SPRM: 'Jangan politikkan rasuah'
29 Mac 2012
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, pemimpin politik perlu menterjemahkan persepakatan tidak mempolitikkan rasuah yang dimenterai bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas SPRM di Parlimen.
Menurutnya, masalah dan kekangan yang dihadapi oleh SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah tersebut dipolitikkan demi kepentingan mereka.
“Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.
“ Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin dari BN (Ahli Parlimen Datuk Rahman Dahlan) dan PR (Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya dalam Siri Wacana Sinar Harian ke-12 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
Menurutnya , SPRM memohon kerjasama daripada masyarakat dan pemimpin agar membuat laporan dan member i maklumat berkaitan rasuah secara senyap serta tidak menghebahkan kepada pihak lain dan juga media.
Katanya, tindakan menghebohkan yang menjadi trend pemimpin politik pada masa ini akan mengganggu siasatan di mana kes ini sudah bocor di peringkat awal.
“Apabila hendak membuat laporan kepada SPRM sudah hebah di blog, bawa rombongan ke SPRM dan juga jemput media, perkara ini sudah heboh.
“Tindakan sebegini akan menyukarkan siasatan SPRM, bukti akan hilang, dokumen akan dimusnahkan dan saksi akan bersepakatan tidak beri kerjasama,” katanya.
Beliau memberitahu, rasuah bukan seperti jenayah biasa di mana jenayah ini memberi keuntungan kepada kedua- dua pihak.
“Jika laporan dibuat dihebohkan, mereka yang menerima dan memberi rasuah kedua- duanya mendapat untung. Satu pihak dapat duit, satu pihak dapat projek di mana di antara mereka ini adalah rakan karib, ada tali persaudaraan dan rakan parti politik.
“Masalah SPRM dalam mendapatkan keterangan saksi, jika masa melaporkan kepada SPRM sudah heboh, saksi yang dipanggil tiada elemen ‘surprise’ dan sukar beri kerjasama,” katanya.
Malah menurut beliau, pemimpin politik boleh menghebahkan kepada umum jika SPRM mendapati ada bukti terdapat kes rasuah dalam laporan yang dibuat secara senyap itu.
“Jika SPRM sudah siasat, sudah ada bukti, selepas itu anda nak heboh, hebohkanlah. Tidak ada masalah,” katanya.
Mengulas mengenai persepsi ‘ikan bilis dikejar, ikan jerung dilepaskan’ dalam siasatan SPRM, Mohd Shukri berkata, sejarah membuktikan bahawa pemimpin politik di Malaysia paling ramai didakwa kerana rasuah berbanding negara-negara lain.
“Badan bebas ini sudah mengambil tindakan pada ahli politik yang terlibat dalam rasuah sejak tahun 60-an lagi.
“Tiada isu ‘ikan bilis dikejar, jerung dilepas’ kerana SPRM mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memberi dan menerima rasuah. Kita tangkap berdasarkan bukti bukan sentimen,” katanya.
Mohd Shukri berkata, persepsi masyarakat yang mengatakan SPRM tidak melakukan siasatan kerana mereka mengandaikan SPRM tidak buat kerja jika dakwaan kes rasuah dihebahkan itu tidak di bawa ke mahkamah.
“Dalam hal ini masyarakat perlu jelas, SPRM siasat semua kes yang dilaporkan, banyak kes yang disiasat tetapi di peringkat pendakwaan mengatakan tidak cukup bukti,” katanya.
Ketua Pembangkang: Status Anwar boleh dicabar
29 Mac 2012
Bagaimanapun, beliau berkata untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.
Beliau berkata sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.
"Namun ianya tetap perlu dibahas di dewan terlebih dahulu. Kita berpandu kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan...tidak ada satu pun dari tiga elemen itu yang memberi ruang dan peluang seseorang boleh membuatkan satu usul dalam dewan untuk membuat satu impeachment terhadap seseorang.
"Terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kulim/Bandar Bharu Datuk Zulkifli Noordin semalam yang berkata anggota Parlimen berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.
Kenyataan itu turut disokong Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah bahawa usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.
Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula percaya jika dibahaskan, usul 'impeachment' Anwar itu boleh berjaya bersandarkan kekuatan jumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang pasti akan turut mendapat sokongan anggota Parlimen Bebas.- Bernama
Chandra: Kerajaan perlu jelas pendirian bendung rasuah politik
29 Mac 2012
Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, rasuah politik bukan hanya tertumpu di negara ini tetapi merangkumi seluruh dunia dalam usaha mencari kuasa sebagai parti pemerintah.
Menurutnya, jika dilihat rasuah politik telah melangkaui sempadan kerana ia merangkumi semua pihak termasuk parti kerajaan ataupun pembangkang, dan ia tidak tertumpu kepada satu pihak sahaja.
"Jika kita lihat dalam pilihan raya di dunia ini, pelbagai pemimpin dari setiap parti menjanjikan pelbagai imbuhan dalam usaha memancing undi.
"Kita sedia maklum bahawa rasuah politik bukanlah parti, sebaliknya sikap individu terbabit dalam usahanya untuk meraih kemenangan dalam menghadapi pilihan raya. Ia boleh disifatkan bahawa rasuah adalah jenayah individu," kata beliau yang juga Presiden Just.
Chandra berkata, kerajaan juga harus menyatakan pendiriannya dalam membendung kegiatan rasuah politik dan jika gagal berbuat demikian, rakyat boleh hilang keyakinan terhadap mereka.
Katanya, sebagai contoh isu National Feedlot Corporation (NFCorp), yang dibangkitkan oleh pembangkang sejak enam bulan lalu, tetapi hanya beberapa minggu ini, barulah tindakan diambil.
"Adakah pemberian tender tersebut mempunyai hubung kait dengan rasuah politik, sehingga sukar untuk bertindak seperti melindungi individu tertentu dalam kepimpinan kerajaan dan parti.
"Rakyat menantikan pendirian kerajaan termasuk saya sendiri, dalam usaha menangani isu rasuah di negara ini, ia masih dalam kekaburan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Chandra berkata, apa yang berlaku pada masa kini amat mendukacitakan apabila terdapat individu yang menyalahkan sistem kehakiman sekiranya mereka didapati bersalah dalam rasuah politik.
"Sebaliknya mereka ini akan menyokong sistem tersebut sekiranya mereka didapati tidak bersalah. Ini menunjukkan bahawa rasuah itu bermula pada diri sendiri bukan membabitkan mana-mana pihak," katanya.
NFC: Noh nafi tender baru tutup kelemahan kerajaan
29 Mac 2012
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu bertujuan meneruskan matlamat penubuhan syarikat berkenaan yang memainkan peranan penting menghasilkan sumber bekalan daging lembu negara.
“Secara dasarnya ini tuduhan tidak betul, NFC ditubuhkan kerajaan untuk kita menambah hasil pengeluaran daging lembu, sebab terlalu banyak daging lembu yang kita import dari luar bagi memenuhi permintaan negara.
“Sebenarnya bukan sahaja lembu, kita juga buat untuk kambing, sayur-sayuran dan banyak juga projek-projek yang kita buat untuk menentukan dasar agro makanan negara berjaya,” katanya kepada media pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi bulan Mac 2012 di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini, hari ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR yang membantah keras tindakan kerajaan yang ingin menjemput bidaan baru dengan memilih kontraktor untuk mengambil alih operasi NFC.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan mempelawa bidaan baru bertujuan untuk menutup isu itu secepat mungkin tanpa mengambil kira langkah sebelum ini, termasuk pembekuan aset dan pelantikan audit bebas.
Noh berkata, NFC adalah projek kerajaan dan ia tidak boleh terbantut.
Bagaimanapun sebarang penjelasan lebih terperinci mengenainya diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diumumkan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh ketika diminta mengulas mengenai dasar subsidi padi yang didakwa mempunyai had tertentu, menolak dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasat berhubung perkara itu.
“Bagi setiap tan padi yang dihasilkan, sebanyak RM248.10 subsidi diperuntukkan tanpa ada sebarang had tertentu,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku di Kelantan tentang isu had berkenaan akan disiasat termasuk merujuk kepada Bernas.
“Bagaimana boleh ada had di Kelantan sedangkan kita menjanjikan bonus kepada petani yang berjaya menghasilkan 10 tan padi, sebagai galakan kepada mereka,” katanya.
SPRM tidak perlu diberi kuasa mendakwa
29 Mac 2012
Ahli Parlimen Kota Belud dari Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, saranan dari Pakatan Rakyat (PR) yang mahu SPRM diberi kuasa mendakwa hanya kerana mereka sekarang tidak suka kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Menurutnya, bagaimana pula pada masa depan sekiranya PR tidak suka pula kepada Ketua Pengarah SPRM, adakah PR akan memaksa kuasa ini diubah semula seperti hari ini.
“Sekarang SPRM mempunyai Ketua Pengarah (Datuk Abu Kassim) yang amat baik sekali, bagaimana pula pada masa depan?
“Jadi adakah PR memilih bulu hanya mahukan pindaan yang menguntungkan mereka sahaja? Oleh itu saranan memberi kuasa menyiasat dan mendakwa sekaligus kepada SPRM adalah tidak relevan,” katanya pada Wacana Sinar Harian bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti" di sini, hari ini.
Ditanya mengenai rasuah dalam Umno, Abdul Rahman yang juga anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah tidak menafikan parti itu mempunyai masalah rasuah dan ada insiden membeli undi.
“Tidak dinafikan politik wang berlaku di dalam semua parti. Untuk mencegah perkara ini berulang, Umno mengambil pendekatan undi ditentukan oleh ratusan ribu ahli, bukannya dua ribu ahli sahaja sebelum ini. Jadi mustahil untuk membeli undi ratusan ribu ahli ini,” katanya.
Selain itu, Abdul Rahman turut menegaskan beliau tiada masalah untuk menandatangani ikrar integriti rasuah yang disarankan kepada semua calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya tiada masalah tandatangani ikrar ini. Saya sokong seratus peratus,” katanya.
MP BN: Janji syurga rasuah politik 'tertinggi'
29 Mac 2012
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, "menjanjikan syurga kepada penyokong adalah rasuah politik di tahap tertinggi."
Wakil rakyat dari Umno itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) sering menuduh BN memberi rasuah apabila dikatakan sering menjanjikan sesuatu sebagai ganti kepada undi.
Namun katanya, pemimpin-pemimpin PR selalu terlupa bahawa mereka juga menjanjikan pelbagai perkara umpama ‘memberi bulan dan bintang’ sehinggakan janji itu amat sukar dilaksanakan.
“Bagaimana pula tuduhan pembangkang yang selalu menyebut kerajaan zalim, jahat, salah guna kuasa, sila sokong saya. Adakah itu bukan rasuah politik?
“Jadi mana lebih positif, sokong untuk mendapatkan pembangunan atau sokong semata-mata atas dasar sentimen?,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-13 bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti" di sini Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Katanya lagi, pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April 2010, PR turut dikesan menggunakan jentera kerajaan negeri sebagai penggerak kempen mereka.
“Pada pilihan raya itu, Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) telah mengumumkan bermacam-macam perkara, contohnya umum bonus kepada Ketua Kampung untuk Parlimen Hulu Selangor sahaja.
“Selain itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga datang dengan mengumumkan pemberian 100,000 title of land (TOL) kepada penduduk,” katanya.
Abdul Rahman yang juga anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah turut menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama membanteras rasuah kerana jenayah ini merentasi sempadan kepartian.
“Jangan tutup sebelah mata sahaja, melihat kesalahan orang lain tetapi dalam parti dan negeri sendiri tidak dilihat.
“Oleh itu, persepsi rasuah adalah senjata politik paling kuat. Ada pihak akan mewarnai seolah-olah BN itu korup dan berkata mereka putih suci, perkara ini patut dihentikan,” katanya.
Pemimpin PKR: 'Janji tidak ditunai rasuah politik'
29 Mac 2012
Di Malaysia misalnya, menurut beliau, rasuah berlaku apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jelas menyatakan bahawa "I help you, you help me", itu adalah rasuah."
Kenyataan itu merujuk kepada mesej kempen Najib ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, Sarawak dua tahun lalu.
Rasuah politik ada persepsi dan realiti penting," kata beliau ketika bercakap sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian ke-12 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, petang ini.
Menurutnya, persepsi ditangani apabila perlu ada ketetapan yang menjelaskan tentang keperluan pilihan raya.
"Tugas SPRM mencabar kerana sekarang banyak retorik dan polemik iaitu bilis ditangkap, jerung dilepaskan," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, realitinya, tindakan kerajaan menangani rasuah ada pembaharuan tetapi persepsi orang ramai adalah sebaliknya.
ends
Tiada ulasan:
Catat Ulasan