Ahad, 11 Mac 2012

KEADAAN AHLI POLITIK MACAM BUKAN BERADA DINEGARA SENDIRI...BEGITU SEMPIT FIKIRAN ORANG POLITIK DIMALAYSIA....

Nube hantar 5 surat, PM tak jawab

Mohd Nor Yahya, 11 Mac 2012
KOTA BHARU, 11 Mac: Sejak 2010 lima surat dihantar Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (Nube) untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malangnya tiada sebarang jawapan diberi bagi membolehkan pertemuan diadakan.

Naib Presiden Nube Kebangsaan, Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas kegagalan Perdana Menteri menerima kunjungan Nube.

Sedangkan katanya, pertemuan tersebut cukup penting bagi membincangkan pelbagai masalah dihadapi lebih 30,000 ahli Nube.

“Kami hairan mengapa PM sehingga kini enggan bertemu kami, sedangkan Maybank ialah bank milik kerajaan. Masalah kami sudah lama berlarutan.

“Pelbagai tuntutan yang kami buat dan kini ia seolah-olah menggalakkan bank-bank perdagangan lain juga mengikut langkah sama,” katanya selepas majlis Himpunan Solidariti Nube Kelantan dan makan malam di sebuah hotel di sini, malam semalam.

Majlis makan tersebut turut dihadiri anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Wan Ubaidah Omar.

Baru-baru ini Nube membuat laporan polis terhadap pihak pengurusan Maybank kerana membuang dua ahli Nube yang juga pegawai bank berkenaan.

Pada Jumaat lalu anggota Nube juga mengadakan piket di hadapan Maybank Jalan Mahmood di sini.

(Ikuti maklumat lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

PRU13: PAS Johor kemuka 3 calon DHPP

Salmiyah Harun, 11 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS Johor mengemukakan tiga nama calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kepada PAS Pusat untuk menentukan siapa yang akan bertanding dalam PRU13 nanti.

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), nama-nama berkenaan sudah dihantar kepada PAS Pusat awal Januari lalu.

Tambahnya, salah seorang calon yang dipilih itu nanti akan mengisi kerusi yang pernah dipertandingkan pada pilihan raya 2008.

"Setakat ini kita hanya kemukakan satu kerusi untuk diberi kepada DHPP, dan terpulang pada PAS Pusat untuk memuuskan calon DHPP yang layak untuk kali ini,"katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya sama ada PAS Johor kemukakan calon dari kaum India atau Cina, Mahfodz berkata mereka cuba mencari dua calon berkenaan bagaimanapun sehingga kini cuma ada satu kaum sahaja.

Bagaimanapun katanya, langkah itu jelas membuktikan pimpinan Pas mempunyai hubungan erat bersama DHPP di negeri Johor sekali gus serius untuk mengecap kemenangan kerusi yang dipertandingkan.

“Saya yakin dengan hubungan erat antara pucuk pimpinan PAS Johor dengan DHPP negeri akan membolehkan kita (PR) khususnya PAS mengubah fikiran rakyat untuk bersama pakatan pembangkang sekali gus memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam PRU13,” katanya.

Dalam PRU-12 lalu, PAS Johor meletakkan calon wanita, Kumutha Raman,  pemegang ijazah undang-undang dari Britain bertanding di Dun Tiram.

Pencalonan Kumutha itu membuktikan PAS turut memberi tempat kepada penyokong bukan Islam untuk turut mewakili parti itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional yang juga penasihat DHPP Dr Mujahid Yusof Rawa menyasarkan enam negeri meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Negeri berkenaan ialah Selangor, Johor, Perak dan Kedah di samping Sarawak dan Sabah.

DHPP mempunyai keahlian seramai 20,000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2005.

Oki Setiana Dewi pilih Kelantan lancar buku

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 11 Mac 2012
KOTA BHARU, 11 Mac: Oki Setiana Dewi yang memilih Kelantan sebagai destinasinya untuk melancarkan buku keduanya ‘Sejuta Pelangi’ ternyata berbaloi apabila lebih 1,000 peminatnya mengunjungi majlis pelancaran itu.
Dewan Perpustakaan Awam penuh sesak dengan peminat Oki termasuk Kelab Peminat Oki Setiana Dewi hampir seluruh negara turut hadir pada majlis pelancaran itu.

Walaupun Oki melancarkan Sejuta Pelangi, namun buku pertamanya Melukis Pelangi turut menjadi tarikan peminatnya sehingga buku berkenaan turut dibeli.

Oki ternyata tidak jemu menandatangani hampir kesemua buku yang dibeli peminatnya, walaupun kelihatan wajahnya begitu letih selepas tiga hari berada di negeri Tadahan Wahyu yang mula dicintainya itu.

Oki dalam ucapannya memberitahu, setiap pengalamannya yang dilalui sebagai seorang model, artis beliau kongsi dalam setiap buku yang dituliskan.

“Mudahannya ianya dapat menjadi iktibar pada semua lapisan masyarakat untuk dijadikan iktibar,” ujarnya.

Sementara itu, pihak penganjur, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, ketika berucap pada majlis pelancaran itu, melahirkan rasa syukur memandangkan Oki menerima undangan ke negeri Kelantan.

Sambungnya, bukan sahaja Kelantan sebagai negeri pertama yang dikunjunginya di negara ini, sebaliknya menjadikannya sebagai tempat untuk melancarkan buku ‘Sejuta Pelangi’.

Amir Riduan, salah seorang rakan peminatnya dari Pulau Pinang, berkata beliau mengambil cuti selama dua hari bersama keluarga untuk mengikuti program Oki.

Anak Kelahiran Pulau Mutiara itu melahirkan rasa syukur kerana berkesempatan melihat dari dekat artis pujaan ramai yang diminati pelbagai peringkat usia.

Shahrizat undur tidak kembalikan RM250 juta

Harakahdaily, 11 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 11 Mac: Biarpun menyambut baik pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri, namun PAS mengingatkan rakyat bahawa pengunduran itu tidak mampu mengembalikan semula wang yang dipinjam RM250 juta.

Naib Presdien PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengunduran Shahrizat yang hanya selepas tamat tempoh senator itu juga, tidak mampu memadamkan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang masih tidak ada sebarang penjelasan.

"(Datuk Seri) Najib tak sambung Shahrizat dengan harapan dapat buang beban yang ditanggung Umno BN.

"Tapi dengan letak jawatan sahaja, tak upaya memulangkan kembali wang rakyat RM250 juta yang dipinjam. Isu ini tetap jd beban kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat hari ini yang mahu berundur sebagai menteri Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan April ini.

Beliau bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Beban beralih kepada Muhyiddin

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu NFC bukan isu pribadi yang hanya melibatkan Shahrizat, tapi ia berkait soal integriti sebuah kerajaan.

Rakyat ujarnya masih menantikan penjelasan bagaimana dana ratusan juta itu boleh diberikan oleh kerajaan kepada syarikat milik keluarga Shahrizat yang diketahui tidak bepengalaman.

"Ini soal integriti kerajaan dan (Tan Sri) Muhyiddin juga bertanggungjawab kerana beliau menteri pertanian ketika itu yang mempengerusikan jawatankuasa pemilih yang memberikan projek itu kepada syarikat milik keluarga Shahrizat.

"Bersediakan Najib tubuh suruhanjaya diraja siasat timbalannya Muhyiddin," cabar Mahfuz.

Memahami konsep parti yang berkuasa

Dr Mujahid Yusof Rawa, 11 Mac 2012
Tindakan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bukanlah sesuatu yang pelik, ia merupakan satu pendekatan bagi memastikan konsep parti yang berkuasa dapat dilaksanakan dalam bentuknya yang positif.

Ramai yang salah anggap bahawa konsep parti yang berkuasa adalah sesuatu yang buruk, ada pula penulis upahan menganggap tindakan PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu semacam satu keadaan untuk mengurangkan kuasa MB malah menuduh apa yang dibuat sebagai model parti komunis yang mahu menguasai pentadbiran secara rigid.

Saya yakin penulis upahan yang menulis dalam Berita Harian itu beberapa hari yang lalu samada tak faham konsep atau sengaja nak tunjukkan pada tuannya yang dia setia dan terpaksa menunjukkan 'kebodohannya' walaupun bergelar doktor falsafah.

Parti politik berperanan antara lainnya bertanding dalam pilihanraya dan apabila menang ia berperanan menjadi kerajaan. Tarikan sokongan kepada parti yang bertanding ialah manifesto dan kekecewaan pengundi kepada parti yang memerintah sebelumnya.
Menjadi tanggungjawab parti yang menang melaksanakan manifesto yang ditawarkan dalam kerangka sistem pentadbiran yang ada, sebagaimana parti yang menang juga bertanggungjawab membentuk budaya pentadbiran bersesuaian dengan apa yang dilaungkan seperti, urus kelola kewangan yang bijak, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Oleh kerana parti yang mempromosikan semua tawaran-tawaran ini dan bukan individu maka adalah normal parti yang menguasai kerajaan memastikan manifesto yang ditawarkan dijalankan secara yang terbaik dan berkesan.

Ia boleh berlaku dalam berbagai bentuk, pertama melalui kepimpinan ahli majlis permesyuaratan negeri, kedua ialah melalui semak imbang dalaman dimainkan peranannya oleh mekanisma parti.

Kedua-dua pendekatan tersebut mendapat kewajarannya dari konsep parti yang berkuasa dan apabila dirasakan perlu kepada pengukuhan maka jawatankuasa khas boleh memainkan peranannya.

Kes di Kedah adalah dari keperluan ini dan ia bukan sesuatu yang negatif tetapi pendekatan ini memastikan janji tawaran kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Soal kuasa MB dikurangkan atau seumpanya adalah kenyataan politik yang tidak ada asas akademik mahupun realiti amalan pentadbiran negeri yang dipakai selama ini.

Peliknya mengenai penulis upahan ini ialah ia seolah-olah jahil bahawa BN turut mengamalkan konsep yang sama tetapi tidak pula mengkritik bagaimana konsep ini disalahgunakan dalam bentuknya yang melampau batas.

Contoh amalan negatif konsep ini yang diamalkan oleh BN ialah campurtangan pentadbiran dengan membentuk sistem penapis politik yang mengurangkan kewibawaan pentadbiran awam.

Banyak sekali aduan yang kita terima daripada kakitangan awam yang dipantau parti yang memerintah malah mengugut mereka yang mempunyai pilihan politik tertentu.

Hak memilih selera politik masing-masing bukan termasuk dalam skop kerja tetapi diceroboh oleh Umno dan BN sehingga wujudnya politik ugut mengugut oleh Umno dan BN.

Apabila kita menimbulkan persoalan ini, Umno mewajarkannya dengan konsep parti yang berkuasa. Begitu juga penafian peruntukkan untuk ahli parlimen pembangkang, mereka mewajarkan dengan konsep parti yang memerintah di peringkat federal dan ia ditentukan atas dasar tersebut.

Inilah konsep parti yang berkuasa diamalkan secara destruktif oleh BN, mengapa penulis upahan tidak menyentuhnya? PAS cuma mahu memastikan supaya rakyat mendapat yang terbaik dan ia melakukannya dengan hak yang ada padanya secara politik, sesuatu yang ia dapat dalam mandat rakyat pada PRU ke 12 baru ini.

Parti yang berkuasa mestilah diamalkan secara berperinsip dan jelas batas yang boleh diceburinya melalui mekanisma parti. Melalui amalan politik berideologi yang dipakai di Malaysia konsep parti yang berkuasa semakin menjadi keperluan, begitu juga dalam ruang demokrasi sempit yang diamalkan di Malaysia konsep ini menjadi penyelamat untuk terus menguasai keadaan.

Lainlah kita bersedia untuk melangkah kepada politik pragmatik dan bukan berasaskan ideologi dan ruang demokrasi lebih luas maka mungkin konsep parti yang berkuasa akan didefinisikan semula mengikut kadar keperluannya waktu itu.

Namun secara praktikalnya hari ini konsep parti yang berkuasa perlu dilanggani secara cermat dan batasannya mesti digariskan dengan jelas sehingga tidak menjejaskan urusan harian kerajaan negeri.

Kawalan yang positif ialah kepada dasar-dasar dan polisi pentadbiran agar tidak lari dari kerangka manifesto dan falsafah yang diperjuangkan selama ini, ia lebih kepada semak-imbang mekanisma parti.
Apa yang perlu kita bangkang ialah campurtangan parti kepada pentadbiran dan keputusan-keputusannya dengan sistem penapisan yang menggugat profesionalisma dan merendahkan kewibawaan pentadbiran.

Kita juga mesti menentang budaya ugut politik atas kewajaran kuasa sehingga timbul budaya takut dan sekaligus menjejas prestasi. Malangnya semua amalan destruktif konsep parti yang berkuasa tidak pernah diketengahkan oleh penulis-penulis upahan ini dan hanya melihat isu Jawatankuasa Pemandu untuk menyerang Pas.

Bagi saya Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh PAS Pusat adalah inovasi terbaik bagi membuktikan konsep parti yang berkuasa secara berperinsip. Syabas!
-----------------------------------

Penulis adalah anggota Parlimen Parit Buntar dan AJK PAS Pusat. Beliau mempunyai ijazah doktor falsafah dalam pengurusan organisasi.

Mazlan Aliman ditahan, dihalang masuk Sabah

Harakahdaily, 11 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) hari ini dihalang dari memasuki Sabah.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, beliau ditahan oleh pegawai Imigresen selepas tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kira-kira jam 8.45 malam ini.

"Saya tiba di lapangan terbang kira-kira jam 8.45 tadi, tiba-tiba saya ditahan tanpa sebarang alasan.

"Saya diberitahu ianya arahan pihak berkuasa kerajaan negeri," katanya.

Difahamkan beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat bersama 10 lagi anggota jawatankuasa ke Sabah untuk lawatan kerja.

"Yang lain semua boleh masuk kecuali saya seorang sahaja yang ditahan," katanya yang kini ditahan di pejabat Imigresen di lapangan terbang itu.

Beliau mendakwa dihalang masuk di bawah seksyen 65(1) Akta Imigresen 1959.

Beliau memaklumkan akan membuat satu laporan polis di sana selepas berhubung dengan peguamnya.

Tiada ulasan: