KUALA LUMPUR, 6 Jan: Tindakan Pusat melantik Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dengan membelakangkan kerajaan negeri membuktikan Umno tidak pernah menghormati undang-undang yang digubal mereka sendiri, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily beliau berkata, perlantikan itu juga dibuat secara tidak bertamadun dan merupakan cubaan Umno BN merampas kerajaan Selangor. "Kita semua menyedari bahawa Umno BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. "Kerajaan Umno BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi," katanya. Beliau mengulas isu perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru yang ditentang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana didakwa membelakangkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Tambahnya, segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Pusat tegasnya, perlu menghormati kerajaan negeri yang telah dipilih rakyat, termasuk dalam membuat pelantikan perkhidmatan awam. "Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. "Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan Umno BN," tambahnya lagi. Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep federalisma oleh Umno BN ini, hanya akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Umno katanya, menggunakan teknik yang sama yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. "PAS juga ingin mengingatkan kepada Umno BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. "Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk Umno BN," tegasnya.
Minda NP - 21: Hasrat 2011 Minda Naib Presiden | Minda Naib Presiden PAS ke 20 bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Jika anda mempunyai soalan khas untuk ditujukan untuk ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila emailkan kepada sembangnaibpresidenpas@gmail.com
Soalan 1: Nyatakan 3 hasrat Naib Presiden untuk tahun 2011.
Tuan Ibrahim:
1. Hasrat besar saya untuk melihat PAS lebih berjaya seandainya PRU ke 13 berlangsung pada tahun hadapan.
Selama tiga tahun kita gerakkan keyakinan rakyat samada melalui PAS atau PR, walaupun kita berjaya dalam beberapa piliharanraya kecil (PRK) dan gagal dalam beberapa PRK, namun pencapaian cemerlang kita dan pencapaian semua negeri PR seharusnya menjadi ukuran bagi pangundi untuk membuat pilihan kali ini.
Hasrat kita besar agar negara dapat ditadbir oleh mereka yang lebih beramanah dalam menjaga hak rakyat dan hak Islam dapat didaulatkan. 2. Tahun hadapan adalah tahun pemilihan parti, dan hasrat saya agar pemilihan kali ini akan memperkukuhkan hubungan antara sesama ahli, dan dapat menjadikan mesyuarat agung di semua peringkat sebagai medan menjana kekuatan parti, meningkatkan semangat jihad dan membelakangkan persoalan remeh-temeh dalaman parti.
Bahkan kita mengharapkan agar muktamar kali ini menjadi medan muhasabah, bagi memperkasakan parti. 3. PAS Pahang lebih berjaya berbanding tahun-tahun lalu, samada dalam pencapaian politik, peningkatan ahli dan cawangan serta berjaya memperkukuhkan hubungan dalam PR.
Salahuddin Ayub:
Pertama beriltizam untuk terus menjadi ahli parti dan menunaikan amanah yang saya pegang hari ini sebaik mungkin demi untuk membawa parti ke era yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Yang kedua, berikrar untuk terus muqadamah dalam menunaikan tanggungjawab dan apa yang penting diharapkan kehadiran saya ini akan membantu parti untuk meraih kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang.
Yang ketiga, saya berjanji untuk meningkatkan keupayaan diri dengan segala keperluan seperti ilmu pengetahuan dan meninggikan lagi nilai-nilai yang baik dan terus bermuhasabah untuk membaiki diri sendiri.
Mahfuz Omar:
Hasrat pertama saya ialah dapat meningkatkan tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen di kawasan saya (Pokok Sena) dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan rakyat.
Yang keduanya, sebagai seorang Naib Presiden, saya ingin melihat kepimpinan dan ahli-ahli parti di semua peringkat dan rakan-rakan di setiap peringkat Pakatan Rakyat menjadikan tahun ini sebagai tahun perubahan.
Tahun perubahan itu bukan hanya dilihat dalam konteks bagaimana kita ingin mendapatkan kuasa, akan tetapi bagaimana kita nak menterjemahkan kuasa yang diberikan rakyat pada negeri-negeri yang kita perintah iaitu dengan meninggalkan amalan-amalan dan budaya-budaya politik lama yang telah merosakan perabadan masyarakat kita ini yang dilakukan oleh UMNO.
Harapan saya ialah ingin melihat satu usaha dipertingkatkan oleh semua kepimpinan parti di semua peringkat untuk membudayakan integriti yang tinggi, ketanggungjawaban, soal amanah, keikhlasan perjuangan mesti dilihat oleh rakyat.
Rakyat bukan mengharapkan kebendaan tapi kelainan daripada UMNO dan Barisan Nasional yang perlu dibawa oleh semua pimpinan di semua peringkat parti.
Impian ketiga saya tahun ini ialah melihat keluarga saya menjadi keluarga terbaik untuk kehidupan di dunia dan juga akhirat.
Soalan 2: Adakah terdapat halangan kepada PAS untuk menyeragamkan kaedah berceramah di kalangan pemimpin PAS seperti menggalakkan atau mewajibkan mereka menggunakan kaedah persembahan slide atau powerpoint ketika berceramah agar input yang diberi kepada rakyat lebih berkesan, mudah diingati dan berfakta.
Pada pendapat saya ianya penting kepada ahli PAS,pengundi atas pagar dan ahli UMNO untuk mengetahui data-data yang tepat untuk dijadikan hujah kepada mereka yang cintakan kebenaran. Ianya juga penting untuk dijadikan panduan ketika berceramah kepada penceramah PAS agar tidak bercakap meleret-leret dan beremosi yang berlebihan?
Salahuddin Ayub:
Saya rasa dari segi prinsipnya kita ada etika dan akhlak yang menjadi garis panduan asas dalam kita menyampaikan ceramah dan penerangan di mana-mana tempat sekalipun.
Akan tetapi, dalam kaedah-kaedah seperti menggunakan slide dan alat-alat bantuan audio visual yang lain, itu terpulang kepada keupayaan individu dan bakat yang ada pada penceramah masing-masing. Dan tidak sama impaknya apabila kita menggunakan alat-alat bantuan tersebut, namun yang penting adalah keupayaan dan bakat seseorang itu harus dipertingkatkan dan alat-alat bantuan yang disebutkan tadi hanya sekadar membantu sahaja.
Mahfuz Omar:
Isunya bukan soal penyeragaman, tapi bagi saya, setiap penceramah ada style dan gaya tersendiri yang tidak boleh nak diseragamkan.
Showmanship seseorang itu sudah tentu berbeza. Akan tetapi, yang pentingnya ialah maklumat yang ingin diseragamkan dan kemudian terpulanglah kepada setiap individu untuk membuat persembahan kepada masyarakat dan rakyat dengan kaedah yang mereka rasa sesuai dengan kemampuan dan keupayaan mereka.
Namun begitu, saya mengharapkan bahawa setiap orang itu dapat melihat kepada keperluan penggunaan teknologi baru yang ada yang mudah untuk capture pemikiran masyarakat dan rakyat dengan penyampaian yang kita sampaikan.
Yang lebih pentingnya ialah sistem dan proses penyampaian maklumat ke bawah – caranya perlu bergantung kepada keupayaan dan kesesuaian diri orang yang menyampai dan kemampuan orang-orang yang nak menerimanya.
Tuan Ibrahim:
Adalah sesuatu yang amat sukar bagi menyelaraskan semua penceramah parti kerana kemampuan manusia yang tidak sama dan bakat yang berbeza. Kita meyedari ada kalangan penceramah yang meleret-leret, ada yang kasar, ada yang merapu dan ada yang terlalu ilmiah; semua ini adalah perkara biasa dalam kaedah penyampaian.
Dalam dakwah. Al-Quran menjelaskan tiga kaedah yang pertama ialah hikmah, mauizzah hasanah dan mujadalah. Hikmah ialah kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah sesuai dengan kemampuan penyampai dan pendengar. Memang sebaiknya melalui kaedah power point adalah memudahkan pendengar memahami dan menghayati penyampaian.
Namun ada di kalangan penceramah yang tidak berkemahiran dalam menyediakan bahan serta kemudahan [peralatan bagi menyampaikan ceramah; kita berharap perkara ini dapat diatasi-insyaAllah.
Soalan 3: Bolehkah diiklankan hutang negara, negeri-negeri dan juga sejarah hutang piutang, serta penyelewengan oleh parti yang berkuasa pada banner dan billboard di tempat yang menjadi tumpuan di seluruh negara mulai dari sekarang?
Mahfuz Omar:
Bagi saya, itu satu cadangan yang baik untuk memastikan supaya proses penyampaian maklumat kita tentang masalah hutang itu dapat sampai kepada masyarakat dan rakyat secara lebih mudah. Kadang-kadang masyarakat terutama sekali di luar bandar tidak dapat akses maklumat melalui teknologi moden.
Bagi masyarakat bandar pula, banner tersebut akan menimbulkan satu kejutan untuk membicarakan persoalan masa depan negara.
Tuan Ibrahim:
Membentang hutang negara untuk pengetahuan umum adalah baiik, agar rakyat mengetahuinya. Namun pendedahan tersebut sekiranya tidak diolah dengan baik, ia akan menimbulkan pelbagai polemik.
Mungkin rakyat akan menyatakan tiada negara yang tidak ada hutang; namun apa yang lebih penting ialah kesedaran betapa besarnya penyelewengan, rasuah dalam negara.
Ada satu lagi yang elok juga untuk ditinjau ialah pendedahan terhadap berapa kos sesuatu projek yang dijalankan oleh kerajaan. Biasanya apabila ada sesuatu projek rakyat hanya mengetahui siapa kontraktor, agensi yang menyelia, bila mula, bila jangka siap; tapi rakyat tidak tahu berapa kos sebenarnya.
Salahuddin Ayub:
Saya rasa itu amalan yang telah dibuat di negara-negara maju supaya mereka lebih telus dan kerajaan yang memerintah akan mengumumkan setiap hari dalam skrin besar perbelanjaan negara.
Jadi aspek yang baik dan bagus ini harus kita contohi walaupun tidak kesemuanya, tetapi dalam konsep ketelusan dan falsafah untuk urus tadbir yang baik, saya rasa apa yang dicadangkan itu adalah suatu yang amat baik kerana ianya memberikan maklumat secara langsung kepada rakyat supaya mereka berfikir dan daripada situ mereka boleh menentukan sikap dan pendirian politik mereka.
Dialog novel Interlok Sabtu ini Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 6 Jan: Seluruh warganegara Malaysia terutama yang tinggal di sekitar ibu negara yang berminat untuk mengikuti dialog mengenai novel Interlok, berpeluang menyertainya pada hari Sabtu, 8 Januari ini. Peluang tersebut terbuka kepada orang ramai apabila Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) mengambil inisiatif menganjurkannya dengan mengadakannya di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, di sini, mulai jam 10 pagi. Setiausaha Agung Pena, Syed Mohd Zakir Syed Othman dalam satu kenyataan akhbarnya menjelaskan, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad, manakala panelnya pula terdiri daripada Dr Ilias Zaidi dan Dr Fatimah Busu. Menurut beliau, dialog tersebut diadakan bagi menjelaskan isi kandungan novel Interlok secara ilmiah kepada semua pihak dan memberikan kewajaran novel itu dikekalkan sebagai teks Komsas. Katanya, sehubungan itu, satu sidang akhbar akan turut diadakan oleh pihak Pena pada hari dan tempat yang sama pada jam 12.30 tengah hari. "Sidang akhbar itu diadakan bagi menyatakan pendirian Pena menyokong novel Interlok dikekalkan sebagai teks Kamsas tanpa sebarang perubahan terhadap mana-mana isi kandungannya," jelasnya. Interlok merupakan sebuah novel bermutu yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein yang mengambil latar masa sekitar tahun 1910 hingga 1957. Ia mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam peraduan itu, novel Sandera terpilih memenangi tempat ketiga, manakala hadiah pertama dan kedua tidak dimenangi sebarang novel. Novel Interlok adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Ia adalah rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Oleh itu, ia tidak sewajarnya menjadi mangsa politik perkauman di negara ini. Bagaimanapun, kontroversi mengenai Interlok timbul apabila MIC dan Gabungan NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'. Lebih jauh dari itu, Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilingam, dalam kenyataannya, mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel tersebut sekiranya ia tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian teks sastera SPM. Tindakan dan bangkangan mereka itu dilihat tidak berasas dan melampau oleh pelbagai pihak. Bagi menjawabnya, semalam, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), telah mengadakan sidang medianya di rumah Pena untuk menyuarakan pandangannya dalam mempertahankan novel itu. Pada sidang media itu, Presiden PAKSI, Dinsman, ketika menjawab soalan wartawan menjelaskan, jika kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran gagal mempertahankan novel itu dan gagal menangani masalah itu dengan baik dalam masa terdekat, pihaknya juga turut bercadang untuk mengadakan forum terbuka secara bersiri. Forum tersebut akan diadakan di tempat yang dikunjungi orang ramai. Dalam konteks semasa, mereka bercadang untuk mengadakannya di Dun Tenang, memandangkan kawasan itu kini menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara, sempena pilihanraya kecil kawasan itu yang akan berlangsung 30 Januari ini. Selain itu, beliau yakin, beberapa persatuan penulis lain juga sedang merancang untuk mengadakan tindakan tersendiri bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu.
Tenang: Muslimat Kedah siap sedia turun padang Muhayat Jasmin | LUNAS, 6 Jan: Muslimat PAS Kedah, telah membuat persiapan rapi bagi menurunkan anggota jentera bagi membantu kemenangan calun PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang. Menurut Ketuanya, Siti Aishah Ghazali ketika ditemui semalam berkata, segala persiapan telah pun dilakukan bagi menggerakkan sepenuh jentera pilihan raya ke kawasan Dun Tenang. "Bagi tarikh penamaan calun pada 22 Januari dan juga pada hari pembuangan undi segala persiapan telah pun disempurnakan bagi menggempur kubu yang menjadi milik Umno itu. "Tiada apa yang mustahil, pilihan raya lalu PAS berjaya kurangkan mejoriti Barisan Nasional (BN) berbanding jumlah majoriti yang mereka perolehi pada pilihan raya umum 2004, kali ini kita mengharapkan kerusi tersebut dapat dirampas dan menjadi milik PAS," katanya. Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah mengakui kerusi Tenang sekarang sudah tidak lagi berada dalam keadaan tenang, memandangkan pelbagai isu korup, skandal, penyelewengan pimpinan BN sedang dibongkar. "Mereka begitu takut sekiranya maklumat sebenar pembongkaran ketidakadilan yang mereka lakukan itu sampai ke pengetahuan rakyat terutamanya menjelang PRK Tenang dan juga PRU ke-13 yang akan datang, " tambahnya lagi | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan