Ahad, 11 Mac 2012

PE DE HAIRAN MAKHLUK TAK MAU JUMPA KITA...IA MAKHLUK AJE...SAMPAI AJAL MATI JUGAK...JANGAN SAMPAI ALLAH TAK MAU JUMPA KITA LAGI TERUK.....

Tuduhan Mustapa Mohamed meleset lagi

M Faqih, 11 Mac 2012
KOTA BHARU, 11 Mac: Mungkin agak memalukan apabila seorang berjawatan menteri melemparkan tuduhan tak berasas dengan mendakwa ada tempat tiada bekalan air di bandar ini.

“Saya dimaklumkan peniaga di gerai Flat Buluh Kubu tidak mendapat bekalan air menyebabkan terpaksa menggunakan telaga boring,” kata Datuk Seri Mustapa Mohamed, seperti dilaporkan media hari ini.

Sedangkan maklumat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan sebanyak 327 akaun di Flat Buluh mendapat bekalan air yang mencukupi.

Pengurus Besarnya, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, jumlah penggunaan air di enam blok flat tersebut iaitu sebanyak 12,095 meter padu pada Febuari 2012.

“Flat Buluh Kubu ada enam blok bangunan dengan bilangan akaun sebanyak 327. Ini bermakna setiap akaun menggunakan sebanyak 37 m3 bagi tempoh tersebut.

“Malah paras air tangki bawah di blok ke-6 ialah 2.2 meter. Ini secara jelas air menggambar yang dibekalkan kepada pengguna di situ mencukupi bagi keperluan harian mereka,” katanya di sini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa ketiadaan bekalan air di Flat Buluh Kubu amat memalukan kerana ia terletak di tengah-tengah bandar.

Pada Febuari lalu Mustapa juga mendakwa pinjaman RM600 juta projek bekalan air yang dilulus kerajaan pusat tidak perlu dibayar balik, sedangkan AKSB sudah membayar pinjaman tersebut sejak 2008.

Ekoran kenyataan tersebut Pemuda PAS di Jeli membuat laporan polis terhadap pemimpin Umno terbabit kerana cuba membohongi rakyat Kelantan.

Hanapi juga berkata, tidak berbangkit sama sekali dakwaan Penasihat Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali kononnya berlaku penyelewengan dalam urus tadbir AKSB.

Katanya, dakwaan kononnya AKSB akan mengalami kerugian RM130 juta tidak berasaas kerana peruntukan tersebut merupakan projek air tidak berhasil (NRW) yang dijalankan sejak 2008.

“Peruntukan projek berkenaan dilulus kerajaan pusat melalui Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air bagi mengatasi NRW di Kelantan,” katanya.

Menurutnya projek tersebut termasuk menukar sebanyak 80,000 meter lama kepada meter pintar bagi memastikan ketepatan bacaan.

Kata beliau sudah menjadi peraturan bagi setiap operator air, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun perlu ditukar memandangkan terdapat kandungan ion sehingga menyebabkan meter berkarat.

Katanya, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun akan kehilangan ketepatan bacaan sehingga 40 peratus.

“Sehingga sekarang sebanyak 60,000 meter lama sudah ditukar. Projek NRW dijangka selesai pada Ogos hadapan. Dan selepas itu tempoh setahun diberi bagi kerja-kerja pemantauan.

“Selepas tempoh itulah baru kita dapat lihat kesannya bagi mengurangkan NRW ke tahap yang minimum,” ujarnya.

Himpunan desak mansuh segera PPSMI April depan

Anis Nazri, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan menggerakkan satu himpunan rakyat bagi mendesak kerajaan menyegerakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Himpunan yang dirangka pada awal April itu akan diadakan di Pagoh, Johor sebagai langkah awal menggerakkan semula bantahan berhubung dasar tersebut.

Pengerusi GMP, Prof Shahril Md Zin, berkata bantahan terhadap dasar itu perlu dihidupkan memandangkan tidak nampak usaha kerajaan bersungguh-sungguh untuk memansuhkannya segera.

"Walaupun kerajaan mengumumkan dasar PPSMI ini akan dimansuhkan, kebelakangan ini kita mendapati seolah-olah ada gerakan daripada pihak-pihak tertentu yang ingin menghidupkan semula dasar ini," dakwa beliau ketika berucap di Himpunan Ulangtahun Ketiga PPSMI, di Madrasah Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Gombak, hari ini.

Perkara itu, dakwa beliau boleh dilihat saban hari melalui akhbar The Star yang sering memainkan isu agar kerajaan memikirkan semula pelaksanaan dasar tersebut.

Atas sebab itu, Shahril beranggapan perjuangan GMP selama ini boleh dianggap tercapai hanya sekitar 60 peratus sahaja, sekaligus memerlukan lebih banyak usaha ke arah pemansuhan segera dasar tersebut.

Tambah Shahril, GMP bukan sahaja meminta kerajaan memansuhkan dasar PPSMI tersebut, tetapi dalam masa sama mengembalikan martabat bahasa Melayu yang sudah sekian lama dipinggirkan.

Himpunan hari ini diadakan bagi mengingati sejarah perjuangan rakyat bersama GMP pada 10 Mac 2009, yang menyaksikan ribuan rakyat yang menyertai himpunan mansuh PPSMI di ibu kota disembur dengan gas pemedih mata dan 'water cannon' oleh pihak berkuasa.

Selain Shahril, turut memeriahkan majlis hari ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Setiausaha GMP, Hasni Abas; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dr. Awang Sariyan.

Selain ucapan para penggiat bahasa, majlis himpunan ini turut memberi ruang kepada penggiat seni untuk menzahirkan pendapat mereka tentang dasar PPSMI seperti deklamasi sajak oleh Dinsman.

Acara kemuncak bagi himpunan ini ialah pelancaran Madrasah Seni, dan pelancaran buku baru Dinsman, Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, oleh Pak Samad yang akan diadakan malam ini.

Pemuda PAS Sarawak sokong bela tanah rakyat

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, bahawa PAS Sarawak menyokong penuh usaha yang dilakukan sebuah badan NGO dari Sabah, Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terutama yang berkaitan tanah rakyat.


“Pemuda PAS Sarawak menyokong penuh Himpunan 123 Bangkit kerana kami menganggap situasi penindasan yang dilakukan oleh pemerintah di Sabah sama dengan situasi di Sarawak,” kata ketuanya, Mohammad Arifiriazul Paijo dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang luas tanahnya dikurniakan Allah SWT dan kepadatan penduduknya amat rendah.

Oleh yang demikian, kata beliau sepatutnya rakyat Sabah dan Sarawak tidak menghadapi masalah ketiadaan pemilikan tanah yang sah.

Sebaliknya, ujar beliau kekayaan dan keluasan tanah di Borneo itu hanya dibahagi-bahagikan kepada syarikat-syarikat besar dengan alasan menjana ekonomi negeri.

Namun, tambahnya hasil kekayaan dan penjanaan ekonomi itu tidak dirasai sepenuhnya oleh rakyat.

Justeru, jelasnya Pemuda PAS Sarawak menyokong penuh gerakan rakyat Sabah untuk menuntut hak tanah mereka dalam Himpunan 123 Bangkit pada 12 Mac ini.

Pemuda PAS lancar Tabung Kemanusiaan

Muhammad Faizal, 10 Mac 2012
GOMBAK, 10 Mac: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan hari ini menjelaskan pihaknya melancarkan Tabung Kemanusian.


Jelasnya, tabung tersebut bagi membantu keluarga imam Hoslan Hussin, 46, yang dihukum penjara setahun akibat tindakan beliau melempar selipar kepada hakim.

"Kita hari ini telah melancarkan tabung kemanusiaan bagi membantu keluarga imam tersebut, yang mana pendapatan beliau tidak dapat menampung isteri dan anak-anaknya sepanjang beliau dipenjara," katanya.

Nasruddin berkata, hukuman yang dikenakan terhadap imam tersebut tidak setimpal dengan apa yang dilakukan.

"Kita berharap mahkamah meneliti semula hukuman dikenakan, dan ia dilihat tidak setimpal yang mana bekas Menteri Besar Selangor sebelum ini juga dikenakan penjara setahun sedangkan ia melibatkan rasuah jutaan ringgit.

"Tetapi imam yang hanya lempar selipar kerana keliru dengan keputusan, bagi saya di luar kawalan beliau juga dikenakan setahun penjara, rasanya itu tidak adil dari segi pelaksanaan hukuman," jelasnya.

Tambahnya, mahkamah perlu memberi hukuman yang lebih ringan ke atas Hoslan.

Hoslan yang bertindak membaling sepasang selipar ke arah tiga hakim dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu setelah didapati bersalah menghina mahkamah.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan tiga panel hakim itu berkata hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.

Nasrudin juga memberitahu, pihaknya akan membantu seorang warga emas yang ditinggalkan di sebuah hotel bajet di ibu negara.

Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.

Sumbangan boleh diberikan melalui Tabung Kemanusian Pemuda PAS (564025400100 - Maybank).

Erykah: The Star enggan jumpa Pemuda PAS

Muhammad Faizal, 10 Mac 2012
GOMBAK, 10 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberitahu pihaknya telah menerima jawapan daripada akhbar The Star berhubung pertemuan bagi membincangkan isu Erykah Badu yang diterbitkan oleh akhbar berkenaan.

Ketuanya, Nasruddin Hassan memberitahu Harakahdaily jawapan tersebut diterima melalui faks semalam.

"Mengenai cadangan pertemuan DPPM dengan Ketua Pengarang dan Pengarang akhbar The Star seperti mana yang kita putuskan pada 5 Mac yang lalu, pihak DPPM telah menerima maklum balas mengatakan mereka tidak bersedia untuk bertemu.

"Pihak akhbar The Star tidak menyatakan lebih terperinci kenapa mereka enggan menerima pelawaan tersebut dan mereka hanya mengatakan belum bersedia, jawapan kita perolehi semalam melalui faks," jelasnya.

Nasruddin turut menyatakan cadangan pertemuan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad belum mendapat kata putus sehingga sekarang.

"Manakala pertemuan dengan Tun Mahathir kita belum menerima jawapan lagi kerana kita dimaklumkan bahawa beliau berada di luar negara.

"Walaupun cadangan pertemuan itu pada 12 Mac tetapi pihak DPPM bersedia jika Tun Mahathir mempunyai cadangan untuk meminda pada tarikh lain termasuk juga bentuk pertemuan tersebut," sambungnya lagi.

Pada 5 Mac lepas DPPM telah mengutuskan surat kepada akhbar The Star dan Mahathir bagi membincangkan isu-isu yang menjadi kontroversi di negara ini.

Perbincangan dengan The Star mengenai kemasukan penyanyi antarabangsa Erykah Badu yang telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam kerana terdapat tatu perkataan 'Allah' di dadanya.

Tun Mahathir pula terhadap hukum hudud yang mana sebelum ini beliau mengatakan hudud tidak ada di dalam Al-Quran.

Tiada ulasan: