Khamis, 8 Mac 2012

BANJIR OH BANJIR...MAKSIAT OH MAKSIAT...CAKAP OH CAKAP...PANDAI OH PANDAI...BALA OH BALA...HUDUD OH HUDUD... DEGIL OH DEGIL...MATI OH TAK TAK INGAT MATI

Najib panik, batalkan SBPA menjelang pilihan raya

Harakahdaily, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan panik menghadapi tekanan kakitangan awam sehingga membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dicadangkan sebelum ini.

Demikian kata ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Sim Tze Tzin melalui twitternya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Langkah kerajaan untuk menangguhkan SBPA adalah kerana takut reaksi kakitangan awam yang mungkin memberontak dalam pilihan raya akan datang.

Namun dipercayai, ia akan kembali kepada skim ini selepas pilihan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) kekalkan berkuasa.

"Ha ha ha...tiada keputusan sehinggalah pilihan raya," kata anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Twitternya mengulas keputusan kerajaan mengenai hal ini.

Namun begitu, dengan pengumuman Najib, jurang gaji antara kakitangan awam akan terus meningkat dengan penyelarasan gaji yang diumumkan Najib.

Ini kerana, perbezaan peratus kenaikan gaji antara kakitangan awam peringkat rendah hanya sedikit sahaja berbanding dengan kakitangan peringkat atasan.

Najib berkata, kumpulan pengurusan dan profesional akan naik 13 peratus, kumpulan Utama dan khas A, B dan C 9 peratus, Turus 3 dan 2 8 peratus manakala Turus 1 dan KSN 7 peratus.

Walaupun peratusan kakitangan bawahan lebih tinggi tetapi oleh kerana gaji mereka hanya kecil sahaja, kenaikan ini rendah sahaja.

Misalnya jika kakitangan awam RM500, dengan kenaikan gaji 13 peratus, mereka akan mendapat kenaikan gaji sebanyak RM65 sahaja.

Namun untuk KSN dan Turus 1, oleh kerana gaji mereka tinggi misalnya RM12,000 sebulan, dengan kenaikan gaji 7 peratus, mereka mendapat kenaikan gaji sebanyak RM840 dalam pelarasan ini.

Kenaikan ini dilihat lebih baik berbanding SBPA yang dikatakan kakitangan paling rendah hanya mendapat kenaikan RM1.70 sahaja berbanding RM8,000 kakitangan paling tinggi.

Bagi Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pakatan Rakyat mempunyai saham dalam perubahan ini kerana hasil desakan merekalah SBPA tidak jadi dilaksanakan.

"SBPA dibatalkan & Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambahbaik. Tentunya hasil desakan PR," katanya dalam Twitter.

Batal: Sahlah SBPA dibuat secara semberono

Harakahdaily, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Pembatalan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) selepas dibantah hebat kakitangan awam membuktikan kelemahan dan sikap flip-flop kerajaan BN, kata Datuk Mahfuz Omar.


Naib Presiden PAS itu berkata, ianya juga mengesahkan dakwaan selama ini bahawa skim itu dibuat 'semberono' tanpa penelitian menyeluruh melibatkan pandangan semua pihak.

"Ini membuktikan kerajaan begitu lemah, sesuatu diputus semberono.

"Ini sejarah dalam negara, diumum nak buat kemudian dibatal," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan dan Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.

Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan pembatalan itu dibuat ekoran kebimbangan BN menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Tak capai matlamat Ceupacs

Selain itu Najib turut mengumumkan pelarasan gaji SSM dengan kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.

Selain itu untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A pula menerima kenaikan 9 peratus.

Turus 3 dan 2 menerima kenaikan sebanyak 8 peratus manakala turus 1 pula 7 peratus.

Mengulas perkara itu pula, Mahfuz berkata kadar baru kenaikan gaji kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54 itu tidak mengikut cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs).

Menurutnya, Ceupacs sebelum ini mencadangkan kenaikan minimum untuk kumpulan itu adalah sebanyak RM700 sedangkan kenaikan baru 13 peratus itu tidak sampai pun RM300.

"Tuntutan Ceupacs tidak diteliti bersungguh-sungguh. Tak capai pun matlamat yang Ceupacs kenakan.

"Kita tak boleh biarkan kerajaan seperti ini mengurus negara," katanya.

Tarik balik SBPA: Apa jadi Bajet 2012?

Harakahdaily, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: PAS meminta Perdana Menteri menjelaskan, apa berlaku kepada Bajet 2012 yang telah diluluskan tahun lalu ekoran penarikan balik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ini kerana, SBPA adalah salah satu kompenan yang telah dibentangkan dalam Bajet 2012 tahun lalu dan telah diluluskan, kata anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof (gambar).

"Bagi saya, pentadbiran Najib jelas terburu-buru ketika membentangkan SBPA dalam Bajet 2012 untuk menghasilkan feel good factor dan kini dia terpaksa tarik balik skim ini dan terus menggunakan skim SSM.

"Ini sesuatu yang memalukan dan saya yakin bajet 2012 itu telah terganggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau yakin, ketika membentang SBPA dahulu, Najib telah gagal berbincang dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Cuepecs sebelum ia dibentangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Mujahid juga tidak berpuashati dengan jumlah kenaikan gaji ekoran penyelarasan gaji yang diperkenalkan oleh Najib hari ini.

"Kalau dilihat jumlahnya, peratusannya nampak tinggi antara 7 hingga 13 peratus tetapi ia sebenarnya hanya antara RM65 hingga RM1,000 sahaja," katanya.

Bagi Mujahid, jumlah kenaikan itu tidak memadai dengan kenaikan harga barang yang melonjak ekoran pengumuman 'kenaikan' gaji kakitangan awam sebelum ini.

"Harga barang telah naik sejak bajet 2012 dibentangkan dahulu lagi. Namun, kini SBPA tak jadi dan gaji hanya naik sikit je, tetapi harga dah naik," katanya kesal.

Rintihan pelajar Malaysia di Syria

Zil Wildad, 08 Mac 2012
PANDANGAN dunia terarah ke bumi Syria ketika ini kerana keganasan dan kekejaman regim Bashar Assad menangani kebangkitan rakyat Syria yang mahukan kebebasan. Jika ingin menjelaskan isu ini dari awal hingga sekarang, ruang yang diberikan ini sudah tentu tidak mencukupi. Justeru, Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) hanya akan menjelaskan beberapa perkara yang penting dan berkaitan sahaja untuk masa ini.

Kebangkitan rakyat di Syria semakin hari semakin memuncak. Bagaikan air sungai yang mengalir, jika disekat dari satu arah, akan terus mengalir melalui arah yg berlainan. Semakin disekat, lama kelamaan akan melimpah bagaikan air bah yang mengalir deras. Konflik di Syria sudah hampir memasuki bulan ke-12 namun masih tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa konflik ini akan reda atau berakhir. Semakin hari angka kematian semakin meningkat.
Di bumi barakah ini masih terdapat ramai pelajar asing yang datang khusus untuk mendalami ilmu agama. Bilangan pelajar Malaysia yang masih berbaki seramai 167 orang, 113 lelaki dan 54 perempuan. Kebanyakannya menuntut di pusat pengajian rasmi seperti Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro dan Mujamma' Fatah Islami bagi pengajian kuliah dan pengajian bahasa, sementara Ma'ahad Dauli bagi pengajian diploma, dan Ma'ahad Lughah bagi kursus bahasa.

Pengajian berjalan seperti biasa sejak bermula kebangkitan rakyat Mac 2011 hinggalah sekarang. Apa yang berbeza adalah sistem pengambilan pelajar baru bagi kuliah, yang antaranya telah menaikkan yuran pengajian, termasuk bagi pelajar-pelajar lama. Namun bagi urusan untuk mendapatkan visa pelajar, di lihat agak mudah berbanding tahun-tahun sebelumnya tetapi tidak dinafikan disana ada juga masalah-masalah yang sulit. Ini kerana Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro dan Mujamma' Fatah Islami yang kini dikenali Ma'ahad Syam 'Ali telah diiktiraf oleh kerajaan Syria dan diletakkan dibawah Kementerian Pelajaran Tinggi, juga di bawah Kementerian Wakaf.

Antara masalah yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Syria ialah kesukaran untuk mengeluarkan wang melalui mesin-mesin ATM di sini. Semua bank antarabangsa disekat daripada beroperasi untuk pengambilan duit di mesin ATM. Pengambilan duit hanya melalui kerjasama PPMS dengan pihak Kedutaan Malaysia dan beberapa pelajar yang keluar ke negara jiran seperti Jordan, Lubnan dan Turki, dengan mengirimkan kad-kad ATM kepada mereka untuk dikeluarkan di sana. PPMS mewakili rakyat Malaysia di Syria, mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia yang banyak membantu kami.

Masalah lain pula ialah kos sara hidup yang makin meningkat. Harga barang-barang keperluan harian naik mendadak dan dalam masa yang sama ekonomi Syria jatuh merudum.

Keadaan keselamatan di Syria secara keseluruhannya semakin meruncing kecuali di bandar Damsyiq. Pelajar kita hanya menetap di Damsyiq dan sekarang masih berada dalam keadaan selamat. Keadaan keselamatan di Damsyiq khasnya masih lagi dalam keadaan terkawal namun sudah ada tanda-tanda menunjukkan Damsyik juga bakal meruncing kerana Damsyik satu-satunya daerah yang baru bangkit sedangkan daerah lain sudah pun bergolak teruk.

Antara daerah-daerah atau bandar-bandar yang teruk dibedil dan mengalami kemusnahan adalah Homs (150km dari bandar Damsyiq), Halab (433km), Hama (202km) dan Dara'a (101km). Kesemua bandar yang menjadi pusat pelancongan dahulu kini berubah menjadi tempat tumpuan rejim Bashar al-Assad. Namun terdapat juga bandar-bandar atau kawasan-kawasan yang terletak di pinggir Damsyiq (rif Dimasyq) seperti Zabdani, Daraya, Qodam, yang terletak tidak jauh dari bandar Damsyiq (sekitar 25-35km) telah berlaku pertempuran dan tembak-menembak antara tentera pembebasan dengan tentera kerajaan.

Kami memohon jasa baik kerajaan untuk mempertimbangkan kembali kos pembiayaan evakuasi untuk rakyat Malaysia di Syria sekiranya keadaan di Damsyiq menjadi lebih teruk kerana semua pelajar di sini tidak mendapat bantuan kewangan ataupun pinjaman pengajian dan hanya bergantung kepada sumber daripada keluarga sahaja.

Zil Wildad
Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)

# Tabung bantuan Syria

Sumbangan untuk pelajar Malaysia di Syria dan rakyat Syria yang memerlukan boleh disalurkan melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa PAS. Akaun Nombor 564070703248 (Maybank) atas nama Parti Islam Se-Malaysia.

Muslimat PAS ucap syabas kepada wanita

Anis Nazri, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) merakamkan ucapan syabas kepada semua wanita di seluruh dunia bersempena Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) turut merakamkan rasa simpati kepada wanita-wanita di Syria yang kini menjadi mangsa keganasan di negara terbabit.

Siti Zailah, ketika dihubungi Harakahdaily, berkata lebih 10,000 mangsa keganasan di Syria merupakan wanita dan juga kanak-kanak yang begitu dekat dengan wanita.

"Selain Syria, saya juga merakamkan rasa simpati kepada wanita-wanita di Palestin, yang sudah sekian lama dicengkam keganasan," kata beliau sambil mengharapkan masyarakat dunia lebih prihatin dengan nasib kaum wanita yang tertindas.

Dalam pada itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang merakamkan rasa syabas dan bangga terhadap wanita Islam, khususnya di Timur Tengah yang berani bangkit membawa perubahan yang lebih baik di negara mereka.

Kebangkitan itu, katanya sebagai satu perangsang dan pendorong kepada wanita-wanita muda untuk bangkit membawa perubahan ke arah dunia yang lebih aman dan selamat.

Sementara itu, dalam konteks Malaysia, Siti Zailah meletakkan harapan yang tinggi kepada wanita di negara ini agar menjadi agen perubahan menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Kita mahu membebaskan Malaysia dari pemerintah yang rasuah, sistem yang rosak dengan segala kebobrokan.  Maka, wanitalah penentu masa depan Malaysia yang lebih harmoni," tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, Siti Zailah menegaskan wanita sebagai agen perubahan perlu mendapat sistem sokongan dan dokongan daripada semua pihak bagi menjadikan wanita lebih berperanan dalam setiap bidang yang diceburi mereka.

PAS Selangor harap DHPP tanding lebih satu kerusi

Salmiyah Harun, 08 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 8 Mac: PAS Selangor telah memilih kerusi yang sesuai untuk meletakkan calon di kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, senarai nama calon DHPP sudah dihantar kepada PAS Pusat dan terserah kepada pucuk pimpinan pusat untuk menentukan.

"Kami sudah hantar lebih daripada satu nama calon kepada PAS Pusat, nama calon itu saya harus rahsiakan," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, senarai nama itu telah dihantar kepada PAS Pusat pada Disember tahun lepas.

Ketika ditanya berapa kerusi untuk diletakkan calon DHPP, Dr Rani berkata lebih daripada satu kerusi dan kerusi itu adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagaimanapun, beliau menaruh harapan agar calon DHPP bertanding lebih daripada satu kerusi di negeri Selangor.

"Calon DHPP perlu diletakkan di kawasan yang sesuai, misalnya kawasan majoriti Melayu PAS letak calon kaum India dalam masa yang sama BN letakkan calon Melayu, ia situasi yang sukar bagi PAS," katanya.

Semalam, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional yang juga penasihat DHPP Dr Mujahid Yusof Rawa menyasarkan enam negeri meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Negeri berkenaan ialah Selangor, Johor, Perak dan Kedah di samping Sarawak dan Sabah.

DHPP mempunyai keahlian seramai 20,000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2005.

LAPORAN BERKAITAN

PAS sasar letak calon bukan Islam di 6 negeri

Banjir: 400 mangsa dipindah ke surau

Harakahdaily, 08 Mac 2012




AMPANG, 8 Mac: Penduduk kawasan Ampang yang kediaman mereka terlibat dengan banjir kilat sejak petang semalam ditempatkan sementara di Surau Insaniah di Desa Lembah Permai, di Kampung Lembah Jaya Utara.

Menurut Adun Lembah Jaya, Tuan Khasim Abdul Aziz (gambar), sehingga kini hampir 400 orang sudah dipindahkan ke pusat sementara itu.

"Semua mangsa yang terlibat kita pindahkan ke sini buat sementara waktu. Semua makan minum kita sediakan di sini.

"Cuma masalah besar ketika ini adalah bekalan air bersih paip Syabas tak ada," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Ampang yang berada di sini sejak malam tadi.

Setakat ini katanya, mereka terpaksa menggunakan bantuan lori tangki bagi menghantar air bersih ke kawasan pemenpatan tersebut.

Pusat penempatan sementara itu dikendalikan bersama Kerajaan Negeri Selangor, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Lembah Jaya dan anggota Unit Amal PAS.

Hujan lebat dan ribut selama beberapa jam yang melanda Lembah Klang sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara mengalami banjir kilat, pokok tumbang serta kejadian tanah runtuh kecil.

Selain Ampang, kawasan yang teruk dinaiki air antara setengah meter dan semeter, termasuk Kampung Melayu, Subang, Jalan Peel dan Kampung Baru, Keramat Luar, Bangsar dan Jalan Syed Putra.

Manakala tanah runtuh berskala kecil turut berlaku di kawasan cerun bukit di Apartmen Spring Villa, Ukay Perdana, Ampang malam tadi.

Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan cerun di Jalan Kampung Atap dengan seorang mangsa yang terperangkap dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan bomba.

Selain itu, kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini menghempap sebuah bas yang diparkir berhampiran lampu isyarat.




Tiada ulasan: