Isnin, 22 Disember 2014

LAH NI TELAN KEDAI MAKAN...BILA KIAMAT TELAN SEMUA...ITU PUN MASIH LEKA BUAT MAKSIAT DAN LAWAN ALLAH SWT

8:37PM - 21 Dec 2014

Banjir telan kedai makan sekelip mata

Bencana banjir yang melimpahi pekan Rantau Panjang Khamis lepas menyebabkan seorang pemilik kedai makan hanya mampu melihat segala kelengkapan kedai miliknya dibawa arus dalam sekelip mata.

Faezah Kamarudin, 44, berkata semasa kejadian kedainya masih dibuka kira-kira 1 pagi dan beberapa pelanggan yang masih ada sebelum tiba-tiba limpahan air dari Sungai Golok melanda kawasan sekitar.

"Ketika itu saya hanya mampu melihat segala kelengkapan perniagaan saya dihanyutkan arus deras banjir. Ia berlaku begitu pantas tanpa sempat saya menyelamatkan barang-barang perniagaan.

"Kebetulan di belakang kedai saya ada paya. Jadi semua barang dibawa arus banjir, sampai kaunter saya pun dihanyutkan sekali ke paya itu," katanya kepada Bernama di Pasir Mas, hari ini.

Beliau berkata pelanggan yang ada dalam kedai sempat menyelamatkan diri apabila air mula memasuki kedai.

"Air masuk kedai dengan pantas dan kedai saya tenggelam terus, memang ini kali pertama berlaku sejak saya berniaga.

"Saya dan tiga pekerja diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang lalu di kawasan itu. Nyawa lebih penting dari harta benda," katanya.

Faezah berkata akibat kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas peralatan seperti televisyen, kerusi, meja dan lain-lain dihanyutkan air banjir.

"Saya hanya mampu berserah dan perlu mengeluarkan modal lain untuk memulakan semula perniagaan.

"Banjir kali ini adalah paling buruk, selalunya setiap kali banjir, air tidak masuk ke dalam kedai," katanya.

Nasib serupa turut dialami seorang lagi peniaga, Hasnah Yusof, 58, yang menganggarkan kerugian lebih RM20,000 selain kedai yang mengalami kerosakan teruk.

"Tidak ada apa yang mampu saya selamatkan, (tetapi) saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

- Bernama
 
 
 


5:30PM - 21 Dec 2014

Palanivel 'ayahanda' samseng, kata Muneandy

Walaupun mengkritiknya, hakikatnya Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel sendiri seorang “ayahanda samseng dan ganas” dalam parti itu, kata seorang anggota jawatankuasanya Datuk N Muneandy.

Dalam kenyataannya kerasnya hari ini, Muneandy, berkata Palanivel memberi habuan terhadap pihak yang terlibat menyingkirkan bekas presiden Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini.

“Palanivel menganugerahkan mereka kedudukan dan ini petunjuk jelas terhadap dukungannya terhadap amalan samseng dan ganas,” katanya anggota MIC Ampang itu.

Palanivel sebelum ini menyelar kekecohan yang berlaku dalam persidangan tergempar MIC pada Khamis sebagai “samseng dan ganas” terhadap pihak yang mahukannya berundur.

'Seribu orang sokong saya'

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Palanivel dilaporkan berkata, “lebih daripada seribu” orang hadir bagi menunjukkan sokongan padanya.

Beliau berkata demikian walaupun ramai hadirin hari itu menuntut beliau meletakkan jawatan.

Palanivel memberitahu The Star bahawa kesemua bahagian dan pengerusi negeri turun selepas mesyuarat jawatankuasa pusat khas berhubung pemilihan semula parti mendudukungnya.

“Parti kami sangat kuat, lebih 1,000 orang turun menyokong saya, semua MIC bahagian dan pengerusi negeri ada di situ.

“Ada sekumpulan kecil buat hu hah, keganasam dan perbuatan samseng – kita mesti tahu siapa mereka ini.

“Mereka cuba provok kita, kumpulan saya mahu bertindak tetapi mereka tidak lakukan, mereka diam saja,” Palanivel dipetik sebagai berkata kepada akhbar itu.
 
 
6:00PM - 21 Dec 2014

Orang Sabah 'sebenar' dalam bahaya, kata Jeffrey

Ahli politik Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan memberi amaran bahawa orang Sabah 'sebenar' dalam bahaya kerana ekonomi terancam dan warga asing yang diberikan kad pengenalan kini mengambil alih pekerjaan dan tempat tinggal mereka.

Pengerusi Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah itu mendakwa, terdapat 229,484 rakyat asing diberikan kad pengenalan secara "meragukan" antara tahun 1996 dan 2000.

"Terdapat bukti yang meyakinkan untuk menyokong 'penemuan' bahawa kad pengenalan dikeluarkan, walaupun tidak semua, kepada warga Indonesia dan Filiphina yang tinggal (di Sabah) melebihi tempoh,” katanya yang juga ADUN Bingkor.

Bancian antara 1970 dan 2010 mendapati, tambahnya, berlaku peningkatan penduduk sebanyak 302 peratus (atau 1,918,792) di Sabah daripada 684,693 kepada 2,603,485 orang.

Sedangkan di Sarawak, menurut Jeffrey lagi, hanya berlaku peningkatan sebanyak 106 peratus (1,036,347), daripada 976,269 kepada 2,012,616 orang.

“(Warga asing) kini bukan sahaja bekerja sebagai pekerja ladang atau pembinaan, tetapi dalam pasaran terbuka, mereka mengambil alih tempat penduduk tempatan.

“(Warga asing) mengambil alih tanah pribumi, ladang, dan juga mengawal sektor pengangkutan, teksi dan bas," ujarnya.

Sementara itu pula, katanya, kebanjiran warga Pakistan dan India Muslim turut memberi ancaman kepada penduduk tempatan Sabah kerana berniaga secara runcit, menjual makanan dan lain-lain perniagaan di negeri itu.
 

Kalau jumpa saudara kita ini jual minyak wangi, belilah

http://rozmal.blogspot.com/ | .


 
 
Malam tadi Jumaat 19 Dis 2014 saya mengisi minyak di Stesen Petronas, Taman Matahari Height, Senawang. Nampak kelibat seorang lelaki, bertongkat, membawa beg. Fikiran saya mesti dia menjual sesuatu. Semasa saya mengisi minyak dia teragak-agak hendak menegur saya, saya beri salam dan tegur dia.
 
Tanya apa yang dia jual. Namanya Othman bin Akop dari Kg Terusan Seberang, Juasseh, Kuala Pilah. Dia mencari rezeki dengan menjual minyak wangi badan dan pewangi kereta. Dia akan datang ke Senawang, menetap 2-3 hari, bermalam menumpang di surau-surau, solat subuh biasanya di Masjid Bandar Baru Senawang. Kemudian dia akan pulang ke Juasseh, di rumah ibunya.
 
Dia menjadi OKU setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2010. Dia tidak mampu untuk melakukan rawatan atau pembedahan lanjutan kerana masih menunggu permohonan tabung perubatan katanya.
 
Kepada sahabat-sahabat yang nampak Encik Othman ini menjual minyak wangi, belilah.
 8:43PM - 21 Dec 2014

Kedai minta anak Rosyam Nor buka tudung dikecam

Pergerakan Puteri Umno mengecam tindakan sebuah kedai permainan terkemuka di ibu negara yang bersikap diskriminasi terhadap pekerja wanita bertudung.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin (bawah) berkata tindakan kedai permainan itu menunjukkan masih terdapat golongan berfikiran sempit terhadap mereka yang memakai tudung dan ia bertentangan dengan hak asasi seorang Muslim.

"Alasan tidak diterima bekerja sebab bertudung atau arahan membuka tudung jika ingin bekerja adalah hanya alasan dangkal yang tiada kena mengena dengan tahap pencapaian seorang pekerja," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas luahan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor menerusi laman Twitter mengenai sebuah kedai permainan terkemuka yang didakwa meminta anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk bekerja di premis itu pada Khamis lepas.

Mas Ermieyati berkata tindakan dan pemikiran itu wajar dikikis dan menuntut kedai terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

- Bernama

Sunday, 21 December 2014

Rupanya Bekas Pengerusi SPR Tahu Semua Rahsia Umno?


PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman harus membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat dalaman mengenai rasuah peringkat tertinggi UMNO.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Rashid pasti mempunyai maklumat tersebut, berikutan reaksi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi kepadanya bahawa “ada benda bekas pengerusi SPR tidak dapat”, lapor Roketkini.

Rashid sebelum ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berhenti berbohong kepada rakyat tentang keadaan sebenar kedudukan negara dan berlaku jujur kepada pemimpin Melayu.

Dalam kenyataannya minggu lalu Rashid menolak kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai ‘rasuah’ dan menegaskan bahawa UMNO-BN berada di ‘ambang kematian’.Malah dia turut mencadangkan PERKASA untuk “mengukuhkan usaha untuk menjadi sebuah badan politik yang akan memerintah negara ini.”

Zahid dalam reaksi kemudiannya menempelak Rashid, bahawa bekas Pengerusi SPR itu seharusnya membangkitkan pandangannya ketika masih berkhidmat dan bukannya selepas bersara daripada perkhidmatannya.Namun tidak ada susulan penjelasan sama ada dari Rashid atau Zahid mengenai perkara yang dimaksudkan.

Kata Kit Siang melihatkan ‘serangan’ terhadap Perdana Menteri, Rashid seolah-olah menunjukkan bahawa dia tahu mengenai rasuah peringkat tinggi kepimpinan UMNO.

Justeru itu kata Kit Siang, Rashid harus membantu SPRM dengan maklumat dalaman yang diketahuinya mengenai rasuah dalam kepimpinan tertinggi UMNO, agar Malaysia boleh menyertai China dan Indonesia menangkap ‘harimau’ dan ‘buaya’ dalam perang melawan rasuah.

“Rashid boleh memberikan maklumat kepada SPRM tentang ‘benda’ yang Zahid sebut untuk menutup mulutnya,” kata Kit Siang. ~free malaysia today
 

Peguam mohon 'mistrial' kes Mejar Zaidi

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Mejar Zaidi telah memohon Mahkamah Tentera mengisytiharkan perbicaraan beliau sebagai 'mistrial' kerana mahkamah tersebut tidak mampu lagi untuk menegakkan keadilan kepada si tertuduh.
Ketua pasukan peguam Mejar Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin memulakan hujah beliau di Mahkamah Tentera hari ini dengan menyatakan bahawa beliau berhujah dalam keadaan protes kerana perbicaraan ke atas anakguamnya telah mencapai satu tahap di mana keadilan tidak mungkin dapat lagi ditegakkan oleh mahkamah kerana sikap tidak memihak mahkamah (the court's impartiality) telah terjejas.
Ini kerana, hujah Hanipa, pengerusi Koram Mahkamah iaitu Kolonel Saadon Hasnan telah membuat satu komen yang memprejudiskan Mejar Zaidi di portal Malaysiakini semasa perbicaraan kes ini masih berjalan di mahkamah.
Mejar Zaidi telah membuat aduan kepada pihak tentera tentang isu tersebut dan sehingga kini ia tidak pernah disiasat sedangkan apabila beliau membuat laporan polis isu dakwat kekal pihak tentera telah membuka kertas siasatan ke atas beliau.
Hanipa juga berhujah adalah satu keganjilan untuk mahkamah meminta peguambela Mejar Zaidi berhujah di akhir kes pembela dalam keadaan integriti dan kebebasan mahkamah yang membicarakan Mejar Zaidi dipersoalkan dan dicabar oleh tertuduh yang dibicarakan di mahkamah itu sendiri.
Oleh itu, Hanipa berhujah satu satunya jalan penyelsaian kepada hal tersebut adalah dengan mahkamah mengisytiharkan mistrial.
Mistrial merujuk kepada keadaan di mana sesuatu perbicaraan di mahkamah tidak lagi mampu dikendalikan mengikut prinsip-prinsip keadilan.
Hanipa kemudiannya dihalang oleh mahkamah dari berhujah isu mistrial tersebut atas alasan isu itu tidak boleh dihujahkan di Mahkamah Tentera sebaliknya ia seharusnya dibangkitkan di depan pihak berkuasa sidang.
Hanipa bagaimanapun bertegas menyatakan mistrial boleh dihujahkan oleh peguam di mana mana mahkamah apabila proses keadilan perbicaraan dipersoal dan dipertikai dan mahkamah adalah forum yang layak mendengar dan memutuskan perkara tersebut.
Hanipa menyatakan "bagaimanakah kami ingin menyampaikan hujah mistrial ini di depan Pihak Berkuasa Sidang sedangkan mereka bukan pihak yang mendengar kes ini dan tidak ada di mahkamah ini untuk mendengar hujah kami ini".
Mahkamah kemudiannya menangguhkan pendengaran selama 15 minit untuk berbincang dan memutuskan isu tersebut.
Selepas mahkamah diteruskan semula, Yang Dipertua Mahkamah memutuskan peguambela tidak dibenarkan berhujah isu mistrial dan diminta berhujah isu lain.
Hanipa menyatakan beliau tidak ada isu lain yang akan dihujah kerana mengambil kira insiden yang berlaku dalam kes ini yang melibatkan pengerusi mahkamah membuat komen sebelum keputusan kes dibuat dan semasa kes masih dalam perbicaraan hanya isu mistrial yang relavan untuk dihujahkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh keputusan kes pada 7 Januari 2014.
Sementara itu Hanipa memaklumkan kepada mahkamah bahawa anakaguamnya telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pihak Berkuasa Sidang yang enggan membubarkan Mahkamah Tentera meskipun wujudnya keterangan yang tidak dicabar bahawa Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon telah memberi komen di Malaysiakini tentang kes ini sebelum mahkamah memutuskan meminta Mejar Zaidi dipanggil membela diri bagi dua pertuduhan pindaan.
Mejar Zaidi dituduh dengan 7 pertuduhan di mana beliau telah dibebaskan 5 daripada pertuduhan tersebut.
Pendakwaan ke atas beliau melibatkan isu laporan polis yang dibuat oleh beliau berkaitan isu dakwat kekal yang tidak kekal.
Beliau diwakili oleh Nasar Khan, Aminudin Zulkifli, Azhana Mohd Khairudin dan Mohamed Hanipa Maidin. - HARAKAHDAILY 19/12/2014
 

Tiada ulasan: