Ahad, 9 Januari 2011

JANGAN KITA BERDOLAK DALIK....ATAU BERMUKA2...AKHIRNYA TEMBELANG KITA TERBONGKAR JUGA....

Wanita lwn wanita di Tenang?
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Jan: Besar Kemungkinan pertembungan antara wanita berlaku di Tenang apabila BN dikatakan akan mengemukakan calon wanita manakala PAS juga mempertimbangkan dua calon iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

"Mesyuarat hari ini telah membuat keputusan calon yang akan mewakili PAS tetapi ianya hanya akan diumumkan 16 Januari ini di Tenang," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Katanya, mesyuarat telah memilih salah seorang dari dua calon yang telah disenarai pendek oleh PAS Johor iaitu seorang dari Pemuda dan seorang lagi dari Muslimat PAS.

PAS hari ini mengadakan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Ini adalah mesyuarat pertama yang diadakan disitu selepas bangunan itu mengalami kebakaran kecil hujung tahun lalu.

Antara agenda mesyuarat hari ini adalah mempertimbangkan calon untuk pilihan raya kecil Tenang bagi mewakili Pakatan Rakyat.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 19 Disember lalu di Pulau Pinang telah memutuskan calon PAS akan mewakili Pakatan rakyat dalam pilihan raya kecil ini.

Menurut sumber media, BN akan meletak calon wanita dalam pilihan raya kecil ini. Ia dikaitkan dengan lobi MCA. Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek adalah bekas anggota Parlimen Labis manakala dalam pilihan raya umum lalu anak beliau menjadi calon BN dan menang.

PAS Johor pula telah menghantar dua calon, seorang lelaki dan seorang wanita untuk dipilih oleh pucuk pimpinan PAS dalam mesyuarat hari ini.

Sebelum ini, lima nama disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon PAS.

"Kita telah pilih salah seorang dari dua calon yang dikemukakan oleh PAS Johor itu," kata Mustafa kepada Harakahdaily hari ini.

PAS dijangka akan memaklumkan keputusan ini kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dalam pertemuan menjelang ceramah dan solat hajat di Stadium Melawati malam ini.



Biar Khusrin 'macam cacing kepanasan'
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakahdaily.net

KERAJAAN Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah 'titah tuanku' (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan 'hasrat beliau' tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi SU Sulit MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan 'track record', Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi 'key player' Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Dato' Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak 'di atas nasihat' PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak 'memekik melolong' dengan pekikan 'Daulat Tuanku', sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang 'menelanjangkan kehormatan' Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang 'menelanjangkan' kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah 'hulubalang' yang mempertahankan Raja.

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu 'back-fire' kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis 'muka tebal'. Biar dia macam 'cacing kepanasan', biar dia macam 'kupang tembaga', biarpun dia terus tersengih macam 'kerang busuk', Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri


Janji 100 hari melemaskan BN
Mohamed Noor Jaafar

Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya terus mencanangkan janji 100 harinya kepada rakyat kerana tindakan itu boleh membuatkan Barisan Nasional (BN) macam `cacing kepanasan’.

Soal BN mempertikaikan perkara itu bukan perkara pokok, asalkan ia lojik dan boleh diterima kebanyakan rakyat.

Apa yang janji PR itu boleh diterima kerana wang yang dibazirkan, kerugian perniagaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rasuah yang dilakukan kerajaan yang memerintah sekarang lebih besar berbanding yang akan dibelanjakan untuk faedah rakyat.

Kenaikan harga barang, petroleum, pelbagai cukai, saman polis yang dilakukan kerajaan cukup membebankan rakyat.

Adalah lebih baik rakyat ‘cu cuba alih’ pemerintahan daripada BN kepada PR seperti yang dilakukan rakyat Kelantan yang mengubah daripada BN kepada Pas pada pilihan raya umum 1990.

Banyak perkara yang tidak betul dan karut marut dilakukan BN selama 50 tahun memerintah Negara, sedang rakyat tidak banyak berubah, malah lebih tertekan dan menderita kerana dibebani pelbagai masalah, termasuk kena bayar hutang, rumah, kereta, cukai pendapatan, saman polis, JPJ, cukai pintu, tol dan petroleum yang naik sampai dua tiga kali dalam setahun.

Kalau rakyat memilihkan pemimpin seperti yang digariskan dalam Islam iaitu yang mampu mentadbir negara dengan baik, tidak rasuah, tidak membazir wang rakyat, tidak salah guna kuasa serta mengkayakan kroni dan saudara mara, InsyaAllah rakyat dapat hidup lebih baik daripada yang dinikmati sekarang.

Saya rasa nak termuntah apabila mendengar janji Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein yang memberi jaminan akan menyelesaikan masalah air di Kelantan dalam masa lima tahun.

Kalau saya jadi Timbalan Menteri seperti Awang Adek, saya juga berani memberi jaminan selesai masalah air di Kelantan dalam masa kurang daripada lima tahun kerana boleh menyalahgunakan wang royalti minyak untuk Kelantan yang dipanggil wang ehsan itu melaksanakan projek berkenaan.

Saya baru tahu rupanya selama ini cukai setem yang dibayar untuk urusan tukar syarat tanah dan sebagainya di pejabat tanah itu dikaut Kerajaan Pusat bukannya menjadi hak kerajaan negeri.

Jadi apalah hasil yang diperoleh kerajaan negeri kalu semua hasil ‘disapu’ kerajaan pusat.

Yang jadi menteri ke timbalan menteri yang berasal dari Kelantan, usahlah bercakap berkobar-kobar tapi tahi lekat celah lantai.

Kalau macam tulah Awang Adek bercakap, nampak gaya kalau dia bertanding lagi di Bachok, jangan harap dia nak menang, begitu juga Datuk Mustapha Mohamad yang menang kerana bantuan undi pos askar di Jeli.

Insya Allah pilihan raya ke-13 nanti, PR akan sapu bersih semua kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan.


PTPTN: Anak muda mesti sokong PR
Mohd Aizat Mohd Salleh

ISU pembayaran balik semula PTPTN sentiasa menjadi ‘igauan’ kepada penuntut yang sudah menamatkan pelajaran di universiti masing-masing. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini adalah, selepas 6 (enam) bulan bergraduasi, mereka wajib membayar semula pinjaman tersebut, sama ada sudah bekerja atau tidak.

Dengan ditambah kos pentadbiran sebanyak 3% (dahulu), dan 1% (Ujrah), maka jumlah bayaran balik pinjaman akan meningkat, dan tidak berkurang. Jika peminjam meminjam sebanyak RM19,000, maka ditambah kos pentadbiran 3% sebanyak RM3,800, maka jumlah yang perlu dibayar adalah sebanyak RM23,000. (Secara purata).

Jumlah ini yang menjadi ‘hantu’ kepada para pelajar hari ini. Mungkin bagi mahasiswa, mereka belum merasai lantaran masih berada di universiti dan sedang ‘enak’ berbelanja dengan wang saku mereka.

PTPTN dalam ‘Buku Jingga’

Seperkara yang tidak dibuat dan tidak diusahakan pun oleh kerajaan BN pada hari ini adalah menyelesaikan kemelut anak muda ini. Iaitu bagaimana semua rakyat itu boleh mendapat pendidikan tanpa bebanan, kerana pendidikan merupakan tanggungjawab asasi yang perlu dimiliki oleh rakyat seperti juga air.

Saya ingin menarik anak muda atau mereka yang lepasan universiti yang sedang bergelut dengan masalah bayaran balik PTPTN ini adalah dengan melihat salah satu manifesto PR di dalam ‘Buku Jingga’nya. Antara janji PR apabila memerintah adalah:

“Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.”

Saya yakin, sumber kerajaan Malaysia hari ini sangat banyak. Daripada syarikat-syarikat milik kerajaan, hasil-mahsul minyak petroleum, pelaburan saham dan sebagainya, andai diurus dengan baik, maka apa salahnya beberapa peratus disalurkan bagi mengurangkan bebanan ini.

Bantuan pendidikan tidak berasaskan ‘bisnes’

Selain itu juga usaha mendapatkan pendidikan tinggi kepada rakyat pada kadar yang paling minima juga wajar diperhatikan disini:

“Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.”

Disamping mengusahakan setiap rakyat mendapat biasiswa dalam pendidikan bagi mereka yang layak dan menghentikan budaya ‘bisnes’ di dalam pendidikan wajar juga disokong:

“Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.”

Oleh hal yang demikian, saya bukan mahu ‘mengangkat bakul’ kepada janji PR ini, namun ia adalah pendekatan serta penyelesaian realistik yang wajar anak muda hari ini beri perhatian. Setidak-tidaknya ‘suara’ mahasiswa dan anak muda didengari oleh pemimpin PR, dan apa salahnya memberi peluang kepada PR mandat memimpin kerajaan Malaysia. Jika janji ini ditepati, maka pada penggal akan datang anak muda wajar meneruskan sokongan. Jika tidak, kita beralih kepada yang lebih baik. Mudah saja.

**Penulis adalah Mantan Exco Kepimpinan, Kerohanian dan Pembangunan Insan, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Universiti Malaya 2009



Hamba politik Umno-BN bakal terima hukuman

Mohd Rashidi Hasan
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my

NEGARA jadi susah apabila pegawai-pegawai kerajaan, sudah mempamerkan diri mereka menjadi balaci orang-orang politik, sama ada untuk kepentingan peribadi mereka mahupun untuk kepentingan orang-orang politik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan boleh menafikan pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat kerana politik.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani juga menafikan beliau menjadi alat politik Umno dalam kes ini.

Malah Khusrin juga menafikan beliau alat politik Umno-Barisan Nasional.

Siapa hendak percaya cakap Sidek, Munir dan Khusrin? Bolehkah dipercayai pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik atau dalam erti kata lain, ianya dibuat mengikut pure government procedure?

Semua orang tahu, politik ada di mana-mana. Bukan dalam parti politik sahaja. Dalam rumah, di pejabat, dalam persatuan, di mana-mana sahaja kita tidak boleh menolak wujudkan politiking.

Justeru jika pelantikan Khusrin dengan mengetepikan ramai pegawai kerajaan yang lebih senior tidak dibuat berdasarkan kehendak politik, KSN mengikut prosedur mana? Adakah khidmat Khusrin sebagai pegawai kerajaan begitu cemerlang? Adakah kerana merit?

Berdasarkan maklumat penulis, ramai pegawai kerajaan yang marah dan kecewa apabila Khusrin yang lebih junior naik mendadak.

Jika pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik, mengapa KSN atau pihak tertentu terus by-pass kerajaan negeri? Mengapa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar?

Hakikat yang disembunyikan ialah Umno-BN sedia mengetahui, Kerajaan Pakatan Rakyat berusaha menyusun pentadbiran negeri secara telus dan demokratik.

Menteri Besar mahu memilih pegawai yang cemerlang dan komited serta non-partisan menjadi SUK. Nama-nama pegawai kerajaan yang dicadangkan menjadi SUK, bukannya datang dari orang politik. Ianya datang dari kalangan pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Apabila Umno-BN tahu kebanyakan pegawai-pegawai terbabit tidak memihak kepada mereka, lalu mereka terus by-pass kerajaan negeri kerana mengetahui kuasa melantik SUK di bawah kerajaan pusat.

Walaupun begitu, dari segi amalan demokrasinya, oleh kerana SUK akan bertugas di bawah MB, maka kebiasaannya MB mengetahui siapakah yang akan dilantik menjadi SUK, sebagai ketua kepada semua pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Namun di sinilah 'kurang ajarnya' Umno-BN. Mereka tidak mahu menghormati kerajaan yang sah, dipilih oleh majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Umno-BN tidak mahu menghormati demokrasi. Umno-BN mahu mensabotaj kerajaan negeri dengan mempergunakan pegawai-pegawai kerajaan untuk menjadi alat politik mereka.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK tidak mempunyai asas kukuh selain kejayaannya menjadi alat politik Umno-BN semasa menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Khusrin didapati membelakangkan kerajaan negeri atas alasan beliau menjalankan titah Sultan. Hakikatnya bukan titah Sultan, tetapi titah pemimpin Umno-BN.

Khusrin melarang AJK Masjid dan Surau di seluruh Selangor menjemput Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (dan lain-lain ulama PAS) menyampaikan kuliah kerana, kedua Tuan Guru ini tidak mempunyai tauliah.

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din juga mengalami nasib yang sama. Semasa Khusrin menjadi Pengarah Jais di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Dr Khir Toyo, pernah diserbu beberapa kali (sehingga hendak ditangkap) dan dilarang menyampaikan kuliah atas dakwaan tiada tauliah.

Siapa Khusrin atau juak-juak Umno di Selangor hendak mempertikaikan kewibawaan agama alim ulama PAS?

Secara sinisnya penulis mahu menyebut, sebelum Khusrin kenal 'alif ba ta', belumpun pegawai-pegawai Jais yang diarahkan membuat larangan dan serbuan ini diberanakkan, tokoh-tokoh PAS ini sudah mengajar agama.

Siapa Khusrin yang hendak mempersoalkan keilmuan dan ketokohan mereka, jika tidak dibuat larangan kerana menurut kehendak politik Umno-BN?

Untuk menghalalkan tindakannya,Khusrin sering mempergunakan peraturan di bawah Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mensabitkan kesalahan mengajar tanpa tauliah boleh didenda RM3000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Inilah hasil kejahatan Khursin terhadap perkembangan agama Islam di Selangor, menjadi dalang kepada Umno-BN, sehingga dinobatkan menjadi SUK.

Pada pendapat penulis, ada dua analogi, sama ada Sidek atau Munir tidak mengetahui latar belakang Khusrin, atau kerana latar belakang itulah beliau dipilih.

Kita lihat pula, dalam kes yang membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Didakwa dengan jelas bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (semasa dalam tugasnya) memalsukan ujian DNA untuk memastikan Anwar dipersalahkan dalam mahkamah.

Untuk tujuan apa Gani dan Musa terbabit dalam pemalsuan ini? Bukankah ianya ada tujuan politik dengan mengikut nafsu serakah pemimpin Umno-BN yang diketuai oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu?

Bukankah tindakan ini membuktikan mereka selaku pegawai kerajaan, menjadi alat bagi memenuhi kehendak politik Mahathir, supaya dengan apa cara sekalipun, Anwar mesti dihukum.

Kes membabitkan Anwar juga memperlihatkan bagaimana kegelojohan pemimpin Umno-BN, melantik Hakim lompat dari jawatan yang junior terus naik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, seperti Dato' Augustine Paul.

Hakim Paul terkenal dalam sejarah perundangan negara kerana kerap mengeluarkan keputusan menolak fakta-fakta dari pasukan peguambela Anwar. Beliau sering mengucapkan ungkapan irrelevant (tidak relevan) setiap kali tidak bersetuju dengan peguambela.

Dalam perbicaraan kes kedua Anwar, Hakim Dato' Ariffin Jaka juga begitu. Beliau juga dilihat menjadi alat kepada Umno-BN.

Ramai hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak diyakini kredibiliti mereka selepas banyak kes yang meragukan.

Gelagat hakim jika hendak ditulis begitu banyak. Ada hakim yang dibayar perjalanan ke luar negara, semuanya disenyapkan. Kes melibatkan VK Lingam juga disenyapkan.

Malah sistem perundangan negara menjadi kucar kacir dan tidak lagi dipercayai rakyat selepas berlakunya pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Semua ini berlaku akibat jenayah pemimpin Umno-BN. Mereka mempergunakan semua aspek dalam perjawatan kerajaan untuk kepentingan politik.

KSN, SUK, IGP, AG, Hakim, Polis semuanya dijadikan 'hamba-hamba' politik Umno-BN. Demi jawatan, pangkat, kesenangan dan kepentingan diri, mereka-mereka yang dibayar gaji oleh rakyat, untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama, sudah terjebak menjadi pelacur-pelacur politik yang durjana.

Apakah semua pegawai-pegawai kerajaan ini berfikir bahawa rakyat akan mempercayai mereka? Mempercayai tindakan mereka tidak berasaskan kepada kepentingan politik Umno-BN?

Pakatan Rakyat harus bertekad membersihkan sistem pentadbiran negara dari manusia spesies seperti ini. Kita harus bertekad, sesiapa sahaja yang jelas, secara terbuka menjadi balaci Umno, jika kita memerintah nanti, mereka ini dahulu akan 'dikerat' dari kerajaan.

Tekad ini bukan tekad pemimpin Pakatan Rakyat sahaja, ia adalah aspirasi dan kehendak rakyat, iaitu membersihkan sistem pentadbiran negara dari tangan-tangan kotor Umno-BN, seterusnya mengembalikan sistem demokrasi ke landasan yang sebenar.

Justeru tiada label atau gelaran yang sesuai untuk mereka-mereka ini, selain daripada menyamakan mereka dengan watak-watak yang dipaparkan oleh Dato' Shahnon Ahmad dalam novel SHIT dan satira karya Yahaya Ismail bertajuk Maharaja Beruk suatu ketika dahulu.

Selamatkan Malaysia dari kedurjanaan mereka!


Rakyat Selangor mahu kembalikan kuasa Raja- Umno setuju tak?

Aspan Alias
KALAU benar Umno itu mendaulatkan Raja-Raja Melayu parti itu patut membetulkan apa yang telah dirosakannya sejak krisis perlembagaan yang dilakukan pada tahun 1993 dahulu. Itulah cabararan yang diberikan oleh TS Khalid Ibrahim kepada Umno semasa berucap di Subang Jaya semalam.

Khalid meminta Umno menunjukkan bukti dengan menyokong pindaan perlembagaan secara retrospektif yang akan diusulkan dalam persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor hujung bulan ini. Kerajaan PR Selangor akan mengusulkan pindaan itu untuk mencari penyelesaian ‘once and for all’ dalam isu kuasa melantik pegawai tertinggi Selangor yang menjadi Ex- Officio di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri itu.

Cabaran Khalid kepada Umno itu jika disokong oleh Umno maka akan terbuktilah parti ini benar-benar jujur kepada institusi Raja Berpelembagaan yang telah kita terima sebagai sistem pemerintahan negara kita sejak kita merdeka dahulu. Jika kita memberikan sokongan kepada pindaan itu Umno akan dapat memadamkan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpinnya pada tahun 1993 dahulu.

Walaupun setengah pemimpin Umno kita dan penyokong-penyokongnya memberikan alasan yang pindaan pada tahun 1993 dahulu ialah untuk memperbetulkan sikap setengah Raja-Raja Melayu dan keluarganya, tetapi rakyat yang mempunyai siasah dan sahsiah yang murni tidak akan mempercayai alasan itu. Sebenarnya ianya dilakukan kerana hendak mempertahankan kuasa seorang pemimpin politik yang inginkan kuasa sepanjang hayat beliau. Berkuasa dalam jangka masa yang panjang itu merupakan ‘ultimate’ kepada perjuangan beliau.

Jika benarlah alasan itu baik, kenapa pindaan itu telah mengakibatkan kacau bilau didalam sistem pemilihan SS Selangor baru-baru ini? Telah terbukti jika kuasa yang telah ditarik balik dari Raja-Raja Melayu itu telah disalah gunakan oleh kerajaan Persekutuan dengan menghantar seorang pegawai untuk mentadbir negeri tanpa kerelaan Menteri Besarnya.

Kita semua tahu yang kita adalah negara Persekutuan dan saya ulangi yang kedaulatan Malaysia itu datangnya dari kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Tidak menhormati kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri bermakna kita tidak menghormatai kedaulatan kita sendiri.

Tindakkan tidak mengormati kerajaan yang memerintah salah sebuah negeri didalam Persekutuan itu merupakan tindakan yang tidak bersahsiah dan ianya melambangkan yang kerajaan persekutuan itu seolah-olah mempunyai ‘attribute’ seperti kerajaan Malayan Union (MU) anjuran British pada tahun 1946 yang lalu.

Kita mengaku yang kita mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Oleh itu pulangkanlah balik kuasa itu kepada Istana. Jangan bermuka-muka dan jangan berbohong kepada rakyat dan Raja. Kalau sikap bermain ‘kong kalikong’ ini diteruskan kita takut suatu hari nanti rakyat akan meminta kita membuka mulut pemimpin kita luas-luas kerana nak pastikan jenis lidah yang ada dalam mulut mereka itu.

Kita mesti elakkan dari rakyat menganggap pemimpin kita mempunyai lidah biawak yang bercabang-cabang. Apabila persepsi ‘lidah bercabang’ ini sudah terbenam dalam benak rakyat maka kita akan dihumbankan oleh mereka. Berbohong kepada rakyat merupakan kesalahan yang sangat besar disebuah negara demokrasi yang kononnya hendak menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Malahan ramai pemimpin-pemimpin besar negara maju telah kecundang kerana membohongi rakyat.

Jika berangan hendak menjadi pemimpin negara maju sikap dan nilai kepimpinan kita mesti selari dengan pemikiran dan mentaliti pemimpin negara maju. Pemimpin kita jangan begegar-gegar bercakap tentang negara maju tetapi mentalitinya seperti pemimpin-pemimpin dikebanyakkan negara Afrika. Sekarang ini pun ada pihak yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’.

Oleh itu jangan kita membuat spekulasi dahulu. Kita terus tunggu dan lihat samada Umno benar-benar menunjukkan kepada rakyat yang mereka tidak berdolak dalik dalam isu mempertahankan kedaulatan Raja_Raja seperti yang dilaungkan mereka dimana-mana.

Jika Umno handak membuktikan yang parti ini memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu menyokong pindaan yang akan diusulak oleh DUN Selangor nanti merupakan kesempatan keemasan bagi mereka untuk melakukannya….betul ke tidak?

Barulah rakyat percaya yang kita tidak berbohong dan kita pun akan merasa bangga untuk mengaku sebagai ahli Umno dan rakyat tidak akan menunjuk kearah kita dengan mencemekkan bibir mereka kepada kita.


Wanita Pakatan protes harga barang naik
Harakahdaily
SHAH ALAM, 9 Jan: Lebih 50 pimpinan wanita Pakatan Rakyat Selangor hari ini mengadakan protes aman membantah kenaikan harga barangan di pasar tani Seksyen 13 di sini.

Program itu turut disertai Skuad Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom).

Tindakan itu dibuat menyedarkanmasyarakat berhubung tindakan kerajaan Umno BNyang telah menaikkan beberapa harga barangan keperluan sehingga mengakibatkan rakyat kebanyakan terjejas.

Beberapa pimpinan Wanita PKR antaranya, Exco Selangor, Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha serta beberapa ketua Wanita peringkat cabang turut menyertainya.

Mereka antara lain turut serta mengedar risalah kepada peniaga dan juga orang ramai yang datang untuk membeli barang keperluan di pasar tani tersebut.

Himpunan kira-kira sejam yang turut mengadakan perarakan mengelilingi pasar tani itu dan mendapat sambutan dari pengunjung.

Bagaimanapun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, dan mereka kemudiannya bersuarai dengan aman.

Tiada ulasan: