Selasa, 20 November 2012

BERJUANG ISLAM NI...MENANG ATAU MATI SYAHID...MEMPERJUANG ISLAM SATU TUNTUTAN YANG WAJIB BUKAN FARDHU KIFAYAH

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu

Aspan Alias, 19 Nov 2012
Barisan Nasional tidak dapat meyorokan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh di ketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu bukannya parti yang tidak boleh di ketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang akan datang ini.


Maka pimpinan BN buat pertama kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat untuk beliau duduk di kerusi PM itu.  Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan parti yang baru beliau pimpin itu.

Selain dari masalah kejatuhan sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan penjelasan.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?

Pertamanya UMNO terpaksa berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara. Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih baik dari BN selama ini.

Keduanya, UMNO sendiri bermasalah dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’ dalam banyak hal serta permainan ‘cah keting’ yang menular di setiap peringkat parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.

Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah keadaan berpuak-puak dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’ yang mereka sangka akan mengambilalih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.

Itulah sebabnya saya sibuk melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.

Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.

Malahan ramai di antara mereka telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN) sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa bukannya mereka (BN).

Oleh kerana rakyat sudah merasa sedikit kenikmatan hasil dari pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke Putrajaya.

Seperti yang saya sebut tadi, UMNO mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya di sebabkan mereka hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.

UMNO berpuak kerana mereka sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambilalih secepat yang mungkin, jika boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.

Banyak di antara isu terhadap Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang. Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda tidak berapa lama lagi.

Saya suka mengulangi yang perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’ UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh pembangkang. Pendeknya Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan dalam UMNO itu sendiri.

Saya tidak tahu bagaimana UMNO boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.

Tentu Dr Mahathir tahu apa yang berlaku dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain dalam UMNO yang sudah lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.

Hanya saya berharap dan berdoa tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih Putrajaya jika di izin Tuhan.

Kita hanya merancang, Tuhan sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan mengakui yang kerja Tuhan  penuh misteri. Tetapi jika di dasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.

Jika DIA berkehendak semuanya boleh berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Ahli PAS dekati pengguna dengan Touch n Get

Harakahdaily, 19 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dengan dunia teknologi yang semakin berkembang pesat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melancarkan satu aplikasi Anroid pada muktamar tahunan ke-58 parti itu di Kota Bharu, minggu lalu untuk ahli dan penyokong PAS mendekati para pengguna melalui medium smartphone.


Parti Islam SeMalaysia (PAS) memperkenalkan aplikasi Android rasmi mereka yang dikenali sebagai PAS Touch n Get (TnG).

Buat masa ini, aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan IT PAS Pusat (JITP) ini masih tidak dimuat-naik ke Google Play Store dan memerlukan pengguna memuat-turun fail APK dan memasangnya pada peranti mereka.

Bagi anda yang menggunakan peranti Android, mungkin boleh memuat-turun dan mencubanya sendiri pada peranti anda hari ini.

Aplikasi Touch n Get (TnG) itu boleh dimuat turun dari laman web http://www.pas.org.my/TnG.

Pengarah IT PAS Pusat, Shuhaimi Embong memberitahu aplikasi Android PAS TnG sekarang ini dengan saiz sekitar 10MB masih mempunyai pelbagai kekurangan padanya seperti interface (antaramuka) yang memerlukan pengguna untuk mempunyai akses internet bagi melihat kandungan utama aplikasi berkenaan seperti sejarah PAS, info semasa, semakan daftar pemilih dan sebagainya melalui tujuh menu yang disediakan iaitu Berita, Kenali PAS, Aktiviti PAS, Webtv, Facebook, Twitter, dan Extra.
Dalam menu berita mengandungi berita Harakah, berita mengenai PAS Pusat, Ulamak PAS Pusat, Pemuda PAS Pusat, Muslimat PAS Pusat, Presiden PAS.

Portal seperti Tranungkite, Malaysiakini, Keadilan Daily, Bernama, Islam Online, dan Al-Jazeera boleh diakses menggunakan aplikasi ini.

Dalam menu Kenali PAS mengandungi sejarah, misi, visi, perlembagaan, pimpinan, keahlian, lagu rasmi, hubungi, direktori Pejabat PAS Negeri dan Kawasan.

Dalam menu WebTV mengandungi semua chanel WebTV PAS seperti TVPAS, KelantanTV, TV Selangor, TrgKiniTv, MakmurTV, AmanTV, EhsanTV, YopTV, KinabaluTV dan lain-lain serta Aljazeera, IslamChannel TV, TV Hijrah, etc.

Dalam menu Facebook dan Twitter pula semua ahli PAS Pusat, Ulamak Pusat, Pemuda Pusat, Muslimat Pusat, Harakah Daily, Mursyidul Am, dan Presiden PAS boleh diakses.

Akhir sekali, menu Extra mengandungi bahagian semakan pemilih, Al-Mathurat, Hadith Arbain, Doa Harian, dan Buku Jingga.

Namun, untuk beberapa info tambahan yang ditawarkan oleh aplikasi berkenaan, seperti doa-doa harian, hadith Arbaín, Al-Mathurat dan sebagainya, akses internet tidak diperlukan.

Dasar perumahan timbul kekeliruan pembeli

Anis Nazri, 19 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dasar Perumahan Negara yang dibentangkan baru-baru ini dilihat tidak memberi sebarang makna kepada pembeli yang menjadi mangsa projek terbengkalai. Sebaliknya, ia hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan pembeli yang sebelum ini dijanjikan memperoleh pengecualian bayaran kos faedah atas pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai, tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
"Saya mengharapkan jawapan kementerian hari ini memberikan beberapa ramuan untuk menyelesaikan masalah pembeli yang terkesan dengan projek perumahan terbengkalai.
"Tapi, saya terkejut dengan jawapan menteri yang menyatakan status pembeli masih kekal iaitu terpaksa membayar bayaran bulanan dan juga caj faedah ke atas rumah mereka yang tidak wujud," kata beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
Berkata demikian sebagai mengulas jawapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bagi kementerian tersebut.
Selain menyifatkan pembeli menanggung kerugian sebanyak dua kali, manakala pemaju dan syarikat perbankan mendapat keuntungan dua kali, Azan berkata kerajaan seolah-olah 'takut' dengan pemaju dan syarikat perbankan.
Tegas beliau, pihaknya begitu bersimpati dengan nasib mangsa projek rumah terbengkalai yang sudah pun membuat bayaran ke atas pinjaman dan kadar faedah pinjaman tersebut.
Justeru, Azan mengharapkan kerajaan membuat pertimbangan semula berhubung perkara tersebut bagi memastikan nasib mereka yang teraniaya ini terbela.

Mouaz Al-Khatib: Pemimpin pembangkang baru Syria

Terjemahan Mohamad Yahya, 19 Nov 2012
DOHA: Dalam soal percampuran politik dan agama, Sheikh Ahmad Mouaz al-Khatib, pemimpin baru pakatan pembangkang Syria mempunyai pepatahnya sendiri: "Ia adalah lebih baik untuk agama mencapai seseorang yang mempunyai kedudukan, daripada seseorang yang beragama mencapai kedudukan. "
Ahad dua minggu lalu, Khatib, seorang imam, penulis dan aktivis, telah dipilih untuk mengetuai Pakatan Kebangsaan Syria, kumpulan pembangkang yang baru bersatu bertujuan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.

Seorang bekas jurutera yang menghabiskan puluhan tahun dekad bekerja sebagai Imam di masjid-masjid di seluruh Damsyik, termasuk masjid berprestij, Masjid Umayyah, Khatib telah menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong revolusi anti-Assad.

Walaupun tokoh agama lain menyokong kerajaan Assad, Khatib adalah antara mereka yang pertama untuk mengumumkan sokongan bagi revolusi berkenaan.

"Ia seperti satu suntikan keyakinan telah disuntik ke rakyat Syria selepas beliau diumumkan sebagai ketua Pakatan Kebangsaan Syria," kata Maha, seorang aktivis pembangkang di Homs yang tidak memberi nama penuh beliau kerana takut dikenakan tindakan. "Kami akhirnya mempunyai seseorang yang benar-benar mewakili kami dan mewakili semangat revolusi."

Bercakap untuk kebebasan

Hanya 20 hari selepas meletusnya protes anti-rejim di seluruh negara pada 15 Mac, 2011, Khatib telah dilihat di pinggir bandar Damsyik, Douma, di pengebumian seorang penunjuk perasaan anti-kerajaan yang dibunuh oleh pasukan keselamatan.

"Kami bercakap untuk kebebasan setiap manusia di negara ini, untuk setiap Ahlus Sunnah wal Jamaah, Alawiah, Ismailiah, Kristian, bagi setiap Arab dan setia Kurd," ucap beliau pada hari tersebut di atas sebuah platform yang tinggi.

Penunjuk perasaan di pengebumian berkenaan memberi tindak balas dengan bersorak: "Orang-orang Syria adalah satu."

Dua hari berikutnya, Khatib di pengebumian penunjuk perasaan lain yang terbunuh di pinggir bandar Damsyik, Madimiyyah.

"Mereka yang bebas merasakan kesakitan orang lain, menijwai perasaan mereka, menangis dengan mereka dan menuntut  hak mereka," katanya kepada mereka yang sedang berkabung di Madimiyyah.

Khatib telah ditangkap beberapa kali kerana penglibatan beliau dalam gerakan, termasuk pemenjaraan yang terbaru pada bulan April 2012.

Dalam satu temu bual dengan Al Jazeera Ogos lalu, Khatib berkata bahawa seorang ahli  dalam lingkungan kecil Assad telah menghubungi beliau pada bulan Februari untuk meminta beliau tampil dengan inisiatif untuk menamatkan pertumpahan darah di negara ini kerana "kapal sedang karam dan kita semua berada di dalamnya".

Khatib berkata pegawai-pegawai kerajaan memberinya jaminan dan "ruang kebebasan" untuk menghubungi tokoh pembangkang dan mencadangkan draf inisiatif. Tetapi sebaik sahaja selepas beliau mengemukakan draf itu, yang memanggil untuk peralihan kuasa yang lancar, Khatib telah ditahan selama 11 hari. Dia melarikan diri ke Kaherah, Mesir, sejurus beliau dibebaskan dari penjara.

Ibrahim al-Assil, seorang penyelidik Syria berusia 28 tahun, yang menghadiri masjid di tempat Khatib mengajar berkata: "Menggunakan platform masjid, Khatib sentiasa mengkritik kesilapan rejim, beliau enggan menjadi seorang yang hipokrit dan memuji presiden dan enggan untuk membaca ucapan yang disediakan untuknya oleh pegawai-pegawai kerajaan. "

Khatib telah dipindahkan dari satu masjid ke masjid yang lain di Damsyik, sehingga pegawai rejim mengharamkan beliau daripada mengajar pada tahun 1994.

Pada tahun 2003, pihak berkuasa mengharamkan abangnya dari mengajar, dipercayai kerana dia adalah pengkritik lantang pilihan raya parlimen dan pencerobohan AS ke atas Iraq.

"Saya melihat Sheikh Mouaz Khatib membantah berseorangan di Masjid al-Huda. Beliau mempunyai kertas yang tergantung di dadanya dan satu lagi yang di belakangnya yang tertulis 'Kenapa mengharamkan abang saya, Menteri khazanah?'," ujar Assil.

"Ini adalah kali pertama dalam hidup saya untuk melihat protes di Syria."

Perjuangan untuk kebebasan bersama-sama pendekatan seorang beliau menjadikan beliau seorang tokoh yang popular dalam kalangan kebanyakan rakyat Syriak. Beliau telah menulis puluhan buku dan artikel mengenai agama dan masyarakat, menyokong kesaksamaan antara lelaki dan wanita, hak minoriti dan kemajmukan politik.

Sikap terpuji

"Saya mengenali beliau secara peribadi selama dua puluh tahun. Saya selalu menghadiri khutbah Jumaat beliau di masjid dengan kawan-kawan saya di Universiti Damsyik, kami semua liberal tetapi sangat berbangga dengan Islam dan mendapati beliau seorang tokoh yang bagus. Dia sangat berfikiran terbuka dan bersedia untuk bercakap dengan kami tentang apa-apa perkara, "ujar Rim Turkmani, astrofizik kelahiran Syria di Imperial College London" Sikap beliau terhadap wanita juga adalah sangat terpuji."

Khatib Adalah seorang yang merendah diri, ujar Assil. "Apabila kami melawat beliau di rumahnya, dia pasti akan melayan kami."

"Saya tidak suka memuja seseorang individu, tetapi beliau adalah seorang yang benar-benar istimewa."

Khatib mampu menjadi seorang tokoh konsensus dalam kalangan pembangkang. Tetapi beberapa pihak di Syria melihat kekurangan pengalaman politik beliau sebagai satu masalah. Pihak yang lain pula berpendapat pemilihan tokoh agama untuk memimpin Pakatan Kebangsaan Syria adalah tidak sesuai.

"Walaupun Sheikh Mouaz adalah seorang yang luar biasa, saya tidak fikir seorang pendakwah agama perlu terlibat dalam politik. Kami mahu mengekalkan sifat sekular Syria dan membina sebuah negeri sivil, di mana politik dan agama adalah berasingan, "ujar Randa, seorang aktivis dari Damsyik Syria.

Tetapi Fadi Salem, seorang penyelidik Syria yang berpangkalan di Dubai melihat Khatib sebagai "Islamis moderat" yang mempunyai banyak sokongan dalam kalangan konservatif Ahlus Sunnah wal Jamaah di bandar. Dia mampu menjadi tokoh untuk menangani ekstremisme.

"Rakyat Syria kini mempunyai pemimpin yang berkarisma dan berwibawa untuk berbincang dengan revolusioner, termasuk pejuang pembangkang, berlawanan dengan demagog yang sentiasa dahagakan darah," kata Salem.

Kemahiran pemimpin baru ini akan diuji serta-merta, dengan dia cuba mengemudi pihak asing dan domestik yang berkepentingan yang meminta membentuk masa depan Syria, Salem katanya.

Ramai rakyat Syria yang takut bahawa Khatib mungkin kehilangan legitimasi beliau dalam kalangan rakyat Syria jika keadaan buntu dengan pihak tentera berterusan dan bantuan antarabangsa tidak tiba.

"Mouaz Khatib adalah bunga. Saya takut ia ditanam dalam tanah yang masin, "tweet Ahmad Bakdash, seorang blogger Syria,.

Tetapi Khatib dengan terus terang memberitahu rakyat Syria Jumaat lalu: "Jika anda mendapati saya berbuat kebaikan maka bantulah saya, dan jika anda mendapati saya berbuat kejahatan maka pecatlah saya." (aljazeera.com)

Kemenangan tidak dicapai hanya cakap mahu menang

Aiman Athirah Al Jundi, 19 Nov 2012
AlhamduliLlah, Syukur kerana insya Allah kita semua dipilih oleh Allah untuk berada dalam kumpulan Islam seperti yang dinukil Allah dalam surah at-Taubah di mana kemuncaknya adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu politik. Politik ialah salah satu ciri manusia yang dicipta  Allah dan wajib dilaksanakan oleh kita semua. Lari dan meninggalkan politik ibarat menafikan fitrah dan sunnahtuLlah berjamaah dan bernegara.


Al-Quran menyebut tentang politik dengan berbagai-bagai perkataan – antaranya ialah khalifah, al-mulk, imam, manakala hadith menyebut dengan perkataan siasah. Semuanya membawa makna yang satu iaitu politik. Justeru, politik ini bukanlah suatu yang asing khususnya kepada kita anggota Gerakan Islam, PAS.

Peranan wanita @ muslimah dalam perjuangan Islam adalah menyeluruh sehingga mendirikan negara dan peranan ini telah berlangsung sejak awal sama ada di tahap makkiyyah  (yakni sebelum ada Negara) sehinggalah ke tahap madaniyyah (yakni setelah adanya negara).

Muslimat memainkan peranan memunculkan tokoh-tokoh besar sepanjang sejarah. Bukan sahaja Khadijah r.a, yang menjadi orang yang pertama beriman, menyumbangkan semua hartanya, menghabiskan masanya menyampaikan dakwah. Tetapi juga dapat dilihat melalui pengislaman Umar Al-Khattab & Hatim al-Ta’ieyang telah memeluk Islam hasil peranan adik perempuan mereka.Manakala Ikrimah bin Abi Jahal pula memeluk Islam hasil peranan isterinya. Begitu pula orang yang pertama syahid di dalam Islam ialah seorang muslimah. Muslimah hari ini tidak cukup sekadar upaya meratib nama mujahidah-mujahidah hebat ini, tetapi wajib bangkit turuti kecemerlangan, hikmah, fatanah hatta pengorbanan mereka.

“Kita mahu terus melihat Gerakan Muslimat PAS dalam senario politik tanahair ini tegar melolosi  mainstream yang ada. Bertindak pantas dalam budaya hikmah.Cekal berani dalam kelembutannya. Berjiwa Srikandi, berminda ‘alimah. Punya jati diri, jati emosi dan jati hati. Muslimat PAS yang tahu bagaimana untuk memastikan dirinya agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bilamana bersama dengan aktivis-aktivis wanita yang lain. Muslimat PAS yang mampu meletakkan idealisma hatta aqidah perjuangannya jauh tersohor.Lantas  menjadikan mereka jama’at el muslimat yang tinggi ‘izzahnya di sisi makhluk dan juga di sisi Allah.”

Wanita adalah yang pertama beriman. Wanita adalah yang pertama syahid. Wanita adalah yang pertama berjasa. Wanita adalah yang pertama berkorban. Ikuti dan contohi Wanita Pertama ini, bukan mengejar gelaran Wanita Pertama Malaysia!

Perjanjian atau Bai’ah Aqabah kedua telah melibatkan 2 orang muslimat. Justeru itu, Islam telah mendahului Barat selama lebih daripada 1400 tahun dalam melibatkan wanita dalam politik. Berbeza dengan Barat yang baru menyambut Hari Wanita Antarabangsanya pada tahun ini (2012) untuk kali yang ke-101. Maknanya Islam juga mendahului Barat  dalam usaha dan program mengiktiraf dan memartabatkan wanita.

Maka, apakah masih mahu mengambil formula lain dalam menerapkan falsafah Hormat dan Martabat Wanita bagi negara ini? Justeru yang demikianlah, Dewan Muslimat meletakkan Pendidikan dan khususnya intipati Prinsip Hidup Beragama mendahului 7 Tuju Tumpu dalam satu gagasan yang kami angkat dan telah dilancarkan oleh DS TG Presiden pada 1 Muharram 1434 Hbersempena M52 DMPP iaitulah Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia dalam menyahut hasrat Presiden dan Parti. Sebagai agenda awal selepas kita mengambil alih Putrajaya insya Allah.

Muslimat komited bersama PAS yang memilih demokrasi dan muwajahah silmiyyah (damai) kerana ini yang ditunjukkan oleh Allah Taala. Muslimat juga menginsafi bahawa peperangan hanya berlaku bila terpaksa. Hatta ketika berperang sekalipun diwajibkan menerima damai jika ada peluang untuk berdamai. Adapun jika musuh mahu menipu kita, maka Allah beri jaminan, cukuplah Allah sebagai pelindung. Maka bertawakkallah kepada Allah. IttaqiLlah. IttaqiLlah ini pada tiga keadaan ; perbuatan, perkataan bahkan juga perasaan. Kerana sesungguhnya…(Famay ya’mal mis qoola dzarratin khayrayyarah, wamayyakmal misqoola dzarratin sarrayyarah). Dan ini value kita, menjadikan kita sangat berbeza dengan yang lainnya. InshaAllah.

Dewan Muslimat dalam ucapan penangguhan ini mahu kita semua meberi tumpuan kepada 2 perkara: Pertama, Bersedia Daripada Semua Segi Untuk Menghadapi PRU13; dan Kedua Persiapan Mengisi Kemenangan.

Bersedia Menghadapi PRU13

  • Peka kepada permasalahan masyarakat dan rakyat
  • Kebajikan sebagai asas untuk berbuat pahala
  • Merakyatkan semua informasi berkebajikan vs  kebobrokan BN
  • Pendekatan psikologi ceria dan bijaksana.

Mengisi Kemenangan

  • Menggerakkan gagasan pemikiran pemerintah
  • Partisipasi dan merencana agenda untuk Malaysia selari dengan Islam
  • Yakin kepada kepimpinan yang ada ; dan
  • Hebatkan solat dan doa.

Beberapa hari ini kita telah pun mendengar ramai dari kalangan kita mahukan PAS menjadi parti utama dalam Pakatan Rakyat….


Rasional yang paling penting untuk kita fahami ialah ;bila kita kata kita mahu menang dan melangkah ke Putrajaya…maka bekerjalah untuk mencapai hasrat itu. Kemenangan itu tidak akan dicapai dengan hanya bercakap mahu menang. Tidak juga melalui cara cabar mencabar atau desak mendesak agar kita diangkat menjadi Ketua. Demikian juga, bila kita kata kita mahu PAS ini menjadi tonggak dan tulang belakang PR, maka bekerjalah secemerlang yang boleh sehingga kita layak mencapai hasrat itu. Dan, bila kita mahu pimpinan kita khususnya DS TG Presiden yang kita kasihi diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 misalnya; maka wajib kita berusaha sehabis mungkin untuk memenangkan semua kerusi Parlimen yang PAS bertanding, atau sekurang-kurangnya 60 kerusi seperti yang disebut oleh Naib Presiden, DP Hj Husam Musa.


Apakah ini mustahil? Insya Allah tiada yang mustahil. Marilah kita bekerja secara ITQAN dan IHSAN. Kelak inshaAllah Allah, Rasul dan orang-orang beriman akan menilai serta membuat perhitungan terhadap usaha kita. Jangan kelak kita tergolong sepertimana yang disebutkan dalam al Quran surah as soff : “amat besar kemurkaan Allah, bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat”.


Lihat wajah-wajah pimpinan kita di hadapan pentas ini. Lihat wajah DS TG Presiden kita.

Berilah muka kepada pimpinan kita, agar kelak mereka memimpin Negara dengan kekuatan gerak vkerja jentera parti kita (inshaAllah) yang menatijahkan kemenangan dan bukannya atas ihsan rakan-rakan Pakatan.


Ucapan Penangguhan Dewan Muslimat PAS Pusat Sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-58.

Rakyat Palestin dapat kemenangan atau syahid

Azan Safar, 19 Nov 2012
Gaza dan Palestin terus diserang, selepas serangan demi serangan berlangsung sejak 1948 sehingga kembali meletus sejak Rabu (14 Nov) lepas. Israel yang bertanggungjawab ke atas serangan ini terus rakus bertindak di luar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa demi menjayakan agenda pembentukan wilayah Israel raya. Amerika Syarikat (AS) pasti sekali bersekutu dan bekerjasama dalam hal ini demi memastikan kepentingannya terpelihara.
Terbaru, Israel telah menyatakan komitmennya untuk melancarkan serangan ke atas hampir 1000 sasaran melibatkan pejabat, rumah pejuang dan pusat ketenteraan Hamas di Gaza. Dalam serangan sejak Rabu lalu itu, kini telah mengorbankan lebih 50 orang penduduk Gaza dan ratusan yang lain cedera teruk.

Gaza kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Dengan bilangan penduduk mencecah 1.7 juta orang di dalam kawasan berkeluasan 140 batus persegi menjadikan Gaza sebagai salah satu tempat paling padat di dunia. Lebih 10% kanak-kanak berusia dalam lingkungan 5 tahun terbantut tumbesaran mereka, lebih 30% hidup tanpa pekerjaan, setiap 1 daripada 5 kanak-kanaknya mengalami Post-Traumatic Stress Disorder, 45% rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan, hak asasi mereka khususnya makanan dan tempat tinggal diragut kejam oleh perbuatan durjana tentera Israel.

Perkembangan terkini ini sangat membimbangkan. Israel dan sekutunya tidak mustahil akan melakukan seperti dalam 'Six Days War' pada tahun 1967 sehingga terjajahnya sebahagian besar bumi Palestin, semenanjung Sinai dan Bukit Golan, atau juga 'Operation Cast Lead' pada tahun 2008 yang mengorbankan lebih 1,000 orang penduduk Gaza, bahkan mereka pasti bersiap siaga untuk melakukan lebih daripada itu.

Jika tiada peranan masyarakat dunia, negara-negara umat Islam yang berjiran dengan Palestin, dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk membendung konflik ini, perang besar pasti akan meletus lagi.

Alhamdulillah, pelbagai pihak telah memainkan peranan masing-masing. Di peringat antarabangsa, kebijakan dan komitmen Mesir dan Turki dalam menangani krisis ini amat diharapkan oleh muslim seluruh dunia.

Liga Arab, OIC dan EU perlu lebih tegas dan melakukan tindakan secara lebih komprehensif dan kolektif. PBB pula mesti bersikap adil menjalankan fungsinya dan tidak menjadi budak suruhan Israel dan AS dengan tunduk kepada kemahuan mereka bersandar kepada alasan "...hak dan tanggungjawab Israel untuk melindungi rakyatnya...".

Di Malaysia pula, kerajaan, parti politik, NGO Islam, pertubuhan hak asasi manusia, media dan masyarakat perlu berpakat berpadu tenaga menyelamatkan warga Gaza dan tanah air Palestin.

Insya Allah, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dengan upaya yang ada akan turut serta berpartisipasi menangani isu ini khususnya dalam memberi kefahaman dan maklumat semasa kepada masyarakat, dan akan mengadakan pertemuan serta kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengatur tindakan yang lebih efektif.

Selepas mengadakan pertemuan dengan duta Mesir Jumaat lalu, Selasa ini Gamis akan bertemu pula dengan duta Turki untuk mendapat maklum balas terkini perkembangan peranan Turki dalam isu ini dan juga bertujuan untuk menyerahkan beberapa cadangan kepada pihak kedutaan. Rabu ini pula Gamis bercadang untuk mengadakan piket mega di hadapan pejabat United Nations (UN) di Kuala Lumpur.

Meneliti sejarah panjang Gaza dan Palestin ini, Gamis yakin dan percaya bahawa pendekatan 'two state solution' pun tidak mampu mengembalikan keamanan di wilayah yang telah bergolak sejak berabad lamanya ini.

Gamis menyokong penuh perjuangan Hamas dan rakyat Palestin untuk terus berurusan dengan Israel dengan 'bahasa darah'. Hamas dan rakyat Palestin pasti sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid. Allahuakbar.



Penulis ialah Presiden Gamis.

Liga Arab hantar delegasi runding gencatan senjata

Terjemahan Mohamad Yahya, 19 Nov 2012
Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby telah berikrar untuk menyokong rakyat Palestin menentang "pencerobohan Israel" dan untuk menamatkan sekatan Gaza semasa rundingan antara menteri luar Arab di Kaherah.

Para pemimpin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu bahawa ketua Liga Arab akan mengetuai delegasi ke Semenanjung Gaza pada hari Ahad dan menyokong usaha Mesir untuk berunding berkenaan gencatan senjata.

Agensi Berita Maan melaporkan delegasi yang diketuai oleh Elaraby akan disertai Riyad Al-Malki, Menteri Luar Palestin, dan empat menteri luar lain. Hamas tidak lagi mengesahkan penyertaan dalam lawatan tersebut.

Mesyuarat Sabtu lalu telah diadakan selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran bermula Rabu lalu kononnya bertujuan menghalang Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, daripada melancarkan roket salvo merentas sempadan.

Pesawat Israel mengebom bangunan kerajaan Hamas Sabtu lalu di wilayah Palestin, selepas kabinet Israel memberi kebenaran mobilisasi sehingga kepada 75,000 pasukan simpanan, bersedia untuk pencerobohan darat.

Mesir telah menaja gencatan senjata tidak rasmi Oktober lalu, yang kini gagal. Mesir berkata mereka sedang mengusahakan satu perjanjian baru.

Presiden Mesir Mohamed Morsi berkata Sabtu lalu terdapat "beberapa petunjuk" gencatan senjata boleh dicapai tidak lama lagi antara Israel dan Gaza Palestin tetapi dia tidak dapat memberi jaminan yang pasti. - (aljazeera.com)

Senjata yang ada pada PAS mohon doa kepada Allah

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Senjata yang ada kepada PAS ialah memohon doa kepada Allah supaya Allah membalas dengan setimpal atas kejahatan yang dilakukan oleh Umno, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Justeru, beliau mempersoalkan kenapa pemimpin Umno bising dengan doa untuk menghancurkan parti itu, tetapi diam membisu ketika Umno Terengganu pimpinan Datuk Seri Ahmad Said mengadakan Wacana PAS Parti Ajaran Sesat, pada 11 April  2012 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Terengganu.

“Atas asas apa PAS dituduh ajaran sesat. Ayat al-Quran mana yang PAS menyeleweng?

“Layakkah PAS dilabel sebagai menganut ajaran sesat, semata-mata kerana hendak memperjuangkan Islam di negara ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulangi pertanyaan mengenai cabaran untuk debat atau muzakarah yang sampai hari ini tidak bersahut oleh Umno.

“Jika program ini berjalan, maka tidak timbul lagi tohmahan ini terhadap PAS,” ujarnya.

Idris juga mempersoalkan di mana suara ulama pengampu Umno yang kelu dan bisu ketika Tun Dr Mahathir mengatakan malaikat juga buat salah sedangkan malaikat makhluk yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Katanya, apakah mereka hanya menjadi jantan ketika berhadapan dengan PAS, tetapi menjadi longlai apabila pemimpin Umno menghina Islam secara jelas.

Tegasnya, PAS hanya menggunakan doa sebagai senjata, kerana bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW iaitu doa ialah senjata orang mukmin kerana PAS dipukul daripada berbagai sudut tanpa belas kasihan.

Antaranya, kata  beliau kerajaan BN tidak pernah menghormati hak federalisme yang sepatutnya diperolehi oleh Kelantan sejak 1990 di samping pencabulan hak demokrasi yang semakin parah melalui SPR.

Syarikat penerbangan perlu adil kepada penumpang

Jofri Jaraiee, 19 Nov 2012
AirAsia sebuah syarikat penerbangan tambang murah telah memberi banyak kemudahan kepada pengguna yang kurang berkemampuan untuk menikmati penerbangan tambang murah. Semua penerbangan AirAsia dikendalikan oleh Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Ramai yang bersyukur kerana dapat menggunakan khidmat penerbangan murah tersebut, walaupun dulu hanya terdapat sebuah syarikat penerbangan yang mengendalinya dengan mengenakan bayaran yang tinggi.

Walaubagaimana pun ramai juga yang kurang berpuas hati cara pengurusan pihak AirAsia terutama sekali mengenakan caj atau penalti kepada pengguna yang lewat atau tersalah info tentang jadual penerbangan atau tempat berlepas terutama sekali di KL LCCT. Ada juga caj tersembunyi walaupun dikatakan tambang murah.

Contoh penerbangan di KL LCCT untuk penerbangan domestik di mana ada setengah kuanter dibuka untuk penerbangan ke destinasi yang sama tetapi di tempat pintu perlepasan yang berlainan.

Ada sesetengah penumpang yang baru datang agak keliru dengan tempat perlepasan dan ada yang tersilap tempat menunggu sehingga apabila mereka sedar yang pesawat sudah pun berlepas hanya dalam beberapa minit saja.

Antara sebabnya adalah suara pengumuman kurang jelas dan tidak secara menyeluruh di kawasan tempat menunggu dan ada juga petugas tidak berada di kuanter sehingga waktu hendak berlepas barulah mereka muncul.

Ada yang sudah datang awal tetapi tiba-tiba pula jadual penerbangan ditunda lebih dari 1 jam tetapi tiada sebarang bayaran balik atau sekurang-kurangnya kupon hidangan ringan diberikan oleh pihak pengurusan AirAsia. Apabila penumpang datang lewat sedikit atau 10 minit lewat dari jadual penerbangan mereka pula dilarang masuk dan akan dikenakan penalti kalau mahu meneruskan penerbangan.

Inilah satu perkara yang tidak adil kepada pengguna, di mana hanya pihak syarikat yang untung dalam perjanjian yang agak berat sebelah ini. Kalau pihak syarikat yang membuat kesilapan, tidak pula pengguna dapat menuntut bayaran balik walaupun mereka terlewat setengah atau 1 jam lebih dari jadual penerbangan.

Macam-macam syarat pula dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna kalau mahu menuntut bayaran balik.

Pihak pengguna juga berhak menuntut bayaran balik sekiranya mereka terpaksa terlewat penerbangan disebabkan oleh pihak penerbangan AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan yang menangguhkan penerbangan mengikut jadual.

Kita mengesa agar pihak kerajaan mengkaji semula caj atau kos tersembunyi yang selalu dikenakan oleh pihak syarikat kepada pengguna. Jangan hanya pengguna saja boleh dicaj atau didenda sedangkan apabila berlaku sebaliknya pihak syarikat pula boleh bebas tanpa sebarang tindakan dikenakan.

Kita mahu semua pihak dilayan dengan adil, bukan hanya pentingkan pihak korporat saja sehingga pengguna menjadi mangsa.

Harap perkara ini dapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan mereka yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan dari pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis ialah Yang Dipertua PAS Miri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Guna beg plastik, kitar semula mengecewakan

Anis Nazri, 19 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kempen penjagaan alam sekitar, khususnya berkaitan amalan kitar semula masih tidak mencapai sasaran dan perlu diperhebatkan. Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata penggunaan plastik di kalangan penjual dan pembeli yang begitu meluas menyebabkan amalan kitar semula dan pembuangan sisa pepejal begitu mengecewakan.
"Jika kita membeli di pasar malam, ketika membeli ikan adakalanya sampai dua, tiga plastik digunakan untuk membungkus ikan tersebut.  Agaknya plastik-plastik ini murah harganya," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 di bawah Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, ke arah menjadikan usaha pemeliharaan alam sekitar itu berjaya, beliau mencadangkan kerajaan perlu mempunyai tempoh sasaran untuk penguatkuasaan penggunaan plastik.
Beliau turut mencadangkan kempen kesedaran mengenai penggunaan plastik digiatkan, di samping pendidikan di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran di peringkat awal.
Perkara tersebut turut menjadi tumpuan ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden, yang menggesa kerajaan agar melakukan langkah proaktif berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan beg plastik yang mudah lupus di pasar raya, kedai runcit dan mana-mana premis perniagaan bagi memastikan pemeliharaan alam sekitar lebih sihat dan bermutu.

Tiada ulasan: