Rabu, 21 Mac 2012

AGAK SUKAR NAK COVER BALIK..JIKA KITA BANYAK BUAT TAHI@HAL...KITA SENDIRI CIPTA MASALAH...KITA TAK DE KUASA SETARAF ALLAH YANG MAMPU MENUTUPNYA...JIKA ALLAH NAK BUKA KEAIBAN KITA...TIADA SAPE BOLEH MEMBANTAH...JANGANLAH KITA NAK MELAWAN ARUS KEKUASAAN ALLAH SWT...SEDAR DIRILAH KITA NI MAKHLUK...YANG SERBA SERBI LEMAH.....

Selangor penyumbang terbesar KDNK

Abd Shukur Harun, 20 Mac 2012
Tidak syak lagi, di bawah kepimpinan MB Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agama Islam dapat terus dipertahankan di negeri itu di terngah-tengah usaha mengekalkannya sebagai negeri termaju.

Oleh itu, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemakmuraan dengan penuh adil di negeri kaya ini di bawah Pakatan Rakyat. Dengan demikian tertolaklah segala fitnah dan tuduhan Umno/BN yang kini berusaha keras untuk merampasnya dalam PRU Ke-13 akan datang.

Kemajuan pesat Selangor ini telah ditegaskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Selangor kali Kedua belas baru-baru ini.

Baginda melahirkan rasa syukur kepada Allah, apabila Selangor berjaya mengekalkan status negeri maju di negara ini. Menurut baginda lagi, kejayaan ini adalah berkat usaha gigih kerajaan dan rakyat, dalam pada itu kerajaan negeri, perlu berusaha dan terus bertindak untuk mengagihkan hasil pembangunan dan limpah rezeki kepada rakyat secara adil.

Sultan Selangor turut menyatakan bahawa ekonomi Selangor terus merekodkan pertumbuhan positif tahun 2011 walaupun dengan persekitaran luar yang sangat mencabar.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri masih berjaya dicatat pada 5.9 peratus dibantu peningkatan dalam penggunaan domestik dan pelaburan swasta merangsang eksport output dan komoditi.

"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka seperti insentif cukai dan langkah liberalisasi untuk menarik pelaburan terutama sektor perkhidmatan," titah baginda.

Baginda turut bertitah, sebagai negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan anggaran 22 peratus, Selangor perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing masuk ke dalam negeri.

Sidang Dewan Undangan Negeri itu berlangsung ketika PRU Ke-13 sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak, malah ada yang menjangkakan akan berlangsung awal Jun ini, namun segala-galanya belum pasti.

Dengan kekayaannya yang ada, Selangor terbukti menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Negara, iaitu dengan anggaran 22 peratus. Ini bermakna Selangor dan rakyatnya menjadi pembayar cukai terbesar kepada negara.

Oleh itu pemimpin Umno/BN yang mengungkit bahawa rakyat di Selangor menerima paling banyak pemberian RM500 baru-baru ini sewajarnya melihat fakta sumbangan Selangor ini dengan rasional dan fikiran terbuka.

Tidak lama dulu, dalam pertemuan saya beserta Dinsman dan Bara Jiwa dari Seniman Paksi Rakyat dengan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim di pejabatnya, Menteri Besar itu optimis bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan dapat mengekalkan prestasinya, malah akan terus meningkatkannya.

Yang menjadi fokas percakapannya dengan kami ialah hasrat kerajaannya untuk mengagihkan kemakmuran Selangor ini kepada rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama. Ini kerana, katanya, keadilah menjadi paksi utama kesyumulan Islam.

Beliau telah melawat pelbagai tempat di seluruh Selangor, menyaksikan kehidupan pelbagai golongan masyarakat. Antaranya, beliau melawat dan menyaksikan kehidupan kawasan flet murah yang penuh sesak, kawasan pedalaman yang jauh di utara Selangor dan pelbagai lagi. Beliau mendengar secara langsung masalah rakyat dengan penuh pengertian dan simpati.

Sebagai tokoh ekonomi yang pernah menjadi tokoh korporat terkenal, Tan Sri Abd Khalid sangat berhati-hati dalam mengendalikan pengurusan kewangan negeri yang kaya itu, supaya pengurusan kewangan itu berjalan dengan betul, kerana, katanya, ‘ini adalah amanah rakyat yang mesti dipegang sekukuhnya.

Adapun jumlah pelaburan tahun 2011 di Selangor dicatatkan sebanyak RM8.74 bilion dengan 263 projek berjaya dimajukan serta membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih 15 ribu rakyat Selangor untuk bekerja di pelbagai sektor pekerjaan. Ini suatu kemajuan yang sangat memberansangkan.
Juga sangat menarik dalam titah Sultan Selangor itu ialah baginda turut percaya dengan Menteri Besar yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mampu memartabatkan lagi agama Islam dan umat Islam di Selangor.
"Cara kerja yang profesional dapat menangkis segala fitnah dan tuduhan jahat sekaligus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam.” kata baginda.

Pada pendapat saya, dengan kemajuan negeri Selangor yang pesat, dalam masa yang sama dapat terus mempertahankan Islam seutuhnya, jelaslah bahawa kerajaan Selangor akan dapat terus memperkukuh harapan rakyat untuk membina kehidupan yang cemerlang baik di dunia mahupun akhirat.

Tan Sri Abd Khalid dan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor sudah sewajarnya dipertahankan dalam PRU ke-13 nanti. Inilah sebuah kerajaan yang sangat menjanjikan.

Skandal Najib meletup dekat PRU13?

Ahmad Lutfi Othman, 20 Mac 2012
Melihat gaya agresif Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, nampak sangat Pengerusi BN itu dalam keadaan cukup tertekan. Gelagatnya dalam sidang Parlimen, terutama ketika menjawab isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam  (SBPA), menjelaskan kekalutannya.

Daripada corak pendekatan kempen itu, saya kira, strategis Umno meletakkan harapan tinggi kepada imej personal Najib, melebihi faktor-faktor lain, bagi mengutip kembali sokongan BN yang telah hilang.

Tergambar seolah-olah Najib akan bertanding jawatan presiden, yang dipilih oleh seluruh rakyat, walhal beliau hanya mencuba nasib di Pekan, dan keupayaannya mengekalkan posisi perdana menteri ditentukan oleh kemenangan calon-calon BN yang lain.

Satu sisi, popularitinya semacam meningkat, dibantu pelbagai kempen penjenamaan program kerajaan (yang juga mengelirukan sebenarnya), namun imej BN langsung tidak dapat dipulihkan, terutama dari kacamata masyarakat Tionghua.

Bagaimanapun, hakikatnya, semakin Najib ditonjolkan -- sehingga menenggelamkan terus pemimpin BN yang lain -- sandaran parti itu bakal berdepan situasi lebih sulit.

Jika personaliti beliau dicalarkan dengan teruk, kedudukan BN yang amat bergantung kepadanya itu akan turut merudum. Tanpa perlu mengada-adakan cerita atau menokok-tambah paparan negatif tentang Najib, persepsi rakyat terhadapnya mudah dibentuk.


Perwatakan Najib, seperti diakui rakan baiknya, bekas Adun Pulau Manis, Pekan, Ariff Sabri Abdul Aziz, bukan sahaja ghairah memburu populariti murahan, tetapi begitu lemah daripada segi kepemimpinan.

Beliau hanya bergantung kepada pelbagai bentuk "sogokan" bagi meraih undi dan merebut sokongan. Namun, pengundi tidak semudah itu untuk "dibeli" atau "diugut", terutama generasi muda yang buat pertama kali akan mengundi.


Pastinya Najib tidak mahu diingati sebagai perdana menteri terakhir daripada Umno. Beliau juga tentunya tidak bersedia berundur lebih awal dan berusaha mengelak daripada berdepan asakan anggota partinya sendiri.

Mungkin pandangan veteran Umno, Daim Zainuddin turut menganggu fikirannya.

Bekas Menteri Kewangan, yang pernah membuat ramalan mengejutkan tentang pencapaian BN empat tahun lalu itu, berkata, Umno akan menyingkirkan Najib jika  gagal memperbaiki pencapaian BN pada PRU13.

Sekiranya Najib tidak mampu menunjukkan prestasi lebih baik daripada Abdullah Ahmad Badawi, apatah lagi jika kehilangan lebih banyak kerusi, Daim berkata, "Umno akan menggulingkannya ... ini politik."

Dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, Daim menjelaskan bahawa amalan menyingkirkan pemimpin yang gagal menang pada pilihan raya adalah trend global, dan bukan hanya terhad kepada Umno.

Justeru, misi getir Najib adalah, sekurang-kurangnya, mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menawan kembali negeri termaju Selangor. Sedangkan, menurut sumber, Daim turut bimbang BN boleh kecundang di Negeri Sembilan dan Perlis, manakala Pakatan Rakyat akan mendapat lebih banyak kerusi Parlimen daripada Sabah dan Sarawak.

Isu SBPA dan Pusat Fidlot Nasional (NFC) -- yang dianggap menjadi duri dalam daging buat BN dan mesti ditangani secara tuntas sebelum Parlimen dibubarkan -- tidak mungkin selesai hanya dengan penegasan Najib  untuk melakukan penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan juga pengunduran "Makcik Bollywood", Shahrizat Jalil.

"Mungkin musuh-musuh Najib dalam Umno, tidak terkecuali timbalannya sendiri, mengimpikan prestasi BN tidak lebih baik berbanding PRU12 bagi memudahkan mereka mengasak beliau meletakkan jawatan, seperti dilakukan Najib kepada Pak Lah dahulu," pandangan seorang pemerhati politik dipetik.

Secara peribadi saya tidak gemar dan memilih untuk mengelak daripada mengungkit kisah peribadi berkaitan kehidupan Najib, termasuk masa silamnya, apatah lagi membabitkan isterinya sekarang (tidak terkecuali kisah bekas isterinya!).

Bagaimanapun, saya percaya, semasa kempen PRU13 nanti, cerita-cerita itu pasti terbongkar, mungkin dengan "bukti-bukti" yang lebih memeranjatkan.

Apabila membaca laporan mengenai perbelanjaan mewah hampir setengah juta ringgit majlis pertunangan anak perempuannya  (belum kenduri kahwin lagi) dan disusuli pendedahan mengenai sambutan hari jadinya melibatkan RM79,053 yang dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri, saya kira Najib dalam keadaan bahaya.

Agakan saya, Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, menyimpan banyak lagi cerita sensasi mengenai kes salahguna kuasa dan penyelewengan pemimpin BN.

Sumber yang dekat dengan serambi kuasa, dan muak melihat kerakusan-ketamakan tanpa had elit penguasa dan para kroninya  tentu melihat Rafizi sebagai tokoh yang boleh disalurkan maklumat.

Ia mengingatkan saya semasa giat mendedahkan amalan korupsi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, sepuluh tahun lalu. Selepas membuat aduan ke Ibu Pejabat BPR (sekarang SPRM) di Putrajaya dan mendapat tumpuan media, secara bertali arus saya dibekalkan info, daripada sumber yang kebanyakannya tidak dikenali.

Rupanya, seteru (dan yang berpotensi untuk menjadi musuh) kepada orang no. 1 adalah mereka yang berada di sekelilingnya atau kadang-kadang tokoh no. 2 sendiri! Kalau tak percaya, tanyalah Khir ....


Dalam masa sama, pentadbiran Najib cuba mengeksploitasi isu-isu agama, terutama bagi mengekalkan saki-baki sokongan masyarakat Melayu kepada Umno. Beberapa pertubuhan perkauman Melayu, seperti Perkasa dan Pekida, ditonjolkan ke hadapan.

Selain isu Israel yang gegak-gempita hebohnya mutakhir ini, Najib lebih awal lagi mempopularkan ungkapan wasatiyah atau kesederhanaan. Tanpa perlu menghuraikan lebih lanjut prinsip itu, saya yakin banyak pihak boleh menilai sama ada Najib, apatah lagi isterinya, Rosmah Mansor mengamalkan wasatiyah.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam perbahasan di Parlimen turut menyinggung hal ini. Malah, dalam khutbah Jumaatnya, pada 16 Mac lalu, beliau menyelar golongan yang memperalatkan istilah wasatiyah dan menyifatkannya sebagai penipu.

Katanya, kalimah itu disebut dalam al-Quran tetapi  golongan penipu mengambil kesempatan dari penggunaan istilah tersebut bagi mengelirukan umat Islam untuk kepentingan tertentu.

“Mereka yang menipu ini, mereka menafsirkan wasato (pertengahan), wasatiyyah (kesederhanaan), yang diucap seolah-olah tidak mengira halal dan haram," kandungan khutbahnya dipetik.

Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali pula, dalam ucapannya di Parlimen, 4 Mac lalu, mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim mencetuskan gagasan wasatiyah, seawal 7 Disember 1975, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM ke-4, bertemakan 'Jelas Wadah, Perbaru Tekad'.

Anwar turut mengupas prinsip wasatiyah pada 1978 dalam kertas kerjanya, 'Islam dan Masyarakat Majmuk' di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut dihadiri Lim Kit Siang.

"Wasatiyyah tidak boleh sekadar menjadi ungkapan dan retorika yang dicandukan kepada masyarakat untuk menjustifikasikan amalan boros, rasuah dan penyelewengan. Wasatiyyah menolak pendekatan yang keras dan zalim serta menawarkan pendekatan santun, ramah dan persuasif," kata Azmin.

"Apakah ia menepati prinsip wasatiyyah apabila Umno membudayakan politik fitnah dan budaya samseng," tegas Ahli Parlimen Gombak itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, strategis Umno yakin isu agama, khususnya  kenyataan Anwar mengenai Israel, bukan saja dapat menarik sokongan pengundi Islam kepadanya, tetapi juga mampu meretakkan PAS daripada dalam.

"Malah tukang propaganda Umno percaya isu Israel ini boleh menyebabkan PAS berpisah daripada Anwar atau keluar Pakatan Rakyat," kata sumber, yang turut menambah bahawa Umno akan memperalatkan bekas pemimpin PAS, Dr Hasan Ali untuk tujuan itu.

Saya sekadar tersenyum mendengar "pendedahan" itu, tambahan pula selepas mengetahui Hasan mahu dijadikan senjata utama untuk menarik undi orang Melayu daripada PAS atau Pakatan Rakyat.

"Patutlah akhbar kerap sangat melaporkan ceramah Hasan dan mendakwa ia mendapat sambutan hangat," kata seorang rakan. "Tapi kita tahu isi ceramah Hasan ini, kali pertama mungkin agak ramai sebab orang nak dengar sendiri apa kisahnya, tetapi sekali dengar, mereka takkan datang lagi," tambahnya.

Jumaat lalu saya menghubungi sahabat di Baling selepas membaca laporan akhbar bahawa ceramah Hasan di sana mendapat sambutan lebih 5,000 orang. Beliau, yang turut hadir di pertengahan ceramah Hasan, berkata: "Tak sampai seribu pun, dan ramai juga yang balik sebelum ceramah habis. Bukan anta tak tahu ceramah Hasan Ali, dok pusing kot tu juga."

Krisis Kerajaan Kedah ujian buat jamaah Islam

Subky Latif, 20 Mac 2012

KRISIS pimpinan kerajaan yang juga pimpinan PAS Kedah boleh dikira telah selesai setelah campur tangan PAS Pusat.

Semua pro perubahan di seluruh negara merasa lapang apabila dua Exco Dato Phahrolrazi dan Dr.  Ismail sedia kembali menjadi Exco dan tindakan ke arah itu sedang  diproses.

Sekaliannya pro dan penentang kerajaan Kedah terkejut atas krisis yang berlaku di ambang PRU 13 yang tinggal beberapa minggu saja. Tiada diketahui oleh sesispa di luar pimpinan kerajaan itu sejak mereka mengangkat sumpah Mac 2008 dulu mereka ada krisis.

Mungkin Ustaz Azizan Razak sebagai Pesuruhjaya PAS  Kedah dan Menteri Besar pun tidak tahu mereka ada masalah hinggalah apabila menjelang sumpah tugas Exco itu hendak disambung semua kedua Exco itu enggan menyambung perkhidmatannya.

Menteri Besar menangguhkan acara angkat sumpah semula itu beberapa hari bagi memberi ruang kepada keduanya berfikir semula. Sehingga tempoh baru angkat sumpah diadakan keduanya tidak berganjak dan Menteri Besar atas nasihat penasihatnya tidak mengisi kekosongan Exco itu pada hal dia ada kuasa untuk mengisinya.

Kejadian itu adalah ujian buat sekalian pejuang Islam, boleh dikira getir, berdepan dengan krisis dalaman yang pertama  dan menjelang pilihan raya pula.

Kerajaan pimpinan Ustaz Azizan itu memang berdepan dengan berbagai asakan dari seteru politik parti dan kerajaan bagi melumpuhkannya dengan harapan kerajaan pimpinan PAS itu dapat ditumbang dalam PRU nanti.

Perkembangan itu menjadi perhatian kepada semua baik sekutu dalam Pakatan Rakyat dan setiap komponen BN tentang bagaimana dan keupayaan pejuang Islam hendak menangani krisis itu.

MB Azizan belum pernah diuji sejak memerintah. Jamaah Islamnya di Kedah juga belum pernah diuji. Allah takdirkan krisis itu beberapa minggu sebelum PRU. Mengapa?

Untuk menguji keupayaan Islam menghadapi krisisnya sesuai dengan Islam itu adalah agama yang sempurna lengkap dengan cara dan kaedahnya apabila berdepan dengan masalah dan krisis.

Bagaiama Islam sebagai agama persaudaraan dan perpaduan itu dapat menghadapi masalahnya apabila masalah itu dihadapkan kepada mereka?

Ia jadi pengalaman pertama bagi PAS Kedah yang baru kali pertama dalam memimpin kerajaan. Ia juga ujian kepada PAS seluruhnya yang jarang ditemuinya. PAS pernah diuji oleh krisis semasa memerintah Terengganu hampir 50 tahun lalu. Ia gagal mempertahankan kerajaannya dan tiada lagi orang zaman itu yang boleh bercerita dengan pengalaman itu bagi dijadikan panduan.

Bagi DAP, MCA, PPP dan setengah dari penyokong PKR dan lain-lain hanya mendengar dari ceramah orang Islam tentang kehebatan Islam termasuk caranya menghadapi tanggungjawab dan masalahnya. Cara mana Islam itu menangani krisisnya, mereka tidak tahu.

Maka  mereka hendak melihat bagaimana agama  dan umat Islam yang dikatakan terbaik itu dapat mengatasi krisis di Kedah itu. Tentulah ada hikmatnya Allah jadikan itu seminggu dua dulu supaya orang bukan Islam dapat mempelajarainya dan mendapat yang terbaik dari keupayaan orang Islam setempat menyelesaikan masalahnya.

Ia juga untuk menjadi perhatian kepada orang  Islam yang tidak beramal dengan ajaran agamanya untuk menangani isu politik.

PAS benar-benar diuji apakah mereka menghadapi krisis itu berpandukan ajaran dan pengetahuan Islam dengan semangat Islam atau menghadapinya dengan nafsu?

Azizan itu sendiri seorang yang garang dan mudah maninggikan suara, tetapi  dia ada ilmu Islam yang agak baik dan tahu apa yang Islam ajar untuk menghadapi suasana gawat. Maka ilmunya dikehendaki untuk melalui krisis itu. Orang lain di bawahnya yang juga pejuang Islam, inilah masa untuk menggunakan semangat dan pengetahuan Islam ada pada mereka bagi menyelesaikan masalah.

Bukankah Nabi SAW meninggalkan Al-Quran dan Sunnah setelah wafat. Apabila umat menghadapi masalah kembalilah kepada ajaran itu.

Azizan mengambil semangat ajaran itu menghadapi krisis itu dengan mengekalkan  kedua-dua mereka sebagai Exco dan Timbalan Pesuruhjayanya. Dan keduanya juga tahu ajaran itu dan sedia mengamalkannya. Bertemulah kerana Islam dan berpisahlah kerana Islam.

Krisis itu  tidak elok, tetapi ada ruang dan peluang dakwah untuk diisi buat semua.

Akidah Yahudi lebih bahaya


19 Mac 2012


Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut.

Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu.

Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT.

Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis.
Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.

Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.

Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi?

Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.

Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel.

Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia.

Agak mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa:

".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi?

Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.

Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.

Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (
7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting.

Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah).

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT.

Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam?

Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam?

Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT.

Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?


Salam hormat.


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012

Muamalat dengan Yahudi

nasrudin hassan, 19 Mac 2012
1. Berurus niaga [muamalat] dengan individu Yahudi atau mana-mana pihak Yahudi yang terhad pada individu atau syarikat Sdn Bhd mereka, seperti Yahudi dari negara Eropah dan lainnya, maka pada hukum asalnya adalah harus justeru Rasulullah saw pernah berurus niaga dgn bangsa Yahudi.

2. Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini, Yahudi yang membunuh Ummat Islam Palestine lalu merampas tanah Palestine dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam Palestine, Yahudi yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan mereka keatas ummat Islam Palestine malah membunuh sewenangnya Ummat Islam Palestine, maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anut termasuk zionis.

3. Ulama' telah banyak memberikan fatwa haram berkait urusniaga semasa dengan Yahudi Israel secara umumnya seperti Dr Yusuf al Qaradhawi, kerana asasnya keseluruhan Yahudi Israel telah melakukan satu jenayah besar ke atas Ummat Islam dan ianya masih berlarutan sehingga hari ini.

4. Fatwa haram urus niaga dengan Yahudi Israel Zionis ini dibina oleh para alim ulama' berasaskan kesan dan perkembangan politik dan ekonomi ummat Islam antarabangsa apabila setiap ringgit atau dollar yang mengalir ke Israel melalui apa jua bentuk urusniaga dengan mereka menghasil sebutir peluru yang telah dan bakal menembusi jantung ummat Islam Palestine yang sedang berjuang mempertahan aqidah dan membebaskan tanahair mereka.

5. Fatwa itu dibina bukan kerana mereka dilahirkan berbangsa Yahudi tetapi disebabkan mereka melakukan satu jenayah besar ke atas ummat Islam dan jenayah itu masih berlarutan hingga ke hari ini. Demikian adalah hukum yang berkait dengan muamalah atau urusniaga.

6. Sementara kedudukan Yahudi secara umumnya di mata ummat Islam telah disebut secara jelas di dalam Al Quranil Karim. Bagaimana dendam dan semangat permusuhan mereka terhadap Islam yang didedahkan oleh Allah swt.

"Kamu akan dapati golongan yang sangat tinggi kadar permusuhan mereka terhadap orang - orang beriman ialah Yahudi dan mereka yang mempersekutukan Allah swt".

"Dan sekali-kali tidaklah Yahudi dan Nasara Redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut cara hidup mereka".

7. Banyak ayat seperti ini di dalam Al-Quran dan ia adalah pendedahan serta peringatan Allah swt kepada ummat manusia, khasnya kepada ummat Islam terhadap sikap dan bahaya yang dicetuskan oleh Yahudi berasaskan latar belakang dan sejarah mereka yang sering menipu, khianat, mungkir janji dan berdendam, biar apa pun fahaman yang dianut oleh mereka di sepanjang zaman termasuklah faham zionisme yang sememangnya telah mengisytiharkan protokol mereka yang jelas dan nyata memusuhi serta memerangi ummat Islam.

8. Justeru tiada pengiktirafan dan persekongkolan dengan Yahudi di atas peta politik dunia hari ini.

9. Ummat Islam tidak perlu panik dan usah resah dalam mengikuti perkembangan semasa berkait isu Yahudi, lantaran Perbahasan mengenai hukum muamalah adalah suatu yang berbeza dengan siasah. Keduanya mesti diteliti dengan cermat dan jelas.

10. Walaubagaimana pun terlebih aula dan wajar kita terus berfikir dan merancang untuk terus meningkatkan sokongan moral, politik dan ekonomi kita kepada ummat Islam di Palestine khasnya HAMAS untuk mereka terus membina masa depan mereka yang kebih baik berdepan kekejaman Yahudi Israel Alaihi Laknatullah berbanding kita berbincang dan berpolemik mengenai urus niaga kita dengan Yahudi.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

MAMAHAN USIA

iDANRADZi, 18 Mac 2012


Di medan perang kuasa
derita bermaharajalela melata lara
menepis simpati diri sembilu bumi
menjentik anak kecil tidak berdosa
tamak sempadan bak Belanda melanda
senjata bukan lagi perlindung diri
tetapi mencari sasaran gegar bergegar
minda dahaga & kemarau ihsan.


Di medan gerbang jalan raya
ego pemandu tanpa erti waspada
menolak tolak ansur bergalur arus
mengejar waktu tanpa ketentuan jitu
lalai engkar dek gagal memintas
panduan bukan lagi aturan jalan
tetapi kemalangan maut taut bertaut
nyawa melayang & tragedi berulang.


Di medan nafsu jiwa raga
noda bertakhta leka menukik usia
mengabai nahi mungkar berbaur balur
mengejar kemewahan tanpa had kepuasan
intim keprihatinan bagai galaksi mainan
pakatan bukan lagi modal insan
tetapi perjarakan wasasan gelut bergelut
impian menghilang & airmata terbuang.


IDANRADZI
Kota Bharu, Perak.

Tiada ulasan: