Sabtu, 10 Mac 2012

REZEKI ALLAH JAMIN..SIKIT ATAU BANYAK KETENTUAN ALLAH...JIKA KES CUBA KITA SOROK2KAN...MUSUH2 TETAP UNGKIT2...BAIKLAH KITA MACAM MANE PUN...SATU KEBURUKAN ORANG MUNGKIN INGAT SAMPAI MATI....KEBAIKAN PULA JANGAN DICERITA2KAN...HILANG PAHALA DAN KEIKHLASAN...BIAR ALLAH MENILAI SERTA MEMBALASNYA

Mahasiswa Sabah sokong pertahan tanah adat

Harakahdaily, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat  pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.

“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus (gambar).

Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang  kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.

Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa  Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.

Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.

Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.

“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.

“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat  atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.

Syria: Antara tragedi dan campurtangan asing

Dr Syed Azman Syed Ahmad, 09 Mac 2012
Pertumpahan berdarah yand sedang berlaku di Syria mesti dihentikan segera. Tidak ada pilihan yang lain dari mana-mana pihak. Konflik kemanusiaan yang amat meruncing kini berlaku berlaku berikutan kebangkitan rakyat Syria untuk menumbangkan Presiden Bashar al-Assad. Apa yang kita sedang lihat dan dengar adalah amat trajis dan memilukan.

Mengikut laporan pelbagai sumber, ribuan orang awam dan dari tentera Syria sendiri yang terbunuh akibat dari konflik yang bermula dengan ’demonstrasi aman’  yang bertukar menjadi pertempuran bersenjata. Dianggarkan purata sekurang-kurang 40 rakyat awam Syria mati dalam tempoh sehari. Dan jika konflik berdarah ini berterusan tanpa sebarang penyelesaian, angka kematian dan kecederaan akan terus meningkat.

Tidak ada pilihan. Presiden Bashar Assad mesti menghentikan pertumpahan berdarah ini dan melaksanakan agenda perubahan politik ke arah Syria yang lebih demokratik dan adil. Peralihan kuasa yang aman mesti dilakukan oleh semua pihak dan campur tangan asing tidak boleh sekali-kali dibenarkan seperti yang telah berlaku kepada regim Muammar Gadafi. Biarlah rakyat Syria sendiri yang mennentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan asing.


Namun terlalu banyak persoalan yang timbul dalam konflik Syria ini. Antaranya;

-          Apakah Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) benar-benar mahu membantu ’rakyat Syria’ dan mengembalikan keadilan serta menjadikan Syria sebagi sebuah negara yang Demokratik?

-          Apa pula peranan negara-negara Teluk seperti Qatar, Kuwait, UAE dan Arab Saudi dalam konflik Syria ini. Apakah mereka juga benar-benar mahu menumbangkan rejim Assad dan melihat Syria menjadi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang tulin? Dan apakah mereka juga mahu membenarkan parti-parti Islam terutamanya Ikhwan Muslimin Syria mendapat kuasa seperti mana yang berlaku di Tunisia, Moroko dan Mesir?

-          Apakah kesudahan penyelesaian Syria akan ada kesatuan dikalangan rakyatnya ataupun akan merebak menjadi konflik Mazhab Sunni-Syaih yang lebih parah?

-          Bagimanakah pula peranan negara Zionis Israel yang bersempadan dengan Syria. Apakah mereka juga mahu rejim Assad jatuh dan akan merestui kelompok Islam Ikhwan Muslimin Syria mengambilalih kuasa di Syria?

Namun pengalaman dan sejarah telah mengajar kita dengan melihat  campurtangan Amerika dan sekutunya sepertimana yang berlaku di Irak, Afghanistan dan terkini di Libya. Kebimbangan Barat terhadap aspek kemanusiaan di Syria dan negara-negara Umat Islam sebenarnya hanyalah helah mereka untuk mengembangkan pengaruh ’hegemoni’ mereka di situ. Adalah jelas, mereka kini “melindungi cita-cita hegemoni” dan ’pecah dan perintah’ mereka untuk menguasai Syria di sebalik sikap ingin membantu mereka. Lihat sahaja faktanya;

i. Di Afghanistan - Ratusan ribu tentera Amerika Syarikat dan NATO kini bekubu di Afghanistan atas alasan ’menjaga keamanan’ dan ’memerangi pengganas’ selepas kejatuhan pemerintahan ’Taliban’. Malangnya ribuan penduduk awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita yang terbunuh di Afghanistan. Negara Afghanistan yang dijanjikan ’keamanan dan pembangunan’ sehingga kini tidak stabil dan mundur. Malahan konflik berdarah terus berlaku walaupun telah hampir 10 tahun tentera Amerika dan Nato berada di sana. Yang menjadi perkiraan utama mereka bukanlah nyawa dan keselamatan rakyat Afghanistan tetapi bagaimanakah untuk meraih segala kekayaan hasil bumi di Afghanistan terutamanya minyak dan gas asli.

ii. Di Irak, selepas kejatuhan Saddam yang kejam, puluhan ribu tentera  Amerika Syarikat dan NATO di tempatkan di seluruh Irak atas nama memerangi ’Al Qaeda’ dan mengembalikan demokrasi di negara tersebut. Namun sehingga kini hampir setiap hari akan ada orang-orang awam yang terbunuh akibat dari kekejaman tentera bersekutu ini. Lebih parah lagi, bumi Irak terbelah kepada suku-suku kaum dan berlakunya peperangan Mazhab yang amat dahsyat.  Penduduk Irak yang berfahaman Sunni dan Syiah yang sebelum ini hidup aman dan damai selama ratusan tahun kini berhadapan dengan konflik Mazhab sehingga mengakibatkan pertumpahan berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa. Dalam waktu yang sama, berbilion-bilion nilai hasil kekeyaan bumi Irak terutamanya minyak dan Gas asli di raut keluar dari bumi Irak oleh syarikat-syarikat seperti Total, Shell dan Esso.

iii. Kini di Libya – Dalam percaturan menggulingkan rejim kejam Muamar Ghadaffi, Amerika Syarikat, EU dan sebahagian negara Teluk telah berjaya mendapat ’mandat Kesatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)’ untuk menyerang tentera Ghadafi serta membekalkan senjata kepada pelbagai kelompok yang menentang rejim Ghadafi. Rejim Ghadafi berjaya di tumbangkan dan kini rakyat Libya ’bebas’ dari pemerintahan yang zalim. Akan tetapi kini timbul masalah bagaimana untuk menyatukan pelbagai kumpulan militia bersenjata yang antaranya telah dilatih oleh tentera perisik CIA Amerika dan MI-5 British. Bibit perpecahan dan peperangan saudara di Libya telah berlaku dan telah ada wilayah yang mahukan ’autonomi’ mereka sendiri dari pemerintah kerajaan baru Libya. Syarikat-syarikat minyak besar dari Amerika Syarikat, Britain dan Perancis seperti Unicol, Shell dan Total kini berlumba-lumba menandatangani perjanjian mendapatkan telaga minyak yang ada seluruh Libya.

Ya, umat Islam mesti prihatin dengan perkembangan yang sedang berlaku. Kuasa Barat serta sekutu mereka di negara-negara Teluk tidak pernah senang dengan perkembangan ’Arab Spring’ yang berlaku. Satu demi satu sekutu rapat diktator mereka telah dijatuhkan oleh ’Kuasa Rakyat’. Hegemoni mereka kini kelihatan kian ’rapuh’ dan ’keselamatan’ negara Zionis Israel kian terancam dengan kejatuhan rejim boneka mereka.

Akan tetapi, Umat Islam dan masyarakat antarabangsa mesti mencari jalan bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam Syria yang menjadi pelarian dan yang memerlukan bantuan. Lebih-lebih lagi dalam musim sejuk dan mereka sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan yang berterusan berlaku.

Akhirnya, apa yang kita mahukan adalah sebarang tindakan diambil oleh masyarakat antarabangsa seperti PBB dan Liga Arab perlu mencari jalan segera mengurangkan ketegangan dan pertumpahan darah, menggalakkan dialog politik, mencari jalan kepada transisi kepimpinan serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah tanpa campurtangan kuasa-kuasa Besar asing yang berkepentingan.

Benar seperti penegasan Presiden Pas, Dato Sri Abdul Hadi mengenai konflik Syria; ”Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya”.


------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan beliau boleh dihubungi melalui email: syedazmans@yahoo.co.uk

Najib sanggup mohon maaf kepada keluarga Altantuya?

Harakahdaily, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu yang melibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu semakin mencalarkan imej Datuk Seri Najib di mata masyarakat.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, penghakiman bertulis yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin seakan mahu mengheret ‘seseorang yang berkuasa’ di sebalik pembunuhan model tersebut.

“Penghakiman ini mewujudkan persoalan dan persepsi masyarakat, adakah institusi mahkamah dalam kes ini benar-benar bebas berfungsi ataupun telah diikat dan dikongkong oleh mereka yang  berkuasa di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, lebih mengusutkan keadaan apabila dalam penghakimannya, Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting walaupun ianya relevan.

“Tidak penting tujuan bunuh, justeru, mengapa Altantuya dibunuh?” soalnya.

Dua orang yang telah didapati bersalah adalah anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

“Soalnya pula, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam?

“Apa kaitan kedua-dua mereka dengan Altantuya?” tanya Riduan lagi.

Tambahnya, tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah itu tanpa sebab.

Menurutnya, mesti ada arahan oleh mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu DPPM berpandangan, sepatutnya misteri kes itu mudah terjawab dengan merungkai satu demi satu persoalan sehingga akhirnya akan menemui jawapan yang sebenar.

“Lihatlah bagaimana kes Datuk Sosilawati yang dibunuh dengan modus operandi yang hampir sama. Kes ini disiasat dengan beitu teliti sehingga akhirnya menemukan motif pembunuhan tersebut,” ujarnya lagi.

Namun demikian, kata beliau dalam kes Altantuya motif pembunuhan ditutup seakan mahu menutup terus cerita ini dari terus disiasat.

Walau apa pun alasannya, ujarnya  rakyat melihat pembabitan Najib dalam kes itu.

Beliau berkata, meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes itu amat merendahkan reputasi Najib.

Tambahan pula, ujarnya orang kepercayaan beliau, Abdul Razak Baginda juga dikatakan terlibat meskipun kemudiannya dibebaskan dan didapati tidak bersalah.

“Kes ini juga amat memalukan negara di mata dunia kerana dunia menganggap Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dikunjungi,” katanya.

Justeru, tambahnya apa yang berlaku kepada Altantuya tidak mustahil juga berlaku kepada pelancong lain yang berkunjung ke negara ini.

“Dalam keadaan Datuk Seri Najib merayu-rayu rakyat dengan permohonan maaf dan menyesali atas ‘ketelanjurannya’, sanggupkah beliau memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya.

“Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia?” tanya beliau lagi.

Beliau menambah, berjiwa besarlah Najib jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap model Mongolia itu.

Lynas: Kera di hutan disusu, anak mati kelaparan

Er Teck Hwa, 09 Mac 2012
Loji nadir bumi Lynas di Gebeng telah menimbulkan keresahan penduduk setelah pendedahan dibuat tentang risiko yang boleh ditanggung seandainya sisa-sisa radioaktif dari loji tersebut tidak diuruskan dengan baik.

Ribuan rakyat berbilang kaum telah berhimpun di Kuantan 26 Februari lalu membantah operasi syarikat terbabit.

Himpunan Hijau 2.0 bukan sahaja telah berlaku di Kuantan malahan di beberapa bandar utama di Malaysia menyaksikan rakyat bangkit memberikan isyarat jelas buat Pemerintah, rakyat tidak mahu negara ini menjadi tong sampah radioaktif.

Ada yang memberikan hujah bahawa Loji Lynas ini akan memberikan pulangan baik kepada pendapatan negara. Saya sebenarnya tidak ingin menyangkal hujah ini namun, peluang pekerjaan yang dibuka adalah sebanyak 350 sahaja tambahan lagi, pengecualian cukai diberikan hingga 12 tahun.

Kita sangat baik apabila memberikan industri yang menghasilkan sisa buangan radioaktif pengecualian cukai begini walaupun industri ini dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya.

Apakah pihak Pemerintah tidak menyedari akan tindakan mereka memberikan pengecualian cukai ini ibarat “Kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.

Apabila negara mula melibatkan diri dalam pemprosesan bahan radioaktif, kajian menyeluruh perlu dijalankan sebelum apa-apa lesen atau arahan dikeluarkan untuk memulakan pembinaan.

Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.

Kita telah lihat bencana radioaktif yang berlaku di Bukit Merah dulu. 8 kes leukimia dan 7 kes kematian telah berlaku.

Walaupun telah ditutup pada tahun 1992, namun kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan hingga hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.

Apakah kita tidak mempelajari daripada kesilapan kita dahulu?

Di sekeliling loji Lynas ini terdapat banyak kilang-kilang yang telah dibina lama dahulu.

Kilang-kilang seperti BASF Petronas Chemical, BP Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd, W.R Grace Speciality Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd, Kaneka Innovative Fibers Sdn. Bhd, Cargill Palm Products (Kuantan) dan banyak lagi.

Pelbagai produk-produk pengguna dihasilkan oleh kilang-kilang ini, daripada lampin pakai buang untuk bayi, tuala wanita, minuman jus, air mineral, lampu, produk rambut,nutrisi haiwan dan macam-macam lagi.

Apakah alasan Kerajaan Pemerintah untuk membenarkan pembinaan loji berbahaya ini berdekatan dengan industri-industri begini? Apakah pihak Kerajaan Pemerintah tidak memikirkan mengenai nasib ribuan pekerja-pekerja industri yang mencari rezeki untuk menyara keluarga di Pusat Perindustrian Gebeng ini? Bagaimana pula dengan nasib 309 nelayan laut dalam di sekitar Kuantan? Sektor perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar.

Sekiranya terjadi kebocoran sisa atau kemalangan radioaktif bukankah ini turut memberikan kesan kepada industri perikanan?

Manakala, di pihak kilang-kilang lain, adakah anda tidak berani untuk menyuarakan kebimbangan pekerja-pekerja anda terhadap loji penapisan nadir bumi ini? Sekiranya berlaku kebocoran atau kemalangan radioaktif, tidakkah anda sedar ia akan menjejaskan kesihatan pekerja-pekerja anda dan juga produk-produk yang anda hasilkan?

Apakah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri bersedia untuk memindahalihkan kesemua kilang-kilang di sekeliling loji ini sebagai menuruti syarat minimum seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia?

Sedangkan dalam industri pemprosesan Cyanide, jarak selamat diantara loji pemprosesan dengan kawasan penempatan penduduk adalah sekitar 10 km seperti yang dinyatakan oleh International Cyanide Management  Institute (ICMI).  Namun, loji pemprosesan Nadir Bumi Gebeng ini hanya berjarak  2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang.

Apakah kita boleh menutup sebelah mata terhadap nasib penduduk Balok dengan membenarkan pembinaan loji pemprosesan Nadir Bumi yang mengandungi pelbagai logam berat ini berdekatan dengan penempatan mereka?

Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima, dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun.

Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang.

Bersediakah kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan? Bagaimana dengan pelan evakuasi
dan kontigensi melibatkan hampir 1 juta penduduk ini?

Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan ingin memastikan keselamatan rakyat sewaktu mengumumkan keputusan untuk mengarahkan Lynas mengalihkan tempat pengumpulan sisa ini ke lokasi yang lebih jauh dari penempatan.

Namun, ini tidak menjelaskan penyelesaian sebenar kerana Loji Nadir Bumi LYNAS ini tidak seharusnya dibenarkan wujud di bumi Malaysia ini sekiranya Kerajaan Pemerintah dan Perdana Menteri benar-benar ikhlas dalam memastikan keselamatan dan nyawa rakyat.
-------------------------------------------------
Penulis adalah Ahli Parlimen Bakri, Johor.

Pemuda PAS Selangor bersih rumah mangsa banjir

Harakahdaily, 09 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa sedih di atas musibah banjir yang berlaku secara mengejut di Selangor baru-baru ini dan merakamkan ucapan takziah kepada penduduk dan mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara dan Derah Hulu Langat sehingga ada yang kehilangan nyawa.

Seramai 500 keluarga telah terjejas dengan musibah itu dan banyak keperluan-keperluan asas yang yang telah rosak teruk.

Banjir yang berlaku pada kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan-kawasan tersebut.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak mangsa bersabar di atas ujian ini dan redha di atas ketentuan Ilahi,” ujar ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya yang tidak diketahui oleh manusia biasa.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai pihak dan agensi yang telah turun ke kawasan musibah untuk membantu mangsa-mangsa berpindah daripada rumah-rumah mereka ke tempat-tempat yang lebih selamat selain melakukan operasi pembersihan terhadap lumpur dan sisa-sisa banjir.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan dan mengerahkan seluruh ahli pemuda PAS dari kawasan-kawasan berhampiran bersama dengan Unit Amal Pemuda PAS untuk turut sama membantu petugas-petugas sukarelawan menjalankan operasi menyelamat dan pembersihan di kawasan-kawasan terbabit.

Pemuda PAS Selangor juga, ujarnya merayu kepada seluruh rakyat yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan berupa kewangan, makanan, pakaian dan lain-lain lagi kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.

“Semoga sumbangan para dermawan akan meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir tersebut,” katanya.

'Impak 13' himpun jentera muslimat seluruh Perak

Muhammad Faeez, 09 Mac 2012
IPOH, 9 Mac: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak akan menghimpunkan seluruh jentera mereka sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketuanya, Dr Najihatussaleha Ahmad berkata, program yang diberi nama Himpunan Muslimat PAS Negeri Perak (Impak 13) itu akan diadakan pada 25 Mac ini di Hotel Hillcity, Ipoh.

Menurutnya, program tersebut bertujuan untuk menghimpunkan seluruh tenaga muslimat serta  meningkatkan motivasi gerak kerja dalam menghadapai PRU ke-13 nanti.

“Tujuan program ini juga adalah untuk mencipta gelombang muslimat dalam menghadapi PRU13 nanti,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Katanya lagi, program tersebut juga bertujuan mengerat serta merapatkan hubungan sesama jentera muslimat daripada seluruh negeri Perak.

“Di kesempatan itu, Dewan Muslimat juga akan melancarkan Skuad Kebajikan Muslimat PAS Negeri Perak (ERAT) bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan program bersama rakyat,” ujarnya.

Justeru, beliau menjemput seluruh muslimat PAS negeri Perak ke program yang julung-julung kali diadakan itu.

Najib jangan lupa bawa usul mansuh ISA

Anis Nazri, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Menjelang persidangan parlimen yang akan bermula 12 Mac ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar), menegaskan Najib perlu mengotakan janjinya untuk membawa usul pemansuhan akta itu pada sidang parlimen kali ini.

"Ini kerana semasa sidang parlimen pada 3 Oktober 2011, Najib menyatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat (EO) hanya akan dibentang pada Mac 2012.

"Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan," kata beliau dalam kenyataannya, hari ini.

Bagaimanapun, persoalan yang dibangkitkan GMI, adakah benar usul pemansuhan tersebut akan dibawa ke sidang parlimen, di samping penderafan dua akta pengganti ISA tersebut sudah dilakukan.

Setakat ini, Syed Ibrahim mendakwa keadaan yang berlaku hari ini menunjukkan ’cakap tak serupa bikin’ kerana tiada tanda-tanda menggambarkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan tiada rundingan dijalankan untuk dua akta baru berkenaan.

Malah, tambah beliau kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa menteri menunjuk kesemua 'isu-isu berduri' dalam ISA adalah sah dikekalkan dalam dua akta baru, melainkan beberapa pindaan kecil berkaitan dengan tempoh penahanan, notis kepada keluarga tahanan dan membuat rayuan.

"Ini disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 21 November 2011 seperti yang dilaporkan Bernama, di mana beliau mengatakan bahawa undang-undang baru yang menggantikan ISA akan tetap ada peruntukan tahan tanpa bicara," katanya lagi.

Sebelum ini, Najib dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 Sept 2011, mengumumkan untuk memansuhkan semua akta yang disifatkannya lapuk seperti ISA dan EO, selain memberikan komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Dalam perutusan yang sama, Najib turut mengumumkan hasrat Kerajaan untuk membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Beliau mengaitkannya dengan realiti Malaysia yang telah berubah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian,

Ekoran itu, Syed Ibrahim menegaskan GMI mendesak Perdana Menteri untuk mematuhi janjinya dan memansuhkan ISA dalam sidang parlimen pada 12 Mac ini.

"Dalam masa sama, semua akta yang memperuntukkan tahan tanpa bicara seperti EO dan Akta Dadah Merbahaya juga mesti dimansuhkan," tegas beliau.

Selain itu, tambah Syed Ibrahim sekiranya dua akta baru tetap digubal, elemen drakonian yang dominan dalam ISA seperti tahan tanpa bicara, penahanan dan kuasa wewenangan polis dan menteri mestilah tidak wujud.

Perkara-perkara lain yang dituntut GMI ialah:

1. Rundingan awam mesti dilaksanakan sebelum kerajaan memulakan atau membentangkan apa-apa undang-undang baru dalam parlimen.

2.  Kem Tahanan Kamunting mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Dunia atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA;

3.  Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi atas ISA perlu diwujudkan untuk menegakkan keadilan bagi semua mangsa penyeksaan dan penganiayaan di bawah ISA dan pemangsa mereka dibawa ke muka pengadilan;

4.  Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

5.   Kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan, dan

6.  Kerajaan menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT).

Pembatalan SBPA bukti Pakatan kuat

Rizal Tahir, 09 Mac 2012
KOTA BHARU, 9 Mac: Penarikan balik skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri semalam antara lain adalah disebabkan desakan berterusan oleh Pakatan Rakyat.

Ianya juga sekaligus membuktikan komponen parti PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan itu kuat sehingga desakan itu diterima oleh kerajaan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

“Yang terakhir pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Kedah yang kita mendesak kerajaan membatalkannya dan alhamdulillah ianya telah berlaku hari ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk membatalkan SPBA.

Perdana Menteri turut mengumumkan sistem sedia ada, Sistem Saraan Malaysia (SSM), akan ditambah baik.

“Maknaya andai kata Pakatan tidak kuat, sudah tentu penangguhan itu tidak berlaku dan pembatalan itu juga tidak berlaku,”ujarnya.

Sambil menyifatkan pembatalan itu sebagai 'modal politik pilihanraya', ianya juga membuktikan dasar-dasar yang dibuat oleh Najib tidak konsisten, sebagaimana dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Walaupun ianya telah diluluskan dalam kabinet, tetapi dibatalkan oleh kabinet yang sama.

“Ini bererti dasar tersebut tidak dikaji terlebih dahulu secara masak dan diteliti sebelum ianya diputuskan dalam kabinet,”ujarnya.

Husam sebelum itu trutu menyampaikan sumbangan biasiswa bulanan kepada 857 pelajar pelbagai bangsa sumbangan anak-anak Salor dalam kawasan Dun beliau hari ini.

Sempena majlis itu juga Husam turut menyampaikan sumbangan Kifaalah kepada empat penerima.

Muslimat usaha RM800 sebulan bantu imam Hoslan

Harakahdaily, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Selain Pemuda PAS, Dewan Muslimat PAS juga akan membantu keluarga imam Hoslan Hussin yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yussuf berkata, dewan itu akan cuba memberikan sumbangan tetap sebayak RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan.

"Kita insyaAllah akan beri sumbangan tetap sebanyak RM800 sebulan kepada keluarganya.

"Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarganya khususnya untuk keperluan isteri dan anak-anaknya," katanya yang juga ahli parlimen Rantau Panjang kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru pihak yang perihatin agar bersama dewan muslimat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga Hoslan sehingga imam itu dibebaskan.
Kepada yang turut mahu menghulur bantuan, boleh berbuat demikian melalui no akaun Bank Islam 1404 1010 0376 73 atas nama Dewan Muslimat PAS Pusat.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan.

Biarpun menyesal atas keterlanjuran itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkata, penjara setahun adalah hukuman setimpal ke atas Hoslan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dewan itu  mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi membantu keluarga Hoslan.

Sumbangan itu katanya akan dibuat berterusan sehingga Hoslan dikeluarkan daripada penjara.

"Kita beri bantuan ini bukan kerana dia imam tetapi atas dasar kemanusiaan.

"Bantuan ini bagi menjaga kebajikan anak-anaknya. Dia mempunyai anak-anak yang ramai, masih kecil dan bersekolah," katanya dipetik Malaysiakini.

Riduan turut menyeru kepada semua Pemuda PAS agar dapat bersama membantu keluarga Hoslan bagi meringankan beban isterinya.

1Care tidak ikut realiti sosioekonomi masyarakat

KPRU, 09 Mac 2012
Penjagaan kesihatan merupakan hak asasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, etnik atau status sosial. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, hak rakyat mengakses perkhidmatan kesihatan yang bersistem lengkap haruslah sentiasa terjamin. Sekali pandang, konsep 1Care yang bertujuan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan awam demi kebajikan dan manfaat rakyat memang menggalakkan memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan semua lapisan masyarakat. Namun, suara bantahan terhadap retorik skim 1Care yang kian berkobar-kobar di kalangan masyarakat bukannya tanpa alasan yang munasabah. Malahan, isu yang dibangkitkan berkenaan dengan cadangan skim 1Care turut mendedahkan kelemahan dan ketidaksempurnaan sistem penyampaian dan pembiayaian perkhidmatan kesihatan sedia ada di Malaysia. Sebagai langkah pertama, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyokong cadangan pelbagai pihak bahawa meningkatkan peruntukan dana kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih praktikal.

Peruntukan Terhad, Tadbir Urus Kerajaan Lemah


Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO – World Health Organization), kadar peruntukan dana kerajaan Malaysia untuk sektor penjagaan kesihatan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diperuntukkan untuk sektor penjagaan kesihatan dan jumlah peratusan ini hanya mencakupi 7.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan. Peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan purata sedunia[1]. (Sila lihat Jadual 1)

Jadual 1: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan antara Negara Tahun 2009




Negara
Jumlah perbelanjaan untuk kesihatan (Peratusan daripada KDNK)
Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada KDNK)
Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada jumlah perbelanjaan kerajaan)
Canada 10.9% 7.5% 17.0%
UK 9.4% 7.6% 15.1%
Australia 8.5% 6.0% 18.3%
Singapore 3.9% 1.6% 9.8%
Malaysia 4.8% 2.2% 7.1%
Thailand 4.3% 3.3% 14.0%
Sumber: World Health Statistic, WHO[2]

Sesungguhnya, skim 1Care yang dikatakan diilhamkan daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS – National Healthcare System) yang diamalkan di British telah mengabaikan secara dasarnya model peruntukan dan pembiayaan pihak kerajaan British bagi mengekalkan operasi sistem perkhidmatan kesihatan. Meniru konsep tanpa mempertimbang dan menyelidik sistem operasi keseluruhan, khususnya dari segi dasar negara dan keadaan sosioekonomi masyarakat secara keseluruhan adalah kurang bijak dan bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada memberikan penyelesaian.

Sememangnya, menelitikan mana-mana sistem pelaksanaan dan pengendalian di Malaysia, biarlah dalam sektor awam atau sektor swasta, penyelewengan yang berleluasa semakin menampakkan kehilangan integriti dan kredibiliti yang ada pada pihak kerajaan. Laporan mengenai Pembiayaan Sistem Kesihatan yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia jelas menyebut antara 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan dibazirkan berikutan kekurangan kecekapan dan ketelusan sistem[3]. Dalam konteks ini, biarpun berapa banyak wang yang disumbangkan kepada sektor penjagaan kesihatan berkemungkinan akan tersia-sia sahaja. Oleh demikian, hujah bahawa jumlah perbelanjaan negara tidak boleh dijadikan satu-satunya tanda ukur kualiti perkhidmatan kesihatan adalah munasabah dan bertapak atas realiti kelemahan tadbir urus kerajaan hari ini.

Walau bagaimanapun, hujah ini tidak harus dijadikan alasan bagi menghambat usaha mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Atas premis peruntukan dan sumber yang mencukupi, pihak perkhidmatan kesihatan berpeluang mendapat ruang yang secukupnya untuk mengembang potensi mereka dalam membekalkan servis yang berkualiti tinggi. Hal demikian telah pun terbukti dengan sistem perkhidmatan kesihatan yang cemerlang di negara seperti Kanada dan British.

‘Transformasi’ Beban Kerajaan kepada Rakyat Terbanyak


Seperti yang dipaparkan dalam kertas konsep 1Care untuk 1Malaysia, Kementerian Kesihatan telah mendedahkan salah satu objektif bagi pelancaran 1Care ialah bagi meringankan beban kerajaan dalam menanggung kos perubatan dan kebajikan yang kian melonjak[4]. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi sokongan terhadap pelaksanaan skim tersebut turut menyatakan bahawa kos perubatan dan farmaseutikal yang kian meningkat telah membebankan pihak kerajaan. Maka hujah seterusnya ialah, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan sistem perkhidmatan kesihatan yang berfungsi melalui “sumbangan” rakyat merupakan sesuatu yang berpatutan[5].

Ironisnya, dalam hal kesihatan, bukankah menjadi kewajiban kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan membekalkan servis yang memuaskan demi kebajikan dan kebaikan rakyat terbanyak? Jelasnya, skim 1Care lebih merupakan retorik golongan berkepentingan bagi mengelakkan kewajipan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia, seterusnya memungkinkan kewujudan peluang baharu dalam konteks aktiviti rent-seeking hari ini. Retorik sedemikian tidak membekalkan jalan penyelesaian yang menjaga kepentingan rakyat terbanyak dalam proses mereformasikan dan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

Cukai Tinggi, Keberkesanan Rendah


Aspek kedua yang harus diberi perhatian menyentuh “sumbangan mandatori” yang dicadangkan dalam kertas konsep 1Care. Cadangan ini adalah bercanggah dengan keupayaan kewangan dan tahap pendapatan rakyat terbanyak di negara ini. Bayaran mandatori yang bakal dikenakan pada golongan pekerja akan dijadikan dana biayaan untuk insurans kesihatan sosial (Social Health Insurance or SHI) dan  insurans tersebut akan menawarkan pakej rawatan kesihatan dan perubatan yang asas dengan atau tanpa mengenakan bayaran. Penjawat awam, pesara, orang kurang upaya, golongan miskin dan individu yang menganggur akan dibiayai oleh pihak kerajaan manakala semua pekerja di sektor swasta terpaksa menanggung bayaran tersebut melalui pembiayaan insurans[6].

Menurut Kertas Konsep 1Care untuk 1Malaysia, anggaran bagi pembiayaan skim perkhidmatan kesihatan tersebut adalah sebanyak 9.5 peratus daripada jumlah purata pendapatan isi rumah. (Sila lihat Jadual 2)

Jadual 2: Anggaran Kos Tahunan Pembiayaan Sistem Kesihatan Malaysia


Anggaran kos tahunan bagi membiayai sistem kesihatan Malaysia (RM)
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan diri 27.87b
Peratusan daripada KDNK 3.9%
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan peribada per kapita 984.44
Perbelanjaan untuk semua penjagaan kesihatan per kapita 1,562.60
Premium SHI untuk penjagaan kesihatan diri 972.44
Premium SHI untuk purata isi rumah 4,181.50
Peratusan bagi Premium SHI untuk pendapatan isi rumah 9.5%
Sumber: Kertas Konsep 1Care untuk 1 Malaysia oleh Kementerian Kesihatan

Sebagai rujukan kepada model perkhidmatan kesihatan di luar negara seperti NHS, rakyat British tidak perlu membayar cukai tambahan untuk membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerana cukai yang sedia dibayar adalah dikendali secara berasingan di bawah dua sistem, iaitu cukai pendapatan dan Insurans Kebangsaan (National Insurance). Cukai tersebut kemudiannya disalurkan bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan yang dikendali NHS Trust. Pada dasarnya, rakyat British dapat dimanfaatkan dengan menerima perkhidmatan percuma dalam bidang amalan am, kecemasan, penjagaan jangka panjang, dan pergigian[7]. Dalam sistem tersebut, pesakit turut diberi hak pemilihan dari segi doktor, penjagaan, dan tempat rawatan. Namun, pakej lengkap tidak ditawarkan dalam 1Care yang dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Jadual 3 dan Jadual 4 di bawah menunjukkan perbandingan kadar cukai di antara British dengan Malaysia.

Jadual 3: Kadar Cukai Pendapatan di British berdasarkan Band, 2010-2011


Pendapatan berdasarkan Band (£) Kadar Cukai
£0 - £2,440

Kadar permulaan untuk simpanan: 10%
£0 - £37,400 Kadar asas: 20%
£37,401 - £150,000 Kadar tinggi: 40%
Over £150,000 Kadar tambahan: 50%
Sumber: HM Revenue & Customs[8]


Jadual 4: Kadar Cukai Pendapatan Individu di Malaysia
Pendapatan yang dikena cukai (RM) Kadar Cukai
2,500 yang pertama 0%
2,500 yang seterusnya
5,000 yang pertama
1%
5,000 yang seterusnya
10,000 yang pertama
3%
10,000 yang seterusnya
20,000 yang pertama
3%
15,000 yang seterusnya
35,000 yang pertama
7%
15, 000 yang seterusnya
50,000 yang pertama
12%
20,000 yang seterusnya
70,000 yang pertama
19%
30,000 yang seterusnya
100,000 yang pertama
24%
50, 000 yang seterusnya
150,000 yang pertama
26%
100,000 yang seterusnya
Pada 250,000
26%
250,000 ke atas 26%
Sumber: taxrates.cc[9]

Secara perbandingan, walaupun cukai pendapatan yang dikenakan di British adalah jauh lebih tinggi daripada sistem pencukaian di Malaysia demi menanggung perbelanjaan institusi NHS dan institusi kebajikan yang lain, namun ia bukan sahaja tidak menimbulkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat, malahan NHS telah terpilih sebagai institusi yang paling popular di UK dan mencapai penilaian kepuasan yang tinggi[10]. Hal ini telah menunjukkan bahawa perancangan mana-mana skim hendaklah mengambil kira keadaan dan realiti masyarakat. Sejauh mana tahap tadbir urus, ketelusan dan pengagihan dana negara diterjemahkan sebagai sesuatu yang dapat menyakinkan rakyat terbanyak selari dengan prinsip keadilan merupakan faktor penting yang diambil kira oleh golongan pembayar cukai.

Sedangkan populasi di British dapat menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan justeru berupaya untuk menanggung cukai yang tinggi, statistik sosio-ekonomi yang dikumpul oleh Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 telah menunjukkan hakikat yang menyedihkan bahawa sebanyak 52.7 peratus daripada isi rumah di Malaysia adalah berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan[11]. Ini bermaksud, sekiranya cukai tambahan sebanyak 10 peratus dikenakan, golongan pekerja yang berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa memikul bebanan ini. Dalam konteks ini, tidak kira cukai tambahan yang dikenakan bersamaan atau jauh lebih kurang daripada 10 peratus, pelaksanaan 1Care melalui skim insurans kesihatan sosial jelasnya adalah tidak berpatutan bagi rakyat terbanyak. Sebaliknya, peningkatan jumlah peruntukan kerajaan berhubung sistem perkhidmatan kesihatan adalah langkah penyelesaian lebih bijak lagi munasabah.

Wujudnya Golongan Miskin Baharu


Seterusnya, skim 1Care tidak dapat menangani masalah yang kini dihadapi oleh sistem perkhidmatan kesihatan dalam Malaysia ekoran jurang kemiskinan yang semakin lebar dan wujudnya golongan ‘miskin baharu’, malah ia akan mengakibatkan perubahan besar dari segi penyusunan struktur dan sistem perkhidmatan kesihatan. Menurut Dr. Subramaniam Pillay, perkhidmatan kesihatan di Malaysia buat masa ini terbahagi kepada dua peringkat (2-tier system) yang masing-masing terdiri daripada sistem perkhidmatan kesihatan awam yang dikendalikan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan wang yang terhad dan sistem kesihatan swasta yang dibiayai dengan perbelanjaan masyarakat[12]. Sesungguhnya, penyusunan struktur dan sistem pembiayaan sebegini telah menyebabkan munculnya perbezaan yang ketara dari segi amalan klinikal, kelengkapan infrastruktur dan juga kos perbelanjaan di antara sektor perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Antara tahun 1997 hingga 2006, jumlah perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan telah melonjak daripada RM8.2 bilion kepada RM24.8 bilion. Sebahagian besar daripada jumlah peningkatan tersebut adalah berasal daripada perbelanjaan dalam sektor swasta, terutamanya yang dibelanja oleh pesakit dengan menggunakan wang sendiri (out-of-pocket spending). Perbelanjaan swasta meningkat daripada RM4.1 bilion pada tahun 1997 sehingga RM13.7 bilion pada tahun 2007[13]. (Sila lihat Jadual 5 & Jadual 6)

Jadual 5: Jumlah Perbelanjaan untuk Kesihatan, 1997-2006
Sumber: Malaysian National Health Account



Jadual 6: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan dalam Sektor Awam dan Swasta


AWAM VS SWASTA
PERBELANJAAN KESIHATAN
(1984/85)
(2002)

(2006)
AWAM
SWASTA
76 %
24%
56%
44%
45.2%
54.8%
Sumber: National Health Financing Study & Malaysian National Health Account

Tambahan pula, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti memperkenalkan dispensari swasta  dan menyediakan “sayap swasta” (private wing) di sesetengah hospital kerajaan, mempromosikan pelancongan kesihatan di hospital swasta dan sebagainya telah menghakis daya tahan sektor awam secara beransur-ansur[14]. Sebagai akibatnya, peranan yang dimainkan oleh sektor awam dalam penjagaan kesihatan semakin hari semakin terhakis dan diganti oleh sektor swasta, malah beban masyarakat semakin memberatkan[15].

Jurang perbelanjaan perkhidmatan kesihatan antara sektor awam dan swasta jelasnya bukan menunjukkan bahawa masyarakat adalah berupaya membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan dan perkhidmatan awam. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan di atas, percanggahan dari segi kualiti servis dan kelengkapan infrastruktur dalam sektor awam dan swasta masing-masing telah menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta supaya rawatan yang diterima terjamin kualiti dan kesannya. Apa yang harus ditegaskan di sini ialah perkembangan sektor swasta dalam bidang kesihatan patutlah dihargai dan dikekalkan manakala kelemahan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh sektor awam hendaklah ditangani dan dinaiktarafkan.

Namun, keazaman pihak kerajaan dalam menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan awam dan mengekalkan sumbangan sektor swasta tidak terserlah dalam kertas konsep “1Care untuk 1Malaysia”. Sebaliknya, sistem pengendalian perkhidmatan kesihatan awam yang dinyatakan adalah melalui penggabungan hospital awam dan hospital swasta supaya perbezaan dari segi kelengkapan infrakstruktur dan amalan klinikal dapat mencapai tahap keseimbangan. Isu seperti penghijrahan kepakaran (brain drain) turut dipercayai dapat diatasi melalui integrasi sektor awam dan swasta. Namun begitu, seperti yang didakwa oleh Dr. Ng Swee Choon[16], integrasi ini seakan-akan menghapuskan daya persaingan bersama yang sebenarnya dapat mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Tambahan pula, integrasi yang disyorkan bukan sahaja akan menyekat perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta, malah piawai penyeragaman kualiti juga tidak dapat dicapai[17]. Dari sisi pandangan ini, cadangan skim 1Care yang dikemukakan akan membazirkan usaha kegigihan pelbagai pihak tanpa mencapai objektif bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan.

Rumusan


Pada hakikatnya, kebanyakan projek yang dikendalikan oleh pihak kerajaan adalah berakhir dalam kekesalan disebabkan kelemahan dari segi kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus. Telahpun wujudnya begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dilaksanakan bagi memperbaiki sistem kesihatan tetapi malangnya ketiadaan proses yang cekap dan telus telah menyebabkan timbulnya masalah yang lebih serius. Sebagai akibatnya, wang terbazir dengan sia-sianya manakala kebajikan dan kebaikan rakyat pula tidak terjamin. Sekiranya skim 1Care dilaksanakan, berkemungkinan besar sistem perkhidmatan kesihatan kini akan dilanda kerugian yang lebih besar.

Oleh demikian, KPRU menyaran pihak berkaitan mengkaji semula sistem pembiayaan dan peruntukan perkhidmatan kesihatan semasa di Malaysia dan mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor tersebut. Di samping itu, sebuah suruhanjaya kesihatan yang dikendali secara awam di bawah kawalan masyarakat boleh ditubuhkan bagi memastikan pengendalian yang telus dan efektif. Dengan memastikan tiada ketirisan, peningkatan peruntukan wang dipercayai dapat menyelesaikan masalah seperti kekurangan infrasktruktur yang lengkap atau kakitangan perubatan yang profesional bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat. Apa yang asas sekali adalah memastikan kecekapan dan ketelusan dalam segala sistem pelaksanaan dan pengendalian supaya hak rakyat yang terasas sentiasa terpelihara.



[1] http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
[2] http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
[3] http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755
[4] http://www.slideshare.net/palmdoc/1-care-concept-caper
[5] http://www.malaysiakini.com/news/189214
[6] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Subramaniam Pillay, organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
[7] http://www.nhs.uk/NHSEngland/thenhs/about/Pages/overview.aspx
[8] http://www.hmrc.gov.uk/rates/it.htm
[9] http://www.taxrates.cc/html/malaysia-tax-rates.html
[10] http://www.socialmedicine.org/2011/11/08/uncategorized/the-fight-to-save-the-nhs-publicly-funded-and-universal-national-health-services-in-the-uk/
[11] http://www.epu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=2d9c3105-c9a0-4155-baf9-f737321e27f3&groupId=34492
[12] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
[13] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
[14] Selangor/Kuala Lumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Pay more and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition, 12 February 2012, Global Business & Convention Centre.
[15] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
[16] Selangor/Kuala Kumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Pay more and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition
[17] http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755

Tiada ulasan: