Isnin, 26 November 2012

BANYAKNYA KAKI SONGLAP....JUGA MEMENTINGKAN DIRI...HINGGA BANYAK REZAB MELAYU DIJUAL...SAMPAI KENA PANTAU...TERUK TAK TERUK...FIKIR SENDIRILAJ...INI SEBAB MENGEJAR KEMEWAHAN DUNIA

Defisit teruk dari Greece, Adun Umno dibidas

Harakahdaily, 26 Nov 2012
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menempelak tuduhan Adun BN Kuah, Datuk Nawawi Ahmad kononnya Kedah menanggung defisit lebih teruk dari Greece iaitu hampir 72 peratus daripada hasil pendapatan negeri berbanding perbelanjaan.

Nawawi ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Persidangan DUN minggu lalu mendakwa dengan jangkaan hasil negeri sebanyak RM640 juta, dan perbelanjaan pula RM1.1 bilion, menunjukkan defisit hampir 72 peratus.

"Defisit ini lebih teruk daripada Greece. Ia seolah-olah Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan Kedah akan bankrap pada tahun hadapan" kata Nawawi.

Kenyataan Nawawi itu juga turut disiarkan di beberapa akhbar pada keesokannya termasuk Sinar Harian dengan meletakkan tajuk "Defisit Kedah lebih teruk dari Greece".

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato' Ir. Amiruddin Hamzah berkata, tuduhan itu bukan sahaja melulu, malah memalukan diri sendiri kerana seolah-olah Nawawi tidak faham dengan kaedah bajet yang dibentangkan walaupun pernah menjadi exco zaman BN dahulu.

"Soalan ini tidak patut dibangkitkan oleh ADUN Kuah yang bukan orang baru dalam Dewan, pernah jadi Exco dahulu (masa BN)," ujar Amiruddin.

Jelas Amiruddin, memang terdapat sumber hasil lain tetapi tidak dimasuk dalam sumber pendapatan negeri kerana ia diperakaunkan di bawah kumpulan wang berasingan.

Antaranya ialah terimaan kumpulan wang pembangunan, kumpulan bekalan air, pemberian sahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, pemberian pertambahan hasil dan penyelenggaraan jalan raya, oleh kerajaan Pusat.

Beliau juga memberi contoh Bajet 2008 yang dibuat oleh kerajaan BN terdahulu dengan jangkaan hasil cuma RM484 juta tetapi perbelanjaan sebanyak RM1.127 bilion dan ianya tidak bermakna negeri menanggung defisit sebanyak RM643 juta.

"Ini suatu yang tidak betul dan saya harap akhbar berkenaan juga membetulkan laporan mereka supaya rakyat Kedah faham berkenaan bajet yang dibentangkan, dan kita tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Penjelasan yang dibuat oleh Amiruddin menyebabkan Nawawi bangun cuba berdolak dalik memberitahu bahawa beliau tidak menuduh kerajaan akan muflis tetapi hanya meminta penjelasan.

Obama gagal jadi kawan Islam

Subky Latif, 26 Nov 2012
KETIKA memenangi penggal pertama sebagai Presiden Amerika empat tahun lalu, Barack Obama bertekad untuk menjadi kawan dunia Islam. Antara programnya ialah mengeluarkan tenteranya dari peperangan di dua negara Islam – Iraq dan Afghanistan.

Dia bercadang untuk mendarat di sebuah negara Islam antara kunjungan awalnya ke luar negara. Lalu dia pun memilih  Mesir. Dia pun memberi lucapan persahabatan untuknya dengan negara dan umat Islam dan untuk negaranya Amerika dengan dunia dan umat Islam.

Ia dikira satu ubat bagi menyembuhkan rasa sakit hari umat Islam gara-gara tempelak anti-Islam George W Bush yang melihat Islam sebagai agama pengganas.

Sekalipun tidak banyak yang dapat dibuatnya bagi merapatkan pentadbirannya dengan dunia Islam dan penyelesaian isu Palestin terus jadi harapan saja, tetapi kebencian terhadap Amerika reda. Tidak banyak harapan kepada penyelesaian Israel-Palestin selain daripada Obama.

Tetapi apabila dia menang selesa untuk penggal Presiden kedua, kurang dua minggu saja dia tiba-tiba menjadi seteru utama dunia Islam apabila dia menyokong serangan kejam Israel terhadap Gaza dan mengira serangan tidak beradab itu adalah langkah Israel mempertahankan diri.

Semasa kempennya menentang calon Republikan, Mitt Romney, dunia Islam mengharapkan dia menang dengan jangkaan dasar Romney yang amat memihak kepada Yahudi. Tidak dapat dibayangkan apa akan jadi kiranya Romney menang?

Terbakar dan berdarahlah bumi Palestin.

Tetapi tanpa Romney menang pun, Gaza terbakar dan berdarah juga. Dunia seluruhnya minta Obama menekan Israel supaya menghentikan serangan darat dan udara terhadap Gaza. Jawab Obama, dia menyokong kebiadapan Israil, bukan menyuruh Israel berhenti menyerang.

Polisi yang dirong-rong awal kemenangan pertamanya dulu telah dirosakkan oleh kemenangan yang kedua  ini.

Sepatutnya dia mengurangkan pembunuhan Israel terhadap umat Palestin kalau pun tidak menghentikannya  sama sekali. Tetapi yang berlaku, bukan sekadar dia gagal untuk berkawan dengan dunia dan umat Islam tetapi dia menjadikan berlumur darah umat  Islam Gaza.

Sebagai cucu orang Islam dari Kenya, muka Obama sama saja hodohnya dengan semua Presiden Amerika yang terdahulu. Dan dia sama kejam dengan semua Perdana Menteri Israel. Dia gagal untuk menjadi kawan dunia Islam tetapi dia juga adalah seteru besar Islam.

Dia mesti dikutuk seperti umat Islam diwajibkan mengutuk Yahudi dalam solatnya. Tiada solat tanpa al-Fatihah. Hujung surat al-Fatihah disebutkan kutukan kepada orang dimurkai Allah Ghairil maghdhu bi’alaihim iaitu puak Yahudi.

Tidak diterima solat orang Islam tanpa melafazkan ghairil maghdhu. Demikianlah murkanya Allah kepada orang Yahudi. Orang Islam bukan sekadar melafazkan kebencian itu tetapi mesti membuktikan kebencian itu dalam semua perkara.

Atas dasar itu Islam tidak dapat menerima kelahiran negara Yahudi Israel itu. Mana-mana orang Islam yang  redha dengan negara itu dia telah tidak ikhlas dengan solatnya.

Obama sekarang menjadi pembela terhadap pembunuhan Israel atas umat Islam Gaza. Dia pun sama saja dengan Yahudi zionis itu, maka dia sudah layak termasuk dalam kumpulan orang yang dikutuk yang dilafazkan  dalam solat itu.

Dia tidak lagi menjadi kawan. Dia sama saja dengan Yahudi yang banyak mambunuh Nabi dan Rasul, dan dia juga sama kejam dengan Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel yang sudah 10 tahun jadi mayat bernyawa sekarang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang 9 Disember

Khairil Abdul Rahim, 26 Nov 2012
(Dr Hamzah (duduk, dua kiri) menyampailan ucapan dalam sidang media berkaitan Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Pahang)


TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan diadakan pada 9 Disember ini di Dataran Rakyat, Kerdau dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Pahang”.

Menurut Pengarah Himpunan Dr Hamzah Jaafar, program disertai oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), STOP LYNAS, BERSIH, HIJAU MALAYSIA, KERABAT dan ROYALTI.

Katanya, program akan bermula pada jam 2 petang dengan acara konvoi bermotorsikal Pemuda Pakatan Rakyat. Kemudian diikuti dengan program santai anak muda yang melibatkan artis, golongan pemuda dan wanita serta kebudayaan Orang Asli.

“Pidato pada sebelah malamnya akan disampaikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Kebangsaan Tuan Haji Mohammad Sabu.

“Himpunan ini mensasarkan kehadiran seramai 30,000 orang dan himpunan ini bakal mencatatkan sejarah kerana ia akan dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum termasuk orang asal,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng. Kedua-duanya merupakan timbalan-timbalan pengarah program tersebut.

Himpunan berkenaan merupakan yang keempat selepas diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan sebelum sampai ke kemuncaknya di Kuala Lumpur pada Januari akan datang.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di antara objektif diadakan himpunan ini ialah untuk menggembeleng kekuatan rakyat bersama Pakatan Rakyat dalam menentang Kezaliman BN.

“Himpunan ini juga bertujuan untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan pilihan raya yang adil dan media bebas. Di samping memberikan maklumat sebenar terutama mengenai isu pemberian BRIM dan belanjawan rasuah BN.

“Justeru itu kami menyeru rakyat di segenap peringkat bagi penyertai program penting ini bagi menyatakan sokongan untuk melakukan perubahan dengan mendengar amanat terakhir sebelum pilihan raya daripada pimpinan,” tegasnya.   


Tahniah pejalan kaki Lynas

Dalam pada itu Timbalan Ketua MPP Pahang Ahmad Nizam Hamid mewakili Pakatan Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada pejalan-pejalan kaki anti Lynas dari Kuantan yang selamat sampai ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

“Kami juga menyeru Kerajaan Pahang ambil serius tentang suara hati rakyat yang menolak Lynas. Masih belum terlambat untuk hentikan projek ini. Lagipun Kerajaan Pusat sudah umumkan Pahang akan mendapat royalti petroleum,” katanya.

Saham Felda jatuh, pemimpin nyanyi di luar negara

Mohd Sabri Said, 26 Nov 2012
TASEK GELUGOR: Para pemimpin Felda sanggup 'berdondang sayang' di luar negara sedangkan peneroka Felda sedang diancam bahaya berikutan kejatuhan saham Felda Global Ventures Holding (FGV), kata Pengerusi Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar).

Menurutnya lagi, bukan itu sahaja bahkan seluruh warga Felda harus malu dengan tindakan Felda melalui Felda di Pasir Gudang, Johor menjual minyak sawit kepada Israel ketika negara haram itu melayak rakyat Palestin di Gaza.

Kedua-dua tindakan tersebut tambahnya, memalukan negara kerana sebagai pemimpin yang menjadi harapan seluruh warga Felda hendaklah bersama Felda merancang dengan penuh tanggungjawab supaya Felda yang diilhamkan di era Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Husein terus maju.

"Sebab itu perlantikan Pengerusi Felda, Isa Samad, Pengarah  Besar Felda, Faizul Ahmad dibantah kerana mereka  bukan sayangkan Felda sebaliknya menggunakan kedudukan Felda untuk kepentingan peribadi.

"Sekarang ini baru peneroka Felda sedar.  Namun belum terlambat untuk jatuhkan Barisan Nasional (BN) demi menyelamatkan Felda daripada terus musnah, " terangnya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Simpang Empat Permatang Buluh, Tasek Gelugor semalam.

Justeru itu, masyarakat Felda serta rakyat Malaysia jangan biarkan mereka terus bermaharajalela membiarkan pengaruh mereka menguasai Felda yang dikhaskan untuk pembangunan orang Melayu tetapi sekarang jelas dipergunakan untuk menguntungkan kroni.

Tidak hairan sambungnya, ramai pemimpin BN hidup mewah kerana penyelewengan Felda apabila menyenaraikan Felda ke bursa saham yang bila-bila masa boleh tergadai pada syarikat asing jika operasi atau keuntungan Felda tidak ke mana.

"Ramai pemimpin Umno tidak takut dengan peneroka Felda yang rata-rata tidak prihatin terhadap tindakan mereka.  Oleh itu, mereka boleh bersenang lenang dengan keluarga
di luar negara dengan menggunakan wang Felda, " jelasnya yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK).

Pemimpin Umno dan BN, dakwa Mazlan tidak langsung bimbang dengan rakyat Malaysia khususnya orang kampung kerana rata-rata mereka tidak terdedah dengan perkembangan internet yang lebih luas infonya.

Mereka ujarnya, hanya bergantung dengan media arus perdana dan siaran televisyen berbanding menghadiri ceramah dari pihak pembangkang.

Perbezaan ketara antara pemikiran orang Melayu dan orang Cina adalah orang Cina  lebih terbuka dan bersedia menerima pembaharuan yang diingini oleh Pakatan Rakyat, kata Mazlan.

Selangor kaji minyak masak kitar semula jadi biofuel

Harakahdaily, 26 Nov 2012
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sedang mempromosikan usaha untuk membuat pengumpulan semula minyak masak terpakai untuk diproses menjadi Biofuel yang sangat tinggi nilainya.

Exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong (gambar) bagaimanapun berkata, jumlah yang terkumpul sekarang tidak mencukupi untuk membuat biofuel yang ekonomik.

Beliau membuat penjelasan ini di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika menjawab soalan dari Adun Bukit Tunku, Lau Weng Sang yang meminta kerajaan negeri membuat promosi pengumpulan minyak masak terpakai melalui proses kitar semula.

Beliau juga meminta agar peraturan dibuat agar pekedai dan rumah menggunakan kaedah ini.

Beliau bimbang, pengusaha menjualnya kepada pembeli tawar harga yang lebih tinggi tetapi ia tidak dikitar semula menjadi biofuel tetapi menjadi minyak masak berkualiti rendah.

Elizabeth menjelaskan, pihak penguatkuasa kesihatan sentiasa membuat lawatan dan kajian ke pusat-pusat membeli belah bagi mengkaji hal ini agar minyak masak kitar semula tidak dijadikan minyak masak semula kerana ia membahayakan kesihatan penggunanya.

Dr Halimah Ali (gambar), Exco pendidikan Selangor pula menjelaskan, Unisel akan mengkaji cadangan untuk mengembangkan penggunakan minyak kitar semula ini agar kosnya lebih rendah.

"Saya yakin usaha ini boleh dijalankan selepas Unisel ada kerjasama dengan Intitut Teknoloji Bandung (ITB) Imperial College London," katanya.

Murshid: Doa hancurkan organisasi tidak salah

Harakahdaily, 26 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berpandangan berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusinya Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Isu doa sebelum ini timbul ekoran doa pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV sempena Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini.

Doa yang dibaca Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat itu antara lain menyebut 'Hancur BN' dan 'KO BN' pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, akhbar berbahasa Melayu itu juga turut memetik pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Beliau berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?

"Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya dipetik akhbar itu lagi.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).

Morsi jumpa hakim bincang isu rebut kuasa

Terjemahan Mohamad Yahya, 26 Nov 2012
Presiden Mesir, Mohamed Morsi akan bertemu hakim kanan Isnin ini untuk cuba meringankan krisis rampasan kuasa yang telah mencetuskan protes ganas mirip revolusi tahun lepas.


Aktivis Ahad lalu telah berkhemah di Dataran Tahrir untuk hari ketiga, menyekat trafik dengan penghadang sementara untuk membantah apa yang mereka sifatkan sebagai rebutam kuasa oleh Morsi. Polis rusuhan dan penunjuk perasaan bertempur di kawasan berdekatan.

Seorang ahli Ikhwanul Muslimin telah dibunuh dan 60 orang cedera lewat Ahad lalu dalam serangan ke atas pejabat utama Ikhwanul Muslimin di Delta Nil bandar Damanhour, lapor laman web Kebebasan dan Keadilan Parti milik Ikhwanul Muslimin.

Lebih daripada 500 orang telah cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan membimbangkan Morsi yang cuba untuk menyatukan kuasa.

Membahayakan demokrasi

Badan kehakiman tertinggi Mesir membayangkan untuk berkompromi untuk mengelakkan peningkatan krisis, walaupun penentang Morsi mahukan pembatalan penuh dekri yang mereka lihat membahayakan demokrasi.

Majlis Kehakiman Agung berkata dekri Morsi hanya sah dalam "perkara berdaulat", menunjukkan ia tidak menolak perisytiharan itu secara terus, dan menggesa hakim dan pendakwa, yang sebahagian daripada mereka mula mogok Ahad lalu, untuk kembali bekerja.

Morsi akan bertemu dengan majlis tersebut Isnin ini, lapor media kerajaan.

Pejabat Morsi mengulangi jaminan bahawa langkah-langkah tersebut hanyalah untuk sementara waktu, dan berkata beliau mahu mengadakan dialog dengan kumpulan politik untuk mencari "titik persamaan" dalam apa yang perlu diletakkan dalam perlembagaan Mesir, salah satu daripada isu dalam krisis ini.

Hassan Nafaa, seorang profesor sains politik di Universiti Kaherah, memahami usaha yang dilakukan oleh presiden dan badan kehakiman untuk menyelesaikan krisis berkenaan, namun menambah kenyataan mereka adalah "kabur".

"Ia hanya menuju ke arah yang lebih bermasalah," katanya.

Pasaran saham jatuh Ahad lalu sehingga hampir 10 peratus - yang dihentikan hanya oleh sekatan automatik - adalah yang terburuk sejak pemberontakan yang menggulingkan Mubarak pada bulan Februari 2011. (aljazeera.com)

PAS minta ahlinya pantau penjualan tanah bumiputra

Mohd Sabri Said, 26 Nov 2012

(Mazlan melawat tanah-tanah Melayu yang banyak dijual di Seberang Prai)

TASEK GELUGOR: PAS disetiap negeri disaran menubuhkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memantau serta memberikan penerangan kepada rakyat terutamanya orang Melayu tentang risiko penjualan tanah mereka.

Demikian kata Pengerusi Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Beliau mengulas penjualan tanah kepada bukan bumiputra yang banyak berlaku di Seberang Prai sekarang ini.

Bagi beliau, ia boleh dielak sekiranya pengetahuan dan kesedaran timbul di kalangan orang Melayu jika ada parti seperti PAS main peranan.

Mazlan berkata demikian dalam lawatannya ke Seberang Prai baru-baru ini bagi melihat isu yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan.

Beliau pergi ke beberapa lokasi seperti di Batu Maung dan Teluk Kumbar bersama Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Ahli Majlis MPSP, Haji Jamil Abdul Rahman, Setiausaha PAS Tasek Gelugor, Zamri Darus dan ahli Jawatankuasa PAS Tasek Gelugor, Haji Abdul Moin Hashim.

"Penubuhan NGO berkaitan tanah atau  PAS sendiri mainkan peranan yang serius agar isu berkenaan tidak menjadi semakin parah, " tegasnya mengulas kejadian penjualan tanah  sawah yang semakin berleluasa di Seberang Perai sejak kebelakangan ini.

Lazimnya, kata beliau, penjualan tanah sawah  di kampung-kampung  kepada bukan bumiputra berlaku kerana mereka kesempitan wang untuk menyekolahkan anak atau melanjutkan pelajaran anak ke peringkat univesiti.

Beliau difahamkan, banyak peristiwa penjualan itu sendiri diuruskan oleh pemimpin Umno tempatan dengan harapan mendapatkan keuntungan peribadi.

"Mereka jadi broker untuk menggalakan pembangunan kononnya tetapi hasrat sebenar ialah mahukan kepentingan peribadi.  Mereka sanggup jadi orang tengah semata-mata mengaut keuntungan.  Dalam soal ini siapa sebenarnya petualang bangsa PAS atau Umno," katanya lantang.

Kesedaran amat penting sambung Mazlan, kerana  penjualan berkenaan akan mengundang masalah lain pula selepas ini sebab pihak yang membeli pastinya membina apa sahaja yang difikirkan termasuk kilang, tempat penyimpanan barangan dan sebagainya.

Laluan atau saliran air ke petak sawah sekitar pastinya terganggu sebab tanah berkenaan akan ditambun untuk membangunkan projek lain.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua, Haji Zahadi Mohamad dalam isu  yang sama menegaskan, pihak pentadbiran tanah wajar prihatin terhadap gejala penjualan tanah sawah untuk pembangunan lain.

Di Sungai Dua sahaja jelasnya, terdapat beberapa lokasi penjualan seperti di Permatang Tok Jaya, Simpang Empat Permatang Buluh, Permatang Tiga, Permatang Sungai Dua  dan lainya.

Fenomena tersebut ujarnya, menyebabkan kebimbangan penduduk kerana, contohnya
di Permatang  Tok Jaya, lokasi itu dijadikan bengkel besi yang membahayakan masyarakat kerana bersebelahan dengan stesyen minyak.

"Sepatutnya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kena pantau pembinaan bukan meluluskan sahaja projek yang bahayakan penduduk.

"Bukan kita halang pembangunan tetapi biarlah pembinaanya jauh dari tempat yang mempunyai potensi kebakaran," katanya bimbang kawasan ini akan jadi macam Sungai Puyu dan Bagan Lalang penuh dengan kilang kecil bersebelahan rumah penduduk.

"Kami menang atau syahid" - Pemimpin Hamas

Terjemahan Mohamad Yahya, 26 Nov 2012
KAHERAH: 'Roket rintangan' yang menyerang Tel Aviv menunjukkan perubahan dalam imbangan kuasa antara Hamas dan entiti Israel, kata ahli biro politik Hamas, Dr Mahmoud al-Zahar ketika bercakap secara eksklusif kepada Asharq Al-Awsat.

(Roket jarak jauh Hamas yang memasuki Israel membentuk keseimbangan baru di Gaza)

Beliau mendakwa, roket ini menyeimbangkan 'keganasan' oleh satu pihak ke atas pihak yang lain, menambah keseimbangan baru ini akan menyebabkan Israel berfikir dua kali sebelum memulakan apa-apa pencerobohan baru terhadap Semenanjung Gaza.

Al-Zahar juga memuji kedudukan yang diambil oleh Mesir dalam konflik dan usahanya dalam mendapatkan perjanjian gencatan senjata, berkata "kami menjangka kedudukan ini dari Mesir yang baru yang mana Presiden, kerajaan dan rakyatnya berdiri teguh di belakang rakyat Palestin".

Al-Zahar (gambar) menyamakan peluru berpandu jarak jauh Hamas seperti "batu-batu dari tanah yang dibakar keras", merujuk al-Quran, Surah al-Fil.

Al-Zahar berkata "pertempuran batu-batu dari tanah yang dibakar" dengan Israel telah memberi faktor baru dalam konflik dan akan membentuk pengakhiran pencerobohan melalui pertempuran yang terancang dan meningkat yang akan mendedahkan tahap khayalan musuh yang mengabaikan kehendak rakyat Palestin dan ketahanan mereka."

Beliau menambah, "peperangan ini akan menjadi peristiwa penting,  bukan sahaja dalam sejarah di rantau ini, yang telah menyaksikan perubahan rejim yang banyak, khususnya di Mesir, tetapi juga dalam sejarah dunia. "

Al-Zahar juga memaklumkan Asharq Al-Awsat bahawa "[Perdana Menteri Israel] Netanyahu mahu menamatkan perang selepas tiga hari kerana pihak keselamatan beliau memberitahunya bahawa musuh hanya memiliki 300 roket yang boleh dilancarkan, namun mereka terkejut apabila roket terus dilancarkan dan menghujani Israel pada hari-hari terakhir di mana pada pencerobohan dipesatkan, bukan dikurangkan."

Al-Zahar mendedahkan bahawa Israel telah menerima semua syarat Palestin, tanpa apa-apa pindaan, tidak seperti yang didakwa oleh media Israel.

Beliau berkata "Kami tidak menerima cadangan Israel mengenai penyelesaian dua peringkat, iaitu pertama gencatan senjata dan kemudian membuka lintasan sempadan. Kami menolak cadangan tersebut dan tetap dengan tuntutan asal kami iaitu gencatan senjata dan membuka lintasan sempadan dalam satu langkah, dan Israel bersetuju untuk ini."

Beliau menambah, "Kami telah membuktikan bahawa pilihan melawan kembali ketika konflik berlangsung adalah satu-satunya pilihan yang menunjukkan kejayaan dan kita telah menunjukkan ini ketika menghalau keluar pendudukan Israel dari Gaza pada tahun 2005."

Beliau berkata "Tempoh di mana musuh menyerang kita sudah berlalu, dan kita sekarang dalam peringkat kita menyerang mereka."

Beliau mengesahkan bahawa tempoh ini adalah "pertumpahan darah dan senjata" dan satu-satunya pilihan rakyat Palestin adalah melawan kembali.

Di samping itu, beliau menyeru semua individu untuk mengkaji semula kedudukan mereka dan membentuk sebuah gabungan yang menyokong penentangan bersenjata, menegaskan bahawa rakyat Palestin yang keluar meraikan kemenangan Gaza mewakili satu referendum mengenai pilihan jihad dan penentangan.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin hari ini menyokong penentangan dan berdiri teguh dalam menghadapi pencerobohan Israel.
Beliau berkata, "darah pemimpin kekal membakar perjuangan rakyat dan penentangan."

Al-Zahar juga menafikan laporan bahawa dia melarikan diri dari Gaza semasa pencerobohan Israel, mengatakan "syahid di tangan Allah dan mengalahkan penjajahan adalah matlamat kami, rakyat Palestin, yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkannya.

"Kami telah menyerahkan anak-anak kami demi Islam dan untuk mempertahankan tanah dan tapak suci kami. Oleh itu, bagaimana anda boleh mengatakan bahawa saya, seorang pemimpin Hamas, akan lari dari peperangan ke Mesir? "

Beliau menambah, "Saya di Gaza dan saya bertemu dengan delegasi Mesir dan berkongsi kegembiraan rakyat Palestin malam tadi dalam kemenangan kita. Saya akan kekal di sini di atas tanah Palestin, di barisan hadapan rakyat Palestin sehingga menang atau syahid!"

* Tulisan asal  http://www.asharq-e.com/news.asp?section=1&id=31914

Tiada ulasan: