Jumaat, 9 Mac 2012

LIHATLAH YANG MINTAK SAPE...YANG BERI SAPE...MACAM KELANTAN ...YANG MINTAK SAPE..YANG NAK BERI SAPE...ITU MASIH TAK SEDAR LAGI...TAK TAHULAH....

MAIWP: Mengapa mohon RM1 juta, dapat RM4 juta?

Anis Nazri, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mendedahkan sejumlah RM4 juta wang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diberikan kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, berbanding RM1 juta yang dipohon yayasan tersebut.

Ketua DPPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad (gambar), mendedahkan pada 17 Sept 2010, pihak Yayasan Taqwa telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menampung sebahagian kos operasi dan aktiviti yayasan terbabit.

"Permohonan sejumlah wang itu bagi menampung sebahagian kos operasi dan program yayasan tersebut dari bulan September sehingga Disember 2010, bagaimanapun pada 13 Okt 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal telah meluluskan sebanyak RM4 juta," dedah beliau ketika sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Kamaruzaman yang juga Pengerusi Task Force Zakat DPPP mempersoalkan mengapa wang yang diperuntukkan jumlahnya lebih besar berbanding yang dipohon yayasan tersebut.

"Kenapa yang dipohon RM1 juta, tetapi diberikan RM4 juta? Ke  mana wang itu dibelanjakan? Kita mahu Yayasan Taqwa segera mendedahkan audit dalaman yayasan tersebut berhubung pendedahan ini," tegas beliau.

Tambah beliau, bagi menjaga kepentingan pembayar zakat dan kemaslahatan masyarakat, persoalan yang dibangkit DMPP ini perlu dijawab segera pihak terbabit iaitu Datuk Khir sendiri.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya pihak yang terlibat tidak memberikan penjelasan yang memuaskan.

"Kita memberi tempoh seminggu bermula hari ini untuk mereka jawab.  Jika tidak, kita akan membuat laporan polis dan ke SPRM," tegas beliau yang mengakui mempunyai beberapa bukti lain mengenai penyelewengan MAIWP.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman turut menuntut agar yayasan itu ditutup bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran kos yang tinggi, dan dalam masa sama menyerap kakitangan yayasan tersebut ke MAIWP bagi menjamin kebajikan mereka.

"Pandangan kami, tidak perlu Yayasan Taqwa diwujudkan kerana peranannya sama dengan Baitulmal.  Kenapa perlu ditubuhkan dua badan yang berbeza untuk satu tugas yang sama?  Adalah lebih baik kos pengurusan yang tinggi dapat diberikan kepada asnaf yang lebih memerlukan," tegas beliau lagi.

SBPA: Mulut didahulukan, flip-flop diutamakan

Harakahdaily, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.


Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini, isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga.

Bahkan, kata Tuan Ibrahim pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

“Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda.  Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga,” tambah beliau.

Banyak ‘transformasi’ yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib, tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu bukanlah penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

“Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju,” bidas beliau.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, katanya, di mana akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai- kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

“Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal.

"Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna,” kata beliau.

Isu SPBA, hujahnya adalah berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR.

Dalam flip-flop terbaru Najib ini, katanya ia adalah jelas akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah, katanya, akhirnya rakyat mendapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan.

“Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa menarik balik, dan kembali kepada sistem lama. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – 'Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan,' kata beliau dengan nada sinis.

SBPA: Transformasi 1Malaysia Najib gagal

09 Mac 2012
Pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.


Isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga. Bahkan pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, yang akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai- kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal. Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna.

Isu SPBA berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR. Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda.  Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga.

Dalam flip-flop terbaru ini, jelas ia adalah akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan. Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa menarik balik, dan kembali kepada sistem lama.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah inilah rakyat dapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – “Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan.”

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 Mac 2012

CAP gesa haramkan lolipop pendafluor


Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan segera penjualan lolipop pendafluor (fluorescent lollipops) memandangkan ia  mengandungi bahan-bahan bertoksik.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan, CAP mendapati lolipop pendafluor amat digemari oleh kanak-kanak. Lolipop ini menarik perhatian kanak-kanak kerana ia terlekat pada batang plastik yang bersinar. Beberapa orang kanak-kanak yang ditemui berkata kadangkala mereka menyimpan batang tersebut dan menggunakannya untuk tujuan lain. Batang pendafluor itu mengandungi bahan-bahan kimia bertoksik yang boleh ditelan oleh kanak-kanak jika kimia cecair dalam batang itu merembes keluar.

Lolipop pendafluor boleh dibeli dalam kotak berisi 24 batang dengan pelbagai warna pada harga RM6.00 sekotak. Vendor menjualnya kepada kanak-kanak dengan harga 40 sen sebatang. Walaupun tidak diketahui negara asalnya, seorang pemborong memberitahu kami lolipop itu datang dari China. Pada kotaknya terpampang logo Halal yang tidak diluluskan dan mempunyai nama sebuah syarikat.

Selain terdapat di pasar raya mini, lolipop tersebut turut dijual oleh vendor di hadapan sekolah. Kami percaya ia dijual di seluruh negara.

Ujian-ujian yang dijalankan oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam menunjukkan batang plastik lolipop berkenaan  mengandungi ftalat dan Poly aromatic carbon (PAH), di mana ftalat bertindak sebagai pelarut untuk PAH. Gabungan kedua-dua bahan kimia tersebut menimbulkan tindak balas oksigenan, menghasilkan sinaran cahaya yang menarik pada batang tersebut.

PAH pada hakikatnya merupakan sejenis bahan kimia yang amat toksik, biasanya digunakan hanya untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia.

Sehubungan dengan keracunan lolipop pendafluor, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan segera penjualan dan pengedaran kandi seumpamanya. Kerajaan juga perlu menyita produk yang sudah berada di pasaran ini.

S.M. Mohamed Idris
Presiden CAP

1Care tidak ikut realiti sosioekonomi masyarakat

KPRU, 09 Mac 2012
Penjagaan kesihatan merupakan hak asasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, etnik atau status sosial. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, hak rakyat mengakses perkhidmatan kesihatan yang bersistem lengkap haruslah sentiasa terjamin. Sekali pandang, konsep 1Care yang bertujuan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan awam demi kebajikan dan manfaat rakyat memang menggalakkan memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan semua lapisan masyarakat. Namun, suara bantahan terhadap retorik skim 1Care yang kian berkobar-kobar di kalangan masyarakat bukannya tanpa alasan yang munasabah. Malahan, isu yang dibangkitkan berkenaan dengan cadangan skim 1Care turut mendedahkan kelemahan dan ketidaksempurnaan sistem penyampaian dan pembiayaian perkhidmatan kesihatan sedia ada di Malaysia. Sebagai langkah pertama, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyokong cadangan pelbagai pihak bahawa meningkatkan peruntukan dana kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih praktikal.


Peruntukan Terhad, Tadbir Urus Kerajaan Lemah


Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO – World Health Organization), kadar peruntukan dana kerajaan Malaysia untuk sektor penjagaan kesihatan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diperuntukkan untuk sektor penjagaan kesihatan dan jumlah peratusan ini hanya mencakupi 7.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan. Peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan purata sedunia[1]. (Sila lihat Jadual 1)

Jadual 1: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan antara Negara Tahun 2009




Negara
Jumlah perbelanjaan untuk kesihatan (Peratusan daripada KDNK)

Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada KDNK)
Perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan
(Peratusan daripada jumlah perbelanjaan kerajaan)
Canada
10.9%
7.5%
17.0%
UK
9.4%
7.6%
15.1%
Australia
8.5%
6.0%
18.3%
Singapore
3.9%
1.6%
9.8%
Malaysia
4.8%
2.2%
7.1%
Thailand
4.3%
3.3%
14.0%
Sumber: World Health Statistic, WHO[2]

Sesungguhnya, skim 1Care yang dikatakan diilhamkan daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS – National Healthcare System) yang diamalkan di British telah mengabaikan secara dasarnya model peruntukan dan pembiayaan pihak kerajaan British bagi mengekalkan operasi sistem perkhidmatan kesihatan. Meniru konsep tanpa mempertimbang dan menyelidik sistem operasi keseluruhan, khususnya dari segi dasar negara dan keadaan sosioekonomi masyarakat secara keseluruhan adalah kurang bijak dan bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada memberikan penyelesaian.

Sememangnya, menelitikan mana-mana sistem pelaksanaan dan pengendalian di Malaysia, biarlah dalam sektor awam atau sektor swasta, penyelewengan yang berleluasa semakin menampakkan kehilangan integriti dan kredibiliti yang ada pada pihak kerajaan. Laporan mengenai Pembiayaan Sistem Kesihatan yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia jelas menyebut antara 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan dibazirkan berikutan kekurangan kecekapan dan ketelusan sistem[3]. Dalam konteks ini, biarpun berapa banyak wang yang disumbangkan kepada sektor penjagaan kesihatan berkemungkinan akan tersia-sia sahaja. Oleh demikian, hujah bahawa jumlah perbelanjaan negara tidak boleh dijadikan satu-satunya tanda ukur kualiti perkhidmatan kesihatan adalah munasabah dan bertapak atas realiti kelemahan tadbir urus kerajaan hari ini.

Walau bagaimanapun, hujah ini tidak harus dijadikan alasan bagi menghambat usaha mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Atas premis peruntukan dan sumber yang mencukupi, pihak perkhidmatan kesihatan berpeluang mendapat ruang yang secukupnya untuk mengembang potensi mereka dalam membekalkan servis yang berkualiti tinggi. Hal demikian telah pun terbukti dengan sistem perkhidmatan kesihatan yang cemerlang di negara seperti Kanada dan British.

‘Transformasi’ Beban Kerajaan kepada Rakyat Terbanyak


Seperti yang dipaparkan dalam kertas konsep 1Care untuk 1Malaysia, Kementerian Kesihatan telah mendedahkan salah satu objektif bagi pelancaran 1Care ialah bagi meringankan beban kerajaan dalam menanggung kos perubatan dan kebajikan yang kian melonjak[4]. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi sokongan terhadap pelaksanaan skim tersebut turut menyatakan bahawa kos perubatan dan farmaseutikal yang kian meningkat telah membebankan pihak kerajaan. Maka hujah seterusnya ialah, kerajaan mengambil langkah dengan melaksanakan sistem perkhidmatan kesihatan yang berfungsi melalui “sumbangan” rakyat merupakan sesuatu yang berpatutan[5].

Ironisnya, dalam hal kesihatan, bukankah menjadi kewajiban kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan membekalkan servis yang memuaskan demi kebajikan dan kebaikan rakyat terbanyak? Jelasnya, skim 1Care lebih merupakan retorik golongan berkepentingan bagi mengelakkan kewajipan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia, seterusnya memungkinkan kewujudan peluang baharu dalam konteks aktiviti rent-seeking hari ini. Retorik sedemikian tidak membekalkan jalan penyelesaian yang menjaga kepentingan rakyat terbanyak dalam proses mereformasikan dan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

Cukai Tinggi, Keberkesanan Rendah


Aspek kedua yang harus diberi perhatian menyentuh “sumbangan mandatori” yang dicadangkan dalam kertas konsep 1Care. Cadangan ini adalah bercanggah dengan keupayaan kewangan dan tahap pendapatan rakyat terbanyak di negara ini. Bayaran mandatori yang bakal dikenakan pada golongan pekerja akan dijadikan dana biayaan untuk insurans kesihatan sosial (Social Health Insurance or SHI) dan  insurans tersebut akan menawarkan pakej rawatan kesihatan dan perubatan yang asas dengan atau tanpa mengenakan bayaran. Penjawat awam, pesara, orang kurang upaya, golongan miskin dan individu yang menganggur akan dibiayai oleh pihak kerajaan manakala semua pekerja di sektor swasta terpaksa menanggung bayaran tersebut melalui pembiayaan insurans[6].

Menurut Kertas Konsep 1Care untuk 1Malaysia, anggaran bagi pembiayaan skim perkhidmatan kesihatan tersebut adalah sebanyak 9.5 peratus daripada jumlah purata pendapatan isi rumah. (Sila lihat Jadual 2)

Jadual 2: Anggaran Kos Tahunan Pembiayaan Sistem Kesihatan Malaysia


Anggaran kos tahunan bagi membiayai sistem kesihatan Malaysia
(RM)
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan diri
27.87b
Peratusan daripada KDNK
3.9%
Perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan peribada per kapita
984.44
Perbelanjaan untuk semua penjagaan kesihatan per kapita
1,562.60
Premium SHI untuk penjagaan kesihatan diri
972.44
Premium SHI untuk purata isi rumah
4,181.50
Peratusan bagi Premium SHI untuk pendapatan isi rumah
9.5%
Sumber: Kertas Konsep 1Care untuk 1 Malaysia oleh Kementerian Kesihatan

Sebagai rujukan kepada model perkhidmatan kesihatan di luar negara seperti NHS, rakyat British tidak perlu membayar cukai tambahan untuk membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerana cukai yang sedia dibayar adalah dikendali secara berasingan di bawah dua sistem, iaitu cukai pendapatan dan Insurans Kebangsaan (National Insurance). Cukai tersebut kemudiannya disalurkan bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan yang dikendali NHS Trust. Pada dasarnya, rakyat British dapat dimanfaatkan dengan menerima perkhidmatan percuma dalam bidang amalan am, kecemasan, penjagaan jangka panjang, dan pergigian[7]. Dalam sistem tersebut, pesakit turut diberi hak pemilihan dari segi doktor, penjagaan, dan tempat rawatan. Namun, pakej lengkap tidak ditawarkan dalam 1Care yang dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Jadual 3 dan Jadual 4 di bawah menunjukkan perbandingan kadar cukai di antara British dengan Malaysia.

Jadual 3: Kadar Cukai Pendapatan di British berdasarkan Band, 2010-2011


Pendapatan berdasarkan Band (£)
Kadar Cukai
£0 - £2,440

Kadar permulaan untuk simpanan: 10%
£0 - £37,400
Kadar asas: 20%
£37,401 - £150,000
Kadar tinggi: 40%
Over £150,000
Kadar tambahan: 50%
Sumber: HM Revenue & Customs[8]


Jadual 4: Kadar Cukai Pendapatan Individu di Malaysia
Pendapatan yang dikena cukai (RM)
Kadar Cukai
2,500 yang pertama
0%
2,500 yang seterusnya
5,000 yang pertama
1%
5,000 yang seterusnya
10,000 yang pertama
3%
10,000 yang seterusnya
20,000 yang pertama
3%
15,000 yang seterusnya
35,000 yang pertama
7%
15, 000 yang seterusnya
50,000 yang pertama
12%
20,000 yang seterusnya
70,000 yang pertama
19%
30,000 yang seterusnya
100,000 yang pertama
24%
50, 000 yang seterusnya
150,000 yang pertama
26%
100,000 yang seterusnya
Pada 250,000
26%
250,000 ke atas
26%
Sumber: taxrates.cc[9]

Secara perbandingan, walaupun cukai pendapatan yang dikenakan di British adalah jauh lebih tinggi daripada sistem pencukaian di Malaysia demi menanggung perbelanjaan institusi NHS dan institusi kebajikan yang lain, namun ia bukan sahaja tidak menimbulkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat, malahan NHS telah terpilih sebagai institusi yang paling popular di UK dan mencapai penilaian kepuasan yang tinggi[10]. Hal ini telah menunjukkan bahawa perancangan mana-mana skim hendaklah mengambil kira keadaan dan realiti masyarakat. Sejauh mana tahap tadbir urus, ketelusan dan pengagihan dana negara diterjemahkan sebagai sesuatu yang dapat menyakinkan rakyat terbanyak selari dengan prinsip keadilan merupakan faktor penting yang diambil kira oleh golongan pembayar cukai.

Sedangkan populasi di British dapat menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan justeru berupaya untuk menanggung cukai yang tinggi, statistik sosio-ekonomi yang dikumpul oleh Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 telah menunjukkan hakikat yang menyedihkan bahawa sebanyak 52.7 peratus daripada isi rumah di Malaysia adalah berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan[11]. Ini bermaksud, sekiranya cukai tambahan sebanyak 10 peratus dikenakan, golongan pekerja yang berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa memikul bebanan ini. Dalam konteks ini, tidak kira cukai tambahan yang dikenakan bersamaan atau jauh lebih kurang daripada 10 peratus, pelaksanaan 1Care melalui skim insurans kesihatan sosial jelasnya adalah tidak berpatutan bagi rakyat terbanyak. Sebaliknya, peningkatan jumlah peruntukan kerajaan berhubung sistem perkhidmatan kesihatan adalah langkah penyelesaian lebih bijak lagi munasabah.

Wujudnya Golongan Miskin Baharu


Seterusnya, skim 1Care tidak dapat menangani masalah yang kini dihadapi oleh sistem perkhidmatan kesihatan dalam Malaysia ekoran jurang kemiskinan yang semakin lebar dan wujudnya golongan ‘miskin baharu’, malah ia akan mengakibatkan perubahan besar dari segi penyusunan struktur dan sistem perkhidmatan kesihatan. Menurut Dr. Subramaniam Pillay, perkhidmatan kesihatan di Malaysia buat masa ini terbahagi kepada dua peringkat (2-tier system) yang masing-masing terdiri daripada sistem perkhidmatan kesihatan awam yang dikendalikan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan wang yang terhad dan sistem kesihatan swasta yang dibiayai dengan perbelanjaan masyarakat[12]. Sesungguhnya, penyusunan struktur dan sistem pembiayaan sebegini telah menyebabkan munculnya perbezaan yang ketara dari segi amalan klinikal, kelengkapan infrastruktur dan juga kos perbelanjaan di antara sektor perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Antara tahun 1997 hingga 2006, jumlah perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan telah melonjak daripada RM8.2 bilion kepada RM24.8 bilion. Sebahagian besar daripada jumlah peningkatan tersebut adalah berasal daripada perbelanjaan dalam sektor swasta, terutamanya yang dibelanja oleh pesakit dengan menggunakan wang sendiri (out-of-pocket spending). Perbelanjaan swasta meningkat daripada RM4.1 bilion pada tahun 1997 sehingga RM13.7 bilion pada tahun 2007[13]. (Sila lihat Jadual 5 & Jadual 6)

Jadual 5: Jumlah Perbelanjaan untuk Kesihatan, 1997-2006
Sumber: Malaysian National Health Account



Jadual 6: Perbandingan Perbelanjaan Kesihatan dalam Sektor Awam dan Swasta


AWAM VS SWASTA
PERBELANJAAN KESIHATAN
(1984/85)

(2002)

(2006)
AWAM
SWASTA
76 %
24%
56%
44%
45.2%
54.8%
Sumber: National Health Financing Study & Malaysian National Health Account

Tambahan pula, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti memperkenalkan dispensari swasta  dan menyediakan “sayap swasta” (private wing) di sesetengah hospital kerajaan, mempromosikan pelancongan kesihatan di hospital swasta dan sebagainya telah menghakis daya tahan sektor awam secara beransur-ansur[14]. Sebagai akibatnya, peranan yang dimainkan oleh sektor awam dalam penjagaan kesihatan semakin hari semakin terhakis dan diganti oleh sektor swasta, malah beban masyarakat semakin memberatkan[15].

Jurang perbelanjaan perkhidmatan kesihatan antara sektor awam dan swasta jelasnya bukan menunjukkan bahawa masyarakat adalah berupaya membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan dan perkhidmatan awam. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan di atas, percanggahan dari segi kualiti servis dan kelengkapan infrastruktur dalam sektor awam dan swasta masing-masing telah menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta supaya rawatan yang diterima terjamin kualiti dan kesannya. Apa yang harus ditegaskan di sini ialah perkembangan sektor swasta dalam bidang kesihatan patutlah dihargai dan dikekalkan manakala kelemahan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh sektor awam hendaklah ditangani dan dinaiktarafkan.

Namun, keazaman pihak kerajaan dalam menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan awam dan mengekalkan sumbangan sektor swasta tidak terserlah dalam kertas konsep “1Care untuk 1Malaysia”. Sebaliknya, sistem pengendalian perkhidmatan kesihatan awam yang dinyatakan adalah melalui penggabungan hospital awam dan hospital swasta supaya perbezaan dari segi kelengkapan infrakstruktur dan amalan klinikal dapat mencapai tahap keseimbangan. Isu seperti penghijrahan kepakaran (brain drain) turut dipercayai dapat diatasi melalui integrasi sektor awam dan swasta. Namun begitu, seperti yang didakwa oleh Dr. Ng Swee Choon[16], integrasi ini seakan-akan menghapuskan daya persaingan bersama yang sebenarnya dapat mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan. Tambahan pula, integrasi yang disyorkan bukan sahaja akan menyekat perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta, malah piawai penyeragaman kualiti juga tidak dapat dicapai[17]. Dari sisi pandangan ini, cadangan skim 1Care yang dikemukakan akan membazirkan usaha kegigihan pelbagai pihak tanpa mencapai objektif bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan.

Rumusan


Pada hakikatnya, kebanyakan projek yang dikendalikan oleh pihak kerajaan adalah berakhir dalam kekesalan disebabkan kelemahan dari segi kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus. Telahpun wujudnya begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dilaksanakan bagi memperbaiki sistem kesihatan tetapi malangnya ketiadaan proses yang cekap dan telus telah menyebabkan timbulnya masalah yang lebih serius. Sebagai akibatnya, wang terbazir dengan sia-sianya manakala kebajikan dan kebaikan rakyat pula tidak terjamin. Sekiranya skim 1Care dilaksanakan, berkemungkinan besar sistem perkhidmatan kesihatan kini akan dilanda kerugian yang lebih besar.

Oleh demikian, KPRU menyaran pihak berkaitan mengkaji semula sistem pembiayaan dan peruntukan perkhidmatan kesihatan semasa di Malaysia dan mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor tersebut. Di samping itu, sebuah suruhanjaya kesihatan yang dikendali secara awam di bawah kawalan masyarakat boleh ditubuhkan bagi memastikan pengendalian yang telus dan efektif. Dengan memastikan tiada ketirisan, peningkatan peruntukan wang dipercayai dapat menyelesaikan masalah seperti kekurangan infrasktruktur yang lengkap atau kakitangan perubatan yang profesional bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat. Apa yang asas sekali adalah memastikan kecekapan dan ketelusan dalam segala sistem pelaksanaan dan pengendalian supaya hak rakyat yang terasas sentiasa terpelihara.



[1] http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
[2] http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS09_Full.pdf
[3] http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755
[4] http://www.slideshare.net/palmdoc/1-care-concept-caper
[5] http://www.malaysiakini.com/news/189214
[6] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Subramaniam Pillay, organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
[7] http://www.nhs.uk/NHSEngland/thenhs/about/Pages/overview.aspx
[8] http://www.hmrc.gov.uk/rates/it.htm
[9] http://www.taxrates.cc/html/malaysia-tax-rates.html
[10] http://www.socialmedicine.org/2011/11/08/uncategorized/the-fight-to-save-the-nhs-publicly-funded-and-universal-national-health-services-in-the-uk/
[11] http://www.epu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=2d9c3105-c9a0-4155-baf9-f737321e27f3&groupId=34492
[12] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
[13] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia.
[14] Selangor/Kuala Lumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Pay more and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition, 12 February 2012, Global Business & Convention Centre.
[15] Forum Health Care Financing in Malaysia, by Dr. Subramaniam Pillay, organized by Coalition Against the Privatisation of Health Care Services, Malaysia. http://www.malaysiakini.com/letters/44619
[16] Selangor/Kuala Kumpur Healthcare Public Forum, 1Care: Why Pay more and Get Less? Organized by Citizens’ Healthcare Coalition
[17] http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12755

Tiada ulasan: