Khamis, 8 Mac 2012

WANITA HARUS INGAT...TANGGUNGJAWAB RUMAHTANGGA...SUAMI SERTA ANAK2...JANGAN DIABAIKAN...PERGAULAN SERTA PENONJOLAN YANG MELAMPAU...JANGAN TERPERANGKAP HASUTAN SYAITAN SERTA KEFAHAMAN SEKULAR...AGAK2LAH...BERSEDERHANA JANGAN KITA KESAL DIAKHIRAT NANTI...MUSLIMAT ADA TUGAS DAN GARIS PANDUANNYA..BEGITU JUGA MUSLIMIN...

Hari Wanita: Kelantan buka rumah Sinar Harapan

Salmah Mat Husain, 08 Mac 2012



(Datin Tuan Sabariah memotong reben sebagai tanda perlancaran rumah Sinar Harapan.)

KOTA BHARU, 8 Mac: Simbolik kepada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Kerajaan Kelantan telah membuka dengan rasminya rumah perlindungan wanita ‘Sinar Harapan’.

Rumah empat bilik yang terletak di Pengkalan Chepa itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, timbalannya Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Dewan Negara, Mumtaz Mohd Nawi.

Ubaidah (gambar) ketika berucap pada majlis itu berkata, rumah perlindungan untuk kaum wanita telah lama dirancang oleh kerajaan negeri, bagaimanapun hanya hari ini ianya dapat dirasmikan sepenuhnya.

Beliau memberitahu, antara tujuan ianya ditubuhkan untuk membimbing dan mendidik para penghuni sementara di rumah berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan.

“Bukan semua kaum wanita yang bermasaalah dapat tinggal di sini, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan seperti diusir dari rumah, mangsa penderaan rumahtangga, keluarga.

“Mangsa rogol, penderaan seks atau yang dirujuk oleh mahkamah, Jabatan Halehwal Agama Islam, polis, badan-badan NGO dan berbagai lagi yang bertauliah,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh jagaan sementara paling maksimum enam bulan sebelum mereka diserahkan kepada pihak yang lebih berwajib, sama ada ke pangkuan keluarga, berdikari atau sebagainya.

Tegasnya, beberapa aktiviti telah diatur sebagai motivasi diri kepada mereka, iaitu kaunseling, motivasi dan peningkatan jatidiri, kemahiran asas, kemahiran kerjaya, rawatan perubatan apabila diperlukan.

Menurutnya lagi, penganiayaan terhadap wanita termasuk kanak-kanak semakin berleluasa.

“Penganiayaan terhadap golongan ini bukan sahaja secara fizikal, sebaliknya mental seperti mengeluarkan kata-kata yang kasar, menghina dan berbagainya.

“Ekoran itu golongan terbabit rasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, kerana itu sokongan pihak lain perlu untuk membantu mereka,” ujarnya.

Sinar Harapan yang bertemakan ‘Datang Dengan Seribu Kenangan…Pulang Dengan Seribu Impian’ telah menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan terbabit.

Antaranya tempat penginapan, buku-buku untuk bacaan semasa di samping kuliah agama dan motivasi yang akan disampaikan oleh kaunseling.

Suburkan harta dengan derma di jalan Allah

Muhammad Yusri Amin, 08 Mac 2012
KOTA BHARU, 8 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak masyarakat ‘menyuburkan harta’ masing-masing dengan menderma di jalan Allah kerana is penting sebagai pesediaan untuk hidup di akhirat.
Justeru beliau yang juga Mursyidul Am PAS berharap rakyat di negeri ini khasnya dan di Malaysia amnya gemar menderma.

“Saya meminta orang Kelantan khasnya, baik orang kaya beri dengan cara kaya dia, manakala orang miskin beri dengan cara miskin dia.

“Dengan itu, mudah-mudahan Allah SWT membuka pintu hati kita mendapat berkat di dunia dan di akhirat.

“Benda ini tidak boleh dibuat melainkan melalui cara Islam,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jamuan Amal Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Kelantan sempena kutipan derma bagi Tabung Pembinaan Semula Bangunan Tadika Perkim dan Dana Pendidikan Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain.

Progaram berlangsung di perkarangan Masjid Al-Mukhlisin, Padang Perdana di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan.

KDN panggil lagi Editor The Star

Harakahdaily, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dilema yang ditanggung oleh akhbar The Star ekoran penyiaran gambar Erykah Badu bertatu nama Allah pada dadanya yang terlanjang tidak selesai semalam.

Ini kerana, Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih tidak berpuashati dengan penjelasan akhbar MCA itu dan mahukan jaminan yang lebih konkrit ia tidak akan berulang di masa depan.

Malam tadi, The Star menerima surat dari KDN yang meminta penjelasan yang lebih baik sebelum hukuman dijatuhkan ekoran penyiaran gambar itu.

Ekoran itu, esok, Jumaat 9 Mac, para editor kanan mereka buat kali ketiganya dipanggil ke pejabat KDN.

Ini kerana, mereka diarahkan memberikan penjelasan dan tindakan yang lebih baik kerana penjelasan sebelum ini tidak meyakinkan KDN.

Kali pertama, mereka dipanggil sebaik sahaja gambar itu disiarkan manakala kali kedua pula bagi menjawab surat tunjuk sebab dan pengakuan salah mereka.

Isu The Star sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, namun Harakahdaily dimaklumkan ia tidak berlaku.

Siasatan dalaman

Sementara itu, sumber bahagian sumber manusia The Star memaklumkan, akhbar itu buat pertama kalinya dalam sejarah akan membuat siasatan dalaman dengan diketuai oleh pihak luar.

Seorang bekas hakim mahkamah tinggi akan mengetuai penal siasatan kes ini yang akan berlangsung esok.

"Biasanya bahagian kami (HR) sahaja yang kendalikan kes siasatan dalaman ini tetapi oleh kerana kami perlu kewibawaan dalam siasatan kes ini, pihak luar terpaksa dipanggil," kata sumber itu.

Sumber itu juga memaklumkan, kes ini juga mencipta sejarah baru dalam akhbar ini apabila terpaksa mengumumkan nama pihak yang terlibat dalam membuat kesilapan ini.

"Biasanya kami rahsiakan pihak yang bersalah untuk menjaga kepentingan mereka misalnya untuk mendapatkan pekerjaan yang lain, tetapi oleh kerana kes ini terlalu besar, kami terpaksa umumkan nama mereka," kata sumber itu.

The Star sebelum ini mengumumkan pergantungan dua editornya yang bertugas dengan Star 2 yang bersalah menyiarkan gambar Erykah Badu yang bertatu nama Allah di dadanya yang terlanjang itu.

Dalam satu kenyataan disiarkan di laman webnya, pengurusan akhbar itu berkata, pihaknya telah menggantung editor kanan Star2, Lim Cheng Hoe dan timbalan editor, Daryl Goh, yang dilaporkan telah meluluskan penggunaan foto dalam Star2 edisi Isnin lalu.

Kedua-dua mereka digantung tugas dengan serta-merta.

Pada masa yang sama, pengurusan The Star berkata,  Editor Bersekutu, Rozaid Abdul Rahman dan Shah A. Dadameah telah diminta menyelia dan membimbing akhbar itu dalam isu-isu berkaitan dengan sensitiviti agama.

Sumber yang sama juga memaklumkan, pihak pengurusan kanan akhbar itu menjangka hukuman yang berat dikenakan kepada akhbar itu.

"Namun kami yakin, tidaklah berat sangat hingga gantung sampai mati kerana kehadiran kami perlu untuk pilihan raya nanti," katanya.

The Star yang dimiliki oleh MCA adalah akhbar harian berbahasa Inggeris paling laris di Malaysia. Sebelum ini, ketika Operasi Lalang, The Star bersama Watan dan sebuah akhbar Cina digantung permit mereka sehinggalah di lepaskan semula.

Akhbar ini menjadi antara media utama yang menyerang lawan MCA khasnya PAS dalam setiap kali pilihan raya.

MB NS terima kasih kepada Mohamad Hasan?

Harakahdaily, 08 Mac 2012
SEREMBAN, 8 Mac: PAS mempertikaikan tindakan Menteri  Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempromokan diri sendiri  menggunakan duit kerajaan melalui akhbar Utusan Malaysia.

(Iklan satu muka penuh MBI untuk ucap terima kasih kepada Mohamad Hasan.)

Ini kerana, dari segi etikanya adalah amat tidak wajar Mohamad menggunakan duit kerajaan untuk membuat iklan promosi diri sendiri sebegitu, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan iklan 'Terima Kasih' semuka surat penuh kepada Mohamad Hasan di muka surat 16.

Yang menjolok mata adalah iklan tersebut dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) bersama dengan dua lagi syarikat.

"Ini sudah jadi penyalahgunaan kuasa, MB membeli ruang iklan menggunakan duit MBI untuk membuat promosi kepada dirinya sendiri.

"Ini kes Mohamad Hasan mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Hasan. Ini sudah konflik kepentingan," kata Taufek kepada Harakahdaily.

Ekoran itu, katanya, pihaknya akan membuat kajian apakah ia wajar dibuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Taufek, ini bukan pertama kali Mohamad Hasan membuat perkara sebegini untuk membuat promosi kepada dirinya sendiri melalui pembelian ruang iklan sebegini.

"Sebelum ini iklan selamat datang kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dibuat...ia bagi saya satu penyalahgunaan kuasa juga," kata beliau.

Kerajaan Pulau Pinang kesal kenyataan CAP

Zairil Khir Johari,
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan perasaan kesal atas laporan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mac 2012 yang bertajuk “Kesal DAP tidak salur maklumat kepada rakyat”.

Dalam artikel tersebut, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang kedua-duanya diterajui oleh SM Mohamed Idris telah dilaporkan berasa kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini.

SM Mohamed Idris dipetik berkata, “Baru-baru ini laporan akhbar menyatakan kerajaan negeri akan membuka permohonan cadangan membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang serta beberapa projek lagi.”

SM Mohamed menambah isu ketelusan dan keterbukaan berhubung cadangan projek adalah keutamaan yang paling penting dalam peringkat awal perancangan dan membuat keputusan.

Katanya lagi, “Rakyat perlu diberikan maklumat lengkap dari awal mengenai potensi, manfaat dan kesan projek dan butiran pertukaran tanah supaya mereka boleh membuat keputusan bermaklumat mengenai keperluan projek mega tersebut.”

Kami tidak mempertikaikan hakikat bahawa isu ketelusan dan keterbukaan merupakan keutamaan yang paling penting, malah sebagai kerajaan yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), kami telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan pihak umum mengenai projek-projek infrastruktur yang dicadangkan.

Pada 28 April 2011, satu sidang akhbar telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mengenai penandatanganan Memorandum of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat milikan kerajaan negara China.

MOU itu telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Tun Razak serta Perdana Menteri China Wen Jia Bao.

MOU tersebut telah menyatakan minat syarikat kerajaan negara China ke atas empat projek infrastruktur Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, iaitu terowong 6.5km dari Butterworth ke Gurney Drive.

Jalan pintas 4.2km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang akan mengelakkan pusat bandar, jalan 4.6km yang akan menghubungkan Bandar Baru Air Itam kepada Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan berpasangan 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Semua projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Kos dianggarkan di antara RM5-8 bilion untuk keempat-empat projek ini tetapi dijangka lebih rendah kerana ia dijalankan dengan tender terbuka.

Ini telah diikuti oleh sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 29 April 2011 untuk meminta pandangan rakyat ke atas empat projek infrastruktur tersebut.

Ini telah disusuli oleh beberapa lagi sidang akhbar dari semasa ke semasa. Dalam sidang DUN pada 10 Mei 2011, Ketua Menteri telah sekali lagi menjawab soalan-soalan mengenai projek-projek infrastruktur tersebut.

Kerajaan Negeri dan juga MPPP telah menerima beberapa pandangan dan cadangan sejak 29 April 2011. Tambahan pula, Ketua Menteri juga telah mengadakan sesi perjumpaan dan perbincangan bersama wakil-wakil NGO dan pihak umum termasuk dengan Penang Forum pada 16 Oktober 2011 dan juga pada 19 November 2011. Dalam kedua-dua forum tersebut, Mohamed Idris telah dijemput tetapi beliau tidak dapat hadir dan telah menghantarkan wakil CAP.

Oleh itu, adalah mengejutkan bagaimana CAP boleh menyatakan bahawa tidak ada rundingan dengan NGO atau rakyat apabila begitu banyak ruang diberikan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan projek-projek infrastruktur tersebut.

Mengikut senarai kehadiran, kami boleh mengesahkan bahawa wakil CAP iaitu  Rudhrapathy Vijayala (Ravi) telah menghadiri kedua-dua sesi tersebut.

Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada pihak umum, termasuk dalam sesi perbincangan yang dihadiri wakil CAP.

Justeru, kenyataan Presiden CAP yang mempersoalkan dasar keterbukaan dan ketelusan Kerajaan Negeri adalah tidak tepat dan amat dikesali.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa proses tender terbuka yang dilangsungkan melalui RFP (Request For Proposal) juga akan melalui kajian kebolehlaksanaan serta penilaian kesan kepada alam sekitar.

Kedua-dua proses ini akan melibatkan penyertaan pihak umum dan akan menentukan keperluan projek-projek tersebut serta mengenal pasti alternatif-alternatif lain.

Adalah jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan dasar yang terbuka dan telus, bukan sahaja dengan penyampaian maklumat kepada pihak umum tetapi juga melalui dua sesi rundingan dan perbincangan dengan wakil-wakil NGO dan pihak umum yang dihadiri oleh Ketua Menteri sendiri.
----------------------------------------------
Penulis adalah Pegawai Khas kepada Ketua Menteri P.Pinang

Muslimat PAS ucap syabas kepada wanita

Anis Nazri, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) merakamkan ucapan syabas kepada semua wanita di seluruh dunia bersempena Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) turut merakamkan rasa simpati kepada wanita-wanita di Syria yang kini menjadi mangsa keganasan di negara terbabit.

Siti Zailah, ketika dihubungi Harakahdaily, berkata lebih 10,000 mangsa keganasan di Syria merupakan wanita dan juga kanak-kanak yang begitu dekat dengan wanita.

"Selain Syria, saya juga merakamkan rasa simpati kepada wanita-wanita di Palestin, yang sudah sekian lama dicengkam keganasan," kata beliau sambil mengharapkan masyarakat dunia lebih prihatin dengan nasib kaum wanita yang tertindas.

Dalam pada itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang merakamkan rasa syabas dan bangga terhadap wanita Islam, khususnya di Timur Tengah yang berani bangkit membawa perubahan yang lebih baik di negara mereka.

Kebangkitan itu, katanya sebagai satu perangsang dan pendorong kepada wanita-wanita muda untuk bangkit membawa perubahan ke arah dunia yang lebih aman dan selamat.

Sementara itu, dalam konteks Malaysia, Siti Zailah meletakkan harapan yang tinggi kepada wanita di negara ini agar menjadi agen perubahan menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Kita mahu membebaskan Malaysia dari pemerintah yang rasuah, sistem yang rosak dengan segala kebobrokan.  Maka, wanitalah penentu masa depan Malaysia yang lebih harmoni," tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, Siti Zailah menegaskan wanita sebagai agen perubahan perlu mendapat sistem sokongan dan dokongan daripada semua pihak bagi menjadikan wanita lebih berperanan dalam setiap bidang yang diceburi mereka.

Ke arah kepimpinan wanita muda bertaraf dunia

Fareedah Samad, 08 Mac 2012

Ameerah Malaysia mengucapkan selamat menyambut hari wanita sedunia kepada seluruh wanita di luar sana. Dalam perkembangan dunia hari ini, Ameerah percaya sambutan Hari Wanita Sedunia pada kali ini akan disambut dengan lebih bermakna kerana terma ‘Wanita Suara Perubahan’ itu telah disambut oleh setiap wanita di seluruh pelosok di dunia.

Melihat kepada keterlibatan golongan wanita dalam pelbagai sektor baik di peringkat kepimpinan tertinggi negara sehingga kepada sumbangan wanita sebagai penggerak utama dalam institusi rumahtangga, nyata peranan kaum wanita semestinya tidak boleh dipertikai lagi. Di Malaysia saban tahun kita menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh kaum Hawa. Bukan hanya sekadar ingin menuntut hak kesaksamaan gender, bahkan lebih daripada itu adalah untuk untuk menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain bahawa kejayaan itu boleh dikecapi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keazaman yang kuat serta rajin berusaha.

Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia ini, Ameerah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tokoh wanita yang telah mengharumkan nama negara di setiap peringkat. Ke arah menuju kepimpinan wanita bertaraf dunia, Ameerah komited dalam rangka membawa misi 3P: Politik, Patriotisme, Partisipasi:


Pendidikan politik



Membaiki persepsi wanita muda terhadap terma politik bahawasanya politik itu bersifat mulia, digerakkan oleh orang-orang yang memiliki jatidiri serta ikhlas dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat.

Membantu wanita muda dalam mengakses maklumat dan isu yang tepat serta mencukupi dengan menjadi pipeline kepada mereka bagi memastikan mereka mampu membuat keputusan yang tepat serta memiliki stand politik yang tersendiri.

Menyediakan platform yang sesuai untuk wanita muda terlibat secara langsung sebagai political player dengan memberi latihan kepimpinan (leadership training), kemahiran insaniah (softskill training) dan mewujudkan jaringan strategik (networking) bagi mengembangkan potensi dalam diri mereka.

Patriotisme

Melahirkan generasi wanita muda yang mempunyai ilmu-ilmu asas kenegaraan seperti penghayatan kepada Rukun Negara, Pengisytiharan Kemerdekaan, Perlembagaan Negara dan Dasar-dasar Utama Negara, agar rasa cintakan negara tersebut timbul dengan keyakinan yang mendalam dan asas ilmu yang kuat.

Membina generasi wanita muda yang sentiasa cakna dan berani menyuarakan hak-hak dan kepentingan mereka sebagai rakyat Malaysia dan isu-isu yang berkaitan dengan negara sama ada yang bersifat dalaman mahupun hubungan luar dengan negara lain.

Melahirkan generasi wanita muda yang bebas dari sebarang sentimen perkauman sempit dan mampu untuk hidup bersama dalam suasana kepelbagaian bangsa dan agama dengan harmoni dan sejahtera.

Partisipasi dalam masyarakat



Meningkatkan partisipasi wanita muda dalam civil society dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan hak-hak golongan yang tertindas.


Meningkatkan tenaga sukarelawan di kalangan wanita muda yang berperanan untuk membangunkan jatidiri masyarakat terutamanya di kalangan generasi baru.

Menggalakkan penyertaan wanita muda dalam membincangkan solusi (public reasoning) kepada permasalahan masyarakat di dalam komuniti mereka.

Justeru Ameerah menyeru kepada kaum wanita di seluruh negara agar kita sama-sama dapat menghayati misi 3P ini agar impian kita untuk membawa kepimpinan wanita Malaysia ke peringkat antarabangsa akan terlaksana. Kita mahu dikenali sebagai pemimpin wanita yang mampu menjadi sumber inspirasi dan pendorong kepada kejayaan wanita lain di luar sana. Sekali lagi, Selamat Menyambut Hari Wanita 2012. Wanita Suara Perubahan!

“Menerajui Perubahan Generasi Baru”

Fareedah Samad
Pengerusi Ameerah
Dewan Muslimat PAS Pusat.

Muslimat PAS harap ramai calonnya bertanding

Anis Nazri, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Senarai lebih 30 calon wanita yang diserahkan Dewan Muslimat PAS Pusat kepada PAS masih dalam pertimbangan.


Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) berkata, perkembangan mengenai senarai calon itu sedang diteliti dari sudut kesesuaian lokasi untuk bertanding.

"Setakat ini tiada lagi makluman rasmi daripada pihak PAS Pusat kepada DMPP mengenai calon yang kita kemukakan.

“Bagaimanapun, kami mengharapkan lebih ramai calon dikemukakan kali ini berbanding pilihan raya umum yang lalu," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Siti Zailah, berdasarkan maklumat yang diperolehi pihaknya, rakyat sudah mula menaruh kepercayaan kepada wakil rakyat muslimat yang telah terbukti menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Katanya, kebanyakan akar umbi yang ditemui berpendapat wakil rakyat muslimat yang memenangi Pilihan raya Umum ke-12 lalu benar-benar memberikan perkhidmatan dan tanggungjawab sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan agar PAS mengetengahkan lebih ramai calon muslimat pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.

Pada 18 Februari lalu, DMPP telah mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada PAS Pusat.

Lebih 30 orang muslimat dari seluruh negara dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi Dun dan Parlimen.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut membayangkan separuh daripada calon yang tersenarai terdiri daripada muka baru.

"Muslimat ada ramai calon yang berwibawa dan senarai yang kita kemukakan ini, muka baru dan muka lama bergabung. Ada calon berpengalaman, ada muslimat muda," katanya.

Menurutnya juga, persiapan calon di kalangan DMPP itu sebagai menyahut saranan Buku Jingga yang memperuntukkan 30 peratus perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

"DMPP memandang positif kandungan Buku Jingga yang mengiktiraf golongan wanita dan kita berusaha mencapai sasaran 30 peratus itu," katanya.

Pada PRU12, seramai 13 muslimat bertanding iaitu lima di kerusi Dun manakala 8 di kerusi Parlimen.

Lima kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen berjaya dimenangi.

Kerusi Dun yang menang ialah N.06 Jitra, Kedah N.33 Merbau Pulas, Kedah N.24 Selat Klang, Selangor, Dun Tanjong Mas, dan Dun Kijang, Kelantan (menang tanpa bertanding).

Manakala kerusi Parlimen pula ialah P.23 Rantau Panjang, Kelantan, P.119 Titiwangsa, Wilayah Persekutuan dan P.111 Kota Raja, Selangor.

Tiada ulasan: