Khamis, 29 November 2012

JANGAN WAS-WAS...LAKUKANLAH PERUBAHAN....JANGAN OTAK TAK MAU KELUAR DALAM TEMPURUNG

Najib harus jadi kelip-kelip bukan siput

Mohd Sayuti Omar, 29 Nov 2012

ULASAN UCAPAN NAJIB

Najib Razak tampil di hadapan kira-kira 2,500 perwakilan dan pemerhati Umno di PWTC dengan membuat kejutan awal membangkit semangat perwakilan agar bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Awal-awal lagi beliau melaungkan bahawa Umno sudah pulih dari segala kecederaan dan sedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa. Biasanya pembangkitan semangat sebegitu akan dibuat di penghujung ucapan, tetapi berlainan kali ini.

Mungkin Najib ingin membuat semakan sejauh mana perwakilan sedar atau terbangkit dengan laungan dan jaminan itu. Malangnya sikap para perwakilan tidak seghairah Najib. Perwakilan tidak memberi 'jawaban' sewajarnya. Ini boleh disimpulkan pengakuan Najib bahawa Umno sudah pulih dan bersedia menghadapi pilihan raya itu kurang disetujui para perwakilan dan pemerhati.

Orang bawahanlah yang dapat menentukan apakah semangat Umno sudah pulih atau sedang menggeleter dan takut kehilangan kuasa dan kedudukan. Atau yang ada terlibat dengan jenayah sedang menghitung apakah tuduhan ke atas mereka dan bila masa mereka akan ditangkap. Sebab itu ungkitan Najib itu tidak disambut meriah.

Mereka lebih arif dan mengerti sebab mereka berdepan dengan serangan dan kebangkitan semangat pembangkang. Mereka yang menyaksikan berbagai majlis dan himpunan Pakatan Rakyat yang penuh dengan manusia di semua peringkat. Jadi mereka tidak mahu berbohong kepada diri sendiri untuk bersetuju dengan Najb mengatakan Umno sudah pulih sedang apa yang disaksikan tidak menggambarkan keadaan itu bahkan Umno semakin parah dan pengaruhnya menirus di kalangan Melayu.

Jadi penegasan dan jeritan histeria Najib itu sia-sia saja. Tampak sekali perwakilan Umno dalam kebingungan dan semangat mereka tidak sedikit pun terbangkit.  Ini dapat disaksikan sepanjang ucapan Najib perwakilan hanya dingin dan sesekali saja kedengaran tepukan tangan persis tahi lembu jatuh dari punggung. Reaksi perwakilan dapat dilihat jelas sejauh mana mereka terkesan dengan ucapan Najib.

Penyediaan sticker I love PM, jelas menunjukkan kedinginan sambutan kepada amanat itu. Bahawa perwakilan kena dibekalkan dengan sticker khas untuk menzahirkan sokongan kepada Najib. Kalaulah tidak ada sticker itu yang diangkat dan didendengkan ke muka Najib bermakna Najib tidak mendapat apa-apa sanjungan hari ini. Secara psikologisnya bila ada sticker, perwakilan kena angkat untuk menandakan mereka sporting. Dalam hal ini perwakilan menipu diri sendiri dan Najib juga tertipu dengan sikap ahli sendiri.

Kejutan, henjutan semangat dari Najib untuk perwakilan khasnya, dan ahli Umno amnya bagi menghadapi pilihan raya yang dinanti-natikan tidak ada apa-apa di sepanjang ucapan Najib itu. Beliau hanya mengulang-ulangi perkara yang sama. Apa yang disebut oleh ketua-ketua sayap dan Udin anak Yassin semasa merasmikan persidangan serentak sayap parti, juga diulangi oleh Najib. Ucapan itu boleh diumpamakan empat dalam satu!

Tampak sangat ucapan Najib tidak mengambil idea menyeluruh daripada pakar-pakar politik Umno. Apakah tidak ada perkongsian idea dalam menyediakan teks ucapan itu. Najib hanya merujuk kepada Rosmah yang ikut sama membaiki titik dan koma. Dan beliau berpuas hati dengan pujian isterinya dan orang di sekeliling mengenai teks ucapan itu? Kerana itu jadilah teks ucapan itu seperti pembuat kuih dia sendiri yang menguji dan dimakannya.

Dari konteks orang luar dan rakyat biasa banyak hal yang terlupa oleh Najib. Dalam usaha untuk menarik perhatian orang ramai menyokong Umno Najib terlupa membuat ajakan yang rasional dan bebas dari bersifat 'keUmnoan'. Mengenai orang Cina dan India langsung tidak disentuh. Tidak ada jaminan atau harapan baru khusus oleh Najib kepada mereka sekiranya menyokong Umno.

Keterlupaan ini boleh dianggap Najib juga rasis, tidak lagi mengharapkan kepada sokongan orang bukan Melayu. Keterlupaan atau pengabaian ini tidak menguntungkan Umno. Orang bukan Melayu tidak melihat Umno mengambil kira peranan mereka. Najib sepatutnya mengiktiraf undi bukan Melayu untuk perubahan ke atas negara ini dan juga memberi kesedaran kepada Umno sendiri. Sikap dan pendirian demikian baru ia sejajar dengan kata-kata Najib bahawa Umno berjuang untuk semua bangsa dan tidak 'temooh' kepada Melayu saja.

Isu-isu pembangunan atau jasa bakti yang dibuat Umno disebut Najib sudah tidak penting lagi sebab orang sudah tahu. Ia bukan pembaharuan yang mempesonakan. Kerana perkara itu setiap hari disebut sehinggaka ia memualkan seperti mana mualnya terhadap iklan sabun dalam televisyen. Kerana orang tahu Najib baru empat tahun menjadi PM, apalah sangat jasa-jasa yang dibuatnya. Orang faham antara Umno - pemimpin terdahulu dengan apa yang dibuat dan dicapai Najib untuk negara. Najib tidak boleh membualkan bahawa pembangunan hari ini adalah atas usaha beliau.

Seperkara lagi rakyat akan melihat juga sejauh mana kemampuan, wawasan dan idealisme Najib. Sedang ini tidak cuba diterapkan dalam ucapan itu. Ucapan dasar tidak melambangkan atau Najib tidak cuba menunjukkan dia hebat sebagai seorang negarawan dan pemimpin berpotensi besar. Dia patut berlawan dan cuba menandingi kehebatan Anwar Ibrahim yang dipamerkan dalam masa perdebatan di parlimen atau pun di pentas-pentas politik.

Misalnya kalau Najib tidak berani berdebat dengan Anwar tetapi beliau harus menjawab segala persoalan dibangkitkan Anwar dalam apa jua majlis dan programnya. Misalnya orang akan kaji dan membuat ukuran sejauh mana ketelusan keberanian Najib dalam berhadapan dengan Anwar Ibrahim, tidak payah pergi jauh apa yang berlaku, dalam parlimen sudah cukup. Macam mana Najib absen dari hadir sidang parlimen tatkala Anwar hendak membahas bajetnya baru-baru ini.

Beberapa hujah politik yang diberikan Anwar tidak cuba dijawab oleh Najib. Kelemahan pilihan raya, skandal-skandal yang berlaku yang masih membelit kepala orang ramai tidak dihurai dengan tuntas. Masalah sosial dialami anak-anak muda, pengangguran, keruntuhan moral, ataupun isu dihadapi pegawai kerajaan yang tertekan dengan beban kerja kerana pertukaran sistem dan polisi tidak dibangkit. Najib lebih bernafsu menghentam dan mengkritik Anwar dengan mempersoalkan Islam liberal atau pluralisme di dalam agama yang beliau sendiri tidak begitu mengarifinya.

Sebagai pemimpin Najib jangan hanya tahu menyebut dan membaca terma atau istilah-istilah yang terkandung dalam teks, tetapi juga perlu memahami apa yang hendak disampai dan di luar teks itu sendiri.

Ucapan Najib juga tadi tidak menyentuh perasaan dan menggetarkan jiwa. Saya sebagai orang Melayu tidak pun berdiri bulu roma apabila beliau menjerit histeria membangkitkan soal kepentingan Melayu, soal ancaman ke atas Melayu kalau Umno tidak lagi menjadi kerajaan. Mengenai hal ini beliau harus menghurai secara fakta dan persejarahan mengenai nasib malang negara dan Melayu sekiranya ia tidak lagi di tangan Umno.

Najib sepatutnya menjawab persoalan, bahawa negara ini hak dan tanggungjawab rakyat negara ini semua kaum bukan hak sebuah parti bernama Umno. Apabila Najib meletakkan atau menegaskan hanya Umno yang mampu, ia menjelaskan betapa rasis dan sifat perkauman Najib dan kecurigaan kepada bangsa lain begitu tebal sekali. Sikap eksklusif Umno itu menjadikan bangsa lain akan menjauhinya.

Ringkasnya bukan saja Melayu tidak terpanggil dengan ucapan Najib itu tetapi orang bukan Melayu juga semakin meragui Najib betapa keikhlasan apa yang dinyatakan dalam ucapannya. Apa lagi dengan tawaran keadilan dan sikap liberal Pakatan Rakyat menjadikan orang bukan Melayu merasakan mereka sudah ada alternatif untuk pembentukan kerajaan akan datang.
Demikian juga huraian-huraian dan penjajaan Najib mengenai dapatan dan unjuran ekonomi negara di masa akan datang tidak lebih dari sihir dan gula-gula saja. Najib boleh bercakap di hadapan mereka yang cetek ilmu ekonomi dan jahil dengan situasi semasa, tetapi tidak di depan anak muda yang kritis dan berilmu. Manakala orang kampung yang mudah akur dengan orang bernama pemimpin bercakap pula tidak pun memahami mengenai apa itu pendapatan kasar (KDNK) negara itu dan juga percambahan ekonomi yang mapan. Mereka akan mengukur dengan apa yang ada di dapur mereka saja, misalnya kalau gula naik, bawang naik, sabun naik harganya bagi mereka itu menandakan negara makin parah.

Ucapan Najib bukan saja tidak membawa gagasan dan idea serta kejutan baru tetap gagal menjawab beberapa persoalan penting di dalam kepala rakyat umum ini yang sudah bersiap sedia melakukan perubahan. Yang terpenting bagi Najib dan ahli Umno semua sedar bahawa semangat untuk menumbangkan kerajaan UBN kini tinggi, melebihi dari ketinggian penghormatan kepada Najib sebagai anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri.

Najib tidak boleh berpuas hati dengan kemilau masa lampau bapaknya tetapi dia perlu mengeluarkan sinar dari liang roma perjuangannya sendiri. Najib harus menjadi kelip-kelip yang mengeluarkan neonnya sendiri bukan seperti siput membalikkan cahaya bulan yang tertimpa di atas cengkerangnya ke dalam gelap malam. 

Orang juga sudah sedar bahawa kata-kata dan dakwaan hanya Umno saja yang layak dan mampu memimpin negara sementara kalau parti lain memerintah negara akan porak peranda adalah mitos bersifat kurafat dan bidaah semata-mata. Doktrin agama seperti itu tidak  mampu lagi menjamin kelangsungan sokongan membuta tuli orang Melayu kepada Umno.

Umno sekarang bersatu semasa nyanyi lagu Umno

Aspan Alias, 29 Nov 2012
Muhyiddin dan Najib telah mengulangi keyakinan mereka yang UMNO dan ahli-ahlinya telah kembali bersatu padu terutamanya dalam menghadapi PRU yang hampir tiba ini. Mereka berdua berkata yang UMNO sudah bersedia untuk melalui peperangan menghadapi parti-parti pembangkang dengan perpaduan yang sangat kuat di kalangan ahli-ahli UMNO di setiap peringkat.

Tetapi saya dan ramai yang lain mengatakan yang UMNO berpecah-belah dan amat payah untuk diperbaiki. Tetapi apabila saya melihat melalui kaca TV pagi ini saya nampak perpaduan itu memang ada dan mereka sedang bersatu. Mereka bersatu di hadapan Presiden mereka dengan mengiyakan semua pertanyaan Presiden mereka itu dari rostrum yang tinggi di Dewan Merdeka yang hebat itu. Waktu saya menulis ini Presiden UMNO itu masih berucap dan mencemuh pembangkang yang beliau amat takuti itu.

TETAPI mereka bersatu hanya semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja tetapi mereka balik berpecah-pecah selepas itu. Jadi jika Najib dan Muhyiddin berkata yang UMNO bersatu, saya amat bersetuju. Tetapi apa yang tidak diakui oleh kedua-dua pemimpin ini UMNO hanya bersatu buat seketika sahaja, iaitu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja.

Saya telah terlihat dua tiga orang sahabat saya yang berada di dalam Dewan Merdeka pagi tadi sambil menyanyikan lagu UMNO bersama ribuan yang lain semasa perasmian Perhimpunan Agung parti itu pagi tadi. Kebetulan salah saorang dari mereka telah menghantar sms kepada saya mengajak saya minum kopi malam ini di Kuala Lumpur atau di Petaling Jaya.

Saya pun menjawab dengan gurauan, “wah, bersemangat betul nampaknya menyanyi lagu UMNO tadi. I nampak you nyanyi dengan ribuan perwakilan.” Rakan saya itu menjawab pantas, “Gitulah boss, dah kita diminta menyanyi, kita nyanyilah, setidak-tidaknya ada juga waktunya kita orang bersatu. Masa-masa yang lain semuanya berpecah. Masa nyanyi lagu UMNO itu sahajalah kami dapat bersatu. Cukuplah tu, kan?” katanya kepada saya melalui sms beliau sedang beliau mendengar ucapan bergegar-gegar Presidennya itunya itu.

Walaubagaimana pun saya tidak dapat menerima jemputan minum bersama beliau kerana saya terpaksa memenuhi jemputan berceramah di Tambun, katanya saya berceramah dengan Rafizi Ramli malam ini. Saya tidak nampak yang UMNO sudah bersatu kerana penyatuan yang diusahakan oleh parti itu adalah berdasarkan kepada asas yang amat remeh dan lemah.

UMNO sedar yang masalah besar yang akan dihadapi oleh UMNO ialah masalah sabotaj terhadap calon-calon yang sememangnya menjadi budaya UMNO sekarang ini. Itu sebabnya Dr Mahathir terpaksa melakukan ‘initiative’ untuk memanggil pemimpin-pemimpin bahagian untuk melakukan ikrar dan bai’ah supaya tidak melakukan sabotaj terhadap parti dalam pilihanraya ini. Itu menunjukkan yang beliau sendiri yakin yang tindakan mensabotaj calon parti sendiri itu adalah budaya yang berkembang pesat dalam UMNO.

Bagaimana hendak mengadakan pilihanraya yang mana ahli-ahli UMNO tidak akan mensabotaj partinya kerana keadaan parti itu sekarang terlalu rumit untuk diselesaikan dengan baik. Keadaan dan budaya buruk yang sedang berlaku ini sebenarnya sudah berlaku terlalu lama kerana pimpinan parti itu tidak mengambil indah terhadap isu ini semasa ia masih belum pesat berkembang. Pimpinan selama ini mengambil kebaikan rakyat sebagai kelemahan dan mereka menyangka yang keadaan ini tidaklah sampai ke tahap seperti sekarang ini.

UMNO merupakan parti yang tidak serius untuk menangani masalah semasa masalah itu masih kecil. Seperti penyakit ketagihan rasuah yang sedang dilakukan oleh pimpinan UMNO, mensabotaj parti juga merupakan budaya yang sudah diketagihi oleh mereka yang tidak berpuas hati terhadap isu-isu besar dan tidak bersetuju dengan calon-calon yang diturunkan oleh parti dalam pilihanraya dulu dan yang akan datang. Tindakan mensabotaj parti itu sudah tidak dirasakan apa-apa oleh pensabotaj ini kerana ia sudah menjadi perkara biasa.

Bagaimana pun kita tunggulah kesudahan kepada Perhimpunan Agung parti ini Sabtu depan. Ia tentunya merupakan perhimpunan yang sarat dengan isu-isu besar tetapi oleh kerana perwakilan telah di tentukan apa yang hendak diucapkan dan apa yang tidak perlu diucapkan di dalam perhimpunan ini,  tidaklah saya ketahui panas mana atau sejuk mana hasil dari perhimpunan yang terakhir sebelum pilihan raya dan juga perhimpunan terakhir UMNO sebagai parti pemerintah, mungkin.

Tetapi yang perlunya kita tahu UMNO tidak akan pulih seperti yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin mereka kerana keretakan dalam parti itu serius dan merbahaya. Tetapi ahli-ahlinya tidak merasakan apa apa bahaya yang akan dihadapi oleh UMNO. Ramai di antara perwakilan dan pemerhati akan dijumpai di pusat-pusat karaoke di bandaraya sehari dua ini kerana inilah budaya ahli-ahli parti orang Islam ini setiap tahun semasa Perhimpunan Agungnya itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Rakyat akan menggigit jari sepanjang hayat

Aspan Alias, 26 Nov 2012
Dalam posting saya semalam saya telah menulis tentang beberapa orang pemimpin UMNO mengakui yang UMNO memang nya telah melakukan kesalahan dan akan memulakan perubahan. Semalam semasa berjumpa dengan 1,500 wakil-wakil NGO di seluruh negara Najib mencadangkan supaya jangan mengubah kerajaan kerana perubahan boleh dilakukan oleh BN sendiri.


Kata-kata Najib ini seperti seorang pencuri yang telah mengaku salah tetapi menyeru supaya semua orang jangan mengunci rumah kediaman atau kilang-kilang mereka kerana mereka (pencuri-pencuri) telah berjanji tidak akan mencuri lagi. Kata-kata Najib ini sangat mengaibkan diri beliau dan UMNO itu sendiri. Dalam kepimpinan serta kenegaraan jika seseorang itu telah melakukan kesalahan dia akan berhenti dengan secara sukarela kerana itulah etika kepimpinan dalam sebuah negara yang berdaulat.

Najib sepatutnya belajar apa dia kedaulatan itu. Apa dia negara yang berdaulat itu? Dari mana datangnya kedaulatan itu mesti difahami oleh beliau kerana beliau seorang Perdana Menteri, bukannya kerani kilang padi. Saya begitu hairan etika yang senang difahami itu pun Najib tidak dapat merasakan kepentingannya di dalam sesebuah kepimpinan kerajaan.

Apa perubahan yang Najib hendak lakukan melalui BN itu?

Apa yang dimaksudkan oleh Najib itu tentulah BN sedar yang kerajaan selama ini adalah kerajaan yang rasuah dan selalu menyalahgunakan kuasa. Menyedari itu BN tidak akan melakukan rasuah sebesar itu lagi. Maka adalah wajar bagi rakyat memberikan mandat itu lagi kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Satu lagi perkara yang BN mesti lakukan untuk berubah ialah dengan mengelakkan dari menjadikan isu agama dan memainkan isu bangsa sebagai modal politik mereka. Inilah salah satu lagi yang akan di ubah oleh BN, mungkin. Banyak lagi isu-isu buruk yang kita sama semua tahu dilakukan oleh BN tidak akan dilakukannya lagi. BN mahu berubah dan jangan ubah kerajaan. Tidak payah ubah kerajaan kerana BN yang melakukan kesalahan dan BN akan berubah menjadi parti yang baik untuk rakyat dan negara.

Satu lagi perkara yang BN akan berubah ialah tidak lagi membiarkan isteri-isteri pemimpin mempengaruhi suami dalam pentadbiran kerajaan. BN juga mungkin tidak akan lagi membiarkan pemimpin-pemimpin nya menyeludup wang ratusan billion ringgit keluar negara untuk melarikan dari pengetahuan rakyat  ATAU  satu lagi perkara yang BN akan berubah ialah untuk tidak mengambil komisyen besar dalam pembelian bekalan pertahanan negara. Tidak akan berlaku lagi pembelian Scorpene dan mengambil komisyen yang ratusan juta ringgit.

BN tidak akan lagi mengambil tanah Felda yang sepatutnya dimasukkan 80,000 peneroka dan disenaraikan di pasaran saham untuk pemodal dan kroni yang besar-besar pimpinan dalam dan luar negara kita.

BN juga mungkin tidak lagi memberikan keistimewaan kepada anak-anak Mahathir dengan memberikan anak-anak Mahathir menyandarkan masa depan mereka kepada UMNO. Anak-anak Mahathir tidak payah lagi menggunakan UMNO sebagai modal untuk mereka berniaga dengan besar-besaran. Diharap juga BN tidak akan menggunakan wang Petronas bagi menyelesaikan masalah perniagaan anak-anak pemimpin seperti Mirzan Mahathir dalam jumlah berbillion ringgit.

BN akan berubah dan tidak akan lagi memberikan segala-gala peluang perniagaan kepada Syed Mokhtar dari laut ke darat dan dari darat ke udara seperti yang berlaku sekarang.

Mungkin inilah dia cara BN hendak berubah. Mengaku dengan segala kesalahan ini dan berpura-pura bertaubat dan diberikan lah lagi kuasa kepada mereka. Sekarang mereka benar-benar hendak berubah dan tidak mahu buat jahat lagi. Najib ke hulu dan ke hilir meminta sedekah sokongan rakyat untuk melakukan kebaikan dan tidak hendak buat zalim dan jahat lagi. BN sudah penat membuat jahat, sekarang masanya untuk berbuat baik pula.

Maka berikan lah sokongan kepada BN. Najib sudah berubah dan akan membuat baik pula sekarang ini. Najib ini seperti penagih tegar dadah yang berjanji tidak akan mengambil dadah lagi. Najib meminta rakyat jangan bagi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kali ini kerana mereka (BN) sudah berubah dan berubah.

Dalam jiwa Najib sedang bergelora dan sentiasa menjerit, “tolonglah jangan undi PR…aku dah berubah…aku tidak akan takut kepada isteri aku lagi…akan tidak akan dengar nasihat Mahathir lagi….aku taubat....aku taubat”.

Tetapi boleh kah kita percaya semua janji-janjinya ini?

Jawapannya..jangan sekali-kali! Penagih rasuah dan kuasa tidak akan mampu berubah. Mereka akan tetap melakukannya apabila mendapat kuasa. Air mata yang meleleh dari bibir mata Najib hari ini adalah air mata buaya. Jika BN mendapat mandat lagi yakinlah harta kita akan menjadi harta UMNO. Najib akan meneruskan pemborosan terhadap wang rakyat dan negara. Saya hendak bertanya jika beliau melakukan pemborosan, apa yang kita boleh buat selama 5 tahun itu? Jawapannya…..tidak boleh buat apa-apa lagi.

Rakyat akan akhirnya menderita dan menggigit jari sepanjang masa. Sudah 55 tahun rakyat dikelirukan. Kita belajarlah untuk menjaga maruah diri dan jangan dikelirukan lagi. Percayalah! - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Ramai pemimpin Umno mengaku salah

Aspan Alias, 25 Nov 2012
Akhir-akhir ini ramai di antara pemimpin-pemimpin BN berkata yang UMNO sudah pulih dan parti itu telah membetulkan kesilapannya. Kata mereka lagi yang UMNO akan berubah dan akan membetulkan kesalahannya. UMNO tidak akan lakukan lagi apa yang mereka telah lakukan selama ini. Oleh itu marilah menyokong UMNO sekali lagi kerana telah berubah. Begitulah lebih kurang kata-kata mereka di antaranya termasuk apa yang dikatakan oleh Najib dan Muhyiddin Yassin.


Dengan kata-kata itu ia memberi makna yang selama ini mereka mengaku UMNO dan BN telah membuat kesalahan dan UMNO telah mengakui apa yang dituduh oleh pelbagai pihak yang UMNO itu telah melacurkan politik dan siasah negara. Justeru UMNO sememangnya parti yang telah berdosa dan sekarang mahu bertaubat. Saya gembira dengan pengakuan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO yang lain yang UMNO telah melakukan kesalahan dan sekarang mahu bertaubat dan meminta diberi lagi peluang untuk memerintah kita rakyat yang sudah begitu lama dalam pencarian ini.

Persoalannya sekarang apa yang mereka telah taubatkan itu? Maaf-memaafkan sesama sendiri itu memang amalan orang mukmin. Tetapi tidak bermakna menjanjikan taubat itu sudah cukup untuk meneruskan penguasaan lagi terhadap rakyat dan negara. Apabila UMNO sudah taubat, parti itu sepatutnya direhatkan untuk melaksanakan apa yang mereka taubatkan itu. Jika RM ratusan billion wang rakyat dicuri dan diambil oleh pimpinan BN secara haram, ia memakan masa untuk melakukan proses pemulangan balik harta-harta curi itu kepada rakyat jelata.

Orang yang telah sedar dan bertaubat tidak boleh lagi melakukan apa-apa kesalahan yang terbesar terutamanya terhadap sesama manusia. Saya selalu katakan rasuah itu merupakan ketagihan tegar yang dihidapi oleh UMNO dan BN itu. Seperti penagih dadah yang hendak kembali berbuat baik dan menjauhi amalan mengambil dadah itu mereka sepatutnya duduk di dalam pusat-pusat serenti yang banyak di sediakan oleh kerajaan sekarang ini untuk beberapa lama yang wajar. Mereka dikawal dan dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan supaya merawat ketagihan itu dengan bersistem. Banyak cara untuk merawat penagih ini.

Ada juga yang berjaya dirawat dan menjadi ahli masyarakat yang berguna dan berbuat baik selepas keluar dari pusat pemulihan serenti itu. Tidak kurang juga yang kembali menagih dan kembali ke pusat-pusat serenti itu. Di dalam pusat-pusat serenti itu panagih-penagih ini akan diberikan bimbingan untuk menjadi insan yang baik dengan kelas agama dan memberikan mereka kegiatan riadah seperti bersenam dan sebagainya untuk memulihkan mereka kembali. Mereka ini perlu bimbingan dan ditunjukkan bagaimana untuk menjadi umat yang baik dan berguna untuk masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi untuk agamanya.

Begitu jugalah dengan pimpinan-pimpinan UMNO. Seperti yang kita tahu salah satu dari salah laku pimpinan UMNO ialah rasuah. Rasuah ini merupakan salah satu dari penyakit ketagihan yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Rasuah sepatutnya dijadikan musuh nombor satu negara kerana banyak tamadun telah runtuh oleh kegiatan rasuah pemimpinnya.

Oleh kerana secara terus menerus UMNO telah melakukan ketagihan itu, maka UMNO patut berihat dan melakukan pembaik-pulihan supaya parti itu menjadi parti yang berguna kepada rakyat dan negara dan tidak lagi menjadi penagih rasuah yang telah hampir menjahanamkan negara kesayangan kita ini.

Maka tidak boleh lah UMNO sendiri mengisytiharkan yang mereka telah pulih dari semua penyakit merbahaya untuk manusia itu dan meminta terus memerintah negara ini seperti biasa. Penagih ini tidak semua yang baik dengan sendirinya. Selalunya ia perlu dibimbing dan diatur segala kegiatan kehidupan mereka. Maka UMNO perlu berihat dan memulihkan penyakit ketagihan ini. Kita tidak mahu penagih rasuah ini kembali melakukan rasuah seperti penagih dadah yang kembali menagih selepas keluar dari pusat serenti itu.

Tetapi yang pentingnya sekarang UMNO sudah mula sedar dan mengakui kesalahannya dan serangan terhadap pembangkang yang menuduh mereka (UMNO) itu rasuah sepatutnya di tarik balik dan di dalam hati meminta maaf kepada mereka yang membuat tuduhan yang benar itu.

Ramai pemimpin-pemimpin UMNO telah mengisytiharkan yang mereka telah berjaya memulihkan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu dan telah mengakui kesilapan dan kesalahan mereka. Mengakui kesalahan itu sudah cukup untuk mengakui yang pihak pembangkang adalah pihak yang benar dan kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat kepada mereka (pembangkang) sepatutnya mendapat galakan dan sokongan dari orang ramai.

Buat sementara waktu UMNO biarkanlah mereka duduk berihat sambil memperbaiki diri mereka supaya parti itu pula yang akan menjadi parti alternatif kepada Pakatan Rakyat yang memerintah nanti. Jika Pakatan Rakyat melakukan kesalahan yang sama UMNO yang sudah pulih semasa dalam ‘political confinement’ itu boleh kembali dan menjadi UMNO yang bertenaga dan tidak lagi seperti dahulu. Mungkin semasa itu nanti UMNO akan menjadi bertenaga dan berseri-seri wajah pimpinan mereka setelah melakukan rawatan mereka selama beberapa tahun semasa menjadi pembangkang itu.

Maksud saya ini ialah, menjadikan negara ini sebagai negara demokrasi yang mempunyai sistem dua parti itu akhirnya akan memberikan kenaikan kepada rakyat. Semasa itu nanti baru lah rakyat sedar betapa nikmatnya jika kuasa itu sebenar-benar berada ditangan mereka dan bukannya di tangan ‘war lords’ UMNO seperti sekarang ini.

Rakyat yang bermaruah tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengawal hak mereka dengan wang sogokan atau bantuan seperti gigi palsu percuma, BRIM dan sebagainya. Rakyat tidak boleh memberikan hak kepada pihak lain setelah mendapat tayar teksi percuma dan sebagainya.

Harga diri rakyat itu lebih tinggi dari harga tayar dan bantuan BRIM serta pembayaran bonus satu setengah bulan gaji dan sebagainya. Sedangkan kucing belaan kita pun sekarang tidak makan ikan mentah lagi. Mereka (kucing) sekarang makan Friskies dan Whiskas yang dibeli dari pasaraya. Kucing pun tahu harga diri mereka. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Kalau Najib takut debat dengan Anwar, saya aje

Aspan Alias, 26 Nov 2012
Najib telah cuba menumpang kejayaan Obama mempertahankan kerusi Presiden Amerika Syarikat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini. Najib telah meminta rakyat mengambil contoh rakyat Amerika dengan mengekalkan kerajaan penyandang di negara ini. Saya telah menulis tentang isu ini dan kali ini saya ingin menulisnya sekali lagi.
Baiklah, kita ikut bagaimana Obama mengekalkan kuasa di Rumah Putih di Washington. Jika itu kehendak Najib maka kita lakukan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS). Pertamanya oleh kerana pilihanraya kita sudah hampir maka Najib patut bersetuju untuk melakukan perdebatan terbuka dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim seperti perbahasan di antara Obama dengan Roomney dari Republican semasa pilihanraya Presiden tidak berapa lama dahulu.

Kalau hendak mengikut jejak langkah rakyat AS, kita ikut betul-betul. Tentu ramai bersetuju jika perbahasan ini diadakan secara ‘live’ melalui TV3, RTM, ASTRO dan lain-lain saluran TV yang boleh di lihat di negara ini. Tentukan yang saluran-saluran TV yang besar seperti CNN, Aljazeera dan yang lain-lain menyiarkan secara ‘live’ ke seluruh dunia.

Dalam perbahasan itu Najib boleh membuktikan keburukan Anwar dan Pakatan Rakyat dan biarkan semua masyarakat dunia tahu keadaan sebenarnya. Saya rasa Najib akan mendapat lebih kredibiliti jika semua manusia menonton perbahasan ini dan buktikan segala tuduhan beliau terhadap PR dan Anwar itu betul dan benar.

Najib selalu berkata akhir-akhir ini yang beliau sahaja yang mampu melakukan perubahan, maka tunjukkan bukti dan yakinkan kepada semua pihak melalui perbahasan itu. Sekarang ruang telah terbuka untuk Najib membuktikan kebenaran dan kemampuan beliau dari berkata dan mencemuh Pakatan Rakyat dari belakang dan secara tertutup.

Dalam perbahasan itu Najib boleh buktikan yang beliau tidak terlibat langsung dalam isu Altantuya serta isu-isu lain seperti komisyen Scorpene dan banyak lagi yang dikaitkan terhadap beliau dan telah terbenam menjadi persepsi dan stigma buruk terhadap beliau.

Dalam perbahasan itu Najib boleh buktikan yang isu NFC tidak kena mengena dengan unsur rasuah dan unsur salahguna kuasa dan sebagainya. Seorang pemimpin yang telah berucap bergegar-gegar selama ini dan akan berucap dengan gegaran dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 27hb November ini tentunya berkemampuan untuk mempertahankan kewibawaannya melalui perdebatan itu. Seorang yang benar tidak mungkin takut berhadapan dengan rakyat dalam perdebatan ini, malahan perdebatan ini sepatutnya menjadi cadangan beliau untuk menunjukkan apa yang disebut oleh pembangkang itu fitnah semata-mata.

Najib sepatutnya menerima cabaran ini dengan senang hati dan tunjukkan semua program transformasi beliau itu adalah hebat dari mendengar cerita karut-marut dari dirinya sendiri tentang kehebatan program transformasi beliau itu. Najib selalu mengaku yang kerajaan kita telah menjadi contoh bagi banyak negara di dunia ini, maka perdebatan itu akan menaikkan lagi imej dan ‘dignity’ beliau seperti yang beliau mengakui selama ini.

Najib boleh juga mengambil kesempatan ini untuk membuktikan yang kerajaan pimpinan beliau terhindar dari kegiatan rasuah besar-besaran. Dalam perdebatan itu juga Najib boleh memberikan penerangan bagaimana rakyat negara kita ini akan memperolehi pendapatan yang tinggi menjelang tahun 2020 seperti yang beliau war-warkan ke mana-mana beliau pergi.

Najib tidak perlu gentar berhadapan dengan Anwar. Jika beliau gentar dan menolak cabaran ini, maka jelaslah yang Najib mempunyai banyak perkara yang beliau hendak sorokkan. Jika Najib tidak mahu berdebat dengan Anwar kerana Anwar terlalu tinggi untuk beliau menghadapinya, Najib boleh memilih siapa sahaja  dari pihak pembangkang. Rasa-rasanya saya pun berani dan tidak akan berundur jika mendapat cabaran dari pihak Najib itu. Sedap juga jika anak korporal Polis seperti saya berhadapan dengan pemimpin yang dianggap teragung oleh gulungan seperti ini.

Jika begitu keadaannya maka tidak payah kita berfikir panjang. Terus sahaja kita berikan sokongan kepada parti-parti pilihan selain dari BN dan UMNO. Menarik diri dari cabaran ini bermakna apa yang di tuduh oleh rakyat dan pembangkang selama ini tidak ada yang lain selain dari kebenaran belaka.

Apabila kebenaran sudah terbukti maka rakyat sepatutnya tahu apa yang hendak dilakukan dalam pilihanraya yang akan datang. Tidak payah lagi pemimpin-pemimpin pembangkang ke hulu ke hilir untuk menyaingi media perdana yang menyebelahi kerajaan yang berkuasa sekarang ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Perwakilan Umno ditegah membuka mulut

Aspan Alias, 23 Nov 2012
Salah seorang Naib Presiden UMNO Dato' Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO telah mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 27hb November ini. Arahan ini bertujuan untuk perwakilan tidak menyentuh pandangan isu yang berbeza memandangkan pilihanraya luar biasa akan mereka hadapi tidak lama lagi. Perwakilan di arah untuk tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif kerana ia boleh melemahkan parti dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
Presiden dan Timbalan Parti itu akan bertemu dengan perwakilan sehari sebelum perhimpunan itu diadakan bagi menentukan apa yang boleh dibincangkan dan setiap Perhubungan Negeri akan menamakan siapa yang akan berucap dalam perhimpunan itu. Arahan ini adalah arahan yang tidak pelik dalam UMNO dan saya berharap mana-mana parti dalam PR tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh UMNO itu. Apa maknanya Perhimpunan Agung jika perwakilan tidak boleh bercakap apa yang mereka ingin perkatakan untuk kebaikan parti.

Ini adalah budaya biasa dalam UMNO kerana apa yang diucapkan oleh perwakilan itu telah di tentukan oleh pucuk pimpinan. Dalam Perhimpunan Agong itu apa yang akan diucapkan sudah ditentukan dan semasa perhimpunan itu perwakilan hanyalah di tugaskan untuk bertepuk tangan dengan kuat sahaja. Selain dari itu perwakilan hanya membuat lawak jenaka untuk hiburan murahan bagi pimpinan yang berada di atas pentas nanti.

Budaya ini wujud hanya setelah penubuhan UMNO (B) pada tahun 1988 dahulu kerana pucuk pimpinan tidak gemar mendengar rungutan ahli-ahli dan rakyat di akar umbi. Pucuk pimpinanan hanya suka mendengar perkara yang baik-baik sahaja dan jika boleh mendapat pujian dari perwakilan yang berucap dan di ikuti dengan tepukkan gemuruh dari perwakilan yang menyelang-selikan ucapan dengan jenaka dan lawak yang mampu membuat pimpinan di atas ketawa besar sambil mengangkat tangan kegembiraan.

Itulah sebabnya UMNO yang baru berusia 24 tahun itu tidak berkembang kerana pemikiran ahli dan perwakilan telah di penjara oleh pucuk pimpinan. Mereka (perwakilan) hanya di arah untuk menyebut isu yang sedap-sedap sahaja. Perwakilan UMNO akan hanya di arah untuk memberikan kutukan dan cemuhan terhadap pimpinan PR seperti Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, LGE, LKS dan lain-lain. Ini merupakan isu yang sudah dijangka oleh orang ramai dan ia akan menjadi isu yang dianggap sudah basi dan menjemukan.

Kita boleh menjangkakan yang Najib akan berucap bergegar-gegar, sesuai dengan sifat seorang pemimpin yang pengecut dan penakut. Selalunya sesiapa yang bercakap dengan gegaran retorik yang besar-besar mereka ini adalah mereka yang terlalu banyak perkara yag hendak di tutupi. Mereka ini adalah dari gulungan yang penakut, ibarat orang berjalan di dalam gelap di kampung-kampung pedalaman. Di dalam gelap itu mereka selalunya akan menyanyi sekuat hati dari lagu Ahmad Jais, lagu Mat Sentul sehinggalah lagu P Ramlee dan semuanya itu untuk menghilangkan rasa takut dan ngeri mereka berada di dalam gelap itu.

Tetapi dalam pada menyanyi lagu P Ramlee itu, mereka juga merasakan seram sejuk di tubuh mereka kerana takutkan kepercayaan tahayul tentang hantu dan sebagainya yang berkeliaran di dalam gelap itu.. Begitulah juga yang sedang berlaku kepada Najib. Beliau akan berucap bergegar-gegar dengan nada yang tinggi dan kuat untuk menyorokkan perasaan takut beliau menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Berbalik kepada arahan menutup mulut itu, ia melambangkan kelemahan yang banyak dalam UMNO itu. Mereka tidak memahami bahawa perwakilan setiap tahun itu adalah untuk perwakilan negeri-negeri menyampaikan masalah-masalah kepada pucuk pimpinan. Semasa Mesyuarat Agung seperti inilah masa yang baik untuk meluahkan perasaan tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan atau yang berlaku di dalam parti yang uzur itu. Dalam Perhimpunan Agung itulah masa untuk melambakkan apa yang perlu diketahui dan dirasakan oleh pucuk pimpinan secara bersama.

Kalau Ahmad Zahid mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut maka tidak salah jika orang ramai menganggapnya sebagai mesyuarat agung orang-orang bisu sahaja. Ahmad Zahid mahukan agar perwakilan hanya ‘buat tidak tahu sahaja’ tentang apa yang berlaku di dalam UMNO. Ada telinga dengar, ada mata pandang dan jangan bercakap apa-apa. Kalau bercakap itu merupakan kesalahan. Maka tidak salahlah apa yang saya katakan selalu, dalam UMNO bercakap benar adalah satu kesalahan besar.

UMNO adalah sebuah parti dalam mana ahli-ahlinya dididik untuk tunduk dan mengangguk sahaja dan di dalam perhimpunan itu adalah tempat untuk mendengar lawak jenaka dan kita akan lihat Utusan Malaysia menyiarkan gambar-gambar Najib dan Muhyiddin ketawa besar dan akan di sertai oleh Khairy Jamaludin dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi parti yang lain.

Inilah kejayaan UMNO yang terbesar, iaitu memenjarakan pemikiran dan perasaan rakyat dan itulah sebabnya ada orang Melayu menganggap UMNO itu lebih tinggi dari agama. Chua Soi Lek boleh menghentam agama suci kita, tetapi jangan menghentam pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Siapa yang berani mengecam pemimpin mereka, yang mengecam itu akan tidak mendapat kedudukan lagi di dalam parti dan kerajaan dan akan segera di sisihkan.

UMNO lebih buruk kerjanya dari penjajah British dahulu. Penjajah British dahulu mahukan orang Melayu untuk mudah berpuas hati dan tidak diberikan peluang untuk memegang jawatan besar-besar dalam kerajaan. UMNO pun begitu. Orang Melayu dididik untuk sentiasa berterima kasih dengan bantuan gigi palsu, dan pemberian lembu dan kerbau pawah kepada petani-petani kecil di kampung-kampung. Jika ada yang bercakap dan mengkritik, UMNO akan mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah berikan walaupun pemberian itu hanyalah sebatang dua gigi palsu.

Jangan mengkitik UMNO kerana UMNO lah yang membawa api letrik ke kampung-kampung dan UMNO jugalah yang menyalurkan air paip ke rumah-rumah rakyat. Tetapi UMNO tidak pula memberi tahu yang semua negara dalam dunia ada api letrik dan bekalan air bersih walaupun di negara-negara tersebut tidak ada parti UMNO. Di Amerika Syarikat (AS) tidak ada parti UMNO. Begitu jugalah di Jepun dan di Britain tidak ada UMNO tetapi mereka ada bekalan air yang lebih baik dari yang ada di negara ini DAN rakyat mereka menggilir-gilirkan parti-parti yang memerintah mereka.

Maksudnya itu adalah tanggungjawab setiap pihak yang dimandatkan oleh rakyat dengan menggunakan sumber kewangan dari rakyat untuk melaksanakan semua projek pembangunan negara. Mereka itu sendiri di bayar gaji dan elaun untuk mentadbir rakyat dan tidak munasabah rakyat pula yang perlu berterima kasih kepada UMNO.

Kepada UMNO kita ucapkan selamat bersidang dan kepada para perwakilan yang berucap sediakan beberapa lawak jenaka untuk hiburan pimpinan di atas pentas itu nanti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Najib tidak boleh samakan buah epal dengan bacang

Aspan Alias, 21 Nov 2012
Najib masih menyanyikan lagu lama dengan dendangan yang lama. Najib seorang yang sangat terdesak dan kata-kata nya pun sangat tidak bernilai sebagai satu ucapan pemimpin yang setimpal sebagai kata-kata dan ucapan seorang pemimpin kepada rakyat yang sedang dalam pencarian ini. Najib terpaksa menggunakan ‘testimonial’ orang lain untuk mendapat kepujian dan pengiktirafan dan tidak mampu menunjukkan ‘testimonial’ sendiri bagi meyakinkan rakyat.


Najib masih meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO dan BN kerana memberikan sokongan kepada UMNO khususnya kepada beliau itu tidak akan menjejaskan pelan transformasi beliau yang telah beliau umumkan setiap bulan dan minggu itu. Jika memberikan sokongan kepada pihak lain ia akan menjejaskan pelan pembangunan dan kemajuan negara dan akan membantutkan usaha kerajaan pimpinan beliau untuk menjadikan negara ini sebagai negara yang berpendapatan tinggi dan sebuah negara maju menjelangnya tahun 2020 nanti.

Najib mengambil Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh pandangannya itu. Rakyat AS telah memberikan ‘continuity’ kepada pentadbiran Barack Obama dari Demokrat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini dan rakyat Malaysia perlu mengikut contoh itu dan memberikan sambungan pentadbiran kepada Barisan Nasional. Mendengar ucapan beliau itu, ramai termasuk diri saya hampir jatuh dari kerusi kerana hendak menyamakan beliau sebagai Barack Obama dan beliau tidak nampak bagaimana AS telah melakukan perubahan acapkali dalam pilihanraya Presiden di negara itu.

Di antara Parti Republican dan Demokrat, mereka ini telah bertukar-tukar dan bergilir gilir mentadbir negara kuasa dunia itu sejak negara itu merdeka 200 tahun dahulu. Najib sepatutnya tahu yang Presiden Jimmy Carter adalah dari parti Demokrat dan Presiden  George W Bush dan George Bush (senior) adalah dari Republican. Tidak tahu kah Najib yang Presiden Bill Clinton dan Obama adalah dari Demokrat?. Rakyat AS telah menukar parti-parti memerintah negara itu bergilir-gilir puluhan kali sejak kemerdekaannya dahulu.

Sebaliknya di negara kita, Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, our great Dr Mahathir, Abdullah Badawi dan sekarang Najib semuanya dari Barisan Nasional. Rakyat Malaysia belum pernah melakukan perubahan ini. Jika benar-benar hendak jadikan rakyat AS sebagai contoh kita mesti lakukan perubahan sekarang sebagaimana yang selama ini dilakukan oleh rakyat negara ‘Uncle Sam itu’.

Rakyat AS ada sebab untuk mengekalkan pentadbiran Obama kali ini seperti mana kita ada sebab untuk mengubah pentadbiran kita di Malaysia ini. Malahan Obama hanyalah merupakan Presiden dari parti Demokrat yang kedua selepas Clinton dalam beberapa dekad ini yang berjaya mengekalkan pentadbiran mereka buat kali kedua berturut-turut. Selain dari itu setiap Presiden dari parti Demokrat hanya mentadbir satu penggal sahaja.

Oleh itu Najib tidak perlu untuk menempel kejayaan orang lain untuk mencapai kejayaan sendiri. Pimpinan kerajaan sekarang elok elakan dari melihat AS dalam situasi ‘double Standard' kerana UMNO selalunya melihat AS sebagai sebuah negara yang tidak bermoral dan sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak boleh kita ikuti. Mahathir berkata kita tidak boleh mengikut jejak AS kerana kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Kenapa kali ini pula dipuji rakyat AS kerana mengekalkan Obama sebagai Presiden buat penggal kedua?

Najib patut bergantug kepada kewibawaan sendiri. Tidak payah menumpang kewibawaan Obama. Bagi Najib untuk menjadikan Obama sebagai ‘equation’ dalam politik beliau ia merupakan satu perkara yang agak terlalu jauh dari yang sepatutnya. Jangan kita hendak samakan buah epal dengan bacang.

Di antara buah epal dengan buah bacang amat jauh perbezaannya. Buah bacang ini sangat kuat baunya dan boleh di hidu dari jauh. Baunya itu memeningkan kepala kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu

Aspan Alias, 19 Nov 2012
Barisan Nasional tidak dapat meyorokan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh di ketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu bukannya parti yang tidak boleh di ketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang akan datang ini.


Maka pimpinan BN buat pertama kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat untuk beliau duduk di kerusi PM itu.  Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan parti yang baru beliau pimpin itu.

Selain dari masalah kejatuhan sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan penjelasan.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?

Pertamanya UMNO terpaksa berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara. Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih baik dari BN selama ini.

Keduanya, UMNO sendiri bermasalah dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’ dalam banyak hal serta permainan ‘cah keting’ yang menular di setiap peringkat parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.

Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah keadaan berpuak-puak dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’ yang mereka sangka akan mengambilalih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.

Itulah sebabnya saya sibuk melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.

Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.

Malahan ramai di antara mereka telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN) sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa bukannya mereka (BN).

Oleh kerana rakyat sudah merasa sedikit kenikmatan hasil dari pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke Putrajaya.

Seperti yang saya sebut tadi, UMNO mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya di sebabkan mereka hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.

UMNO berpuak kerana mereka sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambilalih secepat yang mungkin, jika boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.

Banyak di antara isu terhadap Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang. Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda tidak berapa lama lagi.

Saya suka mengulangi yang perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’ UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh pembangkang. Pendeknya Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan dalam UMNO itu sendiri.

Saya tidak tahu bagaimana UMNO boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.

Tentu Dr Mahathir tahu apa yang berlaku dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain dalam UMNO yang sudah lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.

Hanya saya berharap dan berdoa tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih Putrajaya jika di izin Tuhan.

Kita hanya merancang, Tuhan sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan mengakui yang kerja Tuhan  penuh misteri. Tetapi jika di dasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.

Jika DIA berkehendak semuanya boleh berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Kalau membaca Utusan, bacalah dengan terbalik

Aspan Alias, 18 Nov 2012
Banyak kritikan terhadap Utusan Malaysia kerana akhbar itu memainkan isu-isu untuk memecah belahkan rakyat. Utusan merupakan akhbar untuk UMNO kerana akhbar itu kepunyaan UMNO. Utusan itu merupakan ‘kuda pelejang’ untuk UMNO dan apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO itu adalah kerja baik dari sudut pandangan Utusan. Utusan sudah hilang kredibiltinya yang tidak mungkin dapat dipulihkan lagi.
Tetapi kalau kita pandang dari sudut yang lain ada caranya untuk menganggap Utusan itu akhbar yang mampu untuk memberikan kita berita dan rencana yang baik untuk kita. TETAPI untuk melakukannya ia bersyarat.

Syaratnya hanya satu: iaitu kita mesti ada formula untuk melakukannya. Seperti matematik formula adalah penting untuk mendapat jawapan yang tepat. Formulanya ialah, kita mesti membacanya dengan terbalik. Membaca dengan terbalik adalah jalan terbaik untuk mendapat kebenaran dari Utusan.

Maksud saya jika Utusan mengatakan yang mereka akan dapat merampas Selangor, P Pinang, Kedah dan Kelantan maka yang benarnya ialah ia tidak mungkin tercapai. Jika Utusan kata Himpunan Kebangkitan Rakyat di Senawang dan Kota Bharu  itu tidak berjaya ia bermakna himpunan itu telah berjaya.

Utusan pernah berkata yang BN akan mendapat 140 kerusi parlimen dalam pilihanraya nanti, ia bermakna 140 kerusi itu akan didapati oleh Pakatan Rakyat. Kita juga telah melihat Utusan sentiasa mengatakan yang negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat tidak berkemampuan tetapi yang sebenarnya negeri-negeri inilah yang telah menunjukkan prestasi yang baik dan diakui oleh Ketua Audit Negara.

Utusan mengatakan yang PR tidak berkepimpinan maka yang sebenarnya BN lah yang tiada kepimpinan sehinggakan ahli-ahli UMNO sendiri tertanya-tanya siapa yang akan menjadi MB Selangor jika BN memenangi Selangor. Begitu juga di NS tidak ada siapa yang mampu untuk menggantikan Mohamad Hasan jika BN masih berkuasa dan mendapat mandat sedangkan Mohamad Hasan wajib diganti. Bagaimana Utusan boleh mengatakan UMNO itu sarat dengan kepimpinan. Utusan tidak sedar yang kepimpinan UMNO sudah mula susut sejak Mahathir mengambilalih kepimpinan negara.

Saya menulis isu ini kerana masih ramai yang terpedaya dengan dakyah Utusan yang tidak bertanggungjawab itu. Utusan sekarang sudah hilang matlamat dan tujuan asal penubuhannya. Matlamat Utusan ialah untuk memenjarakan pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu. Utusan tidak mampu menyedari yang rakyat boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Utusan masih dengan sifat dan ‘attribute’ lamanya iaitu mengeliru dan menyesatkan pemikiran ramai untuk mengekalkan kuasa.

Saya juga menulis tentang isu ini kerana kita boleh agak apa yang akan dilakukan oleh Utusan dalam pilihanraya nanti. Saya juga pernah menulis tentang TV3 kerana TV3 juga mempunyai ‘attribute’ yang sama seperti Utusan. Itulah sebabnya saluran TV itu sudah mula turun ‘rating’nya dan ia tidak mustahil menghadapi pengalaman yang sama seperti yang dialami oleh Utusan.

Satu lagi formula apabila hendak membaca Utusan itu, dengan membaca ‘auzubillah’ 33 kali sebelum membuka dan membaca akhbar itu.. Jangan lupa apabila membacanya, mesti membacanya dengan terbalik. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pakatan Rakyat sudah bersedia ke Putrajaya

Aspan Alias, 18 Nov 2012
Muktamar PAS kali yang ke-58 memberangsangkan rakyat. Muktamar kali ini merupakan muktamar yang terakhir sebelum PRU diadakan jika pilihanraya benar-benar akan diadakan. Muktamar di Putik Kelantan ini amat memberikan semangat kepada pihak yang inginkan perubahan kerana tanda-tandanya semakin hari semakin jelas tentang kejayaannya.

Semasa menyampaikan ucapan dasarnya, Tok Guru Hj Hadi Awang (TGHA) telah menyentuh isu-isu politik secara menyeluruh dan mampan serta sangat penting untuk diikuti dan ditarbiyah secara menyeluruh oleh sesiapa yang berminat tentang perkembangan dan kemajuan PAS sebagai satu dari tiga komponen penting dalam Pakatan Rakyat.

Yang menariknya ucapan itu juga telah menyentuh tentang apa yang bakal dihadapi oleh PAS dan PR semasa menghadapi PRU itu nanti. TGHA telah meminta semua ahli-ahli dan penyokong serta unit amal parti supaya menjalankan tugas dengan bijaksana dan tekun untuk menghadapi ombak pertahanan BN khususnya UMNO iaitu pencurahan wang yang berbilion ringgit. Wang merupakan senjata yang terakhir untuk BN kerana untuk mendapatkan sokongan dan dukungan rakyat secara sukarela dengan perjuangan sudah tidak wujud lagi di dalam UMNO dan BN.

UMNO akan menggunakan wang yang banyak untuk membeli undi dan ia akan memakan jumlah yang besar dan wang itu tentulah datangnya dari sumber rasuah. Wang rakyat sendiri yang telah dicuri secara sistematik oleh pimpinan UMNO. UMNO sudah tidak ada sokongan, maka parti itu terpaksa membeli perasaan dan jiwa orang Melayu khususnya.  Wang jugalah yang akan digunakan untuk menyatukan ahli-ahlinya semasa PRU itu nanti kerana UMNO akan mula berpecah di peringkat bawahan sejurus calon-calon mereka diumumkan.

TGHA juga menyentuh tentang pentingnya PAS bersedia dengan media massa alternatif yang efektif seperti Harakah dan Harakah online. Untuk menafikan fitnah dan cemuhan yang akan dilakukan oleh UMNO khususnya oleh Utusan serta kumpulan New Straits Times yang berpihak kepada parti kerajaan secara tidak beretika selama ini.

Presiden PAS itu juga telah menelah yang UMNO akan memainkan isu perkauman dengan hebat sekali kerana UMNO kini sudah begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. UMNO sedar yang rakan kongsinya MCA tidak lagi dihormati oleh bangsanya sendiri yang kini sedang memberikan sokongan yang padu kepada PR.

TGHA juga telah memperbaharui azam PAS untuk bersama-sama PR untuk menjayakan cita-cita pembaharuan untuk negara ini. UMNO dan BN akan berterusan untuk memisahkan di antara parti-parti yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana itu sahajalah yang tinggal harapan BN untuk terus mendapatkan mandat bagi menyambung kuasa yang tinggal hanya beberapa bulan sahaja lagi ini.

UMNO tidak akan ada sempadan dalam tindakan mereka mempertahankan kedudukan mereka. Ia akan melampaui batas undang-undang serta etika berpolitik secocok dengan sebuah negara yang mengaku sebagai negara demokrasi.

UMNO akan sanggup untuk menjadikan negara ini kucar kacir asalkan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka. Sebutkan apa sahaja, mereka akan lakukan. UMNO tidak dapat menyerapi unsur demokrasi di dalam pemikiran mereka. Bagi mereka demokrasi itu adalah kemenangan untuk mereka sahaja. Jika mereka kalah dan tidak mendapat mandat itu bukanlah demokrasi bagi mereka.

Tidak ada ruang di dalam artikel ini untuk memberikan ulasan secara ‘detail’ terhadap ucapan yang mantap TGHA ini tetapi cukup bagi saya memberikan gambaran yang ucapan telah menyentuh bidang ekonomi sebagai sebuah negara berkebajikan yang menjadi tuntutan agama itu. TGHA juga telah menyentuh tentang isu sosial yang mendesak untuk diselesaikan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

TGHA telah berkata dengan terang dan jelas yang PAS sudah bersiap sedia untuk menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat dan tidak mempunyai masalah untuk membuktikan kepada rakyat yang PR mampu untuk membuktikan kelainan dalam pentadbiran baru negara nanti.

Di dalam muktamar ini juga PAS telah menerima permohonan dari seorang bekas pegawai tinggi kerajaan iaitu Tuan Haji Nahwari Hashim sebagai ahli PAS dan ini merupakan lanjutan kepada tindakan ramai bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS sebelum ini PAS nampaknya semakin jelas merupakan parti pilihan bagi orang Melayu seperti juga parti-parti lain dalam Pakatan dan ini adalah pemangkin kepada PAS untuk menjadi parti yang mendapat sokongan setiap lapisan rakyat yang berbilang kaum ini.

Sempena muktamar ini juga telah diadakan Himpunan Rakyat yang sangat besar kehadirannya di stadium Sultan Mohamad ke-empat. Seramai 30,000 ribu rakyat jelata telah membanjiri stadium itu untuk menunjukkan kepada ramai yang rakyat benar-benar serius untuk melakukan perubahan kali ini. Mereka ini datang tanpa dibayar dan diberi makan karipap dan sebagainya, jauh sekali untuk diberikan baju T atau topi dan perkara-perkara yang lain seperti yang terpaksa di adakan oleh UMNO jika hendak membuat perhimpunan mereka. Satu-satu perhimpunan yang hendak dilakukan oleh UMNO akan memaksa parti itu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menjayakannya.

PAS yang difahamkan akan bertanding di 70 kawasan parlimen akan memenangi jauh lebih banyak kerusi dari yang mereka dapati semasa PRU 2008 dahulu. PAS tidak syak lagi akan menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran baru nanti dan saya secara peribadi tertunggu-tunggu ‘ambience’ politik yang baru itu.

PR akan membuktikan yang mereka lebih baik dari pentadbiran BN. Seperti biasa dalam politik penilaiannya adalah secara relatif. Tetapi PR pasti merupakan ‘coalition’ yang lebih baik dari BN.

Seperti yang saya sebutkan selalu, ‘the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of Barisan Nasional’. Yang ‘perfect’ hanya ada kepada Maha Pencipta, Allah SWT sahaja. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Dengan Umno, kalau nak niaga durian pun tak boleh

Aspan Alias, 17 Nov 2012
Semalam (kelmarin) saya terbaca tulisan sahabat saya, MSO di dalam blog beliau dalam mana beliau telah menceritakan kepada umum tentang pertemuan seorang pegawai tinggi PDRM dengan Tok Guru Nik Aziz baru-baru ini. Pegawai tersebut diiringi oleh bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah yang saya kenali sejak bersama di kampus dahulu.


Jika benar kunjungan dan perjumpaan ini ada kena mengena dengan perpaduan Melayu (UMNO dengan PAS) ia merupakan satu usaha yang agak terlambat kerana kebanyakan orang Melayu memangnya mahu perpaduan itu, tetapi perpaduan itu mestilah di luar UMNO. Melayu telah begitu lama berpadu di bawah UMNO tetapi apa yang kita alami sekarang ini menunjukkan yang UMNO bukanlah wadah yang relevan buat masa ini untuk menyatukan orang Melayu.

Bagaimana UMNO mampu untuk menyatukan orang Melayu sedangkan orang Melayu sendiri sedang keluar beramai-ramai dari UMNO. Jika tidak keluar secara rasmi mereka akan keluar melalui sokongan mereka terhadap PR di dalam peti undi semasa pilihanraya nanti. Bagaimana mungkin PAS boleh berbincang dengan UMNO sedangkan tindakan itu akan melemahkan PAS itu sendiri. Tidak ada rasionalnya PAS untuk memikul ‘baggage’ UMNO yang terlalu ‘excessive’, besar dan berat itu.

Jika benar tujuan pegawai-pegawai itu berjumpa TGNA untuk mengusahakan perpaduan Melayu, UMNO sepatutnya menjadi pengikut dan bukannya memberikan syarat-syarat semata-mata untuk memberikan parti yang hampir lumpuh itu nyawa untuk berkuasa lagi. Bagaimana parti yang bertanggungjawab terhadap perpecahan Melayu ini menjadi pemain utama untuk penyatuan ini kerana ia akan hanya memberikan masalah besar bagi pencapaian matlamat itu.

Bagi saya jika PAS tunduk dengan permainan UMNO itu, rakyat akan kecewa kerana rakyat sudah tidak lagi berkeyakinan dengan parti itu. Rakyat yang ramai sedang berusaha untuk merehatkan parti itu buat sementara waktu atau selama-lamanya, bergantung kepada tingkah dan lakunya di hadapan rakyat pada masa-masa yang akan datang.

Apa yang penting sekarang ialah matlamat PR itu sendiri yang bercita-cita kuat untuk mencapai perpaduan kaum yang sedang terjalin dengan kuatnya dalam Pakatan Rakyat sekarang. UMNO yang begitu hipokrit tidak mampu untuk mencapai matlamat yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan di antara kaum yang berbilang kaum sekarang ini. UMNO bercakap tentang perpaduan kaum di hadapan rakyat tetapi dalam praktisnya penyokong-penyokongnya masih memainkan isu perkauman yang menebal di peringkat bawahan. UMNO tidak mampu untuk mendisplinkan ahli-ahli dan penyokongnya sedang perpaduan itu amat penting berlaku di peringkat akar umbi.

UMNO mahu kekal berkuasa dengan tipu helah yang keterlaluan tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan sokongan dengan manampilkan sikap dan teladan yang baik kepada rakyat. UMNO tertunduk-tunduk dengan MCA yang chauvinis perkauman itu dengan membiarkan Islam dan undang-undang hududnya secara terbuka dan rasmi. UMNO tidak termampu lagi untuk memimpin parti-parti dalam BN itu sendiri. Jadi bagaimana ianya boleh berkemampuan untuk memimpin rakyat dengan baik dan telus? UMNO seperti orang yang hilang akal yang mundar-mandir di jalanan kerana tidak berkesanggupan untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang seperti orang yang fasik yang tidak lagi tahu untuk membezakan yang mana satu tangan untuk makan dan yang mana untuk digunakan untuk beristinjak. UMNO tidak lagi mempunyai roh perjuangan kerana terpengaruh dengan bisikan khatir atau iblis, yang sentiasa mahu parti itu sesat-barat dalam perjuangan memimpin rakyat dan negara.

UMNO terlalu banyak perkara yang hendak ditutupinya. Tetapi bak kata perpatah, bagaimana 'UMNO hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru'? Rakyat tidak lagi mengambil hirau tentang UMNO sekarang ini kerana pemimpin-pemimpin mereka sendiri tidak menghiraukan ‘dignity’ parti itu. Justeru, bagaimana rakyat hendak meneruskan sokongan terhadap parti yang tidak lagi mempunyai harga diri itu? Bagaimana PAS yang merupakan parti politik yang masih mempunyai ‘attribute’ boleh berjuang dengan UMNO yang rakyat mereka sudah memahaminya sebagai parti taukeh-taukeh dari pucuk pimpinan sampailah ke bawah-bawah ini?

Sikap dan sifat UMNO sebagai parti rasuah itu memang membuatkan rakyat naik mual dengannya. Tugas pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa hanyalah untuk mengambil wang rakyat dalam perbendaharaan dengan sistem rasuah yang halus. Mereka bukan setakat mencuri apa yang ada di dalam perbendaharan kita tetapi mereka juga sedang berusaha untuk mencuri wang yang ada di dalam poket rakyat sekarang ini.

Perlaksanaan AES yang baru dilaksanakan sekarang ini merupakan satu tindakan yang tidak berhati perut. Sebenarnya rakyat tidak membantah jika saman-saman itu dimasukkan seratus peratus ke dalam perbendaharaan negara tetapi sebahagian besar dari kutipan saman itu masuk ke dalam poket kroni-kroni UMNO yang tamak haloba itu. Bagaimana saman terhadap kesalahan lalulintas itu diambil oleh syarikat kroni kerajaan dan pimpinan kita?

Kerja seperti ini adalah kerja yang dianggap gila kerana terlalu jelas ada pihak di kalangan yang hampir dengan pemimpin kita sedang menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan yang tidak ada tolok banding jumlahnya. Ini merupakan satu bukti yang amat jelas yang UMNO merupakan parti yang menghimpit rakyat dengan tekanan ke atas semua rakyat yang berkenderaan.

Kita tidak membantah untuk memperbaiki sikap dan kelakuan pemandu-pemandu kita tetapi jika mereka (pemandu-pemandu) bersalah tidak ada di antara mereka membantah jika saman terhadap mereka itu dibayar sepenuhnya kepada perbendahaaran kerajaan. Sekarang rakyat sedang begitu berang dengan kerajaan dalam masa inilah pula, ada wakil-wakil UMNO yang ingin berbaik dan mengusahakan perpaduan Melayu bersama PAS.

Bagaimana kita hendak berbaik-baik dengan manusia yang ‘cepat tangan’ itu. Rakyat sudah letih membina pagar-pagar duri agar pencuri-pencuri tidak akan dapat mendekati perbendaharaan kita. Jika mereka masih ada bersama maka usaha membina pagar untuk menyelamatkan perbendaharaan kita dari didekati oleh pencuri dan perompak itu tidak akan sampai ke matlamatnya.

Rakyat akan terus disamun dan dicuri segala harta benda mereka sampai bila-bila. Kata perbilangan, sekali seseorang itu mencuri dia akan tetap menjadi pencuri. Dalam keadaan terdesak sekarang ini, UMNO akan lakukan apa sahaja. Perasaan malu dan silu sudah tidak lagi wujud di kalangan pimpinan UMNO itu.

Walaubagaimana pun kita berharap jika matlamat perjumpaan pegawai tinggi kerajaan berjumpa dengan TGNA itu tidak akan berjaya untuk memerangkap PAS kali ini. Dengan UMNO kita wajar mempunyai sikap, ‘suspect everybody and trust nobody’.

Bak kata sahabat saya dari Terengganu, “dengan UMNO ini kita tidak boleh berurusan lagi. Nak berniaga durian pun tidak boleh dengan mana-mana pemimpin UMNO ni. Kita akan kena tipu!” - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Pesakit kanser wajar berehat atau direhatkan

Aspan Alias, 13 Nov 2012
Saya tidak dapat memikirkan alasan-alasan yang munasabah untuk kita mengekalkan UMNO sebagai pemegang amanah negara kerana segala-gala yang dilakukan dan kegagalan UMNO selama ini sudah ‘terbonggeng’ dan sudah dirasakan oleh semua rakyat. UMNO ibarat pesakit kanser yang ‘terminal’ kerana hampir semua sel-sel dalam tubuh UMNO itu sudah mati. Penyakit kanser ini merupakan satu penyakit dalam mana sel-sel di dalam tubuh kita telah mati dan sel-sel yang masih hidup itu pun akan berbunuh-bunuhan sehingga penanggungnya, ia itu tubuh dan jasadnya mati.


Seperti pengidap kanser, ia akan selalu berusaha untuk mengubati penyakit yang merbahaya itu, tetapi akhirnya tubuh akan mati juga. Pesakit dan pengidap kanser akan melakukan apa sahaja untuk berubat sama ada menggunakan ubat tradisi atau ubat-ubat moden di hospital-hospital. Selalunya pesakit kanser akan berbuat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Jika ada yang memberikan nasihat untuk pergi ke tempat-tempat di mana-mana sahaja untuk berubat pesakit atau penjaganya akan pergi untuk memberikan harapan untuk terus hidup.

Tetapi akhirnya pesakit-pesakit kanser yang sudah pulih itu hanya mengalami pemulihan sementara sahaja dan akhirnya mereka akan mengakhiri kalamnya kerana penyakit itu juga. Tetapi saya tidak menafikan yang ada yang selamat sehingga satu jangka yang lama (dengan izin Allah), tetapi lambat launnya pesakit itu akan meninggal kerana penyakit itu.

Begitu jugalah UMNO. UMNO telah mengidap penyakit ini agak lama, tetapi oleh kerana UMNO ini parti kaya-raya dan dipimpin oleh semua pemimpin-pemimpin yang ‘kaya baru’ maka hayatnya telah dapat disambung kerana yang kaya selalunya akan dapat berubat dan pergi terbang ke seluruh pelusuk dunia untuk berubat. Penyakit kanser UMNO ini sebenar nya sudah lama kerana ramai yang berpendapat ia mula merebak sejak pemerintahan Dr Mahathir. Tetapi UMNO mampu berubat kerana kekayaan pemimpin-pemimpinnya maka UMNO dapatlah untuk terus hidup sampai ke pilihanraya 2008 dahulu walaupun tanda-tanda kematian sudah jelas nampak apabila hilang majoriti 2/3 di Dewan Legislatif Parlimen.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang akan membunuh UMNO itu ialah penyakit kanser yang di hidapi selama ini juga. Sebagai pesakit kanser seseorang itu terpaksa berbelanja besar untuk membeli ubat dan membeli ‘supplement’ yang mahal-mahal untuk menyekat kemaraan penyakit kanser itu.

Maka kita sedang melihat bagaimana UMNO terpaksa berbelanja besar untuk merawat penyakit yang di hidapinya itu. Najib terpaksa ke hulu ke hilir serta mundar mandir ke darat dan ke baruh untuk memanjangkan usia parti yang sedang menghadapi penyakit yang serius itu. Sekali Najib melawat jutaan wang ringgit dibelanjakan dan semuanya ini adalah wang rakyat. Seperti yang saya katakan peruntukan besar terpaksa di adakan untuk membeli segala ‘supplement’ yang dikatakan baik untuk mengekang penyakit ini dari merebak.

Najib akan mendengar semua nasihat penasihat-penasihat dan rakan-rakan karibnya akan melakukan apa sahaja untuk mengubati penyakit yang amat sukar diubati itu. Di antaranya ialah satu ubat yang dinamakan ‘BRIM’ iaitu bantuan rakyat 1Malaysia. Ubat BRIM ini amat mahal harganya untuk memujuk sel-sel yang ada di dalam tubuh UMNO itu supaya tidak mati. Berbillion harganya ubat ‘BRIM’ ini

Satu lagi usaha ialah dengan meminta semua sel-sel di dalam tubuh itu supaya tidak membunuh satu dengan yang lain. Ramai lah pemimpin-pemimpin UMNO yang telah pergi ke Yayasan Perdana di Putrajaya untuk mengangkat sumpah di depan pemimpin besar UMNO supaya tidak membunuh di antara satu dengan lain kerana kanser di semarakan oleh bunuh membunuh di antara sel-sel yang masih hidup itu. Ramai pemimpin UMNO telah pergi mengangkat sumpah di depan Dr Mahathir dan berbaiah untuk tidak mensabotaj calon-calon BN dalam pilihanraya nanti.

Itulah sebenarnya penyakit UMNO itu. UMNO juga tahu yang pesakit kanser yang sudah sampai ketahap ‘stage 4’ akan kurang diyakini oleh orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab. Pesakit kanser akan hanya dapat melambatkan kemaraan penyakit itu dengan berehat dan jauhi dari segala bentuk tekanan yang di anggap ‘stressful’ kerana perasaan tertekan itu akan memburukkan lagi penyakit itu.

Itu sebabnya UMNO kian hari kian lemah kerana terlalu tertekan dan tidak mungkin boleh memperbaiki kesihatannya. Kerana tekanan yang terlalu serius maka kita sedang melihat  kesihatan UMNO itu semakin hari semakin buruk.

Itulah sebab nya rakyat meminta UMNO untuk berehat dan pergilah buat pembedahan yang mana patut semasa dalam berehat itu. Tetapi sebagaimana sikap pesakit, mereka susah untuk menerima hakikat yang mereka terpaksa melakukan pembedahan-pembedahan yang amat diperlukan itu.

Rakyat perlu memaksa UMNO pergi melakukan pembedahan dan berehat sebanyak yang mungkin. Sementara itu tanggungjawab menjaga negara dan rakyat ini biarlah dilakukan oleh pihak lain yang sudah terbukti lebih sihat dan walafiat.

UMNO perlu memahami keutamaan mereka. Keutamaan mereka ialah untuk berehat dan melakukan pembedahan  Jangan fikir lagi untuk masih berada di pejabat dan bekerja. Kalau masih mahu bekerja pun ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada negara.

Kepada UMNO, pergilah berehat. Jaga kesihatan yang sudah terlalu uzur itu. Itu lebih afdhal. Bersihkan segala ‘toxic’ yang ada di dalam tubuh UMNO itu. Makan dan minumlah makanan dan minuman yang mempunyai kandungan ‘alkaline’ yang tinggi untuk mengurangkan ‘toxic-toxic’ tersebut. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Semua MP mesti hadir taklimat peguam Perancis

Aspan Alias, 09 Nov 2012
Rakyat perlu diberikan sepenuh pengetahuan dan fakta tentang isu pembelian kapal selam Scorpene yang tidak habis-habis diperkatakan sekarang ini. Isu ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan ‘law-makers’ negara kerana ini merupakan satu skandal yang teramat besar yang melibatkan wang rakyat. Ia juga hampir sama besar dengan skandal PKFZ yang melibatkan pimpinan BN dan berkaitan dengan beberapa Menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah Badawi.
Ia berkaitan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh kerana ia melibatkan pihak yang berkuasa, ia amat susah untuk ditampilkan dengan setelus-telusnya kepada penghakiman rakyat. Saya mengajak seluruh rakyat yang berbilang kaum di negara ini untuk memberikan perhatian serius dan mengamati dengan sesungguh-sungguhnya isu-isu ini kerana rakyat sudah tidak tertanggung lagi kelakuan pihak-pihak yang begitu jahil dan tidak menganggap mengambil rasuah sebagai satu jenayah yang terlalu besar ini.

Mesti ada pihak yang terlibat. Ia tidak boleh dinafikan dengan alasan tiada bukti kukuh dan sebagainya. Kita juga mahukan bukti yang wang itu tidak dibelanjakan seperti yang dituduh jika alasan tiada bukti itu menjadi alasan untuk menutup kes-kes seperti ini. Kita tidak mahu berlaku seperti kes PKFZ yang sedang dalam penghakiman mahkamah dengan alasan tiada kes penipuan seperti yang disebut oleh Dr Mahathir tetapi pihak defendant (kerajaan) wajar juga membuktikan yang wang sejumlah yang disebut dalam isu ini tidak dibelanjakan. Kita tidak mahu mendengar dan menerima yang tiada kes seperti yang dituduh tetapi wang yang begitu besar telah dibelanjakan.

Pada 22hb Nov ini, dua orang peguam Perancis akan tiba di Parlimen Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia di atas jemputan Ketua Pembangkang Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa,  telah mengesahkan yang William Bourdon dan Joseph Breman akan datang ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia.

Rakyat mesti memberikan perhatian tentang isu sebesar ini. Kita berharap tidak akan ada halangan-halangan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa kerajaan dan Parlimen kerana jika tidak ada elemen-elemen rasuah seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak itu, tidak ada sebab ada pihak yang takut dan cuba menghalang kedua-dua peguam ini untuk datang dan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia melalui wakil-wakil mereka di Parlimen.

Kalau pihak yang dikaitkan dengan isu ini benar-benar tidak bersalah, tidak ada sebab taklimat dua peguam ini kepada rakyat Malaysia ditolak dan dihalang untuk memberikan taklimat ini dengan semudah-mudahnya. Malahan pihak berkuasa, seperti Najib sendiri, mesti memberi segala kerjasama kerana beliau boleh memberikan keyakinan kepada pihak-pihak yang menuduh beliau terlibat itu mendapat kebenaran yang beliau adalah sebersih-bersih pemimpin yang tidak langsung terbabit dengan isu rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene ini.

Kita akan lihat, jika ada usaha pihak Parlimen dan kerajaan untuk menghalang kehadiran kedua-dua peguam ini maka sekali gus rakyat akan yakin yang Najib serta mereka yang menuduh itu ada kebenarannya.

Ketua pembangkang telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamudin untuk meminta kepastian yang kemasukan kedua-dua peguam ini ke Malaysia tidak dihalang dan Hisham sepatutnya memberikan jawapan ‘ya’ dengan secepat mungkin.

Kita semua ingin tahu pandangan dan penyiasatan yang dilakukan oleh kedua-dua peguam Perancis ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan moral kepimpinan negara. Jika ada halangan dari pihak Kementerian Dalam Negeri, maka jangan disalahkan rakyat ramai mengekalkan persepsi mereka pucuk pimpinan kita benar-benar terlibat dengan kes Scorpene ini.

Jika perkara ini tidak diselesaikan, bagaimana Najib hendak menunaikan janji untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin sedangkan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap beliau? Lagipun bagaimana Najib hendak meyakinkan rakyat yang jika PR memerintah negara, negara akan bangkrap seperti yang beliau kata di mana-mana dalam siri kempen beliau di seluruh negara?

Jika pimpinan BN lebih cenderung untuk menunjukkan kepada kami rakyat di bawah ini yang mereka tidak jujur dengan menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, bukankah pihak BN itu yang mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bankrap? - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Mahathir tidak pernah mungkir janji?

Aspan Alias, 25 Okt 2012
Semalam Utusan Malaysia dapat RM1.50 dari saya kerana buat pertama kali saya membeli senaskhah akhbar propaganda UMNO itu setelah lima belas tahun tidak membeli atau melanggannya. Saya membeli rokok di sebuah stesyen minyak di Subang Jaya dan saya ternampak ‘headline’ muka depan akhbar itu yang menarik hati saya untuk berbelanja sebanyak RM1.50. Apa yang menarik kepada saya ialah tajuk ‘Dr M tegur Nik Aziz’ di muka depan akhbar itu. Setelah berfikir seminit dua saya relakanlah RM1.50 untuk membeli akhbar ini. Kali ini terpedaya juga saya oleh Utusan kerana tajuknya yang menarik perhatian saya apatah lagi ia melibatkan nama Dr M di muka depan itu.
Dalam liputan Utusan itu, Dr M telah menegur TGNA kerana telah memberitahu rakyat yang Tok Guru itu akan bertanding di dalam pilihanraya yang akan datang. Dr Mahathir menuduh TGNA tidak menepati janji-janji beliau (TGNA) untuk mengundurkan diri dari menjadi calon dalam pilihanraya yang akan datang dan meminta rakyat supaya menolak TGNA. Dr M berkata memilih orang yang tidak menunaikan janjinya akan membawa banyak masalah kepada negara. Apa masalah yang dimaksudkan Dr M itu tidak pula saya ketahui kerana saya tidak membaca laporan itu sehingga habis walaupun saya telah membeli akhbar itu dengan berat hati.

Saya tidak hendak sentuh tentang janji TGNA itu buat kali ini untuk memendekkan tulisan saya ini. Saya mahu memberikan fokus kepada mungkir janji Dr Mahathir yang telah membawa masalah kepada UMNO dan seterusnya kepada rakyat dan negara. Selalunya orang yang sentiasa mengintai-ngintai kesalahan pihak lawan ini akan terlupa kepada janji-janji beliau yang beliau tidak mahu menunaikannya selama ini. Dr M tentu telah terlupa apa yang beliau janjikan kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO semasa beliau mengambilalih kepimpinan parti itu dari Hussein Onn pada tahun 1981 dahulu.

Semasa mengambilalih pimpinan UMNO dari Hussein Onn dalam perhimpunan agong 1981 itu Dr M telah berjanji kepada ahli-ahli UMNO melalui perwakilan di Dewan Nirwana, Hotel Hilton, yang beliau meminta rakyat memberikan ‘signal’ jika ada tanda-tanda yang ada segelintiran rakyat yang tidak menyukai beliau.  Dengan tanda-tanda itu beliau berjanji akan mengundurkan diri secara terhormat Itu janji beliau secara terbuka yang beliau luahkan semasa ucapan penangguhan sebaik sahaja beliau menjadi Presiden kepada parti yang telah beliau matikan pada tahun 1988 itu.

Tetapi akhirnya beliau tidak menunaikan janji beliau itu dan telah membawa masalah besar yang kita warisi pada hari ini. Beliau tidak mahu berundur walaupun jawatan beliau itu telah dicabar dan beliau hanya mendapat kemenangan yang begitu tipis. Kemenangan tipis ini merupakan tanda-tanda yang jelas orang ramai sudah mula tidak berkeyakinan dengan pimpinan dan mahukan UMNO menyampaikan signal itu kepada Dr M. Beliau bukan sahaja tidak mahu mengundurkan diri tetapi telah meruntuhkan semua institusi demokrasi kerana bertegas ingin melanjutkan keseronokan dan kegilaan berkuasa sebagai PM semasa itu.

Beliau telah mematikan pendaftaran UMNO dan dalam usaha melakukan itu beliau mendapat reaksi keras dari ahli-ahli UMNO maka beliau telah membuang dan memecat beberapa hakim Mahkamah Agong termasuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Badan eksekutif yang beliau ketuai telah masuk campur dalam hal perundangan dan kehakiman untuk memungkiri janji-janji beliau itu. Akhirnya tindakan beliau itu telah memberikan banyak masalah kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini.

Apa yang beliau katakan dalam Utusan itu benar tetapi beliau sendiri tidak mahu menunaikan janji-janji beliau dan sanggup membunuh semua institusi demokrasi negara semata-mata keinginan beliau untuk berkuasa terus menerus sambil memungkiri semua janji-janji beliau semasa mula-mula mengambilalih kepimpinan dari Hussein Onn pada tahun 1981 itu.

Dr Mahathir telah banyak memungkiri janji-janji beliau sendiri dan beliau tidak boleh menuduh TGNA sebagai pendusta kerana tuduhan itu sepatutnya beliau arahkan kepada diri beliau sendiri. Pada tahun 1985 sebuah parti baru, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah ditubuhkan secara tergesa-tergesa beberapa hari sebelum Sabah mengadakan pilihanraya negeri. PBS telah menyertai pilihanraya negeri untuk menumbangkan parti Berjaya. Mahathir telah pergi ke Sabah dan berucap dan berjanji secara terbuka yang beliau akan ‘swim and sink’ dengan Berjaya. Beliau memihak kepada Berjaya pimpinan Haris Salleh dan berulang-ulang kali berjanji untuk berenang dan tenggelam bersama Berjaya.

Tetapi apabila Berjaya tewas termasuk Presiden Berjaya, Harris Salleh yang ditewaskan oleh Kaduh Agundun di Tenom, Dr M telah lari dan memungkiri janji-janji beliau dengan parti Berjaya. Kebetulan saya berada di Kota Kinabalu dan mendengar ucapan beliau secara berdepan dan saya mendengar segala janji-janji beliau kepada Berjaya semasa itu. Dengan tangkas sekali Dr M telah membawa PBS ke dalam BN dan menjadi rakan komponen kepada BN pimpinan Dr M dari peringkat Persekutuan itu. Berjaya tenggelam tetapi Dr M tetap berenang dan meninggalkan Berjaya terumbang-ambing dan hanyut sampailah parti itu mati begitu sahaja. Mahathir terus berenang sampai 22 tahun berenang dan menenggelamkan semua musuh-musuhnya yang menghantui kedudukan beliau.

Janji-janji beliau untuk membangunkan negara tidak sampai ke mana kerana beliau hanya mampu untuk membina bangunan tinggi-tinggi, jambatan yang panjang-panjang di dunia. Beliau hanya mampu membina pembangunan fizikal yang merupakan sebahagian pembangunan negara. Pembangunan fizikalnya pesat kerana ia melibatkan projek-projek runding terus yang mahal-mahal untuk kepentingan kroni-kroni dan kebanyakan projek-projek tersebut adalah projek-projek cadangan kroni-kroni dan bukannya untuk keperluan rakyat dan negara. Projek-projek tersebut hanya memberikan keuntungan kepada segelintiran kroni dan keluarga beliau .

Tetapi dalam pembinaan sikap dan ‘mentality’ terhadap rakyat tidak ada langsung sehinggakan pembangunan infrastruktur yang besar-besar itu tidak ‘commensurate’ dengan pembangunan nilai dan budaya bangsa. Rakyat menjadi ahli masyarakat yang ‘materialistic’ yang mengutamakan pengisian perut dan tempolok mereka yang hampir kepada kuasa dan rakyat dipermainkan dengan gula-gula serta coklat manis-manis untuk melekakan mereka dan meneruskan sokongan terhadap kepimpinan yang tidak jujur dan ikhlas itu.

Dr M ini tidak dapat diikut kerenahnya lagi. Dalam satu masa dia mengatakan UMNO sudah busuk sampai ke usus dan mengatakan UMNO bukan untuk yang pandai, cerdik dan bijak. UMNO hanya untuk yang bodoh-bodoh dan yang tidak mempunyai tulang belakang. Tetapi dalam satu masa yang lain Dr M mahukan rakyat memberikan sokongan berterusan kepada UMNO dan BN.

Dalam keadaan UMNO yang lemah Dr M meninggalkan parti dan apabila partinya hilang sokongan tradisi 2/3 beliau menyalahkan Abdullah Badawi. Dr M menyertai kembali UMNO selepas musuh yang dibencinya Abdullah meletakkan jawatan sebagai PM. Apabila kembali menyertai partinya beliau menuduh UMNO itu parti yang rasuah. Dalam pilihanraya yang lalu beliau berkehendakan sangat rakyat supaya tidak memilih parti tetapi memilih calon.

Tetapi sekarang Dr M mahu semuanya mengundi sesiapa sahaja yang diturunkan oleh parti untuk menjadi calon. Beliau telah ‘obsess’ dengan kehendak beliau untuk memenangkan BN sehinggakan beliau meminta semua pemimpin bersumpah tidak akan mensabotaj parti dalam pilihanraya yang akan datang ini sedangkan beliau sendiri adalah pensabotaj UMNO yang terbesar dalam sejarah kewujudan parti itu, sehinggakan beliau sanggup membunuhnya. Dr M bukan sahaja setakat pensabotaj parti tetapi beliau adalah pembunuh parti itu.

Habis keliru rakyat dengan kata-kata Dr M ini. Nak diikut nasihatnya nanti beliau akan menasihati kita melakukan perkara yang dulunya beliau tidak suka. Entah yang mana satu nasihat yang patut diikuti dan entah mana satu kata-katanya yang benar. Lidahnya sentiasa berubah dan jika ada kesempatan elok kita minta Dr M membuka mulutnya lebar-lebar untuk melihat apa jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu. Kalau ia bercabang hendak juga kita tahu berapa cabangnya.

Pendeknya nasihat beliau kepada TGNA itu elok kita abaikan sahaja kerana jika kita terima nasihatnya, nanti dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi Dr M akan menasihati untuk berbuat perkara yang lain pula.

Sesungguhnya Dr M hanyalah seorang yang bermain-main dengan politik yang melakonkan berbagai-bagai watak. Kadang-kadang watak baik tetapi selalunya beliau melakonkan watak sebagai orang jahat yang tidak senang dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang lain.

Tetapi apa pun watak yang dilakonkan oleh beliau, Dr M gagal untuk menjadi negarawan. Beliau tidak mungkin mampu untuk menjadi negarawan lagi kerana beliau hanyalah seorang aktivis politik yang sekarang bermain dengan pihak yang hendak digugurkan oleh rakyat ramai.

Mungkin oleh kerana penyelia kemas dan pegawai penerangan khas gagal untuk melaksanakan tugas mereka maka Dr M lah yang mengambil alih tugas mereka untuk berkata-kata perkara yang mungkar sentiasa.

Tetapi kita tidak harus berasa kesal dengan tindakan Dr M ini kerana beliau dari dahulu sampai sekarang hanya kekal dalam keadaan rakyat berpecah-belah. Dalam keadaan rakyat sedang bersatu di luar BN ini Dr Mahathir nampaknya tidak akan menjadi orang yang relevan lagi untuk negara dan rakyat.

Tidak ada siapa yang boleh membetulkan Dr M ini. Hanya Tuhan sahaja yang boleh melenturnya. Kita abaikan sahaja pandangan beliau. Biarkan beliau bercakap kepada dirinya sendiri semahu beliau

Orang Melayu dikelirukan oleh Umno

Aspan Alias, 23 Okt 2012
Jika kaum Cina telah menentukan sikapnya untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang bersih dan cekap dengan menolak terus parti yang mewakili mereka, MCA, orang Melayu juga sudah menampakkan sikap ingin berubah itu walaupun setengah dari mereka masih terkongkong dan dipenjara oleh partinya, UMNO. Kaum Cina telah menunjukkan sikap serius inginkan perubahan dan ini adalah sikap yang amat bertanggungjawab.
Dalam perjumpaan saya dengan ramai rakan-rakan kenalan dari kaum ini, saya dapat merumuskan yang mereka sangat serius dan inginkan perubahan berlaku. Jika perubahan tidak berlaku mereka merasakan yang negara akan terjerumus kedalam lembah kehancuran yang tidak akan dapat diperbaiki dan akan memakan masa yang lama untuk memperbetulkannya.

Semasa negara mencapai kemerdekaan negara kita merupakan sebuah yang miskin tetapi dalam jangka masa yang agak cepat negara kita telah berubah menjadi sebuah negara yang sedang membangun. Untuk membangunkan negara ia memerlukan penyertaan dari rakyat yang menyeluruh dan kaum Cina yang telah begitu lama terlibat dalam perniagaan dan perindustrian memainkan peranan yang begitu jelas dalam penyertaan mereka membangunkan ekonomi negara.

Kaum Cina telah berniaga ratusan tahun sebelumnya dan mereka mudah untuk mendapatkan modal bagi apa-apa perniagaan mereka. Mereka terlibat dalam semua jenis perniagaan dan perdagangan sedangkan kita orang Melayu semasa mula mencapai kemerdekaan masih jauh tertinggal di belakang dan memerlukan dasar-dasar yang kuat untuk menuju ke tahap berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

DEB yang dipersetujui dan juga mendapat sokongan dari semua kaum dilancarkan kerana semua kaum termasuk kaum Cina memahami untuk mendapatkan sebuah negara yang aman kedudukan ekonomi di antara rakyat berbilang kaum itu perlu ‘equitable’. Bidang ekonomi adalah bidang yang sangat penting untuk kerajaan menyelaraskan dengan baik bagi mencapai matlamat yang satu, iaitu pencapaian ‘Perpaduan Nasional’ yang berkekalan.

Orang Melayu pula dibangunkan dan dididik untuk menyertai bidang ‘commerce and industry’ ini dan dibantu oleh kaum lain dengan jujur kerana mereka mahukan kaum Melayu menjadi maju kerana mereka memahami yang kestabilan negara akan hanya boleh dicapai jika kaum Melayu dan Bumiputra memperolehi peluang dan bersama-sama menikmati kekayaan negara secara ‘equitable’.

Orang-orang Melayu pula serius belajar untuk menjadi penggiat ‘commerce and industry’ ini dan telah menampakkan kejayaan yang pesat terutamanya semasa pimpinan Tun Razak dan Tun Hussein Onn kerana pimpinan Melayu begitu taksub dan jujur untuk menjayakan dasar yang telah lama digubal oleh pimpinan Melayu dan bukan Melayu semasa zaman itu. Masing-masing kaum bekerja keras untuk melihat kejayaannya sehingga pegangan ‘equity’ Bumiputralah melonjak ke tahap 18.2 peratus pada tahun 1984 dahulu dari pegangan kekayaan yang hanya 2.7 peratus semasa dasar itu mula dilaksanakan.

Di kementerian-kementerian serta jabatan kerajaan semasa itu wujud apa yang dinamakan ‘Unit Penyertaan Bumiputra’ yang memainkan peranan untuk memberi peluang untuk orang Melayu dan Bumiputra mendapatkan bantuan dan peluang menyertai bidang perniagaan dan perindustrian itu. Tetapi ‘unit penyertaan bumiputra’ ini telah dihapuskan kerana pimpinan selepas Tun Hussein tidak senang dengan kewujudan unit ini kerana ia menyusahkan kerajaan dan pimpinan selepas Tun Hussein untuk melakukan kehendak dan keinginan mereka untuk membina kronism.

Apabila kerajaan zaman Dr Mahathir tidak serius dan mengabaikan dasar yang masih jauh untuk mencapainya semasa itu, orang Melayu terbantut pembangunannya. Kalau tidak masakan Melayu hanya mendapat pencapaian sebanyak 19.6 peratus sahaja pegangan kekayaan negara selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi teraju negara. Dasar yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu yang ramai itu telah dikuasai oleh segelintiran Melayu dan menggunakan di atas nama Melayu dan kumpulan kronism ini telah menguasai segala-galanya dan usaha membangunkan orang Melayu melalui DEB itu telah terbantut.

Hanya beberapa kerat orang Melayu sahaja yang telah mendapat faedah dari pimpinan Mahathir dan mereka kebanyakannya adalah di kalangan mereka yang berada di ‘corridor of power’ sahaja. Mereka mengambil keuntungan yang terlalu besar melalui konsep penswastaan yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan rasuah mula bercambah melalui kontrak runding terus yang diperkenalkan oleh kerajaan BN semasa itu. Pimpinan juga mengambil kesempatan untuk menjadi orang-orang kaya yang berlebihan melalui dasar yang sepatutnya diraih oleh orang Melayu yang ramai.

Orang-orang Cina mula merasakan yang kerajaan tidak serius untuk membangunkan negara mengikut dasar teguh yag telah digubal itu. Mereka menjadi sasaran perasuah besar di kalangan pimpinan kerana mereka (kaum Cina) yang berniaga terpaksa membayar harga yang terlalu mahal kerana semua pihak terpaksa ‘dijaga’ kerana budaya rasuah sedang berkembang dengan pesatnya di kalangan pimpinan Melayu di bawah pentadbiran Dr Mahathir (sehingga sekarang).

Pendeknya orang-orang Melayu terbantut pembangunan mereka dan orang Cina terpaksa menahan sabar dengan keranah pentadbiran kita yang begitu terjerumus dengan rasuah dan salah guna kuasa yang mereka terpaksa menanggung kerugian besar kerana sikap rasuah pimpinan dan pentadbiran itu. Kaum Cina sedar yang orang Melayu sendiri tidak berpuas hati seperti mereka (pimpinan kerajaan) juga, tetapi perbezaannya orang Melayu dibuai dengan retorik UMNO untuk Melayu dan penjamin bagi masa depan mereka. Kepercayaan ini telah tertanam didalam sanubari dan pemikiran mereka. Media massa memainkan isu ini setiap masa untuk mengelakkan orang Melayu dari memindahkan sokongan mereka kepada pihak lain terutamanya kepada PAS.

Tindakan UMNO memainkan isu rasis untuk memecahkan perhubungan dan permuafakatan di antara PAS dan DAP itu akan memakan diri UMNO sendiri. Usaha untuk membenci bangsa Cina oleh UMNO itu menunjukkan yang pemimpin UMNO tidak menyedari yang pembangunan negara ini dimainkan oleh bangsa Cina sebegitu tinggi dan orang Cina tahu yang mereka merupakan penyumbang besar kepada perbendaharaan negara yang diselewengkan oleh pimpinan UMNO itu.

UMNO tidak lagi berkeyakinan untuk mendapat sokongan dan mandat dan sehingga sekarang ini masih tidak berkeyakinan untuk memanggil pilihanraya. Selain dari ketidakyakinan parti itu untuk mendapat sokongan, UMNO sedang berhadapan dengan tindakan mensabotaj parti yang pasti akan berlaku dan ini telah berlaku secara berluas-luasa dalam pilihanraya yang lalu.

Kita tahu apa ‘sequence of events’ dalam UMNO selepas ini. UMNO akan lebih berpecah lagi sebaik sahaja nama dan senarai calon diumumkan oleh UMNO dalam pilihanraya kali ini. Perasaan tidak berpuas hati terhadap calon yang bakal diumumkan nanti, akan menambah kekalutan dalam parti itu dan itulah yang akan membawa padah kepada sebuah parti yang ditadbir dan diurus oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau tidak tahu bagaimana untuk bertanggungjawab.

Perbalahan di antara sesama mereka dalam PRU ini nanti akan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan UMNO dalam banyak kerusi di seluruh negara. Masing-masing merasakan yang masing-masing itu merupakan calon yang paling layak tanpa menyedari yang parti mereka itu bukanlah parti yang ‘winnable’ lagi.

Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau tindakan mensabotaj parti yang baru ditubuhkan itu tidak akan membawa parti itu kemana-mana. Sama-samalah kita saksikan nanti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Ahli-ahli Umno tidak mahu ditambat lagi

Aspan Alias, 20 Okt 2012
Majlis Tertinggi UMNO telah mengambil langkah untuk menubuhkan jawatankuasa untuk memantau pensabotaj parti bagi mempastikan yang tidak ada ahli-ahlinya yang melakukan sebotaj parti dalam pilihanraya nanti.
Nampaknya barulah UMNO mula hendak sedar yang penyakit UMNO itu adalah satu penyakit dalaman yang telah berlaku dengan jelas dalam pilihanraya yang lalu dan juga yang akan datang. Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Tengku Ahmad Rithauddin dan seorang wakil dari setiap bahagian yang akan membuat laporan online kepada jawatankuasa secara terus.

Penubuhan jawatankuasa ini menyedarkan rakyat bahawa isu ini adalah satu isu yang serius dan ia akan menjadi perkara yang sukar untuk dikawal kerana seseorang ahli itu akan melakukan sabotaj secara senyap-senyap di dalam peti undi. Tindakan ini juga memberikan rasa tidak yakin orang ramai terhadap UMNO kerana pimpinan parti itu sendiri tidak yakin dengan sokongan ahli-ahlinya sendiri.

Mengikut laporan SPRM, seramai lebih dari 1.5 juta ahli UMNO telah mensabotaj BN dalam piihanraya yang lalu dan ahli-ahli UMNO sendirilah yang mahukan parti itu kecundang dalam pilihanraya yang lalu dan yang akan datang.

Itulah yang saya sebutkan selalu. UMNO sebenarnya akan jatuh kerana urat-uratnya sudah tidak menyalurkan makanan untuk pokok itu hidup dan sebatang pokok itu akan mati dengan sendirinya jika urat-urat di bawah tidak memberikan sokongan kepada sebatang pohon itu. Matinya sepohon pokok itu adalah kerana matinya urat-urat dibawah dan itulah penyakit yang dihidapi oleh UMNO sekian lama.

Kalau UMNO sudah sampai ke tahap ini masalahnya, maka harapan UMNO untuk kekal sebagai parti yang kuat akan berakhir. Kita tidak nampak bagaimana isu ini boleh di selesaikan kerana ia melibatkan perasaan ahli-ahli itu sendiri. Ia bersangkut dengan jiwa dalaman ahli-ahli.  Sesebuah parti itu akan hanya kekal jika jiwa ahli-ahlinya kuat bertahan. Seseorang yang sedang sakit akan mudah melemahkan seseorang pesakit itu jika jiwanya sudah lemah kerana kelemahan semangat itu menyumbang kepada kelemahan tubuh pesakit itu yang akhirnya membawa maut.

Ini merupakan pertahanan terakhir UMNO dan ia tidak akan sembuh lagi. Kalau orang sudah tidak hendak kepada kita, tidak ada apa-apa usaha pun yang boleh mengembalikan mereka untuk kembali kepada kita. Kalau pasangan kita sudah tidak menyayangi kita lagi amat susah untuk membuatkan pasangan kita menyayangi kita seperti dahulu lagi.

Kita sedar yang ahli-ahli UMNO kini ramai yang tidak berkeyakinan terhadap partinya kerana mereka juga ada mata dan hati, dan mereka juga sedar dan merasakan sendiri apa yang dirasakan oleh rakyat yang ramai ini. Mereka juga manusia dan mempunyai perasaan. Jika mereka sedar yang mereka hanya menjadi alat oleh pimpinan mereka untuk kekayaan dan keuntungan peribadi mereka, perasaan marah dan bosan terhadap tindakan pimpinan mereka itu akan bertambah.

Ahli-ahli UMNO terutamanya di bawah-bawah itu sudah sedar yang mereka hanya dijadikan sebagai kerbau-kerbau untuk membajak sawah. Padinya dibaham oleh tikus-tikus di kepuk padi. Ahli-ahli UMNO pun tidak mahu mereka dikerbaukan oleh pemimpin mereka.

Tetapi MKT UMNO bolehlah melakukan apa-apa jua cara untuk membuatkan ahli-ahlinya taat kepada partinya. Cinta paksa tidak kekal dan akhirnya membawa perceraian. Kalau pasangan suami isteri pun boleh berpisah, apalah sangat hubungan dengan parti yang sudah lapuk itu?

Tetapi hakikatnya yang benar itu tetap akan timbul suatu masa nanti dan masanya sudah terlalu hampir kepada kita untuik menyaksikannya berlaku.

Sesungguhnya orang Melayu sekarang sudah mula hendak kembali bersatu, tetapi mereka tahu penyatuan itu tidak lagi akan berlaku di bawah UMNO. Mereka sedang menyaksikan perubahan ini. Mereka sedar yang orang Melayu mahu bersatu di luar UMNO di bawah payung dan wadah yang baru.

Melayu sekarang sudah menampakkan keinginan untuk melakukan hijrah untuk kemajuan dan kebaikan mereka dan negara. Kita semua tahu yang hijrah merupakan satu elemen dan peristiwa penting di dalam Islam.

Jika sudah sampai untuk orang Melayu berhijrah, dan jika ia digerakkan oleh kehendak yang Maha Esa itu, tidak ada sesiapa pun boleh menahannya, waimma dengan meletakkan muncung senapang di tengkok ahli-ahli UMNO oleh pimpinan mereka.

Kita mesti faham yang ahli-ahli UMNO itu bukanya kerbau-kerbau yang boleh ditambat di mana-mana yang dikehendaki oleh pimpinan mereka. Ramai di antara mereka telah merasakan yang mereka tidak mahu lagi ditambat dan diberikan makan rumput-rumput kering lagi. Mereka juga mempunyai harga diri.

Apabila perubahan berlaku ia akan berlaku. Percayalah. Segala-galanya akan berubah selepas ini. Melayu akan hidup dalam ‘ambience’ yang baru.

Selamat berubah dan berhijrah.

Saya akan ke Jerlun untuk berceramah pada malam ini dan esok. Saya akan kembali bersama saudara saudari pada Isnin yang akan datang. Sehingga berjumpa, salam! - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Isu Musa Aman selesai selepas pilihan raya

Aspan Alias, 18 Okt 2012
Isu RM40 juta yang dirampas oleh penguasa Hong Kong beberapa ketika dahulu tetap menjadi isu ramai terutamanya di Sabah dan seluruh negara amnya. Musa yang dikatakan empunya kepada wang itu telah menafikannya yang wang sejumlah itu bukan untuk beliau tetapi untuk sumbangan kepada parti UMNO yang sehingga hari ini tidak diberitahu siapakah penyumbangnya.


Nazri Aziz telah menjawab isu ini di Parlimen pada 11 Oktober lalu dan beliau telah memberitahu Dewan Rakyat yang wang itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO. Peguam Negara pun telah memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa kerana beliau mengatakan yang tidak ada kes terhadap Musa Aman. Najib tidak memberikan apa-apa komen tetapi hanya menyatakan UMNO tidak bercadang untuk memberitahu siapa penderma itu.

Saya selalu berkata rakyat tidak perlu membuat apa-apa tindakan kerrana di negara ini yang berkuasa adalah kumpulan yang sentiasa terlepas dari tuduhan. Mereka mempunyai kuasa dan tidak ada siapa yang boleh membuktikan pembabitan mana-mana pembesar negara kerana mereka adalah ‘supreme’ dan tidak boleh dibawa tengah oleh sesiapa juga termasuk Peguam Negara kita yang begitu ‘controversial’ imejnya dimata rakyat bukan sahaja ralyat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Undang-undang digubal bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk menutupi kebenaran. Mereka yang berkuasa menggunakan undang-undang untuk kepenting pihak yang berkuasa dan berpengaruh. Itulah sebabnya rakyat tidak mahu lagi mengambil tindakan melalui undang-undang tetapi sebaliknya mahu mengambilnya dengan cara politik. Maka rakyat sudah begitu ramai yang telah memutuskan untuk membetulkan keadaan ini dalam pilihanraya yang akan datang.

Jika kita hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah rsuah ini mungkin ia memakan masa lima puluh tahun untuk menyelesaikan semua kes-kes ini. Setiap peringkat kerajaan BN hari ini disaluti oleh budaya rasuah yang tidak mungkin dapat di selesaikan sampai bila-bila jika mereka yang berkuasa sekarang ini masih berkeliaran di Putrajaya itu. Masing-masing dalam kerajaan pada hari ini tidak mahu mengambil tindakan kepada sesiapa termasuk mereka dalam badan undang-undang. Masing-masing mempunyai saham dalam kegiatan rasuah ini.

Cara terbaik ialah dengan mengambil alih pentadbiran dengan cara terhormat ia itu melalui pilihanraya yang bakal tiba ini. Jika ‘legal cheating’ oleh pihak BN dapat di elakan, ramai berkeyakinan yang BN akan duduk dipihak pembangkang selepas sahaja pilihanraya ini berlaku.

Ibarat bermain gasing, bergilir-gilir memusing dan memangkah. Selama ini hanya pembangkang sahaja yang memusing dan dipangkah oleh BN sejak 55 tahun dahulu. Kali ini biarlah BN pula yang memusing dan PR pula yang memangkah.

Sesungguhnya isu Musa Aman ini akan selesai jika rakyat Sabah yang sedar mampu bersatu untuk menolak parti yang beliau pimpin si sana. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Kalau BN telus, kenapa takut isytihar harta?

Aspan Alias, 17 Okt 2012
Kecelaruan yang negara alami kini, bukannya kerana masalah yang disebabkan oleh rakyat sebenarnya. Masalah yang ada pada hari ini adalah masalah yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tidak memberi masalah kepada kerajaan. Sebaliknya kerajaan dan pimpinanlah yang memberikan masalah kepada rakyat sehinggakan rakyat sudah berang di dalam hati mereka yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala tindak tanduk pimpinan dan parti yang memerintah negara kita sekarang ini.
Isu yang terbesar dalam negara kini ialah rasuah yang menyebabkan sistem kerajaan sekarang hampir lumpuh kalau kita sandarkan penilaian kita dengan negara-negara maju. Rasuah ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin justeru itu telah menyebabkan banyak perkara yang tidak betul lagi berlaku di hadapan mata rakyat.

Saya tertarik dengan cadangan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, yang telah pun melakukan usaha yang bertanggungjawab mematikan budaya rasuah di negeri P Pinang yang beliau tadbir. Beliau mencadangkan beberapa cara untuk menghapuskan rasuah seperti yang beliau sendiri telah lakukan di P Pinang sejak beliau mentadbir negeri itu.

Di antaranya setiap ahli-ahli Pentadbir Negeri dari exco kerajaan serta pegawai pelaksana mengisytiharkan harta mereka. Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk akaun bank mereka di dalam dan di luar negara. Cara ini amat penting dilakukan kerana rakyat yang telah memberikan mereka mandat mahukan mereka mentadbir dengan bersih dan menghilangkan keraguan tentang kebersihan mereka menjaga harta benda rakyat.

Cadangan yang lainnya ialah mempastikan tidak ada ahli keluarga pemerintah yang terlibat dengan kontrak kerajaan dan ini merupakan satu cadangan yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh BN tetapi tidak dilakukan. Etika ini memang menjadi pakaian di negara negara maju di dunia ini. Tetapi di negara ini pemimpin-pemimpin kita tidak termampu untuk melakukannya kerana kedudukan mereka itu merupakan modal perniagaan bagi mereka dan keluarga serta kroni-kroni mereka.

Seperti yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng pengisytiharan aset semestinya di ‘institutionalized’ kan kerana ia merupakan elemen yang terpenting dalam menjaga intergiti sesuatu kerajaan itu. Ini pun yang dilakukan oleh kerajaan negara-negara maju dan kebaikan amalan ini sepatutnya menjadi ikutan kita kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjaga rakyat dan negara. LGE telah memperkuatkan tindakan pengisytiharan harta ini dengan membuat mengesahan dari ‘akauntan bertauliah’ yang tidak boleh dipersoalkan kredibilti mereka.

Tetapi kalau kita hendak meniru dan menjadikan negara-negara mundur di Afrika seperti Zimbabwe dan sebagainya Najib dan BN tidak payah untuk bergegar-gegar berucap dan beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelangnya tahun 2020. Tidak mungkin negara kita akan menjadi negara maju sedangkan kita masih terhambat oleh mentaliti politik dan kerajaan dunia ketiga. Tidak mungkin kita akan menjadi rakyat negara maju jika mentaliti kita masing masing berunsurkan mentaliti dunia ketiga.

Saya pernah diberitahu oleh rakan yang pernah duduk di dalam kabinet kerajaan hari ini yang ramai di antara menteri-menteri kita tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta benda mereka kepada umum. Sebab yang menyebabkan mereka tidak mahu mengisytiharkan harta mereka itu bukanlah susah untuk difahami. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana mereka tidak mahu diketahui umum tentang cara dan bagaimana mereka boleh melonggokkan sejumlah harta yang begitu banyak dengan rumah-rumah mewah, kereta mewah dan segala-galanya mewah.

Itu sebabnya selalu saya katakan rasuah sentiasa tidak membenarkan kita melakukan kebaikan kerana melakukan kebaikan itu akan menyekat masa depan perasuah negara. Kadang-kadang kita tidak memahami kenapa begitu degil dan payah sangat bagi pimpinan kita untuk melakukan kerja yang baik dan menjadi amalan di dalam negara-negara maju.

Sekarang kita mempunyai barisan pemimpin yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka di dalam dan di luar negara kerana mereka mendapatkan semua wang ringgit yang besar itu melalui kedudukan mereka di dalam kerajaan, dan itu adalah cara rasuah.

Pengisytiharan harta ini tidak mungkin boleh berlaku selagi barisan pimpinan ini menerajui kita dan selagi mereka boleh melakukannya rasuah ini tidak akan berhenti kerana seperti yang saya sebutkan rasuah ini merupakan ketagihan oleh pimpinan kita. Seperti penagih dadah, penagih rasuah juga tidak akan aman hidup mereka tanpa melakukan rasuah.

Oleh itu kita perlu melakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam mana rakyatnya hanya memilih kerajaan yang bersih dan ‘sustainable’ kebersihan dari rasuah ini. Untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju, sikap dan nilai, dan persepsi kita terhadap keterbukaan ini amat penting di perbetulkan.

Beberapa cadangan yang di utarakan oleh Lim Guan Eng itu sememangnya senang dilakukan jika semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita di tadbir oleh pimpinan yang bersih dan beretika. LGE sendiri sedang melaksanakannya dan tidak nampak kenapa pimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri tadbiran BN tidak mahu melakukannya. Malahan apa yang dilakukan oleh LGE ini tidak digemari oleh BN kerana BN sememangnya tidak senang kerana rakyat telah nampak apa yang baik yang ada jika PR mentadbir negeri dan negara kita.

Tidak ada sebab langsung. Tetapi jika ada sebabnya ia tidak lain dan tidak bukan, ialah kerana mereka tidak mahu terbongkar segala kegiatan yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa. LGE dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR telah pun melakukannya. Bila pula kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negari tadbiran BN pula mahu melakukannya? Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang rakyat masih ada harapan untuk melihat negara kita dapat di selamatkan dari bankrap dan kejatuhan tamaddunnya.

Jika peluang dan harapan ini tidak diambil kesempatan oleh rakyat maka rakyat tidak boleh lagi menyalahkan sesiapa selepas ini. Rakyat masih boleh melakukan usaha-usaha menyelamatkan negara kita dari dirompak dan menjadi mangsa oleh pemimpin-pemimpin yang sudah ketagihan rasuah ini. Harapan rakyat ini hanya boleh dilakukan dengan meninggalkan yang buruk dan pergi kearah kebaikan. Rakyat telah pun nampak dimana dan bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu. Berfikir dan lakukannya dengan baik dan terhormat.

Tentulah kebaikan itu akan mula kita perolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jangan was-was kerana sikap was-was ini merupakan sikap yang terkeji. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Kasih jangan bertompok, benci jangan merata

Aspan Alias, 16 Okt 2012
Jika Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk menjadi pentadbir kepada negara, satu isu yang mesti diperbaiki ialah tentang keadilan untuk rakyat bersuara dengan jujur dan telus. Sekarang PR sedang menghadapi ketidak-adilan pihak media dan penguasa kepada media perdana. Berita dan sebaran maklumat sungguh tidak adil kerana sikap media yang terlalu berat sebelah yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Kita latih bahagian editorial Utusan dan TV3 untuk menjadi lebih beretika dan professional dengan menyiarkan berita yang seimbang dan adil. Kita hendakkan perubahan ini kerana hendak melaksanakan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.
Jika PR mendapat mandat ini merupakan perkara yang paling utama untuk diperbaiki kerana menyiarkan berita dan isu dengan berat sebelah itu akan menjejaskan imej kerajaan itu seperti yang sedang dialami oleh BN sekarang ini. Jika UMNO dan BN menjadi pembangkang, kerajaan yang mendapat mandat itu wajar memberi peluang kepada parti pembangkang semasa itu (UMNO) dan lain-lain yang bersekutu dengannya untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas.

Kita tahu bagaimana sengsaranya pimpinan PR untuk mendekati rakyat kerana permainan politik kotor oleh media yang terlalu condong kepada BN hari ini. Jika PR mendapat mandat pemerintah yang baru itu mesti jangan mengulangi kejahatan yang dengan jelas sedang dilakukan oleh BN terhadap kita. Kita mesti tunjukkan perbezaan ini disamping melatih rakyat memahami apa itu demokrasi yang sebenarnya.

Lagi pun kebebasan bagi UMNO untuk bersuara sebagai parti pembangkang itu nanti akan sedikit sebanyak mengajar kita sendiri untuk menjadi kerajaan yang bersih, tanpa rasuah dan menyalahgunakan kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang ini. Inilah indahnya demokrasi jika dilaksanakan dengan telus dan beretika. Rakyat juga yang akan untung jika Putrajaya itu kita jadikan sebagai 'pusaka' bergilir-gilir. Sekarang ini BN patut mengambil giliran untuk duduk di pihak pembangkang. Lagipun UMNO kini sedang berlatih-latih untuk menjadi pembangkang dengan tindak-tanduk mereka yang tidak semenggah hari ini.

Pakatan Rakyat juga jangan sekali-kali berfikir seperti BN khususnya UMNO yang beranggapan yang Putrajaya itu adalah hak milik kekal kepada parti-parti yang memerintah. Putrajaya itu hanyalah TOL (temperary occupancy license) dan rakyat akan terus memberikan kita kuasa selagi kita bersikap adil dan saksama tanpa melacurkan perlembagaan negara kita yang sudah digubal dengan baik itu. Rakyat adalah ‘supreme’ dalam sesebuah demokrasi.

Jangan sekali-kali menghina rakyat dengan membeli jiwa mereka dengan wang ringgit semasa pilihanraya tiba kerana tindakan itu tidak lebih dan tidak kurang daripada menghina dan memperbodohkan mereka (Rakyat). BN sepatutnya belajar daripada kesalahan dan kesilapan sendiri tetapi mereka tidak berbuat demikian. Oleh itu jika PR mendapat mandat pada hari ini pihak PR sepatutnya menjadikan kesilapan dan kesalahan yang sedang dilakukan oleh BN hari ini sebagai pelajaran untuk kita semua.

Sesungguhnya belajar dari kesilapan orang lain itu merupakan cara pembelajaran yang sangat baik dan mudah. Belajarlah untuk menghormati orang ramai dan rakyat jelata. Jangan menghina dan menjadikan mereka seperti kerbau di sawah yang hanya untuk membajak sawah padi sahaja, sedangkan semua hasil padi dibaham oleh tikus-tikus gemuk dalam kepuk padi.

Binalah ketajaman pemikiran rakyat, dan bukannya memenjarakan pemikiran rakyat dan memaksa rakyat untuk mengikut telunjuk dan kehendak kita sahaja seperti yang dilakukan oleh pimpinan UMNO hari ini. Janganlah mewujudkan projek-projek pembangunan oleh kerana dirancang oleh rakan-rakan dan kroni sahaja kerana melakukan pembangunan cara itu akan membina kelompok kroni yang akhirnya akan membawa kepimpinan ke arah kepimpinan yang tidak bermoral dan beretika. Jangan jadi seperti UMNO: kasihnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata. Jadilah sebuah kerajaan yang penuh dengan ‘magnanimity’ serta beretika yang tinggi.

Gubal undang-undang yang tidak membolehkan sesiapa menjadikan isu bangsa dan agama sebagai topik dan bahan politik kerana apa yang BN lakukan pada hari amat merbahaya kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mahukan kehidupan yang aman dan sentosa tanpa pergelutan dengan isu-isu sensitif ini. Ketegangan dan perasaan curiga-mencurigai semakin menebal di antara kaum dan akan membawa kebinasaan kepada kita semua.

PR mesti serius untuk membendung rasuah terutamanya kerana rasuah adalah kegiatan yang amat hina dan akan menjatuhkan negara dan tamadun kita. Rasuah punca kepada segala-gala kerosakan di muka bumi ini.

Jika semua ini dan yang lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh BN pada hari ini dihindarkan oleh PR yang memerintah nanti, sesiapa sahaja yang menjadi PM tidak akan perlu lagi menjelajah dan mundar-mandir ke hulu ke hilir serta ke darat dan ke baruh untuk mempertahankan diri seperti yang terpaksa dilakukan oleh Najib pada hari ini.

Jika ditadbir negara dengan baik tidak perlu lagi seorang PM itu terpaksa membeli undi dengan agihan BR1M dan sebagainya kerana pemberian itu hanya mampu menghilangkan dahaga tidak sampai seminggu tetapi susahnya sepanjang tahun dan zaman.

Jika PM yang baru dilantik pula, jangan melibatkan isteri keterlaluan dalam hal negara. Lee Kuan Yew merupakan pemimpin rantau ini yang terkenal tetapi isterinya hanya dikenali semasa isteri beliau itu meninggal dunia 2 tahun dahulu. Itu pun sekarang ini saya dan ramai lagi sudah lupa nama isteri beliau. Ini perlu kerana seorang isteri itu adalah kaum yang perlu dibimbing. Hawa itu datangnya dari tulang rusuk kiri Adam.

Hawa tidak datang dari kepala untuk dijadikan ketua dan pemimpin kepada kita dan tidak juga datangnya dari kaki untuk dipijak dan ditekan. Hawa itu dilahirkan melalui rusuk kiri Adam untuk bersama kita semasa susah dan senang bukannya untuk mempengaruhi ke atas kewajipan kita kerana ia akan menjatuhkan negara dan masyarakat jika kita menjadi pemimpin. Hawa itu untuk dibelai dan dikasihi, bukannya untuk ditakuti dan digeruni.

Saya menulis isu ini kerana saya mempunyai keyakinan yang perubahan bakal berlaku jika tidak ada ‘legal cheating’ dilakukan oleh BN dalam pilihanraya ini. Elok kita ingatkan terlebih dahulu supaya tidak payah ditegur semasa mentadbir negara setelah mendapat mandat rakyat nanti.

Pakatan Rakyat tidak boleh tidak, mesti menunjukkan perbezaan dengan BN dalam mentadbir negara. Masa itu nanti barulah kita tahu berbezaannya dan selepas itu rakyat berhak untuk mengalih dan menganjak siapa yang mentadbir negara mengikut selera dan kehendak rakyat sendiri.

Buat masa ini rakyat wajar memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perbezaan dalam banyak bidang dengan BN. Sekarang ini saya berkeyakinan yang PR mampu menunjukan berbezaan itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

TV3 akan hadapi nasib yang sama seperti Utusan?

Aspan Alias, 15 Okt 2012
TV3 sedang merudum ‘rating’nya. TV3 yang termasyur sebagai lidah UMNO dan BN kini sudah mula tidak mendapat sambutan ramai. Sebelum 2010, TV3 telah mendapat ‘rating’ yang tertinggi sehingga mendapat 3.5 juta penonton sehari dan kini jumlah tontonan dari rakyat telah jatuh sehingga 1.2 juta sehari. Kejatuhan bilangan penonton lebih dari 60 peratus ini tentu bersebab dan sebabnya boleh diagak oleh kita semua. Kejatuhan ini akan akhirnya membawa padah kepada pendapatan syarikat dan menjejaskan prestasi kewangan syarikat televisyen itu.
Selalunya kejatuhan penonton sesebuah syarikat penyiaran seperti TV3 itu adalah kerana kejatuhan keyakinan penonton terhadap kredibiliti saluran itu. Dalam sejarah banyak syarikat penyiaran dan saluran TVnya telah jatuh kerana tidak mendapat sokongan ramai. Keadaan ini tidak mengecualikan TV3 yang kini sudah menampakkan keadaan seperti itu akan berlaku ke atas syarikat televisyen itu.

Kejatuhan penonton yang dialaminya sekarang sudah mula menampakkan apa yang dialami oleh banyak syarikat TV yang terpaksa ditutup di negara-negara yang lain itu akan berlaku ke atas TV3 jika saluran televisyen itu tidak menjaga kredibilitinya di mata penonton yang sedia ada sekarang.

Ramai di antara pengiklan-pengiklan barangan dan perkhidmatan telah mula memikirkan untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka di saluran-saluran yang lain kerana TV3 tidak  menjadi saluran sukaramai rakyat lagi. Kejatuhan jumlah penonton untuk saluran ini masih menurun dan dijangkakan yang ia akan melewati bawah dari 1 juta penonton setiap hari.

Keadaan ini berlaku bukan kerana apa….tetapi kerana TV3 sudah menjadi alat pembohongan BN dan UMNO dan rakyat yang berfikiran ‘professional’ tidak menganggap saluran TV3 ini sebagai saluran untuk rakyat. Sikap ‘tidak professional’ TV3 ini menjadi persoalan ramai kerana orang ramai tidak gemar dengan sikap condong yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak dalam politik ini adalah tindakan yang dianggap tidak jujur.

TV3 tidak yakin terhadap professionisma kewartawanan dan berita. Ia sudah menjadi seperti pentarama jabatan penerangan dan propaganda kerajaan di zaman peperangan melawan komunis dahulu. Rakyat sudah jemu dengan tingkah laku TV3 ini kerana menjadi penghasut bagi membenci setengah pihak dalam masyarakat secara keterlaluan dan ia amat menjijikkan ramai rakyat yang mahukan berita-berita yang seimbang dan professional dalam penyibaran maklumat kepada rakyat.

Saya sudah tidak membuka saluran ini sejak tujuh atau lapan tahun dahulu. Saya sendiri sudah tidak melanggan dan membaca Utusan Malaysia sejak sepuluh tahun dahulu kerana sebab yang sama. Hanya beberapa orang yang rapat dengan saya memberikan apa-apa keratan tulisan Utusan itu jika ia bersangkut dengan isu-isu panas yang dicetak oleh akhbar lidah rasmi UMNO itu.

Sebenarnya rakyat memahami yang mana-mana saluran TV dan akhbar itu mempunyai ‘inclination’ masing-masing  terhadap sesuatu pihak. Tetapi apa yang dilakukan oleh TV3 dan Utusan itu adalah keterlaluan sehinggakan membelakangkan professionalisma kewartawanan. Tidak bergunalah belajar bidang kewartawanan sehingga ke peringkat yang tinggi tetapi mentaliti dan  sikap tidak professional itu ditunjukkan dengan terlalu jelas kepada rakyat yang sudah pandai berfikir ini.

Kerana tindakan TV3 ini maka mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak terpanggil untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dianiayai oleh saluran TV itu. Sesungguhnya apa yang disiarkan oleh TV3 ini merupakan satu yang ‘counter productive’ terhadap kerajaan itu sendiri dan pemantau-pemantau berkaitan dengan berita dari JPM itu tidak dapat merasakan rasa menyampah dan bosan penonton yang ramai-ramai balik ke rumah untuk bersantai dengan keluarga dipaparkan berita-berita yang berbentuk hasutan oleh media massa seperti saluran TV ini.

Bagi pembangkang yang menjadi korban fitnah ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada TV3 dan Utusan kerana kedua-dua saluran berita ini memberikan impak buruk terhadap BN dan tentulah PR yang mendapat keuntungan dari tindakan mereka itu. Sebahagian besar dari tanggungjawab pihak pembangkang untuk berkempen itu sudah pun di sempurnakan oleh Utusan dan TV3 ini. Seorang yang benci kepada saluran ini menambah seorang yang menyokong kepada pihak pembangkang. Matematiknya senang.

Sikap memecah belahkan rakyat oleh TV3 ini bertanggungjawab terhadap pembinaan kebencian rakyat kepada pihak yang berkuasa dan tidak adil jika dipersalahkan rakyat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang kerana rakyat sentiasa berharap untuk hidup tenang di rumah setelah seharian bekerja kuat untuk keluarga masing-masing.

Apabila sampai di rumah rakyat mahu relaks dengan isteri dan anak-anak dan mereka tidak mahu berhadapan dengan hasutan pihak saluran TV3 sentiasa memaparkan keburukan pihak lain. Rakyat sudah merasakan yang ‘intensity’ pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh TV3 ini membuatkan ramai yang secara automatik membenci saluran itu dan seterusnya kepada pihak yang disokong oleh saluran itu.

Saya telah berjumpa dan bercakap dengan beberapa ketua syarikat yang saya kenali dan mereka memberitahu saya yang mereka sedang menimbang untuk memberhentikan pengiklanan barangan mereka melalui saluran ini jika saluran penyiaran ini meneruskan sikap buruk mereka itu. Jika hilang sokongan dari pihak industri ini TV3 akan hilang pendapatan syarikat yang berkurangan dan segala ‘glamour’ yang di alami oleh saluran TV3 yang terkenal itu.

Jika itu berlaku ia merupakan pengalaman yang sedang di alami oleh Utusan Malaysia yang tidak lagi mendapat sokongan dari pengiklanan yang besar-besar dan itu pun sebabnya Kumpulan Utusan Melayu itu telah kerugian sejak beberapa tahun yang lalu. Jangan terkejut jika TV3 akan menghadapi tindakan rakyat untuk memboikot saluran ini secara menyeluruh. Di zaman dunia tidak bersempadan ini rakyat boleh memilih saluran TV lain yang tidak membina kebencian di antara rakyat di negara ini.

Kita cuba untuk tidak menonton TV3  buat dua tiga hari ini... Saya yakin anda akan biasa dengan pemboikotan itu dan jiwa akan lebih tenteram dan aman tanpanya. Menjaga ketenteraman hati dan jiwa kita itu adalah satu ibadah kerana kita wajib menjauhi musuh-musuh secara baik, tanpa melakukan perkara-perkara yang ganas yang juga ditegah oleh agama dan juga adat kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Jangan was-was, lakukanlah perubahan

Aspan Alias, 13 Okt 2012
Rasa tidak terdaya untuk membaca dan mengulas tentang isu-isu yang mengelilingi politik negara. Seperti mana yang saya sebut selalu kebanyakan isu yang ditimbulkan ialah isu rasuah yang besar yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang dipimpin UMNO kini. Saya tetap akan terus menerus bercakap tentang rasuah ini kerana rasuah adalah kerja yang sangat hina dan ia boleh menjahanamkan sebuah negara. Sebelum ia menjahanamkan negara elok rakyat bertindak dengan kesatuan yang kuat kerana perasuah ini bukan mudah untuk dihapuskan.
Usaha menghapuskan rasuah ini memerlukan kerjasama yang rapat di antara semua pihak dan rakyat keseluruhannya kerana kehancuran terhadap negara itu akan pasti sampai jika rasuah yang keterlaluan ini tidak dibendung. Perjuangan ini merupakan perjuangan yang panjang dan memakan masa yang lama, tetapi langkah permulaan wajar berlaku sekarang kerana jika usaha ini ditangguh-tangguhkan ia akan menjadi barah yang susah untuk dikawal.

Perjuangan melawan rasuah ini memerlukan permuafakatan yang jitu dari rakyat semua kaum dan juga dari parti-parti politik serta setiap individu-individu yang sedar tentang bahayanya rasuah ini dibendung. Maka samada terdaya atau pun tidak, kita harus ke depan dan memerangi rasuah ini habis-habisan melalui cara yang halal dan dibenarkan oleh perundangan negara kita.

Banyak pihak telah membuat teguran dan desakan untuk pimpinan sekarang ini melakukan pembersihan terhadap rasuah ini kerana UMNO merupakan parti yang memimpin negara kita. Namun semua desakan itu tidak pergi ke mana, malahan rasuah berkembang dengan begitu menjolok mata sehinggakan kita semua tidak tahan lagi untuk bersabar.

Rasuah sudah menjadi mainan kepada pimpinan hari ini. Rasuah dilakukan oleh mereka seperti makan sarapan harian. Tidak ada rasa malu dan tidak merasa bersalah terhadap rakyat yang memberikan mereka mandat. Oleh kerana amalan buruk ini sudah berlaku begitu lama ianya sudah bersarang di dalam pentadbiran kerajaan hari ini. Tidak siapa yang mahu melakukan kerja tanpa mendapat habuan secara rasuah.

Itu sebabnya saya dan ramai yang lain mahukan pembanterasan rasuah ini dilakukan secara politik. Kenapa secara politik? Kerana ahli dan parti politik yang diberi mandatlah yang menyebabkan rasuah ini berluas-luasa. Menteri-menteri tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka lagi. Menteri-menteri sepatutnya duduk di pejabat untuk memantau perlakuan pelaksana ia itu penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab mereka. Menteri-menterinya wajar memelihara kebersihan kementerian mereka daripada rasuah. Itu tugas mereka sebenarnya.

Tetapi menteri-menterinya pula yang bersekongkol dengan perasuah malahan menteri-menteri pula yang memberikan perlindungan terhadap penjawat awam di bawah mereka untuk kepentingan bersama yang menjijikkan itu. Apabila menteri-menteri ini bersama-sama ‘mencari makan tambahan’ ini bersekongkol dengan perasuah itu maka menteri-menteri ini tidak lagi dihormati oleh penjawat awam di bawah kementerian masing-masing dan mereka bebas untuk melakukan kerja hina ini terang-terangan.

Kerja-kerja ini sudah berlaku begitu lama sehinggakan ramai di antara penjawat awam yang bersih dari rasuah ini tidak lagi bersama dengan parti yang sedang memerintah. Banyak usaha dilakukan oleh berbagai-bagai pihak untuk membawa kes-kes ini kemuka pengadilan, tetapi ada pula yang mempertahankannya dari jabatan perundangan negara itu sendiri.

‘Attorney General’ sendiri mengambil sikap melindungi mereka yang rasuah ini dengan memilih-memilih kes yang melibatkan mereka yang berkuasa. Yang ini dibawa ke depan, dan yang ini NFA (no further action) dan tidak dihadapkan ke mahkamah. Masing-masing yang besar-besar dalam kerajaan bekerjasama untuk melindungi rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar negara.

Rasuah sudah menjadi sebati sehinggakan tidak ada siapa yang boleh mengambil tindakan kepada sesiapa kerana yang patut mengambil tindakan ini juga sedang dipersoalkan kewibawaan mereka. AG Ghani Patail sendiri mempunyai stigma yang buruk. Bagaimana beliau boleh masih kekal dengan jawatan yang penting itu. Pendeknya tidak ada siapa lagi di dalam ‘regim’ hari ini boleh dipercayai untuk menjaga rakyat dan negara ini dengan baik dan sempurna.

Itulah sebabnya ramai rakyat merasakan yang ‘gerombolan’ ini patut dinyahkan dari kuasa. Sebagai rakyat yang mahukan keamanan kita tidak mahu memilih untuk melakukan kekerasan seperti apa yang berlaku di negara-negara arab sekarang ini. Kita sudah ada cara yang sesuai untuk menukar kerajaan tanpa kekerasan.

Kita mengambil pilihanraya sebagai tempat dan premis untuk menukar wajah negara kita di zaman kemajuan ini. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mandat kepada pihak lain untuk menjaga negara dan rakyat selama lima tahun yang akan datang.

Sekarang ini kita melihat rakyat sudah bangkit dan mahukan perubahan ini dilakukan segera dan PRU13 inilah masanya untuk melakukannya. Jika pakatan baru ini tidak menjalankan tugas seperti yang diharapkan rakyat akan kembali membuat perubahan di masa depan. Di sini kita dapat menekankan yang rakyatlah yang berkuasa dengan sebenarnya, bukannya Najib, Mahathir atau sesiapa.

Tetapi apa yang kita lihat sekarang ini, jika tidak ada apa yang saya selalu sebut sebagai ‘legal cheating’ dilakukan oleh pihak UMNO dan BN pertukaran kerajaan tidak akan dapat dibendung lagi. Itulah sebabnya PM Najib dan seluruh kepimpinan hari ini merasakan bahang perubahan ini. Gerombolan ini sedang berusaha mempertahan kuasa yang ada hari ini dengan menabur fitnah dan selalu mengatakan yang PR tidak akan boleh memimpin dengan ‘baik’ seperti BN.

Saya selalu berkata. ‘The worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of BN’. Tidak ada yang terbaik kerana yang terbaik itu bukan sifat manusia. Yang terbaik hanya sifat yang Maha Kuasa dan RasulNya.

Itu sebabnya Tuhan adakan dosa dan pahala kerana manusia diduga dengan kenikmatan dan keburukan. Apabila tubuh kita sudah terbujur roh kita tidak mati. Ia akan menghadap Tuhan semesta alam ini untuk ditimbang semua kerja baik dan buruk semasa hayat kita.

Buat kali ini kita perlu melakukan perubahan itu tanpa was-was. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Demokrasi tetapi menekan

Aspan Alias, 11 Okt 2012
Transformasi yang banyak-banyak dilaungkan oleh Najib hanya setakat di bibir sahaja. Tidak ada perubahan malah ia bertambah buruk keadaannya. Cara Najib mengumumkan satu demi satu pelan transformasi beliau itu, Najib seolah-olah bercita-cita tinggi macam dunia ini pun hendak dialihnya.


Lazimnya orang yang selalu keluar dengan berbagai rancangan yang mega-mega akhirnya tidak membawa apa-apa kesan dan tidak akan terlaksana segala pelan-pelan tersebut. Tetapi apabila pelan-pelan tersebut tidak diyakini oleh rakyat maka pihak-pihak yang bertentangan dengan kerajaan akan ditekan dan ditakut-takutkan.

Pihak yang bertentangan akan dilayan dengan buruk dan tidak bertamaddun dan tidak sesuai berlaku dalam dunia tanpa sempadan. Pimpinan kita dengan besar hati ingin mengikut peredaran masa dan zaman tetapi mereka mempunyai jiwa yag fakir.

Pada malam 9hb oktober yang lalu Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga, ditahan dan disusahkan perjalanan beliau di KLIA apabila beliau disekat di ‘auto-gate’ lapangan terbang itu selama 10 minit dan pegawai immigresen di situ tidak dapat memberi sebab kenapa beliau (Ambiga) diperlakukan begitu.

Bukan Datuk Ambiga sahaja yang menjadi mangsa tekanan ini. Minggu lepas salah seorang dari ‘Steering Committee’ Bersih Andrew Khoo juga ditahan dan dilakukan perkara yang sama dan beliau sekali lagi ditahan semasa beliau kembali ke tanah air pada malam 9hb itu. Semua Jawatankuasa Bersih diberikan tekanan oleh pihak immigresen dan budaya ini nampaknya sudah menjadi perkara biasa.

Pada bulan September yang lepas, Marina Chin Abdullah dan Wong Chin Huat juga menerima nasib yang sama. Kalau begitu keadaannya apa pula alasan yang boleh diberikan oleh pihak pemerintah dengan penahanan itu? Siapa pula yang hendak dipersalahkan  kali ini?

Adakah tindakan immigresen ini untuk menakut-nakutkan mereka yang tidak sebulu dengan kerajaan hari ini? Jika demikian kenapa kita wujudkan sebuah negara yang kononnya sebuah negara demokrasi tetapi tidak berupaya untuk menerima semua ‘attribute’ sebuah negara demokrasi?

Apakah kesalahan mereka sehingga mengganggu perjalanan seseorang yang tidak sebulu dengan kita itu? Bagi pandangan saya secara peribadi ini menunjukkan yang pihak pemerintah sekarang sedang tertekan dengan sokongan yang orang ramai berikan kepada pergerakan Bersih yang menuntut pilihanraya yang bersih dan telus itu.

Pihak pemerintah tidak mahu diganggu oleh sesiapa atau mana-mana pihak untuk tidak mengganggu cara mereka mendapat mandat selama ini, iaitu dengan membohongi rakyat dan mengelirukan fakta dan semangat demokrasi itu.

Ini merupakan elemen pentadbiran ala diktator dan ini wajar diberhentikan. Tindakan ini seolah-olah membayangkan yang pihak yang sedang berkuasa sekarang ini sudah terdesak ke dinding dan tidak ada jalan lain selain dari melakukan penekanan terhadap pemimpin-pemimpin NGO yang berpengaruh yang tidak sejalan dengan kerajaan hari ini.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh pemerintah terhadap pemimpin-pemimpin NGO seperti Datuk Ambiga ini hanya membuatkan mereka lebih terkenal dan berpengaruh. Jika Datuk Ambiga tidak berpengaruh masakan pimpinan kerajaan merasa takut terhadap kehadiran mereka di tengah masyarakat yang dalam pencarian ini.

Kita mesti ingat jika pemerintah dalam keadaan ‘desperate’ untuk mempertahankan kuasa, rakyat juga dalam keadaan ‘desperate’ untuk mencari penyelesaian terhadap kecelaruan yang dicipta oleh pihak yang memerintah itu.

Rakyat semua kaum kini memang dalam keadaan terdesak untuk lari dari cengkaman pihak yang berkuasa yang tidak lagi memberikan keyakinan kepada rakyat untuk membela nasib rakyat, bangsa dan negara mereka.

Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan.penjajahan yang dilakukan terhadap pemikiran dan jiwa mereka. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Umno sudah tidak boleh dikenali lagi

Aspan Alias, 09 Okt 2012
Najib akan tercatat dalam sejarah sebagai seorang ‘unelected Prime Minister’ negara ini kerana beliau tidak mengadakan pilihanraya sehingga  tamat penggal mandat Abdullah Badawi dahulu. Beliau tidak berapa yakin untuk mendapatkan sokongan rakyat. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk mendapat kepastian yang BN masih diterima tetapi sehingga hampir habis saki baki penggal yang diperolehi oleh Abdullah Badawi dahulu Najib masih tidak berkeyakinan untuk menang dalam PRU yang akan datang ini. Ini sahaja sudah meyakinkan rakyat yang Najib belum berkeyakinan yang beliau akan mendapat sokongan rakyat.

Allahyarham Tun Razak juga memakan masa lebih dari empat tahun untuk memanggil pilihanraya. Tun Razak telah memanggil pilihanraya hanya pada bulan Ogos 1974 setelah beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970 dahulu. Tetapi perbezaan di antara Tun Razak dan Najib Tun Razak amat besar.

Tun Razak menghabiskan waktu selama empat tahun untuk menyelesaikan isu-isu yang tidak selesai dan akhirnya telah berjaya mendapat formula untuk mencapai perpaduan kaum dan melakukan inisiatif politik yang baru dan menubuhkan Barisan Nasional.(BN). Akhirnya semua rakyat berpadu dan memberikan mandat kepada BN yang melalui pilihanraya buat kali pertama di atas nama baru, iaitu Barisan Nasional. Tun Razak hanya mengetuai pilihanraya negara sekali sahaja kerana beliau telah meninggalkan kita pada Januari 1976 dahulu.

BN telah berjaya menautkan yang berbalah di antara kaum dan BN telah mendapat mandat yang begitu besar selepas Parlimen dipulihkan semula setelah negara ditadbir oleh MAGERAN sejak tercetusnya kejadian 13 Mei 1969. Oleh kerana kejadian itulah Tun Razak yang telah bertungkus lumus mencari formula untuk menyatukan kembali rakyat berbilang kaum dan kaum-kaum bukan Melayu telah memberikan sokongan  kepada Tun Razak dalam pilihanraya 1974 itu.

Tetapi ia amat jauh bezanya di era Najib Tun Razak. Di zaman dan era Najib Tun Razak pula terbalik. Rakyat yang berpadu sebelumnya telah berpecah mengikut lunas-lunas perkauman. Rakyat sedang dipisahkan oleh UMNO melalui isu perkauman yang menebal untuk menyatukan Melayu di bawah UMNO. Tetapi orang Melayu tidak juga mahu bersatu di bawah UMNO.

Orang Melayu sudah rimas berada di bawah UMNO kerana pemimpin-pemimpin mereka sudah tidak betul dan seolah-olah telah ditutup hijab mereka. UMNO sudah hilang hidayah sepenuhnya sehinggakan parti itu sudah tidak tahu lagi mengenali yang mana satu yang baik dan yang mana yang buruk. Yang buruk dikatakannya baik dan yang baik dianggap mereka sebagai buruk. Semuanya terbalik dan sekarang bertambah lah keyakinan saya yang UMNO itu adalah pembawa dalil hari hampir kiamat.

Apa yang dilakukan oleh UMNO dahulu, diterbalikkan oleh pimpinan UMNO sekarang. Kalau dahulu Felda ditubuhkan untuk memberikan orang miskin yang tidak bertanah sebidang tanah seluas sepuluh ekar dengan tanaman kelapa sawit dan getah, sekarang ini Felda telah membuka tanah seluas 1 juta ekar dan tidak menempatkan mereka yang bertanah ke dalamnya. Sebaliknya diurus sejuta ekar ini di bawah Felda Plantation. Semua tanah yang kaya dengan hasilnya ini disenaraikan dipasaran saham untuk kepentingan kapitalis dan kroni UMNO yang tidak pernah pun memasuki tanah rancangan Felda.

Seramai 80,000 rakyat yang tidak bertanah dan yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Felda tidak dilakukan. Kalau dahulu pimpinan sibuk untuk membina ekonomi rakyat yang miskin kali ini UMNO membina ‘empire’ untuk kroni-kroninya dan rakyat yang miskin di minta nya untuk bersyukur dan berterima kasih dengan wang BRIM yang sejemput itu. Bagi UMNO rakyat tidak layak menjadi kaya raya. Kekayaan hanyalah untuk kroni dan keluarga pemimpin UMNO dan beberapa rakyat yang eksklusif sahaja.

Peneroka-peneroka Felda hanya diberikan saham sebanyak 800 unit sekeluarga. Jika ada sepuluh orang dalam keluarga itu mereka bahagi-bahagikan lah diantara sepuluh orang ahli keluarga itu. Peneroka hanya mendapat kuah sahaja tetapi mereka yang tidak kena mengena dengan peneroka mendapat dagingnya. Masih ada peneroka yang berpuas hati dengan mendapat kuah ini.

Agaknya mereka cukup dengan kuah sahaja. Kalau makan kuah, daging kuah itu rasa daging juga. Seorang peneroka yang sebaya dengan saya di Serting berkata dengan sindirannya, “Aspan, kito dapek kuah ajo.. Jadilah... Kok kuah gulai ayam pun, kuah tu pun ghaso ayam jugak. Daging ayam tu biarlah dia oghang mentekedaghah. Kalau kito nak ghaso daging ayam eh, kito tukarlah kerajaan yang boleh boghi kito makan daging eh.”

Kata-kata seperti ini meresap di kalangan masyarakat marhean kita. Mereka tidak bercakap kuat-kuat kerana mereka tidak tahu untuk berkata secara politik. Mereka hanya akan menunjukkan manifestasi mereka melalui peti undi. Seorang rakan peneroka saya di Felda Rokan pula marah-marah dengan akhbar Utusan dan beliau sudah berhenti membaca akhbar itu. Semasa beliau datang berjumpa dengan saya di Subang Jaya beliau berkata, “Utusan ni den buet mungkuih daging ajo bang. Den sokaghang baco Harakah dan Sinar Harian. Anak-anak den pun bilo balik kampung kato, yang kito kono tukar korajaan sekaghang ni. Lotih den negok UMNO ni”.

Keadaan ini berlaku di mana-mana dan tidak mampu UMNO untuk mengubatinya. UMNO sudah terlalu lekeh pada pandangan mereka walaupun bermacam-macam cara UMNO untuk menyekat mereka dari mencari pilihan kepada UMNO. UMNO sudah di pandang seperti haiwan kurap oleh mereka yang berfikir kerana kejahilan UMNO memahami perasaan rakyat bawahan sudah tidak ada lagi.

UMNO di peringkat bahagian-bahagian hanya dipenuhi dengan kroni ketua-ketua bahagian dan kebanyakkan mereka adalah kontraktor kelas F. Penjawat awan di daerah-daerah pun ada lesen kelas F. Mereka dengan menggunakan nama isteri atau anak-anak mereka. Kerja kontrak kecilan pun disapu bersih oleh penggiat UMNO dan ini berlaku di seluruh negara.

Dua tiga hari lagi Najib akan ke Sabah lagi kerana Sabah yang beliau anggap sebagai simpinan tetap untuk UMNO sudah menolak parti itu. Jika Najib berulang alik ke Sabah setiap hari pun keadaan amat sukar untuk diperbaiki. Takut-takut yang dikejar tidak dapat, yang dijinjing pula berciciran. Najib perlu sedar yang tidak semua pimpinan UMNO bersimpati dengan beliau kerana ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dari kelemahan Najib ini untuk menguasai kerajaan.

Tapi apa pun saya tetap merasakan Najib merupakan seorang Perdana Menteri UMNO yang terakhir dan beliau akan kekal tercatat sebagai ‘unelected Prime Minister’ negara kita.

Rakyat perlu bersedia untuk mengalami politik baru di bawah pentadbiran baru dan mula belajar memperbaiki sikap dan mentaliti mereka terhadap politik dan siasah negara. Kita memerlukan pimpinan yang mempunyai sahsiah yang baik dan kita perlu jauhi pemimpin yang sentiasa memenjarakan pemikiran kita.

Jika UMNO tidak lagi diberi mandat dalam PRU ini, ia bermakna kita akan mencapai kemerdekaan dan terlepas dari penjara dan mula membentuk pemikiran yang sesuai dengan keadaan dan zaman ini.

UMNO sudah tidak tentu lagi rupa dan bentuknya lagi. Pada hakikatnya UMNO sudah wujud lagi. UMNO hanya tinggal pada namanya sahaja. Macam P Ramlee yang hanya tinggal namanya sahaja. P Ramleenya sudah meninggalkan kita lama dahulu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Sendiri yang tak pandai, salahkan Soros pula

Aspan Alias, 08 Okt 2012
Dr Mahathir semalam bercakap lagi dan menambahkan keyakinan ramai yang beliau tidak lagi berasa senang melihat kejatuhan UMNO dan BN. Jika BN jatuh beliaulah orang yang paling merasakan panasnya dan ini merupakan satu igauan bagi beliau. Beliau tidak pernah menyangka yang suatu hari nanti beliau akan tertekan dengan keadaan politik ciptaan beliau sendiri. Beliau tidak pernah menyangka yang suatu hari nanti rakyat akan membuka mata dan politik selepas itu akan menjadi mimpi ngeri bagi beliau.

Selama ini beliau merasakan beliau boleh melakukan apa sahaja terhadap politik dan rakyat negara ini. Beliau tidak pernah menyangka yang pada suatu hari selepas beliau meletakkan jawatan dan bersara dari kerajaan pimpinannya akan datang isu-isu yang menjadikan parti dan kerajaan pimpinannya akan dibelakangkan oleh rakyat semua kaum.

Berbagai cara beliau untuk mempertahankan kejatuhan UMNO yang beliau tubuhkan itu. Menuduh semua orang bertanggungjawab di sana sini terutamanya pihak pembangkang. Mahathir bukan sahaja mengutuk pembangkang untuk memalingkan rakyat mengarahkan kesalahan kepada beliau malahan beliau menumpukan masa dan waktunya untuk menuduh Abdullah Badawi pemimpin yang beliau pilih sendiri untuk menggantikannya.

Semua orang salah kecuali beliau dan keluarga beliau. Mahathir lah pemimpin yang bergaduh dengan semua pihak semasa beliau memegang kuasa. Beliau seorang sahajalah yang betul. Orang lainnya semuanya tidak betul. Orang lain semuanya anti Melayu. Hanya beliau sahajalah pejuang Melayu. Orang yang benar-benar Melayu tidak memperjuangkan Melayu tetapi mereka yang menjadi Melayu ‘by choice’ memperjuangkan hak Melayu. Itu kepercayaan Mahathir.

Kali ini Mahathir mempersalahkan George Soros pula. Beliau cuba hendak menakutkan pengundi Pakatan Rakyat yang pembangkang didukung oleh George Soros yang dilabelkan oleh Mahathir sebagai penyangak mata wang antarabangsa. George Soros menjadi sasaran Mahathir dan semua pengikut membuta tuli beliau kerana kejatuhan nilai mata wang ringgit di dalam krisis kewangan pada tahun 1997 dahulu yang menyebabkan Malaysia menjadi mangsa terbesar dari kejatuhan dan krisis mata wang itu.

Seperti yang saya sebut selalu, Dr Mahathir menyalahkan semua orang di atas kesilapan dan kesalahan beliau kepada negara. Pada penghujung tahun lapan puluhan sehingga penghujung tahun sembilan puluhan Mahathir telah melakukan banyak kesalahan kerana beliau merasakan beliau seorang yang begitu handal dalam semua bidang termasuk dalam bidang perniagaan matawang asing. Bidang ini bukannya bidang yang beliau faham tetapi beliau merasakan yang beliau pandai dan ingin mencuba-cuba bidang yang beliau mengetahui terlalu sedikit.

Mahathir telah terlebih dahulu menjadi ‘penyangak’ matawang asing ini dengan cuba hendak bermain-main dengan pasaran wang antarabangsa pada tahun 1992 dahulu. Beliau telah meminta Bank Negara untuk menyertai perdagangan wang antarabangsa dan akhirnya negara telah rugi melebihi RM30 billion dalam operasi perdagangan wang antarabangsa itu. Bank Negara terpaksa menjual banyak asetnya untuk mengurangkan jumlah kerugian di dalam akaun Bank Negara dan akhirnya telah memberitahu rakyat yang kerugian itu hanyalah RM9 billion sahaja. Jika Mahathir berjaya dalam operasi perdagangan wang antarabangsa itu saya yakin Mahathir akan lebih dahsyat lagi dari Georga Soros. Tetapi nasib beliau tidak berapa baik, kita kerugian sebanyak RM30 billion.

Sebagai spekulator wang antarabangsa George Soros dan ramai yang lain akan melakukan spekulasi terhadap mana matawang yang lemah. Kebetulan ringgit kita adalah salah satu matawang yang sudah terlalu lemah semasa itu maka semua spekulator matawang antarabangsa secara ‘natural’ akan memilih ringgit untuk diperdagangkan.

Spekulator matawang asing mengetahui yang ringgit kita sudah lemah kerana semasa itu negara mengimport ‘capital good’ yang begitu besar untuk melaksanakan projek-projek raksaksa secara ekspress seperti komplek pentadbiran Putrajaya dan KLIA. Kita mesti ingat projek raksaksa seperti KLIA itu tidak pernah timbul di dalam rancangan Malaysia ke-6. Kita hanya tahu projek KLIA itu wujud ketika pembentangan separuh penggal rancangan Malaysia ke-6 itu.

Mahathir mahu segala-galanya berlaku di zaman beliau tanpa berfikir yang semua projek raksaksa yang tidak dirancang itu akan membawa padah kepada kewangan negara. Beliau tidak ambil peduli yang pengimpotan ‘capital goods’ yang terlalu besar untuk melaksanakan projek ekspres raksasa itu akan melemahkan matawang ringgit dipasaran wang antarabangsa.

Akhirnya apabila ringgit kita lemah maka ianya menjadi mangsa kepada spekulasi matawang antarabangsa. Mereka bukan sahaja dilakukan oleh Soros tetapi ramai lagi spekulator wang anatarabangsa yang lain. Mahathir sendiri mencuba-cuba untuk menjadi spekulator wang antarabangsa pada tahun 1992 dengan menggunakan BNM dan Nor Mohammad Yakcop tetapi gagal dengan kerugian sejumlah yang saya sebut tadi.

Bezanya Soros menjadi spekulator wang antarabangsa yang berjaya, Mahathir pula menjadi spekulator wang antarabangsa yang gagal. Tidak ada bezanya Dr Mahathir dengan Soros itu jika dilihat dari sudut yang lain.

Sekarang Mahathir hendak menyalahkan Soros pula kerana kelemahan yang dihadapi oleh UMNO dan BN. Beliau cuba untuk membina pemikiran rakyat, jika memilih PR ia bermakna memilih pilihan George Soros. Tetapi mesti ada yang percaya dengan kata-kata Mahathir ini, tetapi kepada siapa yang menggunakan pemikiran yang sebaik-baiknya ia tidak kena mengena dengan Soros dalam membuat pilihanraya yang akan datang ini.

Membuat tuduhan yang Soros adalah dibelakang kekuatan PR itu merupakan tuduhan yang keluar dari seorang pemimpin yang ‘desperate’. Bagi mereka yang menyokong PR, mereka tidak perlu memberikan apa-apa reaksi. Hanya ringankan lidah dan beristighfar banyak-banyak kerana untuk menolak yang bathil memerlukan fokus dan kesabaran yang tinggi. Anggap sahaja pandangan Dr Mahathir itu sebagai pandangan seorang yang sakit. Tidak perlu di ambil hati dan tidak perlu mendengar kata-kata orang yang sedang dalam kegeringan moral kepimpinan itu.

Tetapi sakit jiwa politik ini bukan sahaja dialami oleh Mahathir tetapi ia sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin yang lain seperti Najib, Muhyiddin dan keseluruhan barisan kepimpinan BN khususnya UMNO.

Jika berjaya rakyat menolak kepimpinan UMNO dan BN dalam pilihanraya nanti kita boleh melakukan penyatuan semula tanpa mereka-mereka yang memimpin pada hari ini yang tidak habis berusaha untuk memecah belahkan kita di bawah ini.

Kita bersatu di luar UMNO dan BN. Kita bermaaf-maafan di antara satu dengan lain dan terus bersatu. Selepas itu kita bangunkan negara dengan telus untuk mencapai matlamat negara yang satu, iaitu Perpaduan Nasional yang sejati dan berkekalan.

Selagi ada pemimpin seperti pemimpin yang sedang kita perkatakan ini serta yang lain-lain dalam UMNO itu, selagi itulah kita tidak akan berjaya mencapai matlamat Perpaduan Nasional yang kita idam-idamkan itu.

Kita sudah jemu dipecah dan  diperintah oleh pimpinan dari acuan Dr Mahathir ini. Kita wajib keluar dari budaya pecah perintah ini dan kita berharap kehidupan rakyat tidak lagi ‘stressful’ seperti yang rakyat sedang hidapi sekarang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pecahkan ruyung dahulu sebelum dapat sagunya

Aspan Alias, 04 Okt 2012
Kenapa kita mendengar rakyat bercakap dan berbincang tentang politik tidak henti-henti sehinggakan jarang-jarang kita mendengar orang ramai bercakap pasal lain. Keadaan sebegini tidak pernah berlaku sampai ketahap ini dan ini sahaja menunjukkan rakyat sedang dalam pencarian. Kehidupan rakyat tentulah ada masa pasang dan surutnya dan ia bergantung kepada siapa yang mentadbir dan memerintah kita. Setiap rakyat ditadbir oleh badan kerajaan secara ‘direct’ atau ‘indirect’ di dalam mana-mana negara yang berkerajaan.
Rakyat ditadbir oleh kerajaan sehingga di kampung-kampung dan mereka ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). JKKK itu adalah struktur pentadbiran kerajaan yang terendah sekali. Selalunya apabila sampai rakyat biasa bercakap di tempat-tempat awam tentang politik, tidak akan ada perkara lain yang berlaku selain dari berlakunya perubahan. Dalam politik dini hari rakyat Malaysia setiap peringkat bercakap politik dan politik kepartian.

Perubahan itu tetap berlaku dan ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sejarah. Kita tidak terlepas daripada angin perubahan ini dan sememangnya perubahan itu sudah sampai untuk berlaku. Kalaulah Muhammad SAW dahulu tidak berhijrah Islam itu susah untuk berkembang kerana masalah tentangan dari kaum musyrikin Makkah. Kemajuan dan perkembangan Islam sendiri terpaksa melalui perubahan dalam bentuk hijrah.

Penghjrahan Muhammad SAW dengan sahabat-sahabat baginda ke Madinah telah mengembangkan makallah Islam sehingga Islam itu merebak ke merata pelusuk dunia sehingga ke China. Jika Muhammad masih kekal di Makkah Islam tidak mungkin berkembang dan menempa kemajuan kerana kekalutan keadaan di Makkah itu sendiri.  Tetapi apabila Muhammad SAW sampai ke Madinah baginda telah disambut oleh kaum Ansar dan Khawarij dengan begitu mesra, maka Muhammad SAW berjaya mengembangkan makallah Islam itu dengan jayanya dan berkembanglah agama suci kita itu di Madinah tanpa halangan yang besar.

Begitu jugalah kita di negara ini yang inginkan perubahan itu. Kekalutan politik di negara kita tidak akan dapat diperbaiki selagi kita tidak mahu melakukan hijrah itu dengan berani. Yang penting bagi kita ialah untuk meninggalkan kekalutan yang kita sedang hadapi oleh kerana masalah-masalah yang kita semua tahu dan telah selalu disebut dan ditulis oleh banyak penulis dan pemikir kita.

Hanya yang menjadi masalah sekarang di negara kita ialah perubahan itu terpaksa melalui usaha yang sangat rumit kerana kita belum pernah lagi melalui perubahan sejak merdeka dahulu. Tetapi di atas kerumitan inilah datangnya perjuangan dan dalam usaha yang sebegini ia tidak mungkin boleh di capai dengan mudah kerana bukan perkara senang untuk memecahkan budaya yang songsang yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita. Bak kata pepatah, ‘pecahkan ruyungnya dahulu sebelum kita mendapat sagunya’.

Sekarang ruyungnya sudah hampir pecah dan sagunya sudah kita nampak. Hanya menunggu masanya sahaja bagi rakyat negara ini merasakan nikmat pembaharuan yang sedang berlaku dengan derasnya di kalangan kita di sini.

Barulah sekarang kita lihat dengan jelas yang perubahan itu agak pasti akan berlaku dan ianya sudah begitu hampir dengan kenyataannya. Tidak ada sesuatu kuasa yang boleh bertahan selama-lamanya termasuklah mereka yang sedang berkuasa di negara kita ini. Tanda-tanda perubahan sudah ditunjukkan dalam pilihanraya yang lalu dengan bertambahnya pengaruh parti-parti alternatif sehinggakan BN telah kehilangan majoriti tradisi 2/3 di Dewan Parlimen dan lima Dewan Legislatif negeri-negeri dalam persekutuan ini telah diambil alih oleh pihak alternatif.

Ramai yang berharap dengan berusaha keras untuk melakukan ‘follow through’ kepada apa yang di capai oleh pihak alternatif dalam pilihanraya yang lalu. Angin perubahan ini bertiup begitu kencang sehinggakan pihak pemerintah sekarang terpaksa bertahan dengan berbagai-bagai cara kerana pihak pemerintah sekarang belum pernah mengalami perubahan selama ini. Namun benteng pertahanan mereka itu tidak akan mampu menahan ombak perubahan yang sedang melanda kita pada masa ini.

Tentang dari penyokong-penyokong BN pada hari ini tidak perlu dirisaukan kerana mereka itu adalah di kalangan mereka yang berada di dalam ‘comfort zone’ dan payah untuk membawa mereka berjuang. Semasa mereka perjuangkan kemerdekaan oleh pimpinan terdahulu itu, ramai pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang makan gaji dengan pentadbiran British dahulu amat takut menerima kemerdekaan ini.

Ramai di antara mereka berkata yang kita tidak akan berjaya mengendalikan sebuah negara yang kita tadbir sendiri kerana kita tidak ada kemampuan apa-apa.  Mereka berkata, hendak membuat jarum pun kita tidak boleh lakukan, masakan kita berdaya untuk mengendalikan kemerdekaan negara.

Tetapi apabila kita mencapai kemerdekaan kumpulan ini jugalah yang telah mendapat nikmatnya dan menjadi pembesar-pembesar negara dan negeri kita. Begitu jugalah dengan apa yang kita hadapi sekarang. Ramai di antara penyokong kerajaan pada hari ini berkata belum tentu lagi PR akan berjaya memerintah negara dengan baik jika diberikan mandat dalam pilihanraya ini.

Tetapi itu merupakan masalah yang biasa apabila kita hendak melakukan perubahan. Kemampuan PR untuk mentadbir negara kita adalah lebih baik dari apa yang ada pada hari ini. Yang sudah pasti UMNO dan BN tidak mampu lagi mengendalikan rakyat dan negara dengan baik kerana UMNO dan BN tidak berkemampuan untuk menguruskan kejayaan.

Mereka telah merosakkan semua kejayaan yang kita telah capai dengan jayanya dahulu. Hakikatnya jika BN masih diberikan mandat ia bermakna kita telah gagal untuk berubah yang sangat-sangat perlu bagi rakyat negara kita sekarang ini.

Tetapi jika kita timbang dari sudut keinginan rakyat untuk berubah pada hari ini, insyaallah kita akan mencapainya dalam pilihanraya yang akan datang ini. Bersedia sahajalah untuk hidup dalam ‘ambience’ politik yang baru untuk kehidupan yang jauh dari kemelut yang kita hadapi sejak beberapa lama dahulu.

Kita terpaksa jauhkan diri kita dari kemelut ini. Jangan sekali-kali kita menzalimi diri kita dengan membiarkan kita masih berada bersama pentadbiran yang telah melakukan kemungkaran politik dan ekonomi serta sosial negara kita.

Najib tidak mahu debat, tiada keyakinan diri

Aspan Alias, 02 Okt 2012
Sekarang sibuk tentang debat Anwar dan Najib berhubung dengan pembentangan belajawan 2013 di Parlimen baru-baru ini. Isu debat ini timbul kembali bila Anwar membidas Najib kerana sindiran Najib yang mengatakan bajet bayangan PR tidak realistik  dan tidak mempunyai nilai langsung. Najib menambah lagi serangan terhadap buku jingga semasa majlis anjuran parti Gerakan dan sambil berkata buku jingga itu tidak bernilai dan tidak sepadan untuk dicetak di atas kertas pun.


Sebagai seorang Perdana Menteri kata-kata Najib itu diambil serius dan dinilai oleh semua pihak. Kata-kata seorang Perdana Menteri itu melambangkan banyak perkara tentang seorang Perdana Menteri itu. Apa yang diluahkan dari mulut itu melambangkan apa yang ada di dalam jiwa atau karektor seseorang itu. Najib sedang cuba untuk menjual ‘minyak’nya dengan memuji bajet yang dibentangnya dan memperlekehkan bajet bayangan PR yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang itu dua hari sebelum Najib membentangkan belanjawan BN untuk tahun hadapan.

Semasa Ketua Pembangkang mendebatkan belanjawan Najib itu Najib sebagai Menteri Kewangan tidak berani hadir untuk mendengar apa-apa kritikan yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang. Tetapi semasa membentangkan belanjawan itu Najib telah menyindir yang Pakatan Rakyat telah membentangkan bajet yang tidak bernilai dan tidak realistik sambil mengejek-ngejek Anwar yang sama-sama berada di dalam dewan semasa itu.

Kata-kata nista Najib terhadap PR itu tidak mempunyai moral kerana beliau tidak menyedari yang ejekan beliau itu akan mendapat reaksi dari pihak pembangkang. Najib tidak berani untuk berhadapan dengan reaksi dari Anwar dan beliau menghilang diri dan tidak hadir di Parlimen semasa Anwar membahaskan bajet pilihanraya beliau itu.


(Pandangan kartunis terhadap sikap Najib)


Najib seperti burung yang terbang tinggi yang hinggap di dahan hanya untuk meninggalkan tahinya sahaja. Najib tidak mempunyai sifat ‘gentleman’ dan Anwar membalas dengan meminta Najib berbahas dengan beliau (Anwar) tentang bajet BN dan bajet bayangan PR. Najib hanya membisu kerana seperti biasa beliau selalu mengelak dari berdepan dengan Ketua Pembangkang secara terus.

Anwar pernah beberapa kali meminta diadakan debat di antara beliau dengan Perdana Menteri dalam beberapa isu sebelum ini tetapi Najib enggan berbuat demikian dengan alasan debat itu bukan budaya kita. Rupa-rupanya berdebat secara terbuka itu bukan budaya kita tetapi bercakap di belakang itu adalah budaya Najib. Beliau hanya berani dalam situasi beliau bercakap seorang diri seperti membentangkan bajet tersebut. Rupanya budaya Najib ialah bercakap dan membebel di tempat lain seperti semasa persidangan parti Gerakan dan majlis-majlis yang lain.

Jika Najib benar-benar yakin yang bajet beliau bentang itu merupakan bajet yang terbaik tidak ada sebab kenapa beliau tidak berani berdebat dengan Anwar sedangkan beliau beranggapan yang bajet bayangan PR itu tidak realistik. Jika benar bajet PR itu tidak realistik Najib sepatutnya dengan senang hati akan menerima cabaran Anwar itu tanpa was-was untuk membezakan bajet yang beliau bentang dengan bajet bayangan yang dibentang oleh Anwar bagi pihak Pakatan Rakyat.

Berdebat bukannya perkara ganjil di dalam sebuah negara demokrasi dalam mengolah satu-satu isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat dan negara. Rakyat juga mahu menyambut cabaran Najib supaya menilai beliau dari rekod beliau. Sekarang Najib telah menunjukkan rekod yang beliaulah PM yang paling pengecut untuk berhadapan dengan pembangkang secara terbuka di hadapan rakyat.

Najib sepatutnya keluar ke hadapan dan berikan alasan kenapa buku jingga dan bajet bayangan PR itu tidak realistik supaya rakyat dapat menilai kedua-dua pemimpin itu. Sesungguhnya sememangnya Najib adalah seorang yang terkenal dengan sikap pengecutnya. Beliau hanya bercakap besar dalam situasi pihak lain belum boleh menjawabnya. Najib hanya boleh membaca khutbah dalam mana makmum yang ramai itu ditegah untuk bercakap walaupun bercakap untuk meminta makmum yang lain untuk berdiam diri. Najib hanya suka berkata-kata yang tidak disahut.

Rakyat mahu tahu apakah benar yang Najib ini mempunyai pemikiran sendiri tentang belanjawan negara yang beliau bentangkan sendiri itu. Jika benar Najib mempunyai ‘clarity’ dalam pemikiran yang beliau persembahkan kepada rakyat itu, Najib sepatutnya akan ke hadapan dengan sukaria untuk mempertahankan pelan dan pemikiran beliau.

Keengganan Najib untuk berdebat itu sudah membuatkan orang ramai ‘conclusive’ tentang pandangan mereka bahawa Najib hanyalah seorang pemimpin yang pandai bercakap dan tidak memahami sepenuhnya apa yang beliau cakapkan dalam pembentangan bajet itu.

Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk orang ramai memberikan penilaian terhadap Najib dan jika rakyat memilih untuk tidak memilih BN lagi, itu adalah tindakan yang tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa.

Kita mesti ingat seseorang pemimpin itu harus berani menerima cabaran seperti cabaran yang dilontarkan oleh Anwar itu. Jika tidak berani ia hanya memberikan gambaran yang Najib tidak berani mempertahankan bajet yang beliau bentangkan sendiri. Jika begitu jangan pula menyalahkan rakyat memilih pihak alternatif di dalam pilihanraya nanti.

Rakyat tidak akan memberikan pimpinan kepada seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Maka memberikan sokongan terhadap Najib itu adalah ‘self insulting’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: