Jumaat, 7 Januari 2011

KERANA ADANYA RAKYAT BARU ADANYA PEMIMPIN....SEBELUM TU PUN KITA RAKYAT BIASA JUGA.....

Pemimpin mesti dahulukan rakyat



ISLAM sangat menekankan kepada peranan dan tanggungjawab seseorang pemerintah atau pemimpin. Hal itu jelas sebagaimana tercatat dalam hadis Rasulullah diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua.”

Bahkan ada juga pandangan yang mengatakan melantik pemimpin atau ketua dalam masyarakat Islam adalah wajib hukumnya. Pandangan tersebut diutarakan oleh Ibnu Taimiyyah yang mengatakan kepemimpinan adalah sebesar-besar kewajipan dalam Islam. Bagaimanakah ciri-ciri seorang pemimpin Islam yang baik sebagaimana dituntut oleh agama? Dalam permasalahan ini Imam Ghazali ada mengemukakan beberapa ciri yang seharusnya ada pada diri seseorang pemimpin Islam. Pertama, seseorang pemimpin seharusnya membayangkan dia berada dalam kedudukan orang yang diperintah dan kedudukan rakyatnya dalam kedudukannya supaya dia tidak melakukan perkara yang tidak diingini kepada diri sendiri. Di sini bermakna seseorang pemimpin semestinya dapat merasai kesusahan rakyat jelata dan berusaha mewujudkan sikap menyayangi mereka.


Kedua, seseorang pemimpin itu tidak seharusnya menolak jika ada orang memerlukan bantuan datang ke rumahnya. Ini yang dikatakan pemimpin mesti mendahului rakyat dan tidak mementingkan diri sendiri. Faktor ketiga seseorang pemimpin perlu mengamalkan kehidupan bersederhana dan bersifat tawaduk. Sikap inilah yang sukar dicari pada masa kini kerana nafsu untuk menimbunkan harta kekayaan dan kebendaan seolah-olah menjadi hala tuju. Seharusnya seseorang pemimpin Islam menjadikan perjalanan hidup Khalifah ar-Rasyidin seperti Umar al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai penanda aras dalam membentuk peribadi diri. Sabda Rasululllah, “Siapa yang ditinggalkan harta, pada para warisnya dan siapa yang ditinggalkan hutang atau orang yang melarat, dia perlu datang padaku, kerana akulah penjaganya.” (Hadis riwayat Bukhari) Ini menjelaskan kepada kita tentang tanggungjawab seorang pemimpin membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya. Dengan itu, seseorang pemimpin Islam yang berwibawa dan memenuhi piawai sebenar ialah yang sentiasa tidak boleh duduk diam kerana dia sentiasa memikirkan kesusahan rakyat dan apabila mengetahui ada orang yang perlukan bantuan, maka dengan tindakan segera diberikan pertolongan. Inilah jiwa seorang pemimpin Islam yang sebenar.

Keempat, seseorang pemimpin Islam mesti melaksanakan sesuatu tugas dan pekerjaan dengan tenang. Inilah ciri dan nilai yang menggambarkan kewibawaan hebat seseorang pemimpin. Kelima, mesti bersikap adil dan mencuba sedaya upaya menyenangkan semua orang. Tiada istilah kronisme dan anak emas dalam kotak pemikiran seseorang pemimpin Islam yang sejati. Semua orang yang di bawahnya mendapat hak dan keadilan yang saksama.


Ciri keenam yang digariskan oleh Imam al-Ghazali ialah seseorang pemimpin mesti mempunyai kesedaran tinggi bahawa dia berhadapan dengan amanah Allah yang pasti akan ditanya mengenai tanggungjawab di akhirat kelak. Tidak ada sebarang makna kepada rakyat jelata seandainya pemimpinnya menyeleweng dan cuai dari tanggungjawabnya atau tidak jujur dalam urusan rakyat. Sebab itu kita dapati bahawa Umar Al-Khattab apabila melihat ada seekor kambing mati, dia termenung dan sedih atau risau sangat kalau-kalau kambing itu mati akibat kecuaiannya. Hebatnya peribadi dan hati Umar itu. Adakah lagi pemimpin seperti Umar di bumi Allah ini ? Seterusnya kata Imam Al-Ghazali, pemimpin Islam yang baik itu akan sentiasa suka berdamping dengan alim ulama dan sukakan kepada orang-orang yang berilmu. Pemimpin Islam yang berwibawa lagi hebat keperibadiannya menjadi penggiat dan pendorong kepada aktiviti keilmuan. Inilah yang ada pada diri khalifah ar-Rasyidin, pemimpin kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abbasiyah dan juga kerajaan Turki Uthmaniyah dulu. Tidak hairan pusat pengajian ilmu pengetahuan dan kegiatan meneroka ilmu begitu rancak dijalankan sehingga terbina masyarakat Islam yang hebat dalam segenap bidang. Pemimpin yang mencintai ilmu pengetahuan adalah seorang pemimpin Islam yang sejati. Hal itu tergambar bukan semata-mata mengarahkan atau mewar-warkan agar rakyat mendalami ilmu pengetahuan, tetapi dia sendiri menunjukkan teladan kepada rakyat yang dia juga seorang yang dahagakan ilmu.


Selain itu, kata Imam Ghazali lagi seseorang pemimpin juga seharusnya dapat mengawal tingkah laku orang bawahan atau rakyatnya daripada perbuatan bertentangan dengan syariat Islam. Dengan erti kata lain pemimpin Islam itu mesti bertindak tegas menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran. Juga seseorang pemimpin perlu memiliki daya juang yang mantap dalam perkara yang diharuskan agama dan sentiasa mempunyai azam teguh dalam wawasan memajukan ummah.

Demikian ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh seseorang pemimpin Islam dalam mengendalikan urusan kepada rakyatnya. Dalam usaha mengangkat martabat ummah, peranan dan tanggungjawab pemimpin akan menjadi faktor pemangkin utama. Jadikan kehebatan dan keunggulan pemimpin Islam terdahulu sebagai ikutan dan idola dan bangkitlah menjadi sehebat mereka. Kepemimpinan adalah satu keperluan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Lantaran itu, Islam telah menggariskan prinsip-prinsip asas dalam aspek kepimpinan. Semua yang bergelar pemimpin pasti akan dipersoalkan Allah di akhirat nanti apakah mereka telah melaksanakan amanah yang disandang di bahu mereka itu. Pemimpin yang menyeleweng dan tidak beramanah pasti akan berhadapan azab seksa maha pedih dari Allah manakala pemimpin yang jujur dan mematuhi kehendak Islam sudah tentu berada di bawah lindungan Allah.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menasihatkan pemimpin yang katanya; “Seseorang yang bergelar pemimpin bukan bermakna berada pada kedudukan tertinggi atau memiliki keistimewaan, tetapi ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Pemimpin perlu memiliki sifat rendah diri dan tawaduk dalam menjalankan tanggungjawab serta sanggup merasai kesusahan yang dialami rakyat.” Fikir dan renungilah!

Penulis seorang guru

Tiada ulasan: