Khamis, 29 Mac 2012

RAMALAN SAJA...SEMUA DALAM ILMU ALLAH..SERTA TAKDIRNYA...BERDOA ..BERMUNAJATLAH..TAATLAH PADA ALLAH...DISAMPING USAHA YANG BERSUNGGUH2...INSYAALLAH ALLAH SWT MEMBERI PERTOLONGAN GULONGAN2 YANG BERTAQWA...

Imam 'baling kasut' Islamkan 2 banduan dalam penjara

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun dihukum penjara setahun dek kerana membaling kasut ke arah hakim, tanggungjawab dakwah imam Hoslan Hussain tidak terhenti di sebalik jeriji besi.

Malah beliau dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua banduan dan mengajar agama dalam penjara.

Isterinya, Noorliza Mohd Isa ketika berkongsi keadaan terkini Hoslan berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.

Zunar ketuai program 'Kartunis Bantah-Lynas'

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kartunis Zunar  (gambar) akan mengetuai sekumpulan pelukis kartun untuk mengadakan program kesedaran bahaya sisa nadir bumi (rare earth) kepada penduduk tempatan di Kuantan pada 31 Mac depan.

Antara program yang akan diadakan ialah peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak, acara melukis karikatur, melukis banner secara terbuka dan demonstrasi melukis kartun, kata Zunar yang nama sebenarnya Zulkifli Anuar Ulhaque.

Antara kartunis yang akan turut mengambil bahagian dalam program tersebut ialah Johhny Ong, Nor Azlin Ngah (Jonos), Azman Md Noh, Azmie Taha dan Abdullah Jones.

Syarikat dari Australia, Lynas telah membina kilang yang merbahaya kepada alam sekitar dan manusia itu di kawasan perindustrian Gebeng, 25 km dari Kuantan

"Program amal ini adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab kami sebagai kartunis kepada masyarakat.

"Kami berharap kaedah penerangan menerusi program santai begini akan memberi lebih kesedaran kepada masyarakat setempat tentang bahaya sisa nadir kepada kepada mereka dan generasi akan datang," katanya.

Sebanyak dua program berasingan akan diadakan iaitu di Balok pada sebelah petang dan malam di Pantai Teluk Chempedak.

Di Balok, program bermula jam 3 hingga 5 petang bertempat di Dewan Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad manakala program di Teluk Cempedak bermula jam 8 malam.

Program anjuran bersama Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) dan BADAR ini adalah terbuka dan percuma untuk orang ramai.

Peraduan mewarna dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja di mana hadiah-hadiah menarik disediakan dan pendaftaran boleh dibuat di tempat pertandingan pada hari tersebut.

Manakala orang dewasa boleh mengambil bahagian dalam acara melukis kain rentang serta karikatur.

Layakkah PM Najib terus lakukan seumpama ini?

Dr Dzulkefly Ahmad, 29 Mac 2012
Hutang Kerajaan Pusat Melebihi 55% KDNK?


Soalan lisan saya kepada Menteri Kewangan bersabit jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dan ‘contingent liabilities’ (tanggungan pinjaman dijamin) kerajaan Pusat, pada tarikh 26 hb Mac baru saya terima secara bertulis di parlimen sehari lalu.

Berikut adalah jawapan Kementerian berserta dengan ulasan saya berhubungan dengan cara Kerajaan Persekutuan mengurus kewangan  dan khazanah kekayaan Negara.

Hutang Kerajaan Persekutuan sehinggaDisember 2011 adalahsebanyak RM456.1 bilion atau 53.5 % nisbahKeluaraan Dalam Negera Kasar (KDNK). Daripada jumlahter  sebut, sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan merupakan  hutang dalam negeri yang berjumlah RM438.0 bilionatau 96.0 % daripada jumlah keseluruhan hutang, manakala baki RM18.1 bilionatau 4.0% merupakan hutang luar negeri.

Juga disebutkan bahawa hutang luar negeri yang rendah adalah selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pinjaman dalam negeri yang mempunyai kecairan tinggi, kos pinjaman serta dapat meminumkan risiko pertukaran matawang asing (forex risk).

Kerajaan dari semasa kesemasa memberikan jaminan kepada badan-badan berkanun dan syarikat kerajaan untuk meminjam bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat. Jaminan diberikan di bawah Akta Jaminan Pinjaman 1959.

Sehingga 31 Disember 2011, jumlah ‘contingent liability’  Kerajaan Persekutuan iaitu baki pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan adalah sebanyak RM116.76 bilion terdiri dari RM109.14 bilion (93.5%) dan pinjaman luar RM7.62 bilion (6.5%). Dikatakan bahawa pinjaman melibatkan 2 badan berkanun dan 26 syarikat berkaitan Kerajaan.

Pertama-tamanya hutang kerajaan Pusat telah melonjak dari RM146 bilionpada 2002, RM242 bilion pada tahun 2006 dan kini RM 456.1 bilion pada hujung 2011.Dalam 5 tahun sahaja, hutang Kerajaan Pusat telah melonjak hampir 100%.

Paling merunsingkan pelbagai pihak analysts, adalah perbelanjaan di luar peruntukan Belanjawaan atau ‘off-balance sheet spending’.

Tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan Pusat telah menerbit pelbagai Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan on simpanan), sekuriti Kerajaan.Pinjaman inilah yang dimaksudkan dengan pinjaman yang tidak termasuk dalam hutang RM456.1 bilion tetapi tetap sebagai hutang kerajaan Pusat. Inilah hutang yang telah meningkat  ke paras RM116.76 bilion dari paras RM84.3 bilion dalam tahun 2009 –meningkat lebih 15%.

Seandainya gagal dibayar oleh badan-badan berkanun dan GLCs yang dijamin kerajaan Pusat, maka kesemua ini akan menjadi hutang kerajaan Pusat. Dengan kata lain hutang kerajaan Pusat akan mencecah 65% KDNK. Dengan kata lain, Kerajaan Pusat telah melanggari Akta Pinjaman(Local) 1959 dan Akta Pembiayaan Kerajaan (1983).

Contoh terbaik yang menjadikan pertikaian Laporan Ketua Audit Negara ialah jaminan pinjaman yang diberikan kerajaan Pusat kepada badan berkanun PTPTN yang meminjam RM17.0 bilion dan Syarikat Prasarana Negara Berhad sebanyak RM9.1 bilion. Senarai termasuk jaminan kepada MAS, 1-MDB, Sime-Darby dll.

Dengan berlatarbelakangkan beban hutang yang tertera di atas termasuk ‘contingent liabilities’, persoalan besarnya ialah apakah layak dan wajar PM Najib antara lainnya:

(i)           Melepaskan tokoh korporat Tan Sri Tajuddin Ramli membayar hutang sebanyak RM589 juta kepada Danaharta setelah Mahkamah Tinggi, KL pada tahun 2009, memerintah beliau membayarnya?

(ii)          Membebankan Kerajaan Pusat dengan lebihan perbelanjaan RM3.4 bilion ketika membuat satu keputusan ‘flip-flop’ ketika kembali kepada Skim Baru SSM (kos RM6 bilion), setelah SBPA (kos RM2.6 bilion) termeterai dan dilaksanakan hampir 3 bulan dan telah membabitkan pembayaran kepada 580,000 pesara dan yang lainnya?

(iii)        Melepaskan Maju Holdings Sdn Bhd dengan geran RM976.7 juta yang diberikan dahulu yang setelah menjual konsesi Lebuhraya Kuala-Lumpur-Putrajaya kepada EP Manufacturing Berhad dalam urusniaga yang dilaporkan bernilai RM1.7 juta sementara geran RM976.7 tidak dituntut kembali oleh pihak Kementerian Kewangan?

Apakah ini caranya PM Najib selaku Menteri Kewangan mahu meyakinkan rakyat dan pembayar cukai (tax-payers) bahawa beliau layak diberi mandat untuk mengurus kewangan negara dan khazanah kekayaan Negara?

Jelasnya beliau secara konsisten mengutamakan Kroni-kroni dan Membebankan Rakyat! Malang buat rakyat!

Dr Dzulkefly Ahmad,
Ahli Parlimen Kuala Selangor
28 Mac 2012

Mohon lesen dahulu untuk miliki senjata api

Rizal Tahir, 29 Mac 2012
KOTA BHARU, 29 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menasihati masyarakat di negara ini supaya memohon lesen terlebih dahulu untuk memiliki senjata api.

Katanya, memiliki senjata api tanpa lesen salah di sisi undang-undang negara, memandangkan alat berkenaan sama ada senapang atau pistol begitu bahaya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas acara latihan menembak anjuran Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) di Lapang Sasar, Padang Tembak, petang semalam. (Gambar)

Turut melakukan aktiviti itu timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Che Abdullah Mat Nawi.

Menurutnya, orang Melayu di zaman dahulu menggunakan lembing, keris, kini telah bertukar kepada menembak kerana arus peredaran masa.

Tuan Guru seterusnya berkata,  zaman Rasullullah s.a.w. dahulu aktivitinya memanah, bagaimanapun bersesuaian dengan zaman moden ini.

“Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya khususnya anak lelaki, berenang, memanah dan menunggang kuda, jadi tidak salah aktiviti ini diteruskan, bagaimanapun jangan menggunakan pada jalan yang salah,” ujarnya.

Beliau memberitahu meminati menembak sejak zaman muda, terutama senapang.

“Dengan adanya senapang kita bukan hanya dapat melepaskan minat kita sahaja, sebaliknya dapat membantu masyarakat menembak tupai,” ujarnya

Ibu bapa bisu tapi anak cemerlang

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir, 29 Mac 2012
KOTA BHARU, 29 Mac: Nur Baiti Mohd Farid, 18, bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dalam pencapaian tertinggi SPM tahun lalu dengan keputusan 9A, sebaliknya telah berjaya memecah rekod baru sekolah tempatnya belajar.


Sekolah Menengan Agama (A) Tarbiah Mardhiah Panchor, Pengkalan Chepa juga turut menempa sejarah baru apabila buat julung kalinya mencapat keputusan 100 peratus SPM.

(Gambar: Nur Baiti menerima sumbangan daripada Wan Ubaidah sambil disaksikan ibu bapanya.)

Namun latar belakang Nur Baiti yang begitu menarik, beliau bukan sahaja dari keluarga yang sederhana, ayahnya kerja buruh biasa, sebaliknya kedua ibu bapanya cacat pendengaran (bisu).

Kerana keistimewaan Nur Baiti ini, menarik minat anggota exco kerajaan negeri Wan Ubaidah Omar untuk menziarahi keluarga istimewa ini, semalam.

Turut menziarahi Baiti dan keluarganya, Mudir MTM, Ustaz Tajuddin Mamat, tenaga-tenaga pengajar sekolah berkenaan, Nisa’ Pengkalan Chepa serta lain-lain pimpinan.

Dengan menggunakan bahasa isyarat, ibu Baiti, Suria Abdul Rahman, 41, memberitahu beliau sering mendoakan semua anak-anaknya termasuk Baiti agar cemerlang dalam pelajaran.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai Baiti begitu membanggakannya dan suami, Mohd Farid Abdul Rahman, 55.

Ubaidah ketika ditemui melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai Baiti.

“Dengan latarbelakang keluarga yang sederhana, mak dan ayah tidak mampu mendengar dan bercakap, ianya cukup mengujakan.

“Kita berharap ianya menjadi contoh pada pelajar lain terutama dari keluarga yang senang, mempunyai keluarga yang baik atau seumpamanya,” ujarnya.

Apa punca BBC mohon maaf guna dana RM80 juta

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Perdana Menteri diminta menyatakan apakah punca yang menyebabkan BBC telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas penggunaan dana RM80 juta dan dari sumber mana dana tersebut diperolehi.


Demikian soalan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman pada persidangan Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Berikut adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli Parlimen PAS, hari ini.

Mohd Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan usaha jangka pendek dan jangka panjang, serta kos yang terlibat dalam mengatasi masalah hakisan pantai yang teruk di sepanjang pantai dan masalah muara-muara sungai utama yang cetek di Terengganu.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah punca yang menyebabkan BBC telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas penggunaan dana RM80 juta dan dari sumber mana dana tersebut diperolehi.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan adakah Malaysia memainkan apa-apa peranan untuk mencari penyelesaian kepada masalah dalam negara Syria.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta PERDANA MENTERI menyatakan status halal dalam minuman Coca-Cola.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-
(a) adakah Kerajaan berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam dalam bandar di seluruh negara;
dan
(b) adakah Kerajaan bercadang untuk mengkaji jenis-jenis perkhidmatan pengangkutan dalam bandar seperti yang dilaksanakan di beberapa negara jiran yang kelihatan lebih mesra penduduk berpendapatan rendah.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan kenapa MARA sudah tidak lagi memberi biasiswa kepada pelajar bukan perubatan di Jordan dan Mesir.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan sama ada terdapat peruntukan untuk membaiki dan menaik taraf jalan menghubungkan Jelawang di Dabong ke Gua Musang yang berada dalam keadaan daif.

Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah yang berlaku di Parlimen Padang Terap mengikut tahun sejak 2008 hingga 2011 serta nyatakan kategori jenayah tersebut serta langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah yang terjadi dengan Penerbangan Malaysia Bhd yang memajakkan pesawat MAS apabila MAS dan AirAsia digabungkan.

Ramalan Daim boleh jadi kenyataan – Aziz Bari

Khairil Abdul Rahim, 28 Mac 2012
TEMERLOH, 28 Mac: Ramalan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan memperoleh tiga negeri pada pilihan raya umum akan datang perlu diberi perhatian serius kerana bukannya ramalan kosong.
Pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) ketika berceramah di sini menegaskan, jika ramalan tersebut menjadi kenyataan seperti ramalan beliau pada PRU 2008, sudah tentu Pakatan Rakyat (PR) akan mara ke Putrajaya.

“Daim kata BN hanya selamat di tiga negeri saja iaitu Johor, Melaka dan Pahang apa yang dikatakannya bukan ramalan kosong tetapi fakta dan ada kredibiliti kerana beliau rapat dengan saudagar, agen risikan dan badan politik.

“Dulu sebelum 2008 Daim juga ramal lima negeri akan jatuh kepada pembangkang dan setelah keputusan PRU ternyata tepat.

“Malah badan penyelidik Merdeka Centre yang mendapati kajian imej (Datuk Seri ) Najib (Tun Razak) naik itu mengeluarkan kenyataan jika 45 peratus undi Melayu menyebelahi Putrajaya akan dikuasai PR,” ujarnya.

Abdul Aziz yang berceramah di perkarangan pejabat PKR di sini kelmarin mengulas kenyataan Daim juga bekas Bendahari Umno dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini meramalkan BN hanya akan memperoleh kemenangan di tiga negeri sahaja pada PRU-13 nanti.

Serentak dengan itu beliau menggesa jentera PR Pahang digerakkan segera kerana komposisi kaum di Pahang sama seperti Selangor dan jika pengundi diberi akses maklumat tidak mustahil boleh berubah.

Abdul Aziz berkata, orang-orang Melayu yang kurang maklumat terpengaruh dengan propaganda kalau PR menang Cina akan memerintah atau Malaysia akan jadi republik sedangkan itu tidak betul.

“Sebab itu Umno menang dan memerintah atas kebodohan rakyat. Ini terbukti tempat yang dimenangi mereka tempat-tempat yang kurang akses maklumat dan di situlah juga berlaku pelbagai masalah.

“Peranan jentera penerangan ialah memberitahu rakyat kali inilah kita kena ubah jika tidak entah bila lagi. Jika tidak Umno akan lebih ganas lagi, rasuah akan lebih berleluasa lagi.

“Umno takut untuk berdebat soal-soal dasar dan polisi tetapi mereka lebih mudah mengganggu ceramah PR dengan mengupah samseng-samseng. Beritahu rakyat cara politik seperti inilah yang kita kena hentikan,” tambahnya lagi.

Abdul Aziz mengingatkan, dalam PRU yang lalu kira-kira 1.8 juta orang Umno mengundi parti-parti Pakatan justeru beliau meminta jangan disisihkan penyokong-penyokong Umno bawahan.

“Kemenangan PR bermakna kemerdekaan rakyat kali kedua dan PR perlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan di mana peluang itu ada.

“Tetapi orang Pahang tentulah tidak mahu sekadar menonton saja kemenangan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang berceramah sebelum itu mendedahkan kehidupan rakyat pada masa ini begitu terhimpit dengan melambungnya kos hidup yang sudah sedia tinggi.

“Harga barang naik 80 peratus sejak di bawah pemerintahan Najib dan apa jadi jika BN menang PRU kerana Najib sendiri menyebut lepas PRU cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekitar empat peratus akan dilaksanakan.

“Itu kehidupan rakyat yang makin susah. Pada masa sama hutang negara sudah cecah hampir RM500 bilion yang boleh menyebabkan negara bankrap,” katanya.

Tambahnya dalam masa yang sama pemimpin negara berbelanja dengan boros antaranya kediaman Perdana Menteri sendiri yang menggunakan air sehingga  RM40,000, elektrik RM189,000 sebulan dan baiki bilik air sehingga RM9.3 juta.

Serentak dengan itu beliau menyeru rakyat membina tekad untuk membuat perubahan dalam PRU akan datang demi survival rakyat sendiri pada masa depan.

Tiada ulasan: