Jumaat, 2 Mac 2012

BILA SIMUDA TAK MUHASABAH DIRI...SITUA DULU LAH LAHIR DAN BERKECIMPUNG...BILA PANDAI SIKIT DAN BERPANGKAT SIKIT LUPA DIRI...LUPA SITUA..

Lynas: Ulama perlu nyatakan pendirian

Mohd Azmi Abdul Hamid, 01 Mac 2012
Teras menggesa agar golongan ulama dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai isu projek Lynas yang dibantah oleh rakyat. Ini adalah kerana terdapat hujah mengenai mudharat dan manfaat yang menjadi isu yang diperbahaskan.
Walaupun pandangan ulama mungkin tidak diambilkira oleh syarikat Lynas, namun pandangan ulama akan memberi kesan kepada bantahan yang sedang ditunjukkan oleh rakyat.

Sehingga ini umum mendapat maklumat bahawa projek Lynas akan mendedahkan masyarakat persekitaran kepada risiko radioaktif akibat buangan sisa dari loji berkenaan. Terdapat juga alasan saintifik yang dikumpulkan oleh pakar sains yang mendedahkan memang ada mudharat yang bakal dihadapi oleh penduduk di sekitar loji Lynas dalam jangka masa panjang.

Akan tetapi terdapat juga hujah yang menyatakan bahawa ia tidak merbahaya dan boleh mendatangkan manfaat kepada ekonomi negara dan mengujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat. Hujah ini masih boleh dipertandingkan kerana Malaysia sudah ada pengalaman berhadapan dengan kesan kepada kesihatan manusia seperti yang berlaku di Bukit Merah, Perak.

Lynas yang merupakan  syarikat yang bermodal ratusan juta sememangnya akan mempertahankan hujahnya kerana keuntungan lumayan yang bakal diraih juga besar.

Dalam hal inilah Teras berpendapat ulama harus tampil untuk memberikan pandangan tanpa berpihak melainkan hanya kepada kebenaran, agar kemaslahatan rakyat diberi keutamaan dan pandangan dari sudut syarak dijadikan rujukan.

Sudah sampai masanya ulama megenengahkan sisi pandangan syariat dalam pelbagai projek-projek yang menjejaskan maslahat masyarakat dan alam sekitar.

Teras berpendirian bahawa Himpunan Hijau 2.0 yang telah diadakan dan menghadhirkan ribuan rakyat di Kuantan beberapa hari yang lalu sudah semestinya membawa makna yang serius terhadap projek Lynas. Tidak mungkin kemarahan sedemikan ramai rakyat boleh diketepikan.

Lynas Corporation dari Australia dikatakan akan membina kilang memproses Bumi Nadir (Rare Earth) di Kuantan yang terbesar di dunia  bernilai RM700 juta. Kilang di Kuantan itu dijangka siap dibina dan beroperasi pada Julai-Sept 2011.

Tidak dinafikan kilang memproses Bumi Nadir  sangat terkenal meninggalkan sisa atau produk sampingan radioaktif iaitu  Thorium – ada yang mengatakan ia hanya punya sedikit unsur radioaktif. Akan tetapi sedikit  tidak mungkin  boleh dianggap selamat apatah lagi jika 22,000 ton setahun sisa toksid  dikeluarkan.

Pengalaman di Bukit Merah, Perak yang pernah dahulu juga digelar "tapak sisa radioaktif  terbesar di  Asia" harus diambil kira. Setelah ia didapati mengakibatkan pelbagai isu kesihatan yang serius (kanser, kecacatan bayi dan lain-lain) dan akibat tekanan dari penduduk tempatan telah menyebabkan ia diarah  tutup  pada  1992. Proses membersihkan sisa toksid di tapak kilang tersebut  yang menelan belanja rRM100 juta masih dijalankan secara senyap untuk mengelakkan dari pengetahuan masyarakat.

Soalnya jika kilang ini dianggap selamat kenapa negara lain menolak kilang ini. Inilah kilang pertama selepas 30 tahun  seumpama ini dibina di luar China? Adakah Malaysia terlalu perlu membina kilang itu di sini?

Di China  pun,  kilang tersebut diletak di kawasan pedalaman di Mongolia, jauh dari kawasan penduduk. Bagaimanapun kilang yang akan dibina di Kuantan  hanya 25 km dari Bandar Gebeng.

Kuantan akan menjadi tapak pembuangan toksid beradioaktif berskala besar. Natijahnya, kemungkinan bahan radioaktif secara perlahan-lahan menyerap ke air bawah tanah , sungai, laut dan ikan tidak dapat ditolak. Jika sebarang kejadian bencana berlaku ia akan mendedahkan penduduk kepada pencemaran radioaktif di dalam semua sistem air yang ada dan  suatu malapetaka besar bakal berlaku.

Kita perlu mengambil pelajaran dari gempa bumi dan tsunami  yang berlaku di Jepun yang melibatkan janakuasa nuklear terbakar. Malaysia tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan bencana yang melibatkan bahan radioaktif.
Walaupun sisa radioaktif didakwa akan dikitar semula untuk dijadi bahan binaan jalan, ia tidak terlepas dari risiko kepada masyarakat.

Yang pasti radioaktif yang dikeluarkan sedikit demi sedikit adalah tidak selamat. Thorium mempunyai jangka hayat 14.05 bilion tahun dan isu sejauh mana pekerja dikilang itu akan bersentuhan dengan debu bumi nadir itu ketika ia diproses, belum jelas. Sisa air kilang Lynas yang bakal dibuang setiap hari dijangka sebesar 3 kali ganda saiz kolam mandi Olimpik dan kesan yang bakal diterima juga tidak pasti.

Yang pasti jika suatu kemalangan berlaku di loji tersebut, kemusnahan yang akan terjadi sukar untuk dipulihkan kembali.

Kilang mendakwa akan menapis atau memantau dan membersihkan sisa. Soalnya, siapakah yang akan memantau dan apa kriteria keselamatan yang akan diguna?

Nampaknya Malaysia dipilih oleh syarikat Australia itu kerana ia tidak ada sistem membahaskan projek seperti ini untuk diluluskan melalui parlimen dan tidak ada peraturan yang ketat sebagai syarat kelulusan seperti yang baru diperkenalkan di China.

Di samping itu, Malaysia memberi pengecualiaan cukai selama 12 tahun kepada Lynas.

Keghairahan Kuantan sebagai Zon Ekonomi Khas menerima pelabur asing walaupun termasuk jenis industri yang membawa bahan kimia toksid dan radioaktif, tidak akan menjamin keselamatan kepada rakyat.

Teras menuntut kerajaan supaya menjelaskan apa kaitan sisa buangan Lynas iaitu Thorium  dengan Malaysia bercadang untuk membina janakuasa nuklear. Kerajaan perlu telus dan berterus terang mengani isu ini.

Kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada dokumen Lynas semata-mata untuk meluluskan projek ini ketika menentukan risiko kepada manusia, penduduk dan alam sekitar.

Jika benar ia selamat seperti yang didakwa oleh syarikat tersebut kenapa ia tidak dibina di Australia itu sendiri? Jika Lynas sukar untuk meyakinkan masyarakat dan ahli politik di Australia untuk menerima loji itu, kerajaan Malaysia tidak harus tunduk untuk mudah menerima loji yang mendedahkan penduduk kepada risiko.

Teras turut membantah projek ini. Selagi tidak ada ketelusan dalam membuat keputusan dipihak kerajaan, jaminan Lynas bahawa loji tersebut adalah selamat, tidak meyakinkan kami.

Gesaan kami bahawa ulama perlu bersuara adalah bersandarkan syariat Islam mempunyai perspektif dan kaedah yang tepat bagaimana sesuatu itu boleh diterima atau ditolak.

Kerajaan perlu menghormati  pandangan dari sudut syar'ie kerana dengan ini sahaja segala kekusutan dapat dirongkai dengan lebih mantap.

Mohd Azmi ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Kelantan ambil berat kegiatan anak muda

Muhammad Yusri Amin, 01 Mac 2012
KOTA BHARU, 1 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian berat terhadap kegiatan anak muda terutama membabitkan kegiatan kebajikan dan kesihatan.
Justeru Menteri Besar berkata, kerajaan negeri berhasrat mengembangkan ‘prinsip kesihatan’ rakyat termasuk sukan ‘bina badan’ serta disiplin pemakanan dan riadhah rakyat.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Kelantan (KEBBA), Azaizuree Ahmad, 33, di Hospital Pakar Perdana di sini petang tadi.

Azaizuree terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh malam kelmarin apabila Ford Ranger yang dipandunya bertembung dengan Toyota Rush dipandu Che Aminudin Abdullah, 42, yang terbabas dan terbakar.

Azaizuree dari Kampung Bukit Kecik, Melor dan penumpangnya, Siti Nor Azreen Md Yani, 24, dari Kampung Gaung Lati, Pasir Mas tercedera dan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Azaizuree kemudiannya diberi rawatan susulan di Hospital Pakar Perdana di sini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdaganan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zulkifli Mamat.

Hadir sama Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Hafiz Musa dan atlit bina badan negeri, Mohd Khushairi Siban.

“Pertama sekali, orang sakit, kita disunatkan melawatnya. Kedua, kalau orang sakit itu mempunyai status di kalangan masyarakat adalah lebih mustahak lagi dilawati, kita ‘beri ketenangan hati’ kepadanya,” ujarnya.

Tuan Guru mendoakan semoga pesakit itu diselamatkan Allah Taala.

“Dia adalah pemimpin satu NGO bina badan, dan ianya merupakan satu benda baru terutama di kalangan orang Melayu,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Azaizuree.

Umno Kelantan melutut kepada Tengku Razaleigh?

Mohd Sayuti Omar, 01 Mac 2012
Menurut maklumat dari Fb Sdr Sobere Shafei petang semalam Mustapa Mohamed bersama Awang Adek Hussein dan Annuar Musa telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tengku Razaleigh Hamzah di kediamannya di Langgak Golf, Ampang. Kurang pasti apakah tujuan kunjungan hormat itu, apakah mereka ingin memberi tahu Tengku Razaleigh bahawa nama anak raja Kelantan itu masih disenarai sebagai calon BN di Gua Musang atau apa?


Atau kunjungan itu ada kena mengena dengan pemergian Najib Razak ke Kelantan esok dalam rangka kerja sekaligus berkempen.


Mungkin 'tiga pahlawan' Kelantan itu datang bersembah lutut untuk meminta Tengku Razaleigh pulang meraikan Najib di Kelantan. Kalau Tengku Razaleigh ada sama mungkin keadaanya lebih gah lagi. Maklumlah Tengku Razaleigh orang lama kalau dia berada dalam majlis Najib boleh menambahkan seri kepada Umno.


Di celah-celah ini saya hendak tanya sedikit, kenapa Annuar Musa yang mengiringi Mustapa dan Awang Adek untuk berjumpa Tengku Razaleigh. Atas kapasiti apakah beliau ikut sama ke Langgak Golf? Kenapa tidak Norzaidi Omar selaku setiausaha badan perhubungan Umno atau pun Hanafi Mamat selaku Bendahari Umno? Kenapa Annuar Musa. Dia tidak ada apa-apa jawatan dalam badan perhubungan Umno Kelantan kecuali sebagai ketua bahagian Ketereh.


Apakah kerana Annuar Musa kini selaku Presiden Kafa yang mana dia mendakawa kira-kira 200,000 penyokong pasukan gedebe merah Kelantan telah menyokong Umno? Begitukah. Dan kalau benar begitu apakah kena mengenanya penyokong pasukan bola Kelantan dengan Umno? Tidak semestinya orang yang membeli tikit untuk tengok pasukan red warriors Kelantan akan menyokong Umno.

Annuar nampaknya telah cuba hendak menjual dirinya seorang yang hebat mengurus pasukan bola sepak dengan kecerahan suka bola sepak di Kelantan akhir-akhir ini. Tetapi sekali lagi... mengurus bola tidak secara automatik boleh mengurus parti. Telah lebih 10 tahun Annuar Musa menjadi timbalan pengerusi Umno Kelantan, Umno tetap juga kalah. Umno tidak mengalami apa-apa perubahan, statik dari segi sokongan. Keadaan itu membuktikan Annuar gagal dalam politik. Dia sendiri sudah tiga kali kalah.

Apapun bagus kalau Mustapa, Awang Adek atau Annuar Musa teringatkan Tengku Razaleigh. Seharusnya begitulah kalau Umno ingin kuat dan bercita-cita untuk merampas Kelantan. Pemimpin masa kini perlu mendekati dan mendampingi pemimpin veteran yang berjasa seperti Tengku Razaleigh dan lain-lain itu. Tanpa kerjasama dan komitmen Tengku Razaleigh agak mustahil untuk Umno dapatkan Kelantan. Rahsia kekuatan Umno masih ditangan Tengku Razaleigh. Hakikat ini kena diterima.


Sepatutya mereka bertiga tidak 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Mereka tidak patut melupai Tengku Razaleigh. Sepatutnya mereka mengunjungi Tengku Razaleigh bukan hari tetapi sejak lama dulu. Mereka perlu dekat dan belajar daripada bekas Menteri Kewangan itu bagaimana hendak mencabar Pas. Mereka perlu menjadikan Tengku Razaleigh sebagai biduwanda tua yang memiliki seribu kemahiran.


Saya telah catat dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, dalam sejarah hidup Tengku Razaleigh beliau telah berjaya menjatuhkan dua kerajaan di Kelantan. Pada tahun 1978 beliau telah menumbangkan kerajaan Pas ketika. Dan pada tahun 1990 bersama Pas beliau telah menumbangkan kerajaan Umno yang dibinanya pada tahun 1978.


Tidak siapa dapat nafikan kejayaan-kejayaan ini adalah hasil daripada kerja dan strategis halus politik Tengku Razaleigh.


Sejarah itu sepatutnya dikenang oleh Mustapa, Awang Adek dan Annuar Musa yang boleh dianggap sebagai anak dan adek Tengku Razaleigh. Sayangkan mereka terlupa dan tidak melihat kehebatan Tengku Razaleigh itu. Mereka 'semabu mata' dengan pandangan dan kata-kata Mahathir Mohamad yang mengecam dan 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Annuar Musa terutamanya terbelit dalam air ludah Mahathir.


Tengku Razaleigh seorang yang gentleman dan berhemat tinggi. Dia masih terima kunjungan tiga 'pahlawan botol' itu. Beliau masih sediakan air dan kueh mueh. Kalau saya jadi anak raja itu, usahkan jamu kueh, terima masuk ke dalam rumah pun tidak. Cukuplah dengan apa yang mereka lakukan kepada Tengku Razaleigh selama ini yang melupai asal usul dan masinnya budu saat Tengku Razaleigh turun gelanggang menentang musuh.


Wajar kalau Tengku Razaleigh berbuat begitu. Apa yang mereka bertiga itu dan para pemimpin Umno Kelantan tidak lakukan kepadanya. Annuar Musa jika boleh diungkitkan dialah orang yang mengkhinanti dan derhaka kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Dialah orang yang berkata, "saya sayangkan Tengku Razaleigh, tetapi saya lebih sayangkan Umno", ketika berlaku perlawanan di antara Tengku Razaleigh dengan Mahathir untuk merebut jawatan presiden.

Apa maksud Annuar Musa itu. Dia rela membelakangkan kawan dan sahabat dari negeri sendiri dan mengangkat Mahathir setinggi langit. Nah, hari ini ketika Umo Kelantan tercungkap-cungap untuk merampas Kelantan mereka menebalkan muka datang berlutu di depan Tengku Razaleigh.


Begitu juga dengan Mustapa Mohamad dan Awang Adek, lebih kurang sama dengan perangai dan jahat budi Annuar Musa. Semasa Tengku Razaleigh bercadang hendak mencabar Abdullah Badawi untuk jawatan presiden kerana beliau nampak Abdullah tidak mampu memimpin parti dan kerajaan, kedua ketua bahagian ini tidak sudi pun memberi pencalonan kepadanya. Mereka lupa nama Tengku Razaleigh tetapi ingat nama Abdullah.


Mengenang perbuatan dan jahat budi itu sepatutnya Tengku Razaleigh tidak melayani mereka apa lagi untuk memberi nasihat dan formula terbaik dalam politik. Tetapi Tengku Razaleigh bukan seperti saya yang memang tidak boleh masuk parti politik; Tengku Razaleigh seorang yang berhemat, tinggi budi dan sedia melupai perbuatan huduh orang ke atasnya. Inilah kelebihan dan keistimewaan Tengku Razaleigh yang saya lihat kontras dengan dirinya sebagai anak raja yang selalunya sepatutnya ego dan sombong.


Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kenapa huduh perangai orang Umno Kelantan terhadap Tengku Razaleigh? Saya juga mencari apakah dosa Tengku Razaleigh terhadap Umno Kelantan sehingga kebaikan yang dibuatnya tidak diingati. Sikap huduh perangai inilah yang melemahkan Umno. Kalau mereka sepadu dan sepakat menyokong sesama mereka, sudah lama Umno Kelantan berjaya merampas Kelantan. Atau pun sudah lama negeri Kelantan mendapat seorang perdana menteri sama seperti Johor, Pahang dan Kedah.

Saya masih ingat sewaktu kali pertama Tengku Razaleigh hendak melangkah ke jawatan nombor dua beradu kekuatan (bertanding) dengan Musa Hitam, (1982) orang Kelantanlah juga yang mengkhianti Tengku Razaleigh. Bahagian Rantau Panjang yang dipimpin Hussein Ahmad (Hussein Serama) awal-awal mencadangkan nama Musa Hitam.

Begitu juga dengan Muhammad Yaacob (Allahyarham) yang boleh jadi MB kerana Tengku Razaleigh juga tidak menyokong Tengku Razaleigh. Seorang lagi ialah Ketua Umno bahagian Kuala Krai Dr Nik Hussein Abdul Rahman. Orang-orang inilah menjadi penentang Tengku Razaleigh, kawan melupai kawan.

Manakala kali kali kedua Tengku Razaleigh mencuba, kali ini untuk jawatan nombor satu berlawan dengan Mahathir, (1987) orang Kelantan juga tidak memberi sokongan padu kepadanya. Sekali lagi Hussein Ahmad menjadi sang bota jaguh menolak Tengku Razaleigh. Dan kali ini ia dikuti sama oleh Annuar Musa.


Saya pernah menghimbau perkara ini, kegagalan Tengku Razaleigh untuk menjadi pemimpin nombor satu negara disebabkan sikap rakannya sendiri dari Kelantan. Kekecewaannya ialah kerana pemimpin Umno Kelantan tidak dapat melihat dan membezakan di antara intan dengan kaca. Mereka lebih terpesona dengan kaca dari luar Kelantan dengan intan yang berada di bawah telapak kaki mereka. Pemimpin Umno Kelantan dari dulu dan kini tidak merupakan jauhari yang mengenali maknikam.


Seperti dikatakan tadi, tindakan Mustapa, Awang Adek dan Annuar berjumpa Tengku Razaleigh elok untuk Umno Kelantan. Tetapi kalau Tengku Razaleigh tidak memenuhi kesemua kehendak mereka jangan marahkan beliau. Sebab sebagai manusia Tengku Razaleigh juga ada hati dan perasaan. Sebaik-baik Tengku Razaleigh dia juga ada sejuris perasaan amarah. Apa lagi selalu terjadi saat Umno Kelantan berada dalam keadaan bahaya, air di paras hidung barulah ada orang terhegeh-hegeh datang untuk meminta sufaat dan berkat darinya.
tang meminta tolong nya.

Iya Tengku Razaleigh baik, humble, berhemat dan berbudi pekerti tetapi dia juga ada prinsip dan maruah yang menjati dirikan dia sebagai seorang pemimpin bersifat negarawan. Kalau mereka bertiga jujur menjelang perhimpunan agung Umno yang melibatkan pemilihan nanti cadang dan sokonglah Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan presiden? Bolehkah? - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Tumpu PRU13, jangan terperangkap titik bengik

Harakahdaily, 01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal perlantikan pimpinan dari kalangan bukan Islam dalam parti.


Ini, katanya kerana perlembagaan parti jelas memperuntukkan Islam sebagai syarat utama dengan menjadikan al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias sebagai rujukan.

“Tidak mungkin seseorang yang tidak yakin dengan sumber rujukan parti akan dipilih sebagai pimpinan,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan media  mengenai pandangan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.

Justeru, Tuan Ibrahim menambah, PAS menyeru seluruh ahli memberikan fokus kepada persiapan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang semangkin hampir.

“Jangan terperangkap dengan plot yang dirancang oleh musuh, tanpa kita sedari. Kerana terlalu banyak masa, tenaga dan tumpuan kepada titik bengik dalaman parti, sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan Pilihan raya Umum,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tiada ulasan: