuda PAS sekali lagi tampil secara diplomasi dan akademik, menganjurkan Nadwah Kefahaman Islam secara bersiri [ NAFAS ]. Insyaallah siri berikutnya pada 6 Mac 2011 akan datang bagi memberikan penjelasan mengenai Islam kepada semua termasuk non muslim.

8. Demikianlah isu pekerja muslim di premis arak. Saya bersetuju dengan cadangan Yb Khalid Samad dari Shah Alam yang menegaskan agar terlebih dahulu kerajaan yang berkuasa mewujudkan peluang pekerjaan halal untuk memindahkan pekerja dari premis haram ke premis halal tanpa perlu mencetuskan polemik [ kecuali kepada mereka yang sengaja engkar selepas daripada itu ], namun tindakan mempertegaskan hukum dan meletakkan syarat yang menepati hukum syara' sebagaimana yang dipertegaskan oleh pihak MPSJ dan Yb Dato' Hassan Ali juga wajar disokong penuh agar ummat Islam menginsafi bahawa premis haram tidak layak untuk mereka mencari rezeki.

9. Kelihatan azan juga mencetus konflik yang perlu ditangani dengan bijak dan hikmah. Saya sedikit pun tidak hairan apabila seorang non muslim mengkritik azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara, pula tindakan mereka kononnya berasaskan hak asasi mereka untuk hidup damai tanpa gangguan. Persoalannya sejauh mana kita menemui mereka untuk memahamkan mereka bahawa azan adalah sebahagian dari syiar agama Islam dan ia adalah urusan rasmi ummat islam yang tidaklah boleh dipertikaikan begitu sahaja. Jika Islam adalah agama rasmi negara dan ia diterima oleh semua maka sewajarnya azan tidak menjadi gangguan kepada mereka, terutama apabila mereka memahami unsur - unsur positif yang terkandung di dalam seruan azan tersebut.

10. Ertinya usaha PAS hari ini ialah menginsafkan ummah, memahamkan non muslim dan menyedarkan mereka akan tanggungjawab beretika dalam negara berbilang bangsa dan agama yang Islam menjadi agama rasminya. Saya yakin dan percaya, tiada insan yang bodoh dan dungu untuk menolak seruan kebaikan, kejayaan , kecemerlangan sebagaimana yang dilaungkan oleh muazzin saban waktu selain ia turut mendisiplinkan manusia dengan dengan masa agar hidup manusia tidak lagha [ lalai ] dan alpa.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Arak: Pemuda PAS Wilayah sokong Hasan Ali
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong pandangan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mahukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Dalam hal ini, katanya DPPWP merasa kagum terhadap Hasan Ali yang bertegas dengan prinsip Islam.

Tambahnya, hukum Islam telah jelas menyatakan haram bagi umat Islam bekerja di premis yang menyediakan minuman keras apatah lagi meminumnya.

“Tindakan beliau dengan jelas membuktikan bahawa PAS tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya meskpiun bersahabat dengan pelbagai parti politik.

“Dasar PAS yang berjuang untuk Islam sejak dahulu hingga kini tidak pernah berubah walaupun bermacam halangan yang melanda,” ujarnya.

Ini juga, tambahnya membuktikan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat jauh bezanya dengan Umno dan Barisan Nasional.

DPPWP juga, katanya menyokong dan mengucapkan tahniah kepada MPSJ kerana mahu melaksanakan larangan ini.

“Penguatkuasaan ini akan mampu mengelakkan umat Islam terjebak dengan maksiat dan dosa kerana bergelumang dengan perkara-perkara yang haram.

“Perkara-perkara haram sebeginilah yang menyebabkan kurangnya keberkatan kepada rezeki yang diperolehi sehingga melahirkan generasi yang rosak akhlak dan akidah,” katanya.

Beliau menambah, DPPWP turut mengharapkan agar Ronnie Liu melaksanakan segera peraturan mengharamkan umat Islam bekerja di premis jualan minuman keras demi kemaslahatan umat Islam.

Menurutnya lagi, umat Islam di Selangor khususnya terlalu lama menginginkan kehidupan yang diberkati, jauh daripada dosa dan perkara-perkara yang haram.



Gelombang hijau: Umno Terengganu mulai cemas

Mohd Nasir Awang

Sabtu, 15 Januari bakal menjadi satu lagi titik penting dalam sejarah PAS, khususnya di Terengganu. Belasan ribu pendukung segenap peringkat parti dari seluruh negeri itu dijadualkan membanjiri Dataran Tok Guru di Kampung Geliga, Kemaman.

Mereka bakal menjayakan program Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU), salah satu mata rantai aturcara menyempurnakan agenda utama dilancarkan parti di peringkat Pusat beberapa bulan lalu. Himpunan itu diharap menjadi pencetusan gelombang kebangkitan rakyat Terengganu menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Melalui himpunan ini kita (PAS negeri) harap dapat membentuk persepsi rakyat bahawa Umno sudah tidak relevan dan perlu diganti. Sebab itu kita mengajak semua lapisan rakyat Terengganu bersama kita,” ujar Pegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Panitia HKR-PGU bahkan memaklumkan pihaknya telah terlebih dahulu menyebarkan maklumat dan membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat negeri itu mengapa mereka perlu menolak Umno.

Secara khusus, katanya, agenda itu dimulakan 24 Disember lalu. PAS Terengganu telah menganjurkan Seminar PAS Ganti Umno di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu. Himpunan sepetang itu dikatakan mendapat sambutan luar dugaan.

“Alhamdulillah, kita jangkakan hanya sekitar 700 yang akan datang, tapi petang itu lebih 1,200 orang kita hadir dari seluruh negeri,” katanya.

Bagi beliau dan kepimpinan PAS negeri, kesungguhan ditunjukkan para pemimpin dan pendukung parti di segenap peringkat itu adalah petanda amat membanggakan. Ia menandakan wujud kesedaran agak tinggi di dalam masyarakat untuk menjayakan agenda dicanangkan parti.

Tidak syak lagi, kejayaan seminar itu membakar semangat kepimpinan PAS Terengganu untuk menapak dengan lebih yakin menyempurnakan misi PGU itu. Himpunan di Kemaman ini adalah siri pertama jelajah PGU ke kawasan-kawasan di seluruh negeri.

“Kita sengaja pilih daerah Kemaman di atas beberapa perkiraan. Antaranya ialah kerana ia daerah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Sebagai satu gimik politik yang agak menarik, ‘gelombang’ ini kita mulakan di daerah Menteri Besar dan akan kita akhirkan di daerah bekas Menteri Besar (Besut),” sambung Ustaz Wan Sukairi lagi.

Sebab lain ialah kerana ia daerah paling selatan dan disifatkan sebagai pintu masuk dari Pantai Barat. Berbeza dengan suasana pra-pilihan raya 1999 yang menyaksikan ‘gelombang’ kemenangan PAS Terengganu masuk dari pintu utaranya bersempadan Kelantan, ‘gelombang’ menolak Umno kali ini diakui lebih menyerlah berlaku di Pantai Barat.

Pihak penganjur mensasarkan kehadiran 20,500 orang. Untuk itu setiap PAS Kawasan ditugaskan mengerah para pendukung mengikut kemunasabahan logistik masing-masing. Kemaman selaku kawasan tuan rumah sudah tentu diharapkan mampu menggerakkan kehadiran paling tinggi, sekurang-kurangnya 4,000 peserta.

Manakala tiga kawasan paling jauh, iaitu Hulu Terengganu, Setiau dan Besut masing-masing perlu menghantar sekurang-kurang 2,000 pendukung.

Melihatkan penyampaian maklumat dan perkembangan kesedaran agak positif di kalangan pendukung parti di peringkat bawahan, angka itu insya Allah dapat dihampiri, jika pun tidak berjaya dicapai.

Apa pun bakal berlaku, yang pastinya ‘gelombang’ yang diharapkan bakal dicetus di HKR-PGU itu sebenarnya sudah pun berkumandang dalam masyarakat negeri itu. Di sana-sini kedengaran mereka bercakap mengenai PGU. Ia bukan semata-mata berkaitan program sehari itu, tetapi dalam konteks lebih luas.

Kain rentang dan poster PGU yang disebarluas dan dipamerkan di serata negeri juga turut menghasilkan impak kepada rakyat. Bagi yang mengetahui dan memahami ia sebagai satu agenda parti, mereka membacanya beserta perasaan bangga dan penuh harap ianya dapat dicapai.

Bagi masyarakat terbanyak yang belum benar-benar mendalami isi maksud PGU pula, pameran sepanduk dan poster berbagai rupa itu mencetuskan naluri ingin tahu. Sekurang-kurangnya ada yang mula berfikir mengenai slogan ‘PAS Ganti Umno’.

Malah tidak kurang juga yang nampak rasional di sebalik slogan itu, terutama apabila dikaitkan dengan berbagai tindakan Umno/BN yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan rakyat. Tidak mustahil antara mereka akan teringat kembali suasana kehidupan lebih baik dan mewah sewaktu PAS memerintah Terengganu dulu.

Sebetulnya, jika diminta rakyat Terengganu membandingkan mana yang lebih baik di antara pemerintahan BN kini berbanding kerajaan PAS dulu, mereka yang ikhlas akan mengakui bahawa pemerintahan PAS lebih baik dari banyak segi.

Memang akan sentiasa ada pihak yang mengatakan sebaliknya. Bukan sahaja kalangan pendukung Umno, bahkan sebilangan orang PAS sendiri pun ada yang ‘bermasalah’ untuk menilai secara positif pengalaman berguna ditempa parti dulu.

Walau pun berkesempatan memerintah hanya sepenggal, PAS Terengganu telah membuktikan banyak perkara. Bagi mereka yang tidak hipokrit atau terlalu emosional dan bersentimen peribadi, tentu tidak sukar mengakui bahawa urustadbir negeri, hubungan peribadi pemimpin-pegawai kerajaan, pengurusan kewangan negeri, pentadbiran agama, kehidupan bersyariat dan kecaknaan terhadap kebajikan masyarakat di bawah kerajaan PAS adalah jauh lebih baik berbanding BN, sama ada sebelum kita memerintah dulu mahu pun sekarang.

Kini orang Terengganu sudah mula bercakap kembali mengenai kenangan manis itu. Ia tidak syak lagi amat menggusarkan Umno. Betapa sukarnya sebilangan pemimpin parti itu mengurus perasaan bimbang mereka menyebabkan ada yang tergamak berusaha menggagalkan program PGU dicanangkan PAS.

Yang menjadi mangsa kerakusan politik mereka ialah kain-kain rentang PGU. Ada poster dan kain rentang mengenai program tersebut ‘dilenyapkan’ oleh pihak yang tidak diketahui.

Di beberapa kawasan pula, ia diketahui dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, siapa sebenarnya di sebalik tindakan PBT itu tidak sukar ditelah.

“Ya, memang PBT mengakui menerima tekanan “pihak atasan” untuk bertindak menurunkan kain rentang PGU. Ia berlaku terutamanya di Dun Seberang Takir dan Bukit Tunggal, di (Kawasan) Kuala Nerus. Ia juga berlaku di Besut,” ulas Wan Sukairi.

Namun kita percaya kerja sabotaj itu sedikit pun tidak mematahkan semangat orang kita untuk ikut menjayakan HKR-PGU esok. Sebaliknya lagi kuat tekanan dan pengkhianatan dibuat Umno, selalunya lagi ia menambahkan bersemangat pendukung PAS tampil membela parti.

Sebagai usaha menampakkan impak besar dan berkesan, pihak penganjur meminta setiap hadirin lelaki mengenakan t-shirt berwarna hijau, terutama hijau terang. Manakala peserta muslimat dijanjikan selendang berwana sama.

Jika arahan itu dipatuhi sebaiknya setiap yang hadir, insya Allah akan dapat kita saksikan lautan manusia berpakaian hijau akan bergerak dan berkumpul di Kemaman, esok.

Untuk itu, pastikan diri anda (yang berada berdekatan) tidak ketinggalan menjayakan himpunan amat bersejarah ini. Ayuh, marilah sama-sama kita banjirkan Dataran Tok Guru dengan ‘gelombang hijau’ dan kita jayakan slogan ‘PAS Ganti Umno’!




MPK buang bendera PAS
Khairul Azlam Mohamad

KEMAMAN, 14 Jan: Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini cukup bimbang dengan strategi 'gelombang' Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno Peringkat Negeri yang diadakan di Dataran Tok Guru Kampung Geliga Besar, Chukai, di sini, esok.

Ini menyebabkan, kerajaan negeri telah menggunakan pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan bantuan pihak polis bertindak mencabut hampir 500 bendera PAS yang dipasang oleh petugas parti di sekitar bandar Chukai dan di jambatan Sungai Kemaman.

Tinjauan Harakahdaily mendapati operasi selama satu jam itu berjalan lancar dengan kawalan sebuah kereta peronda polis dan beberapa buah kereta yang dipercayai pasukan keselamatan berpakaian preman (SB).

Pihak PAS Kemaman melahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang disifatkan mengikut 'arahan' pimpinan Umno BN Terengganu yang bimbang dengan perhimpunan tersebut.

Program yang bermula jam 9 pagi esok melibatkan pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.




Isu Azan: Najib gagal pertahan syiar Islam
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Jan: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal dengan sikap Datuk Seri Najib Razak ekoran kegagalannya mempertahankan syiar Islam dalam isu bantahan Azan di Masjid Al Ikhlasiah, Lembah Pantai.

Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sangat malang bagi rakyat Malaysia yang majoriti Islam, namun perdana menterinya tidak mempunyai wibawa dan ketegasan bagi membela syiar dan syariat Islam.

"Kita merasa kesal dan kecewa dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Majid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam yang didakwa ahli MCA aeumur hidup.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park juga didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jawi.

Difahamkan, setelah perbincangan diadakan, pihak masjid kemudiannya diarah memperlahankan pembesar suara di masjid tersebut.

"Kita mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan Jawi tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN?

"Isu ini membuktikan bahawa Umno bukanlah parti yang mampu membela dan mempertahankan Islam, kerana mereka sendiri terpaksa akur dengan tuntutan ahli-ahli parti komponennya.

Menurut Suhaimi lagi, seluruh umat Islam tidak boleh menerima dan merasa terpukul dengan arahan tersebut yang menganggap ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

"Bagi kaum bukan Islam, azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam.

"Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang," terangnya lagi.

Beliau turut mempersoal, mengapa hanya dengan satu aduan daripada seorang ahli MCA, pihak Jawi dengan serta merta mengarahkan azan diperlahankan.

Apa yang dibimbangi ujarnya, jika aduan sama dibuat kepada masjid-masjid di tempat lain tindakan dan arahan sama akan turut dibuat oleh pihak berkuasa agama.

"Kita bimbang sekiranya berlaku nanti ada masjid terpaksa dibuang pembesar suara kerana dianggap mengganggu penduduk sekitar dan pihak kerajaan melayan tuntutan mereka," jelasnya.


RM18,000 tunggakan pegawai masjid tidak bertugas
Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 14 Jan: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) terpaksa menanggung tunggakan pembayaran yang telah dibuat kepada sebahagian besar dari pegawai masjid yang tidak bertugas pada tahun 2010 lalu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Masjid Jaipp, Ayub Yaakob semasa menyampaikan taklimat beliau dalam majlis penyampaian tauliah kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Pulau Pinang di sini semalam.

Katanya lagi, tunggakan yang terpaksa ditanggung oleh pihak jabatan adalah kerana terdapatnya pegawai-pegawai masjid yang terdiri dari imam dan bilal yang tidak bertugas tetapi telah dikreditkan imbuhan ke dalam akaun bank mereka.

"Masalah ini timbul kerana tiadanya kerjasama dari pihak waris dan jawatankuasa kariah masjid untuk memaklumkan kepada pihak jabatan mengenai mana-mana pegawai yang telah meninggal dunia, uzur atau pun telah meletakkan jawatan.

"Apabila perkara ini tidak menjadi satu perkara yang sensitif, akhirnya kerugian dialami apabila jumlah yang telah dikeluarkan sebanyak RM18 ribu itu tidak dikembalikan kepada pihak jabatan," ujarnya lagi.

Walau bagaimana pun katanya, usaha sedang diambil bagi mengatasi masalah tersebut supaya tiada kerugian yang dialami oleh pihak jabatan dan kerajaan negeri.

Manakala bagi bilal dan siak pula, tindakan sedang dilakukan bagi menambah jumlah imbuhan yang diterima.

Buat masa ini bilal di Pulau Pinang hanya menerima imbuhan sebanyak RM180 sebulan sementara itu siak pula menerima imbuhan hanya sebanyak RM200 sebulan.



SUK: 10,000 akan berhimpun desak KSN tarik balik
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Seramai 10,000 orang dijangka akan berhimpun di Stadium MPPJ di Kelana Jaya pada 23 Januari ini, bagi membantah perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru.

Perhimpunan tersebut dirancang oleh sebuah kumpulan pendesak baru yang dikenali sebagai Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS), bertujuan untuk memberikankan tekanan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya menarik balik perlantikan Khusrin.

Presiden HSRS, Haris Ibrahim menjelaskan, pihaknya berharap agar dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 10,000 orang ke perhimpunan itu yang akan diadakan pada jam 4.00 hingga 7.00 petang.

Menurut beliau, perlantikan Khusrin adalah kemuncak percubaan kerajaan persekutuan BN bagi menggagalkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam melaksanakan dasar dan programnya.

Katanya, dalam kes perlantikan SUK yang baru, faktanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menerima senarai nama yang disyorkan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tetapi tiba-tiba Khusrin yang diumumkan memegang jawatan itu.

"Tindakan itu jelas bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan konvensyen. Oleh itu, Sidek perlu membatalkan kembali perlantikan Khusrin itu kerana ia dibuat dengan tidak mengikut peraturan," katanya pada sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan China KL-Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memerintah negeri itu atas pilihan atau mandat rakyat (menerusi PRU Ke-12) lalu. Oleh itu, seluruh rakyat Selangor berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan pilihan mereka.

"Tetapi tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itu jelas menafikan hak Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Jadi, ia sebenarnya samalah juga seperti menafikan dan mengabaikan hak-hak seluruh rakyat Selangor," jelasnya.

Rakyat Selangor, katanya, tentunya amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itu, sedangkan sebelum ini kerajaan Pusat telah banyak melakukan tindakan sabotaj terhadap dasar Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menerusi pegawai-pegawai yang bersekongkol dengannya.

Oleh itu, beliau berharap agar orang ramai dan rakyat Selangor akan datang beramai-ramai pada perhimpunan itu bagi menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Pada perhimpunan itu, pihaknya akan turut mendedahkan pelbagai penindasan dan penyelewengan kerajaan Pusat terhadap rakyat Selangor yang melibatkan JKR, polis, Syabas, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perumahan.

Antara isu yang akan dibangkitkan itu termasuklah, pengabaian kerajaan Pusat kepada kumpulan yang layak menerima bantuan kebajikan, pengabaian kerajaan Pusat terhadap langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, menggugurkan projek yang tidak sepatutnya digugurkan.

Akan turut dibangkitkan juga, penolakan kerajaan Pusat terhadap cadangan Majlis Kerajaan Tempatan untuk menyediakan polis tambahan bagi kepentingan penduduk serta mengurangkan jenayah di Selangor, bekalan air, penindasan ke atas peniaga dan penjaja.

HSRC ditubuhkan pada 11 Januari lalu dengan dianggotai beberapa pertubuhan lain termasuk Bersih, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Conpac, CGG, GEL, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Civil Right Commitee, Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assambely Hall, LLG Cultural Development Centre Bhd dan Malaysian Civil Liberties Movement.


PAS cadang dialog selesai isu azan
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Jan: PAS Lembah Pantai mahu semua pihak yang terbabit dalam isu membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Lembah Pantai mencarai jalan penyelesaian secara rasional bukan emosional.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang kaedah penyelesaian berbentuk konfrantasi hanya akan merumitkan lagi keadaan.

"Kita menolak sebarang bentuk konfrantasi yang tidak akan menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, PAS Lembah Pantai menawarkan dialog diantara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini,"katanya.

Apa yang penting dalam isu ini tegasnya, masyarakat bukan Islam perlu memahami dan diberi kefahaman tentang hak orang Islam mengamalkan agama termasuk dalam isu azan.

Di Malaysia katanya, bukan sekadar izu azan malah masyarakat Islam yang hidup berdekatan dengan rumah ibadah bukan Islam juga akan terdengar suara atau terbau tempias daripada upacara keagamaan agama lain.

"Kita juga memahami hak mereka beragama dan mengamalkan upacara agama mereka.

"Namun, jika kesemuanya dibangkitkan tanpa ada toleransi, ia akan mencetuskan suasana tegang dan tidak harmoni dalam negara kita," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam, sehingga pembesar suara di masjid tersebut terpaksa diperlahankan.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Dalam surat yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid, peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu 'amat lantang' sehingga mengejutnya dari tidur


Tiada ulasan: