Lelaki Soleh Idaman Wanita
Apa kata selepas ini, kita bertanyakan soalan berikut ketika memandang cermin :
1. Adakah aku sentiasa taat kepada Allah dan Rasullulah?
2. Adakah jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidup aku?
4. Selama ini, adakah aku sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada Allah?
5. Ikhlaskah aku dalam beramal?
6. Adakah kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupku?
7. Takutkah aku kepada ujian Allah dan ancaman-Nya?
8. Adakah aku selalu memohon ampun atas segala dosa-dosaku?
9. Adakah aku zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya?
10. Adakah solat malam menjadi kebiasaanku?
11. Adakah aku bertawakal kepada Allah atau aku kerap mengeluh?
12. Adakah aku kerap memberikan infaq di waktu senang mahupun sempit?
13. Berusahakah aku untuk menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah di antara mereka?
14. Kuatkah aku amar maaruf dan nahi munkar?
15. Adakah aku sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan?
16. Adakah aku seorang pemaaf?
Andai jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah positif belaka, maka anda memiliki ciri-ciri lelaki soleh idaman wanita!
Di Mana Syurgamu Wahai Suami?
“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)Kekayaan yang dianugerahi Allah ini bukan semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta, tetapi kekayaan diri yang merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah yang seterusnya mendekatkan kita dengan syurga-Nya. Tanyalah pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka berasa nikmat Allah itu meliputi mereka kerana isteri itu tidak lain tidak bukan adalah anugerah Allah.
Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah rakamkan dalam Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari filem ‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia
“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak itu dan sering membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri itu sebagai anugerah bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila di merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan kemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada akan kehilangannya.
Disebalik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan syurga. Hadith Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang berkahwin, sehingga disebut Rasulullah telah sempurna separuh dari agama, maka sebahagianlah disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar ganjaran Allah disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita didunia, malah menambah saham akhirat dengan lipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat Allah yang terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga itu bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan Allah.
Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah ketua yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah dimana syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan dan tunaikan.
Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan kepada diri, andai nanti disaat terleka dan terlupa untuk bertanya dan bermuhasabah dimana syurgaku.
Sumber: http://www.ataphijau.com/
Ciri-Ciri Wanita Solehah
Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :
1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami
Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :
Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?
– Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
– Wajib menutup aurat
– Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
– Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
– Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
– Berbuat baik kepada ibu & bapa
– Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
– Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
– Bersikap baik terhadap tetangga
2. Taat kepada suami
– Memelihara kewajipan terhadap suami
– Sentiasa menyenangkan suami
– Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
– Tidak bermasam muka di hadapan suami
– Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
– Tidak keluar tanpa izin suami
– Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
– Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
– Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
– Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga
FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA
Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.
Faktor-faktor tersebut ialah:
1) Lupa mengingat Allah
Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”
Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)
Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.
2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.
Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am: ertinya:
” Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”
3) Mudah terpedaya dengan syahwat.
4) Lemah iman.
5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.
Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah Wanita yang solehah.
Sumber: http://nurjeehan.wordpress.com/
10 Ciri Suami Mithali
1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda.
Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.
2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.
Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.
3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’.
Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia terbuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.
Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Iniadalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.
5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda.
Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith dimana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.
6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda.
Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh dimana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.
7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.
Kemudian lakukan lah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.
8. Jangan merendahkan keinginan dia.
Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden dimana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia diatas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.
9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.
Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?
10. Pesanan Rasulullah S.A.W.
Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.
kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah memina supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui.
Sumber: http://mindatahwil.blogspot.com/
Suami Hebat, Suami Penyabar
Suami penyabar bukan sahaja menaikkan nilai wibawanya di hati isteri bahkan di pandangan Allah SWT jua.
Rasulullah SAW Mencontohkan Sifat Sabar Terhadap Isteri
Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad, Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi, Umar pernah berkata,
“Ya Rasul, mahukah engkau mendengar aduan saya? Kami kaum Quraisy biasa menguasai isteri kami. Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di mana lelaki tunduk diam pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru perilaku perempuan Ansar ini. Suatu hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab balas. Saya tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, ‘Apakah kanda tidak menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab balas baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai malam.’ Saya (Umar) lalu berkata, ‘Dia rugi. Apakah dia merasa aman dari kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?’” Nabi tersenyum dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Umar Mencontohi Kesabaran Rasulullah SAW Terhadap Leteran Isteri
Seorang lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang dileteri isterinya. Umar tidak menjawab sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata, “Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?”
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata, “Wahai Amirulmukminin,tujuan kedatanganku adalah untuk mengadu berkenaan perangai buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga begitu. Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?”
Umarpun berkata kepadanya, “Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.”
Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.”
Umar berkata, “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja.”
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan,
“Janganlah seseorang yang beriman (lelaki) membenci seorang (isterinya yang) beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia suka.”(Riwayat Muslim dan Ahmad)Sumber: http://sebarkanbahagia.blogspot.com/
Suami Jambatan Ke Syurga
Ayam sudah mula berkokok, mengerakkan hening pagi yang lama membisu. Si suami bangun lalu mengerakkan isterinya.
“Sayang, bangun sayang…dah subuh..kita solat sama-sama jom…”
Si suami berjalan meninggalkan isterinya yg masih terpingga-pinga, masih dibuai mimpi nan indah. Berjalan si suami menuju ke bilik para malaikatnya.
Perlahan-lahan tangan yang kasar itu mengerakkan anak-anak kecil itu. “dah subuh nak….bangun nak…pergi ambil wuduk, kita solat sama-sama. abi tunggu kat luar.”
Bangun anak-anak yang kecil itu meninggalkan selimut mereka. Berjalan separuh sedar menuju ke tandas dan membasuh muka. Mengambil wuduk. persiapkan diri untuk mengikut perbuatan abinya nanti. solat.
Suara yang garau itu dilaungkan ‘Allahuakhbar..’ tangan diangkat, dibawa keduanya ke atas perutnya. Seperti orang yang telah mati diletakkan tangannya.
‘Assalamualaikum wbt….Assalamualaikum wbt….’ tapak tangan mengusapi muka hamba yang berdosa.
Anak kecil lantas terus mengikutinya tanpa sebarang soal. Akalnya masih belum benar mengerti apa yang dilakukan oleh abinya. Cuma diberitahu kita sedang solat. menyembah Tuhan kita, Allah taala.
Tangan diangkat dan dirapatkan, anak kecil cuma mengikut gerakgeri abinya. Si isteri tersenyum manja melihat kedua anak kecilnya itu.
” Ya Tuhan, engkau berikanlah kepada diriku kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anakku, untuk sampai ke syurgaMu.Si isteri merasa sayu..hatinya sayu mendengar luahan doa dari seorang hamba yang cintakan Tuhannya, yang merintih kepada-Nya. Hatinya seperti disirami kasturi dari syurga. Setiap patah yang dilafazkan menusuk ke jiwa sanubarinya. Air matanya tertahan untuk tidak gugur lagi.
Ya Tuhan, jangan Engkau biarkan aku terus menzalimi diriku dan keluarga. Kau jadikanlah aku seorang suami dan ayah yang baik pada isteri dan anakku.
Kau jadikanlah juga isteriku sebagai seorang isteri yg solehah..yang mampu menjadi penyejuk hatiku, yang akan mendamaikan jiwaku. Kau berikanlah dia kekuatan untuk terus dan menerus menjaga anak-anakku. untuk mendidik mereka menjadi anak yg soleh. Kau berikanlah dia ketabahan dan kecekalan dalam mengharungi perjalanan rumahtangga bersamaku. “
“Aku syukur Ya Tuhan, Engkau kurniakan aku seorang isteri yg solehah buat diriku ini.. Aku syukur Ya Tuhan, Engkau berikan seorang ibu yang baik buat anak-anakku ini…
Aku syukur Ya Tuhan, dialah yang akan bersamaku, susah dan senang, untuk kami terus berjalan ke syurgaMu.
Kau eratkanlah kasih sayang antara kami, suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak. kurniakanlah kami cinta untuk kami saling berkasihsayang keranaMu.
Ya Tuhan, suatu hari nanti aku pasti akan pergi. pergi meninggalkan dunia yang fana ini. meninggalkan isteri dan anak-anakku. Engkau peliharalah mereka Ya Tuhan! Engkau lindungilah mereka dari menjadi bahan bakar api nerakaMu. Sesungguhnya aku takut untuk itu Ya Tuhan… Ampunkanlah kelalaian diriku selama ini.”
Air mata dari seorg hamba jatuh berderai membasahi bumi. Titisan-titisan taubat dan kecintaan mula luruh. Isterinya sudah tidak tertanggung…pipinya sudah disirami dengan air mata keinsafan. Munajat seorang hamba.
Doa diaminkan…
Suami memandang ke belakang. Entah apa yang dicari. Dia bangun mengorek langkah mendapatkan isterinya, merangkul anak-anak kecilnya.
Tangan isteri dipgg erat. “Sayang…bantu abg untuk bawa keluarga kita ke syurga.”
Tiada kata diucapkan lagi dari bibir si isteri. Air matanya masih belum mahu behenti mengalir. Cuma anggukkan kecil dibuat. Sambil melihat wajah seorang suami dan ayah pada anak-anak mereka.
~tamat…~
p/s: akan bersambung jika sy rajin mencoretkannya lagi. jika ‘mood’ ini datang lagi.
Fitnah Lelaki Terhadap Wanita
Seringkali kita dengar pasal fitnah perempuan terhadap lelaki. Fitnah perempuan yang kita nampak, memang dari banyak sudut. Lirik senyumnya, matanya, auratnya, potongan badannya, wangi-wangian, dan macam-macam lagi yang tak larat nak ditulis dekat sini.
Mungkin disebabkan terlalu fokus terhadap fitnah wanita terhadap lelaki, kita terlepas pandang pasal fitnah lelaki terhadap wanita. Ya, benar fitnah wanita terhadap lelaki itu kita nampak lebih dominan, menonjol dan tertonjol. Itu tidak dapat nafikan.
Tapi, disebabkan terlalu fokus pasal wanita, kita lupa pasal lelaki. Al-Quran dan Hadis sememangnya menekankan tentang fitnah wanita, tetapi al-Quran dan Hadis tidak melupakan pasal fitnah lelaki terhadap wanita!
Sebagai contoh para muslimin mengambil gambar dan memuatnaik gambar-gambar yang bermacam-macam pose di Facebook.
Mungkinkah untuk menggalakkan seseorang muslimin itu menyimpan janggut, memakai serban atau kopiah? Perkara itu amatlah jarang berlaku, sebaliknya menimbulkan fitnah terhadap wanita. Ada juga golongan yang warak memuatnaik gambar dalam Facebook.
Dah lah perwatakannya warak, kacak pulak tu. Lalu ramailah pulak golongan muslimah “like” gambar tu.
Bukan saja “like”, malah apa yang kita dapat lihat, ramai pulak muslimah yang ‘tersangkut’ dek mata kail fitnah lelaki warak tu.
Kononnya memuatnaik untuk menggalakkan orang lain untuk meniru cara Nabi SAW, padahal tindakannya itu membawa fitnah kepada muslimah!
Kalau pun memuatnaik gambar tu sekadar nak bagi kenal, tak perlulah bubuh gambar yang besar-besar dan bermacam-macam pose sampai membuatkan muslimah lain tersangkut di mata kail tu.
Cukuplah sekadar gambar biasa-biasa saja. Tapi, apa yang berlaku banyak pulak para muslimah tersangkut.
Bermacam-macam pujian diberikan. ‘Cutenyaaa, muka awak nampak alim, kacaknya, hensemnya…’ dan lain-lain.
Ada juga pujian fitnah yang ‘berbentuk islamik’ ya? Contohnya ‘indahnya ciptaan Allah, hensemnya ciptaan Allah ni…’ dan macam-macam lagilah!
Jadi, jangan fikir hanya wanita sahaja boleh bawak fitnah kat lelaki. Lelaki pun boleh bawak fitnah kepada wanita jugak. Ini adalah kerana kaum wanita juga dikurniakan gharizatul nau’ (naluri berkasih-sayang/seksual).
Mereka juga boleh terangsang dengan gambar-gambar kaum Adam.
Oleh itu, berpada-padalah dalam bergambar dan memuatnaik gambar kat Facebook dan laman sosial lain.
Kita asyik fokus pada fitnah wanita, dalam masa yang sama kita terlupa pasal fitnah lelaki terhadap wanita.
Sumber: Facebook Ustaz Nasir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan