Jumaat, 16 November 2012

INSYAALLAH APA DIHARAP@DIHAJATI AKAN DITUNAIKAN OLEH ALLAH...SEMUA DALAM ILMU ALLAH...TIDAK ADA KEBETULAN BAGI ALLAH

Ketua Tentera Hamas terbunuh, amaran Israel

Terjemahan Mohamad Yahya, 15 Nov 2012
Israel menghantar "mesej yang jelas" kepada Hamas melalui pembunuhan komander tinggi tentera dan bersedia untuk meluaskan operasinya di Gaza jika perlu, amaran dari Perdana Menteri Israel, Binyamin Netanyahu.


"Hari ini kita menghantar satu mesej yang jelas kepada Hamas dan pertubuhan pengganas yang lain, dan jika perlu kita bersedia untuk meluaskan operasi," katanya dalam ucapan di televisyen petang Rabu lalu.

Bercakap beberapa jam selepas gelombang serangan udara di Semenanjung Gaza Palestin yang membunuh ketua tentera Hamas, Ahmad Jabari dan enam orang lain, Netanyahu berikrar bahawa Israel tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana tembakan roket api ke wilayahnya.

"Hamas dan organisasi pengganas telah memilih untuk meningkat serangan mereka ke atas rakyat Israel baru-baru ini. Kami tidak akan bertolak ansur dengan situasi warganegara Israel diancam oleh serangan roket," kata beliau selepas berunding dengan kabinet keselamatan beliau.

Wartawan Al-Jazeera, Baba Nadim yang melaporkan dari Gaza berkata, "30 saat yang lalu terdapat satu lagi letupan besar. [Serangan] telah berlaku sepanjang petang ini."

"Ia bukan hanya serangan udara, tetapi juga serangan dari kapal-kapal tentera laut Israel  yang hanya berada di luar pantai Gaza."

"Jalan-jalan di Gaza City pada petang Rabu lalu sangat senyap, yang kedengaran hanyalah bunyi ambulans." lapor Nadim.

"Laporan terbaru dari sumber perubatan adalah sekurang-kurangnya tujuh orang telah terbunuh, termasuk dua kanak-kanak, dan sekurang-kurangnya 60 orang telah cedera, termasuk 10 kanak-kanak."

Mark Regev, jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel, memberitahu Al-Jazeera, "Kami terus menyerang Hamas, tapak peluru berpandu mereka, kerana kami tahu mereka akan segera memberi tindak balas. Sebenarnya kami tidak mahu pertempuran ini, kami hanya terpaksa untuk melakukannya."

"Kami tidak akan membenarkan Hamas untuk melakukan keganasan kepada rakyat kami," katanya. "Semua pilihan masih terbuka. Matlamat kami yang paling penting adalah untuk melindungi rakyat kami. Hamas telah sengaja mensasarkan orang awam. Mereka juga dengan sengaja menggunakan orang awam Gaza sebagai perisai manusia juga." (aljazeera.com)

PAS sudah ada 25 kerusi dalam tangan

Mohd Sayuti Omar, 15 Nov 2012
ANALISA POLITIK KELANTAN

Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini Pas masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.
Kedudukan ini berdasarkan angka dan suasana semasa. Saya meletakkan Pas melebihi Umno dua atau tiga kerusi saja. Angka hampir sama gagah iaitu Pas 25,  Umno 20 kerusi. Saya tidak mahu menggunakan istilah status quo seperti tahun 2004. Kenapa?

Di atas kertas bagi Pas mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.

Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403),  Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).

Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk Pas dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Dengan kedudukan ini secara mudah Pas hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk mendapat majoriti mudah, 23 kerusi. Lapan kerusi itu Pas boleh mengambilnya daripada kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Terdapat 12 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chondong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270).  Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.

Berdasarkan status itu Pas dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini Pas akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.

Terdapat tiga kerusi Umno yang menang di bawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).

Pun begitu Pas tidak boleh bersedap hati. Pas perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi di bawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi 'senak' buat Pas dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.

Seandainya Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.

Bagaimana pun harus diingat, politik itu serba mungkin dan tidak mustahil Umno dengan usaha bersungguh-sungguh akan berjaya merampas kerusi-kerusi dianggap kritikal ini. Sekiranya Pas selesa dengan keadaan hari ini, ia tidak mustahil bagi Umno yang mempunyai semangat juang lebih tinggi dari Pas mampu membuat up-set.

Justeru Pas perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan Pas perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. Pas tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbih di tangan. Dalam dunia politik tasbih tidak banyak membantu.

Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi 'senak' berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.

Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan performance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah melibatkan moral.

Keperluan menukarkan calon-calon ini juga bukan saja terkira kerana majoriti yang dicapainya rendah, kurang 1,000 tetapi wakil rakyat yang selalu sakit, uzur, malas dan tidak memberi sumbangan besar kepada parti dan kerajaan juga perlu direhatkan.

Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar direhatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk direhatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.

Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.

Tidak keterlaluan dikatakan kalau Pas sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaikan ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan Pas. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkinan juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.

Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau Pas masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalaman berdasarkan kroni) tidak mustahil juga Pas boleh menangis tidak berirama dan akan berlaku istidraj politik. - http://msomelayu.blogspot.com/

AES, Harakah, Bersih4 dibahas dalam usul Pemuda

Nazri Abdullah, 15 Nov 2012
KOTA BHARU: Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-53 kali ini menerima empat usul untuk dibahaskan oleh para perwakilan pada hari ini.

Usul pertama berkaitan politik dan pilihan raya yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Jasin yang mengusulkan kepada muktamar supaya mendesak pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan Himpunan Bersih 4.0 ekoran ketidakpedulian kerajaan terhadap tuntutan Bersih 3.0 sebelum ini.

Usul kedua pula berkaitan media rasmi PAS, Harakah yang perlu diperkasa yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah.

Usul tersebut antara lain mahu PAS Pusat membuat penstrukturan semula sidang editorial Harakah dan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk menapis dan mengawal kandungan pemberitaan Harakah dan Harakahdaily.

Usul ketiga pula berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang di kemukakan Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri.

Usul tersebut mendesak agar AES ditangguhkan serta merta dan mendesak agar satu mekanisma trafik baru dibuat yang bersifat mendidik dengan kajian dan piawaian negara maju.

Bagi usul keempat pula, Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu muktamar membuat keketapan mendesak Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan para pemimpin MCA lain yang terlibat menghinan Islam secara terbuka untuk membuat permohonan maaf.

Usul tersebut juga mendesak muktamar mencabar Dr Chua Soi Lek berdebat berhubung isu ini dan mendesak semua pihak tidak menggunakan agama sebagai alat menghina pihak lain.

Ianya termasuk Umno yang dilihat terus membisu biarpun rakan mereka MCA, terus menerus membuat penghinaan terhadap agama Islam.

Bagaimanapun kesemua usul-usul ini akan dibahas pada sesi muktamar petang nanti.

Dua usul tanpa bahas

Sementara itu, muktamar juga menerima dua usul tanpa bahas yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian.

Usul pertama adalah supaya Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan khususnya agama di negeri yang dikuasai.

Justifikasinya menurut usul itu, berdasarkan Bajet 2013, tiada sebarang peruntukan khas diberikan kepada pendidikan agama seperti kepada Sekolah Agama Rakyat.

Usul kedua pula adalah mendesak seluruh organisasi PAS mempertingkat usaha dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka lebih memahami tentang Islam.

Usul tersebut turut mendesak supaya program dialog dengan orang bukan Islam diperbanyakkan dengan memanfaatkan sepenuhnya Dewan Himpunan Peyokong PAS.

Dunia mesti bertindak segera elak perang di Gaza

Harakahdaily, 15 Nov 2012

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk serangan ganas Zionis Israel kelmarin yang telah membunuh Ketua Komando Briged Al-Qassam Ahmad Jabari dan anaknya dalam suatu serangan pengecut dari udara oleh tentera udara Israel.

Kini persiapan penuh sedang digerakkan oleh Israel untuk melancarkan perang ke atas Gaza, kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Kini, katanya jika masyarakat dunia tidak bertindak pantas situasi yang bakal berlanjutan adalah kemusnahan dan pertumpahan darah rakyat awam dalam perang kedua setelah peperangan Al Furqan yang telah membuktikan kezaliman  Israel mengganas ke atas Gaza pada 2008-2009.

“Kami mendapati Zionis Israel tidak mempedulikan akibat yang bakal berlaku bila ia melancarkan  operasi mensasar assasinasi pemimpin Hamas.

“Sehingga ini Israel tidak menghentikan serangan dan meneruskan kepungan ke atas Gaza tanpa sebarang tindakan tegas oleh mana-mana agensi antarabangsa,” ujarnya.

Katanya, Israel jelas melancarkan serangan ini dalam agenda menghadapi pilihanraya umum untuk mendapat mileage bagaimana regim ganas yang diketuai oleh Ehud Barak boleh kekal berkuasa.

Justeru, kata beliau Mapim mendesak supaya agensi Majlis Keselamatan PBB segera bersidang untuk memutuskan resolusi menahan serangan  Israel ke atas Gaza dan melindungi rakyat awam Gaza.

Beliau menambah, seluruh negara OIC mesti segera bersiap jika berlaku peperangan untuk melindungi Gaza dari kehancuran jika Israel sekali lagi melancarkan serangan ke Gaza.

“Kami juga menggesa supaya Presiden Mesir bertindak memberi tekanan kepada Israel supaya tidak menyerang Gaza dan bersedia membantu rakyat Gaza untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Katanya lagi, Mapim mengusulkan agar Malaysia mengambil inisiatif supaya OIC dan NAM menyuarakan kecaman ke atas Israel sekaligus bertindak melancarkan kempen antarabangsa untuk menghalang peperangan.

“Dengan ini Mapim mengumumkan pelancaran kempen dan mobilisasi antarabangsa untuk menyekat keganasan Israel dan mengumpul bantuan kemanusiaan jika keadaan memerlukan,” ujarnya.

Muktamar penuh dewan-dewan bermula

Harakahdaily, 15 Nov 2012

(Perwakilan Muktamar Muslimat di dewan KTC, Kota Bharu. - foto Rizal Tahir)

KOTA BHARU: Muktamar dewan-dewan PAS bermula hari ini dengan Muktamar Dewan Ulamak memulakan muktamar bermula pagi ini manakala dewan mulimat dan pemuda bermula malam tadi.

Perasmian Muktamar Dewan Ulamak disempurnakan oleh ketuanya, Datuk Harun Taib di Dewan Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan dekat sini.

Sementara itu, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda menyambung muktamar mereka pagi ini selepas selesai majlis perasmian malam tadi.

Lebih 600 perwakilan Muslimat sudah mula memenuhi Dewan Utama Kelantan Trade Centre bagi mengikuti Muktamar Dewan Muslimat PAS kali ke-52 yang akan dimulakan jam 9 pagi nanti.

Muktamar Muslimat akan mengetengahkan enam agenda utama iaitu membentang dan mengesahkan peringatan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kali ke-51.

Agenda kedua membentang dan menerima laporan tahunan DMPP bagi sesi 2011 dan 2012.

Agenda ketiga, membentang dan menerima laporan kewangan DMPP berakhir 31 Disember 2011.

Agenda keempat, perbahasan usul-usul dari perwakilan dan kawasan iaitu usul pekerjaan dan usul Petaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang melibatkan warga pendidik.

Agenda kelima adalah memilih 20 perwakilan Muslimat untuk ke Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung esok di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Dan agenda terakhir ialah ucapan penangguhan daripada perwakilan negeri dan pimpinan Muslimat.

Muktamar Muslimat dijangka akan ditangguhkan jam enam petang ini.

Pembangkang Syria tubuh ibu pejabat di Kaherah

Terjemahan Mohamad Yahya, 15 Nov 2012
KAHERAH: Pakatan pembangkang baru Syria akan menubuhkan ibu pejabatnya di Kaherah, hab diplomasi Arab, dalam usaha melobi kuasa asing dalam mendapatkan pengiktirafan mereka sebagai kerajaan Syria yang sah, kata pegawai dalam pakatan tersebut.
Mouaz Alkhatib, ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang melarikan diri dari Syria ke Kaherah Julai lepas, telah dipilih Ahad lalu untuk mengetuai pakatan tersebut, dalam cubaan terbaru mewujudkan kumpulan yang bersatu selepas lebih daripada satu tahun pertelingkahan dengan Bashar al-Assad.

Pakatan pembangkang semakin ditekan untuk membentuk sebuah badan yang boleh memerintah selepas kejatuhan Assad dengan kumpulan penentang meneruskan pertempuran dan negara terus terperangkap dalam keadaan ekonomi dan sosial yang teruk.

"Keputusan telah diambil untuk menjadikan Kaherah ibu pejabat tetap bagi pakatan pembangkang Syria untuk bertemu dan melakukan perancangan," ujar pembantu Alkhatib dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Ahli pakatan, Walid el-Bunni dari bekas Majlis Kebangsaan Syria (SNC) mengesahkan keputusan tersebut Rabu lalu dan berkata pakatan berkenaan sedang berbincang dengan kerajaan Mesir untuk memuktamadkan isu ibu pejabat berkenaan.

Enam negara Teluk Arab dan Perancis telah mengumumkan sokongan mereka terhadap kerajaan pakatan tetapi ia masih tidak mendapat pengiktirafan penuh dari Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Liga Arab. (asharq-e.com)

Protes selepas Jordan naikkan harga minyak

Terjemahan Mohamad Yahya, 15 Nov 2012
Perdana Menteri Jordan mengumumkan kenaikan harga gas dan bahan api yang lain, mengakibatkan tercetusnya demonstrasi di seluruh negara dan panggilan untuk mogok umum.

(Penunjuk perasaan di Amman melaungkan "Kebebasan adalah daripada Tuhan, bukannya dari anda, Abdullah" [Reuters]

Penunjuk perasaan Selasa lalu menyatakan masalah Jordan berpunca dari Raja Abdullah II, yang mempunyai kata putus dalam semua perkara sivik. Mereka juga menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, pembantu kanan raja.

Pengumuman Perdana Menteri, Abdullah Ensour di stesen TV kerajaan yang menyentuh keperluan untuk mengimbangi $5 bilion kerugian negara dari bil bahan api yang semakin meningkat.

Berita itu mencetuskan protes di ibu negara, Amman, dan sekurang-kurangnya 12 bandar lain di seluruh Jordan.

"Revolusi, revolusi, ia adalah revolusi yang popular,'' laung kira-kira 2,000 penunjuk perasaan dalam demonstrasi spontan di dataran utama di Amman, yang menempatkan Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain jabatan penting kerajaan.

Para penunjuk perasaan, kebanyakannya dari umat Islam, nasionalis Arab, Marxsis, komunis dan belia, mensasarkan Abdullah dalam demonstrasi awam terhadap raja yang jarang-jarang berlaku.

Mengkritik raja di tempat awam adalah dilarang di Jordan dan boleh dijatuhkan hukuman sehingga tiga tahun penjara.

Beberapa jam kemudian, kira-kira dua  dozen penunjuk perasaan dozen cuba untuk membawa turun potret jalanan raja yang digantung di papan iklan, tetapi gagals setelah polis rusuhan mengelilingi potret tersebut. (aljazeera.com)

PM hendak tunggu kalah besar atau menang besar

Aslani M, 15 Nov 2012

KOTA BHARU: Berlainan berbanding dewan-dewan lain, Dewan Ulama menampilkan perwakilan dan pemerhati berjubah memenuhi Dewan Duyung, Perdana Resort tempat berlangsung muktamar kali ke-51, hari ini.

Jam 9 pagi perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan muktamar, bermulanya muktamar membincangkan halatuju PAS terutamanya menghadapi pilihan raya ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Bacaan al Quran pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Ustaz Wan Ismail Wan Abdul Halim memulakan sidang muktamar.

Kemudian semua perwakilan dan pemerhati berdiri menghayati alunan al Asma Ul Husna, diikuti pula dengan lagu PAS yang berkumandang begitu bersemangat.

Bukan lagi seperti sebelumnya, perwakilan kelihatan sebahagian besar kalangan ulama-ulama muda, bagi meneruskan kesinambungan pemimpin veteran. Terdapat juga perwakilan muslimat.

Pengarah muktamar, Dr Khairuddin Ahmad Razali merakam ucapan terima kasih di atas kesungguhan Ulamak PAS Kelantan menyediakan tempat yang selesa berlangsung muktamar di tepi pantai.

Muktamar juga akan menyaksikan pelancaran beberapa buku bagi melengkapkan lagi perjuangan ulama. Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yakub, Naib Dato’ Dr Mahfudz Mohamad dan muktamirin.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’  Harun Taib berkata, muktamar ditangguh ke hari ini sepatutnya diadakan pada Jun lalu kerana desas desus pilihan raya umum ke-13.

“Dato’ Seri Najib hendak tunggu menang besar atau kalah besar. Ini menyebabkan muktamar kita lewat sikit daripada jadual sepatutnya.

"Muktamar sebelum ini nampak saf kepimpinan terdiri daripada orang muda,” katanya pada ucapan dasar.

Setiausaha Agung PAS terima Anugerah Tokoh Pemuda

Nazri Abdullah, 15 Nov 2012
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali diberi anugerah khas Tokoh Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-53 kali ini.

Mustafa yang pernah menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda, diberi anugerah tersebut berdasarkan komitmen beliau dengan perjuangan parti sehingga kini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu malam tadi.

Mustafa menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1975 hingga 1987 sebelum dilantik sebagai Bendahari Agung PAS Pusat dari tahun 1987 hingga 1997.

Beliau kemudian dipilih sebagai Naib Preseiden PAS Pusat pada 1997 hingga 2005.

Beliau juga dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 2005 sehingga tahun 2009 serta Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat sejak 1997 sehingga 2009.

Kini beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PAS.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dari tahun 1982 sehingga 1990.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun dan Adun Pengkalan Berangan dari tahun 1999 hingga 2004.

Pada zaman pemerintahan kerajaan PAS di negeri Terengganu pada tahun 1999-2004 beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) dan menjawat portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia dari tahun 1999-2004.

Sementara itu, beberapa lagi anugerah turut disampaikan sempena muktamar pemuda malam tadi.

Anugerah Pejuang Rakyat dibuat khusus bagi menghargai jasa dan pengorbanan individu yang telah memperjuangkan hak rakyat segaligus terlibat dalam mencorak politik tanah air.

Lima orang yang telah dipilih menerima anugerah ini. Antaranya Pengerusi Yayasan Amal Haji Hussin Ismail diatas jasanya mengemudi Yayasan Amal membantu misi kemanusiaan di luar negara.

Selain beliau, Puan Norlaila Othman yang merupakan isteri kepada salah seorang bekas tahanan ISA, juga diberi anugerah pejuang rakyat ekoran perjuangannya yang berterus menentang akta zalim itu.

Tiga lagi yang menerima anugerah itu ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama BERSIH), Nazri Deraman (Pengerusi NGO Royalti) dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (Presiden Anak).

Pemuda PAS lancar DVD animasi 3D Pasti

Nazri Abdullah, 15 Nov 2012
(Datuk Mustafa Ali menyempurnakan pelancaran DVD animasi Pasti)

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Malaysia semalam turut melancarkan DVD terbaru animasi 3D maskot Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Hadi dan Huda.

Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-53 di Dewan Jubli Perak di isini malam tadi.

DVD ini antara lain mengisahkan Hadi dan Huda sebagai dua orang adik beradik yang membesar dalam sebuah keluarga yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup mereka.

Mereka kanak-kanak yang soleh dan pintar dan mempunyai imaginasi yang tinggi.

Mereka juga meneroka kehidupan sebagai kanak-kanak dan belajar dari setiap pengalaman sehingga membentuk syakhsiyah yang baik dalam diri dengan bimbingan ibu bapa, guru dan pemimpin.

Sempena muktamar kali ini, Dewan Pemuda PAS menjual DVD ini dengan harga promosi RM10.

Sempena pelancaran DVD ini juga, perwakilan yang hadir turut diberi peluang bergambar dengan kedua-dua maskot Pasti ini.

Sedutan beberapa minit dari DVD ini turut ditayangkan kepada para hadirin malam ini.

Pelancaran ini juga menunjukkan kejayaan Dewan Pemuda PAS sejak 28 tahun penubuhan Pasti.

Sementara itu turut dilancar malam ini Alternative Photography Club yang akan menghimpunkan para pemuda yang berminat dengan kemahiran fotografi.

Pelancaran itu telah disempurnakan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Ianya juga sebagai satu lagi cabang pemuda untuk mendekati anak muda yang kini sinonim dengan trend berkamera.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga malam ini turut melancarkan Facebook dan Twitter rasmi mereka yang disempurnakan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Sementara itu, anugerah Pasti terbaik juga turut disampaikan mala mini.

Pasti Negeri Selangor menggondol Anugerah KPI Pasti Negeri Terbaik dengan mendapat markah 95 peratus.

Pasti Kawasan Gombak pula memenangi Anugerah Pasti Kawasan Terbaik dengan jumlah markah 91 peratus.

Bagi Anugerah Pengurusan Kewangan dan Perbekalan Pasti Negeri Terbaik pula dimenangi Pasti Negeri Perak.

Bangga dengan Muslimat, lebih ramai calon PRU

Salmiyah Harun, 14 Nov 2012

(Ustaz Hadi menzahirkan rasa bangganya dengan muslimat)

KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa bangga beliau dengan penglibatan Muslimat PAS yang dilihat jauh kehadapan berbanding parti-parti lain.

Sehubungan dengan itu, katanya, besar kemungkinan PAS akan meletakkan lebih ramai calon muslimat akan diletakkan PAS dalam pilihan raya umum akan datang ini.

"PASlah yang pertama mengetengahkan muslimat bertanding, pada tahun 1959. Bukan nak berlagak. Tapi PAS memang tidak ada was-was dengan penglibatan Muslimat dalam pilihan raya," katanya.

Presiden PAS itu melahirkan rasa bangga beliau itu ketika berucap di depan lebih 600 perwakikan Muslimat PAS dari seluruh negara dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS malam ini.

Beliau mengulanginnya ketika sidang media yang diadakan sejurus selepas selesai majlis perasmian muktamar Dewan Muslimat itu.


(Antara tetamu yang menyertai Muktamar Dewan Muslimat)

Dalam pada itu, beliau mahu muslimat terus ke hadapan dalam menjalankan tugasnya memenangkan Islam khasnya menyampaikan mesej PAS kepada bukan Islam.

"Khususnya sampaikan mesej Islam terutama orang Islam yang termakan khurafat Umno terutama dalam situasi masyarakat majmuk," katanya.

Beliau juga berkata, Muslimat PAS wajib menunaikan tanggungjawab iaitu jihad fardhu ain khususnya apabila masyarakat berada dalam keadaan bahaya.

"Hari ini musuh bukan masuk negeri, tetapi masuk dalam rumah. Serangan pemikiran terhadap kita, tidak sempat untuk mengawal anak-anak.

"Maka jihad jadi fardu ain, selamatkan anak Melayu," katanya di depan lebih 600 perwakilan Muslimat.

Dalam masa yang sama katanya, Muslimat harus memperkenalkan Islam yang adil kepada masyarakat bukan Islam selain mengajak mereka tanpa paksaan kepada Islam.

Abdul Hadi turut menegaskan para Muslimat perlu berilmu dan faham sebelum menjadi pemimpin kerana Islam mengagungkan mereka yang faham dan berilmu.

"Cuma saya mahu muslimat berilmu, fakih dan faham...tak ada ilmu buat-buat faham, tidak boleh!

Beliau turut menyeru para Muslimat agar bersedia dengan kekuatan yang ada walaupun pihak lawan yang cukup kaya, mewah dan ramai.

"Bersedialah dengan sifat-sifat iman, sabar dan  tahan menghadapi kepayahaan dalam perjuangan 'bertugas di mana sahaja dengan ikhlas.  Kemenangan kita adalah kemenangan menentang kezaliman," katanya di akhir ucapan.

Abdul Hadi Awang turut menurunkan tandatangan di replika poskad Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia sebagai gimik perasmian Muktamar Muslimat PAS Pusat kali ke-52.

Tiada ulasan: