Rabu, 21 Mac 2012

MEMANG BETUL...TINGGAL PERJUANGAN YANG TAK BERTERASKAN AQIDAH SERTA SYARIAT ISLAM..ORANG BUKAN ISLAM AKAN SELAMAT DALAM NEGERA YANG BERPAKSIKAN AGAMA ALLAH IAITU ISLAM...

Lynas: PAS sambut baik prosiding terbuka

Hazayani Zakaria, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS menyifatkan prosiding kes semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas yang akan diadakan secara terbuka sebagai permulaan yang baik kepada rakyat Kuantan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Dzulkifly Omar berkata, prosiding terbuka membolehkan semua pihak mendengar penghujahan yang akan dikemukakan.

"Kita menerima baik keputusna ini dan ini peluang baik apabila akan didengar di open court kerana semua orang boleh mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan rakyat boleh menilainya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini menerima semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas di Gebeng, Kuantan.

Menurut peguam yang mewakili plaintif iaitu 10 penduduk Kuantan, K Shanmuga, kes akan didengar secara terbuka pada 4 April depan.

Hakim, Datuk Rohana Yusuf juga telah mengarahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memfailkan afidavit bagi menjelaskan mengenai kelulusan lesen TOL yang diberikan kepada Lynas.

Februari lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Semakan kehakiman tersebut bagaimanapun ditolak pada 28 Februari lalu dan difailkan semula semalam.

Dzulkifly yang juga Pengerusi Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) sekali lagi mengulangi bahawa isu Lynas bukan hanya isu kaum Cina seperti yang didakwa BN namun merupakan isu semua kaum.

Ini katanya dapat dilihat dengan kehadiran penduduk Kuantan yang hadir ke mahkamah menyatakan sokongan.

"Semalam yang hadir dari Kuantan sebuah bas dan 10 buah kereta. Bukan Cina sahaja yang datang, Melayu pun ramai, India pun ada. Isu ini merupakan isu keselamatan semua kaum," katanya.

FGVH: PAS tuntut maklumat lengkap, bukan umum

Anis Nazri, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub tidak berpuas hati dengan penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan berhubung keuntungan Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Menurut Salahuddin, jawapan yang diberikan Ahmad itu tidak jauh beza dengan jawapan yang diberikan ketika menjawab soalan yang dikemukakan beliau, tiga hari lalu.

"Jawapan itu tidak ada bezanya dengan jawapan yang diberikan tiga hari lalu di dalam dewan. Apa yang saya minta ialah dokumen lengkap mengenai kedudukan keuntungan FGVH, bukannya laporan umum seperti ini.

"Bagaimanapun, dengan penjelasan ini saya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak-pihak yang berkenaan berhubung hal ini," kata beliau ketika ditemui di lobi parlimen, petang ini.

Ahmad, pada sidang media sebelum itu mengumumkan keuntungan sebelum cukai FGVH itu sebanyak RM203 juta pada 2009, dan RM366 juta (2010), manakala bagi 2011 masih di peringkat audit dan dijangka selesai hujung bulan ini.

"Biasalah syarikat perniagaan ini. Ada yang untung, ada yang rugi. Mana ada syarikat yang berniaga terus untung," jelas Ahmad kepada media.

Beliau menambah penjelasan tersebut sebagai menyahut cabaran yang dibuat Salahuddin itu untuk mengumumkan keuntungan FGVH sebelum ini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Naib Presiden PAS itu berkata jawapan tentang ada syarikat di bawah Felda yang mengalami kerugian membuktikan timbalan menteri itu menjawab secara tidak jujur di dalam dewan.

"Ketika saya bertanya, beliau hanya jawab FGVH meraih keuntungan. Seolah-olah hanya untung sahaja, tidak rugi. Kenapa tidak beritahu tentang kerugian? Kalau boleh bagitahu tentang keuntungan, kita mahu tahu juga jumlah kerugian," tegas Salahuddin.

Sebelum ini, pelaburan-pelaburan yang dijalankan anak-anak syarikat FGVH seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Felda Global Technologies melalui Twin Rivers Technolgies US (TRT) didakwa mencatatkan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Tarikh PRU: Teka teki Najib susahkan rakyat

Salmiyah Harun, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu bermain dengan teka teki dalam mengumumkan tarikh PRU-13 kerana tindakan itu menganggu perancangan dan aktiviti rakyat negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Najib sewajarnya mengumumkan awal tiga atau enam bulan tarikh itu memandangkan rakyat sudah ada perancangan aktiviti mereka.

Katanya, jika pilihan raya berlaku pada cuti persekolahan akhir Mei hingga awal Jun nanti sudah tentu menganggu aktiviti rakyat yang dirancang sekian lama.

"Umum awal bukan untuk parti bersiap, tetapi sebahagian rakyat negara ini sudah merancang aktiviti mereka pada cuti sekolah. Mungkin ramai mengerjakan umrah, atau melancong kerana mereka tempah tiket dengan agensi lebih awal termasuk Tabung Haji juga,"katanya dalam sidang media.

Malah katanya, ramai juga rakyat negara ini melancong ke luar negara dengan keluarga dan ada juga melaksanakan kenduri-kendara pada waktu itu.

"Pada waktu cuti itu sudah tentu beribu-ribu rakyat negara ini keluar negara bercuti, jika diadakan pada musim cuti sahlah rakyat negara ini dinafikan hak mereka untuk mengundi. Mereka tidak akan batalkan tiket yang ditempah,"katanya.

Tegas Mahfuz, Najib harus tampil dengan berani untuk umumkan tarikh PRU lebih awal untuk keselesaan urusan kehidupan rakyat hari ini.

"Tarikh PRU sering menjadi teka-teki mungkin kerana Najib dilihat seolah-olah tidak bersedia menghadapi PRU,"katanya.

Semua pemimpin Islam patut tinggalkan Umno

Rizal Tahir, 21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, semua pemimpin Umno beragama Islam sepatutnya sudah lari meninggalkan Umno sebagaimana Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

“Sepatutnya semua orang Umno yang beragama Islam lari dari menyertai perjuangan kebangsaan,”ujarnya.

Bagi beliau, setelah Umno semakin menyimpang dari perjuangannya, amat wajar lebih ramai pemimpin Umno keluar parti itu dan bukan hanya Tan Sri Abdul Kader sahaja.

Nik Abdul Aziz berkata sepatutnya pemimpin Umno telah ramai dan sudah lama keluar dari parti itu untuk menyertai PAS.

Tambahnya, ini kerana perjuangan PAS  sendiripun ditubuh oleh  Biro Agama Umno yang  menyedari perjuangan parti itu tidak selari dengan kehendak Rasulullah.

Menyentuh tentang penarikan diri Kadir sebagai ahli Umno oleh Datuk Kader, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sudah terlewat.

Ini kerana katanya  Umno sudah pecah serta berbau busuk menembusi hidup seluruh rakyat di negara ini Kader baru berbuat demikian.

“Ketika suasana begini baru istihar keluar Umno, jadi rasanya sudah tidak begitu strategik lagi,”ujarnya.

Katanya, rakyat juga sepatutnya sudah lama tidak menyokong Umno dan BN dengan gejala buruk seperti rasuah, penculikan kanak-kanak, penyalahgunaan wang zakat dan berbagai lagi.

Sambungnya, gejala itu berlaku berikutan pemimpin salah mentadbir negara seumpama memandu sebuah kereta yang tidak mempunyai ‘break’, akibat kerosakan.

Sambungnya, tidak ada perkara yang boleh menyekat golongan itu dari melakukan perkara mungkar ekoran break (iman) yang telah rosak.

Katanya lagi, pengertian maksiat juga telah disempitkan oleh manusia yang hanya melihat pada perbuatan zina sahaja, sedangkan derhaka pada Allah juga sebagai maksiat.

“Apa sahaja perbuatan yang derhaka kepada Allah, zina, tak solat, rasuah, culik manusia dan berbagai lagi adalah perbuatan maksiat,”ujarnya.

Tambahnya, ini kerana manusia sudah tidak ada lagi kuasa radhi’ (kuasa menyekat) dari mereka melakukan kejahatan.

Utusan gagal hodohkan Ladang Rakyat

Salmah Mat Husain, 21 Mac 2012
KOTA BHARU, 21 Mac: Keghairahan laporan khas mengenai Ladang Rakyat yang disiarkan sebuah akhbar Umno tiga hari berturut-turut sejak kelmarin seperti mencipta benda yang tidak wujud.

Laporan yang mendakwa ada penduduk di Kampung Lepar Jaya dan Kuala Ketil, Gua Musang dianiaya projek Ladang Rakyat ternyata tidak berasas sama sekali.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, tidak ada projek Ladang Rakyat di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Kononnya berlaku penderitaan yang ditanggung bebeberapa keluarga yang langsung tiada kaitan dengan projek Ladang Rakyat,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang penduduk, Mohd Donia Hanafi, 62 mendakwa akibat kerajaan negeri memajak tanah di Lepar Jaya menyebabkan beliau terpaksa berpindah ke Kampung Kuala Betis.

Dakwa beliau rumahnya di Lepar Jaya dimusnahkan syarikat yang ada kaitan dengan Ladang Rakyat.

Penyelia parlimen Gua Musang, Abdullah Hussin juga menjelaskan tidak ada projek Ladang Rakyat di kawasan seperti didakwa dalam laporan Utusan hari ini.

Katanya, projek Ladang Rakyat hanya terdapat di Kuala Betis, Limau Kasturi, Paloh 4, Renok Baru dan beberapa lokasi lain.

“Saya juga tidak pernah mendengar cerita ada penduduk dihalau kerana projek Ladang Rakyat. Malah tidak pernah kedengaran ada penduduk ditahan di lokap kerana mempertahankan kebun mereka,” katanya dihubungi di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar menegaskan kerajaan negeri menafikan sama sekali laporan akhbar berkenaan, termasuk dakwaan 60,000 hektar tanah Ladang Rakyat dipajak kepada syarikat swasta.

“Ini kerana keluasan tanah Ladang rakyat hanya 25,666 hektar dan bukannya 60,000 seperti dilaporkan. Lagi pun konsep pemajuan tanah bukan secara pajakan.

“Hak milik tanah Ladang Rakyat kekal sama ada tanah kerajaan atau didaftar di atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat tanpa dipajak kepada syarikat swasta,” ujarnya.

Miskin tegar

Ahmad juga berkata, dakwaan hanya 5 peratus peserta Ladang Rakyat bebas daripada kemiskinan tegar juga tidak tepat.

Katanya, akhbar terbabit menggambarkan seolah-olah daripada 4,834 peserta hanya 5 peratus atau 240 orang sahaja yang bebas miskin tegar dalam masa enam tahun projek dilaksanakan.

“Sedangkan fakta sebenar ialah 5 peratus bebas miskin tegar dalam masa setahun. Dan ini bermakna angkanya 240 orang setahun atau pun 1,440 orang enam tahun,” katanya.

Menurutnya juga dakwaan peserta menerima sijil tetapi tidak menerima apa-apa dividen sebenarnya mereka merupakan peserta bagi penempatan berkelompok.

Katanya, peserta yang menerima dividen RM200 sebulan bukan di kalangan peserta penempatan berkelompok yang akan diwujudkan di Paloh 4 dan Limau Kasturi.

Beliau berkata, peserta penempatan berkelompok tersebut akan diberi tapak rumah yang dibina peserta melalui pembiayaan sewa beli tanpa faedah diurus Ladang Rakyat.

“Peserta dijangka akan dapat memasuki tapak rumah dalam masa sebulan dua lagi. Peserta akan menerima gaji bulanan dengan mengusahakan ladang seluas 10 ekar setiap seorang.

“Mereka juga akan diberi insentif sebanyak RM15 bagi setiap tan hasil kelapa sawit daripada hasil buah sawit di kawasan diusahakan,” ujarnya.

Saman

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, sekiranya akhbar terbabit tidak menyiarkan penafian dibuat kerajaan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

Bersih bantu pelajar mangsa k'jaan Terengganu

Harakahdaily, 21 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan membantu enam pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir yang dibatalkan biasiswa oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain bantuan dari sudut mengumpul dana, mereka juga menawarkan bantuan guaman kepada pelajar terlibat.

"Bersih 2.0 ingin memberi jaminan kepada pelajar bahawa mereka tidak bersendirian.

"Kami terus terang menawarkan bantuan kami dalam mendapatkan bantuan undang-undang dan bersedia untuk mengambil langkah-langkah untuk mengumpul dana untuk membantu pelajar yang terbaik kita boleh," kenyataan mereka dipetik.

18 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan penarikan balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri yang belajar di Mesir selepas didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Bersih turut mengutuk sekeras-kerasnya langkah Kerajaan Negeri Terengganu itu lebih-lebih lagi pembatalan tersebut dibuat ketika mereka sedang berada di tengah-tengah pengajian.

Tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu itu ujar mereka, bukan sahaja menindas, malah melanggar hak-hak pelajar untuk berhimpun secara aman, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Terengganu juga kata mereka telah menafikan hak pelajar untuk pendidikan, seperti yang termaktub dalam Perkara 12.

Lebih penting lagi, ianya juga turut bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa kerajaan telah meliberalisasikan pendirian berhubung dengan perhimpunan aman.

"Bersih 2.0 menyeru kerajaan negeri yang lain untuk memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar dan keluarga mereka.

"Tindakan kerajaan negeri Terengganu bukan sahaja menghukum pelajar, malah keluarga mereka juga," kata mereka.

Datuk Ali, jom kita debat - PJ PAS Melaka

Zaili Mohamad, 21 Mac 2012
MELAKA, 21 Mac: Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya berdebat secara terbuka pada 15 April 2012 di Melaka International Trade Center dengan tajuk 'Pembangunan atau Pemborosan Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut beliau, debat adalah saluran terbaik berikutan suasana politik di Melaka masakini yang dihangatkan dengan provokasi daripada Umno-BN yang turut mengadakan ceramah di sebelah ceramah Pakatan Rakyat.

"Sebelum saya nyatakan pendirian, maka kita harus melihat senario semasa politik di Melaka
terutamanya, majlis-majlis ceramah PR hari ini dimeriahkan lagi dengan ceramah BN di sebelah.

"Pembesar suara BN dihalakan pada pentas PR, pembesar suara PR dihalakan pada pentas BN, kita semua ceramah serentak, kadang-kadang penceramah jadi 'loktang' atau 'sawan'.

"Unsur-unsur provokasi juga pasti merisaukan pasukan keselamatan, persoalannya sampai bila rakyat boleh bersabar tak kira PR atau BN maka jalan terbaik, kita bercakap satu pembesar suara, satu pentas dan satu Malaysia boleh dengar, kita berdebat," katanya.

Beliau mencadangkan tajuk debat ialah adakah pelbagai projek mega yang dilaksanakan di Melaka selama ini merupakan satu pembangunan atau pemborosan oleh Kerajaan Negeri Melaka yang ditadbir oleh Umno-BN.

"Saya tunggu respon Datuk Ali, saya secara peribadi bersedia Debat pada 15 April 2012.

"Debat bagi saya bukan mencari menang atau kalah tapi bagi membina minda kelas pertama generasi Melaka kerana itu adalah keutamaan kita, 'Jom Debat'," ujar beliau.

Tiada ulasan: