Ahad, 25 November 2012

ISLAM SENTIASA RELEVAN ..SEBAB AGAMA CIPTAAN ALLAH...DATANG DARI ALLAH...ALLAH YANG BERSIFAT MAHA SEMPURNA

Anak Kristian antara sertai khatan beramai-ramai

Harakahdaily, 25 Nov 2012


(Kanak-kanak ini berpeluang mandi dalam kolah sebelum mereka dikhatankan - foto Teo Nie Ching))

SHAH ALAM: Musim cuti sekolah datang lagi dan aktiviti yang paling popular sepanjang musim ini adalah kenduri kahwin dan berkhatan.

Khatan biasanya majlis biasa untuk orang Islam tetapi sejak adanya Pakatan Rakyat dan kerjasama baik antara PAS dan DAP ia telah menjadi majlis bersama.

Majlis khatan yang selama ini asing bagi orang bukan Islam menjadi majlis yang sangat menarik bagi mereka.

Yang paling sibuk dan sangat teruja dengan majlis ini adalah para wakil rakyat bukan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Hari ini, sekurang-kurangnya dua wakil rakyat bukan Islam dalam Pakatan Rakyat meraikan rakyat di kawasan mereka dalam majlis berkhatan beramai-ramai.

(Kanak-kanak yang akan dikhatankan di Kajang Utama. Salah seorang dari mereka adalah anak Kristian- foto Teo Nie Ching)

Anggota Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching meraikan 22 kanak-kanak berkhatan beramai-ramai di Surau Kajang Utama hari ini.

Salah seorang dari mereka adalah kanak-kanak dari keluarga Kristian di kawasan berkenaan yang turut mahu dikhatankan.

Beliau menyaksikan bagaimana kanak-kanak ini diarak dan dimandikan sebelum dikhatankan.

Yang menariknya, kanak-kanak ini berpeluang mandi di dalam kolah yang biasa digunakan untuk berwuduk.

Dr Xavier Jayakumar, Adun Seri Andalas yang juga Exco Selangor juga meraikan kanak-kanak yang hendak di khatankan di kawasan beliau.

Beliau meraikannya di Sungai Kandis.

Teruja

Teo Nie Ching ketika dihubungi Harakahdaily sangat teruja dengan apa yang berlaku.

Beliau terasa dihormati dan kini dapat memahami dengan jelas apa yang dinamakan khatan itu.

"Saya sangat teruja dengan apa yang berlaku. Sebelum ini, saya tidak tahu apa yang dikatakan khatan, sekarang saya faham dengan baik," katanya.

Tahun ini adalah yang pertama kali beliau menerima jemputan merasmikan majlis berkhatan sebegini. Majlis di Kajang Utama adalah yang kedua bagi beliau.

"Mungkin sebelum ini saya belum kahwin, jadi mereka mungkin segan mahu jemput," kata beliau yang baru selamat melahirkan cahaya mata yang pertama tahun ini.

Yang paling membanggakan Nie Ching adalah perhubungan antara parti-parti Islam dan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat telah menyebabkan perkara ini berlaku.

"Dengan adanya Pakatan, hubungan antara Islam dan bukan Islam sangat baik dan kita dapat memahami Islam dengan lebih mendalam lagi. Ini bagi saya sangat baik untuk negara kita," katanya.

Yang menarik juga, ada anak-anak Cina dan Kristian yang turut berkhatan, beritahu Nie Ching.

PAS sentiasa relevan dalam realiti baru

Khair Mutanazzar Ismail, 24 Nov 2012
PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulamak, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti UMNO yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.
PAS juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan PAS menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh PAS sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.

Doktrin yang perlu ditolak

Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.

Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur.

Justeru itu, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Mekah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).

Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan PAS

PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).

Prinsip dan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam termasuk undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat Allah yang tidak ada kompromi dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan PAS yang tidak pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.

Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang datang daripada Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah manusia.

Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik Dunia Muslim akan dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.

Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.

Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam

Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah. Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara Mullah.

Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam. Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.

PAS berbeza dengan Taliban kerana PAS mengemukakan undang-undang Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan melihat realiti semasa. Contohnya, PAS mengambil ketetapan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.

Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.

Jangan ditiru cara UMNO yang membina persepsi buruk terhadap undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain lagi yang memburukkan undang-undang Islam.

Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan gerun terhadap hukuman Allah. Ia adalah pencegahan daripadaNya. Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman Allah ini. Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman Allah.

PAS sentiasa segar dengan ijtihad baru

Walaupun PAS sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya memperjuangkan undang-undang Islam, PAS sentiasa menilai pendekatannya. PAS memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik termasuklah ijtihad tahalluf siasi. PAS telah lama berijtihad bahawa pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain baru terlibat dengannya. Begitu juga PAS membenarkan wanita bertanding dalam pilihanraya. PAS sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.

Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru politik Malaysia, PAS menggunakan pelbagai pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.

Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama dilaungkan. PAS melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. PAS memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.

Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan undang-undang Islam di negeri tersebut.

'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam

Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk sekular, nasionalis dan sosialis.

Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah

mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya dalam satu majlis bersama rakyatnya.

Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah PAS dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.


Penulis adalah pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Penjelasan Ustaz Azhar Idrus isu gambar, terhangat

Harakahdaily, 25 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Paparan blog http://addin77.blogspot.com mengenai penjelasan Ustaz Azhar Idrus terhadap sekeping gambar kontroversi beliau merupakan artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-46.



Di tangga kedua ialah laporan blog http://sedakasejahtera.blogspot.com mengenai pelakon Leftenan Adnan iaitu Hairie Othman bertemu jodoh dan mengakhiri zaman dudanya.

Artikel bertajuk “Gambar PM Israel lari tak cukup tanah...” paparan blog  http://shalehudin.blogspot.com menduduki tempat ketiga.

Di tangga keempat ialah artikel sindiran paparan blog http://ahmadseekers.blogspot.com terhadap isu doa kehancuran BN yang dimainkan media Umno.

Di tangga kelima ialah ulasan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin terhadap perbuatan mendoa kemusnahan sesama Islam.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 18 November hingga 24 November, 2012.

1
Penjelasan Ustaz Azhar Idrus berkenaan gambar kontroversi beliau
2
Pelakon Hairie Othman akhiri zaman duda...inilah isterinya
3
Gambar PM Israel lari tak cukup tanah...
4
Rumah Pak Mat dirompak, anak dirogol dan doa
5
Doa musnah sesama Islam, apa komen Dr Asri?
6
Gambar ini buktikan kebenaran Al Quran tentang kebaculan Israel
7
Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS
8
Jet F16 Israel ditembak jatuh di Gaza
9
Terbaik... Umno pasti kecut
10
Tanya Najib siapa Deepak dan K Eswaran

Ekonomi N Sembilan lemah tetapi MB dapat anugerah

Harakahdaily, 25 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (gambar) berkata, penganugerahan tersebut kelihatan agak janggal jika dibandingkan dengan prestasi beliau mentadbir Negeri Sembilan terutama dalam sudut ekonomi negeri.

Sebagai contoh, ujarnya jika diteliti pada tahun 2010, kerajaan Negeri Sembilan memiliki ‘aset’ berjumlah RM23.40 juta dalam bentuk saham di beberapa syarikat seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airport tetapi menjelang tahun 2011 pegangan tersebut cuma tinggal RM590,000 sahaja.

Lebih jelas lagi, katanya pendapatan kerajaan negeri dari hasil utama seperti cukai tanah, terimaan dari agensi, perkhidmatan, perolehan dari segi lesen dan permit dari tahun 2010 berjumlah RM326.99 juta menurun dengan serius kepada RM280.11 juta pada 2011.

Beliau menabmah, lebih malang, apabila peruntukan yang diberikan untuk Hal Ehwal Agama Islam menurun dari RM7.15 juta pada tahun 2010 kepada RM5.63 juta pada 2011. Selain itu, peruntukan pembangunan agensi kerajaan bawah kerajaan negeri dari RM85 juta berkurangan kepada RM82.49 juta.

“Kita bukan mahu menafikan penganugerahan itu, tetapi kita risau sekiranya penganugerahan tersebut berunsur politik. Iaitu menjadi satu alat untuk beliau menarik sokongan rakyat kepada beliau seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar. Di samping cuba menyingkirkan pesaing-pesaing dari kalangan pimpinan Umno Negeri Sembilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tubuh suruhanjaya siasat skandal tanah Umno BN

Harakahdaily, 25 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon menggesa kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera untuk membuat semakan yang terperinci ke atas semua harta benda yang dimiliki oleh parti Umno BN.

Ini ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Adun Kuang dan Kuala Kubu Bharu bahawa tiada salahnya beli tanah dengan murah serta Umno itu adalah rakyat.

“Kedua-dua wakil rakyat dari Umno BN Selangor bukan sekadar tidak dapat membezakan konsep kerajaan dan parti, malah tanpa berasa salah langsung dengan menyalurkan harta kerajaan kepada harta parti atau peribadi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan mereka menghalalkan pemberian hak millik tanah kepada parti politik sendiri dengan tanah Umno BN diguna untuk rakyat adalah alasan tempang.

Kata beliau AMK percaya skandal 24 keping tanah yang dijual dengan murah cuma merupakan hujung iceberg (tip of iceberg) daripada rasuah dan salahguna kuasa Umno BN yang memerintah Malaysia lebih setengah abad.

“Memandangkan Umno BN yang begitu lantang dan langsung tidak berasa salah, maka tidak mustahil cara sedemikian juga diamalkan oleh negeri-negeri lain yang lama diperintah oleh Umno BN,” ujarnya lagi.

Tambahnya, skandal tanah seperti di Selangor tidak dibongkar di negeri-negeri lain kerana kebanyakan negeri yang masih belum berlakunya pertukaran kerajaan.

Justeru, ujarnya AMK berpendapat untuk mengelakkan gejala menyalurkan harta kerajaan kepada harta parti pemerintah daripada berleluasa, maka perlunya ada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dan membuat semakan ke atas sumber serta legitimasi harta parti politik Umno BN.

Ssebelum ini, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendedahkan 23 lot tanah di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno BN dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM300 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tanah berkeluasan 33.5 ekar itu hanya dikenakan bayaran premium serendah RM1 untuk satu kaki persegi.

“Ramai rakyat mempersoalkan bagaimana pengurusan tanah 24 lot tanah yang komersial itu boleh diluluskan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan? Setelah diteliti, harga kesemua tanah itu tidak kurang daripada RM300 juta.

“Bagaimana premium itu boleh dikurangkan sehingga harga begini? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa tanah pada ketika itu? Inilah perangai Umno BN yang kononnya ingin membela hak rakyat, sentiasa memalukan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Tiada ulasan: