• Mohd Shamsuddin Lias Mohd Shamsuddin Lias
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Ketua Pembangkang, Shamsuddin Lias membuat gesaan itu selepas Sultan Selangor bertindak menarik balik gelaran 'Datuk Seri' yang dianugerahkan kepada Anwar pada 1992.

“Anwar wajar letak jawatan kerana beliau banyak menimbulkan krisis dan kemelut di negeri ini.

“Penarikan gelaran yang diputuskan oleh Sultan Selangor adalah sesuatu yang wajar atas perbuatannya,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dun, di sini, semalam.

Beliau berkata, Anwar perlu berani melepaskan jawatan itu (penasihat ekonomi) demi memastikan integriti negeri ini tidak terus tercalar.

“Setiap kemelut politik yang berlaku di Selangor mungkin berpunca daripada beliau dan beliau patut berundur segera,” katanya.

Shamsuddin berkata, beliau yakin penarikan dibuat Sultan Selangor berdasarkan tindak tanduk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang banyak menimbulkan masalah di Selangor.

“Sembilan bulan Selangor menghadapi krisis menteri besar akibat pemecatan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim oleh PKR sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan.

“Selain itu, Pilihan Raya Kecil di Kajang diadakan tanpa alasan yang munasabah dan dilihat lebih bersifat peribadi dan bukanya kepentingan parti,” katanya.

Menurutnya, beliau bersetuju dan menyokong keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor terhadap Anwar.

“Saya percaya atas alasan ini menyebabkan Sultan Selangor membuat keputusan itu,” katanya.