AMPANG, 25 Jan: Seluruh rakyat negeri Selangor dan Malaysia semalam telah menyaksikan satu lagi sejarah penderhakaan pemimpin Umno BN, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Tambahnya, tindakan Adun Umno BN yang menolak usul pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi tujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah cukup melayakkan syarat buat mereka untuk bergelar “Umno Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”. “Selama ini Umno mengaku kononnya merekalah Juara Melayu, tetapi bila mana usul pindaan mahu mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu, terutama Yang Mulia Raja Selangor dibentangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, mereka menolak mentah-mentah pula,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. Beliau yang juga Keua Wanita PKR berkata, insiden semalam juga akan menjadi satu lagi ‘trade-mark’ kegagalan agenda Ketuanan Melayu Umno, selepas tragedi penarikan kuasa Raja-raja Melayu 1993. “Dakwaan bahawa Umno parti pemusnah dan penindas bangsa Melayu kini tidak lagi diragui dan sudah terbukti benar,” katanya. Justeru, ujarnya rakyat kini telah sedar, siapa Juara Melayu sebenar, siapa Hang Tuah tulen, yakni yang pastinya bukanlah Umno “Si Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”. Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Satim Diman semasa membahaskan perkara itu semalam menegaskan beliau dan 20 Adun dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Perkhidmatan bas wanita harus dipuji Nur Idayu Abd Rahman | Usaha Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) membuka lapan laluan baru utama bagi perkhidmatan bas wanita dan dua Rapid Bas Wanita bagi setiap satu laluan pada waktu puncak harus dipuji. Unit Siswi Karisma (Sisma), sebuah sayap mahasiswa wanita di bawah Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) menyokong tindakan RapidKL dalam memastikan keselamatan golongan wanita untuk sampai ke destinasi terutama ketika waktu berpenumpang tinggi. Tindakan ini dilakukan setelah tempoh percubaan bas wanita yang telah dilancarkan selama sebulan dan berakhir pada 31 Disember lepas mendapat pujian dan maklum balas baik dari pengguna wanita yang berpuas hati dengan perkhidmatan ini. Rata-rata pengguna wanita yang terdiri dari penjawat awam dan swasta menyatakan kelegaan apabila mereka tidak perlu lagi bersesak-sesak dengan lelaki dan terhindar dari sebarang kemungkinan gangguan seksual semasa menggunakan perkhidmatan bas wanita sewaktu pergi dan pulang dari kerja mahupun belajar. Langkah ini bukan lagi baru di negara kita setelah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengasingkan satu koc untuk wanita dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna wanita pada April tahun lalu. Perkhidmatan seumpama ini juga sebenarnya sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Rusia, Mexico, Iran, Brazil dan Emiriah Arab Bersatu dengan hasrat mengelakkan gangguan seksual sejak tahun 2007 . Sisma juga mendesak agar langkah penyediaan pengangkutan awam yang lebih sempurna diwujudkan bagi membolehkan pengguna-pengguna pengangkutan awam mempunyai ruang peribadi yang secukupnya di dalam bas mahupun tren pada waktu puncak, supaya pengguna pengangkutan awam tidak dibebankan dengan tekanan. Termasuk juga mewujudkan perkhidmatan yang lebih mesra terhadap golongan OKU dan warga emas yang masih kurang diberi perhatian. Begitupun, Sisma memandang langkah serius masih perlu diambil bagi menangani masalah gangguan seksual yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang tanpa mengenal lokasi mahupun destinasi. Masyarakat seharusnya dididik agar menghormati kaum wanita dan bukan memandang kaum wanita sebagai suatu golongan yang lemah dan tertindas namun sebagai golongan yang dilindungi dan dipelihara kerana keistimewaannya serta martabat yang diangkat dalam agama Islam. Nur Idayu Abd Rahman Ketua Unit Siswi Karisma (Sisma) Naib Presiden 2 Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma-JIM)
Muhyiddin pengadu domba nombor satu Nazri Abdullah
| KUALA LUMPUR, 24 Jan: Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai 'pengadu domba nombor satu' apabila menyokong tindakan pemimpin MCA menakutkan masyarakat Cina dengan isu negara Islam. Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sikap Timbalan Presiden Umno itu bukan sesuatu yang pelik, malah yakin itulah mainan pemimpin Umno sejak melihat sokongan bukan Islam kepada Pakatan semakin bertambah. Tambahnya, tindakan itu juga menjelaskan betapa Muhyidin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak ada isu untuk berdepan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dun Tenang kali ini. "Satu ketika bila berdepan masyarakat Melayu dia (Muhyidin) kata PAS nak hapus negara Islam, kononnya mahu menanam kebencian orang Islam kepada PAS. "Tapi bila berdepan pengundi bukan Islam dia kata PAS mahu tegak negara Islam kerana mahu takutkan orang bukan Islam menyokong PAS. "Beginilah orang tak ada isu, pengadu domba nombor satu," katanya. Sehubungan itu beliau mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno dan BN yang disifatkannya mampu mengancam keselamatan negara. Sebelum ini, isu negara Islam yang dibangkitkan oleh presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan disifatkan oleh Muhyiddin sebagai tindakan "mengingatkan masyarakat Cina". Muhyiddin juga dilaporkan berkata "ada baiknya" MCA berbuat demikian kerana sehingga kini, PAS tidak pernah menukarkan perlembagaan yang menggariskan agenda untuk menubuhkan negara Islam. Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidasnya dengan menyifatkan ia "isu lama" dan masyarakat Cina tidak akan terpedaya dengannya. Berhubung isu calon PAS, Normala Sudirman yang memakai sarung tangan sewaktu bersalam pula, Mahfuz menggesa Umno BN berhenti mempolitikkan isu tersebut dan menghormati pegangan seseorang dalam beragama. "Sama macam kita menghormati orang Hindu tak makan lembu, bukan bermakna lembu itu kotor, tetapi sebab pegangan agama," katanya.
Pakatan Selangor tekad dapatkan majoriti 2/3 Ismail Hashim | SHAH ALAM, 24 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun sidang Dewan Negeri Selangor hari ini gagal untuk meluluskan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri, namun keputusan itu tidak mematahkan semangat Pakatan Rakyat. Menurutnya, isu ini menguatkan lagi tekad PR untuk membuktikan kewibawaan mereka dan memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula. Abdul Khalid menegaskan demikian ketika bercakap dalam sidang media sebaik selesai mengusulkan tempoh mesyuarat pada hari ini dilanjutkan sehingga jam 7 malam bagi memastikan semua urusan sidang selesai. Dalam sidang sejak pagi tadi, semua wakil BN mengambil sikap tidak menyokong usul pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dibawa oleh Abdul Khalid dalam usaha mengembalikan kuasa Sultan dan MB untuk melantik tiga ex-officio termasuk SUK. Menurut kenyataan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim, dewan memerlukan dua pertiga, iaitu 38 sokongan dari 56 Adun sedangkan PR hanya mempunyai 35 kerusi sahaja dan BN (21). Dalam pada itu, Khalid berkata, mereka masih berpendirian Sultan Selangor dan MB berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna. "Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat Federalisme atau bertemu setengah jalan, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor," tegasnya. Bersama menjunjung amanah rakyat, tegasnya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menggandakan usaha untuk menjalankan tugas dan meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan sidang kali ini terutama Speaker yang berjaya menjalankan tugas secara profesional
SPR enggan guna dakwat, kekal undi pos Nazri Abdullah | PUTRAJAYA, 24 Jan: Pakatan Rakyat melahirkan rasa kesal ekoran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap dengan pendirian tidak mempertimbang cadangan mereka bagi penggunaan dakwat kekal. SPR juga turut menolak desakan menghapuskan undi pos yang didakwa tidak telus. Bagaimanapun jelas Ahli MPP (Ex-Officio) PKR, Sivarasa Rasiah, SPR mempertimbang untuk menambah baik sistem tersebut. "Bagi pendaftaran automatik, SPR juga memberitahu tidak akan dilaksanakan kerana perlu kepada pindaan perlembagaan," katanya lagi. Selain pendaftaran automatik, turut menuntut pindaan perlembagaan adalah cadangan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Sehubungan itu, perkara tersebut perlu dibawa ke Dewan Rakyat jika mahu dilaksanakan. Pakatan Rakyat turut yakin bahawa tiada persempadan semula akan dibuat jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan tahun ini. Keyakinan itu dilontarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selepas pertemuan antara pemimpin Pakatan Rakyat dengan SPR di sini, hari ini. Menurut penjelasan SPR katanya, kajian persempadanan semula hanya akan bermula 21 Mac tahun ini dan mengambil masa dua tahun sebelum dilaksanakan. "Jadi kita boleh buat kesimpulan, kalau pilihan raya dibuat 2011, maka tiada persempadanan semula," katanya pada sidang media di lobi pejabat suruhanjaya itu. Turut serta pada pertemuan dengan anggota tertinggi SPR itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abd Halim Abd Rahman, Setiausaha Biro Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong, Ketua DAPSY, Antony Loke dan dua wakil dari sekretariat Pakatan Rakyat. Pertemuan kira-kira satu jam setengah itu antara lain turut membincangkan isu proxy voting, undi pos kepada askar wataniah, penggunaan dakwat kekal, pendaftaran automatik serta umur mengundi 18 tahun. "Pengerusi SPR memberi jaminan bahawa proxy voting tidak akan dilaksana," tambahnya lagi. Berhubung dakwaan askar wataniah akan mengundi secara pos pula beliau berkata, SPR turut memberi jaminan perkara itu tidak berlaku. "SPR juga memberi jaminan askar wataniah tidak termasuk dalam undi pos," katanya. Sebelum ini jelasnya, terdapat kebimbangan berhubung status undi askar wataniah sama ada mengundi sebagai pengundi pos atau biasa. Seperkara lagi yang turut dibincangkan adalah cadangan tempoh kempen selama 21 hari. Menurut Liew, jumlah tersebut adalah separuh daripada amalan pada pilihan raya umum pertama tahun 1959 yang menetapkan tempoh kempen sebanyak 42 hari. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan