Ahad, 9 Januari 2011

SEBAGAI RAKYAT...MEREKA BERHAK...SERTA BEBAS...MEMILIH PARTI YANG MEREKA SUKA DAN PERCAYA...SEBAB SEMUA PARTI SAH DARI SEGI UNDANG2..

Baru seminggu, sudah 7 kes buang bayi

Jan 8, 11 7:58pm


Tahun 2011 baru seminggu membuka tirainya tetapi dalam tempoh itu tujuh kes buang bayi dilaporkan.

Angka itu perlu diberi perhatian serius dan bimbang dengan gejala yang berterusan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala itu daripada berlarutan.

"Kerajaan komited terhadap usaha membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Kami Prihatin' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Kempen itu adalah untuk mencetuskan rasa keinsafan dan menebalkan kembali nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

Shahrizat berkata kementerian akan terus mendekati golongan remaja hingga ke peringkat akar umbi selain mempergiatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam menjalankan kempen kesedaran mendidik masyarakat.

Beliau berkata media massa dan badan-badan agama juga perlu terus memainkan peranan yang lebih kritikal bagi membendung gejala itu.

- Bernama

Najib: Jumpa MP bukan hanya untuk p'raya

Salhan K Ahmad
Jan 8, 11
7:13pm


Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perjumpaannya dengan ahli parlimen BN hari ini bukanlah semata-mata sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya.

Sebaliknya, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi politik yang dipelopori beliau, kata Najib dalam sidang media selepas bertemu seramai 105 ahli parlimen berkenaan hari ini.

"Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik. Pilihan raya itu sebahagian dariapda apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

prime minister najib razak at bn meeting press conference 2"Sepertimana saya telah umumkan dalam perhimpunan agung dulu bahawa kita akan melancarkan program yang berbentuk transformasi politik

"Ertinya, keseluruhan kepemimpinan BN dari peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi iaitu ketua-ketua cawangan akan melalui proses transformasi ini dengan pelbagai kaedah dan program yang kita sedang atur," katanya lagi

Tambahnnya, pertemuan juga lebih mirip kepada usaha untuk mendengar masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan yang diwakili parti itu.

"Saya dapati ia amat berguna untuk saya dapat perspektif yang tepat tentang kedudukan di setiap kawasan parlimen yang diwakili oleh BN," katanya dan menambah beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan wakil rakyat berkenaan.

"Tapi masih ada ruang untuk (MP BN) tingkatkan peranannya dan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kemampuan mereka adalah kalau kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat.

"Sebab sebahagian besar dairpada masalah itu di luar kemampuan mereka untuk selesaikan sebab memerlukan kelulusan kerajaan," katanya lagi.

Namun, beliau berkata pertemuan selama kira-kira lapan jam itu bukanlah khusus untuk menilai prestasi wakil rakyat berkenaan.

"Saya tak tetapkan secara khusus dari segi KPI (indeks prestasi utama) tapi kita ada cara dan kaedah untuk mengukur prestasi setiap ahli parlimen. Ini dijadikan asas untuk kita membuat pertimbangan apabila sampai masanya," tambahnya.

Ditanya mengenai isu-isu yang diutarakan dalam pertemuan itu beliau sekadar berkata: "Yang pentingnya semua berkenaan masalah dan kepentingan rakyat. Projek-projek pun, program pun menyentuh soal kepentingan rakyat."

Tambahnya lagi, apabila berkesempatan kelak, beliau juga akan bertemu dengan ketua-ketua bahagian parti dan juga ADUN BN.




'Itu hanya antara saya dan PM'
Jan 8, 11 7:31pm


Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata sebarang perkara berhubung kedudukannya pada pilihan raya akan datang hanyalah antara dirinya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia hanya antara saya dan Perdana Menteri," katanya ringkas kepada pemberita selepas menemui Najib pada sesi pertemuan anggota Parlimen Barisan Nasional dengan PM di tingkat 4, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengesahkan spekulasi bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga dipetik sebagai mengatakan "ya" dan mengesahkan spekulasi mengenai keputusannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terdahulu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional mencetuskan kekecohan di laman Twitter apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada bidang politik.

"Hope to help win more youth support for BN (Barisan Nasional) in 2011 & work hard preparing for elections. Then I'm taking a break from politics. Can't wait" (Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar), katanya menerusi Twitter pada Sabtu lepas.

Kenyataan itu mendapat respons hebat daripada pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak.

- Bernama




Saya diam, yakin Rais tak perkosa, kata Pak La

Jan 8, 11 10:21pm


Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan tindakannya berdiam diri berhubung tuduhan memperkosa terhadap Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bertujuan menutup kes dan melindunginya.

Abdullah berkata dakwaan penulis blog dan pembangkang itu adalah tidak berasas, malah kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepadanya sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009.

"Kenapa pula macam tu. Saya pun tak tahu (kes) itu. Nak cover up apa? Tak patut la mereka tuduh saya macam tu.

"Nak bagi kenyataan buat apa? Benda tu tak betul. Sekarang anda dah tanya, saya bagi la statement. Saya memang tidak menerima apa-apa laporan tentang dakwaan itu," katanya pada sidang media ketika ditanya berhubung dakwaan bahawa tindakannya tidak mengeluarkan kenyataan bertujuan melindungi menteri berkenaan.

Terdahulu, Abdullah merasmikan 'The Abdullah Yusuf Ali Memorial Lecture' dan melancarkan buku 'The History of the Qura'anic Text' tulisan M M Al-A'zami di Auditorim Kolej Universiti MAHSA di Petaling Jaya.

Isu yang didedahkan penulis blog itu mendakwa Rais, yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah memperkosa bekas pembantu rumahnya dan mendakwa tindakan pentadbiran Abdullah berdiam diri adalah untuk mengelakkan konflik serantau.

Abdulah berkata beliau tidak mengambil kisah mengenai isu yang dimainkan di dunia siber itu kerana beliau yakin perkara itu tidak pernah terjadi.

"Kalau apa yang dikatakan itu tidak betul maka tentulah pihak yang berkenaaan akan mengambil tindakan dan dalam hal ini Datuk Seri Dr Rais telah membuat kenyataan menafikannya," katanya.

Rabu lepas, Rais menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

Semalam, portal berita detik.com melaporkan bekas pembantu rumah Rais yang didakwa diperkosa telah nenafikan tuduhan terhadap majikannya dan mendakwa Rais adalah seorang yang baik hati dan tidak mempunyai masalah dengan dirinya.

Wanita itu berkata laporan berita yang selama ini menyebut dia diperkosa sama sekali tidak benar.

--Bernama




PAS akui tak mudah tawan DUN Tenang

Jan 8, 11 7:50pm


Pemuda PAS hari ini mengakui bahawa bukan mudah untuk parti itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 30 Jan ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat BN, namum pihaknya tidak akan memberi laluan mudah kepada jentera BN khususnya Umno dengan melakukan beberapa persiapan awal.

"Kita telah meninjau bagaimana situasi di Tenang dan kita yakin masih mempunyai peluang untuk menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Pemuda PAS di Kuala Lumpur.

Nasrudin berkata bagi membantu jentera PAS di DUN tersebut, sekurang-kurangnya 500 anggota Pemuda akan dihantar bagi menjalankan aktiviti untuk mendekati golongan remaja di situ.

"Mereka akan menggerakkan aktiviti golongan muda seperti futsal, ekspo, motorcross, di mana itu adalah antara yang kita telah rancang...di samping memberi maklumat mengenai isu-isu yang terbaru," katanya.

Nasarudin berkata mereka juga turut akan mencari alternatif bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai di kawasan itu dengan mendakwa bahawa penduduk di situ banyak bergantung kepada maklumat satu hala sahaja yang hanya memberi kelebihan kepada BN.

"Kita akan mengolah bagaimana maklumat itu dapat disampaikan kepada segenap lapisan pengundi, yang penting tiada halangan dan sekatan dari pihak berkuasa dan juga kerajaan," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, pada 17 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon dan hari pengundian pada 30 Jan ini.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Salim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

- Bernama



PCM ulangi tak bersepakat dengan pembangkang

Jan 8, 11 10:35pm


Parti Cinta Malaysia (PCM) telah meningkatkan persediaan parti itu menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Sebagai sebahagian daripada persediaan itu, Pengerusi PCM Negeri, Gabriel Adit Demong hari ini melancarkan cawangan PCM Kanowit, iaitu cawangan pertama di luar Kuching.

Katanya parti itu kini mencari calon sesuai untuk bertanding dalam 15 kerusi daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri itu.

Adit, yang merupakan ADUN Ngemah selama empat penggal, berkata beliau akan mempertahankan kerusinya yang kali pertama dimenangi semasa mewakili Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang kini dibubarkan, pada pilihan raya negeri pada 1991.

"Kami akan mengumumkan calon dari PCM sehari sebelum hari penamaan," katanya.

Walaupun enggan menamakan kerusi yang mungkin dipertandingkan, Adit sering menyebut kawasan Machan, Marudi, Bekenu, Baru Danau, Tamin, Engkilili dan Meluan.

Adit, yang merupakan ADUN tunggal dari PCM, berkata: "Kami perlu bermula dari kecil kerana sumber dan tenaga kerja yang terhad."

Walaupun parti yang dibentuk pada 2009 berpangkalan di Pulau Pinang, katanya, asas perjuangan PCM di negeri itu adalah untuk masyarakat Dayak.

"Perkara paling penting adalah untuk rakyat mengetahui dengan jelas asas perjuangan kami untuk mereka semua membuat keputusan pada hari pengundian.

"Perjuangan kami adalah untuk melindungi tanah rakyat dan bagi masyarakat Dayak,", katanya.

Beliau mengulangi pendirian bahawa PCM tidak ditubuhkan untuk bersepakat dengan mana-mana parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu.

--Bernama

Tiada ulasan: