Jumaat, 23 November 2012

SAMA2 DOA KEHANCURAN...ORANG NI KATA-MENGATA...MAKA DUA PIHAK BERDOA LAH....KITA TENGOK SAPE YANG KENAAA...

Dewan Selangor izin orang luar buat sidang media

Afeeqa Afeera Selangorku, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri tidak bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan sudut media di lobi Dewan Annex oleh orang luar sepertimana diputuskan oleh parlimen Malaysia kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim (gambar).
Sebaliknya menurut Teng, sesiapa sahaja berhak mengadakan sidang media selagi mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita menghalang sebarang bentuk demonstrasi atau bantahan yang akan menimbulkan kekecohan di sini,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini, lapor Selangorku.

Katanya, pelaksanaan larangan di Parlimen itu disifatkan sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara atau menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.

Awal November lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan larangan lisan penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli Parlimen.

Dalam sidang media sama, Teng turut menerangkan garis panduan yang akan diguna pakai oleh Adun dalam mesyuarat Dewan Negeri yang dikuatkuasa serta-merta.

Antaranya, berkenaan Peraturan Tetap 24 di mana masa untuk Menteri Besar memberi jawapan lisan kepada setiap pertanyaan adalah terhad kepada tiga minit, masa untuk Adun mengeluarkan pertanyaan tambahan adalah terhad kepada 30 saat dan masa untuk Menteri Besar memberi jawapan balas terhad kepada tiga minit.

Sementara itu, di bawah Peraturan Tetap 26 menerangkan sesuatu usul yang dicadangkan itu akan digugurkan sekiranya tidak memperolehi sokongan daripada seorang Adun lain untuk dibahaskan.

“Berkenaan Peraturan 66(4), masa yang diperuntukkan bagi membincangkan setiap kepala perbelanjaan dalam anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang hendaklah tidak kurang daripada setengah jam.

“Pada akhir perbincangan, mana-mana kepala anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang, Menteri Besar boleh meminta izin untuk membuat penggulungan selama tiga minit.

“Walau apa pun yang diperintahkan di sini, Tuan Speaker atas pertimbangannya boleh melanjutkan had masa yang ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan masa,” katanya lagi.

AES mudahkan BN kalah PRU13

Roketkini.com, 22 Nov 2012
NASIB baik ada juga rakyat cerdik yang memenangkan Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, pada pilihan raya umum lalu.


Kalau  tidak, sudah pasti nasib mereka juga sama dengan rakyat di negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) akan menjadi mangsa ‘penghisap darah’ menerusi pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

‘Penghisap darah’ AES itu tidak dapat menguatkuasakan sistem itu di empat negeri berkenaan kerajaan negeri PR berjaya menghalang dengan tidak membenarkan kamera itu dipasang.

Bagaimanapun, rakyat di negeri yang diperintah PR tidak terlepas, sebaliknya turut dikenakan saman jika mereka pergi ke negeri yang diperintah BN yang pasti banyak dipasang kamera AES.

Walaupun BN menang dalam pengundian untuk melaksankan AES di Dewan Rakyat, tetapi wakil rakyat pembangkang sudah berusaha untuk menghalang sistem itu dilaksanakan.

Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan itu diluluskan selepas 78 Ahli Parlimen bersetuju, cuma 49 yang tidak bersetuju.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menerima asakan bertubi-tubi daripada Ahli Parlimen pembangkang yang bangkit mempertikaikan AES.

Keadaan itu mencetuskan kekecohan berikutan Cho Ha dihujani pelbagai persoalan dan dakwaan mengenai pemasangan kamera AES serta keberkesanannya mengurangkan jumlah kematian pengguna jalan raya.

Situasi menjadi semakin gamat apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang juga berjuang melalui NGO Kempen Anti Saman Ekor (Kase) membangkitkan persoalan mengenai dua syarikat utama yang mendapat tender pemasangan kamera AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Mengikut Mahfuz melalui maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ATES Sdn Bhd adalah syarikat berdaftar pada 12 Februari 2009 dan perniagannya berasaskan konsesi yang diperoleh daripada kerajaan termasuk sistem penguatkuasaan trafik automatik.

Manakala Beta Tegap Sdn Bhd didaftar pada 7 Februari 2004 mendapat kelulusan kerajaan menjalankan operasi membekalkan barangan dan perkhidmatan, menguji, serta memasang AES.

Yang dipertikaikan Mahfuz macam mana dua syarikat ini boleh dapat jaminan tender daripada kerajaan sedangkan Kabinet meluluskan AES pada 2006 dan saringan pemilihan tender dilakukan pada 2008.

“Ini menunjukkan ada yang tidak kena… ini bukan untuk menyelamatkan nyawa manusia tapi untuk mengperkayakan kroni dengan merompak wang rakyat. Ini perompak jalanan namanya,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Fong Po Kuan juga bangun mencelah dan mendesak perjanjian pemberian tender antara dua syarikat itu dengan Kementerian Pengangkutan yang menjadi Akta Rahsia Rasmi didedahkan kepada umum.

Apabila AES dikuatkuasakan nanti tidak tahu nasib rakyat yang menjadi mangsa. Sudahlah sekarang rakyat dibebani dengan pelbagai saman termasuk oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak lama lagi akan dibebankan dengan saman AES pula.

Ramai juga yang berang dengan keputusan meneruskan AES dan mereka mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memasang kamera AES di Pekan dan Pagoh.

Sekarang rakyat boleh berfikir sendiri, apa sebenarnya yang UMNO-BN dewa-dewakan sehingga menarik balik penangguhan AES. Ini satu lagi membuktikan UMNO-BN lebih utama memperkayakan kroni daripada membela nasib rakyat.

Walaupun rakyat diberi pelbagai ‘gula-gula’ pilihan raya termasuk BR1M untuk memenangkan BN, tetapi habuan itu dengan sendirinya akan terhapus apabila mereka terpaksa membayar saman EAS nanti.

Hak PAS doa Umno hancur

Subky Latif, 22 Nov 2012
SATU dari acara menyemarakkan Mukktamar PAS ke-58 di Kota Bharu minggu lalu ia solat hajat raksasa dan berdoa moga-moga Allah musnahkan UMNO/Barisan Nasional.
Ia mendapat reaksi yang berbagai khususnya dari pemimpin dan penyokong UMNO. Macam-macam mereka burukkan tindakan  PAS itu.

Apa yang  PAS buat itu adalah haknya. Ia tidak dilarang oleh perlembagaan dan tidak menyalahi peraturan dan undang-undang pertubuhan. Ia juga tidak menyalahi amalan demokrasi.

PAS itu dipimpin oleh para ulama. Tiadalah organisasi ulama yang paling besar dan paling berwibawa di negara ini selain dari PAS. Muafakat para mufti dan majlis fatwa hanya dianggotai oleh tidak lebih 30 orang. Ulama yang menyertai UMNO pula mungkin paling ramai 300 orang.

Tetapi yang bersama  PAS ada di mana-mana. Bagi mereka berdoa  minta UMNO dibinasakan tidak melanggar syarak. Jika ada di kalangan ulama yang mengatakan tindakan PAS itu tidak betuk pada syarakatnya, ia adalah kejadian yang terpinggir. Tetapi yang bersama PAS itu boleh dikira ijmak.

Apapun yang PAS buat itu ialah antaranya dengan Allah. Ia mengadu tentang nasibnya yang lemah untuk menghadapi UMNO itu kepada Allah. Orang PAS tidak boleh tipu Allah. Orang-orang PAS itu merasa yakin mereka ditindas oleh UMNO dan kerajaan.

Dan doa yang paling makbul ialah doa orang yang tertindas. Allah membuka perkenanNya  jika hambaNya tertindas mengadulah kepadaNya,  nescaya diperkenanNya doa itu.

Kalau UMNO tidak pernah tindas dan tipu mereka, tidaklah bodoh hendak perkenankan doa PAS itu. Masakan PAS boleh tipu Allah.

Dan jika UMNO rasa bahawa tindakan PAS itu tidak betul kerana mereka tidak buat apa-apa pada PAS selama ini, maka UMNO pun mengadu pula kepada Allah, solat hajat, baca Yasin, puasa dan sebagainya minta Allah jangan kabulkan doa PAS itu.

Bahkan UMNO juga berhak berdoa kepada Allah supaya binasakan pula PAS.

PAS yang berdoa itu kerana mereka percaya bahawa doa itu senjata orang beriman. Berdoalah apa  saja asal jangan mendoakan keburukan kepada agama Allah dan orang-orang yang beriman. Jika UMNO percaya doa itu senjata orang beriman dan ia percaya bahawa PAS adalah kaki pecah belah dan tidak betul-betul Islam, bolehlah  ia pula mendoakan kebinasaan PAS.

Sebagaimana UMNO pernah mencadangkan supaya nama Islam itu dipotong dari PAS, maka ia boleh doakan setiap lepas solat moga-moga Allah cabut kalimah Islam itu dari nama PAS.

Apa yang PAS buat itu sebenarnya tidak mengganggu UMNO dan tidak memaksa rakyat supaya mengaminkannya. Jika orang UMNO  terperangkap dalam majlis PAS dan PAS berdoa minta UMNO dibinasakan, kalau UMNO merasa takut orang kata apa kalau dia tidak angkat tangan, maka dia boleh angkat tangan tetapi jangan aminkan doanya.

Oleh kerana itu tidak ada apa-apa sebab bagi  UMNO, kiranya ia adalah pertubuhan yang betul-betul membela orang Melayu  dan  Islam untuk bersusah payah mengutuk PAS yang berdoa itu. Masakan Allah akan memihak kepada orang yang salah.

Jika cara PAS tidak rasional, tiada integriti, terdesak, politik bodoh dan lain-lain biarkan ia dengan kebodohannya. Biarkanlah PAS jadi macam Luncai dan Pandir.

Yang peliknya UMNO kelam kabut dengan doa itu.

Ingat Umno, ingat rasuah!

Ahmad Tajdid, 22 Nov 2012
"Penerima dan pemberi rasuah masuk neraka." (Hadis riwayat At Tirmidzi)

"Allah melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad)


Ketua penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan baru-baru ini dilaporkan tidak senang hati dengan tuduhan bahawa "Umno sahaja yang terlibat dalam rasuah" sebaliknya berpendapat rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tidak kenal siapa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato' Tengku Adnan Mansor beberapa minggu lalu bahawa antara cabaran semasa Umno adalah menangani isu "persepsi rasuah".

"Rasuah tidak boleh dibandingkan antara sesebuah parti, tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu jantina serta tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu bangsa," kata Ahmad.

"Jangan menuduh rasuah hanya berlaku di kalangan orang Umno sahaja. Isu rasuah adalah merentas semua," katanya dalam satu sidang akhbar selepas berkempen di Hentian Jalan Duta, lapor Malaysian Insider.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mendakwa kerajaan BN tegas dalam membanteras rasuah.

Tidak sesiapa pun yang akan menyanggah pandangan Ahmad Maslan bahawa rasuah itu boleh berlaku merentasi manusia, masa dan ruang. Tidak ada sesiapa juga yang boleh mendakwa bahawa parti yang diwakilinya dijamin seratus peratus bersih daripada penyakit rasuah.

Selagi manusia punyai rasa tamak, ketagih pengaruh dan kemaruk kuasa, rasuah menanti masa untuk bertapak dan menjadi budaya yang sukar dibendung.

Persoalannya, setakat manakah komitmen sesebuah parti politik itu untuk menbanteras rasuah? Sehingga mana komitmen parti itu untuk mengenal pasti, menghukum dan menyisih anggota parti yang terlibat dengan jenayah keji itu?

Prinsip utama dalam menyelesaikan masalah adalah mengakui wujudnya masalah. Bagaimanapun Umno sebagai parti teras BN dilihat enggan mengakui wujudnya rasuah dalam parti itu.

Mempopularkan istilah "politik wang" dalam pemilihan parti adalah bukti wujudnya 'sindrom nafi' (denial syndrome) dalam Umno terhadap gejala rasuah. Ia sebenarnya satu usaha kosmetik bagi menggambarkan bahawa "politik wang" tidaklah seberat kesalahan rasuah.

Oleh kerana itulah ada kalangan pemimpin Umno yang terlibat dalam "politik wang" (atau lebih tepatnya rasuah) diberi pangkat kedudukan selepas tamat menjalani hukuman Lembaga Disiplin parti. Contoh paling menonjol ialah bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang digantung jawatannya dalam parti dan kerajaan kerana terlibat dalam 'politik wang'. Isa juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas bebas dari hukuman gantung jawatan, Isa diberi laluan untuk bertanding dalam PRK Teluk Kemang dan seterusnya dilantik Pengerusi Felda!

Satu lagi contoh tidak seriusnya kerajaan BN pimpinan Umno dalam membanteras rasuah adalah kes suapan rasuah membabitkan calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Raja pada PRU ke-11 (2004), Sanip Isnin.

Sanip mendakwa cuba disogok oleh wakil BN dengan imbuhan RM100,000 sekiranya beliau bersetuju menarik diri dari bertanding. Dua 'orang tengah' iaitu pemimpin Umno Cawangan dan pemimpin Pemuda Umno Kawasan 'ditangkap basah' oleh petugas PAS di rumah Sanip ketika cuba menyerahkan wang pendahuluan berjumlah RM5000.

Kejadian ini berjaya dirakam oleh petugas PAS dan dua orang tengah itu ditahan sehingga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tiba. Telefon bimbit yang dimiliki Pemuda Umno terbabit juga mengandungi nombor telefon calon BN, Dato’ Halimah Mohamad Sadique.

Bagaimanapun apa yang berlaku kemudiannya amat mendukacitakan.

Walaupun BPR telah menyiapkan laporan dan fail siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara, namun Peguam Negara enggan membawa kes tersebut ke mahkamah. Keengganan Peguam Negara membawa kes suapan rasuah itu ke mahkamah dicabar bekas calon PAS. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi memutuskan menolak permohonan Sanip kerana hakim berpendapat menjadi hak (prerogatif) kepada Peguam Negara menurut Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Kita juga boleh melihat bagaimana laihnya pihak berkuasa apabila berhadapan dengan salah laku rasuah pemimpin Umno. Di Selangor sebagai contoh, puluhan kes rasuah dan penyelewengan yang didedahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak diambil peduli SPRM dan polis.

Pengerusi Selcat, Dato' Teng Chang Khim kesal kerana SPRM dan polis enggan meneruskan siasatan hasil daripada pendengaran awam Selcat sedangkan wujud bukti penyelewengan dan rasuah dalam kes-kes yang diperdengarkan.

Menurutnya, SPRM dan polis tidak seharusnya menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk melakukan siasatan kerana mereka boleh mengikuti pendengaran awam yang dibuat Selcat secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui laman web khas.

"Setakat ini saya belum nampak ada tindakan susulan daripada mereka walaupun ada beberapa kes termasuk penyelewengan Balkis yang dipengerusikan isteri mantan MB, Datin Zaharah Kechik," tegasnya.

Begitu juga dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap Adun BN Selangor bagi tahun 2008 yang dihabiskan sebelum Mac tahun yang sama. Pendengaran awam Selcat mendapati peruntukan itu diselewengkan untuk aktiviti parti dan kempen pilihan raya.

Banyak lagi tindakan rasuah pemimpin Umno yang boleh disenaraikan. Namun cukuplah kita memetik tulisan mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad dalam blognya Che Det bahawa "Umno sudah busuk sampai ke perut".

Walaupun pun Dr Mahathir hanya memetik kenyataan seorang veteran Umno terhadap apa yang berlaku dalam parti itu, jelaslah bahawa Umno tidak boleh dipisahkan dengan rasuah dan penyelewengan.

Pendek kata, "Ingat Umno, ingat rasuah!"

MB Kedah bercakap tentang bolasepak

Bashir Ishak, 22 Nov 2012

(Ustaz Azizan bercakap tentang bola di DUN Kedah)


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak hari ini menunjukkan pengetahuan dan minatnya yang mendalam tentang sukan khasnya bolasepak.

Ketika menggulung perbahasan dalam Dewan Undangan Negeri Kedah, beliau memberitahu, bukan mudah untuk mengurus sebuah pasukan bola sepak kerana permainan bola sepak ini ada kalanya di atas dan ada masanya di bawah.

Beliau mengulas pandangan ahli dewan berkaitan kemerosotan pasukan bolasepak Kedah pada tahun ini.

Beliau memberitahu sidang dewan bahawa bahawa pengurusan sesebuah pasukan bolasepak bukanlah mudah sepertimana yang dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu Cardiff City (Vincent Tan) dan Queens Park Rangers (Tony Fernandez).

"Saya dulu tak suka pasukan Manchester United pasal ada Jordan (Joe Jordan) dan saya sokong Liverpool kerana ada Kevin Keegan. Manchester ada dua pasukan United dan City. Manchester City dulunya hebat kemudiannya jatuh dan mengambil masa untuk bangun semula.

"Sekarang City dah ada pengurus baru,  Mancini. Mereka kuat balik, tapi malam tadi kalah dengan Real Madrid," katanya.

Katanya, lagi pasukan bolasepak Kedah pada musim akan datang akan distruktur semula dengan gandingan pemain yang terdiri pemain tempatan dan luar negera termasuk dari Brazil.

SUA TG Nik Aziz sahut debat Minda Pondok

Salmiyah Harun, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran debat Minda Pondok bagi menjernihkan tuduhan yang dilemparkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cabaran itu, katanya khusus bagi memperbetulkan tuduhan terhadap Tuan Guru khususnya dalam isu doa dan dakwaan memurtadkan Umno.

"Saya dengan rendah hati menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang saya kira perlu untuk dilaksanakan.

"Dalam hal ini saya kira samada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada mana-mana pihak ketiga untuk menjadi urusetia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap Minda Pondok boleh menerima cadangan ini sekiranya benar-benar mereka ikhlas untuk menjernihkan suasana.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, dalam isu debat perlulah sekurang-kurangnya panelis yang terlibat dilihat sama kedudukan sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

"Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Tuan Guru dalam apa jua tajuk sekalipun," katanya.

Namun, beliau turut memuji Minda Pondok yang dilihat lebih berani daripada Perdana Menteri dalam hal ini.

Ini kerana katanya, cabaran debat ini agak kontra dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayan cabaran debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas alasan bahawa debat bukan budaya rakyat negara ini.

Beliau memberi respons demikian ekoran cabaran debat oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka sebagai Minda Pondok seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Minda Pondok dilaporkan mencabar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat berdebat dalam isu doa dan dakwaan bahawa UMNO murtad

Isu doa petanda Umno dalam ketakutan

Harakahdaily, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Menghangatkan isu doa menandakan Umno kini berada dalam keadaan ketakutan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

“Namun oleh kerana Umno semakin rapuh, menyebabkan doa pun ditakuti. Sepatutnya kalau Umno rasa tak betul (doa itu), mereka doalah pula (yang lain). Semua kita faham doa tersebut bukanlah untuk menghancur atau melaknat manusia. Doa kepada sabuah parti yang menjadi lawan bagi PAS,” kata Tuan Ibrahim.

Isu doa yang dibaca oleh oleh Ustaz Nik Razi Nik Mat dalam Munajat Perdana anjuran PAS Jumaat lalu, kata Tuan Ibrahim, tidak perlu dipertikai oleh mana-mana pihak, kerana doa untuk parti lawan kalah dan dimusnahkan adalah perkara normal dalam mana-mana perlawanan.

Bahkan, katanya tiada pihak boleh menyekat seseorang untuk berdoa demikian.

“Apa yang penting, kalau Umno rasa tertekan dengan doa demikian, Umno boleh berdoa agar parti lawannya musnah atau kalah. Kita yakin Umno juga melakukan demikian. Adakah sesuatu yang pelik untuk berdoa agar parti lawan musnah dan hancur? Adalah aneh untuk menyatakan ianya salah atau bercanggah dengan Islam,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga mengingatkan bahawa Umno bukanlah parti Islam dan terdapat pelbagai tindakan parti Umno yang terang-terangan bertentangan dengan peraturan dan ajaran Islam.

“Perdana Menteri dari Umno juga secara terang terangan menolak hukum hudud, memberi lesen kepada perkara yang diharamkan Allah, membenarkan amalan riba dalam institusi perbankan serta menambahkan lesen perjudian yang jelas diharamkan oleh syarak dan pelbagai tindakan zalim lainnya.

"Zalim bukan sahaja membunuh dalam tragedi Memali yang sehingga kini belum diadili. Tetapi sebesar-besar zalim bilamana menolak hukum dan peraturan Allah,” tegas beliau.

Hujah beliau, isu doa diperbesarkan oleh Umno kerana  Muktamar PAS berjaya memberi impak politik besar bilamana Ucapan Dasar Presiden PAS diterima oleh orang ramai dan deklarasi harta oleh Ketua Pemuda PAS berjaya menaikkan imej PAS di mata rakyat.

“Isu yang hangat dimainkan media adalah sesuatu yang bukan dasar parti. Ucapan perwakilan, doa oleh seorang imam, dan pertikaian jawatan PM kesemuanya bukanlah dasar parti,” terang beliau.

Adalah pelik, kata Tuan Ibrahim, seandainya sesebuah parti meminta parti lawan menjadi kuat dan gagah, sedangkan PAS telah dizalimi sebegitu lama terutamanya di Kelantan.

“Orang yang bermain bola pun mendoakan pasukan lawannya lemah, dan kalah inikan pula parti politik yang sentiasa berlawan sejak lebih 50 tahun,” sindirnya.

Di penamat kenyataannya, Tuan Ibrahim sekali lagi berkata PAS menyeru seluruh ahli melakukan solat hajat, munajat dan mendoakan kemenangan PAS dan Umno berjaya dikalahkan dalam PRU akan datang di samping doakan untuk saudara Islam di Palestin, Gaza, Myanmar.

Malaysia beli kamera AES jauh lebih mahal

Muhammad Faizal, 22 Nov 2012

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri didakwa telah membeli kamera perangkap laju AES bagi kegunaan polis pada kadar lebih mahal dari harga sebenar.

Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar memberitahu, kamera Laser Digicam itu dibeli dengan harga RM173,385 seunit.

Bagi kamera model Laser Truecam pula dibeli dengan harga RM223,500 seunit.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri mendakwa negara luar telah membeli kamera tersebut dengan harga yang lebih murah.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada dokumen pembekal kepada kerajaan di tiga negeri di Amerika Syarikat antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.

"Dokumen yang kita ada ini menunjukkan di negara luar hanya membayar dalam RM15,000 hingga RM19,000 sahaja atau AS$4,995 hingga AS$6,378, kenapa kita berbelanja lebih dari itu," jelasnya.

Beliau yang juga turut mempersoalkan adakah proses pembelian ini dilakukan secarta terbuka atau pun tidak.

"Kita minta kerajaan menjelaskan syarikat manakah yang telah dipilih untuk membekal kamera tersebut," sambungnya lagi.

Dokumen yang didedahkan mendapati kerajaan negeri Montana menawarkan AS$4,995 dan Idaho AS$5,057.44 untuk setiap unit kamera jenis Laser Trucam.

Manakala, negeri Delaware menawarkan AS$6,378 bagi jenis Laser Digicam.

Difahamkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM23.5 juta bagi tujuan pembelian kamera tersebut.

Ianya diperolehi secara berperingkat sejak 1995 yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 85 unit bagi model Digicam dan 39 unit bagi Truecam.

"Kita tidak tahu kenapa harga kamera yang dibeli oleh kerajaan itu jauh lebih mahal," soal Mahfuz.

Tiada ulasan: