Sabtu, 22 Januari 2011

KENA TAMPIL DAN TUNJUK SEMANGAT ISLAM SERTA PERJUANGAN YANG SYUMUL...ISLAM AGAMA ALLAH

Cikgu Mala sedia bawa suara rakyat ke Dun Johor
Hazayani Zakaria

LABIS, 22 Jan: Calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman berazam untuk membawa suara wanita ke Dun Johor dan mengajak para guru untuk membuat perubahan.

Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala yakin pengundi di Tenang sudah berani membuat perubahan dengan memberi undi kepadanya seterusnya menambahkan kerusi Pakatan Rakyat di Dun Johor.

"Saya yakin pengundi mampu dan berani membuat anjakan paradigma dan sebenarnya pencalonan ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada golongan wanita khususnya dan mewakili seluruh golongan pendidik di Malaysia.

"30 Januari ini pengundi di Dun Tenang akan membuat satu kejutan dan perubahan demi kelangsungan masa depan anak bangsa dan membawa permasalahan mereka ke Dun Johor dan menjadikan tujuh kerusi untuk Pakatan Rakyat di Dun Johor," kata beliau pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis, dekat sini hari ini.

Normala juga berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul amanah dalam memberikan khidmat kepada rakyat khusunya di Dun Tenang.

"Alhamdulillah, Allah bagi satu keberanian untuk saya membuat satu perubahan kerana saya telah iltizamkan dalam diri saya perjuangan ini untuk mencari keredhaan Allah," katanya tenang.

Justeru, bekas guru itu menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik pada 30 Januari nanti.

"Saya sangat optimis dan berkeyakinan mandat itu akan diberikan dan saya percaya pengundi di Dun Tenang mampu membuat pilihan terbaik.

"Pengundi sudah bijak untuk membuat pilihan dan saya serahkan kepada mereka pada 30 Januari ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Kerajaan bertanggungjawab cegah gejala sosial
Majdan Dagang

AMPANG, 22 Jan: Kiai Hassan Shazali Ahmad Shuhud, Mursyid Am Perkid merangkap mudir Darul Islah Sabak Bernam menegaskan bahawa kerajaan atau umara bertanggungjawab dalam membanteras gejala sosial yang berleluasa di Malaysia pada hari ini.

Pandangan beliau ini dikemukakan ketika menjadi ahli panel dalam forum perdana “Gejala Sosial Makin Parah, Antara Cabaran Dan Strategi Menanganinya”.

Forum yang berlangsung di Grand Ballroom, De Palma Ampang malam tadi itu turut disertai pendakwah bebas, Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz dan Datuk Nahrawi Hashim iaitu bekas Pengarah Jais). Moderator forum ialah Ustaz Masridzi Sat, Presiden Perkid Malaysia.

(Gambar: Masridzi (kiri), Mohd Farhan, Nahrawi dan Hassan Shazali.)

Forum perdana ini turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma, Datuk Mohd Ilyas dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Perlaksanaan sistem pendidikan Islam (mata pelajaran Pendidikan Islam) hendaklah diwajibkan sebagai satu cara menangani gejala sosial ini, tetapi apa yang berlaku, mata pelajaran sejarah pula dicadangkan sebagai mata pelajaran wajib,” ujar Mohd Farhan.

Selain itu, beliau menekankan peranan ibu bapa itu sendiri sebagai ketua keluarga di rumah dalam menangani masalah gejala sosial.

Katanya, jika kedua ibu bapa berjaya menunjukkan contoh yang baik dan melatih anak-anak solat dan mengajar tentang Islam, masalah itu dapat dikurangkan malah dihapuskan.

Forum yang berakhir kira-kira jam 11.30 malam itu turut dihadiri anak yatim dan miskin daripada Perkid.


PAC diminta siasat projek Pulau Jerejak
Fakhri Ali

BAYAN BARU, 22 Jan: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta menyiasat dengan segera akaun dan laporan terperinci projek pembangunan Pulau Jerejak bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa rakyat mengalami kerugian ekoran ketidaklancaran projek pembangunan di pulau tersebut.

Katanya, kerugian sepertimana yang dimaklumkan berikutan premium tanah sebanyak RM10.6 juta yang masih lagi belum dijelaskan oleh Syarikat Tropical Island Resort kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau Pinang.

"Manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM19 juta. Kerjasama antara PDC dan Uda Holdings Berhad sewajarnya dihentikan kerana ia merugikan kerajaan negeri.

"Uda juga bukannya pakar dalam bidang pembinaan tempat-tempat pelancongan. Mereka juga gagal menguruskan dengan baik resort yang terletak di Pulau Jerejak," katanya lagi.

Sim juga berkata, kerugian itu adalah kerana perancangan yang tidak komprehensif Uda bagi membangunkan pusat pelancongan Pulau Jerejak melalui pembinaan empat fasa projek yang merangkumi pembinaan ekopelancongan, rumah mewah dan juga marina di pulau tersebut.

"Dengan adanya siasatan terperinci, maka keadilan akan dapat dicapai sama ada terdapat atau tidak pihak yang terbabit dalam penyelewengan yang membabitkan projek pelancongan tersebut," ujarnya lagi.




Sekitar Proses Penamaan Calon PRK Tenang
Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria

12.10 pm: Penyokong bersurai kira-kira jam 12 tengah hari.

11.40 am:
Calon kini bergerak keluar dari pusat penamaan menuju ke kawasan penyokong berhimpuan di luar dewan.

11.30 am: Normala pada sidang medianya memberitahu, sekurang kurangnya tiga fokus utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Pertama, beliau akan menyuarakan masalah rakyat Dun Tenang, kedua- menyuarakan masalah kaum hawa di sini dan mewakili suara majoriti guru di Labis.

Tambahnya lagi, beliau yakin pengundi Tenang akan berani membuat perubahan dengan memilih calon PAS sebagai wakil rakyat mereka.



11.20 am: Setelah tempoh bantahan ditutup, SPR memberitahu menerima bantahan tetapi selepas meneliti, tiada pencalonan yang ditolak.

SPR mengumumkan pertandingan dua penjuru iaitu antara Normala Sudirman yang mewakili PAS dan Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN.

10.55 am: Ketua Pembangkang Dun Johor Dr Boo Cheng Hau, dari DAP berkata "Kami tunggu kehadiran Cikgu Mala bersama kami di Dun Johor".

10.40 am:
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, PKR akan menghantar sekurang-kurangnya 1,000 petugas bantu kempen calon PAS.




10.10 am: Calon PAS Normala Sudirman menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

10.05 am:
Hanya dua borang pencalonan dipamer iaitu masing-masing dari calon PAS dan calon BN.

10.00 am: Pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan waktu penyerahan borang pencalonan ditutup dan kini dipamer dan dibuka untuk bantahan sehingga jam 11 pagi.

9.50 am:
Presiden PAS ketika ditemui berkata, beliau optimis PAS mampu memenangi PRK Tenang berdasarkan kepada beberapa faktor.

Ianya termasuk perubahan pengundi muda terutama generasi kedua Felda, calon PAS yang yang dekat dengan masyarakat dan sokongan rakyat pada PRU 2008 yang menyaksikan PAS menang di dua Dun Johor.

Adapun Felda katanya, bukan lagi talian hayat Umno kerana masyarakat Felda sudah mula berubah.

Sekurang-kurangnya PAS akan mengurangkan majoriti BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

9.12 am:
Petugas mengawal keadaan penyokong PR yang semakin ramai dengan mengarahkan mereka bergerak ke tepi padang.

9.07 am: Calon PAS masuk ke dewan penamaan calon bersama pencadang dan penyokong.

Calon BN sudah masuk ke dewan penamaan jam 9 pagi tadi.

9.05 am: SPR mengumumkan masa menghantar borang penamaan dibuka jam 9 pagi tadi.

9.02 am:
Calon PAS, Normala Sudirman kini masuk ke pusat penamaan, kini sedang berada di khemah calon PAS yg disediakan SPR.

Mengiringi calon ke dewan penamaan calon, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, MB Selangor, Ketua Muslimat PAS, Datuk Chua Jui Meng dan lain-lain.



8.55 am: Penyokong PR kini mencecah 20 ribu orang berada di hadapan pusat penamaan. Sementara pimpinan PAS sedang berbincang dengan pihak keselamatan.

8.54 am:
Perarakan kini tiba di sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.50 am: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Peserta perarakan kini mencecah 15 ribu orang.

8.47 am:
Perarakan kini berada hampir 500 meter dari sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.45 am: Peserta perarakan kini mencecah 13 ribu orang.





8.40 am:
Antara pimpinan utama yg hadir, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Azmin Ali, dan Tan Seng Giaw.


8.30 am: Pimpinan dan calon PAS kini tenggelam dalam lautan penyokong yang berarak. Jumlah penyokong kini mencecah 8000 orang.

8.28 am:
Penyokong semakin ramai apabila mula bercantum dengan kumpulan kecil di sepanjang jalan.

8.23 am:
Perarakan dimulakan. Lebih 5000 mengikuti perarakan, ribuan lagi sedang menunggu di sepanjang jalan ke pusat penamaan.







8.20 am:
Pihak polis menutup jalan 2 km dari kedua-dua arah menuju ke pusat penamaan sejak malam tadi.

8.15 am:
Jarak ke pusat penamaan calon kira-kira 2 km. Masih menunggu beberapa kepimpinan utama sampai ke tempat himpunan.

8.06 am:
Perarakan akan bermula bila-bila masa bermula di hadapan bilik gerakan utama PAS, bersebelahan dataran wayang pacak, Labis.

8.02 am:
Penyokong dan Pimpinan PAS siap sedia berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis.

Barisan kepimpinan utama PAS dan PR baru sahaja selesai solat hajat.

Tiada ulasan: