Sabtu, 10 Mac 2012

YANG SIBUK CARI AKHIRAT SIBUKLAH CARI AKHIRAT...YANG CARI DUNIA...GILALAH IA TERHADAP DUNIA...KAYA JUGA BALA DAN UJIAN DARI ALLAH...BEGITU PANGKAT DAN KUASA...SERTA SIHAT DAN PANJANG UMUR...HINGGA LUPA JANJI ALLAH DIAKHIRAT...HINGGA LUPA MATI KIAN HAMPIR..HINGGA LUPA NERAKA DARI API YANG MENJULANG2..LUPA SYURGA MENJANJI NIKMAT2 YANG TERHINGGA...SIBUK DUNIA HINGGA MASJID DAN SURAU LUPA DIKUNJUNGI...WALAUPUN MEMPUNYAI KEDERAAN BERBAGAI JENIS...PUNYA PEMANDU SEDIA BERKHIDMAT...MAKA BERJAYALAH SYAITAN MENYESATKANNYA...BAGI YANG LUPA AKHIRAT...LUPA JALAN PULANG....

SBPA: Bagaimana status Kumpulan Premier?

Harakahdaily, 09 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menuntut penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung status terkini kakitangan Kumpulan Premier setelah Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) diumum mansuh semalam.

Ini kerana, kumpulan tersebut difahamkan telah diwajibkan bersara pada 31 Disember tahun lalu dan diserap sebagai kakitangan berstatus kontrak di bawah SBPA sejak Januari lalu.

"Sekarang SBPA dah diumum mansuh, jadi saya nak tanya apa status mereka (kumpulan premier) sekarang ini.

"Mereka sudah tandatangan surat pertukaran kepada jawatan kontrak, dan sudah dibayar gaji lebih tinggi mengikut SBPA malah ada yang sudah dapat ganjaran pesara sehingga mencecah RM500,000. Adakah mereka kena bayar balik atau bagaimana," soal Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan dan Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.

Selain itu Najib turut mengumumkan pelarasan gaji SSM dengan kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.

Untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A pula menerima kenaikan 9 peratus.

Turus 3 dan 2 menerima kenaikan sebanyak 8 peratus manakala turus 1 pula 7 peratus.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau khuatir tindakan pembatalan SBPA yang diumum Najib semalam mempunyai kesan perundangan terhadap kumpulan premier ini yang boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan.

Turut dipersoalkan, sekiranya kumpulan ini ditukar semula kepada status asal sebelum ini, adakah gaji mereka akan dibayar sama seperti sekarang atau lebih rendah seperti asalnya.

Jumlah sudah dibelanja

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena turut memohon penjelasan Najib berhubung jumlah wang yang telah dihabiskan untuk tujuan perlaksanaan SBPA sejak ianya dicadangkan tahun lalu.

Menurut Mahfuz, rakyat harus tahu berpa jumlah yang telah dibazirkan kerajaan untuk satu skim yang tidak dibincang dengan teliti dan akhirnya diumum mansuh itu.

"Berapa jumlah duit yang sudah dihabiskan untuk tujuan ini? Saya hairan kenapa perdana menteri boleh bersetuju dengan cadangan JPA ini.

"Pada saya perdana menteri sudah hilang kelayakan. Selepas PRU saya rasa banyak lagi benda celaru macam ni akan diperkenalkan," katanya.

Bertunang: Rakyat perlu bukti, bukan sekadar nafi

Mohd Rafizi Ramli, 10 Mac 2012
Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri.


Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.

Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam Barisan Nasional memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu.

Oleh yang demikian, untuk membersihkan nama beliau, saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak menjawab perkara-perkara berikut dengan mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak beliau tidak dibayar oleh rakyat:

Pertama, beliau perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;

Kedua, beliau perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan oleh saya adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;

Ketiga, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;

Keempat, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;

Kelima, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;

Keenam, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia; dan

Ketujuh, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan

Kelapan, beliau perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

Sekiranya Perdana Menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen ini dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia, barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia.

Jika tidak, beliau akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi.

Mohd Rafizi ialah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Lagi aktivis Bersih dihalang masuk Sarawak

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Ahli jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Maria Chin Abdullah (gambar) hari ini dihalang daripada memasuki Sarawak.

Beliau ditahan oleh pegawai imigresen setelah tiba di Lapangan Terbang Kuching kira-kira jam 9 pagi ini.

Menurut kenyataan gabungan itu, Maria ke Sarawak sebagai persediaan pelancaran kempen JOM100 iaitu kempen mensasarkan 100 peratus keluar mengundi.

Sebelum ini, pada Mei 2011, pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan bersama seorang lagi jawatankuasa pemandu Wong Chin Huat turut dihantar pulang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

"Seksyen 67 Akta Imigresen jelas melindungi hak "warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur untuk tujuan menghubungkan aktiviti politik yang sah," kata kenyataan itu.

Aziz Bari: Jawatankuasa Pemandu langkah tepat

Muhammad Faizal, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu di Kedah sebagai langkah terbaik dan tepat.

Beliau yang juga pakar perlembagaan berkata, penubuhan itu juga tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan undang-undang termasuk di peringkat negeri.

"Bagi saya penubuhan jawatankuasa pemandu ini adalah yang terbaik diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan ia merupakan keputusan yang tepat.

"Malah ia tidak mempunyai apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang sama ada diperingkat pusat mahupun negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PAS Pusat yang mahu menubuhkan Jawatankuasa Pemandu di Kedah sebagai badan penasihat kepada kerajaan negeri itu.

Menurut Abdul Aziz, dengan penubuhan itu juga secara langsung dapat menghasilkan sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

Beliau turut menyatakan, Jawatankuasa Pemandu biasanya tidak bermaksud mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri malah jauh sekali ingin membuat keputusan.

Ia hanyalah sebagai bertindak sebagai pemantau sahaja bagi memastikan segala masalah yang timbul dalam pentadbiran negeri melibatkan anggota parti dapat diselesaikan.

"Saya berpendapat ia bertepatan dengan keadaan sekarang dalam usaha kita ingin menjadikan negeri di bawah Pakatan Rakyat ditadbir dengan baik.

"Malah penubuhan jawatankuasa Pemandu ini secara tidak langsung akan dapat menghasilkan sebuah pentadbiran yang lebih berkualiti jika dibandingkan dengan pemerintahan kerajaan sekarang," jelasnya sambil menyelar pihak yang mempertikaikannya.

Kuasa MB, Exco masih tertinggi


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berdasarkan perlembagaan negeri itu, kuasa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak terjejas dengan penubuhan jawatankuasa itu kerana mereka adalah kuasa eksekutif tertinggi dalam pentadbiran.

“Mana-mana negeri ikut perlembagaan negeri. Jawatan­kuasa Pemandu sekadar bagi pandangan tak kan pula tidak boleh bagi nasihat.

Memang perkara seperti itu tiada dalam perlembagaan Kedah, tetapi orang bagi nasihat, kita dengarlah,” katanya.

Azizan turut menyangkal dakwaan konon penubuhan jawatankuasa itu antara usaha mengehadkan kuasa Menteri Besar, sebaliknya menyifatkan ia sebagai sebuah badan penasihat.

“Saya sendiri pun belum dapat maklumat terperinci mengenai jawatankuasa itu. Macam mana nak komen, lebih baik tunggu ia diwujudkan dahulu, barulah tahu peranan dan ke mana perlu dirujuk,” katanya.

PM perlu dedah kerugian SBPA - Aziz Bari

Muhammad Faizal, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr. Abdul Aziz Bari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan kepada rakyat berapa jumlah wang yang telah dibazirkan kerajaan untuk skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Tindakan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tidak hanya terhenti sekatan itu sahaja tetapi ia perlu didedahkan juga berapa kos perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi urusan tersebut.

"Najib tidak boleh berdiam diri selepas pemansuhan tetapi beliau perlu dedahkan segala kerugian akibat pemansuhan tersebut," katanya kepada harakahdaily.

Tambahnya lagi, Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas pembaziran yang berlaku sebelum SBPA dimansuhkan.

Menurutnya lagi, beliau pasti kos yang dikeluarkan bagi kajian SBPA itu adalah satu jumlah yang besar kerana ia melibatkan satu sektor yang besar.

"Saya yakin kerajaan telah mengeluarkan kos yang besar untuk kajian SBPA ini kerana ia semestinya meliputi kajian disemua peringkat dasar serta perlaksanaan.

"Kakitangan yang digunakan juga merupakan satu jumlah yang ramai, semua ini melibatkan kos," tegasnya

Abdul Aziz berkata, rakyat berhak mendesak Najib menyenaraikan segala kos yang dikeluarkan bagi SBPA kerana itu adalah duit rakyat, malah jika tiada desakan dilakukan kerajaan akan mudah melakukan pembaziran wang rakyat.

Beliau juga mencadangkan pihak audit memainkan peranan bagi menilai kerugian yang berlaku.

"Kita tidak mahu amalan umum dan batal ini menjadi kegemaran kerajaan di bawah Najib, kerana tindakan tersebut menyebabkan pembaziran berlaku.

"Kerajaan perlu bertanggungjawab dalam soal ini, bukannya lepas tangan malah pihak audit perlu pastikan serta bertindak atas kerugian disebabkan kegagalan Najib memastikan SBPA ini benar-benar berkesan sebelum membuat pengumuman perlaksanaan pada tahun lepas," sambung beliau lagi.

Jelas Abdul Aziz lagi, ini adalah gambaran jelas dalam kegagalan Najib mentadbir kerajaan yang mana setiap tindakan yang diumumkan hanyalah untuk menunjukkan kehebatannya tetapi sebaliknya adalah kegagalan.

Batal MAS-AirAsia: Lagi bukti transformasi Najib gagal

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Cadangan menghentikan penggabungan MAS-Air Asia adalah satu lagi bukti kegagalan program transformasi ekonomi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, seperti Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA), penggabungan MAS-Air Asia gagal kerana Najib tidak mengambilkira hasrat dan kemahuan rakyat, iaitu pemegang-pemegang saham dan pengguna.

"Cadangan pembatalan penggabungan MAS-Air Asia itu sekali lagi dengan jelas membuktikan bahawa Najibnomics hakikatnya adalah Najibcomic.

"Apa yang dimegahkan sebagai Najibnomic oleh pembodek-pembodek Perdana Menteri itu hakikatnya adalah polisi-polisi ekonomi separuh masak, flip flop dan tidak ada pemikiran yang jelas sebelum dilaksanakan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menyifatkan apa yang berlaku itu adalah simptom orang yang tidak tahu pengurusan dan kepimpinan yang diangkat oleh Umno untuk menjadi Perdana Menteri.

"Orang yang tidak tahu pengurusan dan kepimpinan tidak layak jadi Perdana Menteri.

"Setakat jadi promoter artis, peragawati atau model mungkin boleh...," kata beliau.

Mahfuz mempersoalkan, apa pelabur asing akan kata dengan "tindakan u-turn itu".

"Selepas tindakan u-turn dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Felda, SBPA, kini u-turn dalam penggabungan MAS-Air Asia pula?" katanya.

Mahfuz menyifatkan semua itu berlaku akibat tidak ada pemikiran yang jelas di pihak Perdana Menteri sendiri dalam apa jua inisiatifnya, sama politik, ekonomi dan sosial.

Perdana Menteri juga, kata beliau, selalu benar dilihat tidak mengambilkira sokongan orang bawahan terhadap sesuatu inisiatifnya.

Malaysian Insider melaporkan, Putrajaya sedang menimbangkan pembatalan penggabungan MAS-Air Asia kerana gagal menunjukkan sebarang pembaikan.

Penggabungan itu juga gagal menaikkan moral 20,000 kakitangan MAS malah mereka dilaporkan diam-diam menentang penggabungan itu dan tidak memberikan sebarang sokongan ke arah itu.

Syarikat penerbangan nasional itu mengalami kerugian RM2.52 bilion dalam tahun 2011.

Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin

V Sivakumar, 10 Mac 2012
Kekayaan negara kita dibolot oleh golongan kaya. Manakala golongan miskin pula semakin hari semakin miskin. Jurang pendapatan di antara dua golongan ini menjadi semakin luas.


Ini adalah kerana polisi-polisi kerajaan Barisan Nasional yang terlalu memihak kepada golongan bangsawan yang merupakan kroni-kroni mereka. Golongan miskin pula ditindas dan dikerah untuk pembangunan negara.

Ini juga dibuat untuk membantu golangan kaya raya yang menjadi usahawan-usahawan yang memberi pekerjaan kepada golongan miskin ini. Dasar diskriminasi adalah jelas  kerana kerajaan tidak sanggup melaksanakan  gaji minima RM1,100 sebulan.

Jika dasar ini dilaksanakan golongan pekerja akan menikmati sedikit sebanyak manfaat dan meringankan beban hidup mereka. Dalam keadaan tekanan inflasi, gaji minima RM1,100 dapat membantu golongan miskin ini. Tetapi, kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk membantu golongan miskin ini semata-mata untuk membantu golongan bangsawan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi negara ini.

Golongan terkaya di negara ini mengawal sebahagian besar ekonomi negara. Data menunjukkan bahawa 38.4% pendapatan ekonomi negara dikuasai oleh 10% golongan terkaya di negara ini. Manakala 10% golongan termiskin pula hanya menguasai 1.7% pendapatan ekonomi di negara kita.

Oleh yang demikian, tidaklah menjadi salah kalau dikatakan dasar kerajaan Barisan Nasional adalah terlalu memihak kepada golongan bangsawan dan mengabaikan golongan miskin. Adakah pemberian RM500 kepada golongan miskin dan sederhana akan mengubah kedudukan statistik ini?

Pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia ini adalah semata-mata untuk mengkaburkan mata rakyat daripada melihat statistik kedudukan ekonomi rakyat yang sebenar. Barisan Nasional cuba meberi ‘ketulan-ketulan tulang’ kepada golongan miskin.

Manakala golongan kaya pula  membolot ‘daging-daging yang berisi.’ Ini dibuktikan dengan data 38.4% pendapatan ekonomi yang dikongsi bersama  oleh 10% golongan paling kaya di negara ini.

Barisan Nasional tidak berminat untuk mengagihkan kekayaan negara. Tun Mahathir berkata jika kerajaan melaksanakan dasar gaji minima RM1,100 negara kita akan menjadi bankrap. Tetapi, beliau tidak nampak anak-anaknya yang mendapat projek berjuta-juta ringgit.

Negara tidak menjadi bankrap apabila kekayaan  negara dibolot  oleh anak-anak Tun Mahathir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Rosmah membeli cincin berjumlah RM24 juta.

Negara tidak menjadi bankrap apabila keluarga Sharizat gasak RM250 juta di bawah projek lembunya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Najib dan menteri-menteri Kabinet boros membelanjakan berjuta-juta ringgit melalui program-program tidak berfaedah untuk mempromosikan diri mereka.

Negara juga tidak menjadi bankrap walaupun RM1027 billion wang rakyat berada di luar negara sebagai wang panas. Negara tidak menjadi bankrap apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperi Khir Toyo terlibat dalam skandal rasuah berjuta-juta ringgit.

Pendirian Tun Mahathir jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja untuk golongan bangsawan yang kaya raya tetapi tidak berniat membantu golongan miskin yang amat memerlukan.

Pakatan Rakyat berjanji untuk mengurangan jurang pendapatan di antara golongan miskin dan golongan kaya. Satu daripada polisi yang akan dilaksanakan di bawah program ini ialah gaji minima RM1,100.

Gaji minima ini adalah penting untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin terutamanya dalam keadaan ekonomi negara dilanda inflasi.

V Sivakumar ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Adun Kawasan Tronoh

Tiada ulasan: