Jumaat, 7 Januari 2011

KEMENANGAN TERCAPAI BILA DATANGNYA PERTOLONGAN ALLAH HASIL DARI TAKWA DAN KETAATAN YANG TINGGI...

Simbah cat: Ada kaitan tulisan di blog?
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat ke atas pejabatnya awal pagi tadi ada kaitan dengan tulisannya di blog yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Selangor berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Shuhaimi berkata, beliau yakin pihak yang melakukan perbuatan itu mula berasa terancam dengan pendedahan di blognya bahawa siapa sebenarnya yang wajar digelar penderhaka kepada Sultan.

"Sudah pasti ia dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggugjawab, yang berasa terancam disebabkab blog saya mula membongkarkan siapa penderhaka Sultan dan individu mana yang cukup berbahasa kasar hingga kita boleh labelkan ia 'ibu kepada segala kebiadapan bahasa' ke atas Agong, Sultan dan Raja," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pejabat Adun Seri Muda di Kota Kemuning, dekat Kota Raja disimbah cat merah awal pagi tadi.

Petugas yang bermalam di pejabatnya memaklumkan perkara tersebut kepada beliau setelah menyedari terdapat cat merah di bahagian pintu dan kawasan sekitar pejabat kira-kira jam 6 pagi.

Petugas itu memeriksa kawasan sekitar dan turut mendapati seperti ada kesan retak di cermin tingkap.

Shuhaimi menyifatkan perbuatan khianat itu sebagai tidak matang dan tidak ubah seperti perbuatan Ah Long mengugut orang yang tidak membayar hutang.

"Perbuatan ini mengambarkan sikap tidak matang dan cara pemikiran seperti 'along' yang dimiliki oleh pihak yg terlibat," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau memberitahu, beliau telah menghubungi pihak polis dan satu laporan polis akan dibuat oleh pengurus pusat khidmat rakyat Dun Sri Muda, Azmin jam 3 petang ini.

Mengulas lanjut mengenai pihak yang mendakwa beliau menderhaka kepada Sultan, beliau berkata, pihak ini dahulunya yang mencerca dan menghina Raja-Raja Melayu, namun sekarang ini mereka berlakon seolah-olah merekalah pembela Raja-Raja Melayu.

"Dulu pihak ini cerca, maki dan hina Raja-Raja Melayu, sekarang mereka berlakon kononnya merekalah benteng Raja Melayu.

"Saya yakin semua institusi beraja tahu siapa sebenarnya pihak yang mengurangkan kuasa raja dan menghapus kekebalan raja. Biar berapa lamapun mereka bermuka muka, akhirnya kebenaran akan muncul menghapus kepalsuan," katanya.

Tambahnya, perbuatan pihak berkenaan menyerlahkan lagi sikap terdesak untuk kelangsungan politik mereka.

"Apa saja yang dilakukan oleh pihak ini akan menyerlahkan lagi kerakusan mereka hanya untuk survival politik mereka sahaja. Lebih banyak keburukan seperti itu dilakukan, lebih mantap lakonan mereka, sebenarnya lebih cepat Putrajaya akan bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Perbuatan berbau ugutan itu tegasnya tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyatakan kebenaran.

"Tindakan berbau ugutan ini tidak akan mematahkan semangat saya, bahkan semakin ramai rakyat sedar duduk perkara yang sebenar. Iltizam kita mengangkat martabat raja, bukan seperti Umno BN yang mengurangkan kuasa raja," katanya.

Tulisan beliau di blognya 30 Disember lalu bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" didakwa memberi gambaran Sultan Selangor bertindak sewenang-wenangnya ketika memperkenankan pelantikan setiausaha kerajaan (SUK) negeri.


Kediaman Rocky's Bru dipecah masuk, kereta dicuri
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Rumah blogger proUmno Datuk Ahirudin Attan yang juga dikenali sebagai Rocky's Bru dipecah masuk dan kereta Peugeot 470 miliknya dicuri awal pagi ini, di Taman Damai Utama, Puchong.

Ahirudin, 49, yang juga Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian itu berlaku sekitar 3 pagi ketika beliau, isteri dan ibu mentua, dan tiga anak serta tiga anak saudara, sedang tidur.

"Kejadian itu disedari apabila ibu mentua saya bangun kira-kira 5 pagi dan melihat pintu utama rumah terbuka luas," katanya yang dipetik Bernama.

Ahirudin berkata bahawa sebaik menyedari perkara itu, ibu mentuanya memanggilnya dan beliau mendapati keretanya yang bernilai lebih RM100,000 dilarikan penjenayah.

Turut dibawa lari jam tangan isterinya yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.

"Mungkin barang rumah kami tak banyak, jadi bila nampak kunci kereta mereka terus mengambilnya. Saya bertanya kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan ini dan mereka nampak kereta saya dibawa keluar kira-kira jam 3 pagi," katanya.

Nama Ahirudin kembali diperkatakan di blog-blog sejak bulan lalu ekoran satu laporan di blognya yang menyiarkan pendedahan WikiLeaks bahawa salah seorang menteri Malaysia telah merogol seorang pembantu rumah warganegara Indonesia.

Laporan itu menggemparkan negera apabila mendakwa kejadian tersebut berlaku di era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan diketahui Abdullah sendiri, namun tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap menteri tersebut.

Sebelum ini juga, Ahirudin pernah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SCMM) ekoran tindakannya mendedahkan dalam blognya anak seorang menteri mendapat projek dari kementerian yang dijaga oleh menteri berkenaan.



Pemuda PAS anjur himpunan media baru
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat akan menganjurkan Himpunan Dunia Media Baru Peringkat Kebangsaan pada 15 Januari ini.

Menurut Ketuanya, Nasrudin Hassan, himpunan yang akan berlangsung di Hotel Green Park Temerloh Pahang itu dianjur bagi mencapai beberapa matlamat yang difikirkan perlu oleh dewan itu.

Ianya antara lain mahu mengeratkan hubungan DPP dengan semua pengamal media baru termasuk blogger, facebooker, websiter, dan twitter.

Selain mahu membina jejantas yang kukuh dan erat antara DPP dengan pengamal media baru, mereka juga mahu memberi sokongan padu kepada pengamal dunia baru untuk berperanan membentuk minda ummah.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyedari malah benar-benar memahami kepentingan dan keupayaan kuasa media baru menakluki dunia maklumat.

"Justeru itu, sebagai sayap penting kepada sebuah gerakan Islam (PAS) di Malaysia ini, Dewan Pemuda PAS merasakan media baru yang kini sedang membina empayarnya mestilah dipimpin dan dibimbing agar lahir sebuah dunia yang benar-benar boleh mendatangkan manafaat kepada ummah dan membina tamadun yang harmonis dan informatif," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan penganjuran itu juga antara lain mahu menjernihkan kekeliruan dan memurnikan persepsi terhadap DPP dalam satu dialog yang akan diadakan pada program itu.

Dengan penganjuran itu juga, mereka merancang untuk membentuk task force media baru yang berperanan membantu DPP.

"Langit terbuka ini bila-bila masa sahaja boleh diceroboh dan dihuni oleh petualang media yang berperanan melampiaskan fitnah jahat untuk mengkucar kacirkan dunia, mencetus permusuhan, merosakkan kejernihan maklumat, mengeksploitasi realiti dan mencemari persepsi," tambahnya lagi.

Program tersebut dijadual dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala dua kertas kerja akan dibentangkan.

Kertas kerja pertama bertajuk 'Media Baru dan Isu Semasa' akan dibentang oleh blogger Cucu Mat Kilau, manakala kertas kerja kedua 'Peranan Media Baru dalam Gerakkan Islam' dibentang oleh Pengerusi Akademik Tarbiyah Pemuda, Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua blogger untuk hadir bagi berkongsi pandangan bersama DPP.




Himpunan Dunia Media Baru Peringkat Kebangsaan Anjuran DPP Malaysia

http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Media Baru kini sedang membina empayarnya tersendiri malah berkeupayaan tinggi menandingi media cetak dan media elektronik yang lain. Inilah revolusi media di era langit terbuka. Persaingan informasi menjadi kian sengit serta pantas, terbuka, kreatif dan kritis menjadi sebahagian dari elemen penting dalam revolusi media ini.

2. Fenomena ini kian meluas dan sedang menakluki dunia dengan informasi tanpa sempadan. Berkemampuan pula membentuk minda masyarakat dan membina menara persepsi berketinggian melepasi awan. Terdedah kepada situasi yang positif dan juga negatif bergantung kepada bagaimana pengamalnya melestarikan revolusi ini.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyedari malah benar - benar memahami kepentingan dan keupayaan kuasa media baru menakluki dunia maklumat. Justeru itu, sebagai sayap penting kepada sebuah gerakan Islam [ PAS ] di Malaysia ini, Dewan Pemuda PAS merasakan media baru yang kini sedang membina empayarnya mestilah dipimpin dan dibimbing agar lahir sebuah dunia yang benar-benar boleh mendatangkan manafaat kepada ummah dan membina tamadun yang harmonis dan informatif.

4. Langit terbuka ini bila-bila masa sahaja boleh diceroboh dan dihuni oleh petualang media yang berperanan melampiaskan fitnah jahat untuk mengkucar kacirkan dunia, mencetus permusuhan, merosakkan kejernihan maklumat, mengeksploitasi realiti dan mencemari persepsi.

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia kini mengambil langkah menganjurkan Himpunan Dunia Media Baru di atas tujuan berikut [objektif]:

a] Mengeratkan hubungan DPP dengan semua pengamal media baru [blogger, facebooker, websiter, dan twitter]

b] Menjernihkan kekeliruan dan memurnikan persepsi terhadap DPP [melalui dialog]

c] Memberi sokongan padu kepada pengamal dunia baru untuk berperanan membentuk minda ummah.

d] Membina jejantas yang kukuh dan erat antara DPP dengan pengamal media baru.

e] Menyediakan kertas panduan kepada pengamal media untuk peranan mereka membantu DPP.

f] Membentuk task force media baru DPP.



6. Maklumat Himpunan Dunia Media Baru seperti berikut:

15 January 2011 bersamaan 10 Safar 1432 [hari sabtu]

09.00 am - 02.00 petang

Hotel Green Park Temerloh Pahang Darul Makmur




7. Tentatif :

08.00 am - 09.00 am : Pendaftaran [Yuran RM 10.00 shj]

09.05 am - 09.55 am : Perasmian oleh Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (naib Presiden PAS)

10.00 am - 10.20 am : Rehat dan minum pagi

10.25 am - 11.05 am :
Kertas 1: Media Baru dan Isu Semasa
oleh: cucu Mat Kilau

11.10 am - 12.00 pm : Kertas 2: Peranan Media Baru dalam Gerakkan Islam
oleh: Ustaz Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz (Pengerusi Akademik Tarbiyah Pemuda)

12.05 pm - 01.00 pm :
Dialog (Pengamal Media Baru dengan EXCO DPP Malaysia)

01.00 pm - 01.30 pm :
Penutup oleh: Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi (Ketua DPP Malaysia)

01.30 pm - 01.55 pm :
Pelancaran Task Force Media Baru DPP Malaysia dan solat Dzuhur berjamaah

02.00 pm : Bersurai



Jangan berasa lemah, PAS boleh menang
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 7 Jan: "Jangan sebut kalah, jangan lemahkan semangat kami, kita mahu menang", begitulah luahan anak-anak muda jentera PAS apabila berbicara tentang pilihanraya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini.

Kata-kata spontan itu keluar dari mulut mereka menunjukkan semangat untuk memastikan PAS menang pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Setiap pertandingan memerlukan kemenangan. Jika kita sudah tahu kalah, buat apa kita masuki pertandingan itu?" begitulah luahan seorang pemuda yang tinggal di Hulu Selangor, Khalid Hashim, 43, yang telah berkunjung ke Tenang bersama beberapa orang rakannya baru-baru ini.

Kata-kata penuh semangat itu, kemudiannya disokong oleh kawan-kawannya. Antaranya, Hashim, 33, dan Johari, 48, dengan menambah, "Jadi jika ditanyakan bolehkah kita menang? Jawapannya tentulah boleh," katanya.

Mereka menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menang. Semangat mereka jangan sekali-kali dilemahkan.

Menyelami lubuk hati, semangat, pemikiran dan penghayatan mereka, PAS sememangnya mempunyai peluang untuk menang, jika usaha-usaha tepat ke arah itu dilakukan dan dengan cara yang berkesan.

Penglibatan PAS dalam sebarang pertandingan dalam pilihanraya tentunya untuk menang. Namun kemenangan yang ingin dinikmati oleh PAS tentunya dengan cara bersih, tidak seperti Umno BN yang sanggup menggunakan pelbagai taktik kotor termasuk menabur fitnah, peras ugut, penyelewengan kuasa dan sebagainya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, dalam kenyataannya menegaskan, kawasan Dun Tenang sebahagiannya diliputi tiga buah Felda iaitu Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang.

Malangnya ketiga-tiga Felda itu, meskipun antara kawasan Felda yang terawal di Johor, namun paling mundur berbanding 317 Felda lain di seluruh negara.

Katanya, sebahagian besar pengundi adalah golongan muda manakala generasi muda Felda pula kini semakin matang dan sedar mengenai hak mereka yang selama ini ditindas di bawah kerajaan Umno-BN.

“Peneroka di kawasan ini mengeluh terhadap keadaan sosio ekonomi terutama golongan muda, program kebajikan, rumah generasi kedua. Ini adalah isu-isu besar yang melanda mereka. Keadaan ini menyebabkan timbul kebimbangan pada BN kerana golongan muda ini telah mula sedar tentang hak mereka,” jelasnya.

Menurut perangkaan PRU Ke-12 tahun 2008, pengundi-pengundi di kawasan DUN Tenang terdiri daripada 48 peratus Melayu, 39 peratus Cina, 12 peratus India dan selebihnya lain-lain bangsa.

Statistik menunjukkan bahawa pengundi Cina telah menyokong pembangkang (PAS dan DAP) pada PRU Ke-12, memandangkan undi pembangkang mendahului BN di kawasan yang majoritinya Cina.

Pengundi Cina terletak di sekitar pekan Labis manakala pengundi Melayu terletak di tiga buah Felda iaitu Chempera, Chempera Barat dan Tenang. Pengundi Melayu juga terletak di kampung tradisi Melayu di sekeliling Labis.

Untuk menang dalam pilihanraya itu, PAS hanya perlu menawan hati penduduk di kawasan tiga buah Felda dan kampung tradisi Melayu itu sahaja, manakala DAP dan PKR boleh memberikan tumpuan kepada pengundi Cina dan India di kawasan pekan.

Itulah kata-kata Mazlan dan itulah juga kata-kata yang dipegang oleh para petugas PAS di Tenang sekarang, termasuk ketiga-tiga lelaki pejuang yang ditemui semalam.

Manakala beberapa orang petugas lain yang baru pulang dari Tenang dan turut ditemui petang semalam, turut menjelaskan, peluang PAS di Tenang kini sememangnya semakin cerah.

"Kebanyakan pengundi muda di kawasan itu sudah semakin berfikiran matang dan berhasrat untuk turut menyumbang bagi kemenangan PAS. Mereka sudah bosan dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno-BN yang ternyata hanya tahu mengeluarkan janji-jani manis, tetapi tidak tahu pula melaksanakannya.

"Antaranya, yang amat dirasai oleh mereka, kenaikan harga minyak petrol RON97 sebanyak 10 sen menjadikannya RM2.40 seliter dan kenaikan harga bawang, walaupun ia dijanjikan tidak akan dinaikkan oleh pemimpin Umno-BN.

"Kenaikan harga petrol RON97 itu dibimbangi akan menjadi helah pemimpin Umno-BN untuk turut menaikkan harga petrol RON95 tidak lama lagi. Kenaikan harga bawang pula pada mereka ternyata tidak berasas," jelas Mohamad Kamal dengan turut dipersetujui rakan-rakannya yang lain yang kebetulan sedang minum di sebuah restoran bersama-sama penulis petang semalam.

Mereka juga menjelaskan, para pengundi muda di kawasan DUN Tenang turut bimbang, jika terus diberikan kemenangan kepada BN, harga petrol termasuk RON95 dan barangan keperluan harian lain pasti akan terus naik.

"Jika ketika menghadapi pilihanraya pun mereka berani menaikkan harga barangan, apatah lagi setelah menang pilihanraya. Tentulah semakin menjadi-jadi perangai 'tamak' dan 'haloba' para pemimpin Umno-BN untuk terus kaya, tanpa diambil kira kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dalam pelbagai keadaan," jelas mereka mengulangi balik apa yang diluahkan oleh para pengundi di Tenang kepada mereka beberapa hari lalu


Memerangi khurafat Melayu di Tenang

Majdan Dagang

Kamus Dewan mendefinisikan khurafat sebagai kepercayaan yang karut, dongeng. Apabila disebut khurafat, antara perkara yang terbayang di fikiran kita ialah mandi safar atau mandi tolak bala, kenduri pecah perut, kenduri tolak bala, upacara mendirikan rumah baru, upacara penyembelihan ayam hitam, cukur jambul dan banyak lagi.

Umumnya semua umat Islam tahu bahawa mempercayai dan mengamalkan perkara-perkara khurafat adalah berdosa kerana haram hukumnya. Namun Khurafat jenis ini telah semakin berkurangan kerana kebanyakan generasi baru sama ada telah celik Islam dan meninggalkan amalan-amalan ini.

Ada juga yang tidak mengamalkan perkara-perkara khurafat tersebut kerana mereka berasa amalan tersebut kolot dan ketinggalan zaman. Bukan kerana kefahaman melalui agama.

Namun, ramai yang tidak sedar masih ada khurafat yang lebih besar daripada khurafat di atas. Khurafat jenis ini memang pernah dibincangkan tetapi masih dalam kerangkan kecil-kecilan.

Memandangkan masyarakat Malaysia telah semakin cerdik, maka wajar khurafat jenis ini dibincangkan kembali dengan lebih serius. Antara khurafat yang besar dan masih diamalkan oleh sebahagian rakyat Malaysia ialah “Hanya Umno-BN boleh memerintah negara”. Khurafat jenis ini hendaklah dimasukkan sekali dalam kempen Pilihan raya Kecil Dun Tenang, Johor supaya orang Melayu terutamanya di Felda Tenang terbuka sedikit mindanya.

Selama lebih 50 tahun khufarat jenis ini berjaya memukau kebanyakan pengundi terutamanya orang Melayu. Selama tempoh itu jugalah apa sahaja tindakan Umno-BN disandarkan kepada khurafat ini. Rakyat ketika itu menerima penyelewangan, penindasan, penipuan dan sebagainya kerana percaya khurafat yang mengatakan pihak lain tidak boleh mentadbir negara.

Jika pihak lain yang memerintah rakyat akan susah kerana siapa nak buat jalan raya, sekolah, masjid, universiti. Siapa yang nak bagi subsidi atau insentif, siapa nak bagi air dan elektrik. Hanya Umno-BN yang boleh bagi semua itu. Begitulah khurafat yang ditanam selama ini ke dalam minda rakyat khususnya yang masih duduk di bawah tempurung.

Khurafat jenis ini memang payah nak diubah. Ada banyak faktor yang menyukarkan mengikis khurafat jenis ini. Hal ini kerana khurafat jenis ini turut dianuti oleh sesetengah ahli agama. Kadang kala sukar dipercayai bagaimana ahli agama turut terpengaruh. Adakah kerana RM? Padahal sudah terang lagi bersuluh, rezeki datangnya dari Allah, tugas pemimpin hanyalah mengagih-agihkan mengikut keperluan masyarakat. Bukan untuk dibolot oleh diri sendiri, ataupun ahli keluarga yang tidak layak.

Lihat sahaja sejarah Umar Abdul Aziz. Semasa menjadi Perdana Menteri atau khalifah, baginda telah memberi kata dua kepada isteri kesayangannya Fatimah Abdul Malek, “Pilih aku atau gelang di tanganmu”. Fatimah memilih suaminya, Umar. Gelang hadiah daripada ayahanda dimasukkan ke dalam baitul mal.

Bukan ahli agama tidak tahu kisah Umar Abdul Aziz ini. Mereka buka sahaja tahu kisah ini, malah tahu ciri-ciri orang yang sepatutnya diangkat sebagai pemimpin. tetapi mungkin mereka sayangkan RM dan pangkat maka mereka buat-buat tak tahu.

Apabila ahli agama sendiri meletakkan hukum berlandaskan RM, apalah diharapkan rakyat marhaen ini. Mujurlah masih ada ahli agama yang tidak tertarik dengan RM. Mereka inilah yang benar-benar menjadi “ulama pewaris para nabi”. Mereka mengorbankan peluang untuk senang kerana mempertahankan Islam yang sebenar.

Ulama pewaris para nabi bukan sahaja perlu berhadapan dengan pemimpin yang zalim, rakyat yang jahil bahkan terpaksa berhadapan dengan golongan “ahli agama RM”.

Ahli agama RM ini diangkat oleh pihak pemerintah agar segala kegiatan khurafat mereka dapat diselindungkan. Maka rakyat yang buta mata hatinya akan lebih mudah dipengaruhi. Selain ahli agama, mana-mana penjawat awam yang mempunyai kepercayaan khurafat ini dengan mudah dinaikkan pangkat ke kedudukan yang strategik dalam kerajaan. Mereka secara tidak langsung menjadi mata dan kepala untuk memerhatikan dan mengawal mana-mana kakitangan kerajaan yang tidak berpegang kepada khurafat ini.

Golongan yang paling ramai menganuti khurafat ini kebanyakannya warga emas, warga Felda, dan para pecinta RM. Lihat sahaja dalam PRU12 pada tahun 2008 yang lalu. Salah satu kubu kuat penganut tegar khurafat ini datangnya dari kawasan Felda. Berapa banyak kerusi yang dimenangi oleh Umno-BN bersandarkan kelompok ini.

Jika khurafat ini berjaya dihapuskan atau setidak-tidaknya dikurangkan, bukan sahaja Dun Tenang, malah Malaysia pun boleh dikuasai oleh Pakatan Rakyat


Tiada ulasan: