Ahad, 25 November 2012

PATUT BENDA YANG BAIK KITA SOKONG...DIBUAT UNTUK MENGATASI MASALAH MORAL

Selangor cabar Pusat bentang kertas putih NFC

Harakahdaily, 25 Nov 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mencabar Perdana Menteri menbentangkan kertas putih berhubung skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang melibatkan dana awam berjumlah RM 250 juta.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu wajar jika kerajan BN benar-benar telus sepertimana yang telah dibuat kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dalam isu pelunasan hutang Talam Corporation yang berjumlah RM 392 juta sebelum ini.

“Kejayaan membentangkan kertas putih (Talam) ini telah membuktikan pentadbiran PR bersikap telus, jujur dan tidak menyembunyikan sebarang urusniaga yang melibatkan harta milik rakyat yang bernilai jutaan ringgit," katanya dalam satu kenyataan dipetik Selangorku.

Tambahnya, kertas putih tersebut telah berjaya membuktikan bahawa dakwaan kerajaan negeri gunakan duit rakyat untuk ‘bailout’ syarikat Talam adalah tidak benar dan tidak berasas.

Menurut Abdul Khalid lagi, terdapat ahli politik BN yang lantang mengkritik usaha kerajaan Selangor mengutip hutang Talam tetapi ‘menikus’ dalam isu skandal NFC.

Sedangkan kata beliau, skandal NFC wajar diaudit oleh firma antarabangsa seperti Price Waterhouse Coopers kerana ianya membabitkan dana awam.

“Kita mahu kerajaan Persekutuan menerangkan kepada rakyat bagaimana dana milik rakyat ini telah dibelanjakan dan membentangkan semua perbelanjaan, pihak yang membelanjakan dan aset-aset yang dibeli untuk disemak oleh rakyat,” kata beliau.

“Kita percaya sekiranya kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri gagal menyediakan kertas putih, maka terbukti Barisan Nasional tidak jujur menguruskan harta rakyat dan tiada alasan lagi untuk rakyat terus menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang,” tegas Abdul Khalid.

20,000 sertai Anti Lynas di Dataran Merdeka

Hazayani Zakaria, 25 Nov 2012

KUALA LUMPUR:
Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang tadi.

Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka. Mereka duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi  Himpunan Hijau, Wong Tack.

Wong Tack dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka.

"Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita.

"Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh," katanya.

Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.

Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.

Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.

Pagi tadi, kumpulan tersebut bergabung dengan kumpulan dari Kuala Lumpur mula berarak dari KUISM ke Sentul Pasar.

Mereka seterusnya berarak ke Maju Junction sebelum bergabung dan berarak ke Dataran Merdeka.

Cikgu Ishak turut bersama-sama ke Dataran Merdeka bersama kaum Cina, Melayu dan India dari pelbagai peringkat umur.

Mereka duduk di Dataran Merdeka kira-kira sejam sebelum sebahagiannya beransur pulang.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perarakan.

Larang kedai gunting unisex di Kelantan sejak 1991

Harakahdaily, 25 Nov 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan peraturan melarang kedai gunting lain jantina (unisex) dikuatkuasa sejak 1991 dan ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan tersebut sebagai langkah awal kerajaan bagi membendung gejala tidak sihat membabitkan semua rakyat.

“Cuba bayangkan kalau rambut isteri atau anak perempuan kita digunting tukang gunting lelaki, begitu juga keadaan sebaliknya. Ini tentunya kita tidak mahu berlaku sedemikian.

“Peraturan itu diwujudkan bukan kerana sentimen agama semata-mata sebaliknya bagi membendung lebih awal gejala kurang sihat berlaku.

“Sepatutnya semua pihak faham termasuk juga rakan kita daripada DAP. Langkah yang dibuat kerajaan negeri bertujuan untuk mendidik rakyat,” katanya pada sidang media di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan mahu kerajaan Kelantan supaya menyelesaikan segera kekeliruan yang timbul apabila undang-undang Islam turut dilaksanakan terhadap orang bukan Islam.

Sebelum itu seorang pengurus kedai gunting Ong Lee Ting dilaporkan mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan MPKB BRI kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Takiyuddin berkata, peraturan kedai gunting lain jantina sudah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu, sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan gejala kurang sihat.

Menurutnya juga sekiranya ada pihak yang kurang berpuas hati dengan peraturan tersebut mereka boleh mencabar di mahkamah memandangkan peraturan tersebut sudah diterima umum rakyat Kelantan.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan sekumpulan peniaga Cina dari sini yang mencabar peraturan menghalang premis menjual nombor ekor. Peniaga terbabit difahamkan turut mendapat sokongan pemimpin MCA.

Turki dan Israel runding pulih hubungan diplomatik

Terjemahan Mohamad Yahya, 25 Nov 2012


Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdoğan, dan para menteri beliau mendengar ucapan Presiden Israel, Shimon Peres Parlimen Turki di Ankara, Selasa, November 13, 2007. (Photo: AP)

Sebuah akhbar Israel mendakwa bahawa diplomat Turki dan Israel sedang berunding untuk memulihkan hubungan diplomatik yang dibekukan selepas serbuan Israel ke atas flotila Gaza, meyebabkan sembilan warga Turki terkorban pada tahun 2010.

Turki tidak lagi mempunyai hubungan dengan Israel sejak peristiwa tersebut. Harian Haaretz melaporkan bahawa utusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Yosef Chiechanover bertemu dengan diplomat kanan Turki, Feridun Sinirlioğlu untuk mencari perdamaian bagi menamatkan krisis tersebut.

Turki mempunyai tiga tuntutan yang perlu dipenuhi sebelum memberi sebarang kompromi untuk memulihkan hubungan diplomatik. Turki menuntut pampasan bagi keluarga mangsa, permohonan maaf secara rasmi dari kerajaan Israel dan menamatkan sekatan Gaza. Israel setakat ini gagal memberi respon positif, memberi alasan mendapat tentangan domestik ke atas terma yang ditetapkan Turki.

Menteri Luar kelahiran Soviet, Avigdor Lieberman tokoh penting usaha pendamaian Turki - Israel, telah mengancam untuk memecahkan pakatan jika Netanyahu membuat konsesi bagi memenuhi permintaan Turki.

Lapan rakyat Turki dan satu warga Turki Amerika terbunuh apabila Tentera Laut Israel menyerang armada bantuan antarabangsa yang cuba memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza pada  Mei 2010. Berikutan serangan itu, kerajaan Israel menubuhkan Suruhanjaya Turkel, sebuah suruhanjaya siasatan yang diketuai oleh Mahkamah Agung Keadilan Jacob Turkel, untuk menyiasat serangan itu. Pemimpin Turki menolak penyiasatan Israel, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon mengulangi permintaan untuk siasatan bebas, menyatakan bahawa penyiasatan Israel tidak akan mempunyai kredibiliti antarabangsa. (todayszaman.com)

Blogger diarah bayar ganti rugi kepada Husam

Aslani M, 25 Nov 2012
KOTA BHARU: Seorang blogger, Salahuddin Hisham diarah Mahkamah Tinggi di sini membayar gantirugi kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berhubung satu artikel yang diangggap memfitnahnya.

Tulisan tersebut dimuatkan dalam blog www.anotherbrickinwall.blogspot.com yang bertajuk “Husam: A moral for PAS delegates” diterbitkan pada l Jun 2011, yang mana secara jelas menyebut berita tidak benar dan tak berasas dikaitkan terhadap plaintif.

Penghakiman tersebut dikeluarkan setelah blogger terbabit gagal hadir pada perbicaraan kesnya.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, blogger berkenaan gagal hadir walaupun saman dan tuntutan ke atas beliau telah diserah dengan berbagai cara termasuk melalui iklan dalam suratkhabar harian.

Husam dalam tuntutan samannya menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta, bagaimanapun mahkamah mengarahkan agar gantirugi ditaksirkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Salahuddin, 52 yang tinggal Taman Setiawangsa merupakan pemilik dan penulis ruangan blog  http://anotherbrickinwall.blogspot.com.

Dalam blog berkenaan defendan antara lain menulis, “Husam secara terbuka mengkritik pemimpin-pemimpin parti tertentu dan menyalahkan mereka bagi idea UG. Ini tidak berjalan secara baik dengan perwakilan. Apa-apa pun, UG adalah secara halus subjek perbincangan di Muktamar 2008 dan dalam jawatankuasa parti politik.

“Akibatnya beliau telah dibiarkan di padang belantara politik. Pada tahun yang sama, calon Kelantan sepenuhnya dihapuskan dalam pemilihan parti.”

Husam dalam tuntutannya menyifatkan tulisan tersebut tidak benar sama sekali, bertujuan memburuk-burukkan plaintif sebagai pimpinan PAS.


Video Rosmah menari lagu Hindustan sensasi terbaru

Harakahdaily, 25 Nov 2012


(Video Rosmah menjadi tarikan terbaru dalam laman You Tube)

KUALA LUMPUR: Tarian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam video klip lagu Hindustan menjadi sensasi terbaru dalam video Youtube.

Namun, walaupun lebih 18,390 sudah menonton video ini, 135 telah menyatakan tidak suka manakala hanya 13 sahaja yang suka.

Video ini dirakam dalam satu majlis makan dan Rosmah keluar menari dengan sekumpulan penari dengan latar belakang lagu Bolywood tersebut.

Ia telah masukkan ke dalam Youtube melalui Beirtasemasa.com dengan tajuk "Rosmah Mansor Menyanyi, Menari & BERJOGET'.

Sebelum ini, video Rosmah menari bersama suaminya dan lain-lain pembesar negara mendapat perhatian umum.

Ketika itu, lagunya adalah 'Aku anak kampung'.

Sejak sekian lama Rosmah terus menjadi 'ikon' rakyat Malaysia apabila berita mengenai beliau akan mendapat 'klik' yang tinggi kepada mana-mana laman web.

Sebelum ini, cerita beliau dengan cincin dan beg tangan menjadi kegilaan pelayar laman web apabila berita mengenainya mendapat klik yang banyak.

Klik atas gambar di atas untuk menonton video itu.

Titik berat etika media untuk tujuan politik

Hidayat Yusof,
Ini adalah komen ringkas berkenaan etika media dalam menyampaikan suatu mesej ataupun berita terutama mengenai politik. Bila menyebut tentang etika, ia berkait rapat dengan budaya sesetengah masyarakat. Ianya adalah mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam masyarakat tersebut atas sebab kebiasaan atau ritualnya seperti itu.

Sebagai contoh budaya di negara-negara Barat, kebebasan media adalah dititik beratkan atas faktor demokrasi yang diperjuangkan. Demokrasi yang terdapat padanya amalan kebebasan bersuara atau mengenengahkan pendapat menjadikan negara-negara Barat begitu sensitif terhadap pencabulan hak-hak kebebasan ini. Walaupun secara kasar ianya nampak begitu baik kerana media diberikan tempat yang seluas-luasnya dalam menyampaikan maklumat, tetapi malangnya ia juga menjurus ke arah mencabuli hak individu atau kumpulan yang lain. Kebebasan untuk membuat liputan ini adalah hingga merangkumi aspek peribadi seseorang sampaikan mengkritik keperibadian individu juga dibenarkan. Ia adalah merupakan "kebebasan dalam mencabuli hak privasi orang lain". Sehinggakan seorang ilmuan membawa datang suatu konsep "empowerment" yang mana beliau takrifkan sebagai "kemampuan melakukan sesuatu yang difikirkan baik". Hal ini adalah subjektif kerana belum tentu seuatu yang difikirkan baik oleh seseorang itu adalah juga baik kepada seseorang yang lain.

Kemudian kita lihat pula kepada konsep "ahimsa" yang dibawa oleh Ghandi dalam memperjuangkan hak masyarakat di India. Bersesuaian dengan adat ketimuran, ia begitu menjaga sensitiviti setiap individu dengan melarang penyerangan peribadi seseorang samada berbentuk fizikal mahupun emosi. Dalam konsep "ahimsa" ini juga menerangkan bahawa penderaan terhadap seseorang individu itu bukan sahaja berlaku pada apa yang kelihatan sahaja, malah ia juga diambil kira kepada kesan psikologi yang dihadapi seseorang itu jika pencabulan haknya dilakukan. Konsep ini begitu berbeza dengan budaya Barat yang sentiasa menjuarai amalan budaya mereka yang sentiasa dianggap paling betul.


Itulah dua contoh perbezaan budaya yang dapat kita lihat dalam penggunaan media. Saban hari kita sering terlihat laporan media terutama berkenaan politik semasa yang begitu lantang membuat liputan tanpa menghiraukan moraliti atau etika sepertinya tidak wujud satu garis panduan yang jelas dalam membimbing kepada arus yang satu.

Maka Islamlah yang sepatunya dijadikan tempat rujukan utama dalam menyelesaikan hal ini kerana Islam telah pun menggariskan panduan yang bersesuaian dengan semua masyarakat yang wujud. Islam secara moderate-nya tidak menentang amalan demokrasi iaitu kebebasan yang diperjuangkan, malah ia menyokong hak-hak manusia supaya sentiasa terpelihara dan tidak pula dieksploitasi dan dimanipulasi. Maka oleh itu Islam tidak juga menyokong sepenuhnya amalan tersebut seperti pemikiran Barat yang membenarkan apa sahaja yang difikirkan enak.

Tidak juga seperti konsep "ahimsa" yang langsung tidak membenarkan ruang untuk mengkritik individu kerana ingin menjaga perasaannya, tetapi Islam memperjuangkan keadilan sejagat yang membenarkan melaporkan dan mengkritik amalan-amalan atau tindakan ynag membawa kepada kezaliman dan merugikan umat keseluruhannya. Maka peranan media dalam Islam adalah perlu menghebahkan setiap kecurangan atau perkara sumbang yang dilakukan seseorang individu terutama pemimpin masyarakat.


Ia bukanlah dengan membuka aib tentang sifat buruk individu terbabit seperti suka bersembang, suka bermain video game dan sebagainya. Ia tidak boleh berkaitan dengan tabiat peribadinya, tetapi mestilah berkenaan dengan amalan yang mana jika dibiarkan akan merugikan umat yang lain atau menjahanamkan agama dan bangsa, sebagai contoh laporan mengenai pemimpin yang rasuah, penyelewengan kuasa dan kegagalan dalam mengurus tadbir negara dan kezaliman lain yang dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, etika dalam media adalah sangat penting terutama dalam melaporkan tentang aktiviti politik semasa. Tetapi ia mestilah mempunyai suatu garis panduan yang jelas. Bukanlah semata-mata mengikut atau melakukan apa sahaja yang difikirkan baik, atau menutup mata terhadap kecurangan yang berlaku seperti apa yang ditekan dalam konsep "ahimsa" , tetapi Islam secara jelas membawa konsep Keadilan sejagat dengan menjaga hak-hak manusia yang lainnya dan memperjuangkan kebenaran dengan menolak amalan yang menjatuhkan martabat Islam itu sendiri, wallahua'lam

Ramai pemimpin Umno mengaku salah

Aspan Alias, 25 Nov 2012
Akhir-akhir ini ramai di antara pemimpin-pemimpin BN berkata yang UMNO sudah pulih dan parti itu telah membetulkan kesilapannya. Kata mereka lagi yang UMNO akan berubah dan akan membetulkan kesalahannya. UMNO tidak akan lakukan lagi apa yang mereka telah lakukan selama ini. Oleh itu marilah menyokong UMNO sekali lagi kerana telah berubah. Begitulah lebih kurang kata-kata mereka di antaranya termasuk apa yang dikatakan oleh Najib dan Muhyiddin Yassin.


Dengan kata-kata itu ia memberi makna yang selama ini mereka mengaku UMNO dan BN telah membuat kesalahan dan UMNO telah mengakui apa yang dituduh oleh pelbagai pihak yang UMNO itu telah melacurkan politik dan siasah negara. Justeru UMNO sememangnya parti yang telah berdosa dan sekarang mahu bertaubat. Saya gembira dengan pengakuan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO yang lain yang UMNO telah melakukan kesalahan dan sekarang mahu bertaubat dan meminta diberi lagi peluang untuk memerintah kita rakyat yang sudah begitu lama dalam pencarian ini.

Persoalannya sekarang apa yang mereka telah taubatkan itu? Maaf-memaafkan sesama sendiri itu memang amalan orang mukmin. Tetapi tidak bermakna menjanjikan taubat itu sudah cukup untuk meneruskan penguasaan lagi terhadap rakyat dan negara. Apabila UMNO sudah taubat, parti itu sepatutnya direhatkan untuk melaksanakan apa yang mereka taubatkan itu. Jika RM ratusan billion wang rakyat dicuri dan diambil oleh pimpinan BN secara haram, ia memakan masa untuk melakukan proses pemulangan balik harta-harta curi itu kepada rakyat jelata.

Orang yang telah sedar dan bertaubat tidak boleh lagi melakukan apa-apa kesalahan yang terbesar terutamanya terhadap sesama manusia. Saya selalu katakan rasuah itu merupakan ketagihan tegar yang dihidapi oleh UMNO dan BN itu. Seperti penagih dadah yang hendak kembali berbuat baik dan menjauhi amalan mengambil dadah itu mereka sepatutnya duduk di dalam pusat-pusat serenti yang banyak di sediakan oleh kerajaan sekarang ini untuk beberapa lama yang wajar. Mereka dikawal dan dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan supaya merawat ketagihan itu dengan bersistem. Banyak cara untuk merawat penagih ini.

Ada juga yang berjaya dirawat dan menjadi ahli masyarakat yang berguna dan berbuat baik selepas keluar dari pusat pemulihan serenti itu. Tidak kurang juga yang kembali menagih dan kembali ke pusat-pusat serenti itu. Di dalam pusat-pusat serenti itu panagih-penagih ini akan diberikan bimbingan untuk menjadi insan yang baik dengan kelas agama dan memberikan mereka kegiatan riadah seperti bersenam dan sebagainya untuk memulihkan mereka kembali. Mereka ini perlu bimbingan dan ditunjukkan bagaimana untuk menjadi umat yang baik dan berguna untuk masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi untuk agamanya.

Begitu jugalah dengan pimpinan-pimpinan UMNO. Seperti yang kita tahu salah satu dari salah laku pimpinan UMNO ialah rasuah. Rasuah ini merupakan salah satu dari penyakit ketagihan yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Rasuah sepatutnya dijadikan musuh nombor satu negara kerana banyak tamadun telah runtuh oleh kegiatan rasuah pemimpinnya.

Oleh kerana secara terus menerus UMNO telah melakukan ketagihan itu, maka UMNO patut berihat dan melakukan pembaik-pulihan supaya parti itu menjadi parti yang berguna kepada rakyat dan negara dan tidak lagi menjadi penagih rasuah yang telah hampir menjahanamkan negara kesayangan kita ini.

Maka tidak boleh lah UMNO sendiri mengisytiharkan yang mereka telah pulih dari semua penyakit merbahaya untuk manusia itu dan meminta terus memerintah negara ini seperti biasa. Penagih ini tidak semua yang baik dengan sendirinya. Selalunya ia perlu dibimbing dan diatur segala kegiatan kehidupan mereka. Maka UMNO perlu berihat dan memulihkan penyakit ketagihan ini. Kita tidak mahu penagih rasuah ini kembali melakukan rasuah seperti penagih dadah yang kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti itu.

Tetapi yang pentingnya sekarang UMNO sudah mula sedar dan mengakui kesalahannya dan serangan terhadap pembangkang yang menuduh mereka (UMNO) itu rasuah sepatutnya di tarik balik dan di dalam hati meminta maaf kepada mereka yang membuat tuduhan yang benar itu.

Ramai pemimpin-pemimpin UMNO telah mengisytiharkan yang mereka telah berjaya memulihkan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu dan telah mengakui kesilapan dan kesalahan mereka. Mengakui kesalahan itu sudah cukup untuk mengakui yang pihak pembangkang adalah pihak yang benar dan kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat kepada mereka (pembangkang) sepatutnya mendapat galakan dan sokongan dari orang ramai.

Buat sementara waktu UMNO biarkanlah mereka duduk berihat sambil memperbaiki diri mereka supaya parti itu pula yang akan menjadi parti alternatif kepada Pakatan Rakyat yang memerintah nanti. Jika Pakatan Rakyat melakukan kesalahan yang sama UMNO yang sudah pulih semasa dalam ‘political confinement’ itu boleh kembali dan menjadi UMNO yang bertenaga dan tidak lagi seperti dahulu. Mungkin semasa itu nanti UMNO akan menjadi bertenaga dan berseri-seri wajah pimpinan mereka setelah melakukan rawatan mereka selama beberapa tahun semasa menjadi pembangkang itu.

Maksud saya ini ialah, menjadikan negara ini sebagai negara demokrasi yang mempunyai sistem dua parti itu akhirnya akan memberikan kenaikan kepada rakyat. Semasa itu nanti baru lah rakyat sedar betapa nikmatnya jika kuasa itu sebenar-benar berada ditangan mereka dan bukannya di tangan ‘war lords’ UMNO seperti sekarang ini.

Rakyat yang bermaruah tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengawal hak mereka dengan wang sogokan atau bantuan seperti gigi palsu percuma, BRIM dan sebagainya. Rakyat tidak boleh memberikan hak kepada pihak lain setelah mendapat tayar teksi percuma dan sebagainya.

Harga diri rakyat itu lebih tinggi dari harga tayar dan bantuan BRIM serta pembayaran bonus satu setengah bulan gaji dan sebagainya. Sedangkan kucing belaan kita pun sekarang tidak makan ikan mentah lagi. Mereka (kucing) sekarang makan Friskies dan Whiskas yang dibeli dari pasaraya. Kucing pun tahu harga diri mereka. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: