Rabu, 28 Mac 2012

BILA PILIH BULU...BAGAIMANA NAK TEGAK KEADILAN...CAKAP AJE LA...NI LAH HASIL DARI SIFAT YANG SUKAR TAKWA PADA ALLAH...

Demokrasi media mendepani PRU13

Nasrudin Hassan at-Tantawi, 27 Mac 2012
1. Berulangkali YAB Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Abd Razak melaungkan transformasi di era kepimpinannya. Asasnya ia adalah satu langkah yang baik untuk sebuah perubahan. Namun malangnya sehingga kini, transformasi itu belum menampakkan sebarang tanda bahawa parti-parti politik yang sah dan dibenarkan bertanding dalam pilihanraya mempunyai akses media yang seimbang dengan parti pemerintah.

2. Rakyat telah menghantar isyarat yang sangat jelas melalui  Bersih dan Bersih 2.0 tempoh hari, bahawa mereka mahu akses media yang lebih telus dan luas guna mewujudkan ruang dan peluang seimbang serta adil kepada semua parti yang bertanding dalam pilihanraya.

3. Pilihanraya adalah platform untuk rakyat memilih pemimpin yang bakal membentuk kerajaan dan pentadbiran yang baik ke arah memacu negara bersaing seiring sejalan dengan pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial yang pesat serta menguasai iklim politik serantau mahupun antarabangsa.

4. Justeru itu, rakyat terlebih dahulu berhak untuk mendapatkan maklumat dari parti yang bertanding berkait kewibawaan calon, polisi parti, tawaran dan janji untuk rakyat serta manifesto dan risalah perjuangan parti-parti yang bertanding.

5. Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, hanya parti pemerintah yang menguasai media sama ada cetak atau elektronik. Sementara parti bukan pemerintah dipaksa berpada dengan media lidah rasmi parti yang terhad bilangan dan keluarannya untuk ahli sahaja.

6. Fenomena ini tidak sihat untuk sebuah sistem demokrasi yang baik dan subur. Rakyat kelak memilih pemimpin tanpa maklumat yang cukup dan masak sebaliknya lebih bergantung kepada maklumat sebelah pihak dan satu hala. Selayaknya akhbar parti dibenar terbit dan edar secara umum, pula diberi laluan serupa dan seimbang untuk membawa suara perjuangan parti  melalui chanel khas dalam media elektronik.

7. Jika kita berpolitik untuk memajukan negara dan membangunkan minda rakyat, selayaknya rakyat dididik membuat pilihan dan pendirian berasaskan maklumat yang seimbang dan masak. Inilah politik baru yang berkali saya tegaskan. Iaitu politik berteraskan hujjah dan fakta bukan lagi politik tekan, paksa, sogok dan ugut.

8. Ketidakadilan ini bakal mengundang risiko besar apabila rakyat tertekan dan rasa dinafikan hak mereka bersuara dan hak mereka untuk mendapatkan maklumat secara bebas dan telus. Ia boleh sahaja menjadi bom jangka yang mampu meledak pada bila-bila masa jika terus-terusan rakyat dikongkong. Satu peringkat mereka mungkin boleh dan masih bersabar namun bila tiba saat tertentu, negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat.

9. Negara maju malah mengamalkan sistem demokrasi telah lama mendahului negara kita dalam pendemokrasian media dan maklumat. Malah sebagai sebuah negara yang meletakkan agama rasminya ialah  Islam, sewajarnya menggalakkan keseimbangan maklumat dan pertumbuhan sumber perbendaharaan ilmu dalam pelbagai bidang yang mampu membina minda dan daya fikir masyarakat kita.

10. Kesalnya saya, apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, media untuk membina dan membentuk jalur pemikiran, resam budaya,  budi peribadi, skima politik dan ekonomi sangat terhad serta terbatas. Sebaliknya majalah picisan, novel separa porno dan akhbar hiburan tanpa kawal berlambak dipasaran dengan kelulusan KDN sedang ia sekali-kali tidak membangunkan harapan negara untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan berkualiti.

Nasrudin Hassan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Kerajaan perlu bertindak terhadap AG, bekas KPN

Abdul Aziz Mustafa, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara untuk membersihkan nama polis, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apabila polis didakwa terlibat dalam memberikan perlindungan kepada penjenayah, ia ancaman baru kepada negara.

"Ini ancaman baru kepada negara, kepada kita. Soal keselamatan yang polis tidak boleh hendak mengawal keadaan kerana apa, kerana ada pegawai tinggi polis yang melindungi kumpulan kongsi gelap," kata Mahfuz.

Perbahasan hangat berlaku antara Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa perkara itu tidak ada kes ketika dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebelum ini.

"Pada masa dan ketika itu tidak ada kes untuk SPRM melaksanakan dan meneruskannya," dakwa menteri itu.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff sebelum ini mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melindungi penjenayah dan mendakwa mereka menggunakan SPRM menganiayai pegawai-pegawai polis yang terlibat dengan penyiasatan ke atas penjenayah berkenaan.

Apabila Hishammuddin mendakwa SPRM mendapati tidak ada kes, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyanggah dakwaan itu dengan menekankan siasatan tersebut ialah siasatan lama.

"Itu siasatan yang lama. Selepas daripada siasatan tersebut, bangkit keterangan baru, bangkit saksi-saksi yang menyatakan mereka sudi hendak tampil ke hadapan tapi langsung tidak ada sebarang tindakan.

"Jawapan yang diberikan hari ini langsung tidak menyentuh terhadap perkara-perkara tersebut," kata Gobind.

Mahfuz pula menekankan Ramli tidak membuat dakwaan tanpa bukti.

"Bekas pegawai kanan polis dia datang bukan dengan cakap kosong. Dia datang dengan dokumen.

"Dia datang dengan penuh keberanian. Dia tahu risiko dia," katanya.

Ketika itu, Gobind terus menyambut penegasan Mahfuz itu dan berkata kerajaan tidak menyiasat perkara itu "kerana tahu aduan (Ramli) itu betul".

Ramli sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan untuk menyiasat kes yang dinamakan "Copgate" itu.

Hari ini, Ramli menyifatkan jawapan Hishammuddin bahawa kes itu disiasat oleh SPRM sebagai mengingkari logik.

Beliau menekankan dakwaan bahawa badan pencegahan rasuah itulah yang digunakan oleh Abdul Gani dan Musa untuk memangsakan beliau dan para pegawai bawahannya.

Malah, kata Ramli, SPRM jugalah yang membebaskan Abdul Gani dan Musa atas beberapa tuduhan.

'Kita dah lakukan terbaik, terserah rakyat dan tuhan'

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, terpulang kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih siapa yang dirasakan layak menerajui kerajaan negeri itu selepas PRU-13 nanti.

Menurutnya, apa yang penting kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu telah berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Pulau Pinang dan mereka boleh menilainya.

"Saya rasa terpulang kepada rakyat, kita akan bersiap sedia tapi akhirnya rakyat dan tuhan yang menentukan segala-galanya," katanya ketika ditanya Harakahdaily peluang Pakatan Rakyat negeri itu pada PRU-13 nanti.

Setiausaha Agung DAP itu juga memberitahu, sejak empat tahun memerintah Pulau Pinang, Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan ekonomi penduduk, malah sebahagian hasil ekonomi negeri dapat dinikmati rakyat.

Sehingga kini katanya lebih RM70 juta bantuan dalam bentuk kewangan diberikan secara terus kepada rakyat.

Bantuan itu termasuk RM100 setahun kepada warga emas melalui program penghargaan warga emas, RM200 kepada anak baru lahir melalui program Anak Emas, RM1,000 kepada anak negeri yang memasuki IPTA, dan RM100 setiap tahun untuk pelajar sekolah melalui program Pelajar Emas.

Selain itu katanya, lebih RM500 juta pula digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya penambahbaikan infrastruktur di negeri itu.

Paling berjaya katanya, Pakatan Rakyat negeri itu telah berjaya membasmi miskin tegar dalam masa setahun dan memberi bantuan tambahan wang kepada setiap keluarga bagi mencapai jumlah pendapatan RM600 sebulan.

"Inilah perubahan besar yang kita bawa. Berbanding BN dahulu yang bersifat kroni, kepada kita yang berjiwa rakyat.

"Kita akan hadapi PRU 13 ini dengan sabar dengan harapan rakyat boleh yakin dengan usaha ikhlas kita untuk mewujudkan kerajaan yang bersih dan berjiwa rakyat," katanya.

Sms dalaman terlepas: Speaker syak Hasan Ali

Muhammad Faizal, 27 Mac 2012
SHAH ALAM, 27 Mac: Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengesyaki Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali telah menyebar sistem pesanan ringkas (Sms) yang dihantar olehnya kepada Adun Barisan Nasional.

Menurut Teng, semalam beliau telah menghantar sms menggunakan senarai 'broadcast' telefon Blackberrynya kepada seluruh Exco Kerajaan Negeri yang mana dalam senarai tersebut masih terdapat nama bekas exco itu.

Sms yang dihantar oleh Teng kepada semua exco yang berbunyi "This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past 4 years like whay Yaacon is doing now."

Tetapi sms tersebut telah disebarkan kepada adun Barisan Nasional dengan memberitahu Speaker bersikap berat sebelah dan mahu ia dijadikan isu untuk mereka keluar meninggalkan dewan negeri.

"Saya akui kesilapan kerana tidak mengeluarkan nama bekas exco itu sehinggakan sms yang saya hantar kepada seluruh exco turut diterima olehnya (Hasan) dan saya rasa beliau bertindak menyebar sms tersebut kepada Adun Barisan Nasional.

"Tujuan saya tidak mengeluarkan nama beliau adalah kerana menganggap beliau adalah rakan baik tetapi tindakan sebaliknya diambil oleh beliau sehinggakan sms tersebut telah dimanipulasi oleh Adun Barisan Nasional hari ini," jelasnya sewaktu sidang media di Dewan Negeri Selangor.

Tambahnya lagi, jika pihak pembangkang merasakan ia satu kesalahan serta tidak mempercayainya untuk bertindak adil sebagai Speaker, Adun Barisan Nasional boleh mengemukakan usul di Dewan Negeri di bawah peraturan yang telah ditetapkan.

"Saya sanggup duduk di bawah tempat Sungai Pinang dan berbahas jika pembangkang Barisan Nasional mengemukakan usul atas ketidak percayaan mereka kepada tugas saya sebagai Speaker serta merasakan saya bersikap berat sebelah dalam mengendalikan tugas saya sebagai Speaker.

"Ingin saya jelaskan di sini dalam tugas yang diberikan ini saya sentiasa bersikap adil dan jika ada mana-mana pihak kerajaan atau exco yang dilihat tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan saya akan tegur begitu juga jika Barisan Nasional membuat satu yang baik saya akan puji, jadi tidak timbul langsung bersikap berat sebelah," sambungnya lagi.

Teng turut menyatakan, Adun Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh dewan jika ada perkara yang menimbulkan keraguan terutamanya berkaitan isu sms yang ditimbulkan oleh Adun Batangkali, Mohd Isa Abu Kasim.

Malah menurut Teng lagi, tindakan Adun Barisan Nasional mengadakan sidang media adalah hanya kerana tidak mahu mengikuti perbahasan di dalam dewan yang sedang berlangsung.

"Mereka hanya mementingkan perkara yang remeh dan lebih rela keluar dari dewan yang sedang berbahas tentang dasar-dasar kerajaan, sedangkan perkara tersebut boleh dibawa mengikut peraturan yang telah ada.

"Saya ingin mengulangi melalui penyebaran sms ini jelas membuktikan hubungan yang akrab antara Hasan dengan adun-adun Barisan Nasional," kata beliau lagi.

BN kekal dengan persempadanan kawasan mengundi

Abdul Aziz Mustafa, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: Datuk Seri Najib Razak tidak menjadi Perdana Menteri kerana undi majoriti tetapi kerana persempadanan kawasan mengundi, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar).

"(Dalam pilihan raya 2008 lalu) penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya merupakan 49 peratus dari pengundi popular.

"Yang menyelamatkan Umno dan yang membolehkan Najib jadi Perdana Menteri, ialah persempadanan kawasan mengundi.

"Kalau tidak ada pembohongan dan ‘arrangement’ macam ini, Umno yang melakukan kesilapan demi kesilapan keatas rakyat Malaysia sudah lama bungkem!" kata bekas Adun Pulau Manis itu.

Ariff menekankan, orang-orang Melayu tidak akan kehilangan apa-apa pun yang berharga jika menolak Umno.

Dengan menolak Umno, katanya, orang-orang Melayu hanya kehilangan "rantai dan pasung yang selama ini memenjarai jiwa mereka".

"Umno membodohkan orang Melayu dan suka selagi orang Melayu bergantung kepada Umno dan tertunduk-tunduk meminta sedekah seperti segala tambi dan peon.

"Ini bukan cara untuk memertabatkan maruah bangsa," tegas beliau.

Bagi Ariff, Umno sudah sampai masa tamatnya.

"Bila dah tiba maut, kita tak boleh melambat atau menyegerakan walaupun sesaat.

"Rakyat sudah lemas dan meluat dengan Umno. Untungnya, Umno tidak boleh melakukan apa apa untuk menyelamatkan diri nya. Setiap hari Umno menunjukkan lemasnya," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya bertajuk "Mentalqinkan Umno".

Mengulas gertakan dalam keadaan serba cemas yang disuarakan Perdana Menteri baru-baru ini supaya "rakyat jangan melakukan kesilapan sekali lagi", Ariff berkata, "amat benar - jangan melakukan kesilapan dengan memberi lesen kepada pimpinan Umno untuk merompak dan melanun negara ini".

Melihat kepada cara kerajaan Umno memberi kontrak dan pinjaman dengan kadar rendah, beliau menyifatkan kerajaan pimpinan Umno seolah-olah memerah rakyat.

Negara akan bankrap, katanya.

"Lebih mendukacitakan - Najib menunjukkan sifat Umno yang bongkak. Umno merasakan dialah sahaja Melayunya.

"Dialah sahaja yang pandai mengurus negara. Dialah sahaja yang melindungi orang Melayu. Dialah sahaja yang boleh beri masa depan kepada orang Melayu dan Malaysia.

"Akan tetapi, fakta menunjukkan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di tadbir dengan lebih baik," kata Ariff yang baru-baru ini menyertai DAP.

Beliau mempersoalkan, bagaimana Umno boleh memberi kita suatu masa depan yang cerah, jika ia telah menyebabkan suatu sejarah yang muram dan masa kini yang kacau?

Pusat belum bayar RM102 juta dana Khas Terengganu

Hazayani Zakaria, 27 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 27 Mac: PAS mempersoal Kerajaan Persekutuan yang belum membayar RM102 juta duit Dana Khas Terengganu yang digunakan untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Nohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mesti membayar wang tersebut kerana RMR dan RMM dijual dan kerajaan mendapat keuntungan.

"Disebutkan tadi, daripada RM873 juta yang dibelanjakan untuk bina rumah oleh SPNB  di seluruh negara, RM102 juta untuk dibelanjakan untuk bina rumah di Terengganu sendiri tetapi kenapa RM102 yang digunapakai oleh SPNB tidak mahu dikembalikan kepada Terengganu?

"SPNB buat rumah guna duit Terengganu. Walaupun buat rumah di Terengganu, tetapi SPNB jual dan dapat keuntungan. Mengapa RM102 juta itu tidak mahu dipulangkan balik dan nak dihapuskira?" soal beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Wahid turut mendakwa Kerajaan Persekutuan juga menggunakan duit Kerajaan Negeri Terengganu untuk membina lebuh raya dan lapangan terbang.

"Projek kementerian seperti bina Lapangan Terbang Sultan Mahmud guna duit Terengganu.

"Untuk bina Lebuh Raya Pantai Timur lebih RM3.8 bilion pun 50 peratus guna duit Terengganu," katanya.

Abdul Wahid dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menggunapakai sebanyak RM873.4 juta duit "Dana Khas Terengganu" untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara akan membayar balik duit tersebut kepada Kerajaan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dalam jawapannya memberitahu, kerajaan berjanji akan membayarnya secara berperingkat-peringkat.

Dakwaan Hassan Ali satu tuduhan liar - Dr Halimah

Khaulah Azwar, 27 Mac 2012
SHAH ALAM, 27 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali (gambar) kesal dengan dakwaan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali mengenai pengubahsuaian pejabatnya.


Jelasnya, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpangi semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Untuk membuktikan kata ini, saya menjemput semua media melawat pejabat saya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata yang inginkan perhatian rakyat.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu. Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” kata beliau yang juga Adun Selat Klang ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, petang semalam.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat.

“Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah partition untuk beri keselesaan pada rakyat yang  ada urusan ke pejabat saya, itu sahaja.

“Rakyat yang hadir pejabat saya pasti akan berkata pejabat exco guna karpet yang lusuh dan tiada partition antara kakitangan, mengapa pemerintahan kerajaan terdahulu semua serba baru. Maka dengan itu, saya tukar karpet dan tambah partition.

“Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah ke RM300,000? Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000,” ujarnya lagi.

Perkara itu dibangkit Hasan Ali kerana Adun Bulit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS yang telah dipecat itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya.

Rumah urut sediakan pintu rahsia diserbu MPK

Harakahdaily, 27 Mac 2012
KLANG, 27 Mac: Sebuah rumah urut yang menyediakan pintu khas untuk pelanggannya melarikan diri apabila didatangi pihak berkuasa, diserbu oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu operasi bersepadu di sini.

(Pegawai penguatkuasa MPK memecat langsir yang digunakan di sebuah rumah urut)

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Andry  Arman Masrom berkata, premis berkenaan terletak di Taman Bayu Perdana yang beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu itu juga agak tersembunyi dan kelihatan cukup eksklusif untuk para pengunjung.

Menurutnya, premis berkenaan disita di bawah Undang Undang Kecil (UUK) 3, Pusat Kecantikan Dan Penjagaan MPK 2007 kerana beroperasi secara haram.

Pelbagai barangan dirampas antaranya bantal, tilam dan kain langsir di situ.

“Kita akan melipatgandakan operasi seperti ini bagi memastikan tiada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram terutama melibatkan rumah urut.

“Pemantauan dari masa ke semasa dan risikan serta maklumat awam telah banyak membantu majlis dalam menangani isu berkaitan rumah urut haram yang beroperasi di kawasan ini,”katanya.

Andry berkata, seramai 19 anggota terlibat dalam  operasi itu dan turut disertai Jabatan Pelesenan dan ia tertumpu sekitar Pelabuhan Klang dan Bukit Tinggi serta Bandar Baru Klang.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan rumah urut, pusat siber dan sebarang kegiatan haram melalui  talian 1800 88 23826 atau 03-33714404 untuk memudahkan pihaknya menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan ke atas premis yang terlibat.

Sultan Kelantan dapat anugerah D.K Kedah

Muhammad Yusri Amin, 27 Mac 2012
KOTA BHARU, 27 Mac: Sultan Muhammad V Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Mulia Kedah (D.K.) oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pada penganugerahan itu, Sultan Kedah diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Utama Tunku Annuar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.

Upacara penganugerahan itu berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian dekat sini petang semalam.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Istiadat Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dan kenamaan negeri Kelantan.

Tiada ulasan: