Khamis, 20 Januari 2011

KENA SEDAR KITA MENANG ATAS TIKET PARTI BUKAN PERIBADI ATAU KELULUSAN...INGATLAH PADA SEMUA YB2...BILA KALAH AKUILAH...KITA TIADA KUASA LAGI..

Badrul rayu pada SPR

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

PELABUHAN KLANG: “Saya tak hadir sidang DUN (Dewan Undangan Negeri), saya sudah hantar surat mohon cuti. Pasal pengumuman Speaker tadi (semalam), saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengumuman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim semalam mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berkuat kuasa 16 Januari lalu berikutan kegagalannya hadir selama enam bulan.


Badrul Hisham berkata, dia mengetahui berhubung pemecatannya itu melalui siaran berita sebelum dihubungi wartawan bagi mendapatkan komennya.

Menurutnya, tindakan pemecatannya itu adalah satu penganiayaan terhadapnya dan tidak tahu dari mana Speaker mendapatkan maklumat yang beliau sudah enam bulan tidak hadir sidang DUN.


“Dia (Speaker) sepatutnya menghantar surat maklumkan kepada saya mengenai pemecatan ini terlebih dulu, bukannya membuat sidang media.


“Dakwaan itu tidak kuat. Saya ada bukti, ketika saya tidak hadir, saya sudah menghantar surat kepada Speaker, surat daripada doktor.


“Saya bukan Exco yang perlu datang ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) setiap hari. Semua yang saya buat, saya ada bukti yang menyokong saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raja Uda, di sini, semalam.


Badrul Hisham yang kini menjadi ahli Umno mendakwa sepatutnya pengumuman itu dibuat SPR dan bukannya Teng, selain perlu memaklumkan kepadanya terlebih dulu.

Ditanya apa tindakannya selepas ini, Badrul Hisham berkata, beliau akan membuat rayuan kepada SPR untuk pemecatan itu ditarik balik selain menunggu keputusan mengenainya.


Sambil meminta penyokongnya bertenang dan bersabar, Badrul Hisham berkata, beliau juga akan membuat rayuan kepada SPR berhubung perkara itu.


Mengulas sama ada akan hadir pada sidang DUN Isnin ini, Badrul Hisham berkata, ramai Adun dan pemimpin Umno menyatakan beliau berhak untuk menghadiri sidang berkenaan.


“Saya akan menghadiri mesyuarat Perhubungan Umno Selangor petang esok (hari ini) bagi mendapatkan arahan dan panduan daripada kepemimpinan Umno Selangor,” katanya.


Sejak Pilihan Raya Umum ke-12, nama Badrul Hisham sering menjadi sebutan dan bahan berita berikutan ura-ura beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada awal 2009, penafiannya pada Februari tahun sama, sehingga kepada tindakannya meninggalkan PKR untuk menjadi Adun Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN) pada 29 Oktober 2009.


Ketika mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi Adun Bebas, Badrul Hisham menyatakan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan dan desakan untuk meletak jawatan.



Keputusan dibuat ikut Perlembagaan Selangor


SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim semalam mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang kosong berkuat kuasa 16 Januari lalu berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang DUN selama enam bulan.

Beliau berkata, berkata keputusan itu dibuat mengikut Fasal 69 Perlembagaan Selangor iaitu sekiranya seseorang Adun itu tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan, kerusinya boleh diisytiharkan kosong oleh Speaker.


Menurutnya, berikutan Badrul Hisham gagal menghadiri DUN selama tempoh ditetapkan tanpa alasan munasabah, beliau terpaksa membuat keputusan berhubung kedudukan Adun berkenaan.

Teng berkata, keputusan itu turut disokong Fasal 70 perlembagaan negeri.


“Pada sidang pertama DUN pada 12 hingga 14 April 2010, dia hadir tiga hari berturut-turut manakala sidang kedua DUN pada 12 hingga 15 Julai tahun sama, Badrul tidak hadir dua hari iaitu pada 13 dan 14 Julai,” katanya.



Sultan Selangor tak mahu tindakan disalah erti


SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa tindakan baginda menandatangani proklamasi memanggil mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari ini jangan disalahertikan bahawa baginda menyokong mana-mana pihak.

“Beta menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat Dewan Negeri di bawah sub-peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri yang ditetapkan pada 24 Januari 2011,” titah baginda dalam satu perutusan yang dikeluarkan, semalam.


Sultan Selangor bertitah proklamasi itu ditandatangani baginda selaras dengan kuasa dan tanggungjawab baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Baginda juga berharap agar mesyuarat dewan pada kali ini dapat dijalankan dengan teratur mengikut peraturan yang ditetapkan.


“Janganlah hendaknya perjalanan kuasa Beta menandatangani proklamasi ini disalahertikan bahawa Beta menyokong mana-mana pihak dan janganlah Beta diseret dan dilibatkan masuk dalam kancah politik oleh mana-mana pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab,” titah Sultan Selangor.


Dalam kenyataan akhbar yang berasingan, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda menerima draf pindaan Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan baginda meneliti cadangan pindaan itu.

“Bagaimanapun baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menilai sama ada pindaan tersebut wajar diterima untuk diluluskan ataupun tidak,” kata Mohamad Munir. - Bernama



Draf cadangan sudah dipersembah



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau sudah mempersembahkan draf cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi semalam.

Menurutnya, draf cadangan itu bagi memberi kuasa melantik tiga pegawai eksekutif di Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.



Wakil BN hadir sidang tergempar



PUTRAJAYA: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan menghadiri Sidang Tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 24 Januari ini, selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan permohonan Menteri Besar, Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan Sidang DUN berkenaan, kelmarin.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, wakil rakyat BN akan menghadiri sidang tergempar berkenaan dan sebarang keputusan berkaitan pindaan yang dibuat bergantung kepada kemampuan kerajaan negeri meyakinkan wakil rakyat BN mengenai keperluan pindaan itu.


Noh berkata, beliau melihat sidang itu sekadar helah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sudah tersepit kerana mempertikaikan keputusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), baru-baru ini.



Tiada ulasan: