Isnin, 8 Oktober 2012

DEBAT BUKAN NAK TUNJUK SAPE HEBAT....TAPI DEBAT DAPAT MERUNGKAI BANYAK PERKARA.......BOLEH JUGA MELHAT SAPE YANG LEBIH JUJUR ATAU SEBALIKNYA

Pakatan adalah perspektif baru politik Malaysia

Zulkifli Sulong, 08 Okt 2012

(Yahya Lampong....turut meninggalkan Umno)

KOTA KINABALU: Parti-parti Pakatan Rakyat diyakini tidak akan mudah pecah selepas pilihan raya umum nanti kerana ketiga-tiga sangat memerlukan antara satu sama lain.

Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Yahya Lampong dalam wawancara eksklusifnya dengan Harakahdaily berkata, jika mana-mana parti dalam Pakatan itu keluar atau dikeluarkan, Pakatan akan hancur.

Bagi beliau, gabungan ini adalah perspektif baru dalam politik Malaysia dan bakal mendapat sokongan semua pihak.

Atas dasar itulah, beliau yakin, kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan dalam pilihan raya nanti akan stabil dan tidak akan ada istilah 'minoriti partner' di dalam gabungan itu sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan pusat sekarang.

Ini kerana, ketiga-tiga parti perlu melayan rakan mereka sama penting kerana masing-masing sedar kehilangan atau kelemahan sokongan salah satu dari mereka akan merosakkan mereka bersama.

Oleh itu, beliau yakin hubungan berdasarkan kepentingan bersama ini akan menyebabkan ketiga-tiga parti akan menjaga kepentingan rakan masing-masing.

Beliau juga yakin, mana-mana pihak yang akan menjadi perdana menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjaga tingkah laku masing-masing dalam mentadbir negara.

"PAS akan tetap PAS sampai bila-bila dan akan menegur mana-mana yang membuat silap, ini saya yakin Anwar tahu. Begitu juga DAP, pemimpinnya akan jaga intergritinya dan ini Anwar tahu," kata beliau.

Yahya mengulas usaha yang dibuat oleh Umno sejak dari dahulu untuk menarik PAS keluar dari bergabung dengan PKR dan DAP dengan melagakan antara mereka.

Bagi beliau, usaha begitu dibuat Umno kerana mereka tahu, tanpa PAS Pakatan akan hancur sebagaimana tanpa DAP atau PKR.

Yahya juga yakin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar perkara ini.


Jurunikah



Beliau manamakan Anwar sebagai 'jurunikah' PAS dan DAP dan seterusnya membentuk Pakatan Rakyat.

Melalui gabungan ini, Yahya yang pernah menjadi menteri Sabah, Pengurus Besar SEDC Sabah yang pertama dan lain-lain jawatan itu yakin, Pakatan akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin, kerusi Sabah dan Sarawak hanya bonus sahaja. Pakatan sudah akan menang melalui kerusi-kerusi di Semenanjung sahaja," kaya Yahya.

Beliau yang mengumumkan tindakan keluar Umno minggu lalu memberi jaminan akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dan jaringan hubungan yang ada untuk membantu PAS khasnya menyertai kabinet Sabah selepas pilihan raya umum nanti.

Sehingga kini, PAS belum mempunyai Adun di tiga negeri iaitu Melaka, Sabah dan Sarawak.

Yahya yakin, PAS bukan sahaja akan ada wakil dalam DUN Sabah selepas pilihan raya umum akan datang tetapi beliau akan memastikan wakil PAS akan ada dalam Kabinet Sabah.

Menurut Yahya, PAS akan menang paling kurang dua kerusi DUN Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, beliau terlibat secara langsung dalam kedua-dua kerusi yang bakal ditandingi PAS itu sejak dari dahulu lagi.

PAS Sabah dijangka akan bertanding 11 kerusi DUN dan beberapa kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum nanti.

"Sikap dan peranan pemimpin PAS ini sangat penting untuk menjadi penentu arah perjalanan kerajaan negeri.

"PAS sudah biasa jadi kerajaan dan biasa jadi pembangkang. Oleh itu, dia akan berani membuat apa-apa teguran yang perlu jika sesiapa saja membuat salah," katanya.

'Tak boleh di dalam, depan stadium kita himpun'

Abdul Aziz Mustafa, 08 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kalau tak bagi buat 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' dalam stadium, kita akan buat di hadapan stadium, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menolak permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut di situ.

"Tidak ada masalah kalau pihak stadium tolak permohonan kita atas alasan hendak baiki bumbung.

"Kita hendak buat perhimpunan itu bulan Januari depan dan pada 3 November ini kita anjurkan dahulu perhimpunan pelancaran untuk perhimpunan di Stadium Bukit Jalil itu," kata beliau sambil menjangkakan masih sempat kerja memperbaiki bumbung itu diselesaikan.

Perhimpunan pelancaran pada 3 November ini, kata Mohamad, akan diadakan di Negeri Sembilan di tempat yang akan diberitahu kelak.

Akhbar The Sun hari ini melaporkan, pengurusan Stadium Nasional dijangka akan menolak permohonan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran yang merupakan penerusan kepada perhimpunan-perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu.

Menurut akhbar itu, Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) yang menguruskan stadium tersebut tidak dapat memproses permohonan PR itu kerana kerja-kerja memperbaiki bumbung yang berterusan di stadium tersebut.

"Pihak pengurusan baru-baru ini menerima permohonan untuk mengadakan perhimpunan dari wakil PAS.

"Bagaimanapun, permohonan itu dan juga (permohonan) dari penganjur lain tidak mungkin dapat dipenuhi kerana kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di sini," akhbar tersebut memetik sumber stadium itu.

Menjelaskan mengenai perhimpunan itu, Mohamad berkata, ia bertujuan untuk menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.

Malah, kata Mohamad, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media utama sedangkan pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menunjukkan anggota keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan himpunan 28 April lalu itu.

“Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak dihiraukan, kita akan berhimpun lagi tidak kira di dalam atau di hadapan stadium Bukit Jalil," katanya.

Calon muslimat PAS punya rekod cemerlang

Salmiyah Harun, 08 Okt 2012
KUALA LUMPUR: PAS akan memberi peluang kepada Muslimat yang berkelayakan, berkeupayaan serta mempunyai 'track record' yang cemerlang untuk menjadi calon dalam pilihan raya nanti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mereka harus menunjukkan mutu perkhidmatan yang baik untuk mereka maju pada masa akan datang.

"Saya rasa parti akan memberi peluang kepada mereka yang terbaik, parti akan meneliti nama-nama mereka. Apatah lagi mereka yang sudah menunjukkan rekod dan prestasi yang baik hari ini," katanya ketika ditemui dalam Seminar Negara Berkebajikan: Tawaran PAS dan Peluang Kepada Wanita Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peluang yang diberikan kepada Muslimat PAS dalam pilihan raya nanti memandang 32 nama calon di kalangan mereka telah diserahkan kepada PAS Pusat. Hampir semua negeri ada calon Muslimat.

Katanya, parti akan meneliti nama-nama dan memberi peluang kepada mereka sebagaimana hari ini PAS telah mengetengahkan mereka diperingkat Senator.

Salahuddin mengakui Muslimat telah berjaya menunjukkan kecemerlangan bila mana mereka diberi peluang masuk ke Dewan Rakyat.

Bukan itu sahaja, Muslimat diberi tempat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan menjadi exco kerajaan misalnya di Kelantan.

Mengulas penglibatan 30 peratus wanita dalam pembuat dasar, beliau berkata, ianya adalah sekadar angka dan mungkin boleh diperbincangkan.

"PAS tidak tutup pintu dan kita tidak tegar untuk menolak angka itu lagi pun ia di peringkat antarabangsa yang barat cuba implementasikan. Hatta Amerika dan Eropah walaupun cukup maju mereka masih tidak capai kualiti, integriti dan kelayakan," katanya.

Justeru katanya, perjuangan wanita dalam pelbagai bidang harus diberi peluang bagaimanapun ia tidak mencukupi kerana perlu juga kepada integriti dan mesti bersedia untuk bersaing.

"Prose pencapaian Muslimat semakin baik, era yang ditunjukkan Muslimat hari ini semakin cemerlang,"katanya.

Seminar tertutup yang bertemakan Wanita Prihatin Kebajikan Terlaksana yang sedang berlangsung di KUIZM Taman Melewar di hadiri hampir 400 pimpinan muslimat dari seluruh negeri.

Bakal calon PAS digerakkan pastor Kristian

Zulkifli Sulong, 08 Okt 2012

(Francis, Ondon dan Melvin menunjukkan kawasan DUN Pitas yang terletak di utara Sabah)


KOTA KINABALU: Pernahkah anda terfikir, kempen calon PAS bakal digerakkan sepenuhnya oleh orang Kristian dan dia bukan penganut biasa tetapi pastor?

Tetapi inilah yang berlaku di Sabah sekarang. Bakal calon PAS di DUN Pitas, Kudat digerakkan sepenuhnya oleh pendokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ia diketuai oleh Otou @ Francis Singoron (gambar), seorang pemimpin agama Kristian bertaraf pastor.

Beliau dibantu oleh dua orang kuatnya yang bekerja siang malam untuk memenangkan bakal calon PAS di situ.

Ondon Mangajil, 58, dan Rakilin Mahuda @ Melvin adalah dua penggerak DHPP Pitas yang membantu Francis. Kedua-dua mereka juga beragama Kristian.

Francis mengaku, beliau menyertai DHPP kerana sikap yang diambil oleh PAS yang tidak mengenepikan orang bukan Islam dan sanggup bekerjasama.

Beliau yakin, bersama dengan PAS, tidak akan berlaku persengketaan antara agama dan dapat berjalan dengan baik.

Di DUN Pitas, 60 peratus penduduknya adalah beragama Islam manakala 40 peratus lagi penduduk Kadazan, Dusun dan Murut beragama Kristian.

Rakilin Mahuda @ Melvin (gambar kanan) sebelum ini tinggal di Kelana Jaya, Selangor. Namun untuk mempastikan PAS menang di Pitas, beliau telah pulang ke Pitas, tempat lahir dan tinggal beliau sebelum ini.

"Saya akan terus bekerja sehingga pilihan raya akan datang bagi memenangkan calon," kata Melvin yang sebelum ini pernah aktif dalam PKR di Kelana Jaya.

Antara isu penting yang dijadikan isu oleh lawan PAS di sini adalah hukum Hudud dan penggerak DHPP inilah yang menerangkan kedudukan sebenarnya.

"Saya sangat senang bekerja dalam PAS kerana di sini saya lihat tolak ansur, keseimbangan dan kebaikan hati pemimpinnya di semua peringkat.

"Rakan-rakan saya dalam PAS dari bawah hingga ke atas melayan saya dengan sama. Bila pilihan raya hampir, sebagai orang Pitas, saya pulang dan bekerja untuk memenangkan PAS," kata Melvin yang sudah 22 tahun tinggal di Selangor.

Ondon (gambar kanan) pula dilihat paling faham tentang pilihan raya antara mereka.

"Pitas ini dari segi saisnya lebih besar dari Perlis. Ini menyusahkan kita," kata Ondon kepada Harakahdaily.

Ondon juga menyifatkan isu tanah adalah isu utama di sini dan bakal menyatukan penduduk Pitas untuk menyokong PAS.

Ondon sangat memuji peranan yang dimainkan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS terutama dalam isu nama Allah sehingga berjaya meredakan salah tanggap orang Kristian.


Calon PAS?


Francis, Melvin dan Ondon bergerak membantu seorang aktivis PAS Pitas iaitu Puan Dausieh Queck yang disebut-sebut bakal menjadi calon Pakatan di sini.

Dausieh (gambar) adalah penggerak Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) yang banyak memperjuangkan isu wanita Islam di Malaysia khasnya di Sabah.

Beliau mula mendekati politik sejak tahun 2006 lagi dengan mengikuti aktiviti PKR di Kota Belud.

Namun pada tahun 2011, Dausieh menyertai PAS dan disebut-sebut bakal menjadi calon PAS di sini.

Beliau mula mengenali Ondon sejak tahun 2006 lagi namun mula mengenali Francis pada tahun 2008 apabila beliau turut membantu kempen PKR di Pitas.

"Saya mengenali Melvin agak lama namun apabila PAS diputuskan bertanding di Pitas, saya meminta dia balik ke sini sejak tahun lalu lagi bagi membantu kami," beritahu Dausieh.

Dengan empat tenaga utama Pitas inilah PAS bergerak hampir setiap masa menemui pengundi sehingga ke peringkat mereka yakin akan menang.

"Saya lihat peluangnya amat besar untuk menang dengan bantuan Allah ekoran dari pergerakan kita dan masyarakat yang ada," beritahu Dausieh.

Ini kerana, jentera yang komited di samping kejayaan mereka membentuk suasana penyatuan dari semua pihak samada di kalangan parti-parti dalam Pakatan dan juga hubungan antara agama.

Namun, halangan utama mereka kini adalah kewangan. Ini kerana, apabila masa ditumpukan sepenuhnya untuk menang, mereka terpaksa tinggalkan pelerjaan untuk mendapat wang hatta untuk kehidupan mereka sendiri.

Cabaran mendekati pengundi dikawasan pendalaman merupakan kekangan utama kerana hanya pendekatan TURUN TERUS KEPADA PENGUNDI sahaja merupakan pendekatan yang terbaik. Maka halangan masuk kependalaman memerlukan kos yang tinggi, tetapi membawa keluar pengundi lebih tinggi lagi kosnya.

Dana PAS Kawasan yang amat terhad juga menjadi kekangan untuk melaksanakan gerak kerja dengan jayanya. Program bantuan kebajikan kepada rakyat amat sukar dilaksanakan.

Keperluan pengangkutan menjadi keutamaam kerana kebanyakkan jalanraya yang ada hanya boleh dilalui pacuan 4 roda sahaja.

Sehubungan itu, kepada mana-mana pihak yang sudi membantu PAS di Pitas ini, anda boleh memberikan sumbangan terus ke akaun Parti Islam Semalaysia kawasan Kudat 1690020154073 Ambank Islamic atau terus ke akaun bendahari MTD Pitas, Muhd Ruslan Azahari 162263156276 Maybank.

‘Saya sedia debat dengan individu bertanggungjawab’

Muhammad Faizal, 08 Okt 2012
KUALA LUMPUR: "Saya tidak mahu layan cabaran debat dengan beliau, saya hanya bersedia berdebat jika dengan individu yang bertanggungjawab isu-isu dalam negeri.

"Dalam soal ini hanya Menteri Besar sahaja yang layak serta mempunyai segala jawapan berhubung dengan pembangunan projek Rapid itu," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya tentang debat dengan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau mengulangi kesediaan untuk bertemu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berhubung dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid).

Bercakap pada sidang media di Parlimen, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memberitahu satu surat rasmi akan dihantar dalam masa terdekat kepada Abdul Ghani berhubung perkara tersebut.

"Saya bersedia untuk berbincang dengan Menteri Besar Johor berhubungan dengan projek Rapid di Pengerang.


"Satu surat akan dihantar ke pejabat beliau bagi menyatakan kesudian kita untuk berbincang tentang isu yang telah timbul terutamanya yang melibatkan pengambilan tanah penduduk," jelasnya.


Beliau yang turut menegaskan Pakatan Rakyat tidak pernah menolak sebarang pembangunan terutamanya di Pengerang.

Tambahnya lagi, sebarang pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Petronas di Pengerang sudah pasti ada satu perundingan dengan kerajaan negeri.


Maka atas sebab perundingan tersebut, beliau ingin mengetahu penjelasan dari rundingan yang dilakukan kenapa tanah 10 buah kampung dan hak milik rakyat dipilih bagi projek itu.

Bukan persepsi tapi realiti, rumah MB Negeri Sembilan dipecahmasuk!

http://greenboc.blogspot.com, 08 Okt 2012
Seremban: Kediaman keluarga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, dekat sini, dipecah masuk pencuri dan antara barang yang dipercayai setakat ini hilang ialah sebuah televisyen LCD dan dekoder Astro.

Kejadian dipercayai berlaku malam kelmarin dan seorang anggota keluarga membuat laporan polis, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan awal, pencuri dipercayai masuk ke dalam rumah berkenaan menerusi tingkap belakang dan keluar mengikut laluan sama.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku malam kelmarin dan ketika itu rumah itu tidak berpenghuni.

“Seorang anggota keluarga beliau (Menteri Besar) yang ke rumah berkenaan semalam, mendapati televisyen LCD dan dekoder Astro dalam rumah berkenaan hilang,” katanya. -HM

Ulasan GB

Sudah berkali-kali KPN dan Menteri KDN menafikan bahawa kadar jenayah telah meningkat. Dikatanya itu hanya sekadar persepsi rakyat.

Tetapi setiap kali penafian dibuat ada saja kes "terkena batang hidung" berlaku dimana jenayah menimpa kepada orang-orang penting di dalam negara.

Kini rumah MB Negeri Sembilan dipecahmasuk. Jika rumah seorang MB pun dipecahmasuk oleh penjenayah, apatah lagi rumah rakyat marhaen?

Masih tak seriuskan jenayah di negara ini?

Teruskan menipu rakyat Malaysia. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap membuktikan bahawa kadar jenayah tidak menurun seperti yang dikatakan. Dan peningkatan kadar jenayah BUKAN persepsi, tetapi realiti, berita di atas sebagai bukti!

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tiada ulasan: