Khamis, 8 Mac 2012

MOGA2 DENGAN DENGAN KETOKOHAN BELIAU...DAKWAH DAN PERKEMBANGAN ISLAM AKAN SAMPAI KEDALAM PENJARA....INSYAALLAH...

Imam baling kasut dipenjara setahun

Harakahdaily, 08 Mac 2012



(Imam Hoslan ketika diwawancara Harakahdaily)

PUTRAJAYA, 8 Mac: Imam Haji Hoslan Hussin yang membaling kasut kepada barisan hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dijangka akan dibawa ke penjara Kajang.

Beliau kini di tempatkan di lokap Balai Polis Putrajaya, kata isterinya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan lelaki itu membaling selipar ke arah panel hakim.

Hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkenaan berkata, hukuman setimpal bagi kes berkenaan adalah penjara setahun.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruh mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

"Kesalahan yang dilakukan kamu adalah serius di sisi undang-undang," katanya yang menambah, tindakan seperti itu tidak boleh dibiarkan tanpa dibendung sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim, menyampaikan hukuman tersebut selepas mendengar hujahan daripada wakil Peguam Negara, Suzana Atan dan juga wakil Majlis Peguam, Arthur Wong.

Hoslan minta maaf

Terdahulu mahkamah turut mendengar permohonan maaf daripada Hoslan, 46 berhubung tindakan membaling selipar itu.

Hoslan turut menjelaskan bahawa beliau keliru dengan perjalanan kes melibatkan dirinya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan diputuskan di mahkamah tersebut pada 22 Februari lalu.

Hoslan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut "bermula daripada awal."

Menurut isterinya, sepanjang setahun ketiadaan suaminya, beliau terpaksa menyara tujuh orang anak yang sedang membesar.

LAPORAN BERKAITAN


Institusi kehakiman rosak punca imam baling kasut

Imam perjelas kenapa baling kasut

Hari Wanita: Kelantan buka rumah Sinar Harapan

Salmah Mat Husain, 08 Mac 2012
KOTA BHARU, 8 Mac: Simbolik kepada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Kerajaan Kelantan telah membuka dengan rasminya rumah perlindungan wanita ‘Sinar Harapan’.
Rumah empat bilik yang terletak di Pengkalan Chepa itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, timbalannya Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Dewan Negara, Mumtaz Mohd Nawi.

Ubaidah ketika berucap pada majlis itu berkata, rumah perlindungan untuk kaum wanita telah lama dirancang oleh kerajaan negeri, bagaimanapun hanya hari ini ianya dapat dirasmikan sepenuhnya.

Beliau memberitahu, antara tujuan ianya ditubuhkan untuk membimbing dan mendidik para penghuni sementara di rumah berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan.

“Bukan semua kaum wanita yang bermasaalah dapat tinggal di sini, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan seperti diusir dari rumah, mangsa penderaan rumahtangga, keluarga.

“Mangsa rogol, penderaan seks atau yang dirujuk oleh mahkamah, Jabatan Halehwal Agama Islam, polis, badan-badan NGO dan berbagai lagi yang bertauliah,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh jagaan sementara paling maksimum enam bulan sebelum mereka diserahkan kepada pihak yang lebih berwajib, sama ada ke pangkuan keluarga, berdikari atau sebagainya.

Tegasnya, beberapa aktiviti telah diatur sebagai motivasi diri kepada mereka, iaitu kaunseling, motivasi dan peningkatan jatidiri, kemahiran asas, kemahiran kerjaya, rawatan perubatan apabila diperlukan.

Menurutnya lagi, penganiayaan terhadap wanita termasuk kanak-kanak semakin berleluasa.

“Penganiayaan terhadap golongan ini bukan sahaja secara fizikal, sebaliknya mental seperti mengeluarkan kata-kata yang kasar, menghina dan berbagainya.

“Ekoran itu golongan terbabit rasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, kerana itu sokongan pihak lain perlu untuk membantu mereka,” ujarnya.

Sinar Harapan yang bertemakan ‘Datang Dengan Seribu Kenangan…Pulang Dengan Seribu Impian’ telah menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan terbabit.

Antaranya tempat penginapan, buku-buku untuk bacaan semasa di samping kuliah agama dan motivasi yang akan disampaikan oleh kaunseling.

Kemelut Kedah: Biduk lalu kiambang bertaut

08 Mac 2012


1.            Saya merakamkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas penyelesaian yang telah berlaku di Kedah setelah melalui kemelut dalam isu perlantikan exco baru-baru ini. Kesediaan kedua-dua orang exco untuk menggalas tugas yang sebelum ini enggan menerima jawatan mereka saya kira merupakan satu titik noktah terhadap krisis yang melanda PAS Kedah ini.

2.            Saya minta kepada semua pendokong perjuangan Islam agar dapat bangun pada malam ini untuk menunaikan qiyamullail dan mendirikan solat tanda syukur kepada Allah SWT terhadap penyelesaian yang sungguh bermakna ini.

3.            Kemelut ini saya kira sungguh istimewa, yang biasa didengar khususnya berlaku dalam kelompok sekular ialah pihak-pihak bertelagah kerana inginkan jawatan, tapi di Kedah, kemelut berlaku apabila ada pihak yang menolak jawatan. Di dalam silibus pengajian sekular, jawatan ialah lubuk untuk mencari kekayaan, membina empayar perniagaan dan pengaruh, justeru mana mungkin ia boleh ditolak begitu sahaja. Bahkan jika terbukti melakukan penyelwengan sekalipun, masih enggan untuk meletakkan jawatan!

4.            Saya simpati terhadap 'tupai-tupai' yang melompat keseronokan ketika kemelut ini berputik kerana mereka menjangka akan dapat 'menikmati buahnya'. Sayangnya, putik tidak menjadi masak, tupai pula jatuh kehampaan.

5.            Alhamdulillah, inilah kaedah PAS melakukan penyelesaian. Krisis boleh ditangani dengan pertemuan dan mendengar luahan semua pihak. Di Kelantan, pernah beraku krisis melibatkan pertembungan antara Menteri Besar dan wakil rakyat kerajaan iaitu pada tahun 1978, jalan yang diambil bukannya perbincangan dan pertemuan, tetapi MAGERAN yang menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada masa itu. Berbezanya antara dua penyelesaian membuktikan berbezanya dasar yang digunakan, satu dasar Islam dan satu lagi dasar sekular!



HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

PAS Kedah akan lebih kukuh

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 08 Mac 2012


Dengan berakhirnya kemelut di Kedah, diiringi tangisan gembira oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub – yang mungkin juga oleh pendukung PAS di pelbagai negeri - harapan begitu cerah untuk melihat PAS/Pakatan Rakyat dengan segala kekuatan bagi menghadapi PRU Ke-13 pada bila-bila masa.

Tidak perlulah lagi PAS melayan dakwaan musuh PAS dan mereka yang keliru atau mahu mengelirukan kononnya kuasa Menteri Besar Kedah akan terhad dengan keputusan Jawatan Kuasa PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang akan memantau dan memandu Kerajaan Kedah.

Setiauaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Datuk Abd Halim Abd Rahman telah menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pemandu itu hanya bersifat penasihat dan pemantau kerajaan negeri.

Menurut kedua-dua pemimpin tertinggi PAS itu, pembentukan jawatankuasa pemandu di negeri Kedah – seperti juga di Kelantan di masa lalu - adalah bersifat penasihat dan bukannya akan mengambil alih peranan majlis mesyuarat kerajaan (exco).

“Tiada sebarang jawatankuasa apapun yang boleh mengatasi kuasa exco dan kabinet. Oleh itu, penubuhan Jawatankuasa Pemandu ini tiada kaitan untuk mengambilalih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri.

“Ia hanya bersifat advisery (penasihat) dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat,” kata Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dalam kenyataan media itu.

Namun pemimpin parti musuh PAS dan media mereka masih menyiarkan kenyataan dan tafsiran yang keliru.
Harapan mereka supaya krisis di Kedah itu tidak akan selesai hingga pilihan raya Ke-13, walaupun hakikatnya krisis itu telah berakhir dan PAS Kedah diberitakan sudah meneruskan kerja-kerja persiapan pilihan raya, malah persiapan itu, saya mendapat tahu, telah dilipatgandakan.

Ini adalah manifestasi yang ditunjukkan oleh pendukung PAS di mana-mana bahawa kepentingan parti mengatasi segala-segalanya. Atas semangat ini mereka terus menerus membuat persiapan. Tentunya ini akan melumpuhkan harapan Umno/BN itu menawan Kedah dalam Pru Ke-13.

PAS Kedah mempunyai ciri-ciri istimewa, terutama kerana ia pernah dipimpin oleh seorang tokoh besar PAS – Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Nor.

Almarhum, seorang pemimpin yang memandang jauh kedepan, berjaya melakar tahaluh-siasi bersama pimpinan PAS yang lain seperti Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abd Hadi Awang, Haji Haji Mustafa Ali dan lain-lain.

PAS Kedah didukung oleh sejumlah pemimpin yang berwibawa, malah ramai di antara mereka juga diduduk dalam saf pimpinan Pusat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Ab Razak, Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar, Ustaz Ustazah Jamilah Ibrahim, Ustaz Taib Azamudin,  Datuk Muslim Othman dan ramai lagi.

Kini, PAS Kedah di bawah pimpinan Ustaz Azizan bin Abd. Razak dengan timbalannya - Pesuruhjaya I : Ir. Hj Phahrolrazi bin Zawawi,

Timbalan Pesuruhjaya II : Dr  Ismail bin Salleh dan Timbalan Pesuruhjaya III : Ustaz. Hj Mat Isa bin Shafie, disertai tokoh lain – Ustaz Musoddak bin Hj Ahmad,

Datuk Ir. Hj Amiruddin bin Hamzah, Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Haji Muhammad Yusuf Husin, Hj Sheikh Mohamad bin Abdullah, Ustaz Ahmad bin Yahya dan  Hajah Aishah binti Ghazali serta tokoh-tokoh lama seperti Cikgu Wahab dan lain-lain.

Pimpinan PAS Kedah ini adalah kombinasi antara ulama dan professional, serta para veteran yang sangat berjasa kepada PAS. Sebab itu, tiada sebab PAS Kedah tidak mampu mempertahankan kemengannya yang gemilang dalam PRU 2008 dulu.

Saya masih ingat peristiwa penuh air mata, ketika berada di Markas Besar PAS Kedah, di Kota Sarang Semut untuk mendengar keputusan PRU Ke-11, 2004. Malam itu dalam cuaca mendung, dengan penuh hiba saya dan pendukung PAS yang lain menyaksikan kekalahan teruk PAS di seluruh negara.

Sebelum itu, pendukung PAS menaruh harapan bahawa PAS Kedah akan mencapai kemenangan dan dapat menawan negeri jelapang padi itu dalam PRU Ke-11 itu. Namun begitu kecewa dan saya pulang ke hotel dengan penuh sedih tidak terkatakan.

Sebab itu, apabila PAS mencapai kemenangan gemilang seluruh negara dalam PRU Ke-12, bersekali dapat menawan Kedah, kesedihan 2008 itu terubat kembali.
Pendukung PAS, khususnya di Kedah, memang sangat diharapkan dapat mempertahankan Kerajaan PAS/Pakatan Rakyat dalam PRU Ke13 nanti.

Apabila berlaku kemelut di Kedah baru-baru ini maka rasa cemas, bimbang dan sedih tidak terkatakan dan saya serta pendukung PAS yang lain juga sentiasa berdoa kepada Ilahi semoga krisis itu berakhir segera.

Doa pendukung PAS itu dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Sikap tolak ansur semua pihak dangan memikirkan kepentinan parti mengatasi segala-galanya membuahkan penyelesaian.

Kini saya yakin, dengan penuh harapan, selepas kemelut ini, PAS Kedah akan lebih kukuh untuk melipatgandakan kerja-kerja menghadapi PRU Ke-13 yang penuh cabaran itu.

Pemuda PAS simpati nasib Imam Hoslan

Harakahdaily, 08 Mac 2012


(Imam Hoslan ketika bercakap dengan Harakahdaily sebelum ini)
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati ke atas Tuan Haji Hoslan Hussin yang telah dijatuhkan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan beliau membaling kasut ke arah panel hakim bulan lepas.

Keberanian tindakan beliau  sememangnya telah menggemparkan negara dan ia kejadian yang jarang berlaku di negara ini, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor.

Bagi DPPM, apa yang berlaku ke atas beliau adalah suatu manifestasi kemarahan rakyat bawahan yang cuba mempertahankan hak mereka untuk diadili secara adil.
Beliau berjaya mencuit perhatian ramai pihak termasuk masyarakat antarabangsa supaya mengambil berat terhadap kes beliau, kata Riduan (gambar).

DPPM, katanya, mengharapkan supaya beliau mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah terbuka di negara ini.

Kes yang menimpa beliau menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan memperkecilkan golongan rakyat bawahan, tegasnya.

"Akhirnya, DPPM mendoakan semoga Haji Hoslan tabah menghadapi ujian yang melanda beliau.

"DPPM juga berusaha membantu keluarga meringankan beban mereka beliau sepanjang tempoh hukuman dikenakan ke atas beliau," katanya.

Batal SBPA: Akhirnya perjuangan rakyat berjaya

Harakahdaily, 08 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membatalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) adalah suatu kejayaan rakyat khususnya kakitangan awam dalam memperjuangkan hak mereka.

“Dalam isu ini, Datuk Seri Najib akhirnya terpaksa mengalah kepada tekanan rakyat yang tidak berpuashati kerana tidak meletakkan kepentingan rakyat bawahan dalam perkara yang membabitkan mereka,” Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, ia membuktikan bahawa SBPA hanya menguntungkan segelintir golongan tinggi penjawat awam dengan mengenepikan hak penjawat awam bawahan sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Beliau berkata, DPPM melihat mungkin juga pembatalan SBPA adalah tanda terdesaknya Perdana Menteri dalam meraih simpati rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13.

“Dalam keadaan begini, beliau terpaksa mendengar rungutan banyak pihak dan akur dengan kehendak mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan, belum tentu SBPA tidak akan dilaksana jika BN mendapat mandat lagi selepas PRU13 nanti.

Katanya, pembatalan SBPA menjadi suatu pengajaran kepada Perdana Menteri dan kerajaan supaya setiap dasar yang melibatkan golongan bawahan, ianya perlu dibincangkan dahulu kepada mereka.

Tambahnya, Najib perlu ingat, kakitangan awam adalah golongan yang bekerja membanting tulang membangunkan negara selama ini, tanpa mereka tidak mungkin negara ini setanding dengan negara-negara yang lain.

“Justeru, wajarlah pandangan penjawat awam ini diambil kira dan diberi perhatian supaya sumbangan mereka benar-benar dihargai,” ujarnya lagi.

Najib tertekan Buku Jingga
Sementara itu, pembatalan SBPA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan BN tertekan dengan tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi, mendakwa 10 janji jingga, yang terkandung dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat, antaranya mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam berjaya memberi tekanan kepada Najib.

Tawaran jingga itu meletakkan pengiktirafan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru.

"Inilah bahayanya kerajaan yang ketandusan idea ketika ingin  melaksanakan dasar-dasar tertentu dalam keadaan terdesak kerana cuba menyaingi Pakatan Rakyat.  Hasilnya, pentadbiran awam kucar-kacir disebabkan politik desperado Najib," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Athirah, keadaan itu juga menunjukkan pihak kerajaan tidak faham dalam menguruskan skim gaji penjawat awam.

Ekoran itu, Athirah berkata rakyat perlu sedar bahawa peranan Pakatan Rakyat begitu penting dalam usaha mengimbangi keperluan rakyat.

Tiada ulasan: