Rabu, 21 Mac 2012

BILA MELAPOR MENGUNTUNGKAN SEBELAH PIHAK..MENGELUARKAN KELEMAHAN2 SEBELAH PIHAK...KERANA ADA AGENDA TERSEMBUNYI..MEMANG TIDAK TELUS...MENYEBELAHI PIHAK YANG BERKUASA SERTA BERKEPENTINGAN HINGGA MENINDAS DIPIHAK YANG LAIN...NI BUKAN AJARAN ISLAM...MALAH ALLAH MELARANGKANNYA

Tanah rizab Melayu: Kelantan saman Utusan

Rizal Tahir, 21 Mac 2012




(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)

KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan (gambar bawah), Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

(Tiga Exco Kelantan dalam sidang media mereka hari ini)

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Pemuda PAS ucap tahniah pelajar cemerlang SPM

Harakahdaily, 21 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

“DPPM mengharapkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM ini akan terus melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading sehingga mendapat pencapaian terbaik di peringkat yang tertinggi,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, negara dan rakyat di negara ini amat berbangga dengan pencapaian cemerlang mereka hari ini dan berharap mereka akan terus mengejar cita-cita mereka yang telah disemai.

Tambahnya, di tangan mereka harapan rakyat dan negara diletakkan bagi membela bangsa dan generasi akan datang.

“Kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah pengakhiran segalanya, tetapi ia adalah permulaan bagi melakar kejayaan yang lebih cemerlang di masa akan datang.

“Ia juga bukan suatu kegagalan buat mereka yang tidak memperolehi keputusan cemerlang, tetapi sebagai suatu musahabah buat membina langkah kejayaan di masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Adalah difahamkan seramai 468,808 calon menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Daripada hasil keputusan yang diumumkan kerajaan, seramai 559 calon SPM memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding pada tahun 2010.

Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 juga bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010

Daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010

SPM: 3 pelajar Maahad Perempuan dapat 12A

Salmah Mat Husain & Yusri Amin, 21 Mac 2012

KOTA BHARU, 21 Mac: Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) dan Maahad Muhammadi Lelalki berjaya mengekalkan keputusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan hari ini.

Seramai 24 pelajar MMP mendapat semua A berbanding 18 orang pada tahun 2010. Manakala calon mendapat 12A seramai tiga orang.

Pelajar terbabit iaitu Aisyah Nazurah Ubaidah (10A+, 2A), Nazihah Mohd Daud (7A+, 5A) dan Nur Mardia Mazri (7A+, 5A).

Manakala pelajar yang mendapat 10A+ iaitu Izzah Hameeda Zamani (10A+, 1A) dan Aisyah Nazurah berbanding tiga orang pada 2010, manakala calon mendapat 9A+ seramai 4 orang berbanding 2 orang pada 2010.

Pengetua MMP, Ustaz Mohd Mansor Daud berkata, seramai 23 pelajar mendapat 11A berbanding 14 pelajar (2010), manakala 15 pelajar mendapat 10 A meningkat berbanding 11 pelajar pada 2010.

“Calon mendapat  9A pula seramai 18 orang. Jumlah calon mendapat 9 A dan ke atas seramai 57 orang berbanding 54 pelajar pada 2010,” katanya ketika mengisytiharkan keputusan peperiksaan tersebut.

Menurutnya pencapaian tersebut merupakan yang terbaik dan tertinggi setakat ini. Seramai 391 pelajar MMP menduduki peperiksaan SPM tahun lepas.

Manakala seramai enam pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mendapat 11 A. Pelajar terbabit iaitu Afif Akram Jusoh dan Abdul Muhaimin Hamzah masing-masing mendapat 10A+1A.

Turut mendapat keputusan 11 A, Ameer Firdaus Zulkifli, Muhammad Aiman Abdullah, Nik Mohammad Nasir Nik Mohd Manan dan Mohd Ikhwan Zulkifli.

Sekolah terbabit turut mengekalkan keputusan 100 peratus dalam peperiksaan tersebut. Seramai 248 calon menduduki peperiksaan berkenaan.

Keputusan peperiksaan itu diumumkan mudirnya, Ustaz Che Kamarudin Kamil Mohamed.

Ekoran kejayaan itu enam pelajar berkenaan mendapat cenderahati khas dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah berkenaan sebanyak RM100 seorang.

Kamaruddin berkata, sekolah berkenaan mencapai peningkatan sebanyak 41.12 peratus berbanding sebelumnya 31.1 peratus.

Bagaimana kalau terjadi pada keluarga Ahmad Said

Anis Nazri, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Tindakan Yayasan Terengganu menarik balik pinjaman enam pelajar di Mesir menunjukkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak menyokong budaya ilmu.

Sebagai ketua kerajaan sebuah negeri, Ahmad sepatutnya menyokong pelajar-pelajar terbabit bagi melahirkan lebih ramai ilmuan bagi perkembangan budaya ilmu di negeri itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, berkata yayasan tersebut tidak mempunyai hak untuk menarik balik pinjaman pelajar-pelajar terbabit hanya kerana dikatakan menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0, Julai tahun lalu.

"Bagaimana seorang menteri besar boleh bertindak demikian tanpa memikirkan keperluan pelajar-pelajar tersebut yang kemungkinan akan 'melarat' di Mesir?  Bagaimana sekiranya keadaan yang sama terjadi kepada anaknya atau ahli keluarganya?" soal Azan yang juga merupakan Ketua PKR Terengganu.

Beliau mempersoalkan perkara tersebut pada sidang media, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak Ahmad agar menarik semula sekatan pinjaman tersebut, di samping membayar ganti rugi kepada keenam-enam pelajar terbabit.

Akhbar tempatan minggu lalu menyiarkan keputusan Yayasan Terengganu untuk menarik balik pinjaman enam pelajar negeri terbabit yang dipercayai menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Affandi Abd. Malik, memohon campur tangan
Kementerian Pengajian Tinggi berhubung isu tersebut.

Selain menyifatkan tindakan yayasan tersebut bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia, Affandi berkata tindakan itu juga seolah-olah tidak menghormati semangat keterbukaan yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, beliau menyerahkan surat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang disampaikan melalui Azan untuk mendesak campur tangan menteri berkenaan.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ketua AMK Terengganu, Al-Faisal Amjad.

SPR tidak berani bersihkan daftar pemilih

V Sivakumar, 21 Mac 2012
Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya berfungsi sebagai satu badan yang neutral. Ini adalah penting untuk menjamin keadilan dan ketelusan dalam pilihanraya yang dikendalikan olehnya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah  satu badan bebas yang memastikan pilihanraya dijalankan dengan betul dan ikhlas. Rakyat harus memberi kepercayaan penuh kepada suruhanjaya ini untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara. SPR perlu memastikan bahawa  sistem demokrasi tidak tercalar kerana penipuan dan langgar syarat pilihanraya.
Rakyat Malaysia kini tidak menaruh kepercayaan penuh terhadap SPR. Nyata  sekali badan ini tidak neutral dan dapat dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tindak-tanduk SPR sentiasa dipengaruhi dan dipimpin oleh Kerajaan Barisan Nasional. Dalam kata lain, SPR mengikut telunjuk Barisan Nasional dalam kebanyakan keputusan dan tindakannya.

Sering kali tindakan-tindakan SPR adalah berat sebelah seolah-olah mahu memastikan kemenangan kepada pihak Barisan Nasional. Ini akan menyebabkan pertarungan di gelanggan piliharaya begitu payah kepada Pakatan Rakyat. Bayangkan seorang pengadil yang berat sebelah dalam suatu permainan bola sepak. Sudah pasti satu pihak akan menghadapi tekanan yang keterlaluan manakala pihak yang satu lagi akan mengambil peluang dan kesempatan.

Rakyat mahu melihat satu pilihanraya yang adil dan saksama. Mereka telah membuat tuntutan melalui Perhimpunan Bersih. Jika SPR mahu bertindak secara adil maka tuntutan rakyat yang akan mengundi itu harus dikabulkan. SPR tidak seharusnya mencari alasan atau jalan lain untuk membantu Barisan Nasional yang memperolehi keuntungan dalam aturan yang sedia ada.

Banyak bukti dapat disenaraikan sebagai alasan untuk menganggap SPR tidak neutral dan mempunyai agenda tersendiri untuk membantu Barisan Nasional. Baru-baru ini kawasan mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diubah tanpa pengetahuannya. Mengubah kawasan mengundi seseorang tanpa pengetahuannya  adalah satu tindakan yang boleh mencemarkan lagi nama SPR. Pihak SPR harus memberi penjelasan yang sewajarnya berhubung dengan perkara ini. Jika kawasan mengundi seorang Menteri Besar boleh diubah tanpa pengetahuannya, maka terdapat sesuatu keganjilan dalam pentadbiran SPR.

Apakah tujuan SPR mengubah kawasan mengundi seseorang tanpa pengetahunnya? Adakah SPR mahu menghalang seseorang itu daripada mengundi apabila kawasan mengundinya ditukar jauh daripada kawasan asal? Pengundi seharusnya mengetahui dan bersetuju untuk mengubah kawasan mengundinya. Tambahan pula, perkara ini dikawal oleh peraturan bahawa kawasan mengundi yang didaftarkan seseorang itu adalah berdasarkan alamat di kad pengenalan.

Bagaimana boleh wujud lebih seratus orang pengundi di dalam satu alamat rumah yang sama tanpa pengetahuan suruhanjaya pilihanraya? Keadaan seperti ini wujud merata tempat di negara kita. Kenapa perkara ini tidak mahu diperbetulkan oleh SPR sebelum PRU13?

Daftar pemilih masih kotor dan perlu dibersihkan. Tetapi, tidak nampak sebarang usaha daripada pihak SPR untuk membersihkan daftar pemilih yang sedia ada. Persoalannya kenapakah SPR begitu degil untuk tidak membersihkan daftar pemilih itu? Bukankah pembersihan itu akan meningkatkan tahap kejituan dan mutu pilihanraya itu sendiri? Ini merupakan satu masalah yang serius mengenai daftar pemilih dan perlu ditangani dengan segera. Rakyat harus memberi tekanan kepada SPR supaya memastikan proses pengundian di negara kita tidak dinodai oleh anasir-anasir jahat yang gila kuasa.

V Sivakumar ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak yang juga Adun Tronoh.

Diskriminasi: Pekerja WestPorts jumpa MP Pakatan

Salmiyah Harun, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kesatuan Pekerja-pekerja WestPorts Malaysia Sdn Bhd meminta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat campur tangan kerana telah menjadi mangsa diskriminasi majikan.

Menurut, Presidennya Megat Zamri Megat Abdul Aziz, West Port bertindak menghalang pekerjanya daripada berkesatuan apabila ternyata mereka gagal menubuhkan kesatuan walaupun lebih 10 tahun bekerja di situ.

Malah katanya, terdapat 16 orang pimpinan dan ahli kesatuan telah ditamatkan perkhidmatan tanpa sebab dan alasan yang munasabah.

"Majikan sengaja mengatur perancangan untuk menyebabkan kesatuan kami sering menghadapi masalah," katanya.

Sepatutnya, jelas beliau, para pekerja juga bebas berkesatuan di mana ia adalah entiti yang sah di Malaysia sebagaimana diperuntukan dalam Akta Parlimen.

Jelas Megat, dalam pelabuhan-pelabuhan di Malaysia berkesatuan amat digalakkan malah majikan dan pekerja berkerjasama antara satu sama lain seterusnya mencapai penyelesaian dengan perbincangan dan kata sepakat.

Malangnya, kata Megat, WestPorts Sdn Bhd enggan berbuat demikian dan lebih mementingkan kuasa dan sering berperasangka buruk terhadap kaum pekerja yang berkesatuan.

"Majikan kami berniat negatif terhadap semua pemimpin dan ahli ahli kesatuan. Pada mereka sesiapa yang aktif berkesatuan semua hak-hak pekerja akan ditarik balik dan tidak mendapat kelebihan dalam perkhidmatan," katanya.

Kesatuan Pekerja WestPorts melahirkan kebimbangan apabila majikannya melakukan banyak pertikaian yang melibatkan pemimpin dan ahli-ahli kesatuan sementara menunggu enam bulan tempoh untuk undi sulit diadakan semula.

Sementara itu, salah seorang kakitangan WestPorts Mohd Salleh Hati melahirkan kekasalan apabila majikannya turut memecat beliau hanya kerana beliau membaca doa dalam satu majlis.

Justeru, Megat meminta Ahli Parlimen menggesa WestPorts memberi pengiktirafan kepada kesatuannya demi keharmonian industri pelabuhan di Malaysia dan kebajikan pekerja.

WestPorts merupakan pelabuhan yang mempunyai syarikat kontraktor perkhidmatan pelabuhan yang beroperasi 24 jam yang melibatkan lebih 6,000 pekerja termasuk 2,000 pekerja asing.

Tiada ulasan: