KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut dilanggar sebuah kereta
dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 23, Jalan Kuantan-Sungai
Lembing, berhampiran Jambatan Sungai Atong, dekat sini, semalam.
Lebih menyedihkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu
kereta, Azhar Husin, 32, adalah adik mangsa sendiri yang menyedari
motosikal berkenaan adalah milik abangnya.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi
Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian, mangsa
Azhari Husin, 37, yang beralamat di Kampung Jelihang, Sungai Lembing
dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai
terlanggar belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang
wanita berusia 26 tahun menyebabkannya tercampak ke laluan
bertentangan.
“Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang
dipandu Azhar yang datang dari arah Sungai Lembing menuju ke bandar,”
katanya.
Akibat rempuhan itu, katanya, mangsa yang juga Pembantu Am Rendah
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) parah di kepala dan anggota badan
sebelum disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital
Tengku Ampuan Afzan (HTAA)di sini, untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami
kecederaan dan siasatan awal mendapati penunggang motosikal dan pemandu
kereta Perodua Myvi adalah adik beradik.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa
terlanggar belakang kereta Toyota Vios menyebabkannya tercampak ke
laluan bertentangan sebelum dilanggar pula oleh kenderaan di belakang.
Mohd Noor berkata, pihaknya sudah merekodkan keterangan pemandu dan
saksi kejadian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen
41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
12:37PM - 1 Dec 2014
Subsidi kembali jika harga minyak naik?
Anggota parlimen Ipoh Barat MP M Kulasegaran membangkitkan persoalan
sama ada subsidi harga minyak akan dikembalikan jika harga minyak
kembali meningkat.
Beliau
membangkitkan perkara itu setelah kerajaan tidak lagi memberikan
subsidi ekoran pengenalan kaedah pengapungan terkawal ketika harga
minyak dunia jatuh.
“Harga minyak dunia hanya menunggu masa untuk naik dan tanpa subsidi
kerajaan, harga RON95 dan diesel akan naik bawah sistem pengapungan
terkawal.
“Kerajaan justeru harus berjanji, apabila harga minyak naik, subsidi
mesti diperkenal semula supaya rakyat tidak terbeban,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan
harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter,
selepas 12 tengah malam tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Datuk Seri Hasan Malek berkata kerajaan mengikuti perkembangan pasaran
dan kadar tukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan
diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
Penetapan harga baru itu ekoran pengumuman kerajaan pada 21 November
lalu bahawa penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut
kaedah pengampunan terkawal mulai hari ini.
Kaedah itu seperti pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010.
Melalui kaedah itu, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.
“Potong gaji penjawat awam 10 peratus”
KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan supaya Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kewangan
berbincang bagi melaksanakan potongan gaji penjawat awam sebanyak 10
peratus secara automatik untuk diserahkan kepada isteri masing-masing,
kata Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Jika sebelum ini, perkara itu (potongan gaji) sudah dilaksanakan
oleh Kementerian Pertahanan yang membabitkan anggota tentera. Saya harap
ia boleh dilaksanakan sepenuhnya di semua jabatan kerajaan,” katanya
ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014 di
Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.
Dalam pada itu, Puteri turut mencadangkan kerajaan wujudkan program
bantu siswa mendapatkan pekerjaan kerana lebih 64,000 graduan wanita
masih menganggur.
Sehubungan itu, Puteri UMNO menggesa kerajaan supaya melaksanakan
konsep kerja dari rumah dan waktu kerja secara fleksibel terhadap
golongan wanita muda profesional seperti yang diamalkan di negara maju
ketika ini.
Katanya, trend wanita berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh
masa semakin meningkat menyebabkan banyak kehilangan tenaga kerja di
kalangan wanita muda profesional.
“Keadaan ekonomi sekarang memaksa kaum wanita turut sama menjadi
penyumbang kepada pendapatan keluarga. Sehubungan itu, Puteri UMNO
mencadangkan supaya usul memperkasakan wanita bekerjaya diperluaskan
dalam di sektor awam.
“Ia antara lain menggalakkan konsep kerja dari rumah serta kerja
secara fleksibel yang berjaya diamalkan di negara maju,” katanya, lapor
Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan