Khamis, 22 Mac 2012

APA NAK DITAKUTKAN KEJAYAAN MUSUH@PEMBANGKANG...KITA PATUT TAKUT DIMAHKAMAH ALLAH..SEMUA DISOAL SIASAT...TAK BOLEH LARI...SABIT BUAT MUNGKAR...JAUH DARI MELAKSANA ISLAM...MAKA NERAKA LAH TEMPATNYA,,,

Kelantan paling selamat, Khalid MB terbaik - Guan Eng

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, negeri Pakatan yang paling selamat adalah Kelantan diikuti oleh Selangor dan selepas itu baru Pulau Pinang.

Ini kerana Kelantan sudah 22 tahun berada di bawah pentadbiran PAS, kata Lim Guan Eng kepada The Malaysian Insider.

Selepas ketiga-tiga negeri itu, beliau meramalkan Kedah kerana negeri itu dilanda krisis baru-baru ini.

Bagi Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor adalah menteri besar yang terbaik.

"(Tan Sri) Khalid (Ibrahim) adalah menteri besar dan ketua menteri yang paling smart di negara ini dan dia lebih kuat berbanding dengan apa yang kita lihat sebenarnya.

“Ini sangat jelas kelihatan dalam sebarang mesyuarat dan saya fikir Selangor lebih kuat dari apa yang kita dilihat," kata Guan Eng.

Beliau berkata demikian bagi menolak andaian sesetengah pihak bahawa Pulau Pinang yang beliau pimpin adalah deposit selamat untuk Pakatan Rakyat.

Anggota Parlimen Bagan itu diserang hebat oleh ahli politik dan blog BN apabila dia dikatakan berkata Barisan Nasional boleh memakan 'telur' di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak kata mereka akan makan 'telur'. Saya kata, jika kita kerja kuat dan kita dapat 90 peratus undi bukan Melayu dan 40 peratus undi Melayu, barulah mereka 'makan telur'. Tetapi itu agak sukar," kata Lim Guan Eng.

Beliau berkata, wartawan telah melaporkan kenyataannya itu di luar konteks kerana dia juga berkata kepada penyokongnya dalam majlis kutipan dana itu, "jangan ambil mudah yang kita akan menang kerana tiada jaminan dalam politik."

"Saya bagi senario terbaik dan senario paling buruk.  Untuk senario paling buruk kita akan kalah, untuk senario terbaik, kita akan menang semua.

"Tetapi adakah anda fikir kita akan dapat yang terbaik atau terburuk. Saya rasa tidak. Kita akan dapat yang pertengahan antara kedua-duanya tetapi kerja kena buat untuk mencapai yang terbaik," jelasnya.

Banyak pihak memuji pencapaian Pulau Pinang tetapi bagi Guan Eng, Selangor juga membuat pencapaian yang baik.

Beliau juga menolak dakwaan Umno kononnya rakyat Kelantan sudah bosan dengan kekurangan pembangunan di Kelantan di bawah PAS.

"Mereka lebih letih dengan rasuah," katanya dengan memberikan contoh kes ketua wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya yang menyalahgunakan pinjaman kerajaan sebanyak RM250 juta untuk kepentingan keluarganya.

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Selepas sehari dilancarkan, Tabung Pembinaan Surau Shanghai telah berjaya mengumpulkan RM6,591 hasil sumbangan orang ramai.
(Gambar fail...Tuan Ibrahim bersama penduduk tempatan dan pemimpin PAS yang lain memacak kayu sebagai tanda pembinaan surau pulau Shanghai 31 Disember 2011 lalu)

Setiausaha Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, sumbangan itu diterima setakat jam 6.30 petang tadi.

Ia hasil sumbangan orang ramai secara langsung di samping kutipan dalam program Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS sendiri.

Lajnah itu pada 31 Disember lalu dalam ekspedisinya ke Sabah telah berjanji akan membina sebuah surau di pulau Shanghai, Sandakan, Sabah.

Keputusan ini diambil memandangkan pulau ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas samada masjid, surau, dewan orang ramai, kemudahan air bersih dan letrik.

Ternyata pulau ini terus terabai dari arus pembangunan negara dalam keghairahan pemimpin melaungkan negara maju menjelang 2020, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi lajnah berkenaan yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

"Sehubungan itu kami merayu kepada para dermawan untuk turut menyumbang bagi menjayakan hasrat pembinaan Surau tersebut.

"Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dan mengampuni dosa sebagaimana yang dijanjikan," kata Tuan Ibrahim.

Semalam satu akaun telah dibuka di Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Surau Shanghai dengan nombor akaun 14041010080138.

Ekoran itu, sumbangan mula diterima dari orang ramai  bagi menjadikan cadangan pembinaan surau ini satu realiti.

Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS menjangka, tapak asas surau ini akan dibina pertengahan bulan April nanti apabila pimpinannya turun semula ke sana nanti.

8 iktibar selepas 8 tahun Ahmad Yaasin syahid

Nik Nasri Nik Malek, 22 Mac 2012
Hari ini (22 Mac 2012) genap 8 tahun perginya Sheikh Ahmad Yaasin sebagai seorang syahid. Secara ringkas, kita mengambil 8 iktibar dari kesyahidannya:

1. Kematian adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke akhirat adalah pasti. Soalnya, mati itu bagaimana? Ada yang mati sebagai pemimpin zalim yang dibenci. Ada yang mati sebagai selebriti yang ditangisi tetapi hakikatnya ia menangisi dirinya sendiri. Ada yang mati sebagai hamba Allah yang sejati. Dan ada yang syahid, rohnya riang gembira di syurga  walaupun jasadnya berderai merata dan darahnya memenuhi bumi. Assyahid Sheikh Ahmad Yaasin meninggal hari Isnin dalam keadaan berpuasa, awal subuh dinihari.

2. Jika Allah menyayangi anda, Allah akan memberikan husnulkhatimah buat anda. Tiada kesudahan paling baik melainkan mati syahid. Kurang sedikit, mati dalam situasi taatkan Allah secara umum.

3. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya dan Islam. Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang besar. Lebih 200 ribu mengiringi jenazahnya. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kematiannya. Majlis Keselamatan PBB mengutuk pembunuhannya. Kerajaan Arab juga demikian. Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya. Sheikh Ahmad Yaasin bukannya menteri, tidak juga raja atau pembesar tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

4. Permusuhan dan pertembungan kita dengan Yahudi yang memusuhi kita, regim Zionis dan semua proksi mereka adalah berterusan sekalipun pelbagai perjanjian ditandatangani, pelbagai persidangan dan seminar dilihat di tv dan pelbagai kata manis dari Amerika dan Eropah dijanji.

5. Sekalipun umat Islam lemah, hanya melihat pemimpin gerakan Islam mereka dibunuh, atau hanya mampu berdemonstrasi menyatakan kebencian kepada musuh, namun untuk menyerah kalah, menggadaikan prinsip perjuangan, mengiakan segala perjanjian zalim dengan regim yang zalim tidak sekali.

6. Untuk menggerakkan ummah, tidak perlu kelayakan akademik yang tinggi-PhD, MA, BA atau jawatan-jawatan yang hebat. Bacalah kelayakan akademik As-syahid Sheikh Ahmad Yaasin yang sederhana sahaja.

7.  Peranan musuh dalam selimut sangat bahaya. Tidak mungkin Sheikh Ahmad Yaasin boleh dibunuh sedemikian rupa seperti pemimpin Palestin yang lain, kalau tidak dengan kerjasama dan maklumat dari ‘orang dalam’ atau dari kalangan munafiq dalam masyarakat Islam itu sendiri.

8. Perjuangan Islam tidak terhenti dengan syahid dan matinya pemimpin. Rasulullah SAW wafat, para sahabat meninggal, para ulama dan pejuang Islam terdahulu telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah. Nabi SAW memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlaku antara 2 ketentuan-menang atau syahid.

Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

MTUC dakwa kementerian rosakkan kesatuan sekerja

Salmiyah Harun, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Kementerian Sumber Manusia antara yang bertanggungjawab merosakkan kesatuan sekerja di dalam sesebuah organisasi sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan berkata, pelbagai masalah sedang menyelubungi pekerja termasuk mereka dihalang untuk berkesatuan.

"Apa sistem perundangan yang ada dalam negara ini? Semua ini perbuatanKementerian Sumber manusia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Ekoran itu, MTUC hilang kepercayaan kepada Menteri Sumber Manusia kerana dia seolah-olah hendak menghapuskan pekerja yang berkesatuan.

"Apabila pekerja dihalang berkesatuan, bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan majikan bahkan akan mengundang kemerosotan mutu kerja," kata beliau.

Jelasnya, pekerja yang tidak berkesatuan khususnya dalam sebuah organisasi besar seperti syarikat GLC sudah tentu tiada siapa yang akan membela mereka sekiranya majikan bertindak sewenang-wenangnya terhadap pekerja.

"Kalau kita tengok masalah ini juga berlaku dalam MAS di mana MAS juga mempunya kesatuan dalam masa yang sama ada pula kesatuan lain seolah-olah majikan hendak melaga-lagakan antara pekerja," katanya.

Ini juga katanya terjadi kepada pekerja WestPorts Sdn Bhd ternyata majikannya adalah anti pekerja.

Khalid berkata, kerajaan yang tidak serius terhadap masalah pekerja kerana tidak ada sebarang pindaan terhadap undang supaya lebih adil kepada pekerja dan majikan.

"Malangnya, kerajaan membiarkan majikan yang ada hari ini menyusahkan, sistem penubuhan kesatuan dalam mana-mana syarikat yang memihak kepada mereka, benar pula tubuh union dalam syarikatnya," ujarnya.

Keadaan itu juga, katanya berlaku di dalam syarikat British Tobacco yang di mana kesatuan BATIU yang mewakili 40 tahun pekerja di situ turut dipertikaikan majikannya akhirnya kesatuan itu mati begitu sahaja.

"Inilah masalah besar yang sedang dihadapi oleh kesatuan-kesatuan di dalam sebuah syarikat besar yang mempunyai ribuan pekerja, inilah kerisauan yang menghantui pekerja," jelasnya.

20 premis jual arak diambil tindakan di Selangor

Harakahdaily, 22 Mac 2012
SHAH ALAM, 22 Mac: Sepanjang 2011 lalu, sebanyak 20 premis yang menjual arak di Selangor telah diambil tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Malah sebanyak 28 kes yang ditahan di bawah kesalahan yang berkaitan dengan arak telah dibawa ke Bahagian Pendakwaan," kata Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar), Menteri Besar Selangor.

Beliau yang juga Exco agama Selangor berkata demikian ketika menjawab soalan dari soalan lisan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) mengenai pendekatan kawalan sendiri oleh kerajaan negeri bagi mengawal premis penjualan arak terhadap orang Islam.

Menurut Abdul Khalid, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memantau dan mengambil tindakan berhubung hal berkenaan.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri Selangor telah memanggil operator kedai serbaneka di Selangor dan keputusan dicapai agar operator ini mengambil pendekatan kawalan sendiri penjualan arak.

Ekoran pertemuan itu, kedai-kedai serbaneka termasuk 7- Eleven tidak lagi menjual arak di kedai-kedai mereka yang terletak di kawasan orang Islam.

Debat Anwar-Najib, jangan hampakan rakyat

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: “Sesungguhnya rakyat sedang menanti dengan penuh harapan perdebatan dua pemimpin besar negara ini dan ia bakal menjadi peristiwa besar dalam sejarah negara, justeru, jangan hampakan rakyat sekali lagi,” kata Riduan Mohd Nor.

Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin yang dianjurkan oleh pengasas Wikileaks, Julian Assange.

Ketua Penerangan DPPM itu menganggap majlis perdebatan yang akan dilangsungkan nanti boleh membina kematangan politik rakyat dalam sistem demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, perdebatan adalah trend terbaru di negara-negara maju bagi mewujudkan pemikiran yang positif dan membina.

Tambahnya, debat juga adalah ruang buat  pemimpin menampilkan visi dan aspirasi mereka dalam memberikan bentuk kebajikan yang terbaik buat rakyat.

Beliau dalam satu kenyataan menambah, rakyat pula dapat mendengar hujah pemimpin secara langsung dan menilai pemimpin terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin negara.

Justeru, ujarnya DPPM mengharapkan Najib akan menerima pelawaan debat itu dengan hati terbuka.

Bagi beliau, soal penganjurannya nanti adalah perkara teknikal dan boleh dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal yang dibentuk bagi melicinkan majlis itu nanti.

“Memandangkan cadangan debat itu diadakan sewaktu iklim politik negara hampir dengan Pilihan raya Umum ke-13, DPPM merasakan amat sesuai perdebatan itu diadakan pada waktu sekarang,” ujarnya.

Riduan berkata, sekiranya Najib jujur dalam pentadbirannya dan ikhlas mahu memberikan khidmat baktinya kepada rakyat, sebaiknya beliau menerima pelawaan debat itu.

Anwar sedia debat dengan Najib, Raja Petra

Anis Nazri, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan beliau untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin (RPK).

Kesediaan itu disuarakan beliau kepada pengasas Wikileaks, Julian Assenge, yang menawarkan debat bersama Najib dan PRK, di mana Julian sendiri bersedia menjadi penganjur debat tersebut.

"Asalnya dia ingin wawancara saya, kemudiannya RPK hendak tumpang sekali.  Disebabkan RPK pun hendak juga, dan Najib suka dengan debat ini, maka dia cadangkan supaya adakannya (debat) bersama yang dia sendiri sedia menjadi penganjur," kata beliau kepada pemberita, di lobi parlimen, hari ini.

Debat yang mungkin diadakan secara 'teleconference' itu, bagaimanapun belum diputuskan tarikhnya.

Terdahulu, pada sidang media tersebut, Anwar menyelar sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwanya merencana satu penipuan secara besar-besaran melalui pendaftaran pengundi.

Menurut Anwar, SPR sebelum ini pernah menyatakan kesediaannya untuk mengeluarkan sejumlah 42025 senarai pemilih yang diragui, bagaimanapun ia masih kekal sehingga hari ini.

"Siapa yang percaya dengan SPR... tiada siapa.  Kalau percaya dengan SPR, buat apa ada PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen).... PSC ditubuhkan kerana kegagalan SPR melakukan transformasi," tegas Ketua Umum PKR itu.

Pencapaian negeri Pakatan menjadi ketakutan Najib

Abdul Aziz Mustafa, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Pencapaian tiga negeri yang diperintah Pakatan membuktikan kepada rakyat bahawa hidup mereka lebih baik tanpa Umno, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar).

"Tiga negeri teratas yang mendapat pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi ialah negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan.

"Hanya dalam satu penggal, kerajaan-kerajaan Pakatan boleh mencapai perkara-perkara baik itu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) adalah satu testimoni yang tidak boleh dipertikai bahawa orang-orang Pakatan lebih berbakat.

"Itulah yang paling ditakuti oleh Umno dan BN serta Presiden Umno," kata bekas Adun Pulau Manis itu.

Negeri-negeri yang dilaporkan menerima FDI tertinggi itu ialah Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Menurut Ariff, rakyat semakin sedar bahawa hidup tanpa Umno adalah lebih baik.

"Hakikatnya hidup tanpa Umno adalah lebih baik lagi. Beritahu kawan-kawan, jiran-jiran anda perkara ini - mari kita usir kegilaan pemerintahan pencuri-pencuri dari Putrajaya dan membentuk masa hadapan yang baru.

"Mari jadikan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai ketua pembangkang. Kita akan lihat beliau adalah harimau kertas yang tanpa teks yang ditulis terlebih dahulu tidak boleh menjawab soalan-soalan yang tidak dipersetujui terlebih dahulu," katanya dalam tulisan blognya yang bertajuk "Get real Mr Prime Minister!"

Selepas media-media pro-Umno mendakwa bahawa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menjangka keputusan yang baik untuk BN dalam pilihan raya akan datang, Ariff merasa lega apabila akhirnya dilaporkan bahawa Daim sebenarnya menjangka hanya tiga negeri sahaja selamat untuk BN.

(Tun Daim...ramal hanya tiga negeri selamat untuk BN)


Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Melaka dan Pahang.

Ariff berkata, beliau menemui sumber yang tersangat rapat dengan Daim hampir setiap bulan sedangkan Utusan Malaysia yang membuat dakwaan bahawa Daim menjangka keputusan yang baik untuk BN hanya bertemu dengan bekas Menteri Kewangan itu hanya sekali dalam setahun.

"Anda nilailah sendiri pemerhatian siapa yang lebih absah," kata beliau yang sebelum itu terlebih dahulu melaporkan dalam blognya bahawa Daim hanya menjangkakan tiga negeri tersebut sahaja yang selamat untuk BN.

Ariff seterusnya menceritakan, sumber yang sangat dekat dengan Daim itu juga memberitahu bahawa BN boleh kalah sehingga 16 kerusi di Sarawak dan sehingga 12 kerusi Parlimen di Sabah.

Selain tiga negeri tersebut, kesemua negeri lain di Semenanjung adalah medan yang sukar bagi BN.

"Mereka bolehlah bercakap besar, apabila mereka turun ke medan nanti, mereka akan mendapat sambutan yang sangat asing kepada mereka," kata Ariff yang kini menyertai DAP.

Beliau memberitahu, sumber yang dekat dengan Daim itu juga menyifatkan era membeli undi untuk menang sudah berakhir.

Hari ini, kata sumber itu, rakyat bertanya ke arah mana negara ini dibawa?

"Selama lebih 50 tahun, anda (Umno) kehilangan arah anda. Bagaimana kami boleh percaya bahawa anda tahu ke mana hendak dituju?" kata Ariff.

Tiada ulasan: