Isnin, 3 Januari 2011

KITA LIHAT BAGAIMANA....MEMANG SEPATUTNYA....LOGIKNYA....BAHAWA SULTAN LAH KUASA TERTINGGI....

DUN tergempar bagi kembalikan kuasa Sultan
Jan 3, 11 3:08pm


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan sidang dewan undangan negeri tergempar bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik setiausaha kerajaan negeri, penasihat kewangan dan penasihat undang-undang.

Keputusan itu diambil setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, hari ini di mana baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

NONE“Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan, kata Khalid pada sidang media yang penuh sesak dengan kehadiran wartawan.

Menurut Khalid, Baginda mencadangkan kepada kerajaaan negeri bagi membincangkan perkara berkenaan dengan SPA untuk mencari “jalan penyelesaian yang terbaik”.

"Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Calon yang layak

"Justeru, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

NONESehubungan itu, katanya, beliau tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

"Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio," katanya lagi.

Sehingga kini, Khalid belum berjumpa dengan Khusrin meskipun bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu melaporkan dirinya hari ini.




Pelajar Unisel pro-M cadang Khoo ganti Rosmah
Jan 3, 11 1:40pm


Bertindak atas khabar angin, kononnya seorang pemimpin tertinggi PKR akan dilantik sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel)yang baru, lima pelajarnya hari ini meluahkan bantahan mereka kepada menteri besar Selangor berhubung perkara itu.

NONEMereka yang yang diketuai oleh presiden, kumpulan pro-mahasiswa Unisel, Muhammad Nasir Abu Bakar, membuat temujanji bagi menyerahkan memorandum kepada Tan Sri Khalid Ibrahim pada jam 2 petang ini.

Muhammad Nasir berkata pihaknya menolak pelantikan canselor pusat pengajian tinggi itu yang berlatakbelakangkan pengaruh politik sama ada dari BN ataupun Pakatan Rakyat.

Sambil mendakwa memegang prinsip untuk bebas bersuara dan menyatakan pandangan, idealisme dan hak mereka sebagai 'third force' sekumpulan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) mahukan tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim sebagai canselor mengantikan Datin Seri Rosmah Mansor.

NONE“Seluruh mahasiswa Unisel telah bersetuju memilih ahli akademik selaku canselor baru Unisel dan menolak sekeras-kerasnya pelantikan ahli politik dalam melantik canselor baru.

“Antara sebab lain pelantikan beliau (Khoo) adalah kerana disebabkan pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas dalam bidang akademik serta sumbangan terhadap pembangunan negara,” kata Muhammad Nasir pada sidang media di Shah Alam.

Sebelum ini timbul ura-ura bahawa sama ada presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ataupun bekas timbalannya, Syed Husin Ali akan dilantik sebagai canselor baru.

NONEMenurut Muhammad Nasir pihaknya telah mengumpulkan kira-kira 500 tandatangan bagi menyokong perkara itu dan berharap pihak pentadbiran seharusnya berlapang dada dalam menerima kritikan dan pandangan dari mahasiswa khususnya untuk membaiki masalah yang sedia ada.

Pada 20 November lalu, Rosmah mengumumkan pengundurannya bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA dan pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Presiden NUJ dikenakan siasatan dalaman
Jimadie Shah Othman
Jan 3, 11
12:18pm


Kelantangan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akhirnya membawa padah apabila beliau dipanggil menjalani siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media.

NONEMenurut Hata (kanan), berdasarkan surat daripada bahagian sumber manusia Utusan bertarikah 23 Disember, beliau dikehendaki hadir bagi sesi itu di ibu pejabat syarikat penerbitan akhbar itu di Cheras pada 6 Januari.

"Saya dibenarkan melantik seorang wakil dalaman bagi berhujah bagi pihak saya," kata wartawan kanan di akhbar milik Umno itu.

Beliau dituduh menyindir pengurusan dan memburukkan imej syarikat ekoran komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita, antaranya mengkritik Utusan Malaysia.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'.

Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Dua surat tunjuk sebab

Hata juga dilapor diminta meletakkan jawatan di Utusan jika tidak selari dengan perjuangan akhbar tersebut "untuk menyedarkan orang Melayu".

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Hata turut mendedahkan, belum sampai sebulan dipilih menjadi presiden baru kesatuan itu pada awal September lalu, beliau telah menerima surat tunjuk sebab pertama daripada Utusan.

azlan"Ia ekoran kenyataan pertama saya selepas menjadi presiden," katanya sambil memberitahu menerima sepucuk lagi surat tunjuk sebab pada bulan berikutnya.

Bagaimanapun, Hata berkata, dalam surat tunjuk sebab itu, beliau turut didakwa mendedahkan rahsia syarikat - perkara yang didakwa tidak dihadapinya dalam siasatan dalaman yang akan berlangsung.

Ditanya sama ada beliau akan memberikan kerjasama dalam siasatan dalaman itu, Hata menjawab ringkas:

"Saya pergilah (sesi tersebut), tak ada masalah."

Hata - pemimpin kesatuan yang dianggotai kira-kira 1,300 wartawan - juga berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan terhadapnya itu kerana "perkara itu sudah dijangkakan".

Pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).





Khusrin daftar masuk, MB mengadap Sultan
Jan 3, 11 9:51am


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijadualkan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 11 pagi ini di Istana Mestika, Shah Alam.

Ia dipercayai sebagai mencari jalan penyelesaian perlantikkan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

Khalid yang ditemui wartawan ketika tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri pada jam 10 pagi tadi, enggan mengulas perkembangan terbaru berkenaan.

"Kita akan buat pengumuman bila tiba masanya,” kata beliau ketika menunggu menaiki lif ke pejabatnya.

Awal pagi ini, Khusrin tiba untuk bertugas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada jam 6.45 pagi ini, di sebalik kontroversi perlantikannya itu.

Beliau juga mengelakkan diri daripada sekumpulan wartawan yang menunggunya di pintu masuk bangunan itu sejak awal pagi.

"Tiada masalah,” katanya sebelum terus menyelinap ke dalam bangunan di Shah Alam itu.

Khusrin yang memakai sut kelabu berbelang, kemeja putih dan tali leher masuk ke pejabatnya kira-kira pukul 7 pagi selepas kenderaannya dilihat melalui pintu masuk bangunan SAAS pukul 6.45 pagi.

Beliau diiringi dua pengawal keselamatan kerajaan negeri ketika masuk ke pejabatnya.

Bagaimanapun, adalah dipercayai beliau masih belum melaporkan diri kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut sumber dari pejabat menteri besar, tiada arahan dikeluarkan bagi menahan Khusrin daripada pergi ke pejabat setiausaha kerajaan negeri yang terletak pada tingkat 19 bangunan itu.

"Tidak akan berlaku konfrontasi... Sudah tentu, beliau boleh masuk tetapi sama ada beliau akan bekerja untuk kita (kerajaan negeri Selangor) adalah cerita lain,” kata sumber itu.

Anggota dan pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dilihat berjaga-jaga di lobi bangunan itu.

Khusrin dijadual mengangkat sumpah jawatannya pada 6 Januari ini tetapi kerajaan negeri membantah perlantikkan itu kerana mendakwamenteri besar tidak dirujuk.

Kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak senang dengan perlantikkan Khusrin oleh kerajaan persekutuan sebagai ketua kakitangan awam di negeri itu kerana beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika Umno menerajui Selangor.

Khusrin, 54, dipilih oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember lalu.

Sebelum dinaikkan pangkat, Khusrin berkhidmat sebagai pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).




Kontrak Kuin: Pemuda BN buat laporan SPRM
Jan 3, 11 3:44pm


Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Pengerusi Pemuda BN Kedah Badrol Hisham Hashim berkata laporan itu dibuat memandangkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa memberi projek pembinaan fasa kedua secara terus kepada sebuah syarikat dan bukan melalui tender.

"Tindakan kerajaan negeri itu telah mencabuli janji kerajaan PAS dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 lalu, memberi projek melalui sistem tender," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan itu di Pejabat SPRM di Alor Setar.

Badrol Hisham mendakwa enam kontraktor yang disenaraikan untuk bidaan tender bagi fasa kedua projek itu telah diketepikan oleh kerajaan negeri, sebaliknya projek itu diserahkan kepada sebuah syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Kampus Kuin yang kini dalam pembinaan di Kuala Ketil, Baling menelan kos bernilai RM330 juta dan dijangka siap pada 13 September 2012.

Anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Sato Sdn Bhd dipertanggungjawabkan membina kampus berkenaan bagi fasa pertama dan bagi fasa kedua pula akan diberikan kepada syarikat melalui bidaan tender.

Badrol Hisham turut mendakwa peletakan jawatan Pengerusi Syarikat Kedah Sato Sdn Bhd, Datuk Mahfuz Omar pada 29 Disember lalu, adalah disebabkan rasa tidak puas hati mengenai pemberian kontrak berkenaan secara tidak adil.

"Saya percaya beliau (Mahfuz) melepaskan jawatan itu disebabkan tidak sanggup melihat kezaliman pentadbiran dan sebagai satu protes ketidakadilan kerajaan negeri dalam pemberian tender itu," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap Menteri Besar tampil dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.

--Bernama



Dr Lo'Lo' dakwa 'tiger show' dibiar...
Jan 3, 11 1:06pm


PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu sebuah pertunjukkan yang didakwa berunsur maksiat ala-tarian 'tiger show', pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di Putrajaya pada 16 Disember lalu, lapor Harakahdaily.

NONEMenurut ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali, beliau pelik apabila Umno cepat menyelar cara pemakaian ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel ala-tarian 'tiger show', Umno seperti tidak peduli.

"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro-Umno," katanya yang juga ahli parlimen Titiwangsa.

Majlis makan malam berkenaan didakwa dianjurkan sebuah firma swasta dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.

Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dikatakan tidak memperdulikan atau gagal bertindak ke atas penganjur majlis makan malam itu.

Katanya, majlis berkenaan dengan jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.

NONE"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.

"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) JAWI sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.

Minggu lalu, akhbar rasmi PAS itu juga melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.

NONEKatanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel berkenaan.

Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.

Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas firma itu sebagai penganjur dan pihak hotel berkenaan sebagai pengendali majlis.


Halang tugas penjawat awam: Mat Sabu dilepas
Susan Loone
Jan 3, 11
11:48am


Mahkamah majistret Jawi hari ini membebaskan ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohammed Sabu (bawah, kiri) daripada tuduhan menghalang ketenteraman awam dengan menghalang tugas penjawat awam.

NONEMajistret Mohd Izaham Ali melepaskan Mohammed dan sembilan yang lain daripada tuduhan yang didakwa dilakukan pada 9 Disember 2007 di susur keluar Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan.

Mereka juga didakwa menolak anggota polis dan enggan membuka pintu kereta apabila diminta berbuat demikian.

Menurut majistret, terdapat percanggahan antara kenyataan polis dan juga saksi.

Selain itu, katanya terdapat keraguan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, percanggahan keterangan dua saksi pendakwa iaitu saksi kesepuluh Supt Mohd Nasir Salleh dan saksi ke-11 Idris Rejap dan tiada keterangan spesifik mengenai tertuduh telah menolak penjawat awam.

NONESembilan tertuduh yang lain ialah Mohd Binyamin Ishak, 48, Fuadzi Suharat, 48, Md Lazim Osman, 54, Abdul Razak Ramili, 46, Mohd Subri Mohd Said, 46, Zamarul 'Aini Abdul Malik, 40, Zainul Azrun Zainal Abidin, 39, Abdul Rahim Mat Ariff, 62, dan Mohamad Salleh, 51.

Jika didapati bersalah, semua sepuluh mereka boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan didenda sehingga RM10,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, dibantu oleh Khairul Fairuz Rahman dan Ahmad Razali Muhamad Nazri, manakala Mohamad dan sembilan rakannya diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusof.

NONEKetika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan menganggap ia satu kemenangan dalam menegakkan perjuangan.

"Terima kasih atas usaha peguam-peguam kami yang telah bertungkus lumus mencari bukti dan berhujah membela kami untuk menang dalam kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Mohamad dan rakan-rakan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan penghakiman.

“Tahniah kepada barisan peguam yang telah berusaha memastikan kemenangan bermakna ini,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah ADUN Permatang Pasir Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti negeri Lim Hock Seng.


Tuduhan rasuah: Lagi pegawai Sime didakwa

Jan 3, 11 12:50pm


Seorang lagi bekas pegawai kanan Sime Darby hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah - kali ini membabitkan pemberian kontrak bernilai RM23 juta.

Bekas pengurus besar operasi, Sime Darby Engineering Sdn Bhd yang berpangkalan di Pasir Gudang, Md Zaki Othman, 48, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baharu dengan dua tuduhan rasuah berjumlah RM 55,300 berhubung kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta.

Bulan lalu, seorang bekas pengurus kanan di Sime Darby Engineering Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menerima sogokan RM200,000 bagi mencadangkan firma tertentu diberikan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Mazhazmi Jamaludin didakwa menerima wang berkenaan daripada MLC Shipbuilding sebagai bayaran bagi mencadangkan firma itu diberikan kontrakUS$132.2 juta (RM421.15 juta) daripada Sime Darby.

Ogos lalu, Zamri Mohd Iderus, 39, menjadi pengurus pertama Sime Darby yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan kos yang tinggi yang dilaporkan oleh konglomeate itu.





Samy Vellu mulakan tugas baru Khamis ini
Jan 3, 11 12:18pm
Datuk Seri S Samy Vellu yang menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Sabtu lalu, akan memulakan khidmatnya bermula dengan New Delhi, Khamis ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Samy Vellu di Kuala Lumpur hari ini, beliau akan mengetuai delegasi 150 kaum India Malaysia untuk menghadiri Pravasi Bharatiya Divas kesembilan, satu persidangan tahunan yang menghimpunkan masyarakat berketurunan India dari seluruh dunia.

NONEBekas Menteri Kerja Raya itu akan mengadakan perbincangan dengan pegawai peringkat tertinggi kerajaan India di luar persidangan empat hari di New Delhi untuk menyediakan asas ke arah membuka lebih banyak peluang untuk diteroka oleh ahli perniagaan Malaysia di India.

Persidangan itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada Sabtu itu akan turut dihadiri menteri Kabinet India, termasuk Menteri Kewangan, Pranab Mukherjee, dan Menteri Pengangkutan dan Lebuh Raya, Kamal Nath, yang bertanggungjawab terhadap projek infrastruktur di India.

Bekas Presiden MIC yang meletak jawatan bulan lalu setelah menerajui parti selama 31 tahun itu dilantik sebagai Duta Khas Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk memanfaatkan pengalaman Samy Vellu dalam mendapatkan projek bernilai berbilion ringgit bagi syarikat dari Malaysia semasa berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya.

- Bernama

Tiada ulasan: