Khamis, 15 Mac 2012

SUSAH JIKA TIADA JUJUR...TIDAK AMANAH...TAK DE RASA BERSALAH...NI SIFAT MENYEBABKAN KITA JAUH DARI RAHMAT ALLAH...MAKA SUKARLAH KITA NAK MASUK SYURGA

Kenapa Pejabat PM tempah hari jadi Najib RM79,053?

Harakahdaily, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Belum reda dengan pendedahan kos pertunangan anak Perdana Menteri, PKR hari ini pula mempersoalkan kenapa tempahan majlis sambutan hari jadi Datuk Seri Najib Razak yang bernilai RM79,053 dibuat atas nama Pejabat Perdana Menteri.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ianya berdasarkan Banquet Event Order oleh Hotel Shangri-La yang secara jelas menunjukkan ianya ditempah atas nama akaun Pejabat Perdana Menteri.

Majlis sambutan hari jadi itu dakwanya berlangsung di Sri Perdana pada hari Ahad, 24 Julai tahun lalu.

"Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri.

"Berbeza dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini secara jelas menyatakan ianya majlis peribadi. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan itu tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya 'majlis Pejabat Perdana Menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Majlis itu, menurut Rafizi, turut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Kos RM79,053 itu antara lain merangkumi Buffet untuk 100 tetamu dengan kadar RM207 satu kepala (RM20,700), Band Syed Sobri (RM7,738), Band Batak (RM5,300), minuman 5 gallons (RM795), gubahan bunga (RM31,800) dan caj pengendalian (RM12,720).

"Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini?

"Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat," katanya.
Berikut adalah soalan-soalan Rafizi yang menuntut jawapan ikhlas daripada Najib berhubung kos majlis pertunangan anak (RM409,767) dan kos sambutan hari jadi beliau (RM79,053).

Saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia


1- Bilakah beliau (Datuk Seri Najib Razak) akan mengemukakan lapan bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2- Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengan juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3- Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?


4- Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan dana awam NFC sehingga BN terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Datuk Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarkah beliau juga membuat 'pengorbanan' seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.






Calon Muslimat: PAS T'ganu timbang 'winable candidate'

Nazri Abdullah, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: PAS Terengganu sedia meletakkan mana-mana calon termasuk dari kalangan muslimat sekiranya calon tersebut adalah 'winable candidate' (boleh menang) dan diterima masyarakat di kawasan yang bakal ditandinginya pada PRU-13 nanti.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, senarai calon-calon dari kawasan telah diterima termasuk beberapa nama muslimat dan proses saringan sedang dilaksanakan.

"Sekiranya ada 'winable candidate' muslimat ke, pemuda ke, ulama ke, kita boleh terima.

"Tetapi sekarang ini kita belum putuskan dan masih dalam proses saringan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS Terengganu bersedia meletakkan calon muslimat pada PRU-13 akan datang.

Kali pertama PAS Terengganu meletakkan calon dari kalangan muslimat adalah pada pilihan raya umum 1959 iaitu Khadijah Sidek di kerusi Parlimen Dungun.

Wakil muslimat juga turut dilantik sebagai senator sewaktu kerajaan PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Pada pilihan raya 2008 lalu pula, PAS negeri tidak meletakkan calon muslimat bertanding di mana-mana kerusi.

Dewan Muslimat PAS Pusat sebelum ini memberitahu mereka telah menghantar sekurang-kurangnya 30 nama untuk disaring sebagai calon bertanding pada PRU-13.

Ianya merangkumi calon untuk seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Misi kuasai semula Terengganu

Mengulas persiapan pilihan raya pula, Abdul Wahid yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu berkata, jentera PAS kini sedang bekerja keras untuk mengambil kembali Terengganu buat kali ke-3 selepas pernah memerintah kali pertama selepas PRU 1959 dan kedua selepas PRU 1999.

"Semangat kita paling kurang kita kena menang 17 kerusi dari pada 32 untuk kita kembali memerintah. Kalau dapat lebih, itu bonus lah.

"Lapan kerusi yang kita dah menang, kita akan sedaya upaya pertahankan, dan kita sasar 9 atau 10 lagi kerusi yang jumlah majoriti pada PRU lalu kurang dari 1,000 undi," katanya.

Berhubung isu pembahagian kerusi dengan rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat, beliau berkata ianya diyakini dapat diselesaikan dalam masa terdekat

Kanak-kanak ada hak perlindungan, kehidupan

Mohd Fairuz Mohamed Isa , 14 Mac 2012
Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa) adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang bertujuan untuk memperjuangkan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Terlebih dahulu PaMa mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga keluarga Nurul Nadhirah Abdullah diatas kehilangan penuh tragis anakanda tercinta yang ditemui mati dibunuh dan dibakar sebegitu kejam pada 12 Mac 2012 lalu. PaMa dapat merasakan seluruh masyarakat Malaysia begitu sedih diatas kejadian ini dan mendoakan kes ini dapat diselesaikan oleh pihak PDRM. Sehubungan dengan itu, PaMa berhasrat untuk memaklumkan kepada media tentang pentingnya kesedaran masyarakat terhadap keselamatan anak-anak diterapkan dalam setiap jiwa warganegara Malaysia.

Masih ingatkah kita dengan tragedi yang menimpa Nurin Jazmin Jazlin (8 tahun) dan Sharlinie (5 tahun)? Di sebalik kes kehilangan Nurin dan Sharlinie, terdapat beberapa tragedi yang lain yang telah terpahat begitu pahit dalam dunia kanak-kanak Malaysia bertahun lamanya. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa kes kanak-kanak hilang pasti berlaku setiap tahun.

Mengikut statistik oleh pihak PDRM sehingga Oktober 2011, sebanyak 17,088 kes kanak-kanak berumur 16 tahun kebawah dilaporkan hilang semenjak tahun 1985. Apabila laporan kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama, harapan kita semua adalah agar kes kehilangan kanak-kanak ini berakhir dengan berita gembira dengan penemuan semula kanak-kanak tersebut seperti yang terjadi di dalam kes Wan Hazim Mohd Khadir (7 tahun) baru-baru ini dan Yin (8 tahun) yang hilang pada 31 Mac 2007.

Secara amnya, di Malaysia kes kanak-kanak hilang diklasifikasikan kepada tiga (3) kategori iaitu:

1. Hilang akibat lari dari jagaan/rumah

2. Diculik (Jenayah pemerdagangan manusia)

3. Sesat di tempat awam

Masalah ini tidak hanya menjadi igauan di Malaysia malah di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, National Incidence Studies of Missing, Abducted, Runaway, and Thrownaway Children (NISMART) telah melaporkan lebih 1 juta kanak-kanak telah hilang pada tahun 2005. Walaupun begitu hanya 100 kes dilaporkan hilang disebabkan oleh penculikan. Dalam kebanyakan kes-kes di USA pemangsa pencabulan kanak-kanak dikatakan merancang penculikan beberapa hari, minggu atau kadangkala sehingga beberapa bulan lamanya sebelum melarikan kanak-kanak tersebut. Malah dilaporkan “Seorang kanak-kanak hilang di Amerika Syarikat pada setiap 26 saat”. Ini begitu menggerunkan apabila kita fikirkan “Adakah anak-anak kita selamat pada 26 saat berikutnya?”

Pernahkah anda terfikir, andai kata anak anda hilang, apakah tindakan penting yang perlu anda lakukan selain daripada menghubungi polis, minta bantuan media dan sebagainya? Adakah anda bersedia menghadapi situasi kehilangan anak? Kebanyakan ibu bapa akan menjadi panik dan sedih, dan menyerahkan segalanya pada pihak berkuasa. Ibu bapa di Malaysia sepatutnya lebih prihatin dengan isu kanak-kanak hilang dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Ibu bapa perlu bersiap-sedia sebelum apa-apa terjadi. Bukan kita mengharapkan perkara buruk akan berlaku terhadap anak kita, tetapi sebagai persediaan.

Apa yang perlu ibu bapa lakukan sebelum sesuatu terjadi adalah:

1. Menyimpan rekod peribadi

Ibubapa perlu mempunyai rekod peribadi kanak-kanak tersebut sepanjang masa, ianya perlu dikemaskinikan setiap 6 bulan dan disimpan dengan baik dan mudah diambil. Dengan mengenal pasti tanda-tanda di badan anak seperti tahi lalat, parut atau tanda lahir. Lukis gambarajah badan manusia dan tandakan setiap tanda yang terdapat di badan anak anda pada gambarajah tersebut dengan tepat.

Rekod-rekod DNA amat mudah disimpan, simpanlah sumber maklumat DNA anak anda seperti cap jari dan rambut. Ini akan mempercepatkan proses pengenalan identiti andai kata jasad anak anda ditemui.

Kita mungkin lupa dengan sesetengah tanda pada badan anak. Apatah lagi dalam keadaan sedih dan panik, amat sukar untuk kita mengingati tanda-tanda pada badan anak. Tanda badan adalah antara sesuatu yang penting bagi proses mengenal pasti identiti seseorang.

Ibubapa boleh mendapatkan “Pongo’s Safe Kid ID Kit” melalui PaMa di mana kit ini boleh membantu ibubapa merekodkan data peribadi anak-anak anda dengan lebih berkesan.

2. Peka dengan apa yang dipakai oleh anak-anak

Sentiasa peka dengan apa yang dipakai oleh anak terutama sekali sewaktu ke tempat yang sesak seperti pasaraya, ekspo atau pasar. Perhatikan aksesori yang terlekat di badan, jenis dan warna pakaian, jam tangan dan sebagainya. Jika anda seorang yang pelupa, mungkin adalah baiknya anda mencatat apa yang dipakai oleh anak.

3. Memakai tanda pengenalan/gelang keselamatan

Acap kali kita dihebahkan dengan kanak-kanak hilang dipasaraya besar sewaktu membeli belah. Kanak-kanak yang tersesat di tempat awam ini boleh dibantu dengan memakaikan tanda keselamatan atau gelang keselamatan yang mempunyai nombor telefon bagi memudahkan penjaga dihubungi sekiranya ianya berlaku.

Ketiga-tiga tindakan tersebut adalah penting bagi ibu bapa di Malaysia hari ini. Bukan kerana paranoid, tetapi sebagai langkah persediaan yang bijak.

Penambahbaikan NUR ALERT perlu dilakukan memandangkan semenjak dilancarkan pada Januari 2011 lalu, masih belum ada tindakan/gerakan yang wajar dilakukan bagi mengesan dan mencari kanak-kanak yang hilang dilakukan serta-merta di seluruh negara sebaik sahaja laporan diterima dan bagi membolehkan maklumat kehilangan kanak-kanak tersebut dihebahkan ke seluruh negara melalui pelbagai medium.

Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memperkemaskan program 3K (Keselamatan, Kesihatan dan Keceriaan) dan Kelab Pencegahan Jenayah sekolah bagi mendidik para pelajar mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri mereka.

Anak-anak perlu dididik berkenaan dengan aspek keselamatan di tempat awam. 26 minit yang pertama adalah masa yang amat kritikal bagi kita semua sekiranya berlaku kes kanak-kanak hilang. Ini kerana dalam 26 minit kanak-kanak tersebut mungkin akan hilang di dalam jangkauan setempat dan mungkin akan berada jauh dari lokasi awal kehilangannya. Maka dengan itu ibubapa perlu bertindak pantas dalam masa 26 minit tersebut dengan menyimpan rekod seperti yang dinyatakan tadi. Memang, malang memang tidak berbau .. tetapi kita mungkin boleh lebih berwaspada.

Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa) telah dan sedang merangka beberapa program yang sesuai bagi membantu masyarakat menyemai sikap kewaspadaan bagi mendidik kanak-kanak di Malaysia. PaMa akan berkerjasama dengan Persatuan Megat Terawis dan persatuan-persatuan lain bagi membantu pihak kami melaksanakan program yang bermanfaat ini. Harapan kami agar kejadian jenayah terhadap kanak-kanak dapat dihapuskan. Kanak-kanak mempunyai hak, PERLINDUNGAN DAN KEHIDUPAN adalah antara hak mereka yang tidak dapat dinafikan.


Mohd Fairuz ialah Pengerusi PaMa.

Skandal didedah, kembalikan wang rakyat

Anis Nazri, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Biarpun skandal-skandal membabitkan pemimpin BN berjaya didedahkan hingga diseret ke mahkamah, wang rakyat yang dibazirkan mereka perlu dikembalikan kepada rakyat.

Pelbagai cara boleh dilakukan pihak berkaitan bagi mendapatkan semula wang tersebut, sama ada melalui pembekuan aset ataupun repatriation (pemindahan).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, mana-mana pemimpin yang dipalitkan dengan dakwaan penyelewengan dana rakyat, aset mereka sama ada tunai atau barangan perlu dibekukan.

"Jika aset tersebut berbentuk tunai, segala akaun mereka perlu dibekukan.  Manakala jika aset itu merupakan sebuah kondominium, contohnya kerajaan boleh mengambil semula untuk tujuan menjual atau melelongnya semula," tegas Dr. Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang mengambil contoh kes National Feedlot Corporation (NFC), menegaskan dalam kes tersebut antara aset yang dikaitkan dengan skandal tersebut merupakan sebuah kondominium di negara jiran, Singapura.

Katanya, apabila ia membabitkan sebuah negara lain, maka kerajaan perlu mendapatkan hak untuk repatriation aset itu semula ke negara.

"Jika ada kondo, maka kerajaan perlu pindahkan semula nilai pasaran kondo itu ke Malaysia.  Begitu juga jika terdapat akaun-akaun di Switzerland, London, maka semuanya perlu dibekukan dan dipindahkan ke Malaysia semula," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Biarpun pada 14 Jan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan semua aset NFC dibekukan, rakyat ternanti-nanti bagaimana wang yang dibazirkan itu boleh dikembalikan semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, Dzulkefly mengharapkan pihak yang berkaitan menjejaki semula segala transaksi membabitkan semua skandal-skandal yang pernah didedahkan.

"Semua transaksi perlu dijejaki semula, sama ada wujudnya akaun ketiga, akaun offshore (pesisir laut) dan sebagainya.  Dan dalam masa sama rakyat perlu tahu dan lihat hasil dari pembekuan aset-aset dari skandal-skandal tersebut," tambah beliau.

NFC: Pulangkan balik RM250 juta duit rakyat

Majdan Dagang, 14 Mac 2012
Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini sesuatu yang dialu-alukan. Peletakan jawatan tersebut serentak dengan tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara atau dengan kata lain beliau tidak disambung sebagai senator. Tidak kisahlah sama ada dia meletak jawatan, tidak disambung jawatan senator atau apa-apa sahaja.

Yang penting, sebagai rakyat biasa, peletakan jawatan itu tidak memberikan apa-apa makna jika tiada tindakan susulan dilakukan. Rakyat mahu tahu apa status duit RM250 juta yang dipinjam oleh syarikat suaminya? Adakah hangus begitu sahaja? Atau dibayar semula seperti peminjam-peminjam lain.

Sedarlah wahai ibu, ayah, adik, abang... duit itu kita punya. Duit yang dikutip daripada setiap rakyat. Tetapi, malangnya mereka yang diberi kuasa membelanjakan untuk kesenangan diri sendiri.

Jika begitu, saya pun mahu meminjam juga. Dapat RM1 juta pun sudah memadai. Maklumlah, meminjam tetapi tidak perlu risau tentang bayaran balik. Jika jumlah wang yang sama diberikan kepada usahawan bumiputera RM1 juta seorang, bermakna akan ada 250 orang usahawan. Daripada jumlah tersebut, jika hanya 25 orang berjaya melebarkan perniagaan mereka – sudah cukup bagus.

Jika setiap tahun pinjaman yang sama dianugerahkan kepada peniaga bumiputera yang lain pula, maka jika selepas empat tahun sudah tentu akan ada 1,000 usahawan bumiputera. Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan oleh usahawan tempatan sendiri. Tidak perlu bersusah payah membawa pelabur asing untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Hakikatnya rakyat masih boleh manahan sabar jika duit tersebut digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat. Ambil sahaja kaedah yang paling mudah, dengan duit sebanyak itu syarikat NFC boleh membeli lembu daripada penternak kecil-kecilan Melayu dan mengumpulkan disuatu tempat, dijaga secara moden dan dijual.

Dengan kata lain, NFC boleh bertindak sebagai orang tengah antara penternak kecil dengan pemborong besar. Penternak kecil akan menjaga lembu dari kecil hingga dewasa dan sesuai untuk dijual kepada NFC sebelum sampai ke tangan pemborong. Secara tidak langsung dapat membantu penternak bumiputera memasarkan ternakan mereka.

Yang berlaku sebaliknya, peminjam membelanjakan wang yang diperoleh secara mudah itu tidak mengikut tujuan asal pinjamannya. Mereka berbelanja ikut selera sendiri tanpa ada rasa bersalah pun menggunakan wang rakyat itu.

Ada contoh lain yang menunjukkan bahawa rakyat boleh menerima perkara yang tidak berlaku mengikut kebiasaannya. Dahulu, timbul isu pemberian AP, permit memimport kereta. Pada ketika itu timbul isu sebuah syarikat bumiputera menjadi penerima AP paling banyak.

Namun, isu itu tidak menjadi pertikaian kerana syarikat bumiputera terbabit berjaya membesarkan perniagaannya dalam bidang automotif dan berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai bumiputera.

Kes ini membuka mata rakyat bahawa duit mereka telah disalah urus oleh pihak yang telah dipilih oleh rakyat untuk memegang amanah. Jika perkara ini boleh terjadi kepada Datuk Seri Shahrizat, maka adakah tidak berlaku kepada para menteri lain? Seperti yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Shahrizat bahawa bukan beliau seorang sahaja yang terlibat, maka adakah beliau bermaksud menteri lain juga turut mendapat “pinjaman” melalui kaedah yang sama? Banyak teka-teki yang timbul daripadanya.

Kesimpulannya, rakyat mahu dana awam itu dikembalikan kepada tempat yang berhak. Bukan sekadar melepas jawatan dan berharap terlepas daripada tindakan undang-undang. Cukuplah rakyat menderita dengan kenaikan kos sara hidup, cukai yang semakin meningkat, nilai duit yang semakin mengecil berbanding nilai barangan semasa, pemotongan subsidi dan bermacam lagi

Pakatan perlu dominasi reformasi kesihatan

Muslim Professional Network , 14 Mac 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia telah menangguhkan perlaksanaan 1Care. Beliau menegaskan bahawa 1Care masih lagi dalam bentuk kertas dasar dan masih belum ada kertas perlaksanaan (blueprint) yang sebenar sehinggalah beberapa kajian terbaru mengenainya dijalankan.

Kenyataan kedua beliau pada 10 Mac pula sedikit bercanggah apabila beliau menegaskan bahawa pihak Kementerian Kesihatan akan meneruskan sesi penerangan mengenai 1Care kepada masyarakat.

Kami rakyat Malaysia sedikit keliru. Jika sekiranya perlaksanaan 1Care ditangguhkan, kenapa perlu pihak Kementerian Kesihatan membuat penerangan? Biasanya sesi penerangan perlu dibuat apabila sesuatu perkara telah siap dan hendak dilaksanakan.

Pertemuan dengan masyarakat adalah untuk mendapatkan pandangan orang ramai sahaja dan menambahbaik sesuatu program yang hendak diaplikasikan. Adalah agak ganjil bila di satu sisi Menteri Kesihatan mengumumkan tangguh, tetapi disatu sisi lagi sibuk pula memberi penerangan tentang pelaksanaan 1care.

Walaubagaimanapun, Jaringan Profesional Muslim (MPN) pada dasarnya menggesa agar satu reformasi berhikmah dilakukan ke atas sistem kesihatan yang sedia ada. Negara memerlukan pembaharuan ini kerana situasi semasa dan ketidak seimbangan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
Sistem kesihatan yang ada sekarang memperlihatkan bahawa golongan miskin akan terus tersisih daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang optimum. Golongan kaya terus bebas memilih kaedah yang terbaik dan tercanggih kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang stabil.

Sistem yang sedia ada sekarang adalah rentetan dari sistem yang diamalkan sejak sebelum merdeka. Sistem ini tidak mengutamakan kebajikan kesihatan kepada rakyat awam.

Cuba kita bayangkan si miskin akan mendapat rawatan kesihatan dari hospital/klinik kerajaan kerana pembayaran yang minima.

Namun kualitinya juga minima kerana ubat yang digunakan kebanyakannya adalah ubat-ubatan generik dan pesakit pula terpaksa menunggu sekian lama. Tarikh temujanji pula biasanya berbulan-bulan dan suasana klinik juga tidak ceria.

Situasi ini dibebankan lagi dengan perpindahan tenaga pakar dari sektor kerajaan ke sektor swasta. Golongan berpendapatan rendah sukar untuk mendapatkan rawatan pakar di sektor swasta kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang menghalangnya. Lantas mereka pasrah dengan apa yang ada.

Tidak dinafikan kos perkhidmatan kesihatan di sektor swasta lebih tinggi berbanding dengan sektor kerajaan. Tiada mekanisma khusus bagi mengurangkan jurang yang agak dalam ini.

Sesetengah dari golongan pertengahan masyarakat akan mengambil insuran kesihatan, namun kajian menunjukkan bahawa kurang dari 10 peratus daripada mereka mengambilnya.

Karenah birokrasi sistem rujukan juga menjadi halangan kepada golongan berpendapatan rendah. Hospital atau klinik kerajaan tidak akan merujuk pesakit mereka ke sektor swasta.

Benar, hospital kerajaan mempunyai pakar, tapi tarikh temujanji untuk bertemu pakar biasanya adalah terlalu lama, sehinggakan pesakit yang diberi temujanji boleh mati dahulu sebelum tarikh temujanji tiba.

Jaringan Profesional Muslim menyarankan Pakatan Rakyat mengambil kira reformasi kesihatan ini secara serius setelah memenangi pilihanraya ke 13 nanti.

Diantara cadangan yang Pakatan Rakyat boleh pertimbangkan dalam manisfesto mereka adalah:

1. Mengurangkan jurang perbezaan antara sektor swasta dan kerajaan.

2. Mewujudkan perhubungan dua hala yang sihat antara sektor swasta dan kerajaan.

3. Memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan kesihatan secara optimum dengan kos minima samada melalui sektor swasta atau kerajaan. Satu mekanisma khas perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini.

4. Mengelakkan berlakunya penghijrahan tenaga mahir (Brain Drain) ke sektor swasta dengan pemberian insentif-insentif  tertentu.

5. Mewujudkan mekanisma khusus bagi mempercepatkan tarikh temujanji pakar untuk kes-kes yang serius.

6. Rakyat diberi hak mendapatkan kaedah perawatan yang terbaik bagi mereka.

Jaringan Profesional Muslim memberi sepenuh kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam menentukan nasib masa depan kesihatan rakyat ke arah yang lebih cemerlang.

Kita sudah serik dengan kegagalan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Umno/BN yang memerintah lebih dari 50 tahun.

Ini berpunca daripada budaya tidak sihat yang berlegar dalam Kerajaan Umno/BN, di mana mereka sudah hilang keupayaan mentadbir-urus dengan baik, tidak mampu menunjukkan contoh yang terpuji dalam pembahagian projek-projek negara, pembaziran kewangan yang melanda, rasuah yang bermaharajalela serta pelbagai kudis-kudis lain yang menghodohkan lagi wajah kerajaan UMNO/BN.

Sekian

Dr Wan Shah Jihan Wan Din
Sulaiman Ahklakan
Dr Ghazali Hasbullah
Muslim Professional Network

Tiada ulasan: