Khamis, 8 Mac 2012

HUDUD OH HUDUD...MANA KAU HUDUD...MUFTI OH MUFTI...ULAMAK OH ULAMAK...KIAMAT OH KIAMAT...PADANG MAHSYAR OH PADANG MAHSYAR...DEGIL KENAPA DEGIL...TAKUT OH TAKUT..KENYANG OH DAH KENYANG.... SYURGAKE ATAU KENERAKA JE....

Projek jalan 'cerita lama', kata Phahrolrazi
ROSLINDA HASHIM
7 Mac 2012
Amiruddin Hamzah
ALOR SETAR - Belum pun reda isu membabitkan lantikan semula dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, kini timbul pula spekulasi mendakwa antara punca keengganan menerima pelantikan semula jawatan itu berkaitan dengan sebuah projek didakwa mencecah RM600 juta.

Sebuah laman portal berita melaporkan, krisis Pas Kedah memuncak apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak didakwa mahu memberikan projek itu kepada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.

Sebagai protes terhadap tindakan itu, Phahrolrazi dan Ismail dikatakan menolak pelantikan semula ke jawatan itu bagi penggal akan datang.

Difahamkan, projek itu membabitkan pembinaan jalan di Kedah, yang mahu diberikan kepada syarikat milik bekas pemimpin Umno bahagian di negeri itu.

Phahrolrazi ketika dihubungi bagi mengesahkan dakwaan itu, enggan memanjangkan isu terbabit dan menyifatkan ia cerita lama.

“Itu cerita lama. Mungkin kenyataan saya disalah tafsir pihak tertentu,” katanya.

Bagi mendapatkan kepastian, Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada dua Exco, yang turut serta dalam mesyuarat sebelum ini membincangkan mengenai projek berkenaan.

Exco Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Abd Ghani Ahmad berkata, beliau menafikan dakwaan itu dan menegaskan, Kerajaan Negeri tidak pernah memberi tender secara terus kepada mana-mana syarikat, sebaliknya dibuat secara tender terbuka.

“Saya difahamkan sekiranya projek dikaitkan ialah projek jalan, ia mula dibincangkan dalam mesyuarat Exco sekitar Disember lalu, dan dicadangkan dibuat secara kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri, GLC Kedah,” katanya.

Sementara, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang kini memegang portfolio Peruma­han dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, dan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, yang sebelum ini disandang Phahrolrazi, turut menafikan projek itu diserahkan kepada syarikat seperti didakwa.

“Berdasarkan keputusan mesyuarat Exco, projek berkenaan akan dibuat secara tender terbuka namun belum dibuat tawaran,” katanya.

Bagaimanapun, Amiruddin menafikan nilai tender itu mencecah RM600 juta, sebaliknya mendakwa projek penyelenggaraan jalan-jalan negeri itu hanya sekitar RM60 juta setahun.

“Hasil negeri tidak memungkinkan kita mampu tawar tender setinggi itu, ia mustahil cecah RM600 juta,” katanya.

Menurutnya, walaupun portfolio berkenaan kini bawah tanggungjawabnya, namun beliau belum meneliti projek bawah portfolio itu mahupun melihat kertas kerja atau laporan berkaitan.
Ustaz sekolah agama dipenjara 18 tahun

7 Mac 2012
Ustaz sekolah agama dipenjara 18 tahun
ALOR SETAR - Warden asrama sebuah sekolah agama di Arau, Perlis, dipenjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam, setelah didapati bersalah menyebabkan kematian pelajar, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, Hanif Mohamad Ali,  28, mengaku bersalah setelah diperintahkan membela diri dan mahkamah menerima pengakuan salahnya.

Menurutnya, faktor kepentingan awam perlu dipertimbangkan dalam memutuskan hukuman terhadap Hanif, antaranya bentuk kesalahan dan kesalahan itu sememangnya kesalahan berat yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

"Hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi pengajaran dan peringatan kepada sesiapa yang mempunyai kuasa mendisiplinkan pelajar supaya berhati-hati dalam melaksanakannya, agar tidak menjadi jenayah, malah seorang pendidik perlu banyak bersabar.

"Justeru, setelah mengambil kira semua faktor berkenaan, Hanif dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh tangkapan (1 April 2011)," katanya.

Hanif kelihatan tenang sewaktu mendengar keputusan yang dibacakan, namun dilihat menitiskan air mata sewaktu dikerumuni keluarga dan rakan-rakannya.

Hanif didakwa melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, antara jam 6 petang dan 12 malam, 31 Mac 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 30 tahun dan denda kerana menyebabkan kematian Saiful Syazani.

Saiful Syazani sebelum ini dilaporkan koma selama tiga hari, sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, 3 April 2011, selepas dipukul warden itu sewaktu menjalankan siasatan kes kecurian di asrama sekolah.
Pendakwaan dijalankan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Noordin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mohthar.

Manakala Hanif diwakili peguam, Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.
Kerajaan digesa segera tubuh suruhanjaya baiki undang-undang Islam
Wartawan Sinar Harian
7 Mac 2012
SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu kerajaan segera membentuk suruhanjaya diraja bagi memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.
Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu penting bagi memandangkan selepas lebih setengah abad negara  merdeka, perkembangan syariat Islam dalam konteks perundangan dan dasar masih sangat jauh dari memuaskan.
"Badan ini disaran agar menjalankan satu penyelidikan menyeluruh mengenai status pelaksanaan syariat Islam di Malaysia, penguatkuasaan, faktor-faktor yang menghalang perkembangannya serta syor-syor memperbaiki dan memperkukuhkan status pelaksanaannya dalam sistem perundangan dan dasar pembangunan negara," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Gerakan Sokong Syariah berkata, berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, oleh kerana Islam adalah agama Persekutuan, sepatutnya perkembangan undang-undang Islam dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam dan pentadbiran negara semakin menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang.
"Malangnya perundangan Islam yang tertakluk kepada kuasa negeri masih berada di tahap yang hampir tidak berkembang semenjak negara mencapai kemerdekaan.
"Selain pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam Perkara 121,  undang-undang syariah masih tidak berkembang dan taraf undang-undang syariah masa jauh berada di bawah undang-undang sivil berdasarkan  British Common Law," katanya.
Mohd Azmi berkata, ini nyata dapat dilihat apabila penghukuman jenayah syariah di Mahkamah Syariah hanya terikat kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.
"Mapim berpendirian tuntutan ini sangat tepat waktunya kerana syariat Islam sebagai sebuah sistem berlandaskan al-Quran dan sunah adalah satu-satunya sistem yang boleh mengatasi segala kemelut serta krisis yang sedang melanda umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya," kata beliau.
Mohd Azmi juga berkata, pihaknya berpendapat bahawa mengembangkan syariat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan adalah wajar dan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Memperluaskan undang-undang syariah adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah sangat tepat dan harmonis dengan undang-undang induk di Malaysia," kata beliau.
Jelas Mohd Azmi, suruhanjaya diraja yang dicadangkan ini sepatutnya mengambil tanggungjawab membentangkan penemuan-penemuan dari kajian yang dijalankan untuk mencari kaedah mengutarakan langkah-langkah pengembangan dan penambahbaikkan pelaksanan syariat di Malaysia untuk dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu serta kerajaan sehingga menjadi syariah sebagai sistem undang-undang arus perdana di negara ini.
Pas mungkin letak calon bukan Islam di enam negeri
Wartawan Sinar Harian
7 Mac 2012
Dr Mujahid Yusof Rawa
SHAH ALAM – Susulan langkah meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya umum 2008, Pas dijangka menurunkan calon bukan Muslim di enam negeri kali ini.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kepimpinan parti itu di Selangor, Johor, Perak dan Kedah di samping Sarawak dan Sabah diminta memberi perhatian dalam pembahagian kerusi termasuklah meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, keputusan calon DHPP dibolehkan bertanding atas tiket Pas sejak tahun 2010, malah ia diputuskan oleh Majlis Syura.
Keenam-enam negeri tersebut, menurut Mujahid, mempunyai kekuatan DHPP yang dilihat berdasarkan semangat yang ada melalui keahlian, aktiviti serta sambutan program yang diadakan.
"Saya berharap sangat negeri-negeri berkenaan supaya memberikan semangat kepada DHPP sementara masih ada ruang untuk diisi oleh mereka," kata beliau kepada Harakahdaily.
Pada PRU12, Pas meletakkan calon bukan Islam, Kumuta Raman. Dia bertanding dengan menggunakan tiket PKR.
Ekoran itu, Mujahid yang juga penasihat bersama DHPP berkata, kini dewan itu menjadi sayap parti, maka Pas menyusun gerak kerja pilihan raya termasuklah menyusun calon dari kalangan sayap muda itu.
Sehubungan itu, Mujahid berkata, negeri Johor telah memperlihatkan semangat DHPP yang kuat dan berkemungkinan akan memberi lebih dari satu kerusi kepada ahli dewan itu.
Bagaimanapun, katanya, perlu ada rundingan yang bijak dalam menentukan calon supaya ia tidak berlaku pertindihan.
"Kalau kerusi kita (Pas) lebih selesa dan mudah untuk dirunding. Saya lihat kerusi parlimen agak mudah. Bagaimanapun kepimpinan negeri kena bijaksana," katanya.
DHPP, yang mempunyai keahlian seramai 20,000 orang, sayap terbaru Pas yang dinaikkan taraf daripada Kelab Penyokong Pas, yang ditubuhkan pada 2005.
Dewan itu dilancarkan pada 23 Mei 2010.

Tiada ulasan: